Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN 1

Malaysia merupakan anggota Pertubuhan ASEAN sejak dari awal penubuhannya. Keanggotaan
Malaysia dalam pertubuhan ASEAN telah membawa banyak manfaat yang mendorong kepada kemajuan
negara.

Antaranya ialah manfaat dari segi ekonomi. Malaysia telah terlibat dengan pelbagai projek
perindustrian yang melibatkan kerjasama antara negara serantau. Antara projek perindustrian ialah Projek
Pendidikan dan Urea di Bintulu. Malaysia juga dapat, memanfaatkan pulangan ekonomi melalui kerjasama
perindustrian dengan negara Indonesia melalui Projek Perindustrian Baja Urea. Bukan itu sahaja, Malaysia
juga dapat meneroka sumber maritim untuk sektor perikanan, pelancongan, dan perlombongan. Penglibatan
Malaysia dalam ASEAN Free Trade Area (AFTA) telah menguntungkan sektor perdagangan dengan adanya
Skim Tarif Sama Rata (CEPT).

Malaysia juga memperoleh manfaat daripada aspek sosial dan kebudayaan. Melalui program Tahun
Melawat Malaysia, keunikan dan kecantikan alam semula jadi Malaysia terutamanya di negeri Sabah,
Terengganu, dan Sarawak telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu tarikan pelancong utama di ASEAN.
Malaysia juga mendapat manfaat apabila menganjurkan sukan SEA. Malaysia dapat menjalinkan hubungan
serantau melalui penganjuran sukan SEA dan seterusnya dapat mengekalkan nama baik negara dalam
kalangan negara anggota. Secara tidak langsung, sektor pelancongan ekonomi negara turut berkembang
dengan pesat.

Seterusnya ialah manfaat dari segi keselamatan. Malaysia bebas daripada ancaman senjata nuklear
melalui konsep Zon Bebas Senjata Nuklear ASEAN (SEANWFZ) kerana konsep ini menegaskan bahawa
negara luar seperti Rusia, Korea Utara, dan China tidak boleh memiliki, meletakkan dan menggunakan tapak
di Malaysia untuk tujuan pengujian bom nuklear. Keselamatan Malaysia juga terjamin melalui konsep Zon
Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) yang menekankan kepentingan keamanan dan keselamatan negara-
negara anggota. Melalui konsep ini, Malaysia sehingga kini dapat mengelakkan sebarang jenis bentuk
penjajahan oleh kuasa asing. Bukan itu sahaja, kedaulatan Malaysia juga dapat dipelihara kerana kuasa-
kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, dan China tidak boleh mencampur tangan dalam isu-isu di
Malaysia.

Aspek pendidikan juga mendatangkan banyak manfaat kepada Malaysia. Program-program seperti
RESCAM dan RELC telah meningkatkan mutu pendidikan di negara ini terutamanya dalam bidang Bahasa
Inggeris. Bukan itu sahaja, para penimba ilmu di Malaysia juga dapat mengembangkan potensi mereka dalam
mempelajari bahasa Brunei Darussalam dan Indonesia melalui penubuhan MABBIM. Program pertukaran
pelajar antara negara anggota ASEAN juga dapat giat dilaksanakan.

Secara konklusinya, keanggotan Malaysia dalam ASEAN telah memberi banyak manfaat kepada
Malaysia dan keanggotaan ini harus dikekalkan untuk kebaikan yang lebih banyak pada masa akan datang.
KARANGAN 2

Jenayah rentas benua atau jenayah transnasional semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Jenayah
rentas benua atau jenayah transnasional sering dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dan pelanunan di
kawasan maritim negara lain.

Kawalan pintu masuk yang kurang berkesan merupakan punca jenayah rentas benua berleluasa.
Negara Malaysia merupakan transit bagi aktiviti penyeludupan yang merupakan satu jenis jenayah rentas
benua. Antara penyeludupan yang sering dilakukan ialah penyeludupan barangan dan manusia. Sungai Golok
di Kelantan merupakan transit bagi semua aktiviti penyeludupan tersebut. Hal ini demikian kerana kawasan
tersebut tidak mempunyai kawalan yang ketat dan penyeludupan dapat dijalankan secara senang dan tanpa
dikacau. Hal ini bertambah buruk apabila pihak berkuasa melibatkan diri menjadi orang tengah dalam aktiviti
penyeludupan ini untuk mengaut keuntungan.

Permintaan terhadap sesuatu barangan ataupun tenaga kerja yang meningkat juga menyebabkan
jenayah rentas benua berleluasa. Hal ini kerana, Malaysia berada dalam keadaan sedang membangun.
Banyak kilang-kilang perindustrian telah didirikan dan bidang ini memerlukan tenaga kerja. Untuk menjimatkan
kos pengeluaran, majikan-majikan tersebut telah memilih untuk mengupah pendatang asing tanpa izin dengan
upah yang murah. Sindiket-sindiket penyeludupan telah mengambil kesempatan ini untuk menyeludupkan
lebih banyak pekerja asing untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak.

Seterusnya, kemajuan teknologi juga menyebabkan jenayah rentas benua semakin berleluasa. Semua
urusan-urusan sindiket-sindiket antarabangsa dapat dijalankan secara maya. Perkembangan teknologi
menyebabkan pengurusan yang dijalankan oleh sindiket-sindiket antarabangsa sukar dikesan. Kepakaran
teknologi yang terhad di Malaysia juga turut menyebabkan pihak polis tidak dapat mengesan sindiket-sindiket
tersebut. Operasi tangkapan penjenayah juga akan terbantut.

Tindakan yang wajar diambil untuk membanteras jenayah ini ialah bekerjasama dengan negara jiran.
Operasi penangkapan dapat dijalankan dengan lancar kerana berlakunya pertukaran maklumat risikan antara
negara. Hal ini demikian kerana keupayaan ataupun teknologi Malaysia yang terhad dan ini mampu
menyenangkan pihak kerajaan Malaysia dalam operasi penangkapan penjenayah. Latihan bersama juga boleh
diadakan dengan negara jiran dalam kerjasama ini untuk menghadapi sebarang pencerobohan oleh lanun.

Selain itu, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang juga dapat membanteras jenayah rentas
benua. Undang-undang harus diperketatkan untuk menghalang penjenayah tersebut mempunyai peluang
untuk melakukan jenayah ini lagi. Hukuman yang berat harus diberikan kepada penjenayah yang ditangkap
untuk memberikan satu amaran kepada orang lain. Akta-akta dan kawalan yang ketat harus dilaksana supaya
tidak memberi peluang kepada sindiket-sindiket melakukannya lagi.

Kesimpulannya, semua pihak harus bertanggungjawab dalam kegiatan membanteras jenayah ini
supaya keharmonian dan kedaulatan negara Malaysia dapat dikekalkan.
KARANGAN 3
Malaysia merupakan negara membangun dan pihak kerajaan berusaha untuk membangunkan
Malaysia supaya Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Sebenarnya, Malaysia mendapat banyak
manfaat dalam bidang ekonomi.
Antara manfaat utama yang dinikmati oleh Malaysia dalam bidang ekonomi ialah memajukan
pendidikan. Malaysia menggunakan peralatan multi media seperti komputer untuk menjalankan aktiviti
pembelajaran supaya kualiti pendidikan dapat ditingkatkan. Malaysia juga menghantar guru ke luar negara
untuk belajar supaya menjadikan guru profesional untuk membantu pembangunan negara. Guru profesional
juga digaji oleh Malaysia untuk mengajar pelajar supaya pelajar mendapat keputusan yang baik dalam
peperiksaan.
Seterusnya, manfaat dalam bidang ekonomi yang dinikmati oleh Malaysia adalah memajukan sektor
pelancongan. Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara luar untuk menarik pelancong asing
datang ke Malaysia untuk membuat perbelanjaan. Kedatangan pelancong asing dapat meningkatkan
pendapatan negara kerana pelancong asing membuat perbelanjaan atas penginapan di hotel, makanan dan
minuman di restoran, dan barangan buatan Malaysia. Hal ini dapat meningkatkan kadar pertukaran mata wang
Malaysia dan dapat meningkatkan pendapatan negara.
Manfaat lain yang dinikmati oleh Malaysia dalam bidang ekonomi adalah penggunaan teknologi yang
canggih dalam sektor-sektor ekonomi. Untuk meningkatkan teknologi negara, Malaysia telah mengamalkan
dasar berbaik-baik dengan negara luar. Kualiti barang dan perkhidmatan merosot disebabkan oleh teknologi
yang rendah dan tradisional. Contohnya, Malaysia telah menggunakan teknologi yang canggih dari negara lain
seperti mengimport mesin dari negara Jepun untuk kegunaan dalam sektor pembinaan supaya dapat
menghasilkan barang yang berkualiti dan dapat meningkatkan daya saing dengan negara lain.
Selain itu, manfaat yang dinikmati oleh Malaysia dalam bidang ekonomi juga termasuklah menambah
bilangan sumber tenaga pakar. Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara luar untuk
melahirkan modal insan dalam sektor pembinaan dan sektor perkhidmatan. Malaysia menghantar pekerja ke
luar negara untuk menghadiri kursus supaya menjadi modal insan untuk pembangunan negara. Malaysia juga
mengaji sumber tenaga pakar dari negara asing untuk mengajar pekerja tentang kemahiran menghasilkan
barang dan perkhidmatan supaya sektor ekonomi dapat berkembang dengan baik dan kadar pengangguran
dapat dikurangkan.
Tambahan pula, manfaat yang dinikmati oleh Malaysia dalam bidang ekonomi adalah dapat menarik
minat pelabur asing untuk melabur. Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara luar dan juga
bekerjasama dengan negara luar dalam pelbagai bidang bertujuan untuk menarik minat pelabur asing datang
Malaysia untuk melabur supaya Malaysia dapat meningkatkan pendapatan negara dan pelabur asing
mendapatkan pulangan modal yang lumayan. Kemasukan pelabur asing dapat mengembangkan ekonomi
negara ke luar negara dan juga dapat meningkatkan imej negara.
Kesimpulannya, Malaysia telah mendapat banyak manfaat dalam bidang ekonomi melalui amalan
dasar berbaik-baik dengan negara luar. Malaysia akan maju menjadi negara berpendapatan tinggi sekiranya
Malaysia menghargai manfaat dalam bidang ekonomi.

Anda mungkin juga menyukai