Anda di halaman 1dari 3

TUGASAN 1

TOPIK 1: PENULISAN AKADEMIK

Pengenalan

Pendidikan Moral merupakan satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan
yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral,
perasaan moral dan tingkah laku moral (Vishalache Balakrishnan, 2010). Oleh yang demikian,
Pendidikan Moral perlu ditegaskan dan diterapkan dalam setiap individu dalam konteks
masyarakat bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup di Malaysia.

Maksud Moral

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), moral bermaksud ajaran atau pegangan
tentang buruk baik sesuatu perbuatan. Menurut Procter (2003), moral merujuk kepada standard
sesuatu perlakuan baik atau buruk, keadilan, amanah dan sebagainya yang diyakini seseorang
berbanding undang-undang atau standard-standard yang lain. Oleh itu, boleh dikatakan moral
merujuk kepada konsep tingkah laku yang terlibat dengan tingkah laku betul atau salah yang
diterima dalam satu masyarakat. Justeru, moral adalah sesuatu yang dapat dilihat dan
mempunyai harga nilainya serta sesuatu yang dapat dirasai secara dalaman.

Jenis-Jenis Nilai dan Contoh

Secara umumnya, terdapat enam jenis nilai yang sering digunakan oleh individu dalam
pelbagai konteks iaitu nilai instrumental, nilai intrinsik, nilai subjektif, nilai objektif, nilai relatif dan
nilai mutlak.

a) Nilai instrumental dan Nilai Intrinsik

Nilai instrumental dan nilai instrinsik digunakan untuk menunjukan hubungan antara nilai.
Nilai instrumental bermaksud suatu kualiti yang diterima atau ditolak sebagai alat mencapai
sesuatu matlamat. Nilai ini akan bergantung kepada nilai lain untuk mencapai sesuatu matlamat
dan juga boleh dikategorikan sebagai nilai peringkat kedua. Dalam hal ini, matlamat sesuatu
perkara boleh dicapai dengan pembentukan nilai yang memerlukan nilai yang lain. Nilai
instrumental juga dijadikan satu kepiawaian kepada apa yang dilaksanakan, membantu dalam
menunjukkan arah dan menjadi penentu dalam membuat pilihan.

Contoh yang dapat dikaitkan dengan nilai instrumental ialah Dayang rajin membuat ulang
kaji supaya dia dapat memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

2
Nilai instrinsik pula adalah kualiti yang diterima atau ditolak semata-mata ia baik atau
buruk tanpa mengambil kira kesannya. Oleh itu, nilai ini tidak perlu bergantung kepada nilai yang
lain kerana nilai itu sendiri merupakan matlamat akhir.

Contohnya, Karen ialah seorang guru dan menjadi pengadil untuk pertandingan menyanyi.
Anak saudaranya merupakan salah satu peserta dalam pertandingan tersebut. Ibu kepada anak
saudaranya telah menyuruhnya memberi markah yang tinggi kepada anaknya atas hubungan
persaudaraannya. Namun, Karen tidak berbuat demikian kerana dia menilai setiap persembahan
dengan adil dan teliti tanpa dipengaruhi oleh permintaan tersebut.

b) Nilai Subjektif dan Nilai Subjektif

Justeru, nilai subjektif dan nilai objektif merupakan nilai yang digunakan untuk
menunjukkan pandangan seseorang terhadap nilai. Nilai subjektif adalah kualiti yang diterima
atau ditolak berdasarkan pendapat atau pandangan seseorang individu, pihak atau institusi.

Misalnya, pemansuhan penggunaaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan


Matematik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan untuk memartabatkan bahasa
Melayu kerana KPM berpendapat warganegara Malaysia kian lupa akan bahasa kebangsaan kita.
Namun, pada pendapat ibu bapa, penggunaan bahasa Inggeris merupakan satu kelebihan bagi
murid untuk menjadi individu yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, nilai objektif pula adalah kualiti baik atau buruk yang bebas dari pandangan
peribadi atau pihak tertentu dan ia diterima atau ditolak berdasarkan pengalaman dalaman yang
dialami atau berpunca dari aspek luar yang dipersetujui oleh kebanyakan orang.

Misalnya, isu pembuangan bayi merupakan satu kezaliman dan mesti dihapuskan. Tiada
seorang pun yang berhak memusnahkan nyawa makhluk hidup lain kerana nyawa adalah
sesuatu yang sangat berharga kepada semua. Isu ini harus dipandang berat oleh semua pihak
kerana setiap anak yang dilahirkan adalag tidak berdosa dan tidak sepatutnya menerima layanan
sedemikian. Pandangan berkenaan isu pembuangan bayi merupakan nilai-nilai yang diterima dan
dipersetujui kebanyakan orang.

c) Nilai Relatif dan Nilai Mutlak

Nilai relatif dan nilai mutlak merupakan nilai yang digunakan untuk menunjukkan apa yang
dinilai. Nilai relatif adalah nilai yang diterima atau ditolak oleh sesuatu masyarakat berdasarkan
kebudayaan, adat, agama, kepercayaan dan larangan masyarakat itu. Nilai yang sama mungkin
ditolak oleh masyarakat yang lain.

3
Sebagai contoh, di negara Malaysia, perkahwinan sama jantina adalah diharamkan dan
tidak sah di sisi undang-undang manakala di negara Perancis pula mengiktiraf perkahwinan sama
jantina.

Lantaran itu, nilai mutlak merupakan nilai yang bersifat sejagat atau universal di mana
nilai yang berharga itu tidak terikat kepada sesuatu kebiasaan bagi sesuatu masyarakat.

Contoh yang berkenaan dengan nilai mutlak ini adalah seperti budaya menghormati ibu
bapa dan orang yang lebih tua. Merekalah orang yang banyak berjasa kepada kita. Mereka
mencurahkan kasih sayang sejak kita di dalam kandungan lagi. Oleh itu, menghormati mereka
dengan sepenuh hati merupakan salah satu cara kita membalas jasa-jasa mereka. Menghormati
ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak dan ia juga dituntut oleh agama. Jadi, anak yang
tidak menghormati ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka dan dipandang keji oleh orang lain.

Penutup

Kesimpulannya, kita perlu memahami fungsi nilai iaitu satu piawai yang konsisten agar
kita dapat bertindak dengan baik, betul dan tingkah laku boleh diterima oleh masyarakat. Setiap
individu bertanggungjawab menjadi agen moral dengan mengenal pasti apa yang boleh dilakukan
dan menilai kemoralan diri sendiri dan orang lain. Pada masa yang sama, setiap individu harus
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian untuk memelihara keamanan dan
keharmonian negara kita.