Anda di halaman 1dari 17

Sejarah untuk semua: Antara fakta, tafsiran dan pandangan umum

Oleh Shamsul Amri Baharuddin

Teks Ucaptama untuk Persidangan Kemuncak Sejarah, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia, 17-18 Disember 2013, Kuala Lumpur

Pengenalan

Undangan untuk menyampaikan ucaptama di Persidangan

Kemuncak Sejarah 2013 ini, yang dianjurkan oleh Persatuan

Sejarah Malaysia, saya terima sebagai satu penghormatan luar

biasa kerana tiga sebab berikut.

Pertama, saya dibesarkan dalam disiplin antropologi-sosiologi bukan

dalam disiplin sejarah. Namun undangan ini memperakukan,

melalui tindakan bukan hanya kata-kata, bahawa pandangan

mengenai sejarah negara kita bukan hanya milik sejarawan. Ianya

adalah milik kita semua, termasuk kami daripada disiplin

antropologi-sosiologi.

Kedua, dari sudut akademik, undangan ini juga memperakukan peri

pentingnya pendekatan multidisplin dalam mentafsir dan mengupas

sejarah pembangunan negara kita. Ini menimbulkan persoalan

ilmiah pula; ‘siapakah yang menilai sejarawan dan sejarah yang

ditulis mereka?terutamanya, jika sejarah pembangunan sesebuah

negara-bangsa itu terbina melalui sumbangan pelbagai ilmu

pengetahuan, sains dan bukan sains.

Ketiga, kini diperakukan secara terbuka bahawa sejarah bukan hanya suatu disiplin kaku yang diajar di sekolah dan universiti tetapi ianya adalah sesuatu yang hidup dan mempunyai relevans dan fungsi sosialnya. Soalnya bagaimana hendak merakyatkan sejarah di Malaysia? Ini memerlukan buah fikiran bukan daripada sejarawan sahaja. Melalui undangan ucaptama ini, khususnya, dan persidangan kemuncak ini, amnya, sejarawan telah membuka pintu seluas-luasnya dan mengajak pakar dan ilmuan daripada pelbagai bidang untuk memberikan pandangan.

Atas alasan-alasan tersebut saya pilih tajuk berikut sebagai tajuk ucaptama saya, iaitu, “Sejarah untuk semua: Fakta, tafsiran dan pandangan umum,” biar pun saya telah diminta membincangkan suatu tajuk lain, iaitu, “Menggiatkan fungsi sosial sejarah dalam pembangunan negara-bangsa.” Sebenarnya, ucaptama ini adalah satu usaha mempromosi fungsi sosial sejarah sebagai suatu disiplin dan sebagai suatu korpus ilmu yang fundamental dalam pembinaan negara-bangsa.

Untuk itu saya ingin bermula dengan mengemukakan beberapa pandangan, dari sudut antropologi-sosiologi, mengenai sejarah dan sejarawan dan alat analisis yang mereka gunakan dalam membedah, mengupas dan membina kefahaman mengenai masyarakat dan pembangunan negara-bangsa. Kemudian saya akan sentuh pengalaman Malaysia dalam mempersembahkan ‘sejarah’ kepada murid dan khalayak umum, sama ada oleh sejarawan atau oleh orang yang minat mengenai sejarah atau oleh mereka yang menggunakan sejarah untuk kepentingan kolektif masing-masing.

Daripada kupasan itu nanti akan saya cuba bincangkan bagaimana, pada pandangan saya, kita hendak mengangkat sejarah ke suatu

plaftom baru dalam era ‘pembangunan terangkum’ negara-bangsa yang dianjurkan bersungguh-sungguh oleh kerajaan Malaysia sekarang. Secara langsung dan tidak langsung saya memberikan beberapa idea dan tindakan untuk “menggiatkan fungsi sosial sejarah dalam pembangunan negara-bangsa.”

Mendampingi sejarah daripada beberapa sudut

Umumnya, fakta sejarah tidak berubah. Namun tafsiran sering boleh diubah-ubah mengikut teori, konsep, alat analisis dan pendekatan sejarah yang digunakan; atau ianya berubah mengikut suasana politik semasa. Maka timbul pandangan bahawa sejarah selalunya ditafsir dan ditakrif oleh mereka yang berkuasa ketika mereka berkuasa. Dalam kata lain, pada umumnya, sejarah boleh didampingi daripada beberapa sudut dan ditafsir mengikut konteks sesebuah masyarakat.

Misalnya, saya dibesarkan dalam dua cakrawala utama ilmu sejarah. Kedua-duanya mempengaruhi cara saya mengkaji, berfikir dan mengupas mengenai sejarah, secara umum, dan mengenai sejarah Malaysia, secara khusus. Apabila saya membuat pilihan yang mana satu sesuai dengan disiplin antropologi-sosiologi saya telah mempertimbangkan kedua-dua pilihan tersebut daripada sudut epistemologi (asal usul ilmu), ontologi (realiti sosial yang empirikal dan abstrak) dan metodologi (orientasi penilitian dan mengumpul data). Pilihan saya mempengaruhi cara saya melihat peranan sejarah dalam konteks pembangunan negara-bangsa yang bakal saya sentuh berikut ini.

Pendedahan kepada cakrawala pertama bermula di sekolah rendah, seterusnya menengah dan kemudiannya semasa pengajian sarjana muda di university. Sejarah yang saya belajar dalam cakrawala ini,

dari sudut epistemologinya, adalah mengenai the history of winners and losers, heroes and villainsyang memfokus dan mengutamakan tema-tema politik, peperangan dan diplomasi, sesuai dengan pengalaman sejarah Eropah. Pendekatan sejarah yang sedemikian adalah berkait rapat dengan ‘ilmu kolonial,’ suatu bidang ilmu yang instrumental dalam proses penjajahan Eropah terhadap negara bukan Eropah, yang mereka jadi sasaran sebagai civilizing mission.

Bermula dan melalui ‘ilmu kolonial’, yang terkandung di dalamnya sejarah berbentuk “history of winners and losers, heroes and villains” itu, kuasa besar Eropah telah menakluk dunia. Penaklukkan itu tidak bermula dengan kekerasan dan peperangan tetapi bermula dengan epistemological conquest, atau penaklukan epistemologi. Mereka mesti membina ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mendalam mengenai manusia yang bakal mereka takluk dengan cara mengasaskan pertubuhan ilmuan, sains dan bukan sains, mengenai wilayah di luar Eropah, khususnya, Asia.

Daripada keperluan ini tumbuhlah di Eropah pada abad ke 18 dan 19, beberapa pertubuhan ilmuan yang berpengaruh seperti, The Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland pada 1784, Societe Royale Academique de Savoie Perancis pada 1820, Koninklik Institutt voor Taal-, Land- en Volkerkunde (KITLV) di Belanda pada 1851 dan Die Deutsche Gesellschaft fur Natur- und Volkerkunde Ostasiens (OAG) di Jerman pada 1873. Para anggota pertubuhan berkenaan boleh dianggap sebagai ‘bala tentera ilmuan’ barisan hadapan Eropah dalam usaha menghimpunkan korpus ‘ilmu kolonial.’ Sumbangan mereka adalah sangat kritikal, malah menjadi pra-syarat dan persediaan kuasa-kuasa besar Eropah sebelum menakluk wilayah Asia, dari segi ekonomi dan petadbiran

dengan (selain ) menggunakan segala kekuatan ketenteraan mereka.

Impak pendekatan sejarah ini amat berkesan terhadap kefahaman saya mengenai sejarah Malaysia, khususnya, siapa wira dan siapa petualang, yang saya dapati sering bertukar-tukar. Saya masih ingat, mula-mula saya diajar bahawa Dato’ Bahaman dan Mat Kilau adalah watak jahat, pemberontak, dan pegawai pentabdir kolonial Inggeris berwatak wira. Apabila saya diajar oleh sejarawan tempatan di universiti, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau sudah jadi hero pula, dan pegawai Inggeris tadi orang jahat.

Saya tiada pilihan tetapi menerima dan menguasai sejarah dalam bentuk ini kerana buku teks, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, ujian demi ujian di sekolah dan universiti di Malaysia adalah berdasarkan sejarah bersifat hero vs. villain, dan jelas terpapar kerangka mono-disiplinnya. Namun dalam konteks sejarah ini, saya dapati fakta-fakta tetap kekal tetapi tafsirannya boleh ditukar ganti sesuai dengan pilihan pihak yang menceritakannya.

Maka tugu dan ukiran patung para wira sejarah kelihatan di mana- mana, misalnya, di tengah-tengah kota, dalam taman dan dalam muzium. Foto wira kelihatan dalam buku, majalah dan filem. Malah dunia perfileman sangat mementingkan jalan cerita berdasarkan ‘yang menang lawan yang kalah’ dan ‘yang wira dan yang penjahat.’ Dalam dunia filem Melayu tentang Hang Tuah, sampai tamat hayat mereka, dan terpahat dalam ingatan kita semua, bahawa P. Ramlee tetap wira dan Saleh Kamil watak jahat.

Pendedahan kepada cakrawala sejarah kedua berlaku semasa saya menyelesaikan pengajian siswazah (Sarjana dan Ph.D.), kemudiannya ketika menyunting tesis jadi buku, dan lepas itu

semasa mengikuti program pasca-doktoral di CNRS Paris. Bentuk pendekatan sejarah yang saya damping agak berbeda dengan apa yang telah saya dibesar dan didewasakan. Bukan mengenai “heroes and villains” tetapi suatu bentuk historiografi yang lebih luas liputan dari segi epistemologi, ontologi dan metodologinya. Ianya bersifat multidisplin yang dianjurkan oleh the Annales School, suatu mazhab ilmu sejarah yang dipelopori oleh sejarawan Perancis dan kemudian meluaskan pengaruh ke seluruh continental Europe dan Amerika Utara dan Selatan bermula pada awal abad ke 20.

Pendekatan Annales School ini mengutamakan bentuk sejarah yang dikenal sebagai ‘ sejarah sosial bersifat jangka panjang, atau la longue duree. Ianya menggunakan kaedah saintifik sosial yang mengutamakan pendekatan multidisiplin, justeru menggabungkan pendekatan serta penemuan ilmiah daripada bidang antropologi, sosiologi, geografi, dan sejarah dalam menghasilkan historiografi sesebuah komuniti kecil atau masyarakat yang lebih besar.

Sebagai seorang ahli antropologi-sosiologi, saya sangat selesa dengan pensejarahan dan historiografi anjuran Annales School kerana ianya tidak menggunakan kerangka binary opposition yang memisahkan heroes and villains dan mengkategorikan semua manusia dan kejadian sejarah ke dalam dua kotak besar seperti ini sahaja. Saya berpandangan apa yang telah dianjurkan oleh Annales School ini sangat mirip dan ada tali menali dengan sumbangan dan pendekatan Ibnu Khaldun mengenai falsafah, sejarah, sosiologi dan ekonomi.

Satu lagi pendekatan sejarah yang saya anggap menjadi pelengkap kepada Annales School ialah pendekatan Subaltern Studies yang diperkenal dan dikembangkan oleh sekumpulan sarjana daripada India yang bermastautin di India, Australia, Eropah dan Amerika

Utara tetapi berpangkalan di Australian National University yang diketuai oleh Ranajit Guha.

Pendekatan Subaltern Studies mengutamakan sejarah yang fokus kepada sumbangan dan pengucapan kelompok masyarakat yang tertindas dan miskin, mereka daripada golongan kelas pekerja dan kelas bawahan, daripada kasta Dalit dan, termasuk juga mereka yang tewas dalam perjuangan hidup terpinggir. Suara-suara golongan ini selalu tenggelam atau ditenggelami oleh suara-suara mereka yang lebih dominan, berkuasa, yang wira dan yang menang.

Catatan daripada memori dan cerita daripada golongan subaltern ini telah dijadikan sumber untuk membantu melengkapkan cerita atau pemerihalan sejarah sesuatu kejadian, seperti mogok, peperangan, penindasan ekonomi dan sebagainya. Dalam kajian saya ketika itu, saya dapati dalam kebanyakan tulisan sejarah Malaysia, suara- suara subaltern ini umumnya tidak mendapat perhatian kerana penulisnya memberi lebih ruang kepada sejarah heroes and villains, winners and loser tersebut.

Saya terpanggil untuk membincangkan dua cakrawala sejarah yang menjadi wahana penghayatan ilmu sejarah untuk diri saya kerana untuk mengupas sekali gus mengemukakan saranan ke arah “menggiatkan fungsi sosial sejarah dalam pembangunan negara- bangsadi Malaysia memerlukan ketelusan ilmiah supaya sarjana lain, peminat dan pemerhati mengenai sejarah tahu kedudukan dan pendirian saya. Mereka juga tahu bahawa pendirian ini menjadi amalan dan bukan hanya pandai berteori. Apabila pendirian saya jelas maka lebih mudah untuk sesiapa saja mempersoal atau berdebat mengenai pendirian saya terhadap produksi ilmu sejarah

dan historiografi Malaysia, tentang fakta dan tafsirannya, khususnya, dalam konteks pembangunan negara-bangsa.

Sejarah, nasionalisme dan pembangunan negara-bangsa

Sebelum membincangkan peri pentingnya ilmu sejarah dalam pembangunan negara-bangsa di Malaysia, saya ingin memperjelaskan suatu kekeliruan besar yang bermula dalam bidang sejarah dan sains politik di Eropah dan kemudiannya tersebar luas ke seluruh dunia sehingga kini. Seimbas pandang, kekeliruan ini nampaknya kecil tetapi kalau kita halusi ianya menjadi cukup besar dan terbukti telah mengesankan cara sejarawan dan ahli sains politik membuat kajian dan menganalisis mengenai pembangunan negara-bangsa, khususnya, di negeri- negeri bekas tanah jajahan.

Kalau kita buka setiap buku teks sejarah dan sains politik yang ditulis dan diterbitkan di luar negeri, terutama dalam Bahasa Inggeris, kita akan bertemu dengan rangkaian perkataan nation- state,atau negara-bangsa,terpapar berulang kali halaman demi halaman tanpa sekali pun cuba dihuraikan bahawa istilah ini mungkin tepat untuk mengungkapkan pengalaman dalam sejarah modern di Eropah dan Amerika Utara, tetapi tidak sesuai digunakan di negara yang pernah dijajah.

Mengapa tidak sesuai?

Telah berulang kali saya hujahkan dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, termasuk yang dipetik dalam sebuah buku sejarah mengenai Asia Tenggara (sila lihat, The Emergence of Modern Southeast Asia: A New History, suntingan Norman Owens, 2005,

hlm. 252) bahawa kita mesti pisahkan perkataan nation, atau bangsa, daripada perkataan state, atau negara.

Pengalaman di bekas tanah jajahan menunjukkan bahawa state, atau negara, sebagai sebuah entiti politik modern telah wujud sesuai dengan keperluan ekonomi politik sang penjajah, samada Inggeris, Perancis, atau Belanda di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara. Secara konkrit the colonial state, atau negara kolonial, telah wujud berdasarkan tiga kriteria: pertama, kriteria territory atau wilayah yang jelas sempadannya (selepas Merdeka diperakukan oleh perjanjian persempadanan antarabangsa); kedua, kriteria rule of law atau sistem tadbir dan perundangan (selepas Merdeka menjadi perlembagaan); ketiga, kriteria the royal subject atau warga Sultan (selepas Merdeka menjadi konsep warganegara atau citizenship).

Konsep ‘nation,’ atau ‘bangsa’ tidak pernah dianjurkan oleh sebarang pemerintah kolonial di seluruh dunia. Konsep ini telah muncul daripada kelompok elit atau akar umbi pribumi yang menjadi penggerak keramat kepada perjuangan kemerdekaan di semua tanah jajahan sedunia. Oleh itu, pergerakan yang berjuang untuk mewujudkan ‘bangsa’, atau nation, dikenal semenjak itu sebagai perjuangan nasionalisme yang diketuai oleh tokoh-tokoh nasionalis.

Dalam kata lain, perjuangan nasionalis dari segi konsep dan sejarah bukanlah perjuangan pembangunan negara,kerana pemerintah kolonial telah mewujudkan negara. Perjuangan mereka adalah perjuangan ke arah pembinaan bangsa.Ianya adalah suatu perjuangan yang bermatlamat mewujudkan suatu bangsa idaman, atau nation-of-intent, dengan memobilisasi kesepaduan, kesekataan, permaufakatan dan kesetiaan di kalangan penyokong

dengan cita-cita untuk menggulingkan negara kolonial, mencapai kemerdekaan sekali gus mengambil alih pemerintahan negara dan akhirnya menegakkan bangsa idaman tersebut. Maka perjuangan nasionalis tersebut adalah untuk menemukan “negara” (binaan kolonial) yang telah sedia ada dan “bangsa” idaman. Tetapi tidak semua perjuangan nasionalisme mencapai kejayaan yang diidamkan itu. Di setengah negara di ASEAN, wujud “bangsa tanpa negara” (nation without state) seperti BangsaMoro. Begitu juga di Timur Tengah wujud “the Kurdish nation,” dan sehingga kini mereka masih berjuang untuk mewujudkan sebuah negara Kurdish. Di beberapa wilayah lain, perjuangan mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan kolonial telah berjaya tetapi ‘bangsa’ yang diidamkan masih belum wujud, seperti di Singapura. Di Brunei Darussalam pula, wujud sebuah negara-bangsa Brunei; ‘negaranya’ diwarisi daripada penjajah Inggeris, ‘bangsanya’ didukung oleh ideologi “Melayu, Islam, Beraja.”

Maka realiti sejarah pembangunan negara-bangsa di wilayah yang pernah dijajah, khususnya di Asia Tenggara, membuktikan bahawa ada tiga variasi entiti politik modern: pertama, bangsa tanpa negara (nation-without-state); kedua, negara tanpa bangsa (state- without-nation); dan ketiga, wujud negara-bangsa (nation-state).

Dalam historiografi mengenai nasionalisme di Malaysia, amnya, dan pembangunan negara-bangsa, khususnya, perbincangan mengenai wujudnya ketiga variasi ini tidak diperkatakan langsung oleh para sejarawan mengenai Malaysia dalam tulisan masing-masing, yang kebanyakannya menjadi teks di universiti atau rujukan umum. Sebagai contoh, termasuk dalam kategori tulisan berkenaan adalah karya klasik William Roff, The Origins of Malay Nationalism (1967), tulisan Ariffin Omar, Bangsa Melayu: Malay Concept of Democracy

and Community (1993), dan buku Cheah Boon Kheng, Malaysia:

The Making of a Nation (2002).

Kita tahu bahawa sejarah gerakan nasionalisme di Malaysia, khususnya, nasionalisme Melayu adalah kompleks dan rumit. Sekiranya persoalan tiga variasi ‘nation’ dan ‘state’ itu diambil kira dan diaplikasi, kefahaman kita mengenai gerakan tersebut akan lebih mendalam, khususnya mengenai sifat kepelbagaian masyarakat kita dan cita-cita yang berbeda di kalangan kelompok etnik yang berbeda, dan perbedaan dalam setiap kelompok etnik.

Misalnya, Roff memperkatakan bagaimana terdapat tiga bangsa idaman, atau nation-of-intent, dalam pergerakan nasionalisme Melayu: pertama, yang mengidamkan Melayu Raya (The Greater Malay nation), kedua, yang mengidamkan negara-bangsa Islam (Islamic nation-state) dan ketiga, yang mengidamkan bangsa mamjuk (plural nation). Fokus sejarawan kita banyak berhenti dan hanya melihat apa yang diartikulasi oleh etnik Melayu. Apa yang diartikulasi oleh etnik Cina atau India tidak diberi perhatian, dan kita ketahui kini bahawa dalam setiap kelompok etnik terdapat beberapa ‘bangsa idaman’ masing-masing, daripada ‘negara-bangsa sosialis-komunis’ ke ‘Malaysian Malaysia’ dan sebagainya.

Kalau pun ada kita sentuh dalam perbincangan mengenai sejarah pembinaan negara-bangsa Malaysia, termasuk perkara-perkara yang disebut tadi, selalunya ianya dibincangkan dalam konteks historiografi mengenai winners and losers, heroes and villains, bukan sebagai fenomena gerakan sosial Subaltern yang memaparkan bahawa si kerdil di kelas bawahan atau yang tertindas juga turut memainkan peranan penting dalam menentang penjajahan atau menyokong penjajahan ketika menentang gerakan radikal sosialis-komunis pada era Perang Dingin.

Dalam kata, lain proses pembinaan negara-bangsa Malaysia sebelum Merdeka telah berdepan dengan suatu cabaran paling besar yang tidak dikenal pasti oleh sejarawan, iaitu, perjuangan antara beberapa bentuk ‘bangsa idaman’ (competing nations-of- intent), di kalangan etnik Melayu dan bukan Melayu. Kemerdekaan pada 1957 adalah peralihan secara aman damai kuasa memerintah negara(state) daripada pihak kolonial kepada pimpinan elit tempatan. Maka Malaya ketika itu, sebagai sebuah negara modern mempunyai tiga ciri penting: pertama, territoriality, atau wilayah bersempadan; kedua, rule of law dalam bentuk perlembagaan; dan ketiga, warganegara atau citizenship.

Itu pun konsep citizenship hanya difahami dari sudut undang- undang dan berkait dengan konsep ‘kerakyatan,menyentuh soal dokumen-dokumen seperti surat beranak, kad pengenalan, sijil kerakyatan dan paspot. Sedangkan citizenship dari sudut sosiologikal ialah mengenai kewargaan.’ Ini bermaksud menjadi warga sebuah komuniti atau lebih besar lagi warga yang berpayung dibawah satu ‘bangsa’ dengan setiap warga memiliki rasa kekitaan, taat setia, dan patriotisme.

Aspek citizenship bersifat komunitas belum wujud semasa Merdeka dicapai. Kekitaan etnik jauh lebih kuat daripada kekitaan kebangsaan. Ini bererti konsep ‘bangsa’ Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu belum wujud ketika itu. Yang wujud adalah beberapa ‘bangsa idaman’, sama ada antara kelompok etnik atau dalam masing-masing kelompok etnik berkenaan.

Tetapi the modern Malayan state,’ atau ‘negara Malaya modern,’ telah wujud dengan berasaskan landasan, struktur dan institusi yang dibina kuat oleh penjajah Inggeris. Malah sehingga tahun

1970-an, ketika itu sudah menjadi ‘the modern Malaysian state,negara Malaysia Merdeka masih lagi bergantung kepada Australia dan New Zealand dari segi ketenteraan.

Oleh kerana sejarawan dan historiografi Malaysia tidak memisahkan konsep ‘negara’ dan konsep ‘bangsa,’ maka timbul kekeliruan di kalangan pengkaji dan rakyat umum bahawa ‘bangsa’ Malaysia telah wujud, seperti yang diuar-uarkan oleh pemerintah, lengkap dengan bahasa kebangsaan, sistem pendidikan kebangsaan dan pelbagai lagi institusi ‘kebangsaan.’ Ada pula Jabatan Perpaduan Negara yang telah ditubuhkan selepas tragedi Mei 13, 1969 berlaku untuk mendukung semua usaha ‘kebangsaan’ ini.

Apabila Dr. Mahathir Mohamad menyarankan Wawasan 2020 bersama konsep ‘Bangsa Malaysia’ pada 1991, barulah kita tahu bahawa Malaysia masih belum mempunyai ‘bangsa’ dan yang ada ada selama ini hanyalah suatu bangsa yang diidamkan sahaja, dan dipromosi secara besar-besar oleh kerajaan. Dalam lain perkataan, konsep ‘kebangsaan’ yang digunakan dan penubuhan pelbagai institusi yang berkait dengannya adalah masih suatu projek besar yang bertaraf ‘bangsa idaman.

Maka tidaklah memeranjatkan kalau buku teks sejarah untuk sekolah kebangsaan telah sekian lamanya mempromosi ‘bangsa idaman’ ini dan memfokus kepada usaha untuk mengarusperdanakan naratif sejarah. Dalam proses ini, tafsiran terhadap fakta-fakta dalam sejarah arusperdana ini sering dipersoalkan kerana dikatakan telah meminggirkan sumbangan kaum minoriti dan tidak mengintegrasikan suara-suara subaltern sebagai sebahagian daripada naratif arusperdana.

Maka dicadangkan pula oleh pihak-pihak lain beberapa kerangka sejarah alternatif kepada naratif sejarah arusperdana ini. Dari segi sosiologikal, kalau diteliti dengan lebih halus, naratif alternatif berkenaan bukan hanya merupakan naratif sejarah, malah lebih daripada itu. Ianya adalah naratif ‘bangsa idaman’ yang berbeda dengan naratif arusperdana yang berlandaskan ‘Bangsa Malaysia’.

Jika sekiranya bangsa idaman kerajaan yang diungkapkan dalam bentuk ‘Bangsa Malaysia’ tidak direalisasikan pada tahun 2020, apakah pula agaknya trajektori pembinaan negara-bangsa di Malaysia berikutnya?

Kalau kita gunakan pendekatan historiografi heroes and villains, winners and losers, apakah nanti mereka yang mengemukakan konsep ‘bangsa’ alternatif, selain daripada ‘Bangsa Malaysia,’ akan dianggap sebagai villains and losers? Kalau mereka dilabel begini, pilihan label ini adalah suatu jalan keluar yang cetek, mudah dan simplistik. Sifatnya sedemikian boleh menimbulkan cabaran besar kepada segala usaha kerajaan selama ini yang bersungguh- sungguh, melalui pelbagai strategi, membina perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Tetapi apakah yang boleh kita lakukan untuk membolehkan anjakan paradigma dalam konteks ilmu sejarah, di kalangan sejarawan dan penulisan sejarah Malaysia yang sedia ada, yang rata-rata mendukung ‘Bangsa Malaysia’ sebagai ‘bangsa idaman’? Dalam kata lain, bagaimanakah kita hendak ‘menggiatkan fungsi sosial sejarah dalam pembangunan negara-bangsakalau sejarah yang diajar atau yang ditawarkan kepada umum dilihat oleh sebahagian daripada masyarakat Malaysia sebagai hanya salah satu tafsiran yang boleh diterima tetapi boleh juga dipersoalkan.

Peluang Keemasan

Misi sejarawan dan pensejarahan Malaysia untuk ketika ini adalah bagi ‘mencari kejernihan dalam kekeruhanberkait dengan historiografi kita. Maksudnya kalau ramalan bahawa ‘Bangsa Malaysia’ tidak pada 2020 tetapi selepas itu, sejarawan dan ilmu sejarah boleh memobilisasi kekuatan untuk memperjuangkan supaya suatu subjek baru yang diberi nama ‘Pengajian Malaysia’ diajar dari sekolah rendah ke menengah terutamanya di sekolah aliran kebangsaan.

Kandungan subjek ini seharusnya berdasarkan kekuatan historiografi Malaysia yang ada sekarang, tetapi perlu digarap dengan sumbangan ilmu-ilmu lain, seperti sains dan teknologi, antropologi, sosiologi, sains politik, psikologi, geografi dan selainnya, yang secara keseluruhan menawarkan suatu pakej ‘sejarah sosial’ Malaysia yang tidak dikongkong oleh pendekatan history of winners and losers, heroes and villains.

Melalui wahana ini sejarah yang lebih terangkum sifatnya (inclusive history), yang menggaurkan naratif arusperdana dengan beberapa naratif lain, justeru memberinya ruang akademik yang sebelum ini dinafikan. Ini sesuai dengan konsep pembangunan terangkum (inclusive development) yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia. Dengan cara ini juga, sedikit demi sedikit, ilmu sejarah, sejarawan dan pensejarahan Malaysia mungkin dapat menembusi dan masuk ke ruang GTP (Government Transformation Plan) dan menjadi ‘pemandu’ sebenar kepada masa depan negara-bangsa.

Dalam hal ini saya ingin berkongsi pengalaman bersama rakan dalam Persatuan Sejarah Malaysia, khususnya, dan sejarawan Malaysia, amnya. Pada 2006, saya telah diberi mandat oleh Kabinet

Kerajaan Malaysia, melalaui Kementerian Pengajian Tinggi, untuk menyediakan satu Modul Hubungan Etnik bagi dijadikan rujukan wajib untuk ‘Kursus Hubungan Etnik’ di semua IPTA. Para pelajar boleh mengikuti kursus ini sepanjang mereka di universiti sehingga mereka lulus. Setiap tahun, bermula 2007, dianggarkan 20,000 siswa-siswi setiap tahun daripada semua fakulti --kedoktoran, sains dan teknologi, pergigian, sastera dan sains sosial, pengajian Islam, undang-undang dan pelbagai lagi bidang lain telah mengambil kursus ini dan berjaya menyelesaikannya.

Pendekatan yang saya gunakan untuk menyediakan modul ini adalah yang mengutamakan ilmu sejarah yang digabung dengan ilmu sains dan bukan sains, ilmu sejarah yang lebih terangkum, mengambil kira suara dan naratif sejarah pemerintah dan rakyat jelata. Dalam kata lain, saya gabungkan pendekatan dua cakrawala yang saya sendiri telah lalui dalam menguasai sejarah Malaysia.

Daripada laporan pensyarah yang kami terima mengenai kursus wajib ini dan rumusannya adalah seperti berikut: pertama, kursus ini telah menjadi ruang untuk siswa-siswi berbilang kaum untuk bertanya dan mengemukakan pendapat masing-masing mengenai kaum lain atau hubungan kaum; kedua, kerja kursus yang dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan terpulang kepada inisiatif dan inovasi pensyarah, sebahagian besar menggalakan kerja lapangan di mana pelajar keluar melihat sendiri fenomena budaya kaum-kaum lain; ketiga, pelajar perlahan-lahan telah lebih berani mengemukakan prejudis dan stereotaip masing-masing terhadap kaum lain dan hal ini dibincangkan untuk mencari maklumat tepat dan membina keperihatinan; keempat, pelajar mula menguasai konsep seperti asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi untuk mereka gunakan mengupas suasana pola perilaku dalam kumpulan etnik masing-masing atau antara etnik.

Impak utamanya kursus hubungan etnik ialah membina proses kesedaran am, atau conscientization process, mengenai hubungan antara etnik dan dalaman etnik serta cabaran berasaskan pendekatan multidisiplin dengan pengisian ilmu sejarah yang luas sifatnya. Sememangnya kursus ini diwujudkan untuk menyumbang kepada pembinaan bangsa. Maka sudah sampai waktunya kini untuk rakan-rakan daripada sains sosial, sains dan teknologi serta kajian kemanusiaan mengajak para sejarawan keluar daripada kepompong lama dan ikut sama turun padang memberikan ilmu sejarah di Malaysia nafas baru dalam konteks keperluan pembangunan negara-bangsa. Ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan badan-badan lain, dalam kerajaan dan berbentuk bukan kerajaan.

Saya sangat berharap inisiatif positif mesti dimulakan ke arah ini. Makanya saya cadangkan subjek ‘Pengajian Malaysia’ kerana ianya adalah suatu bidang yang ada program pengajian sarjana mudanya di UPSI. Daripada permulaan ini, bersifat tindakan konkrit dan dengan motivasi serta semangat “sejarah untuk semua, dapatlah nanti dibina satu persatu langkah untuk memperkukuh kedudukan sejarah dalam pembangunan negara-bangsa. Kalau tak pecah ruyung manakan dapat sagunya.