Anda di halaman 1dari 5

1.

0 PENDAHULUAN
Pengurusan bilik darjah dapat didefinasikan sebagai kemahiran guru dalam menguruskan
aktiviti, pengajaran, susunan fizikal dan keadaan psikososial di dalam bilik darjah bagi
mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra, iaitu mengurangkan masalah tingkah laku
murid (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel, 2016).

Terdapat pelbagai masalah disiplin dan tingkah laku bermasalah yang mungkin
berlaku di dalam bilik darjah setiap hari. Malah, punca masalah juga berbeza bagi setiap
murid. Sehubungan dengan itu, pengurusan yang efesien oleh guru dapat membantu
kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus meminimumkan masalah disiplin
dan salah laku murid.

2.0 ISU DISIPLIN DAN CARA MENGATASI


Sememangnya tidak dapat dinafikan profesion perguruan pada masa kini semakin
mencabar apabila guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah kemerosotan
disiplin dan salah laku murid. Lebih banyak masalah disiplin melibatkan murid berlaku
kerana pengurusan bilik darjah hari ini yang dilihat lemah dan tidak dapat menarik minat
murid untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah (Abd.
Rahman, 2003). Mengikut Mok Soon Sang (2011), pengurusan bilik darjah akan lemah
tanpa kewujudan hubungan positif antara guru dan murid. Hal ini kerana, hubungan positif
antara guru dan murid dapat membantu mengurangkan masalah salah laku dalam kalangan
murid kerana teguran yang diberikan oleh guru untuk memperbaiki tingkah laku murid dapat
diterima dengan mudah dan terbuka sekiranya hubungan antara guru dan murid adalah baik
(Shoba, 2007). Justeru, guru memainkan peranan yang sangat signifikan untuk mewujudkan
hubungan positif antara guru dengan murid bagi mengawal disiplin pelajar di dalam serta di
luar bilik darjah.

Hubungan guru-murid yang tidak terjalin dengan baik boleh menyebabkan murid
tidak hormat kepada guru. Sikap kurang hormat murid terhadap guru merupakan teras
kepada beberapa masalah disiplin yang lain seperti tidur di dalam bilik darjah, bermain,
membuat bising, mengganggu rakan lain. ponteng dan sebagainya (Bity Salwana, Ahmad
Basri, Ramlee & Mohammed Sani, 2009). Kebanyakan guru menyalahkan sikap murid yang
tidak menghormati mereka namun sebenarnya nilai hormat-menghormati ini bermula
daripada guru. Guru seharusnya memodelkan nilai dan tingkah laku yang diingini bukan
sekadar menasihati murid tentang nilai dan tingkah laku yang perlu diikuti (Haliza Hamzah
dan Joy Nesamalar Samuel, 2016). Sebagai contoh, apabila seorang guru berkelakuan
positif serta melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik di dalam bilik darjah maka guru
tersebut secara automatiknya akan menjadi role model atau contoh teladan kepada murid-
muridnya. Ini selaras dengan teori Permodelan Albert Bandura (1963). Menurut teori ini,
modifikasi tingkah laku menekankan peniruan melalui pemerhatian tingkah laku seorang
model yang disanjungi yang secara tidak langsung mengubah tingkah lakunya (Bosch,
2006). Maka disini guru yang mempamerkan etika yang baik serta disiplin yang kukuh akan
menjadi model kepada murid-murid. Murid yang mencontohi guru sebegitu sudah tentu akan
menghormati guru dan tidak akan terlibat dengan sebarang masalah disiplin. Oleh itu,
adalah wajib bagi seseorang guru itu untuk memaparkan tingkah laku yang positif di dalam
bilik darjah kerana tingkah laku guru melambangkan keperibadian dirinya.

Selain itu, masalah salah laku yang paling kerap berlaku dalam kalangan murid
semasa berada di bilik darjah adalah suasana kelas yang terlalu bising. Guru menghadapi
kesukaran mengawal murid di bilik darjah kerana suasana kelas yang terlalu bising yang
menyebabkan mereka tidak fokus pada pengajaran guru (Juahir, 2006). Kajian menunjukkan
bahawa apabila guru berupaya membina hubungan positif dengan murid, murid lebih
senang dikawal dan suasana saling berkerjasama antara guru-murid dapat ditingkatkan
(Jensen, 2013). Sebagai contoh, guru memberikan kata-kata motivasi dan pujian kepada
murid yang memberi respon positif semasa berkomunikasi dan sebaiknya guru elakkan
menggunakan perkataan kasar sekiranya ingin menegur kesalahan murid. Kata-kata yang
kesat dari seorang guru hanya akan melemahkan semangat murid untuk memperbaiki sikap
dan murid sebaliknya cenderung untuk membina jurang antara guru dan murid.

Perkara ini disokong oleh model modifikasi tingkah laku B.F Skinner (1904-1990)
seperti dalam Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2014) yang berpendapat bahawa tingkah
laku seseorang boleh diubah atau diubahsuai. Pendekatan yang digunakan oleh model ini
adalah prinsip peneguhan yang mana peneguhan positif dan negatif diberikan kepada murid
untuk meneguhkan atau meningkatkan lagi tingkah laku yang diingini contohnya seperti
memberi perhatian dan tidak membuat bising di dalam kelas (Hasani Dali & Mohd Johdi,
2009). Peneguhan positif adalah berupa ganjaran, pujian, token dan sebagainya yang
diberikan kepada murid. Manakala peneguhan negatif merupakan penarikan rangsangan
atau hak istimewa murid seperti mengambil bahan rangsangan yang menggangu murid
contohnya komik, dengan harapan murid akan kembali memberi perhatian kepada guru.
Hasilnya, dengan penerapan teknik intervensi yang sesuai, hubungan positif antara guru-
murid dapat diwujudkan sekaligus membantu guru mengawal dan mengurus murid-murid
yang bising tadi dengan lebih efektif.

Di samping itu, isu murid ponteng dan tidak berminat untuk belajar seringkali
menimbulkan permasalahan dan tekanan kepada guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa
(Johari Hassan & Nik Selma Muhammad, 2011). Murid ini kebiasaannya sering dilihat keluar
merayau sewaktu pengajaran dan pembelajaran dijalankan dan hal ini mungkin
menyebabkan berlakunya aktiviti negatif di kalangan pelajar. Hubungan pasif antara guru-
murid serta suasana kelas yang tidak menarik merupakan salah satu punca yang
menyebabkan murid tidak berminat dalam sesuatu mata pelajaran (Abdullah Sani, Abdul
Rashid & Abdul Ghani, 2007). Sekiranya guru tidak berusaha menarik minat mereka, murid-
murid ini akan hilang motivasi untuk belajar dan seterusnya mendorong murid ini untuk
ponteng sekolah. Oleh hal yang sedemikian, untuk memastikan hubungan yang positif dapat
dibina antara guru-murid, salah satu inisiatif yang boleh dilakukan guru adalah dengan
menyemai semangat cinta murid terhadap kelas mereka. Semangat cinta terhadap kelas
dalam kalangan murid boleh membangkitkan motivasi intrinsik kepada mereka untuk datang
ke kelas (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel, 2016). Sebagai contoh, guru
berbincang bersama-sama murid untuk menghasilkan moto atau cogan kata yang
melambangkan semangat ahli di dalam kelas. Penglibatan guru secara tidak langsung ini
akan membuatkan murid merasakan guru peduli dan mengambil berat terhadap kewujudan
mereka. Justeru, rasa kepunyaan yang dipupuk terhadap kelas menjadikan kelas tempat
yang seronok untuk belajar dan masalah disiplin seperti ponteng dapat dikurangkan.

Intervensi ini sangat bersesuaian dengan model Beyond Discipline yang dipelopori
oleh Alfie Kohn. Alfie Kohn menggariskan komuniti bilik darjah yang penyayang yang mana
murid mempunyai rasa kepunyaan di dalam bilik darjah dan menghargai antara satu sama
lain (Kohn, 2001). Menurut Kohn, apabila murid melihat diri mereka di dalam kelas sebagai
individu penting antara satu sama lain dan juga kepada guru, jalinan positif antara guru dan
murid-murid dapat dibina. Hasilnya, mereka akan berasa gembira berada di dalam bilik
darjah dan bermotivasi untuk belajar.

3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, guru seharusnya melengkapkan diri dengan pengetahuan yang cukup
berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak serta cara menangani masalah disiplin. Hal
demikian kerana, setiap murid mungkin menunjukkan pelbagai tingkah laku yang berbeza
dan sesetengah tingkah laku mungkin sukar diterima dan boleh menimbulkan pelbagai
masalah disiplin. Justeru, langkah pencegahan dan intervensi yang sesuai oleh guru sangat
penting untuk membantu guru menangani masalah disiplin yang wujud di dalam bilik darjah.
Intervensi yang tidak sesuai akan membuatkan masalah tingkah laku murid bertambah teruk
dan akhirnya menjejaskan perjalanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang
dirancang. Sebaliknya dengan pengurusan bilik darjah yang lancar, guru dapat memastikan
murid-murid mendapat peluang untuk memperoleh hasil pembelajaran yang dirancang.
4.0 RUJUKAN
Abdul Rahman Chik. (2003). Satu Tinjauan Mengenai Stail Tindakan Guru Tingkah laku
Negatif Pelajar di Bilik Darjah. Tesis Sarjana: Universiti Teknologi Malaysia

Abdullah Sani, Abdul Rashid Mohamed & Abdul Ghani Abdullah. (2007). Guru Sebagai
Pemimpin. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Bity Salwana, Ahmad Basri, Ramlee dan Mohammed Sani. (2009). Kompetensi Pengetua
Sekolah Menengah Malaysia Dalam Bidang Pengurusan Kurikulum. Tesis Sarjana,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Bosch, K. (2006). Planning Classroom Management - A Five-Step Process to Creating a


Positive Learning Environment (2nd ed.) California: Corwin Press.

Haliza Hamzah & Samuel, J.N. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku (1st ed).
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah
Laku (2nd ed). Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mohd Hasani Dali dan Mohamad johdi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik darjah, Dalam
Noraini Idris dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembelajaran: Teori dan Praktis.
Kuala Lumpur: Mc Graw Hill. Pps 161-188.

Juahir Mondakir. (2006). Meningkatkan Kecekapan Mengurus salah laku disiplin dalam
bilik darjah oleh guru-guru SMK Raja Abdullah melalui Program Jom Gempur.
Laporan Kajian Tindakan: SMK Raja Abdullah, Kuala Lumpur.

Johari Hassan dan Nik Selma Muhammad. (2011). Faktor-faktor Yang Menyebabkan
Masalah Ponteng Sekolah di Sekolah Menengah Daerah Kulaijaya, Johor. Tesis
Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Jensen, E. (2013). Engaging Students with Poverty in Mind, dalam Roth, J. (2015).
Classroom Management for Successful Instruction, Huntington Beach: Shell
Education.

Kohn, A. (2001). Beyond Discipline: From Compliance to Community. Upper Saddle River.
NJ: Merill/ Prentice Hall.

Mok Soon Sang. (2011). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. (3rd ed.) Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Shoba, K. (2007). Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kemerosotan Disiplin di Kalangan


Pelajar Sekolah Menengah di Johor. Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Teknologi
Malaysia, Skudai.

Anda mungkin juga menyukai