Anda di halaman 1dari 18

1

1.0 PENGENALAN

Pensejarahan atau disebut dengan nama historiografi merujuk kepada hasil-hasil kajian
dan penulisan oleh sejarawan. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, pensejarahan
membawa maksud karya atau penulisan berkaitan dengan sejarah. Sumber sejarah
adalah dokumen atau rekod sama ada dalam bentuk bertulis mahupun bercetak.
Manakala Oxford English Dictionary pula telah manyatakan sumber atau source
brmaksud sebuah karya yang memberi maklumat atau bukti (yang tulen atau asli)
berkenaan sesuatu fakta, kejadian atau siri hal-hal tersebut. Manakala, menurut Mohd
Yusof Ibrahim sumber sejarah boleh dimaksudkan sebagai kumpulan bahan rujukan
untuk kegunaan penyelidikan dalam semua bidang ilmu. Catatan atau tulisan yang
dihasilkan menjadi rujukan penting bagi generasi yang seterusnya untuk mengetahui
peritiwa lampau dan juga sebagai saksi utama kepada sesuatu peristiwa yang telah
berlaku.

Permulaan pensejarahan bermula apabila wujudnya sistem tulisan.


Perkembangan pensejarahan Malaysia pada peringkat awal tidaklah begitu
menggalakkan. Hal ini demikian kerana, pada zaman tersebut masyarakat di Malaysia
tidak sedar akan kepentingan sejarah dan mereka juga tidak mempunyai ilmu yang
berkaitan sejarah. Tambahan pula, masyarakat pada zaman tersebut juga
kebanyakkannya buta huruf. Pensejarahan Malaysia berkembang dalam dua tahap
perkembangan, iaitu pensejarahan zaman feudalisme, iaitu tradisi melayu lama dan
pensejarahan moden, iaitu penulisan sejarah yang dicatat oleh sejarawan British yang
bersifat Euro-Centric. Kajian terhadap naskah melayu sering dilihat dari sudut sastera
lantaran sifat naskah itu sendiri yang kaya dengan ciri-ciri kesusasteraannya. Dari sudut
intepretasi atau pengistilahan sastera, terdapat berbagai-bagai genre kesusasteraan
Melayu tradisional.

Kita memfokuskan kepada genre sejarah atau juga dikenali sebagai sastera
sejarah. Genre inilah yang amat berkaitan dengan apa yang dikatakan sebagai
pensejarahan Melayu tradisional yang tentunya merujuk kepada naskah-naskah
Melayu yang berunsurkan sejarah itu sendiri. Menurut Muhd Yusof Ibrahim,
pensejarahan boleh ditakrifkan sebagai hasil karya atau penulisan yang ditulis oleh ahli
2

sejarah atau sejarawan.1 Sejarawan akan mengkaji dan menyelidik tentang zaman,
masyarakat, peristiwa yang telah berlaku dan akan menghasilkan penulisan
pensejarahannya. Sejarawan akan melakukan kajian dalam bidang atau mengikut
kepakaran masing-masing seperti bidang politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial.

2.0 CIRI-CIRI PENULISAN SEJARAH

2.1 Mempunyai Hujah

Pandangan dan pendekatan rasional yang pelbagai terhadap sesuatu peristiwa atau
seseorang tokoh. Hakikat ini bermakna sejarawan perlu banyak mengemukakan soalan,
memberikan pelbagai sudut pandangan semasa mentafsir dan menghubungkan suatu
peristiwa atau idea seseorang tokoh dengan yang lain. Pendekatan ini bersesuaian
dengan sifat sejarah yang merupakan satu disiplin ilmu yang mempunyai pelbagai
pendekatan dan penggunaan bagi memenuhi tujuan yang berbeza (Ibn Khaldun, 1993).2

2.2 Mementingkan Ketelitian

Bermakna sejarawan lebih tertumpu dan cenderung kepada perkara yang konkrit dan
tertentu (particular and concrete) berbanding perkara yang luas dan umum (global and
general).3 Langkah mementingkan ketelitian bertujuan menerangkan secara rasional dan
adil akan tindakan seseorang tokoh atau sesuatu kejadian yang berlaku pada masa dan
lokasi tertentu.

1 Muhd. Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1994, hlm, 1.

2 Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 63.
3
Muhamamad Yusof bin Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997, hlm. 168.
3

2.3 Prihatin Akan Konsep Masa.

Berbanding bidang lain, sejarawan menggunakan pendekatan yang berbeza iaitu


mementingkan konsep masa dalam kehidupan manusia. Poster (1973) 4 menggariskan
lima konsep masa dalam masyarakat iaitu konsep masa daripada perspektif sosiobudaya,
konsep masa secara literal, konsep masa menurut pemahaman peribadi individu, konsep
masa secara fizikal dan konsep masa dalam konteks sejarah.

2.4 Menekankan Unsur Sebab-Musabab

Perkaitan serta kesinambungan akan sesuatu peristiwa atau kejadian. Setiap kejadian
yang berlaku dilihat oleh sejarawan mempunyai sebab dan akibat, saling berhubung kait
dan berkesinambungan antara satu sarna lain (Ibn Khaldun, 1993).5 Sejarawan tidak
membataskan atau menyekat diri mereka dengan konteks masa lalu yang ternyata
berbeza dengan masa ini. Sebaliknya, mereka melihat masa ini adalah akibat daripada
masa lalu dan sebagai persediaan untuk masa akan datang.

3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MELAYU

3.1 Tiada Perbezaan Hikayat Dan Sejarah

Ciri pertama pensejarahan Melayu seperti yang disebut diatas adalah berkaitan dengan
penggunaan istilah hikayat bagi teks-teks klasik sejarah Melayu. Isu penggunaan
isitilah ini perlu diperjelaskan bagi menjawab kritikan para pengkaji Barat yang
menyatakan bahawa teks-teks klasik sejarah Melayu hilang nilai sejarahnya dengan
sebab pengarangnya memilih untuk menggunakan isitilah ini. 6 Bahkan para pengkaji
Barat ini juga berpandangan bahawa teks yang sedia diberikan nama sejarah seperti
teks Sejarah Melayu juga perlu diubah kepada Hikayat Melayu kerana teks ini
4 Yusoff Iskandar, Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 584.
5
Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 63.
6
Muhamamad Yusof bin Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997, hlm. 172.
4

dianggap oleh mereka sebagai bukan teks sejarah dalam erti kata sebenar. Dalam
keadaan yang lebih melampau penggunaan perkataan sejarah itu sendiri mendapat
kritikan daripada pengkaji Barat.

3.2 Mitos Dan Legenda

Sepertimana teks-teks klasik sejarah bangsa Melayu yang lain mitos dan legenda juga
menjadi antara isu kandungan dalam teks Sejarah Melayu. Kewujudan unsur-unsur ini
bagaimanapun menurut De Jong (1964: 237)7 dalam rupa bentuk yang realistic dan
bersesuaian dengan persekitaran keseluruhan pensejarahannya; There is no lack of
fairy-tale happenings in the Sejarah Melayu, yet the whole atmosphere is realistic, even
matter-of-fact. Menurut Yusoff Iskandar (1986: 142-143),8 mitos dalam teks Sejarah
Melayu dapat dibahagikan kepada empat bahagian. Pertama, mitos berkaitan susur galur
raja-raja yang memerintah Melaka serta beberapa kerajaan lain seperti Champa dan
Pasai. Kedua, berkaitan denga nasal-usul nama tempat dan kerajaan serta kesuciaan
tempat-tempat tertentu. Ketiga, mitos berkaitan cara raja dan seluruh kerajaan memeluk
islam. Bahagian yang terakhir pula adalah, mitos yang terkenal dalam kalangan
masyarakat berkaitan perkara-perkara aneh yang berlaku kepada seseorang individu
terkenal atau gagah dalam masyarakat seperti kisah Badang yang menjadi kuat setelah
memakan muntah jin atau hantu.9

3.3 Asal Usul Keturunan Raja-Raja

Teks Sejarah Melayu menghubungkan susur galur keturunan raja-raja Melaka dengan
Iskandar Zulkarnain. Susur galur keturunan Iskandar Zulkarnain bersambung kepada
Raja Culan, Raja Culan dan anak-anaknya yang muncul di Bukit Siguntang Mahameru.

7 Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 66.
8
Ibid., hlm. 67.
9
Muhamamad Yusof bin Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997,hlm. 173.
5

Dari sinilah berasalnya keturunan raja-raja yang memerintah Melaka (Winstedt,


1938:44-53)10. Bagaimanapun susur galur keturunan ini bercampur aduk dengan unsur
mitos dan legenda. Kewujudan unsur mitos dan legenda menyebabkan kesukaran kepada
kebanyakan ahli sejarah untuk menentukan dengan tepat susur galur keturunan raja
Melaka. Agak berbeza dengan teks klasik sejarah bangsa Melayu yang lain, teks Sejarah
Melayu memasukkan susur galur raja-raja yang memerintah Melaka dengan tujuan
mengagung-agungkan mereka. Ciri ini lebih kepada menceritakan susur galur
bagaimanas sesuatu kerajaan itu terbentuk melalui daripada keturunan raja-raja dan tentu
sekali tentang asal-usul keturunan raja itu sendiri.

3.4 Nilai Pendidikan Atau Didaktik

Tema pendidikan juga adalah ciri utama yang terkandung di dalam teks Hikayat Raja
Pasai. Tema ini dipersembahkan kepada pembaca untuk dijadikan sebagai pencetus
kepada kesedaran pembelajaran sepanjang hayat. Pendekatan didaktik ini menjadikan
teks ini penting bukan sahaja sebagai sumber sejarah bahkan juga sebagai teks
pendidikan kepada raja dan rakyat.11 Terdapat banyak kisah dan peristiwa yang boleh
dijadikan sebagai bahan pendidikan yang terkandung di dalam teks ini. Oleh itu, ini
merupakan ciri pensejarahan Melayu yang ada pada ketika itu iaitu menerapkan nilai
pendidikan dan didaktik dalam penulisan pensejarahan Melayu.

3.5 Ketepatan Tarikh Dan Kronologi Peristiwa

Umumnya teks-teks klasik sejarah Melayu tidak menjadikan ketepatan tarikh dan
susunan peristiwa mengikut kronologi sebagai keutamaan. Hal ini tidak terkecuali bagi
teks Hikayat Raja Pasai.12 Hampir keseluruhan peristiwa yang direkodkan di dalam teks
ini tidak dibenarkan tarikh yang tepat serta tidak disusun mengikut kronologi masa yang
10 Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 69.
11
Muhamamad Yusof bin Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997, hlm. 168.
12
Yusoff Iskandar, Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 590.
6

tersusun dan sistematik. Konsep masa yang digunakan lebih kepada isitlah yang
subjektif seperti selang beberapa lamanya, maka pada sesaat itu juga datanglah
seekor gajah terlalu amat besar, (Jones, 1999: 4-7). 13 Ini terbukti bahawa penulisan
pensejarahan Melayu pada ketika itu lebih selesa menggunakan konsep masa yang
berbeza berbanding dengan penulisan sejarah Moden. Konsep masa ini sebenarnya
mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan berkaitan dengan konsep masa kitaran
atau berulang (cyclical concept of time) yang berbeza dengan konsep masa menegak
(vertical concept of time) yang biasanya digunakan dalam penulisan sejarah moden.

3.6 Gaya Penulisan Teks

Membaca keseluruhan teks Sejarah Melayu akan membuatkan seseorang pembaca


merasakan seperti membaca sebuah karya sastera berkaitan sejarah yang penuh dengan
daya imaginasi dan gaya bahasa yang indah. Tidak seperti karya sejarah yang biasa yang
hanya memaparkan fakta dan peristiwa mengikut kronologi tanpa campur tangan daya
imaginasi dan gaya bahasa indah pengarangnya.14 Hal ini berkemungkinan disebabkan
ole latar belakang pengarang teks itu sendiri di mana pengarang bukan sahaja merasakan
penting memaparkan fakta dan peristiwa bahkan juga bagaimana fakta dan peristiwa itu
dipersembahkan kepada khalayak pembaca. Dalam konteks pengarangan Sejarah
Melayu, pengarang menerima titah daripada seorang raja untuk mengarang dan titah ini
bukanlah sebarangan perintah yang boleh diambil ringan bagkan dia perlu
mempergunakan segala ilmu dan kemahiran yang ada untuk melaksanakannya. Oleh itu
ini merupakan juga antara ciri yang ada dalam pensejarahan Melayu tradisonal.

3.7 Kedatangan Islam, Pemelukan Raja Dan Rakyat

13
Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 79.
14
Yusoff Iskandar, Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 594.
7

Ciri ini dapat dilihat dalam penulisan teks Hikayat Raja Pasai di mana ada ditunjukkan
kisah kedatangan Islam dan pemelukan raja dan rakyat Pasai. Jika dilihat daripada
kenyataan pengarangnya peristiwa kedatangan Islam ini dianggap sebagai kemuncak
dalam perkembangan tamadun Melayu-Islam di Samudera-Pasai.15 Oleh itu dapat
dikatakan bahawa kedatangan Islam dan Pemelukan raja dan rakyat Samudera-Pasai
adalah tema utama teks ini. Dalam pada itu kita dapat lihat bagaimana ciri ini turut ada
dalam penulisan pensejarahan Melayu.

3.8 Unsur Wasiat Dan Waad

Wasiat ini dianggap oleh sebahagian pengkaji sebagai asas utama penulisan teks Hikayat
Raja Pasai. Ia mengandungi nasihat-nasihat yang penting bagi menentukan nasib masa
hadapan Pasai seperti tugas seorang raja mendapat nasihat dan pandangan daripada para
menteri, rakyat agar mentaati raja dan raja mengikut dan mentaati ajaran agama Islam
(Ali Ahmad, 1986: 267).16 Jika wasiat ini dilanggari maka kesan dan padahnya amatlah
besar kepada kerajaan Pasai dan seluruh rakyatnya. Manakala Waad atau perjanjian pula
menurut Ali Haji Ahmad (1986: 269-270)17 adalah elemen yang amat penting kepada
teks Sejarah Melayu berbanding peranan wasiat dalam teks Hikayat Raja Pasai. Hal ini
adalah disebabkan kemakmuran atau keruntuhan sesebuah kerajaan itu adalah
bergantung sepenuhnya kepada kedua-dua pihak iaitu pihak raja dan rakyat yang
bertanggungjawab dalam perjanjian. Oleh itu, unsur wasiat dan waad ini turut ada
dsertakan dalam penulisan pensejarahan Melayu.

3.9 Penubuhan Kerajaan

15 Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm. 82.
16
Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm, 88.
17
Ibid., hlm, 90.
8

Antara ciri pensejarahan Melayu lain yang wujud dalam penulisan teks Hikayat Raja
Pasai ialah penceritaan tentang bagaimana sesebuah kerajaan ditubuhkan. Peristiwa
terasasnya kerajaan Samudera dimulakan dengan kisah Merah Silau yang keluar berburu
pada sesuatu hari. Sampai pada suatu tempat anjingnya bernama Pasai berhenti dan
menyalak pada sebuah bukit. Di atas bukit tersebut didapati oleh Merah Silau seekor
semut sebesar kucing. Ditangkapnya semut besar tersebut dan dimakannya. Tempat
tersebut akhirnya dijadikan kawasan petempatan dan akhirnya menjadi kota negeri
dinamakan sebagai Samudera yang membawa maksud semut besar (Jones: 13-14) 18.
Di sini kita dapat lihat bagaimana ciri pensejarahan itu juga adalah berkaitan dengan
penubuhan kerajaan. Dalam penceritaan yang telah diketengahkan tadi iaitu berkaitan
dengan kisah Merah Silau didapati terdapat cerita tentang bagaimana sesebuah kerajaan
itu ditubuhkan.

3.10 Gambaran Tempoh Masa Pengarangan Atau Penyalinan

Gambaran tempoh masa pengarangan atau penyalinan ini lebih kepada menampakkan
kepada tempoh masa sesuatu sejarah ataupun peristiwa yang telah berlaku. Contohnya
kita lihat kepada keseluruhan teks Hikayat Raja Pasai yang telah dikarang antara tahun
1350 hingga 1536 Masihi.19 Tempoh masa yang begitu panjang diberikan ini adalah
berasaskan kepada beberapa faktor. Contoh faktornya, ia hanya berlaku selepas 1350
Masihi kerana itulah tarikh di mana Pasai ditakluki Majapahit dan tidak mungkin teks
tersebut ditulis ketika zaman kegemilangan Pasai khususnya kisah yang mengaitkan
keburukan sikap dan perbuatan Sultan Ahmad dan kisah kemenangan Majapahit
terhadap Pasai. Dalam pada itu kita dapat lihat bahawa gambaran tempoh masa
pengarangan atau penyalinan juga adalah merupakan ciri yang terdapat dalam ciri
pensejarahan Melayu tradisional.

4.0 PANDANGAN TOKOH BARAT

18 Hussain Othman, Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor: UTHM, 2011, hlm, 93.
19
Ibid., hlm, 97.
9

Kedudukan manuskrip-manuskrip Melayu sememangnya banyak menerima kritikan


daripada tokoh, khususnya daripada tokoh-tokoh Barat. Namun begitu, tidak pula
bermakna tokoh tempatan tiada yang mengkritik manuskrip Melayu. Perkembangan dan
peredaran zaman yang semakin mencapai kemodenan memperlihatkan kedudukan
manuskrip-manuskrip Melayu ini dikatakan tidak relevan pada masa ini. Hal ini
dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang mana salah satunya adalah disebabkan oleh ciri
penulisan manuskrip Melayu yang tidak mengikuti ciri-ciri penulisan sejarah moden
yang telah digariskan oleh R. G. Collingwood. Perkara ini merupakan salah satu faktor
utama yang menjadi senjata tokoh Barat dalam menyerang kedudukan manuskrip
Melayu di zaman moden ini. Oleh itu, di bahagian ini, beberapa pandangan tokoh akan
dimuatkan bagi memperlihatkan tentang pandangan mereka tentang manuskrip Melayu
sekali gus memperlihatkan kerelevanannya kini.

4.1 J. C. Bottoms

J. C. Bottoms merupakan salah seorang tokoh Barat yang turut mengkritik manuskrip-
manuskrip Melayu. Beliau lantang menyatakan bahawa manuskrip Melayu adalah lebih
kepada sebuah hiburan kepada rakyat jelata pada zaman dahulu. Hal ini dinyatakan oleh
beliau:

However, before we can know what Malay historical works can mean to
us, we must first know what they meant to the Malays. History of the
Malays has not until recently been either a science or an art, but an
entertainment. Accuracy, completeness, organized exposition were not the
vital principles. What best pleased were legend, fantasy, and a pleasant
hotch-potch of Court and port gossip. and this means history as the
Malays has always seen it a mixture of truth and legend, fantasy and
fact, entertainment and instruction. This fairly describes for instance the
Sejarah Melayu20

Berdasarkan pernyataan yang dikeluarkan oleh beliau, dapat dilihat bahawa


Bottoms menolak manuskrip-manuskrip Melayu sebagai sumber sejarah. Hal ini
demikian kerana, manuskrip-manuskrip Melayu banyak dipenuhi dengan cerita-cerita

20 Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan, Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1991, hlm, 12.
10

mitos dan lagenda. Oleh hal yang demikian, beliau menanggapi bahawa jika kepentingan
manuskrip Melayu dilihat berdasarkan sudut pandang masyarakat Melayu itu sendiri,
maka ianya hanyalah sebagai sebuah hiburan kepda rakyat. Hal ini ditambah lagi jika
dilihat kepada jenis-jenis manuskrip Melayu yang lain yang mana kebanyakannya
dihasilkan di dalam bentuk puisi. Oleh itu, hal ini makin mengukuhkan lagi kritikan
beliau terhadap manuskrip Melayu.

4.2 R. O. Winstedt

Selain daripada J. C. Bottoms, R. O. Winstedt juga merupakan salah seorang tokoh yang
telah mengkritik manuskrip-manuskrip Melayu. Kebanyakan daripada kritikan yang
dilontarkan oleh beliau terhadap manuskrip Melayu adalah tentang unsur mitos yang
digunakan oleh penulis di dalam manuskrip Melayu. Salah satu karya yang telah dikritik
oleh beliau ialah Hikayat Merong Mahawangsa. Menurut Winstedt, Hikayat Merong
Mahawangsa adalah sejarah yang palsu dan merupakan satu kumpulan cerita-cerita
rakyat. Pernyataan yang dilontarkan oleh Winstedt disokong pula oleh C. Hookays
yang mana menurut Hookays, Hikayat Merong Mahawangsa ini adalah satu kumpulan
cerita-cerita aneh.21 Oleh hal yang demikian, dapat dilihat bahawa Winstedt yang turut
disokong oleh Hookays telah menolak kerelevanan Hikayat Merong Mahawangsa sekali
gus menolaknya sebagai sebuah sumber sejarah.

Winstedt tidak hanya melontarkan kritikan ke atas karya Hikayat Merong


Mahawangsa, namun beliau turut lantang mengkritik karya Sejarah Melayu. Sejarah
Melayu merupakan sebuah sumber yang amat penting dalam mengkaji sejarah Melayu
dahulu, khususnya Kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu, kritikan Winstedt terhadap
Sejarah Melayu akan mempengaruhi penceritaan sejarah awal Melayu dan Kesultanan
Melayu Melaka. Menurut Winstedt, Sejarah Melayu adalah sebuah karya sastera dan
bukanlah sejarah. Hal ini demikian kerana, karya Sejarah Melayu mengandungi banyak
cerita mitos dan lagenda yang menyimpang dari ciri-ciri sejarah.22

21 Muhd. Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1994, hlm, 5.
22 Haron Daud, Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 1.
11

Kenyataan yang dikeluarkan Winstedt disokong pula oleh Umar Junus yang turut
lantang menyuarakan kritikan bahawa Sejarah Melayu bukanlah karya Sejarah. Beliau
tidak menafikan bahawa sememangnya terdapat unsur sejarah di dalam karya ini, namun
sebahagian besarnya pula dipenuhi oleh unsur-unsur fiksyen dan khayalan. Apabila
unsur-unsur itu terdapat di dalam sesebuah karya, maka ia bukanlah sebuah karya
sejarah.23 Oleh hal yang demikian, dapat dilihat bahawa Winstedt telah menolak
kedudukan manuskrip Melayu sebagai sebuah karya sejarah dan ianya tidak relevan kini.

4.3 Zainal Abidin Bin Abdul Wahid

Kedua-dua tokoh Barat di atas merupakan pengkritik ke atas manuskrip Melayu yang
mana kedua-duanya menggunakan unsur mitos dalam manuskrip Melayu sebagai senjata
bagi menafikan kerelevanannya pada masa ini. Oleh itu, Zainal Abidin Bin Abdul Wahid
adalah salah seorang tokoh tempatan yang berusaha keras dalam mempertahankan
kedudukan manuskrip Melayu sebagai sebuah karya sejarah. Zainal Abidin di dalam
tulisannya telah menolak pandangan yang pernah dikemukakan oleh Bottoms. Bottoms
ada menyebut what best pleased were legend, fantasy dan kenyataan tersebut
berjaya menarik perhatian Zainal Abidin untuk tampil memberikan hujah beliau.

Berdasarkan kritikan yang dikemukakan oleh Bottoms, Zainal Abidin


menyatakan bahawa Bottoms sebenarnya tidak memahami tentang kebudayaan Melayu,
khususnya pada zaman dahulu. Menurut Zainal Abidin, ketidakfahaman Bottoms
terhadap kebudayaan Melayu telah menyebabkan Bottoms mengeluarkan kenyataan
sedemikian. Pada zaman dahulu, khususnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka,
rakyat ketika itu berpegang teguh kepada konsep daulat dan derhaka yang menuntut
kesetiaan rakyat kepada raja atau sultan. Oleh hal yang demikian, rakyat tidak akan
mengecam Sultan secara terbuka kerana tidak mahu digelar sebagai penderhaka. Oleh
itu, unsur mitos dan lagenda yang dimasukkan di dalam manuskrip-manuskrip Melayu
adalah salah satu cara yang digunakan oleh penulis bagi mengemukakan kecaman atau

23
Ibid., hlm. 2.
12

kritikan ke atas pemerintah.24 Hal ini sama seperti yang pernah dikatakan oleh Khoo Kay
Kim yang mana mitos yang dimasukkan di dalam penulisan Melayu lama adalah sebagai
cara untuk mereka mengemukakan kecaman.

Sehubungan dengan itu, kritikan yang dikemukakan oleh tokoh Barat di atas
mungkin tidak akan berlaku sekiranya mereka mengambil kira pandangan yang pernah
dikemukakan oleh Van Peursen, iaitu:

Mitos mengatasi makna cerita dalam erti kata moden, isinya lebih padat
darpada semacam rangkaian peristiwa yang menggetarkan atau
menghiburkan saja, mitos tidak hanya terbatas pada semacam reportasi
(laporan) mengenai dewa-dewa dan dunia ajaib. Bukan, mitos itu memberi
arah kepada kekuatan manusia, dan merupakan semacam pedoman untuk
kebijaksanaan manusia. Lewat mitos itu manusia dapat turut serta
mengambil bahagian dalam kejadian-kejadian sekitarnya, dapat
menanggapi daya-daya kekuatan alam.25

Jika cara penyampaiannya yang menggunakan jenis puisi menjadi persoalan


tentang kesahihan manuskrip Melayu sebagai sebuah karya sejarah dan kerelevanannya
di zaman moden, maka mereka harus pula melihat kepada pandangan yang dikemukakan
oleh Gottschalk. Beliau menerima fiksyen, nyanyian, puisi dan cerita rakyat (folklore)
sebagai sumber sejarah. Gottschalk memberikan contoh, puisi-puisi Virgilius, Horatius,
dan Ovidius banyak memberikan pengetahuan kepada masyarakat mengenai peradaban
Rom dalam zaman Agustus.26 Oleh hal yang demikian, sekiranya bentuk puisi dalam
penulisan manuskrip Melayu adalah sebagai hiburan kepada rakyat, maka mereka juga
harus mempertikaikan puisi-puisi di atas yang mana ianya telah berjaya memberi banyak
pengetahuan mengenai peradaban Rom.

Di samping itu, Zainal Abidin juga menyatakan bahawa kebenaran sesebuah


peristiwa di dalam manuskrip-manuskrip Melayu dapat dibuktikan dengan
membandingkannya dengan sumber lain. Beliau telah membandingkan Sejarah Melayu
24 Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan, Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1991, hlm. 16.

25 Haron Daud, Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 2.

26 Ibid., hlm. 3.
13

dengan The Suma Oriental, iaitu karya Tome Pires. Salah satu perkara yang dapat
dilakukan perbandingan adalah tentang Sultan Mansor Syah di dalam kedua-dua sumber.
Di dalam karya Sejarah Melayu, Sultan Mansor Syah adalah seorang yang terlalu baik
parasnya serta dengan adilnya lagi murah. Hal ini sama jika dibandingkan dengan The
Suma Oriental, Mansursa began to reign wisely over his kingdom, taking counsel of the
oldman for virtuous government in matter of justice and the preservation of the
country.27

Selain itu, keperibadian Sultan Muzaffar Syah juga dapat dibuat perbandingan di
dalam kedua-dua sumber ini. Jika dilihat di dalam Sejarah Melayu, Sultan Muzaffar
Syah adalah terlalu baik fiil baginda, dengan adil dan murah dan saksama pada
memeriksa raayat, dan ia-lah menyuroh membuat undang-undang supaya jangan lagi
bersalahan adat segala hukum menterinya. Manakala, di dalam The Suma Oriental
pula, Sultan Muzaffar Syah pula digambarkan He was a great man of justice, he
devoted much care to the improvement of Mallaca. 28 Oleh hal yang demikian, melalui
perbandingan yang dilakukan, maka dapat dilihat sememangnya manuskrip-manuskrip
Melayu bukan hanya himpunan kisah dongeng dan cerita yang ingin mengangkat
martabat seseora sultan, namun ianya diisi dengan fakta sejarah. Perlu diketahui bahawa
ketika itu Barat sememangnya masih mengandungi sentimen Perang Salib, maka
sekiranya sebuah pujian tentang kebaikan seorang sultan yang beragama Islam diberikan
oleh Barat, sememangnya ia adalah benar.

4.4 Mohd. Taib Osman

Selain daripada Zainal Abidin Bin Abdul Wahid, Mohd. Taib Osman juga merupakan
salah seorang tokoh tempatan yang tampil mempertahankan manuskrip Melayu sebagai
sebuah karya sejarah. Mohd. Taib menyatakan bahawa manuskrip Melayu adalah sebuah
karya sejarah kerana mengandungi unsur salasilah. Seperti yang sedia maklum,
27 Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan, Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1991, hlm. 22.

28 Ibid., hlm. 23.


14

kebanyakan manuskrip-manuskrip Melayu diisi dengan salasilah-salasilah yang mana


ianya penting dalam menerangkan asal-usul raja/sultan serta mempuk kepercayaan
terhadap kedudukan istimewa raja-raja. Oleh hal yang demikian, beliau telah
mengemukakan pandangan bahawa, salasilah itu ialah perbezaan utama antara cerita-
cerita dongeng dengan sejarah, kerana kalau tiada salasilah, penulisan itu tidak dapat
dikatakan sejarah.29

Unsur salasilah yang dimasukkan di dalam kebanyakan manuskrip Melayu


bukanlah sebuah rekaan. Hal ini demikian kerana, dalam menghasilkan sebuah salasilah
di dalam sesebuah historiografi memerlukan seseorang yang benar-benar rapat dengan
seseorang pemerintah dan ianya akan menjadi rujukan utama dalam pengkajian sejarah
sesebuah pemerintahan atau negeri. Walau bagaimanapun, kenyataan beliau ini telah
disangkal sedikit oleh Raja Hassan Raja Noor. Raja Hassan menyangkal pendapat Mohd.
Taib yang mengatakan kalau tiada salasilah, penulisan itu tidak dapat dikatakan
sejarah. Salasilah merupakan salah satu ciri di dalam penulisan sejarah Melayu, namun
ianya tidaklah boleh dikatakan bahawa jika tiada unsur salasilah di dalamnya, maka ia
bukanlah penulisan sejarah. Hal ini demikian kerana, menurut beliau, terdapat karya lain
yang tidak memuatkan tentang salasilah terutama sekali yang ditulis dalam bentuk puisi
seperti Syair Perang Makassar.30

Walau bagaimanapun, Raja Hassan tidaklah menolak pendapat Mohd. Taib


keseluruhannya. Hal ini demikian kerana, beliau turut bersetuju bahawa unsur salasilah
adalah bukti bahawa manuskrip Melayu adalah sumber sejarah. Namun begitu,
pernyataan Mohd. Talib yang menyatakan sekiranya sesuatu sumber itu tidak
mengandungi unsur salasilah, maka ianya bukanlah karya sejarah. Berdasarkan
pernyataan tersebut seolah-olah Mohd. Taib turut menolak manuskrip Melayu yang tidak
mengandungi unsur salasilah yang ditulis di dalam bentuk puisi khususnya sebagai salah
sebuah sumber sejarah. Oleh hal yang demikian, kedua-dua tokoh tempatan ini bertegas

29
Raja Hassan Raja Noor, Pola-Pola Historiografi Tradisional dalam Pensejarahan Melayu, Jebat, 2(2), 16-
24, 1972, hlm. 21.

30 Ibid., hlm. 22.


15

bahawa manuskrip Melayu adalah sebuah karya sejarah kerana mengandungi unsur
salasilah di dalamnya.

4.5 Liang Hiji

Di samping itu, salah seorang lagi tokoh yang turut mengangkat manuskrip Melayu
sebagai salah sebuah karya sejarah. Tokoh-tokoh lain mengangglap bahawa manuskrip
Melayu adalah karya sastera, namun bagi Liang Hiji, nilai sastera dan sejarah itu sama
tinggi nilainya. Terpulang kepada fokus yang hendak diambilnya dan unsur-unsur yang
hendak digalinya. Kalau dapat memperbandingkannya dengan sumber-sumber sejarah
dari negeri lain yang bersangkutan, maka kita akan mendapati bahawa kisah-kisah yang
bersifat mitos dalam Sejarah Melayu itu sebenarnya mengandungi unsur-unsur sejarah
yang bermakna.31 Hal ini sama seperti yang dikatakan oleh Zainal Abidin di atas, iaitu
perbandingan dua buah karya lain akan membuktikan kebenaran sesebuah peristiwa atau
perkara.

Oleh hal yang demikian, Liang Hiji telah membandingkan tentang kisah
permulaan hubungan diplomatik di antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Dinasti
Ming di dalam Sejarah Melayu dan Ming Shi Lu. Berdasarkan perbandingan yang telah
dilakukan oleh beliau, dapat dibuktikan beberapa perkara seperti pembuktian bahawa
benar Maharaja Ming yang terlebih dahulu mengirim utusan ke Melaka dan pembuktian
bahawa Raja Melaka segera mengirim utusannya ke China untuk membalas undangan
Maharaja Ming.32 Oleh hal yang demikian, menurut Liang Hiji, manuskrip Melayu
adalah karya sejarah jika digali fakta sejarahnya dan pembuktiannya akan berlaku
sekiranya pengkaji membandingkannya dengan sumber yang lain, khususnya sumber
asing.

Hal ini sama juga seperti yang dikatakan oleh Liaw Yock Fang, Sejarah Melayu
memang boleh digunakan untuk menyusun sejarah kemasyarakatan kerana teks tersebut
merupakan sumber sejarah yang penting. Sejarah Melayu juga sememangnya
31 Liang Hiji, Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad Ke-15,
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996, hlm. 9.

32 Ibid., hlm. 53.


16

memberikan satu gambaran yang jelas mengenai kehidupan di Melaka pada abad ke-
15.33 Menurut Teeuw pula, walaupun Sejarah Melayu tidak dapat membantu mereka
yang ingin menyusun sejarah berdasarkan kejadian-kejadian dan pentarikhan, tetapi ia
adalah sumber yang kaya untuk menggali pengetahuan kebudayaan masyarakat Melayu.
Darinya kita dapat mempelajari banyak hal mengenai perhubungan dalam masyarakat,
perkembangan fikiran dan keadaan ekonomi, asalkan kita membacanya dengan teliti. 34
Oleh hal yang demikian, manuskrip Melayu bagi Liang Hiji dengan disokong oleh Liaw
Yock Fang dan Teuww adalah sebuah karya sejarah yang banyak membantu dalam
menceritakan tentang keadaan masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

33 Haron Daud, Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 3.
34
Ibid., hlm. 5.
17

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, historiografi adalah sebuah pensejarahan yang telah


dicatatkan. Namun begitu, tidak semestinya sesebuah pensejarahan itu perlu
mengandungi disiplin sejarah moden sepertimana yang dinyatakan oleh R. G.
Collingwood. Walaupun penulisan sejarah tradisional mempunyai mempunyai unsur
yang tidak relevan, namun ia masih merupakan unsur yang menguatkan penulisan
sejarah pada masa tersebut. Hal ini demikian kerana, penulisan sejarah di Alam Melayu
dahulu tidak mempunyai peraturan atau kriteria tetap atau moden sebelum kedatangan
Barat. Oleh itu, adalah tidak wajar jika manuskrip Melayu dihukum sebagai bukan
sumber sejarah hanya kerana tidak mengikuti ciri-ciri sejarah moden yang ditetapkan
oleh Barat.

Peredaran masa telah memperlihatkan historiografi Melayu turut mengalami


perubahan dan wujud pula permasalahan lain seperti dari segi kesahihan, kerelevanan
serta berlaku banyak versi apabila penulisan baru terhadap sumber sedia ada telah
banyak diubah dan diolah bagi memenuhi kriteria disiplin moden dalam penulisan
sejarah. Walau bagaimanapun, kekuatan manuskrip Melayu seperti fakta yang tiada
pentafsiran atau huraian, catatan sejarah naratif mitos dan lagenda yang sesuai dengan
zamannya, anakronisme adalah identiti yang menghubungkan kesemua versi yang lahir
daripada sumber manuskrip Melayu yang sama, dan Malay-centrik, pentadbiran,
perundangan dan kebudayaan perlu dijadikan senjata, khususnya bagi tokoh tempatan
dalam mempertahankan kedudukan manuskrip Melayu di masa akan datang.
18

RUJUKAN

Haron Daud. 1989. Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan
Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain Othman. 2011. Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi, Johor:


UTHM.

Liang Hiji. 1996. Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti


Ming Abad Ke-15. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhamamad Yusof bin Ibrahim. 1997. Pensejarahan Melayu 1800-1960, Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Yusof Ibrahim. 1994. Pensejarahan Melayu 1800-1960. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Raja Hassan Raja Noor. 1972. Pola-Pola Historiografi Tradisional dalam Pensejarahan
Melayu. Jebat. 2(2), 16-24.

Yusoff Iskandar. 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Zainal Abidin bin Abdul Wahid. 1990. Kerajaan Melaka Dalam Hubungan
Antarabangsa. Jebat. 10(18), 71-87.

Zainal Abidin bin Abdul Wahid. 1991. Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.