Anda di halaman 1dari 1

Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.

Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu
tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan
kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu
banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat
pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam
kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan sahaja
seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang
seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan
seseorang untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang baik itu di samping menjauhi obesiti dan penyakit kronik.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari
bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk
mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik. Ekorannya, senaman turut menjadikan
sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Sebagai impaknya, semakin kerap senaman dilakukan, semakin
tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain Dalam konteks ini, sikap ini didapati
lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka bagaikan kera sumbang. Sikap suka berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama
dengan mereka menjadikan keperluan psikologi manusia yang dapat dipenuhi dengan efektif.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang
sihat ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk
menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu sentiasa
berfikiran terbuka dan membina. Sehubungan dengan itu individu itu mampu menyelesaikan pelbagai
kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh
dengan cabaran terutama tekanan di pejabat atau di sekolah memerlukan satu persepsi positif daripada
ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat
yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan
tadi. Cuma sikap masyarakat masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah. Kita semua
perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah terhantuk baru
tengadah, iaitu setelah berpenyakit kronik baru kita menyesal.