Anda di halaman 1dari 8

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak
zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan
berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada
seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan
peluang kepada para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu,
bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa
antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa,
agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang
berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang
dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.

Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk
berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana
seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja.
Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu
tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada
pelancong yang datang ke negara kita. Faedah daripada itu, para pelancong berasa
lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang
juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya,
tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih
mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan
berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan
bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita mudah
berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara
satu sama lain.

Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk
memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan
yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris
yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan
seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak
di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam
bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan
bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih
mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet.
Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan
kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian
serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris
yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat
perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di
negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat


yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi
kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin
penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini
demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana
kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi
apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun
dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa
pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit,
Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih
dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas
terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada
setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping
mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa
seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan
seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap
mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan
pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam
bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang
digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara
kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang
itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang
kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai
masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi. Begitu juga
dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong
asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai
bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan
utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.
Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa
tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan
yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu
menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan
berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut
peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam
pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan masyarakat
yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat
global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang
hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang
pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.

________________________________________________________________

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Menurut kamus Komprehensif Bahasa Melayu, perkataan bahasa membawa
maksud sistem lambang-lambang bunyi yang dipakai sebagai alat perhubungan
dalam lingkungan satu kelompok manusia. Terdapat pelbagai bahasa yang
digunakan di dunia iaitu Bahasa Arab, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Bahasa
telah dijadikan alat komunikasi antara satu sama lain. Biasanya mereka
menggunakan bahasa antarabangsa yang mudah difahami ialah Bahasa Inggeris
iaitu lingua franca.

Lingua franca merupakan bahasa perantaraan yang digunakan secara sistematik


untuk tujuan perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya.
Lingua franca juga merupakan bahasa yang dikhususkan dalam bidang tertentu.
Contohnya, bahasa Inggeris selalu digunakan untuk kajian sains. Pada abad ke-14,
ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu dijadikan lingua franca di
Kepulauan Melayu, tidak kira dituturkan oleh penduduk tempatan mahupun
saudagar dan seniman yang mengunjungi Melaka melalui Selat Melaka.

Terdapat pelbagai faedah menguasai pelbagai bahasa. DI antaranya ialah dapat


berkomunikasi dengan pelbagai bangsa dari serata dunia. Di situ kelebihannya,
ketika melancong, kita tidak perlu megupah jurubahasa kerana bayarannya agak
lumayan. Apabila berada di negara luar kita perlu berkomunikasi dengan bahasa
yang digunakan untuk memudahkan urusan jual beli. Biasanya peniaga mudah
memberi harga yang lebih rendah dalam proses tawar menawar. Jika pelancong tidak
pandai bertutur dalam bahasa yang digunakan mereka akan memberi harga paku
belanda dan inginkan keuntungan lebih semata-mata.
Selain itu, apabila bertutur dalam pelbagai bahasa kita dapat memahami
percakapan yang telah digunakan. Kita boleh mengetahui sama ada mereka
menggunakan kata-kata kesat atau lucah kepada kita dalam bahasa ibunda mereka.
Kita juga dapat mengelakkan perselisihan faham dan bertukar pendapat.
Seterusnya, apabila dapat menguasai bahasa penduduk di sekitarnya akan
melahirkan rasa hormat atas kesanggupan kita untuk belajar bahasa mereka.

Di samping itu, kita boleh mendapat ramai kenalan dari setiap negara apabila
berkomunikasi di laman web. Kita boleh bertutur dan belajar ketika berkomunikasi di
laman web. Kita boleh mempromosikan negara kita melalui kenalan di laman web
lalu menarik minat pelancong untuk mengunjungi negara kita. Kita bukan sahaja
memperbaiki bahasa yang dipelajari bahkan juga dapat bertutur dengan lebih fasih.

Tambahan pula, kita juga dapat lebih peluang pekerjaan terutamanya dalam
bidang media mass yang memerlukan pengetahuan di dalam pelbagai bahasa.
Seorang wartawan harus menguasai sekurang-kurangnya lima bahasa terutamanya
bahasa Inggeris dan bahasa ibundanya. Pekerjaan yang melibatkan diri dalam
bidang media massa juga mendapat gaji yang lumayan. Jurubahasa di dalam
televisyen perlunya mengetahui pelbagai bahasa mengikut rancangan yang
dikendalikan. Ada juga yang bertugas untuk menaip sari kata bagi paparan di
televisyen.

Akhir sekali, kita boleh memahami rancangan yang diminati tanpa perlu membaca
sari kata yang disediakan kerana sari katanya lambat daripada pertuturan pelakon
atau kesalahan tatabahasa yang digunakan. Kita akan berasa lebih seronok
menonton rancangan yang diminati tanpa perlu penat membaca sari kata yang
disediakan. Kita juga boleh membaca buku komik atau buku cerita dari penulis asal
tanpa perlu peralihan bahasa.

Konklusinya, setiap orang perlulah menguasai pelbagai bahasa kerana lebih


banyak kebaikan apabila kita menguasainya. Peranan ibu bapa menjadikan
seseorang itu berjaya tidak kira apa jua yang diceburi.

________________________________________________________________

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan
komunikasi antara satu sama lain.
Huraikan.

Bahasa asing dilihat sebagai bahasa yang tidak digunakan secara meluas atau
kerap oleh seseorang itu. Antara bahasa asing yang terkenal di negara ini meliputi
bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Arab. Penggunaan
bahasa asing terutama bahasa Inggeris mula mendapat tempat dalam kalangan
pelajar dan pihak media massa turut mempromosikan penggunaan bahasa ini.
Sebenarnya, bahasa asing ada membawa banyak manfaat kepada seseorang itu.

Sudah pasti kebaikan utama seseorang yang mahir dalam bahasa asing ialah diri
mereka lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu tersebut. Banyak bahan kajian
terutama dalam bidang teknologi dan sains yang diterbitkan dalam bahasa asing
terutama bahasa Inggeris dan Jepun serta Jerman. Ilmu yang ada dalam bahan
bacaan ini hanya boleh dikutip oleh pembaca yang mahir dalam bahasa asing
tersebut. Jadi, mereka yang menguasai bahasa luar boleh mempelajari pelbagai
bidang ilmu yang amat penting itu.

Selain itu, penguasaan bahasa asing membolehkan manusia untuk berhubung


dengan masyarakat dunia luar pula. Komunikasi yang lancar dan baik boleh
dilaksanakan jika kedua-dua individu yang terlibat dalam perbualan itu memahami
satu bahasa terutama bahasa asing. Maksud dan isi tersirat yang wujud dalam
komunikasi itu akan dapat difahami dengan tepat jika individu terbabit memahami
bahasa asing secara mendalam. Jelaslah, penguasaan bahasa asing memudahkan
komunikasi dengan masyarakat luar berlaku dalam suasana yang baik terutama
dalam urusan perniagaan, politik dan sosial pula.

Malah, individu yang sanggup mempelajari bahasa asing akan mendapati diri
mereka lebih senang memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam era globalisasi
ini. Majikan zaman ini lebih meminati pekerja yang mampu menguasai lebih banyak
bahasa kerana mereka mudah untuk berurusan dengan pengguna dan boleh dihantar
bekerja di mana-mana cawangan syarikat tersebut di seluruh dunia. Diri seseorang
yang menguasai bahasa asing ini juga boleh memohon pekerjaan di dalam dan di luar
negara kerana sedar bahasa bukanlah penghalang lagi. Sesungguhnya, pekerja yang
mahir dalam pelbagai bahasa akan mendapati diri mereka senang memperoleh
kerja.
Malahan, kemahiran dalam bahasa asing telah dilihat sebagai satu tuntutan era
globalisasi ini. Maknanya, mereka yang menguasai bahasa asing itu dilihat sebagai
unik, menarik, dan berkebolehan berbanding dengan individu yang hanya tahu
bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kemahiran sebegini menjadikan diri mereka
lebih sesuai untuk menghadapi pelbagai cabaran yang timbul akibat perubahan
dalam pemikiran dan cara manusia menjalani kehidupan harian mereka itu. Maka,
berbahasa asing itu dilihat sebagai satu keperluan utama dalam menjalani
kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama, individu yang boleh bertutur dalam bahasa asing akan
mudah menyesuaikan diri mereka dalam sebarang suasana, situasi dan tempat.
Mereka tidak akan berasa janggal apabila berada dalam majlis yang menggunakan
bahasa asing tersebut. Pemahaman tentang sesuatu perkara juga akan menjadi
lebih mudah kerana mereka boleh menjelaskan maksud bahasa asing itu ke dalam
bahasa ibunda dengan lebih tepat. Lantaran itu, penguasaan bahasa luar ini
menjadikan manusia itu lebih mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam sebarang
situasi dan tempat.

Kesimpulannya, semua manfaat yang dihuraikan tadi memang boleh diperoleh


apabila seseorang itu menguasai banyak bahasa asing. Kita harus sedar bahawa
sikap mempelajari bahasa asing ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi satu
perkara yang bijak untuk diamalkan pula. Remaja yang berpandangan jauh akan
mula memahirkan diri mereka dalam beberapa bahasa asing sebelum terlewat. Bak
kata pepatah, tepuk dada tanya selera yang menjelaskan bahawa sikap mempelajari
bahasa asing ini banyak ditentukan oleh sikap seseorang itu sendiri.

________________________________________________________________

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Bahasa merupakan wadah untuk berkomunikasi antara seorang individu dengan
individu yang lain. Bahasa digunakan sebagai alat penyebaran ilmu dan maklumat
juga. Pada zaman muasir ini, kita digalakkan supaya menguasai lebih daripada satu
bahasa. Terdapat banyak faedah sekiranya kita mengetahui dan memahami
pertuturan pelbagai bahasa utama dunia.

Menguasai lebih daripada satu bahasa merupakan suatu bonus khususnya untuk
berkomunikasi dengan bangsa asing. Hal ini bukan saja memudahkan interaksi
antara masyarakat setempat dengan pelancong luar, bahkan juga memberikan
keselesaan kepada individu terbabit ketika berada di luar negara. Secara tidak
langsung, hal ini dapat meningkatkan keyakinan diri.

Selain itu, kepelbagaian kaum di Malaysia melahirkan dialek dan bahasa yang
heterogen. Oleh hal yang demikian, penguasaan pelbagai bahasa seperti bahasa
Melayu, Cina, Tamil, Iban dan Kadazan memudahkan kita berkomunikasi dengan
kaum-kaum yang berkenaan. Bukan itu sahaja, menguasai bahasa-bahasa tertentu
dapat membantu kita mengetahui adat resam kaum-kaum yang berkenaan. Oleh itu,
hubungan yang terjalin akan mempercepatkan proses integrasi nasional.

Penguasaan banyak bahasa membuka ruang yang lebih kepada kita untuk
membaca dan banyak memperoleh ilmu. Kebanyakan buku dalam bidang perubatan,
sains dan teknikal ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menguasai dan meneroka
ilmu di dalam buku tersebut, kita perlu menguasai bahasanya terlebih dahulu. Orang
yang bijak pandai membaca buku dalam pelbagai bahasa. Tokoh-tokoh dan
pemimpin negara lebih dihormati jika dapat menguasai banyak bahasa.

Menjadi suatu kelebihan jika seseorang itu banyak menguasai bahasa. Kelebihan
itu memberikan bonus kepada seseorang untuk mendapatkan pekerjaan. Banyak
kerjaya yang memerlukan pemohon banyak mengetahui pelbagai bahasa. Antara
jawatan yang mementingkan aspek ini ialah pramugara, pramugari, pemandu
pelancong dan wartawan. Kelebihan ini bukan saja memudahkan tugasan, tetapi
memudahkan kita mendapat kawan.

Kebolehan bertutur dalam banyak bahasa akan menjamin peningkatan ilmu


pengetahuan seseorang. Justeru memang tidak rugi jika kita menguasai banyak
bahasa. Imej kita akan meningkat dan kita turut dihormati dalam semua kelompok
masyarakat.

________________________________________________________________

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Bahasa menjadi alat komunikasi antara manusia sejak dahulu lagi. Lantas
terbitlah cogan kata seperti "Bahasa Menunjukkan Bangsa" yang bermaksud
bahasa yang ditutur menunjukkan asal bangsanya itu sendiri. Namun congan kata ini
sekarang tidak lagi benar kerana terdapat individu yang dapat menguasai beberapa
bahasa asing.
Kebolehannya untuk menguasai beberapa bahasa menjadi suatu kelebihan yang
tidak begitu disedari ramai. Umumnya, pandangan seseorang yang dapat menguasai
bahasa lain lebih luas berbanding individu yang bertutur dalam satu bahasa sahaja.

Dengan penguasaan dalam beberapa bahasa, seseorang itu dapat mempelajari


ilmu dalam pelbagai bidang. Menyedari hakikat itu, pihak kerajaan senantiasa
menggalakkan pelajar di universiti khususnya mempelajari bahasa-bahasa asing.

Sesetengah pekerjaan seperti jurubahasa dan pemandu pelancong memerlukan


pengetahuan dalam banyak bahasa. Tanpa kelebihan seperti ini, adalah sukar untuk
menjalankan tugas mahupun bekerja dengan sempurna.

Seseorang yang dapat bertutur dalam beberapa bahasa asing berasa lebih yakin
untuk bertutur. Apabila menghadiri majlis yang terdiri daripada pelbagai bangsa,
sudah pasti dapat berinteraksi tanpa menghadapi masalah.

Jelaslah bahawa kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa ini amatlah penting,
terutamanya apabila menghadapi pelbagai cabaran pada zaman kemajuan ini demi
kepentingan diri, bangsa dan negara.

Anda mungkin juga menyukai