Anda di halaman 1dari 2

RETINOPATI DIABETES

Bayangkan, pada suatu hari, anda membuka telefon anda, ingin membaca mesej dari
anak tercinta. Kelihatan kabur-kabur tulisan pada skrin itu. Anda mengerdipkan mata
beberapa kali. Tiada perubahan. Anda pun pergi melihat wajah di cermin, mungkin ada apa-
apa pada mata yang menyebabkan ia kabur. Apabila melihat cermin, anda tidak dapat melihat
wajah anda sendiri dengan jelas. Apakah yang bermain di fikiran anda pada waktu itu?
Jika kita melihat kepada situasi sekarang, Malaysia merupakan antara negara yang
memiliki jumlah tertinggi penghidap kencing manis atau diabetes mellitus di dunia. Tahukah
anda, penyakit kencing manis dapat menyebabkan anda hilang penglihatan? Ia disebabkan
oleh komplikasi diabetes mellitus pada mata, yang juga disebut retinopati diabetes.
Apakah itu retinopati diabetes? Ia adalah kerosakan mata, terutama retina, yang
berlaku kepada penghidap kencing manis. Biasanya, pesakit tidak akan mengalami apa-apa
perubahan signifikan pada penglihatan, melainkan setelah penyakit sampai ke peringkat yang
teruk dan sukar dirawat.
Antara risiko utama ialah tempoh seseorang pesakit menghidap diabetes mellitus,
kawalan gula dalam darah serta komplikasi yang telah dihidapi berkaitan diabetes mellitus
seperti kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Ini bermakna, pesakit yang lebih lama
menghidap diabetes mellitus, ataupun pesakit yang tidak mengawal gula dalam darah ataupun
pesakit yang telah memperoleh komplikasi-komplikasi kencing manis mempunyai risiko lebih
tinggi untuk memperoleh diabetek retinopati sehingga hilang penglihatan.
Apa yang berlaku kepada mata dalam penyakit retinopati diabetes ini? Ayuh kita
telusuri proses penyakit tersebut. Ia bermula apabila kandungan gula yang berlebihan dalam
darah ditukar menjadi sorbitol. Sorbitol tersebut menyebabkan kelemahan sel-sel pada
dinding salur darah di retina. Ia menyebabkan pembentukan mikroaneurysm atau gelembung
kecil pada dinding salur darah yang sudah lemah, menyebabkan ia mudah pecah dan
pendarahan berlaku pada retina. Selain itu, kelemahan dinding salur darah itu juga
menyebabkan kandungan air dan protein dalam darah lebih mudah keluar daripada salur darah
ke atas retina. Ia akan menyebabkan bengkak pada bahagian sensitif retina (macular edema)
dan setelah bengkak itu surut, sisa-sisa akan tertinggal di atas retina, menyebabkan terhasilnya
hard exudates yang hanya boleh dilihat menggunakan ophthalmoscope mahupun kamera
fundus.
Selain itu, apabila terdapat masalah pada sel-sel darah merah seperti bentuk kurang
fleksibel disebabkan kandungan gula yang tinggi, ia akan menyebabkan salur darah di retina
mudah tersumbat lalu membawa kepada kematian sel-sel retina disebabkan kekurangan
oksigen. Sel-sel retina yang kekurangan oksigen akan menghasilkan molekul-molekul VEGF
(Vascular Endothelial Growth Factor) yang akan cuba meningkatkan pembentukan salur
darah baru (neovascularisation) untuk menyalurkan lebih oksigen. Namun, salur-salur darah
baru yang terbentuk ini akan menyebabkan lebih banyak komplikasi disebabkan sifatnya yang
halus dan mudah pecah. Pertumbuhan salur-salur darah yang baru ini juga menyebabkan
retina dan vitreous humour melekat antara satu sama lain, lalu meningkatkan risiko koyakan
pada retina (retinal tear) dan menyebabkan retina tercabut (retinal detachment). Salur darah
juga boleh terbentuk pada iris yang seterusnya akan menyebabkan saluran pengaliran cecair
dalam mata tersumbat, seterusnya membawa kepada penyakit glaukoma yang akan
menyebabkan penghidap memperoleh sakit mata dan kepala yang amat menyeksakan.
Kebanyakan pesakit diabetes akan merasakan mata mereka masih berada dalam
keadaan baik kerana penyakit ini berjalan secara senyap. Pesakit mungkin sahaja mengalami
simptom-simptom retina tercabut seperti ternampak bentuk-bentuk sesuatu terapung (floaters)
dan melihat kilauan cahaya (flashers), namun tidak mengambil endah perkara tersebut.
Akhirnya, pesakit secara tiba-tiba hilang penglihatan, berkemungkinan daripada pendarahan
yang teruk dalam mata atau koyakan pada retina. Sekiranya dibiarkan berlarutan, sel-sel retina
mati dan penglihatan tidak akan mampu kembali kepada asal lagi.
Rawatan yang ada untuk penyakit retinopati diabetes ini antaranya ialah rawatan laser
untuk menhancurkan sel-sel retina yang kekurangan oksigen, untuk mengelakkan penghasilan
VEGF yang akan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Rawatan ini hanyalah bersifat
kawalan dan pencegahan untuk mengelakkan penyakit menjadi bertambah teruk, namun ia
tidak akan mampu menyembuhkan, kerana penyakit ini tiada ubatnya.
Maka, apakah yang perlu kita lakukan? Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang
menghidap diabetes mellitus, pastikan mereka menjalani pemeriksaan mata sekurang-
kurangnya sekali setiap tahun. Jika anda penghidap kencing manis, jangan remehkan sebarang
simptom pada penglihatan anda. Berjumpalah dengan doktor anda untuk rawatan, dan
pastikan anda mematuhi arahan doktor dan kawal kadar gula dalam darah anda. Kaki jika
membusuk, masih boleh dipotong dan diganti dengan kaki palsu. Buah pinggang jika rosak,
mungkin anda sanggup menjalani hemodialisis setiap minggu. Namun, jika mata anda rosak,
biar jutaan ringgit pun anda bayar untuk mendapatkan mata palsu, penglihatan anda tidak
akan kembali lagi.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh baca:

Artikel daripada pihak berautoriti


Malaysian Society of Ophthalmology: http://mso.org.my/index.cfm?&menuid=60
Kementerian Kesihatan Malaysia:
http://www.infosihat.gov.my/infosihat/media/Risalah/D/pdf/10_Ris_DiabetesRetinopatiBM.p
df

Berita berkaitan
https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian/20160924/282815010722916
http://www.sinarharian.com.my/nasional/pesakit-kencing-manis-berdepan-risiko-buta-
1.438659
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=
ps_01.htm

Anda mungkin juga menyukai