Anda di halaman 1dari 2

Kebudayaan Melayu

Title | Tajuk : Kebudayaan Melayu (Dari Meja Pengarang)


Magazine | Majalah : Majalah Mastika
Author | Penulis :
Date | Tarikh : Bil. 56, Jun 1951
Page | Mukasurat : 3 & 5

Perkara yang tidak tentu arah sekali di Malaya sekarang ialah perkara
kebudayaan. Apakah sebetulnya bentuk kebudayaan Malaya hari ini? Dapatkah
kita katakan berbentuk kebudayaan Melayu?

Jika dikaji dan diselidiki hal-ehwal yang mengenai hasil kebudayaan di Malaya
hari ini maka kita akan mendapati beberapa aliran dan rupabentuk yang
berlain-lainan dan tidak datang dari satu punca.

Aliran yang berlain-lainan ini saja sudah dapat memberi faham kepada kita
bahawa kebudayaan Malaya bukannya kebudayaan Melayu. Tetapi sebaliknya
kebudayaan Melayu sudah tentulah sebahagian daripada kebudayaan Malaya.

Tiap-tiap kita ingin, bahkan menghendaki, supaya kebudayaan Malaya ini tetap
merupakan kebudayaan Melayu. Tetapi keadaan yang sebenarnya tidak dapat
memenuhi kehendak itu.

Di antara sebab-sebab yang penting mengapa keinginan itu tidak dapat dicapai
ialah kerana punca-punca yang menghidupkan kebudayaan Melayu itu sama sekali
tidak mendapat galakan dan tidak diberi aliran.

Tempat menggalakkan dan memberi aliran kepada lahirnya kebudayaan Melayu


ialah sekolah-sekolah Melayu. Tetapi didikan yang diberi kepada murid-murid
sekolah Melayu tidak mempunyai asas-asas yang tegap bagi jiwa anak-anak
Melayu untuk berkembang, dan tidak pula ada asas-asas fikiran yang bebas
ditanamkan dalam didikan-didikan di sekolah-sekolah Melayu. Selain dari itu,
sekolah Melayu hanya menyediakan murid-murid yang kelak akan lekas-lekas
berjuang untuk hidupnya dengan bekalan pengetahuan yang sangat terhad.
Bagaimanakah boleh diharap berkembangnya kebudayaan daripada bakal-bakal anak
negeri yang sepert iini pendidikan dan pelajarannya?

Satu sebab lagi kebudayaan Melayu tidak dapat berkembang ialah kerana adanya
perlumbaan yang kencang dengan perkembangan kebudayaan asing yang dimasukkan
ke negeri ini oleh pengaruh-pengaruh Barat.

Jalan fikiran putera-puteri Melayu dialirkan kepada satu cara berfikir,


berkehidupan dan bergaul mengikut cara-cara Barat, atau lebih tegas lagi,
cara-cara Inggeris. Jika tidak pun secara am dan luas aliran yang serupa ini
dimajukan, tetapi adalah nyata bahawa dalam menentukan taraf hidup dan darjat
seseorang pada sisi masyarakat adalah diukur dengan kecerdasannya dan tinggi
pengetahuannya dalam pendidikan dan pelajaran Barat. Bahkan kebangsawanan
Melayu pun kurang harganya dalam pergaulan yang tinggi kalau tidak dengan
adanya pelajaran Inggeris yang sempurna.
/ms 5/ Kebudayaan sebenarnya ialah gambaran daripada kecerdasan otak,
kehidupan politik dan ekonomi dari penduduk-penduduk sesuatu negeri atau
sesuatu bangsa.

Maka tidaklah hairan bila kebudayaan Melayu tidak dapat lahir dengan
suburnya, seperti yang dikehendaki, di Tanah Melayu sendiri kerana kecerdasan
otak Melayu terliput dalam satu aliran fikiran dan anggapan yang cenderung ke
Barat. Tetapi kecenderungan itu pun tidak berjaya melahirkan sesuatu kesan
yang nyata kepada kehidupan sehingga mengadakan bentuk-bentuk kebudayaan,
kerana orang-orang Melayu yang sampai kepada taraf yang tinggi dalam
pergaulan mengikut bentuk yang demikian itu hanyalah boleh dihitung dengan
jari saja banyaknya, dan rakyat terbanyak tinggal rendah, tidak pun mencapai
kecerdasan otak mereka walau mengikut aliran Melayu atau aliran Inggeris
(Barat) sekalipun.

Perekonomian rakyat dan hak-hak politik rakyat Melayu tidak mencapai taraf
yang tinggi sekira-kira boleh memberi kesan yang maju kepada kehidupan dan
memberi bentuk kepada kebudayaan mereka.

Maka pada umumnya bentuk kebudayaan Melayu (kalaupun ada sedikit-sedikit itu)
ialah gambaran dari hidup yang telah lalu, bukannya gambaran dari kehidupan
kecerdasan otak, ekonomi dan politik umat Melayu yang sepatutnya sudah
berubah dalam zaman kemajuan ini.

Untuk menimbulkan kesan keMelayuan pada kebudayaan Melayu, ataupun untuk


menjayakan kebudayaan Melayu sebagai asas kebudayaan Malaya yang akan datang,
hendaklah orang-orang Melayu mempunyai dasar didikan yang memberi kebebasan
kepada perkembangan fikiran dan otaknya. Usaha ke arah itu dapat dilaksanakan
dalam rumah-rumah pendidikan dan pelajaran, iaitu di sekolah-sekolah Melayu
yang utamanya dan di sekolah Inggeris pada amnya.

Perkembangan kecerdasan otak dan fikiran ini hendaklah pula diberi lapangan
bagi melaksanakan satu kehidupan yang maju dan bebas dalam pergaulan ramai,
iaitu dalam masyarakat Malaya yang dianggap tinggi. Dan ini hanya dapat
tercapai kalau lapangan ekonomi dan politik dapat mencapai hak rakyat, atau
dengan lain-lain perkataan, orang-orang Melayu hendaklah menjadi satu
bahagian yang penting mencampuri dan mengendalikan perjalanan ekonomi dan
politik itu.

Jika tidak demikian, maka kebudayaan Melayu akan tetap menjadi satu bentuk
kebudayaan yang bercampur-aduk, tidak ada asas dan dasar yang satu, yang
berakar-tunjang dalam masyarakat negeri ini. Dan selama itulah hasil-hasil
kesenian, ciptaan-ciptaan dari hasil pengetahuan dan juga cara kehidupan umat
Melayu ini akan merupakan kesenian-kesenian dan ciptaan-ciptaan yang
terumbang-ambing antara Barat dan Timur, antara lama dan baru, dan antara
keCinaan, keMelayuan dan keIndiaan yang tak tentu arah.

Anda mungkin juga menyukai