Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN AMALAN MEMBACA

Membaca jambatan ilmu. Namun budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.
Kajian menunjukkan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku
setahun. Negara kita yang sedang pesat membangun memerlukan rakyat yang berpengetahuan
tinggi untuk maju setanding dengan negara maju di dunia ibarat duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sedar akan pelbagai faedah yang bakal diperoleh
apabila mereka membaca? Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai
manfaat apabila seseorang mempraktikkan budaya membaca.

Ilmu penyuluh kehidupan dan membaca buku dapat menambahkan pengetahuan. Hal ini
demikian kerana melalui pembacaan seseorang dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada yang
berlaku di dalam negara atau di luar negara. Oleh hal yang demikian mereka tidak akan menjadi
seperti katak di bawah tempurung. Selain itu, melalui pembacaan, pembaca berpeluang mempelajari
sejarah dan budaya masyarakat dunia. Umpamanya mereka dapat mempelajari tamadun
Mesopotamia, Indus, Hwang Ho, Mesir Purba dan lain-lain. Pembaca juga dapat mengetahui budaya
masyarakat dunia yang sangat unik dan berbeza di negara yang berlainan. Oleh itu, untuk memupuk
budaya membaca ini, kita perlulah menggalakkan anak-anak ke perpustakaan dan membeli bahan
bacaan yang bersesuaian untuk mereka kerana banyak membaca luas pengetahuan dan membaca
ialah jendela ilmu.

Amalan membaca juga dapat menambah perbendaharaan kata dalam kalangan


pelajar. Dasawarsa, ramai pelajar lemah dalam kertas Bahasa Melayu kerana mereka kurang
menguasai kosa kata. Pelajar juga kurang cekap berbahasa Inggeris kerana kekurangan kosa kata
bahasa tersebut. Hal ini menghalang kejayaan pelaksanaan program MBMMBI iaitu usaha kerajaan
untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris ke arah menguasai
pelbagai ilmu pengetahuan pada peringkat globalisasi. Tabiat ini juga boleh menyumbang kepada
penemuan perkataan-perkataan dan istilah baharu terutamanya dalam bidang sains dan
teknologi. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, begitulah keadaannya apabila
membaca, kosa kata seseorang itu sentiasa bertambah dan khazanah bahasa seperti peribahasa dan
ungkapan menarik serta bunga-bunga bahasa semakin dikuasainya.

Seterusnya, tabiat membaca boleh membantu pelajar lulus cemerlang dalam akademik.
Tabiat membaca boleh membantu pelajar memahami sesuatu mata pelajaran dengan cepat dan
mudah. Peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai kepada pelajar yang rajin
membaca kerana tabiat membaca juga dapat meningkatkan mutu akademik pelajar.

Tabiat membaca merupakan aktiviti masa senggang yang sangat berfaedah. Masa itu emas,
oleh itu seseorang seharusnya mengisi masa lapang dengan berfaedah seperti mengamalkan hobi
membaca buku. Negara kita memerlukan rakyat yang berpengetahuan untuk membangunkan
negara. Sebagai contoh, masyarakat di negara Jepun yang maju menjadikan amalan membaca
sebagai budaya hidup mereka. Di negara matahari terbit itu, kita dapat menemukan masyarakat
Jepun yang membaca buku ketika di dalam kereta api, di stesen bas, di taman-taman, atau di mana-
mana sahaja. Sebaliknya, di negara kita, rakyat kita suka berbual-bual kosong di kedai kopi, bermain
dam di atas wakaf, atau melepak di pusat-pusat beli belah. Kesimpulannya, jelaslah bahawa rakyat
yang banyak membaca berupaya menjamin kemajuan negara.
Tabiat membaca juga adalah pemangkin kemajuan negara. Hal ini demikian kerana kemajuan
sesebuah negara tidak dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga diukur pada
kemajuan intelektual rakyatnya. Rakyat berilmu mencerminkan kemajuan sesebuah
negara. Sekiranya negara kita dapat mengurangkan kadar buta huruf secara tidak langsung, taraf
pendidikan di negara kita turut meningkat dalam usaha melahirkan rakyat bertamadun tinggi.
Sejarah telah membuktikan bahawa pembangunan tamadun keintelektualan manusia bermula
daripada buku. Sebagai misalannya, kemajuan Kota Baghdad telah muncul sebagai pusat penyebaran
ilmu yang unggul di dunia suatu ketika dahulu disebabkan ledakan ilmu menerusi penulisan dan
penterjemahan pelbagai buku dari seantero dunia. Tuntasnya, melalui tabiat membaca, kita dapat
melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Natijahnya, berdasarkan faedah-faedah yang telah dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh
bahawa tabiat membaca amat signifikan untuk membangunkan intelektual rakyat negara
ini. Tegasnya, tabiat membaca berupaya menjayakan hasrat negara menjadi negara maju dalam
Wawasan 2020. Tabiat membaca harus dipupuk ibarat sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit ke
arah meningkatkan purata pembacaan rakyat negara ini. Sesungguhnya semua pihak harus
berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk meningkat budaya membaca dalam kalangan
masyarakat kerana tamadun kebendaan tidak pernah kekal tetapi tamadun ilmu boleh merentas
zaman.

Anda mungkin juga menyukai