Anda di halaman 1dari 12

Seni ialah keupayaan untuk menghasilkan sesuatu, termasuk tujuan dan

sebabAristotle

Hal ini menggambarkan bahawa seni itu sangat mempengaruhi tingkah laku dan peradaban
manusia sejak dari awal hingga zaman kini. Seni melalui penggunaan simbol-simbol atau
menggambarkan sesuatu pernyataan adalah merupakan suatu kaedah berinteraksi secara langsung
dan tidak langsung. Unsur-unsur dan prinsip seni boleh membawa makna dan perlambangan yang
bersifat universal atau bersifat setempat. Sejak Zaman Batu hingga kini, perlambangan dan simbol
dapat menjelaskan maksud dan makna bersesuaian dengan masa dan keadaan. Melalui
pengetahuan seni, kefahaman terhadap nilai dan makna dapat dipertingkatkan. Untuk melihat
kesan psikologi pelajar menjurus kepada Pendidikan Seni Visual, kita perlu melihat perkembangan
minda kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti mereka seharian yang berkaitan perkembangan tahap
kreativiti mereka. Kanak-kanak biasanya sangat suka meconteng dinding, lantai atau di mana-
mana sahaja.

Seni adalah suatu bentuk komunikasi sejagat dengan pelbagai budaya dan peradapan sama
seperti pernyataan sejarah. Seni merakamkan pencapaian manusia dan menggambarkan tentang
nilai, kepercayaan dan sikap sosial. Setiap budaya mempengaruhi pemikiran, nilai dan sikap
seniman melalui kajian catan, arca, seni bina, kraf dan berbagai artifek sejarah yang berkaitan
dengan Seni. Seni juga membolehkan kita memahami dan mengetahui peradaban dan
perkembangannya serta pengaruh antara sesuatu budaya dengan budaya yang lain. Karya seni
adalah merupakan rakaman sejarah dan budaya secara tampak.

Implikasi pendidikan seni visual dalam perkembangan psikologi, sosial dan budaya tidak
dapat dinafikan lagi. Seperti contoh, aspek ini telah wujud dalam diri seorang artis terkenal
Malaysia iaitu Dzulkifli Buyong. Dzulkifli Buyong menerapkan aspek-aspek seperti suasana
kampung dan budaya. Salah satu contoh karya beliau adalah Kelambu 1964. Bagi mendalami dan
mengenalpasti aspek-aspek sosial dan budaya yang terdapat dalam karya kelambu beliau ini
haruslah ada apresiasi dan kritikan seni. Apresiasi merupakan penghargaan dan pengiktirafan
terhadap sesuatu karya sastera atau seni menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka. Menurut
Mohd Johari (2004) menyatakan, Apresiasi seni ialah aktiviti seperti menonton, menghayati, atau
apresiasi seni juga merupakan salah satu bidang kritikan seni. Beliau memetik tulisan Zakaria Ali
(1998), bahawa penghargaan atau apresiasi seni adalah satu latihan yang memerlukan penglibatan
sepenuhnya deria pandang dan sentuh.

Kritikan seni pula merupakan perbincangan secara ilmiah tentang karya seni serta apa
sahaja yang berkaitan dengan karya tersebut samada secara lisan atau diterbitkan sebagai artikel
dalam jurnal, majalah atau akhbar. Pengetahuan mengenai biografi seniman juga amat penting
kerana ia juga turut dibincangkan. Aspek persekitaran dimana seniman tinggal, gaya hidup,
percintaan dan pelbagai isu peribadi turut disentuh kerana semua itu mempengaruhi ekspresi dalam
pengkaryaan. Perbincangan lebih tertumpu kepada mendalami aspek formal yang terlibat dalam
penghasilan karya. Seterusnya kritikan dibuat terhadap temaserta makna yang cuba disampaikan
oleh pengkarya. Aktiviti kritikan disudahi dengan sedikit penilaian dimana penghayat akan
membuat pertimbangan secara formalisme, ekspresiviseme daninstrumentalisme terhadap karya
yang dikritik.

Tajuk karya: Kelambu

Nama pengkarya: Dzulkifli Buyung

Tahun: 1964

Media: Pastel
Melihat dari segi pengisian di dalam menghasilkan karya, kebudayaan masyarakat
sebenarnya jelas menjadi tunjang serta akar umbi penceritaan makna karya tersebut. Biarpun
melihat dari sudut gerakan seni barat, kebudayaan mereka sebenarnya menjadi isi utama terhadap
penghasilan karya. Dengan mengambil karya karya Pop sebagai contoh, kita dapat melihat Andy
Warhol menjadikan imej imej produk popular di negara barat ketika itu seperti Campbells
soup serta Brillo didalam menghasilkan karyanya. Jelas terlihat bahawa beliau menjadikan
kebudayaan masyarakat ketika itu sebagai isi didalam karyanya biarpun penceritaan sebenarnya
adalah lebih kepada pemberontakkan serta pembaharuan terhadap senario seni ketika itu dengan
mengangkat subjek-subjek konsumer sehingga mencapai nilai estetik.

Begitu juga dengan apa yang berlaku didalam kesenian di Malaysia. Bermula dengan
kewujudan kesenian kraf Melayu seperti ukiran kayu, songket, batik, serta permainan tradisional,
kesenian Malaysia dari sudut seni tampak terus berkembang sehingga ke hari ini. Seni moden di
Malaysia telah mula bertapak seawal tahun 30-an dengan mendapat pengaruh dari pendekatan
barat. Walaubagaimanapun, kesenian yang diterapkan masih lagi berpandukan serta berintikan
kebudayaan masyarakat di negara ini biarpun pendekatan barat telah mula menjejakkan kaki ke
negara ini. Hal ini demikian kerana, banyak pengkarya di negara ini telah mula mendapat
pendidikan di luar negara dan beberapa individu seperti Cheong Soo Peng, Chen Wen His dan
Georgette Chen dari kumpulan Pengkarya Nanyang yang merupakan imigran dari negara China,
telah membawa pengaruh seni barat serta china dan seterusnya membuka Akademi Seni Nanyang
di Singapura pada Tahun 1938 (Mahamod, 2007).

Ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila seni moden di Malaysia mula berkembang
melalui kewujudan persatuan, gerakan serta kumpulan seni, sama seperti apa yang berlaku di
eropah. Bermula pada tahun 1930 an, kumpulan catan air Penang (Penang Watercolourist)
memainkan peranan dengan menghasilkan karya yang merakam keindahan pemandangan di tanah
air. Menurut Piyadasa, Malaysia terlibat didalam peghasilan catan easel (easel painting) bermula
pada tahun 1930-an yang melibatkan sekumpulan pelukis catan air dari Penang (Penang
Watercolourist), (Mahamod, 2007). Karya karya dari kumpulan ini banyak merakamkan
pemandangan indah di Malaysia ketika itu. Walaupun karya-karya tersebut hanyalah sekadar catan
air yang memperlihatkan pemandangan sebagai subjek, namun ia sebenarnya mempunyai isi yang
lebih besar dari itu. Karya- karya tersebut menjadi satu dokumentasi sejarah serta merakam
perkara-perkara penting di Tanah Melayu contohnya kedatangan imigran cina melalui catan Bumi
Bahagia-Lombong Bijih Timah Malaya oleh Abdullah Arif yang amat bermakna kepada generasi
masa kini serta akan datang.

Selain dari persatuan Penang Watercolorist dan Persatuan Pengkarya Nanyang terdapat
sebuah lagi kumpulan seni yang diberi nama Wednesday Art Group yang turut memainkan peranan
penting di dalam perkembangan seni tampak moden di Malaysia. Dengan menampilkan Peter
Harris, seorang pengkarya barat dan pendidik seni sebagai individu yang bertanggungjawab
menubuhkan kumpulan seni ini sekitar tahun 1950-an, Wednesday Art Group telah
mengumpulkan ahli-ahli kumpulan lain seperti Ismail Mustam, Dzulkifli Buyong dan Patrick Ng
Kah Onn. Dengan kewujudan kumpulan seni ini, pengaruh seni barat menjadi semakin kuat
didalam arena seni Malaysia. Namun pengkarya di dalam kumpulan ini seringkali menjadikan
pemandangan, tema tempatan isu sosial, serta lukisan figura sebagai subjek di dalam karya mereka.
Identiti yang diwujudkan masih lagi menjadikan kebudayaan Melayu sebagai intipati yang utama.
Salah seorang pengkarya dari Wednesday Art Group, Dzulkifli Buyung, seringkali menggunakan
imej- imej figura didalam di dalam karyanya dan beliau menerapkan unsur-unsur kebudayaan
melayu didalam karya beliau. Terdapat beberapa karya beliau yang telah menjadi catatan sejarah
seni moden Malaysia seperti Murid sekolah, 1962, Kelambu, 1964, Kapal Kertas, 1966,
Membakar Semut, 1967.

Di dalam salah satu karya beliau iaitu Kelambu, 1964 dapat dilihat dengan jelas bahawa
beliau gemar menggunakan watak watak figura yang naif didalam karyanya. Apa yang ternyata
di dalam karya adalah imej lima figura wanita dan juga imej kelambu yang menjadi subjek utama
di dalam karya beliau. Setiap figura yang ditampilkan di dalam karyanya membawa watak yang
tersendiri. Empat figura didalam karya tersebut membawa watak sebagai anak gadis manakala
seorang lagi figura memainkan peranan sebagai ibu menjelaskan bahawa kesemua figura didalam
karya tersebut adalah sebuah keluarga. Figura figura didalam catan tersebut memperlihatkan
pergerakan yang mendorong kepada visual yang menjelaskan bahawa mereka sedang melakukan
tugas masing-masing. Catan tersebut juga memperlihatkan suasana di dalam bilik dimana situasi
yang dirakamkan adalah persiapan keluarga tersebut sebelum tidur bersama. Figura yang
berperanan sebagai ibu dilihat sedang memasang ubat nyamuk bagi mengelakkan dari gigitan
nyamuk dan kemungkinan dia tidur di luar.
Figura-figura yang berperanan sebagai anak gadis pula menunjukkan tugas masing-
masing, seorang daripada mereka sedang menutup jendela, seorang lagi sedang memasang tali
kelambu, terdapat seorang yang sudah berada di dalam kelambu sambil membaca buku dan
seorang lagi mendamparkan badan keatas kelambu dengan memaparkan eksperesi muka yang
begitu menikmati suasana ketika itu. Warna yang digunakan pula lebih kepada warna-warna coklat
serta mempunyai ton yang gelap. Di dalam karya catan tersebut juga memaparkan beberapa identiti
masyarakat Melayu dengan jelas seperti pakaian yang dikenakan pada figura iaitu kain batik, baju
kurung, pelita dan juga motif seperti sulaman pada bantal. Selain itu perwatakan serta karakter
figura tersebut juga memperlihatkan nilai kemelayuan dari apa yang dilihat pada rambut figura ibu
yang bersanggul.

Penerapan nilai dan budaya: rambut Penerapan nilai dan budaya: tolong-
figura ibu bersanggul menolong
Melalui karya Dzulkifli Buyung ini, aspek-aspek formal dalam menghasilkan karya dapat
dilihat dengan jelas dan beliau banyak mengaplikasikan penggunaan elemen serta prinsip seni
dalam karyanya. Komposisi yang digunakan jelas memperlihatkan keseimbangan simetri dimana
figura disusun dengan seimbang di sebelah kiri dan kanan serta imej kelambu yang berada
ditengah-tengah komposisi menguatkan lagi keseimbangan didalam karya tersebut. Selain itu,
penggunaan perspektif telah mewujudkan komposisi yang jelas didalam karya dimana terdapat
imej yang berada dihadapan, ditengah dan juga berada dibelakang. Bayang pada kelambu dan juga
dinding bilik lebih menjelaskan komposisi hadapan, tengah dan belakang melalui pencahayaan
yang diterapkan.

Warna yang digunakan oleh beliau merupakan warna-warna yang mendapat pengaruh
warna coklat yang melambangkan warna tanah serta warna yang menimbulkan suasana kampung.
Tona yang digunakan pula lebih kearah tona gelap bagi menimbulkan suasana malam . Namun
tidak kesemua warna yang digunakan adalah warna yang bersifat bosan (dull), masih terdapat
penggunaan warna yang cerah terutamanya pada figura dalam catan tersebut dan ini telah memberi
fokus kepada imej-imej tersebut. Penggunaan warna amat berkait rapat dengan media yang
digunakan oleh beliau didalam karya tersebut. Media yang digunakan didalam karya tersebut dan
hampir kesemua karya beliau adalah pastel. Melalui penggunaan media itu sendiri, telah terlihat
karektor yang ingin disampaikan oleh beliau iaitu tema zaman kanak-kanak.

Dengan pengaplikasian elemen dan prinsip seni, semakin jelas bahawa perkembang
pendekatan barat semakin kuat bertapak dalam seni moden Malaysia. Seni moden Malaysia
semakin berkembang dan mewujudkan gayanya yang tersendiri. Apa yang menarik mengenai
visual yang ditampilkan oleh Dzulkifli Buyung dalam setiap karyanya adalah pengolahan imej
figura yang lebih menjurus kearah imej lukisan kanak-kanak dan berbentuk seni naif (naive art).
Beliau telah membentuk sebuah identiti tersendiri bagi dirinya dan juga bagi seni tampak moden
di Malaysia walaupun Dzulkifli Buyung sebenarnya banyak menunjukkan pengaruh dari guru
beliau iaitu Patrick Ng Kah Onn. Sebagai salah seorang ahli kumpulan Wednesday Art Group
(WAG), beliau amat menepati kehendak atau tujuan kumpulan tersebut untuk keluar dari apa yang
telah dilakukan sebelum ini dalam dunia seni tampak Malaysia. WAG beranggapan bahawa nilai
estetik melalui pendekatan Kumpulan Nanyang adalah terlalu tradisional dan mereka ingin
membentuk gaya baru yang jelas memaparkan keindahan Melayu didalam karekter yang dibawa
(Ahmad, 2008).

Warna coklat yang dominan: mempamerkan


suasana kampung

Apabila melihat kepada karya Dzulkifli Buyung ini, amat jelas tergambar bahawa makna
yang ingin disampaikan adalah berkaitan dengan keindahan budaya Melayu. Walaupun dengan
hanya mengambil situasi yang mudah sebagai contoh situasi sebuah keluarga ketika hendak tidur,
namun penekanan yang amat berat terkandung disebalik karya tersebut. Apa yang dapat dijelaskan
adalah karya ini mengandungi sentimen kasih sayang di dalam sesebuah keluarga. Selain itu, dapat
dijelaskan juga bahawa karya ini turut memaparkan nilai pengorbanan seorang ibu demi anak-
anaknya dimana, melalui visual yang diwujudkan, si ibu berkemungkinan tidur diluar sebaliknya
anak-anak gadisnya pula tidur di dalam kelambu tersebut. Si ibu sanggup membiarkan dirinya
terdedah kepada gigitan nyamuk di malam hari demi memastikan keselesaan anak-anaknya.
Didalam karya tersebut, dilihat tiada katil digunakan dan keluarga di dalam catan tersebut tidur
hanya beralaskan tilam menggambarkan kesusahan hidup mereka.
Melihat dari konteks kebudayaan Melayu, kasih sayang merupakan salah satu elemen yang
amat ditekankan didalam masyarakat. Kasih sayang merupakan suatu perkara yang amat indah dan
ianya seringkali diterapkan di dalam masyarakat Melayu melalui pelbagai cara seperti didalam
pepatah dan peribahasa Melayu. Orang Melayu dahulu mungkin tidak mempunyai kekayaan dari
segi harta benda dan material, namun mereka kaya dengan kasih sayang yang cukup membuatkan
hidup mereka gembira. Kebijaksanaan Dzulkifli Buyung didalam menghasilkan karya jelas
dimana beliau mampu untuk menggunakan metafora atau perumpamaan yang amat mudah
didalam menyampaikan ideanya yang membawa makna yang mendalam. Karya-karya yang
dihasilkan oleh beliau banyak menumpukan kepada tema zaman kanak-kanak. Karya beliau
menunjukkan kegembiraan, kenakalan, keharmonian dan keriangan zaman kanak-kanak melalui
aktiviti harian mereka.

Kanak-kanak digambarkan bermain dengan riang dan berjenaka didalam pesekitaran


tempatan yang menggambarkan motif serantau di dalam identiti tempatan (Mahamod, 2007).
Dzulkifli Buyung mungkin mendapat pengaruh yang amat besar daripada guru beliau iaitu Patrick
Ng Kah Onn, namun melalui pengolahan serta stailisasi yang dilakukan oleh beliau terhadap figura
mempunyai karektor kartun dan karikatur telah membentuk identitinya yang tersendiri dan lebih
menampakkan kebudayaan tempatan. Didalam karya tersebut juga, apa yang dapat dilihat secara
tersurat adalah identiti budaya tempatan melalui penggunaan imej seperti kelambu, kain batik,
bantal serta suasana bilik. Kelambu merupakan pelindung yang digunakan oleh masyarakat
Melayu terutamaya masyarakat kampung untuk melindungi dari gangguan nyamuk ketika waktu
tidur.

Perkara yang tidak dapat disangkal apabila melihat karya bertajuk Kelambu oleh
Dzulkifli Buyung adalah kebijaksanaan beliau didalam menyampaikan mesej mengenai keindahan
kebudayaan Melayu di dalam karyanya. Walaupun berlainan dari sudut konteks penyampaiaan,
iaitu melalui pendekatan seni tampak moden, namun beliau masih tidak lupa mengenai keindahan
serta kecantikan kebudayaan Melayu. Mungkin pengalaman hidup beliau telah menyebabkan
beliau terdorong untuk menghasilkan karya-karya yang merakamkan kenangan zaman kanak-
kanak didalam karyanya. Apa yang penting adalah bagaimana beliau melihat situasi yang amat
mudah, mempunyai elemen-elemen estetik untuk dizahirkan didalam karya. Dengan menyelitkan
keindahan kebudayaan Melayu, karya yang dihasilkan oleh beliau menjadi sesuatu yang cukup
kuat dari segi penceritaan serta keindahan warisan kebudayaan.

Secara peribadi, saya menyatakan bahawa karya Dzulkifli Buyung banyak menyentuh
emosi, jiwa serta kenangan sewaktu kecil. Mungkin kerana saya juga pernah mengalami serta
merasai situasi tersebut sewaktu kecil dahulu ketika berada di kampung. Setiap imej yang
dipaparkan didalam karya beliau seperti bantal, kelambu, pakaian, suasana bilik, serta situasi
melambangkan keindahan masyarakat Melayu. Mengambil contoh bantal dan juga kelambu
didalam karya tersebut, jelas bahawa masyarakat Melayu suatu ketika dahulu memang
menggunakan peralatan tersebut didalam kehidupan seharian mereka, bantal yang mempunyai
sulaman bunga dan kelambu yang diikat pada penyangkut. Perkara tersebut merupakan identiti
yang dimiliki oleh orang Melayu walaupun ianya hanya peralatan harian namun ianya
mengandungi nilai sentimental yang amat tinggi dan juga berkaitan dengan kehidupan masyarakat
Melayu suatu ketika dahulu.

Dzulkifli Buyung melihat perkara-perkara tersebut sebagai suatu saat (moment) yang
penting untuk dizahirkan didalam karya beliau. Karya tersebut dihasilkan pada tahun 1964 dan
ianya masih kekal sehingga ke hari ini. Masyarakat kini mungkin tidak mengenali dan
menggunakan kelambu sebagai salah satu peralatan di dalam kehidupan mereka walhal, ianya
pernah menjadi sesuatu yang sinonim terhadap kehidupan masyarakat Melayu. Lantas, ianya
menjadikan karya tersebut sebagai catatan serta dokumentasi mengenai keindahan budaya Melayu,
sesuatu yang amat penting kepada sejarah seni moden Malaysia dan juga masyarakat secara
umumnya.

Karya tersebut menjadi jaminan didalam memelihara salah satu kebudayaan serta
keindahan masyarakat Melayu agar terus dikenali oleh generasi akan datang. Memang sudah
ternyata dengan jelas bahawa fungsi sesebuah karya seni adalah sebagai sebuah dokumentasi
didalam mencatat perjalanan sejarah kerana ianya wujud didalam tempoh masa tertentu. Dan
apabila melihat terhadap karya Dzulkifli Buyung, dapat dibuktikan bahawa ianya merupakan
catatan sejarah yang penting terhadap masyarakat lebih-lebih lagi apabila pengkarya begitu peka
serta menitikberatkan elemen kebudayaan didalam karyanya. Seperkara lagi yang menjadikan
karya ini sebagai sebuah karya yang sangat kuat dan berjaya adalah elemen kasih sayang antara
keluarga yang ditonjolkan secara tersirat didalam karya ini. Seperti yang dijelaskan sebelum ini,
masyarakat Melayu amat menitikberatkan kasih sayang didalam kehidupan seharian sehinggakan
wujud peribahasa seperti air dicincang tak akan putus dan pelbagai lagi.

Kasih sayang diterapkan didalam setiap aktiviti, perlakuan dan perbuatan. Jika orang barat
memerlukan televisyen untuk mereka duduk meluangkan masa bersama keluarga, masyakat
Melayu sebaliknya dapat menunjukkan aliran nilai kasih sayang mereka dengan hanya
berbekalkan sebuah kelambu dan melalui aktiviti yang begitu mudah dan asas iaitu tidur. Begitulah
apa yang divisualkan oleh Dzulkifli Buyung didalam karyanya. Beliau berjaya membuktikan
bahawa setiap detik di dalam kehidupan masyarakat Melayu biarpun dari pengalaman kanak-kanak
ataupun melalui situasi yang amat mudah, mempunyai keindahannya yang tersendiri. Secara
keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa karya tersebut berjaya mencapai darjah yang tinggi
didalam tahap nilai estetik kerana telah meliputi kecemerlangan dari segi aspek formal serta makna
yang terkandung.

Sebagai penutup, dapat dijelaskan bahawa pengkarya di negara ini telah mengalami
perubahan didalam pengaplikasian seni dari konteks seni moden di Malaysia. Pendekatan barat
telah diterima di dalam menjalankan penghasilan karya, namun apa yang menjadikan pengkarya
di negara ini memiliki identiti tersendiri adalah bagaimana elemen serta pegisian berkaitan
keindahan kebudayaan serta masyarakat Melayu diterapkan didalam makna serta kandungan bagi
karya mereka. Banyak perkara telah mempengaruhi diri mereka dan salah satu di antaranya adalah
cara hidup dan masyarakat itu sendiri. Dzulkifli Buyung merupakan salah seorang pengkarya yang
banyak memainkan peranan di dalam menjadikan keindahan budaya Melayu sebagai sebuah
intipati pengisian makna didalam karya beliau. Beliau melihat bahawa keindahan terdapat di dalam
kehidupan harian masyarakat Melayu biarpun dari ruang lingkup aktiviti yang sangat mudah serta
kenangan dari zaman kanak-kanak. Kejayaan beliau serta beberapa pengkarya lain menerap masuk
elemen keindahan budaya Melayu didalam karya telah mewujudkan satu titik tolak yang penting
didalam mengangkat apresiasi seni moden di negara ini sebagai suatu perkara yang penting kepada
masyarakat.
Dengan menganggap kebudayaan masyarakat sebagai suatu warisan yang amat berharga,
beliau tidak menjadikan cabang seni moden di Malaysia sebagai suatu lapangan yang kompleks
untuk dijadikan medium bagi membawa keindahan kebudayaan masyarakat itu sendiri. Tidak
bermakna karya yang dihasilkan oleh beliau adalah terlalu naratif atau terlalu bercerita, namun
beliau sebenarnya telah membuat pernyataan yang sangat tepat melalui karyanya iaitu didalam
cara hidup serta masyarakat itu sendiri, telah terpapar keindahan dan ketinggian martabat budaya
masyarakat Melayu. Memang perkara tersebut menjadi suatu kenyataan dimana di dalam
kehidupan masyarakat Melayu, terkandung pelabagai keindahan budaya seperti berbudi bahasa,
sopan santun dan kasih sayang. Proses menggambarkan kehidupan sosial masyarakat di dalam
karyanya telah menjadikan karya beliau mempunyai identiti tersendiri lebih-lebih lagi apabila
beliau lebih kearah mengstailisasikan karekter didalam karyanya menjadi bentuk figura naf dan
kelihatan seperti watak kartun. Gerakan yang diwakili oleh beliau iaitu Wednesday Art Group
sebenarnya telah membawa perubahan terhadap dunia seni moden yang sebelum ini lebih gemar
merakam pemandangan kepada pencarian media baru, teknik dan tema (Mahamod, 2007). Beliau
masih lagi menggambarkan didalam karyanya namun apa yang berbeza adalah subjek atau tema
telah berubah kepada situasi, cara hidup serta kenangan zaman kanak-kanak. Karya yang
dihasilkan oleh beliau merupakan suatu dokumentasi yang amat penting kepada masyarakat serta
generasi kini serta dan datang kerana ianya terkandung keindahan bentuk serta makna seni Melayu
dan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai