Anda di halaman 1dari 4

Bersabarlah Menghadapi Ujian Hidup

Yang bermaksud:

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan
pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya
dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah
ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan
dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. Ia menyeru dan
menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat
membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya;
itulah kesesatan yang jauh terpesong. Ia menyeru dan menyembah makhluk
yang (dengan perbuatan demikian) mudaratnya lebih dekat dari manfaat
yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan
seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya
itu. AlHajj :11-13

Intisari ayat:
Dalam ayat di atas, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa orang yang tidak tetap imannya akan
gembira apabila mendapat nikmat dan kebaikan. Sebaliknya akan murtad dan kafir apabila
ditimpa bala bencana. Mereka sanggup menyembah selain Allah S.W.T. dengan harapan untuk
melepaskan diri mereka daripada bala yang menimpa. Mereka akan mendapat kerugian di dunia
dan di akhirat. Mereka termasuk dalam golongan yang sesat.
Huraian ayat:

Pertama:

Allah S.W.T. menjadikan manusia dalam keadaan yang berbeza beza sama ada diberi
kesenangan, kesusahan, kelemahan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Setiap yang
diturunkan adalah untuk menguji keimanan seseorang hambaNya.

Kedua:

Dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T., orang yang beriman menerima ujian tersebut
dengan sabar dan tabah kerana mereka sedar setiap perkara yang berlaku pada dirinya adalah
ketentuan daripada Allah S.W.T.

Manakala bagi golongan yang tidak beriman, mereka akan kecewa, putus asa, menyalahkan
takdir Allah S.W.T. dan sanggup melakukan kemungkaran supaya terlepas daripada kesusahan
yang menimpanya. Terdapat antara mereka yang meninggalkan agama Islam kerana terpengaruh
dengan agama lain yang menjanjikan kemewahan hidup di dunia.

Ketiga:

Orang-orang mukmin yang diuji dengan berbagai-bagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar
menghadapinya akan mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang demikian
beroleh pahala yang lebih tinggi daripada orang-orang yang mengerjakan ibadat lain.

Firman Allah, maksudnya:


"demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan
lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah
khabar gembira kepada orang yang sabar." surah Al-Baqarah: ayat 155

Keempat:

Ujian dan dugaan yang dihadapi oleh seseorang menunjukkan bahawa dirinya termasuk dalam
golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah S.W.T. Kesusahan yang ditanggung menjadi
pembersih dirinya daripada berterusan melakukan perkara perkara tidak baik.

Firman Allah, maksudnya:


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman'
sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang
sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang
yang dusta. "Surah Al-Ankabut: ayat 2-3.

Kelima:

Sabar ialah sifat yang mulia bagi orang-orang mukmin. Sifat tersebut dapat menempuh apa-apa
yang terjadi di sekeliling. Itulah sebabnya "sabar" menjadi salah satu daripada nama-nama Tuhan
yang agung (yang Maha Penyabar). Tuhan tidak akan memberi pembalasan kepada hambaNya
yang melakukan kesalahan dengan segera.

Keenam:

Sabar terbahagi kepada beberapa jenis antaranya termasuklah:

i. Sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T.


Setiap orang Islam hendaklah sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T. Perintah tersebut
hendaklah dikerjakan dengan sepenuh kesabaran, keikhlasan, tekun dan berkekalan.

ii. Sabar melawan nafsu.


Sabar menahan daripada berbuat maksiat ialah berjaya menentang segala godaan yang tidak baik
terhadap dirinya. Kesabaran yang lahir ini adalah kesan daripada kepercayaan dan keyakinan
serta azam yang kuat untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T.

iii. Sabar terhadap sebarang dugaan yang terjadi pada diri seperti kematian, kebakaran,
banjir dan sakit..
Setiap orang mukmin hendaklah sabar terhadap segala kejadian yang tidak baik yang berlaku
pada dirinya sama ada harta, pangkat, kedudukan, keluarga atau sebagainya.

Bentuk ujian keatas manusia.

a. Ujian kesenangan seperti nikmat kesihatan dan kekayaan

b. Ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan sebagainya.

c. Ujian ke atas orang perseorangan

d. Ujian ke atas kumpulan, masyarakat atau jemaah.

e. Allah S.W.T. menjelaskan setiap orang mukmin pasti diuji oleh Allah S.W.T.

Kepentingan sabar

a. Mendapat darjat pahala yang tinggi disisi Allah S.W.T.

b. Melapangkan hati, tidak merasa runsing atau dukacita.


c. Segala urusan dunia dan akhirat menjadi mudah.

d. Mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

e. Selamat dari gangguan mental dan emosi.

FAKTA-FAKTA PENTING

a. Orang Islam hendaklah bersyukur apabila menerima kurniaan Allah dan bersabar
apabila menerima ujian daripadaNya

b. Maruah diri, agama dan bangsa hendaklah dijaga di samping mengejar kemewahan
hidup di dunia.

c. Kesenangan dan kesusahan adalah merupakan ujian Allah terhadap hambaNya.

d. Orang yang tidak beriman menerima ujian daripada Allah dalam keadaan resah gelisah
serta kecewa.

e. Islam melarang umatnya mempercayai perkara-perkara karut kerana perbuatan


tersebut mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap individu dan masyarakat Islam.

Dipetik dari laman web Ustaz Yusof Embong

LIHATLAH GAMBAR DI BAWAH INI DENGAN MATA HATIMU..