Anda di halaman 1dari 41

ISU BAHASA: Memartabatkan bahasa Melayu sebagai

saluran penguasaan ilmu


Oleh Mohd Ayob Abd Razid

Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar
bandar

USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia dan Inggeris


pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai
2012 bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI).

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai


bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa Inggeris pula bermaksud usaha
mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
lebih berkesan supaya pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.

Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan mengkaji
dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga
mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan
kontra pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.

Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam bahasa Melayu
termasuk dalam bidang sains dan matematik.

Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi sehinggakan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti yang sepenuhnya
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan
dan pelbagai bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar
bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.

Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk
menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam semua bidang pengajian
berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati
menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar
bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula
menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.

Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak memahami
pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian
itu juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada
pelajar, khususnya di luar bandar.

Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil beberapa


langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan buku teks dalam bahasa
Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini
termasuk melantik panel penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya
proses mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti
maka dasar baru itu akan dilaksanakan.

Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa
Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu
perlu dipertingkatkan.

Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan
berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting
supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat
pembelajaran yang menyeronokkan.

Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha
mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia langkah sementara
sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran
bahasa Inggeris.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah
bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang diambil
semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan dengan teknik pembelajaran
bahasa Inggeris yang terkini.

Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan
menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa pula
akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum mempunyai
kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.

Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu


dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan pelajar. - BH 11/12/2010

Pada kali ini, saya amat tertarik untuk mengupas lanjut mengenai keadaan Bahasa Melayu yang
kelihatan agak terpinggir berbanding bahasa Inggeris yang ketika ini di gunakan secara meluas di
seluruh dunia terutama di Malaysia.

Jika diperhatikan, bukan semua rakyat yang berwarganegara MALAYSIA yang tahu dan mahu
bertutur dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu semakin kurang digunakan terutama dalam
masyarakat Melayu sendiri yang lebih MENGAGUNG-AGUNGKAN bahasa inggeris untuk
berkomunikasi dengan orang lain. Lihatlah saja pemimpin-pimimpin atasan terutamanya Melayu
yang berasa BANGGA berbahasa asing dari bahasa sendiri seperti lupa asal-usul nya sendiri. Bahkan
di media massa dan media elektronik juga lebih memberikan tumpuan dalam penggunaan Bahasa
Inggeris berbanding Bahasa Melayu.

Dalam mengejar arus kemodenan dan peradaban ini, masyarakat semakin ghairah menghantar
anak-anak mereka ke kelas Bahasa Inggeris kerana tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan arus
perubahan. Namun apa yang menyedihkan ialah tahap penggunaan anak-anak mereka dalam
Bahasa Melayu tidak pernah di persoalkan. Mereka lebih sanggup melihat anak-anak mereka petah
berbahasa Inggeris berbanding bahasa melayu yang semakin hanyut di telan zaman.

Saya tidak pernah menidakkan Kepentingan Bahasa Inggeris dalam bidang ilmu dan penggunaannya
yang semakin meluas di terima masyarakat dunia namun sanggupkan kita mengorbankan bahasa
Melayu untuk mengejar arus kemajuan? Kenapa? Adakah penggunaan Bahasa Melayu dalam
komunikasi seharian semakin lapuk dan "tidak enak" di tutur dalam dunia yang semakin maju ini?

Untuk pengetahuan anda, saya telah mengikuti program pertukaran pelajar selama setahun di
Jerman. Seperkara yang mengagumkan saya ialah kesedaran mereka untuk lebih memartabatkan
bahasa ibunda mereka berbanding bahasa lain. Mereka lebih selesa dan bangga dengan bahasa
mereka sendiri sehinggakan jika ada pelajar luar atau pelancong asing yang datang ke negara itu
perlu belajar bahasa mereka sendiri. Pada mulanya saya tiba dan tinggal di sana bersama keluarga
angkat, saya tidak tahu bertutur dalam bahasa Jerman. Saya hanya menggunakan Bahasa Inggeris
untuk berkomunikasi dengan mereka. Saya berhajat untuk tidak mempelajari bahasa mereka kerana
lebih selesa menggunakan bahasa inggeris dengan mereka. Namun tanpa disedari, keadaan ini tidak
menyelesakan mereka kerana mereka mahu saya mempelajari bahasa mereka. Oleh itu, saya diberi
tempoh (Februari hingga April) 2 bulan untuk bertutur dalam bahasa inggeris sebelum saya perlu
bertutur dan belajar dalam bahasa mereka(Bahasa Jerman). Selepas 2 bulan tersebut, saya cuba
untuk bertutur dalam bahasa jerman namun ia amat sukar dan memeritkan.
Mereka juga setiap hari akan bertutur dengan saya dalam bahasa Jerman kepada saya. Keadaan ini
amat menyakitkan saya kerana perlu belajar Bahasa Jerman yang amat susah berbanding bahasa
inggeris sehingga kadang-kadang membuatkan saya berputus asa. Selepas 5 bulan saya belajar
mempelajari Bahasa tersebut akhirnya saya dapat berkomunikasi dalam bahasa Jerman dan dapat
memahaminya hampir 80%. Usaha saya ini berjaya dan mulai dari saat itu saya terus berkomunikasi
dalam bahasa Jerman sehingga membuatkan penggunaan bahasa Inggeris saya semakin merosot.
Seperkara yang terus dalam ingatan saya ialah selepas pulang dari sekolah untuk menaiki sebuah
bas. Ketika itu, saya tidak tahu bertutur dalam bahasa Jerman dan saya berasa ragu-ragu adakah bas
yang saya akan naiki itu sampai ke rumah saya. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk bertanya
kepada Pemandu Bas mengenai hal itu dalam bahasa inggeris. Namun ia amat menghampakan
apabila pemandu bas menjawab dalam Bahasa Jerman dalam keadaan marah dan saya memang
tidak faham. Saya membuat keputusan untuk terus saja keluar dari bas tersebut. Akhirnya saya
membuat keputusan untuk berjalan kaki saja untuk balik ke rumah. Peristiwa itu sentiasa berlegar-
legar dalam fikiran saya sebagai kenangan yang pahit di Jerman.

Saya amat berbangga dengan mereka di atas pelbagai usaha mereka memartabatkan bahasa ibunda
mereka daripada bahasa yang lain. Bukan setakat di negara Jerman saja, namun di negara Jepun,
Korea, China, Itali, Perancis, Russia dan di negara yang berdekatan kita juga , Thailand. Kita perlu
mempelajari bahasa mereka terlebih dahulu sebelum belajar di negara mereka. Tetapi apakah situasi
yang sama ini akan dihadapi oleh pelajar-pelajar asing yang ingin menyambung pelajaran di
Malaysia?! Tentunya TIDAK kerana kita lebih SANGGUP menagung-agungkan Bahasa Inggeris dari
Bahasa Melaayu.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin terbatas. Bahkan buku-buku dalam
Bahasa Melayu juga kini sukar di dapati memenuhi Kedai-kedai buku. Pengambilalihan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian (Termasuk temuduga dan urusan pejabat) menyebabkan
penggunaan bahasa Melayu terbantut dan menyedihkan. Malah ada yang berpendapat bahawa
Bahasa Melayu tidak sesuai dan rendah tarafkan untuk kebanyakan urusan harian. Sedar tidak sedar,
Bahasa Melayu yang diuar-uarkan sebagai Bahasa Kebangsaan hanya tinggal nama. Pemimpin atasan
hanya cuma pandai tanam tebu di tepi bibir untuk menjadikan bahasa perututuran rakyat malaysia
namun semuanya sebaliknya.

Kini kita boleh lihat saja kebanyakan anak-anak muda lebih selesa berututur seharian dalam bahasa
Inggeris atau Manglish (Melayu+English). Saya tidak dapat bayangkan penggunaan Bahasa Melayu
10 atau 20 tahun lagi yang saya rasakan tidak akan wujud lagi. Bahasa Melayu juga tidak diiktiraf
Dunia berbanding Bahasa Indonesia. Jika kita lihat dalam sudut pandang sejarah, faktanya Bahasa
Indonesia itu tidak pernah wujud. Bahasa Melayu adalah bahasa Rasmi seluruh Nusantara sebelum
kemunculan Bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia muncul apabila Presiden Indonesia ketika itu,
Sukarno yang ingin membezakan Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Melayu Indonesia kerana
permusuhan yang berlaku kerana perebutan Sarawak dan Sabah dari Malaysia. Sejak itu, Bahasa
Melayu lama diperbaharui dan diubah sedikit demi sedikit dan di ubah namanya dari Bahasa Melayu
ke Bahasa Indonesia. Kini tertera di depa mata kita sendiri bahawa Bahasa Indonesia lebih di hargai
dan di martabatkan seluruh dunia berbanding Bahasa Melayu.

Jika kita lihat Pemimpin-pemimpin dari Eropah seperti yang dinyatakan tadi yang memartabatkan
bahasa mereka sendiri sehinggakan di mesyuarat sedunia pun mereka menggunakan bahasa ibunda
mereka dan hanya menggunakan jurubahasa untuk menterjemahkan bahasa mereka. Ingatlah
bahawa Bahasa melambangkan Bangsa. Sesuatu Bangsa itu akan teguh kerana bahasanya.

Kesimpulannya, kita perlu memartabatkan Bahasa Melayu kita sendiri tidak kira dalamMasyarakat
Melayu sendiri atau Masyarakat Cina atau Masyarakat India atau lain. Di samping itu, kita
mantapkanlah penggunaan Bahasa Inggeris. Janganlah kita ambil sikap acuh tidak acuh dalam
perkara ini yang akan membawa bencana lebih besar lagi. Martabatkan Bahasa Melayu dan Marilah
Bersama untuk terus berjuang demi Bahasa Ibunda yang tercinta kita ini. Semaikan dalam hati,
luhurkan dalam jiwa agar Bahasa Melayu terus di martabatkan di seluruh dunia.

Penulis sudah banyak kali menulis berkenaan bahasa Melayu. Hari ini lebih banyak orang
boleh bercakap dalam bahasa Melayu tetapi bilangan pengguna bahasa Melayu yang lebih
besar tidak pula bermakna mutu bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan makin tinggi.
Bilangan tidak sama dengan mutu. Atau, dalam bahasa hari ini, kuantiti tidak sama dengan
kualiti. Maaf cakaplah kalau penulis berpendapat, semakin hari semakin susah hendak
mencari penutur dan penulis bahasa Melayu yang baik dan bergaya.

Tambahan lagi apabila ada orang yang pandai berbahasa, berpuisi dan berpantun seloka telah
mogok karya. Penulis tidak tahu macam mana orang kreatif boleh mogok karya.

Yang penulis tahu, ilham datang tanpa kita jemput dan kalau kita tidak manfaatkan - fasal
kita sedang mogok seni, ilham akan pergi dan boleh jadi tak balik lagi.

Kurangnya istilah

Tetapi itu hak masing-masing. Hendak berkarya boleh, tidak hendak pun tidak apa. Tidak
ada sesiapa memaksa. Cuma yang rugi adalah peminat bahasa dan sastera yang dahaga akan
karya besar daripada karyawan tersohor.

Saya tidaklah berani hendak berkata diri sendiri karyawan. Boleh jadi penulis lebih condong
kepada tidak ketahuan. Tetapi ada orang berkata, garis pemisah antara kegilaan dan
kepintaran adalah kabur.

Satu lagi yang penulis cukup terasa apabila menulis dalam bahasa Melayu ialah kurangnya
istilah dalam banyak bidang bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi sebagai mana
sering diperkatakan oleh orang ramai .

Pada awal pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, penulis rasa ada
kemajuan. Rasa-rasa penulis, pada masa itu pejuang bahasa betul-betul berjuang untuk
bahasa. Kita pun tunjuk hormat kepada Bahasa Kebangsaan kita.

Belum seiring kemajuan

Hari ini banyak orang sudah lupa atau tidak tahu yang sebahagian besar pejuang bahasa
Melayu waktu itu adalah orang Melayu berpelajaran Inggeris. Mereka benar-benar menguasai
dwibahasa dan mereka mahu bahasa Melayu hebat seperti bahasa Inggeris.

Tapi nampaknya kebelakangan ini, kemajuan bahasa Melayu, terutama dalam aspek
pengistilahan, penggunaan rasmi dan oleh pihak swasta semakin lemah dan diabaikan.

Minta maaflah kalau penulis kata, boleh dikatakan dalam semua bidang ilmu, bahasa Melayu
nampaknya tidak berjaya atau belum berjaya bergerak seiringan dengan kemajuan, bukan
dalam bidang sains dan teknologi saja.

Baru-baru ini penulis mencari istilah cult sebab penulis nampak ada unsur cult dan cult
worship dalam gelanggang politik kita. Ada pembesar politik yang tidak boleh disentuh. Ada
yang buat apa pun boleh dan ada yang dianggap macam malaikat.

Dalam bahasa Inggeris, cult merujuk kepada agama atau mazhab dalam sesuatu agama yang
dianggap melampau atau sesat. Gaya hidup pengikut cult bercanggah dengan kebiasaan dan
mereka taat membuta tuli kepada seorang ketua kuku besi, tetapi berkarisma.

Cari jalan mudah


Apa yang penulis temui dalam carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa
dan Pustaka ialah istilah kultus yang Kunta Kinte syak adalah terjemahan literal cult ke
bahasa Indonesia.

Indonesia terkenal dengan menterjemah literal istilah bahasa Inggeris dengan


membunyikannya mengikut sebutan tempatan. Misalnya debate (bahas) menjadi debat,
parking (tempat letak kenderaan) menjadi parkir, cashier (juruwang) menjadi kasir,
order (peraturan) menjadi orde dan idea (buah fikiran) menjadi ide. Maka jadilah cult
kultus.

Selain kurang ilmu dan kurang penguasaan pelbagai bahasa, penulis rasa banyak orang yang
diberikan tugas dan tanggungjawab mencipta dan mencari istilah baru curi tulang. Mereka
mencari jalan mudah. Ambil sahaja istilah bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa, menukar
ejaan dan di mana-mana yang perlu, hanya perlu menukar sedikit sebutan.

Penulis bimbang dari sudut istilah, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Inggeris dan
dari aspek sebutan pula sudah berbunyi seperti bahasa Indonesia.

Wallahualam.

Sistem pendidikan, kurang pergaulan kekangan penguasaan

DASAR mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah


rendah jenis kebangsaan yang digubal pada 2000, yang didakwa sesetengah pihak
tidak pernah dilaksanakan, kini akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011.
Dasar ini mengkehendaki mata pelajaran wajib ini diajar guru dwibahasa, iaitu
mereka yang mahir dalam bahasa ibunda masing-masing dan kemudiannya baru
diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu.Penguatkuasaan dasar ini mulai 2011
antaranya adalah ekoran aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pengajaran
mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular yang masih diajar guru yang
tidak mengetahui bahasa Mandarin dan Tamil. Untuk ini, Kementerian Pelajaran
mengeluarkan arahan bahawa guru mengajar mata pelajaran ini khususnya
kepada pelajar tahap satu dan dua hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh
berbahasa Mandarin atau Tamil, selain bahasa Melayu. Mereka juga perlu
mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).Pelajar tahap tiga sehingga enam pula hendaklah diajar
guru yang bidang pengkhususannya adalah bahasa Melayu. Untuk sekolah
vernakular yang mempunyai bilangan pelajar kecil, mata pelajaran ini hendaklah
pula diajar guru dwibahasa berpengalaman dan mereka ini perlu memiliki
kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap SPM.

Dengan penekanan menggunakan guru dwibahasa, pengajaran dan pembelajaran


mata pelajaran ini dikendalikan melalui kaedah penterjemahan. Kaedah ini adalah
pendekatan tradisional dan popular pada abad ke-19. Walaupun begitu, kaedah
ini adalah pendekatan dominan dalam perkaedahan pendidikan bahasa pada awal
zaman moden ini.

Namun hanya segelintir pendidik mendapatinya masih sesuai dengan keperluan


pelajar dan kebahasaan semasa. Sebaliknya, ramai guru bahasa mendapati
kaedah ini tidak banyak membantu pelajar menguasai bahasa yang sedang
dipelajari itu dengan baik.

Pendidikan bahasa yang tidak menggunakan bahasa ibunda pelajar dan mereka
digalakkan berfikir dalam bahasa yang sedang dipelajari itu adalah pendekatan
dikenali sebagai kaedah langsung. Melalui kaedah ini, tidak ada usaha
menterjemah sebarang apa diajar dan dipelajari itu. Dengan ini, pelajar diajar
segala kemahiran berbahasa berdasarkan situasi bahasa berkenaan dengan
serealistik yang mungkin dalam bilik darjah.
Kaedah ini sangat diminati dan pelbagai kelainan berkembang daripada yang asal.
Oleh sebab diajar oleh guru yang dilatih khas, pelajar didapati bukan saja berjaya
menguasai sistem nahu bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Tetapi
yang lebih penting ialah mereka didapati berjaya menguasai sebutan dan intonasi
bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik.

Semua ini kurang berjaya digarap menerusi kaedah penterjemahan. Ini antaranya
kerana pemilihan guru amat bergantung kepada mereka yang cekap berbahasa
ibunda, walaupun tidak dilatih khas untuk mengajar sesuatu bahasa itu. Oleh itu,
mutu pendidikan bahasa yang sedang dipelajari itu, sering didapati tidak sebaik
yang dikendalikan melalui kaedah langsung.

Persoalan lebih penting mengenai dasar ini ialah bukan mengenai kaedah
pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular, tetapi implikasi desakan
menggunakan kaedah penterjemahan sebagai satu-satunya pendekatan berkesan
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar Cina dan India yang baru
memasuki alam persekolahan formal.
Dengan penggunaan kaedah penterjemahan, bahasa Melayu tidak dapat
dinafikan diajar dan dipelajari sebagai bahasa asing oleh rakyat Malaysia sendiri di
bumi Malaysia ini, iaitu tanah tumpah darah mereka. Perkara ini bukan saja pelik
tetapi menyedihkan, selain sangat memalukan sehingga boleh menjejaskan imej
negara dari segi kebahasaan di mata masyarakat luar.

Bahasa Melayu adalah bahasa negara di Malaysia. Sebagai bahasa negara, sama
ada dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi,
ekologi linguistiknya cukup agam dan banyak sekali.

Ia dituturkan di seluruh pelosok negara dan kedengaran di media elektronik pada


setiap masa sepanjang hari. Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah bahasa
fungsional di negara ini, iaitu digunakan meluas, selain amat penting untuk
kebanyakan tujuan.

Dengan kepentingannya yang begitu utama sifatnya, mengapakah anak kecil ini
tidak disediakan ibu bapa mereka melalui persekitaran bahasa Melayu yang
begitu lawas di bumi watannya, untuk menguasai bahasa Melayu secara tidak
formal, sebelum menjejak kaki ke sekolah?

Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu gagal disanjungi
banyak pihak sebagai memiliki status kudus apabila didaulatkan sebagai bahasa
negara.

Ia dianggap mereka ini sebagai bahasa etnik kaum Melayu semata-mata, yang
dipaksakan penguasaan kepada kaum bukan Melayu. Tanggapan begini salah
sama sekali dan perlu diperbetul segera agar penghormatan kepada bahasa
Melayu selaku bahasa negara itu, mendapat sanjungan yang khalis sifatnya oleh
semua pihak dan tidak yang sebaliknya.

Sehubungan ini, pada satu pihak lain, masyarakat Cina dan India tidak pun
kedengaran mendesak agar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah vernakular
juga diajar guru dwibahasa, seperti yang berlaku pada bahasa Melayu. Ini adalah
kerana ibu bapa membuat persediaan awal secara tidak formal, agar anak mereka
didedahkan kepada bahasa antarabangsa ini, melalui ekologi linguistik bahasa
Inggeris yang ada di negara ini.

Pendedahan yang kurang dan dalam sesetengah kes tiada langsung terhadap
bahasa Melayu, rata-ratanya diakui sebagai sebab utama keperluan kaedah
penterjemahan ini digunakan untuk pendidikan bahasa Melayu pada peringkat
permulaan di sekolah vernakular.

Sehubungan ini, apakah yang sudah berlaku kepada kurikulum pendidikan bahasa
dan pergaulan secara formal antara anak bukan Melayu dengan Melayu ketika
bersama-sama di institusi pendidikan prasekolah yang boleh memberi
pendedahan awal itu?

Sesungguhnya pendidikan bahasa dan pergaulan ini tidak pernah wujud secara
berleluasa. Sistem pendidikan pelbagai aliran diamalkan di negara ini. Melalui
sistem begini, semenjak usia muda lagi, kanak-kanak sudah dididik melalui bahasa
ibunda secara dominan dan untuk bergaul sesama sendiri daripada kelompok
sebangsa saja.

Sehubungan ini, pergaulan secara tidak formal antara kanak-kanak daripada


pelbagai bangsa dalam kejiranan sama juga tidak wujud di kebanyakan tempat.
Tidak dapat dinafikan pergaulan semasa pada peringkat prasekolah dan dalam
kejiranan sama, selain dapat memupuk semangat muhibah yang penting untuk
menjalin perpaduan, sudah tentu penting dalam memberi pendedahan awal itu,
selain membantu anak bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara tidak
formal.

Salam sejahtera. Penulis (abgreds) fikir mungkin ada sebahagian daripada pembaca blog ini
dapat membaca sedikit latar belakang penulis.

Walaupun penulis tidak membayangkan secara terang, sebahagiannya ada di dalam hasil
tulisan-tulisan penulis di blog.

Sekadar satu pencerahan, penulis akui mempunyai minat dan kecenderungan dalam hal
bahasa dan budaya melayu. Sebab itu penulis memilih kosa kata Abgreds sebagai slogan
blog ini.

Tetapi barangkali menjadi satu kemusykilan pula apabila pembaca menelusuri artikel-artikel
di blog ini. Tiada pun artikel mengenai bahasa mahupun budaya? Malahan, sebahagiannya
langsung seperti merosakkan bahasa.
Benar, itu juga penulis akui. Tetapi penulis tidak berniat untuk merosakkan bahasa. Penulis
mempunyai alasan serta tujuan tertentu untuk mempersembahkan tulisan dalam bentuk yang
demikian.

Bagaimana pun, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan perkara tersebut dalam artikel
kali ini. Sebaliknya, penulis ingin memberitahu sedikit pandangan peribadi penulis berkenaan
isu bahasa di sini.

Beberapa waktu yang lalu, isu bahasa amat dekat di hati penulis. Bermula di zaman
persekolahan hingga tamat dan mula bergelar pekerja.

Kempen-kempen berkaitan bahasa seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Cintailah Bahasa


Kita, dan macam-macam lagi, sentiasa diberi perhatian penulis. Namun, perhatian penulis
sedikit berkurang lantaran komitmen penulis sekarang .

Bukan bererti penulis sudah jemu atau tidak lagi menyayangi bahasa melayu ini. Penulis
cuma berasa sedikit lelah dan terkilan. Penulis ada mengikuti perjuangan beberapa tokoh

bahasa kontemporari.

Ternyata mereka juga menghadapi hambatan uji yang bukan sedikit. Hanya kerana mahu
melihat bahasa melayu menjadi tuan di negara sendiri banyak usaha, waktu, tenaga dan
wang ringgit dikorbankan.

Tetapi hasilnya masih mengecewakan. Malahan hingga hari ini frasa sila rujuk versi Bahasa
Inggeris untuk dokumen-dokumen tertentu masih kelihatan. Belum lagi isu terjemahan
aksara yang kini cuma ditukarkan ejaannya saja.

Banyak lagi isu bahasa jika penulis ingin senaraikan. Tetapi cukuplah sekadar itu. Peranan
yang amat penting dan mencabar kini menanti mereka yang profesional di bidang bahasa dan
terjemahan ini.

Mereka telah menerbitkan pelbagai karya akademik dan ilmiah tentang bahasa. Tetapi soal
perlaksanaan, penggunaan dan memartabatkan bahasa melayu itu sendiri masih merupakan
jalan yang panjang.

Penulis masih menaruh harapan agar kalangan pengamal bahasa ini dapat berbuat sesuatu
yang boleh memberi kesan langsung terhadap perkembangan bahasa melayu ini.

Penulis juga memohon maaf sekiranya penulis termasuk mereka yang ditakrif sebagai
perosak bahasa, lantaran hasil tulisan penulis di blog ini.

Itu cuma cara penulis mendekati khalayak pembaca. Penulis ingin mereka mesra dengan gaya
karya dan artikel penulis terlebih dahulu.
Selebihnya, penulis cuba menyelitkan dan memperkenalkan beberapa
aksara yang barangkali tidak diketahui oleh pembaca. Bolehkah ini dinamakan sebagai satu
usaha? Terpulang kepada persepsi pembaca sekalian.

Memperkasa penggunaan bahasa Melayu


GAPENA menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor korporat
memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di tempat
awam. Kenyataan tersebut bertepatan dengan perkara 152 yang termaktub di
dalam Perlembagaan Negara.

Di samping Perlembagaan, ia juga bertepatan dengan keseluruhan semangat


dan jiwa Akta Bahasa Kebangsaan serta dasar yang berhubung dengannya.
Seandainya PBT tidak menjalankan tugas-tugas tersebut dengan alasan tidak
adanya peruntukan di dalam Akta PBT maka, tanggapan sedemikian adalah
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa
Kebangsaan.

Tindakan memperkasa bahasa Melayu di sektor awam dan swasta adalah


tindakan yang konstitutional. Maka jika kedua-dua pihak tidak melakukannya
bererti tidak menghormati Perlembagaan Negara.

Pihak PBT seperti yang diperuntukkan di dalam akta bukan sahaja mengambil
tindakan meningkatkan perkhidmatan pungutan sampah, pengangkutan awam,
jalan raya dan sebagainya daripada pendapatan yang diperoleh dari cukai
taksiran premis perniagaan, perumahan, perindustrian dan perdagangan, malah
sepatutnya lebih daripada itu. PBT perlu memainkan peranan sebagai agensi
yang melaksanakan paksi kenegaraan dan dasar-dasar nasional (kebangsaan).

Bulan Bahasa Kebangsaan pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an. Parti


Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis), Parti Progresif Rakyat (PPP) Malayan
Democratic Party yang menguasai PBT turut aktif dalam menjayakan Bulan
Bahasa Kebangsaan pada masa itu. Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Hasnol
Hadi yang menguasai Majlis Bandaran Melaka pada masa itu telah menubuhkan
Badan Bertindak Bahasa bersama Perikatan turut bersama menukar nama jalan-
jalan daripada nama warisan penjajah kepada bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh Newcome Road ditukar kepada Jalan Munshi Abdullah, Heren
Street ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock dan sebagainya. Fenomena ini
berlaku di seluruh negara pada waktu itu. Tun Mustapha semasa menjadi Ketua
Menteri Sabah dengan berani membawanya ke Dewan Undangan Sabah untuk
melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Justeru, disyorkan kepada kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Bahasa


dengan memperuntukkan bidang penguatkuasaan. Setiap kesalahan bahasa
pada papan tanda, papan iklan, nama jalan, nama taman perumahan, segala
surat siaran dan brosur yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disaman
dan didenda, selain dinasihati untuk membetulkan kesilapan berkenaan.

GAPENA juga menyokong cadangan Pemuda UMNO dan Wira Perkasa supaya
ditubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan Persekutuan Malaysia bukan sekadar bahasa rasmi yang
digunakan dalam upacara rasmi termasuk pentadbiran dan pemerintahan, tetapi
ia adalah salah satu perkara pokok dalam proses pembinaan negara-bangsa dan
kenegaraan.

Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu


bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. Oleh itu,
di semua peringkat pelajaran dan pendidikan, bahasa Melayu adalah bahasa
pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Perlu disedari bahawa Perkara 152 tidak pula menghalang bahasa-bahasa kaum
atau keturunan lain digunakan. Malaysia adalah di antara contoh perpaduan,
keterbukaan dan demokrasi yang terbaik di dunia. Pada 1938 hingga 1942,
kemudian selepas Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Phibun Songkram di
Thailand telah merangka Perlembagaan bahawa setiap warganegara Thailand
wajib bernama Thai, berbahasa Thai, bersekolah Thai dan beragama Buddha.

Sesiapa yang menolaknya tidak layak menjadi warganegara Thailand. Sehingga


sekarang di Thailand, bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah bahasa Thai,
hatta bahasa Melayu yang diajar di beberapa universiti di Thailand sekarang
seperti di Universiti Chulalongkorn, Universiti Thammasat, Universiti Prince
Songkla, Universiti Thaksin dan lain- lain diajar dalam bahasa Thai.

Di Indonesia pula di zaman pemerintahan Suharto, warganegara bukan pribumi


iaitu orang Cina Indonesia diwajibkan menggunakan nama Indonesia, berbahasa
Indonesia dan bersekolah Indonesia untuk menyempurnakan proses satu
bahasa, satu bangsa dan satu negara - Indonesia.

Di Malaysia tidak terdapat tindakan yang diambil seperti itu oleh pemimpin
Malaysia kerana para pemimpin Malaysia mengamalkan sikap toleransi,
kesederhanaan, demokratik dan menghargai kehadiran dan kewujudan kaum-
kaum lain di negara ini. Malah di sebuah negara jiran, sekolah Cina tidak
dibenarkan lantaran dikhuatiri berkembang ideologi lain daripada ideologi negara
berkenaan.
Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri di
Ipoh, Perak baru-baru ini adalah usaha untuk menegaskan proses kenegaraan.
Rukunegara, Perlembagaan, perundangan, kedaulatan raja berperlembagaan,
demokrasi berparlimen, seluruh dasar-dasar kebangsaan dalam pemerintahan,
perpaduan, toleransi, berkongsi kuasa, sejarah negara dan proses negara-
bangsa adalah di antara unsur-unsur kenegaraan Malaysia.

Melalui unsur-unsur ini, rakyat dapat hidup bersatu-padu, saling hormat


menghormati dan menerima setiap orang sebagai warganegara walaupun
terdapat kebudayaan warganegara yang bukan berasal dari wilayah kebudayaan
Melayu.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bahasa dan dialek; bangsa, kaum, suku dan
puak; budaya dan adat, serta agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bahasa
dan dialek disatukan melalui bahasa kebangsaan. Idea kepelbagaian atau
hetrogeniti di Malaysia berlawanan dengan idea pluralisme. Pluralisme adalah
suatu ideologi sedangkan plurality adalah satu diskripsi mengenai kepelbagaian
atau hetrogeniti. Begitu juga dengan multi-linguality, multi- raciality dan plurality
agama.

Idealogi pluralisme bukanlah ideologi Malaysia; namun ada pihak mahu ideologi
seperti ini dilaksanakan seperti menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa
dan menolak nama jalan di dalam bahasa kebangsaan. Di dalam rangka
kepelbagaian atau hetroginiti, maka seluruh jiwanya sudah sedia termaktub di
dalam Perlembagaan Negara dan dasar-dasar serta tindakan- tindakan
pemerintah.

Ideologi pluralisme ini dibawa dan dijaja oleh sesetengah warganegara yang
menolak semua sifat dan bentuk serta dasar-dasar yang berteraskan
kebangsaan. Ketaksuban kepada ideologi pluralisme menyebabkan pihak-pihak
ini melabelkan sesiapa juga yang mempertahankan dasar-dasar kebangsaan
sebagai rasis. Sebenarnya pihak yang menolak dasar-dasar kebangsaan itulah
yang rasis.

Ideologi pluralisme, multi-racialisme, multi- lingualisme, multi-culturalisme dan


pluralisme agama sudah lama dikumandangkan sejak Malaysian-Malaysia
diperkenalkan pada 1963 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu Singapura
di dalam Persekutuan Malaysia. Malang sekali, kini terdapat pula parti politik di
dalam parti pemerintah (Barisan Nasional) mendendangkan lagu yang hampir
serupa untuk membuktikan kerelevanan mereka dalam memperjuangkan
tuntutan para penyokong mereka.

Pluralisme di dalam konteksnya pula dikatakan sejajar dengan hak asasi


manusia. Di atas nama pluralisme, demokrasi dan hak asasi manusia, terdapat
pihak yang cuba meruntuhkan seluruh paksi, ideologi dan dasar-dasar
kebangsaan yang konstitutional yang selama ini telah mewujudkan keadilan,
perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan.
Daripada data-data sejarah yang sudah declassified yang terhimpun di luar
negara, terdapat pihak-pihak tertentu yang lari semasa Perang Dunia Kedua ke
India, telah berunding dengan Parti Komunis Malaya untuk menubuhkan
Republik Malaya atas alasan yang diherotkan (distorted) bahawa Melayu
menyokong Jepun. Terdapat juga tulisan dalam akhbar Cina di Negeri-Negeri
Selat pada tahun 1930-an yang mempersoalkan hak orang Melayu di Tanah
Melayu pada masa itu. Malah ada yang berpendapat ini, bukan negeri Melayu.

Munculnya Penyata Fe-wu dan Thuraisingam pada 1950-an semasa sebelum


merdeka adalah reaksi balas kepada Penyata Pendidikan Razak dan Rahman
Talib. Ideologi Malaysian-Malaysia sudah lama diperkatakan sebelum PAP
muncul. Maka penegasan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan akan terus mendapat
tentangan.

Penentangan dan pembangkangan terhadap ideologi, sistem dan dasar-dasar


nasional akan dilihat terlalu terkebelakang di dalam rangka globalisasi dan mesra
pasar yang berteraskan neo-liberalisme dan neo-capitalisme. Maka ketegasan
dan iltizam politik dan perpaduan Melayu sahaja yang dapat memberikan
jawapan balas.
Bahasa Melayu, hidup segan mati tak mahu ~ ref Malaysiakini
Asalnya bahasa manusia ini hanya satu, iaitu bahasa Nabi Adam, kerana semua manusia bermula
dari Nabi Adam dan Hawa. Setelah berkembang biak dan berpindah ke merata pelusuk dunia ,
manusia ini telah berpisah antara satu kelompok dengan kelompok yang lain sehingga membentuk
bahasa, bangsa mereka yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain setelah mengalami evolusi
masa, iklim dan tempat.

Perlu

Bahasa adalah satu alat yang penting untuk membolehkan manusia berkomunikasi atau berhubung
antara satu sama lain. Memang sukar untuk kita memahamkan ucapan dan kehendak orang lain
kalau tidak dapat memahami bahasa mereka. Inilah fungsi utama bahasa, melaluinya kita dapat
memahami orang lain dan orang lain dapat memahami kita dengan lebih mudah.

Tentulah keadaan jadi mudah jika semua manusia menggunakan satu bahasa sahaja. Kalau kita
merujuk kepada sistem pembinaan program computer, di sana ada apa yang dipanggil sebagai
bahasa mesin. Bahasa mesin adalah bahasa yang berasaskan nombor binary yang boleh difahami
oleh semua pengeluar computer, tidak kira jenama apa pun.

Kita juga boleh mengambil pelajaran dari bahasa mesin dalam computer ini, di mana semua
manusia tidak kira bangsa dan Negara dapat memilih satu bahasa yang boleh digunakan sebagai satu
bahasa dunia. Bila ada bahasa dunia ini, ia akan memudahkan kita berhubung dengan semua
manusia di dunia ini. Untuk lebih adil, satu bahasa dunia perlu dicipta untuk dijadikan bahasa yang
boleh digunakan oleh semua bangsa.
Bahasa dunia

Setiap bangsa mempunyai bahasa mereka sendiri dan berbangga dengan bahasa mereka. Sudah
tentu setiap bangsa inginkan bahasa mereka menjadi bahasa dunia. Orang Inggeris mungkin tidak
dapat menerima kalau bahasa Cina dijadikan bahasa dunia, begitu jugalah sebaliknya.
Oleh itu bahasa dunia mestilah satu bahasa yang bukan berasal dari mana-mana bangsa, tetapi
suatu bahasa yang baru yang diciptakan untuk menjadi bahasa dunia.

Secara teorinya memang mudah untuk kita menciptakan satu bahasa dunia yang akan digunakan
oleh semua manusia, tetapi pada realitinya tidaklah semudah itu. Bahasa bukanlah suatu perkara
yang boleh dipaksakan kepada manusia, tetapi ia melibatkan sosio budaya manusia itu sendiri yang
telah terbentuk secara evolusi dan semulajadi. Manusia bukanlah mesin seperti robot dan computer.

Maharaja Shih Huang Tee di Negara China telah berjaya menyatukan huruf tulisan-tulisan Cina yang
berbeza mengikut daerah dan suku kaum , hasilnya hari ini hanya terdapat satu rupa bentuk tulisan
Cina sahaja. Namun demikian baginda tidak pernah pula menyatukan beribu dialek bahasa cina yang
berbeza kepada satu dialek sahaja. Kenapa baginda tidak cuba melakukannya? Jawapannya mudah,
kerana ini suatu perkara yang sukar dan mustahil boleh dilakukan.

Bangga

Pendekatan yang boleh kita ambil di masa ini ialah menggunakan bahasa yang paling popular untuk
digunakan sebagai bahasa dunia. Bagi kita di Malaysia, bahasa yang dianggap popular dan digunakan
meluas dalam berbagai bidang ialah Bahasa Inggeris. Kalau kita rakyat Malaysia telah bersetuju
untuk mengambil Bahasa Inggeris sebagai bahasa universal, maka tumpuan harus diberi untuk
mengembangkan penggunaan bahasa itu keseluruh lapisan masyarakat.

Mungkin ada pencinta-pencinta bahasa ibunda dan mereka yang mempunyai semangat kebangsaan
yang tinggi tidak akan bersetuju dengan cadangan ini. Tetapi tidakkah mereka itu sedar, peranan
utama bahasa hanyalah sebagai alat pengubung antara seorang manusia dengan manusia lain, tentu
mereka boleh menerima hakikat bahawa kita tidak perlu terlalu taksub kepada bahasa ibunda
sahaja. Kita sebenarnya boleh menggunakan apa bahasa sahaja, yang penting dengannya kita boleh
berkomunikasi dengan manusia lain.

Kadang-kadang orang-orang politik suka memainkan sentimen bahasa ibunda ini bagi mendapatkan
keuntungan politik. Mereka suka dilihat sebagai pejuang bahasa ibunda semata-mata untuk meraih
sokongan dan undi dari kaum-kaum mereka semasa kempen pilihanraya.

Padahal ahli-ahli politik ini bila bercakap dan ditemuramah lebih suka dan lebih lancar bercakap
menggunakan bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Tidak kiralah
ahli politik itu orang Melayu, orang Cina atau pun orang India, semuanya sama saja.

Sikap ahli politik yang hipokrit ini semakin menyukarkan kita untuk memilih satu bahasa untuk
dijadikan bahasa utama untuk kita berkomunikasi antara rakyat.
Tidak patriotik

Kadang-kadang kita kena bersikap rasional bila ingin mempertahankan bahasa ibunda kita. Dalam
keadaan tertentu kita kena lihat kepentingan sesuatu perkara itu kepada kemajuan kepada Negara
dan bangsa kita. Mungkin ada pihak yang menuduh kita tidak patriotik bila mengutamakan bahasa
asing berbanding bahasa ibunda kita sendiri.

Tetapi kalau dengan sikap kita yang ingin menggunakan bahasa asing itu untuk tujuan memajukan
bangsa kita setanding dengan bangsa-bangsa maju di dunia ini, saya rasa sikap sedemikian itu lebih
patriotik lagi.

Dalam dunia moden sekarang ini, peribahasa yang mengatakan bahasa menunjukkan bangsa tidak
boleh diguna pakai lagi jika perkataan bahasa itu merujuk kepada bahasa pertuturan. Tetapi
peribahasa itu masih relavan jika bahasa yang dimaksudkan itu merujuk kepada budi bahasa, hidup
dan adat resam bagi menandai sesuatu bangsa itu. Orang Cina yang fasih berbahasa Inggeris tidak
mestinya akan menjadikannya bangsa Inggeris.

Orang Melayu di Malaysia juga bukanlah mempunyai dailek yang sama. Selain dari mempunyai
dailek-dailek kedaerahan atau negeri, mereka juga terdiri dari berbagai suku kaum yang mempunyai
bahasa-bahasa tersendiri seperti Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain lagi.

Tentulah keadaan akan menjadi sukar sekiranya orang Jawa, orang Banjar, orang Bugis tidak mahu
menerima dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, sebaliknya ingin
mengekalkan bahasa suku-suku kaum mereka di sekolah.

Walaupun saya menggunakan bahasa daerah yang daileknya berbeza dengan bahasa Melayu yang
menjadi bahasa pengantar di sekolah, tetapi saya dapat menerima dan menyerap keadaan tersebut.
Apabila di sekolah dan membuat urusan rasmi kita akan menggunakan bahasa Melayu standard yang
boleh difahami oleh semua orang Melayu di seluruh negara. Walaupun saya terpaksa
membelakangkan dailek daerah saya tetapi ini tidak bermakna saya tidak patriotik.

Setiap kali saya balik kampong saya akan menggunakan bahasa daerah saya. Selain dari mereka
memahami dailek daerah tersebut, mereka juga lebih selesa kalau kita bertutur menggunakan dailek
daerah yang telah sebati dengan kehidupan harian mereka itu.

Tetapi saya kena terima hakikat, dailek daerah saya ini tidak boleh pergi jauh dan tidak perlu pun
bagi saya untuk memperjuangkannya. Bagi saya yang lebih penting ialah penduduk di daerah saya ini
dapat memahami bahasa Melayu yang standard yang khalayak penggunanya lebih luas. Dengan itu
mereka dapat menerebus peluang yang lebih luas untuk memajukan diri mereka.

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu standard yang digunakan di sekolah-sekolah telah dapat melonjakkan peluang-
peluang anak-anak yang di lingkungi kedaerahan ini pergi lebih jauh dan lebih tinggi dalam membina
kerjaya mereka. Ini kerana bahasa Melayu standard ini telah digunakan meluas dan dalam segala
bidang di Negara kita berbanding bahasa dan dailek daerah yang penggunaannya amat terbatas.

Di zaman IT dan komunikasi canggih ini, bahasa Melayu tidak dapat mengangkat dirinya setanding
dengan perkembangan teknologi ini. Kita tidak boleh salahkan bahasa Melayu tetapi kesalahan itu
adalah disebabkan oleh orang kita sendiri yang jauh ketinggalan dalam meneroka ilmu-ilmu baru,
terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Sebaliknya Jepun, Korea dan beberapa Negara maju lain dapat berdiri dengan bahasa mereka
sendiri, ini kerana orang-orang mereka sendiri menjadi peneroka dalam bidang teknologi termaju,
setanding dengan Amerika dan UK.

Oleh itu kita di Malaysia tidak ada pilihan selain dari mengambil dan menggunakan bahasa-bahasa
Negara maju ini kalau kita inginkan Negara kita dapat pergi lebih jauh dan lebih tinggi setanding
dengan negara mereka.

Dalam memilih bahasa dunia yang patut kita gunakan untuk Negara kita, bergantung kepada dua
kriteria utama. Pertama, bahasa tersebut mestilah bahasa yang digunakan meluas dalam bidang
sains dan teknologi termaju. Yang kedua, bahasa tersebut mestilah digunakan oleh ramai orang di
seluruh dunia. Di zaman dunia tanpa sempadan dan globalisasi ini, satu bahasa yang boleh difahami
oleh semua orang akan menjadi sangat penting. Dengan bahasa itu kita dapat berurusan dengan
mudah dengan orang lain di serata dunia. Segala peluang terutamanya perniagaan akan terbuka luas
untuk kita.

Bahasa bukanlah hak milik sesuatu bangsa atau Negara, sesiapa saja boleh menggunakan apa bahasa
sahaja yang dia suka. Dan tidak menjadi kesalahan kalau kita menggunakan bahasa lain tanpa
meminta izin terlebih dahulu dari pengguna asal bahasa (bahasa ibunda) itu.

Bagi saya bahasa Inggeris adalah bahasa yang sesuai untuk kita pilih sebagai bahasa dunia untuk
Negara kita. Bahasa Inggeris memang memenuhi kedua-dua kriteria yang disebutkan tadi. Selain dari
itu bahasa Cina (Mandarin) juga boleh dipertimbangkan menjadi bahasa dunia untuk Negara kita.

Walaupun bahasa Jepun dan bahasa Korea adalah bahasa yang maju tetapi ia tidak memenuhi
kriteria yang kedua. Bahasa Jepun dan Korea tidak ramai penggunanya di seluruh dunia, terbatas
dalam Negara mereka sahaja.

Sayu

Memang kita rasa sayu kalau apa yang menjadi amalan kita atau tradisi kita pupus bagi
menyesuaikan dengan perubahan zaman. Banyak hasil seni tradisional kita, seperti wayang kulit,
mak yong, dan lain-lainnya telah mengalami kepupusan. Walaupun kita berasa sayu bila
mengenangkannya tetapi hakikat ini kita kena terima. Semua kesenian dan hiburan lama ini telah
diambil alih oleh medium hiburan yang moden dan sentiasa akan mengalami perubahan.

Kalau dulu kita tinggal di kampong di rumah kayu, tetapi sekarang kita tinggal di kawasan Bandar di
rumah batu, rumah bertingkat yang suasana dan cara hidup yang sangat berbeza dari kampong.
Walupun kita rindukan suasana kehidupan di kampong, tetapi kita terpaksa korbankan itu semua
dan kita perlu melalui perubahan itu demi untuk kebaikan kita juga.

Kita berasa sayu bila melihat anak-anak kita tidak dapat menguasai bahasa daerah seperti kita
kerana kita telah berpindah jauh dari kampong kita, tetapi ini juga terpaksa kita korbankan demi
kebaikan mereka juga.

Satu hari nanti bahasa Melayu yang kita gunakan hari ini juga mungkin akan pupus disebabkan kita
telah menekankan penggunaan bahasa dunia yang kita telah pilih untuk Negara kita. Memang kita
semua berasa sedih jika perkara ini berlaku, tetapi pastinya kita tidak akan menyesal dengan pilihan
kita itu, kerana semua ini kita lakukan untuk kebaikan masa depan bangsa dan Negara kita juga.

Saya percaya semua bahasa-bahasa kecil di dunia ini, termasuklah bahasa Melayu akhirnya akan
mengalami kepupusan seperti pupusnya bahasa Jawa, Banjar dan Bugis pada hari ini. Akhirnya
semua manusia di dunia ini akan menuju kearah penggunaan satu bahasa dunia. Asal kita dari satu
bahasa iaitu bahasa Nabi Adam dan berakhir dengan kembali semula kepada satu bahasa. Saya
difahamkan, di alam akhirat juga kita semua akan menggunakan satu bahasa juga.

BULAN Bahasa Kebangsaan 2009 atau sebelum ini dikenali sebagai Bulan Bahasa dan
Sastera Negara (BBSN) yang menjadi wahana penting bagi Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, tetapi sesetengah pihak melihat
sebaliknya.

Kelompok itu berharap DBP tidak bersikap sepi dalam perjuangan bahasa Melayu seperti
sekarang dan perlu segera keluar daripada kepompong bisu, sesuai dengan kedudukannya
sebagai badan paling bertanggungjawab dalam hal memartabat dan memperkasakan bahasa.

Malaysia ada pelbagai undang-undang berkaitan bahasa Melayu, tetapi daripada segi
pelaksanaan ia mendukacitakan. Badan terbabit tampak tidak cergas dan semakin lesu dalam
hal kebahasaan. Lebih menyedihkan seolah-olah mati ditelan peredaran zaman.

DBP sepatutnya berdiri sebagai badan bebas lagi berwibawa dalam hal memperkasakan
bahasa Melayu dan tidak lagi wajar diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran. Ia
sepatutnya memberi arahan kepada kementerian terbabit dan bukan sebaliknya dalam hal
kebahasaan.

Ini sebahagian daripada isi hati seorang sarjana bahasa dalam melihat kemelut yang melanda
bahasa Melayu pada masa kini, ketika berbincang mengenai kesesuaian gerakan bahasa
sebagai acara tahunan badan terbabit, menyaksikan Kucing sebagai tuan rumah kali ini.

Tentunya ramai bersetuju bahawa dalam hal bahasa, DBP tidak lagi berbisa dan kini sepi
sesepinya, seolah-olah fungsinya sudah dilupakan, baik kelompok borjuis mahupun
proletariat negara ini - ada tidak menambah, tiada tidak mengurang - ditambah pula sikap
sebahagian besar pegawainya sebagai saya yang menurut perintah.
Hakikat kebenaran ini dapat dilihat dalam beberapa isu semasa berkaitan bahasa, tetapi nyata
DBP condong mengambil sikap berdiam diri, sedangkan hal sedemikian tidak sepatutnya
berlaku dan terkini perkara berhubung gagasan 1Malaysia yang boleh dimanfaatkan demi
memanjangkan hayat bahasa Melayu..

Mengapa tidak DBP tampil ke hadapan dalam menjelaskan hal kebahasaan di negara ini
berhubung perkara terbabit? Mengapa tidak dijelaskan bahawa 1 Malaysia perlu meletakkan
bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pemersatu dan perpaduan negara serta semua
tanpa mengira bangsa dan pangkat, mesti menerima hakikat ini.

Bahasa lain di negara ini terletak sebagai bahasa nombor dua dan seterusnya tanpa
menafikan penguasaan lebih daripada satu bahasa perlu, apalagi bahasa Inggeris turut perlu
dikuasai sebagai pelengkap menaikkan nilai daya saing dalam pasaran guna tenaga, ujarnya.

Hendaknya langkah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengisytiharkan
Oktober sebagai bulan bahasa untuk peringkat kementerian, kerajaan negeri dan agensi
kerajaan selari dengan BBK, tidak diterjemah secara harfiah iaitu dihayati untuk sebulan saja
sepanjang tahun!

Jika ini yang ditafsir, maka bahasa Melayu di negara ini akan terus hilang punca
memandangkan ia membabitkan badan yang sepatutnya memperkasanya dan jangan
hendaknya pendekatan berhemah dijadikan pilihan seperti diakui sebuah kerajaan negeri, lalu
lebih 30 tahun masih gagal merealisasikan hasrat negara berhubung bahasa!

Hendaknya DBP tidak terpengaruh dengan cadangan sesetengah pihak agar badan terbabit
memberi tumpuan mewara-warakan hal kebahasaan melalui media aliran baru semata-mata
dengan hujah bahawa ia trend terkini yang perlu dimanfaatkan untuk bergerak seiring dengan
tuntutan zaman!.

Ini kerana hakikatnya, media cetak tetap ada fungsi istimewa dalam hal kebahasaan dengan
kelompok sasaran berbeza, tanpa menafikan wahana elektronik mahupun internet yang
menjadi kegilaan ramai pada masa ini, tetapi kelompok ini tidak akan pernah peduli hal
berhubung bahasa dan kerana itu mereka yang perlu ditarbiahkan!

Saya tidak menafikan kelompok muda menjadikan laman sesawang sebagai sasaran capaian
mereka. Orang seperti saya menjadikan media elektronik sebagai sumber utama mendapatkan
maklumat dalam banyak hal. Bagaimanapun jangan lupa, masih ada kelompok yang mengisi
masa luwes mereka dengan membaca akhbar, ujarnya seorang teman pula.

Teman ini mempertahankan pandangannya dengan mengemukakan hujah bahawa pendatang


baru dunia hiburan tanah air, Yunalis Zarai atau Yuna, tidak akan dikenali dan mampu
mengembangkan sayapnya sekiranya kekal di media internet.

Penilaian semula fungsi DBP dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan
@pemersatu negara ini apalagi dengan konsep 1 Malaysia perlu direnung dan dibincangkan
sejujur-jujurnya tanpa mengetepikan realiti bahasa Melayu hari ini dari segi layanan rakyat
Malaysia terhadapnya selaku penuturnya.

Dengan cara ini, tentunya BBK tidak tampil sebagai sekadar pesta tahunan atau acara
bermusim berhubung usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu serta program
utama DBP dalam mengembangkan bahasa itu tidak menjadi sekadar projek gajah putih atau
menjirus air di daun keladi!

INTEGRITI BAHASA MEMBINA INTEGRITI BANGSA


Integriti bahasa, membina integriti bangsa

Oleh Zubayry Abady Sofian

``Tidak hilang melayu di dunia.'' Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini
mungkin hanya akan tinggal sebagai retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu
tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.

Sejarah telah membuktikan bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang gah suatu
ketika dahulu. Melayu mampu menjelajah dunia dan Melaka itu sendiri telah menjadi
pusat peradaban suatu bangsa bertamadun yang bernama Melayu.

Kegemilangan Melaka dahulu bukan sahaja di sekitar rantau sebelah sini (Asia)
sahaja malahan menjangkau hingga ke sebahagian besar negara-negara di dunia
melalui pedagang-pedagang mereka yang singgah di situ. Bahasa Melayu itu sendiri
telah menjadi bahasa perdagangan utama dan dipertuturkan oleh pelbagai bangsa
yang berdagang di Melaka.

Kini, setelah hampir 500 tahun zaman kegemilangan Melaka berlalu, bahasa Melayu
seakan-akan makin tenggelam di bumi sendiri. Persoalan yang timbul bukan dari segi
penggunaannya dalam pertuturan, penulisan mahupun status dan kedaulatannya
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, tetapi persoalan tentang
integriti bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu itu sendiri telah dan semakin teruk
tercemar dengan pelbagai virus perosak bahasa.

Kualiti

Martabat dan maruah bahasa Melayu direndahkan kerana rata-rata penuturnya sudah
tidak mementingkan integriti bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan bahasa slanga
yang melampau serta amalan merojakkan bahasa seperti sukar dibendung.

Jika kita merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN), integriti membawa maksud
kualiti atau keunggulan yang wujud secara keseluruhan dalam diri seseorang individu
atau organisasi dan ia berkait rapat dengan etika yang merupakan himpunan nilai dan
moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi,
akhlak, tutur kata dan sopan santun. Integriti bahasa pula merujuk kepada
keunggulan bahasa itu sebagai salah satu medium utama untuk membentuk
pemikiran dan tindakan penuturnya. Tercemar integriti bahasa, maka tercemarlah
pemikiran dan tindakan warga penuturnya.

Jika dahulu, sopan santun dan berbudi bahasanya seseorang itu banyak dapat dilihat
dan didengar melalui cara pertuturannya. Sifat orang Melayu biasanya bertutur
dengan nada yang lembut serta menggunakan perkataan yang ``sedap didengar'' dan
berhemah. Berbicara dalam lembut tetapi penuh makna. Bukankah bahasa itu
menunjukkan bangsa? Tetapi hal sebegini jarang atau boleh dikatakan hampir tidak
kedengaran lagi. Anak-anak muda sekarang lebih fasih berbahasa slanga. Lebih fasih
membahasakan diri mereka sebagai ``gua'' dan ``lu''. Ayat ``pecite beb?'' seakan-akan
sudah menggantikan sapaan salam atau ``apa khabar?''

Permasalahan ini semakin parah dengan adanya manusia yang berbicara dalam
bahasa, seperti yang digelar oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, separuh ular separuh
belut. Mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal
ini bukan sahaja berlaku di kalangan anak-anak muda tetapi juga golongan
profesional dan penjawat-penjawat awam yang sewajarnya menggunakan bahasa
Melayu sebaik mungkin.

Integriti bahasa Melayu juga semakin lemah dengan munculnya ``bahasa SMS''.
Sistem ejaan yang digunakan semakin haru-biru. Perkataan ``macam mana'' dieja
``camner'', ``dia'' dieja ``dier'', ``Apa cerita'' dieja ``pecite'' dan seumpamanya. Dan
ejaan-ejaan ini secara sedar atau tidak telah pun digunakan oleh para pelajar kita di
sekolah-sekolah sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

Anjakan

Tugas mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dan bangsa Melayu seperti yang
pernah dikecapi suatu ketika dahulu mungkin agak sukar tetapi bukanlah sesuatu
yang mustahil. Langkah pertama yang mungkin boleh dimulakan ialah dengan
membuat sedikit anjakan pemikiran dan sikap. Integriti bahasa Melayu perlu
dibangunkan semula.

Semangat pejuang Melayu perlu diserap dalam jiwa anak remaja sekarang
merangkumi setiap bangsa yang lahir dan berpijak di bumi Malaysia untuk mencintai
bahasa Melayu. Dan semangat ini perlu dilestari dan disuburkan dari generasi ke
generasi. Namun begitu, kecintaan terhadap bahasa Melayu ini tidak seharusnya
menjadi penghalang kepada kita untuk menerima bahasa-bahasa lain terutamanya
bahasa Inggeris. Kebolehan kita menguasai bahasa Inggeris yang merupakan
``bahasa dunia'' akan menjadikan bangsa Melayu lebih megah dan berdaya saing.
Sedangkan Jepun, sebuah negara yang cukup kuat mempertahankan bahasa
ibundanya juga telah semakin sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk terus
maju dalam semua bidang.

Ketamadunan sesuatu bangsa banyak dibentuk melalui falsafah dan pemikiran


bangsa itu sendiri dan untuk menjelaskan falsafah dan pemikiran ini, medium bahasa
dan penulisan perlu digunakan secara optimum. Penulisan karya seperti novel,
cerpen, drama, puisi, sajak dan sebagainya perlu menggunakan pendekatan baru
yang memfokuskan tema tentang etika dan integriti.

Ini penting untuk menyemai, memupuk dan menyuburkan semangat mencintai nilai-
nilai murni dan semangat kecintaan terhadap bahasa dan bangsa. Ini kerana keutuhan
pemikiran sesuatu bangsa banyak dicorak oleh keutuhan bahasa bangsa tersebut.
Agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Kementerian Penerangan serta NGO bahasa boleh memainkan peranan yang besar
dengan menganjurkan pelbagai bentuk pertandingan dan peraduan untuk
menggalakkan masyarakat berkarya dengan tema ini dalam bahasa Melayu.

Industri penerbitan buku tempatan yang seakan-akan kelihatan suram perlu


disemarakkan semula. Karya-karya dalam bahasa Melayu yang bertemakan integriti
perlu menjadi keutamaan kepada penerbit-penerbit buku. Memperbanyakkan bahan-
bahan bacaan seperti ini penting untuk membentuk jurus pandang golongan muda
terutamanya, supaya berintegriti dalam segala aspek kehidupan mereka.

Apabila integriti atau keunggulan bahasa wujud dan integriti individu berjaya dibentuk
maka secara tidak langsung integriti nasional akan terbina. Integriti nasional inilah
yang merupakan anak kunci utama untuk membuka kembali pintu kegemilangan
zaman dahulu. Ingatkah kita lagi dengan satu slogan Bahasa Jiwa Bangsa? Ketiadaan
bahasa yang berintegriti, santun dan dijiwai akan mencacatkan malah akan
menghancurkan sesebuah bangsa.

Pendahuluan

Seperti yang kita sedia maklum, Pelan Integriti Nasional ( PIN ) yang bertujuan
memantapkan keutuhan atau integriti rakyat Malaysia telah dilancarkan oleh Y.A.B
Perdana Menteri pada bulan April 2004 yang lalu. PIN merupakan satu gagasan
yang menyeluruh untuk memadukan segala usaha dan sektor dalam inisiatif
membasmi rasuah, meningkatkan asas moral dan tingkah-laku yang baik,
meluaskan amalan beretika, dan meningkatkan dedikasi terhadap tanggungjawab
awam bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor awam.

Kempen Meningkatkan Tahap Keutuhan

Kesedaran atau keprihatinan terhadap usaha memantapkan integriti orang ramai


memang telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu. Ini meliputi usaha
memantapkan nilai-nilai murni, kempen membanteras rasuah, usaha menerapkan
nilai-nilai Islam, usaha meningkatkan keutuhan sektor kerajaan serta dedikasi dan
disiplin kakitangan awam. Malahan pernah juga diadakan kempen menyerap etika
perniagaan yang baik di kalangan sektor swasta. Tidak ketinggalan juga usaha di
peringkat sekolah untuk memupuk asas moral yang tinggi di kalangan penuntut kita.

Integriti merupakan satu ciri yang menyeluruh yang berkait rapat dengan peribadi
kita, amalan dan tingkah-laku kita serta sikap dan perbualan dan cara kita
menjalankan tugas harian dan perhubungan kita sesama individu yang lain. Walau
apa pun istilah integriti yang ditakrifkan, unsur utama iaitu budi pekerti yang baik
serta kejujuran tetap menunjangi istilah integriti itu. Hanya istilah ini begitu luas dan
boleh merangkumi beberapa perkara penting lain seperti etika, tadbir urus, disiplin,
ketelusan dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu adalah sesuai satu pelan tindakan yang menyeluruh
diwujudkan untuk menggabungkan semua dasar dan tindakan serta penerapan nilai
yang baik disatukan dalam satu pelan tindakan yang sepadu.

Peranan Institusi Keluarga

PIN menitikberatkan peranan keluarga dan individu dalam pelaksanaannya. PIN


memandang bahawa sifat dan tingkah-laku yang baik bermula dari kecil khususnya
dari rumah dan sekolah lagi. Pembabitan keluarga dan komuniti setempat dalam
gerakan pemantapan integriti akan menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti
sebagai budaya masyarakat dalam jangka panjang. Pendekatan ini selaras dengan
hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang
berorientasikan keluarga dan komuniti.

Keluarga adalah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri
setiap anggotanya. Keluarga seharusnya memastikan agar suasana keluarga adalah
sentiasa ceria dan sihat untuk memupuk sosiobudaya dan nilai yang baik di
kalangan kanak-kanak dan anggota keluarga yang lain. Ini akan memastikan
seseorang individu itu mempraktikkan amalan yang baik apabila mereka keluar dari
rumah dan berinteraksi dengan rakan dan individu yang lain dalam menjalankan
tugasan mereka.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka supaya


dapat mengamalkan tingkah laku yang baik di kalangan ahli-ahli keluarga, jiran-jiran,
rakan-rakan sekolah dan sebagainya.

Untuk tujuan ini PIN telah menggariskan tanggungjawab jabatan kerajaan, NGO,
dan sektor swasta untuk memupuk keluarga bahagia, penyayang dan sihat. Antara
cadangan lain dalam PIN adalah seperti berikut:-

* Mengadakan Hari Keluarga di semua peringkat.

* Menggalakkan perancangan kewangan keluarga.

* Mewujudkan kursus keibubapaan.

* Menggalakkan konsep Rumahku Syurgaku.

* Memantapkan khidmat kaunseling untuk keluarga.

* Mengadakan pendidikan seks yang sesuai.

* Mengadakan kursus perkahwinan untuk orang Islam dan bukan-Islam.

Bagi tujuan menggalakkan keselamatan dan kesejahteraan dan perlindungan dalam


keluarga maka PIN telah menggariskan cadangan-cadangan berikut:-

* Tumpuan kepada penjagaan kanak-kanak khususnya kesihatan mereka.

* Mengadakan hari kanak-kanak.


* Menggalakkan aktiviti fizikal yang sihat.

* Memupuk nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

* Memantapkan perlindungan wanita di tempat kerja.

* Mengadakan pusat penjagaan Dua Generasi untuk menjaga warga tua dan kanak-
kanak.

* Mengadakan program untuk memanfaatkan warga tua.

* Mengadakan ruang temu mesra di kawasan perumahan.

Seterusnya, untuk tujuan menghayati pembelajaran berterusan, PIN mencadangkan


seperti berikut:-

* Mendidik kanak-kanak tentang hak mereka berkaitan penjagaan dan


pembangunan.

* Memantapkan nilai-nilai murni seperti kebersihan, kebersihan alam sekitar,


penjagaan harta awam.

* Mengadakan program nilai untuk menghormati warga tua.

* Mengadakan program menghormati undang-undang.

* Mengadakan kempen membanteras keganasan rumah tangga.

Selanjutnya untuk melaksanakan cadangan-cadangan di atas, beberapa


kementerian telah diarah bagi merancang program dan projek yang selaras dengan
cadangan di atas. Sebagai langkah pertama, Kementerian Pembangunan Wanita
dan Pembangunan Keluarga bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan berserta Kementerian Pelajaran telah diarah oleh Ketua Setiausaha
Negara (KSN) untuk merancang pelbagai program selaras dengan cadangan PIN.
Namun begitu, setiap program dan aktiviti yang dirancang kerajaan, NGO dan pihak
swasta tidak akan mencapai impak maksimum sekiranya anggota masyarakat itu
sendiri tidak memainkan peranan untuk menjayakannya.

Sesungguhnya tanggungjawab melaksanakan PIN ini adalah penting dalam usaha


meningkatkan keutuhan warga Malaysia dalam kegigihan kita mengejar
pembangunan ekonomi dan fizikal. Kadangkala kita terperangkap dengan godaan
seperti tawaran rasuah, hadiah-hadiah yang mahal dan sebagainya.

Y.A.B Perdana Menteri pernah menyatakan Malaysia mempunyai kemudahan fizikal


bertaraf dunia tetapi mempunyai mentaliti bertaraf dunia ketiga.

Tanggungjawab melaksanakan PIN bukan terletak di atas bahu Kerajaan sahaja.


Pihak swasta dan NGO juga bertanggungjawab untuk melaksanakan cadangan PIN
selaras dengan hasrat menggalak peranan masyarakat sivil dan amalan yang telus.
Semoga nukilan ringkas ini dapat menggerakkan keinginan ibu bapa untuk
memantapkan asuhan moral dan peribadi yang baik di rumah demi usaha mencapai
keutuhan bangsa dan Negara. Di samping usaha memupuk keluarga bahagia dan
sihat mereka juga boleh memainkan peranan positif dengan bekerjasama dengan
pihak NGO seperti persatuan dan pertubuhan yang berkaitan untuk meluaskan lagi
tenaga sukarela dalam usaha melaksanakan Pelan Integriti Nasional.

Pegangan agama perkukuh integriti


PROF. DATUK OMAR OSMAN ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

RAMADAN Al-Mubarak datang bersama keberkatan dan kerahmatan, masa untuk kita
bermuhasabah untuk bersama-sama melihat di dalam diri kita terhadap amalan, tabiat dan
tingkah laku selama ini dalam menjalani kehidupan seharian. Ini juga masa terbaik untuk
menilai sendiri sejauh mana integriti kita dengan diri sendiri dan yang lebih penting dengan
Allah SWT yang mempengaruhi apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Integriti bukan hanya berkait rapat dengan soal rasuah dan wang ringgit, tetapi jauh daripada
itu adalah keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dan Maha Pencipta yang menjadikan Dia
sebagai Hakim paling berkuasa jika percaya ada kehidupan selepas kematian.

Ini juga berkait rapat dengan kepercayaan terhadap lima teras Rukun Islam dan enam teras
Rukun Iman yang diajar sejak awal usia bagi umat Islam. Bukan sahaja kepada umat Islam,
mereka yang bukan Islam pun mempunyai teras kepercayaan dan hukum karma yang
memandang jijik kepada sikap tidak amanah dan menyeleweng dalam apa jua tindakan dan
nilai yang ada. Ini juga adalah prinsip Rukun Negara yang pertama, yang harus dipegang
teguh untuk menzahirkan kecemerlangan pada semua peringkat.

Ia menjadi titik tolak integriti yang utama dalam membangunkan sesuatu bangsa yang kuat,
sesuatu ummah yang boleh membangunkan tamadun hebat, suatu institusi yang dapat
digembleng kekuatannya untuk menzahir pencapaian dengan membangunkan masyarakat,
nusa dan bangsanya sekali gus berbangga dipercayai dan dipandang tinggi kepada kekuatan
akal budi kita sebagai satu bangsa.

Tiga trilogi budi harus menjadi ingatan bersama iaitu sentiasa berbudi bahasa, berbudi pekerti
dan sentiasa berbudi bicara. Ikatan budi yang kuat tidak akan berkompromi kepada
perlanggaran kepada nilai-nilai integriti dan sentiasa menjadi pertimbangan utama untuk
menunaikan amanah. Tiada kompromi terhadap mereka yang menggadaikan maruah
keindahan budi.

Perkara ini juga menjadi tanggungjawab semua yang berada di dalam sesebuah organisasi.
Seorang pegawai keselamatan yang memberikan senyuman manis tatkala kita mula
memasuki premis organisasi yang memberikan kesegaran untuk memulakan hari yang
cemerlang. Kita rasa bahagia apabila pegawai keselamatan kita segak bergaya memeriksa
kenderaan lalu lalang, membuat pemeriksaan teliti setiap penjuru organisasi, memastikan
harta benda terpelihara dan berbangga tiap kali segala apa yang terkandung dalam deskripsi
kerjanya terjaga dan ditunaikan dengan sempurna.

Seorang yang bekerja dan menjaga amanah dalam pejabat, datang dan pulang mengikut masa
ditetapkan, tidak membawa balik segala aset pejabat untuk melakukan kerja peribadi, tidak
membuang masa dengan kerja-kerja tidak berfaedah kepada tugas dan tanggungjawabnya,
mengawal, menyelia dan memastikan tanggungjawab yang diberi dilakukan dengan
sempurna termasuk melakukan bayaran mengikut prosedur yang ada. Punchcard sama ada
manual mahu pun elektronik bukan menjadi punca menepati masa, tetapi hatilah yang
mengingatkan bahawa itu adalah amanah yang dipegang dan ditunaikan.

Bagi universiti atau institusi ilmu, seorang pensyarah atau guru menurunkan ilmunya dengan
penuh amanah, sentiasa terkehadapan dalam ilmunya, tidak menyalahgunakan peluang,
menjaga tatasusila sebagai pengajar dan pelajar, sentiasa berusaha mendidik anak bangsanya
dengan cemerlang, tidak mengambil kesempatan terhadap pelajar dan apa jua yang di bawah
kawalan dan kelolaannya, bersikap profesional, tidak memandang rendah dan remeh kepada
pelajar bermasalah dan banyak lagi yang harus datang dari hatinya untuk mengelakkan
daripada bersikap negatif.

Apatah lagi bagi para penyelidik yang memegang geran besar mahu pun kecil, sedar dan tahu
apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya, menganggap geran sebagai amanah besar,
sedar bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah amanah dan memastikan hasilnya
menepati apa yang dijanjikan dan memberi faedah dan kesan kepada proses keilmuan.

Manakala pelajar juga memegang amanah besar dalam menjalankan tugas dan
tanggungjawabnya. Mereka sedar dengan tugas untuk bersama-sama membanteras segala
perbuatan tidak bermoral dan melanggar nilai integriti yang ada dalam mencari ilmu, tidak
mengambil kesempatan terhadap pensyarah dengan melakukan tindakan yang tidak
sewajarnya malah berusaha keras untuk memastikan kejayaan dicapai melalui jalan yang
betul dan mengikut laluan yang diredai Tuhan.

Bagi ketua jabatan, tentunya amanah itu jauh lebih besar. Agama berpesan bahawa setiap kita
ada pertanggungjawaban yang harus dijawab di akhirat kelak. Setiap pemimpin ada orang
yang dipimpin untuk diselesaikan pertanggungjawaban di sana nanti. Sama ada seorang ibu
dan ayah, seorang pemimpin masyarakat mahu pun pejabat, seseorang itu ada integriti dan
amanah yang dipikul yang harus kita menjawabnya kelak.

Ini adalah antara contoh kecil yang bermula dari diri sendiri. Tentunya ada hal-hal yang lebih
besar, tetapi jika kita lupa kepada hal-hal yang kecil ini, lupa terhadap pentingnya
memulakan dengan diri sendiri, lupa bahawa Tuhan menyaksikan setiap apa yang ada dalam
hati apatah lagi yang ditunjukkan melalui amalan dan tindakan, maka bermulalah segala
tragedi yang menyedihkan kita. Alah bisa tegal biasa. Demikian pesanan orang yang harus
kita pertimbangkan apabila kita memulakan sesuatu termasuklah perkara-perkara yang
bertentangan dengan etika dan moral mahu pun adab dan trilogi budi yang jika dibiarkan
boleh bersarang dalam diri seseorang.

Kita harus belajar rasa bersalah dan rasa berdosa yang teramat apabila kita tahu apa yang kita
lakukan itu adalah satu dosa. Agama jelas mengajar kita tentang makna dosa - iaitu satu
perbuatan yang kita tahu salah dan tidak mahu orang lain lihat kita lakukannya jika ada orang
lain melihatnya.

Ramadan ini seharusnya berupaya untuk kita bertekad, mengukuhkan ikrar, bermuhasabah
dan sentiasa bertanyakan kepada diri, adakah rezeki diperolehi ini sebenarnya mendapat
keberkatan, adakah ia berbaloi dengan apa yang dilakukan, adakah dari sumber yang halal
atau mencurigakan atau shubhah. Kita harus menjawabnya dengan ikhlas, jika berpegang
kepada prinsip agama, yakin dan percaya terhadap apa yang kita yakini dan ikhlas sayangkan
agama, bangsa, institusi dan tanah air kita ini.

Hanya dengan cara itu, seseorang dapat sama-sama mengemudi seluruh kehidupan untuk
mencapai kejayaan, malah kegemilangan dengan penuh amanah, tanggungjawab dan
berintegriti tinggi dalam membawa negara mencapai negara maju dalam acuan sendiri yang
dapat meneruskan kelangsungan tamadun hidup

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120726/re_02/Pegangan-agama-


perkukuh-integriti#ixzz2QP4T49jv
Utusan Melayu (M) Bhd

MANUSIA dan kualiti tidak boleh dipisahkan kerana tanpa insan berkualiti, sudah tentu tidak
akan wujud kelangsungan hidup masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itu, hari ini
banyak program pembangunan modal insan diberi keutamaan pada peringkat institusi
keluarga, sosial, pendidikan dan perkhidmatan sama ada di sektor swasta mahu pun awam.

Perbincangan mengenai modal insan sudah bermula lebih awal. Perutusan Rasul dan Nabi
Allah dan adalah untuk membentuk manusia berakhlak mulia atau membina kualiti modal
insan. Ini difahami melalui ikrar dan aku janji manusia dengan Allah ketika di alam roh untuk
menjadi manusia soleh berteraskan akidah tauhid yang satu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-
anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka
sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi
saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya
kami orang yang lalai mengenai (hakikat tauhid) ini. (Surah al-Araf, ayat 172)

Hakikatnya, aku janji itu mengandungi kefahaman mengenai kualiti seseorang insan dan
hubungan mereka dengan agama iaitu setiap insan dilahirkan dalam keadaan sudah mengikat
janji dengan Tuhan.

Selain itu, ketika membaca doa iftitah pada permulaan solat, sebenarnya juga kita sentiasa
bermuhasabah diri dengan berjanji untuk berakhlak mulia selari standard piawaian
dikehendaki Allah. Pematuhan kepada aku janji itu menentukan integriti dan hala tuju
pembinaan kualiti modal insan.

Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh mana kita menghayati tuntutan aku janji atau
ikrar berakhlak mulia, menjadi insan salih dan mentaati perintah Allah? Perkara utama
membina modal insan adalah penentuan matlamat yang tepat dan jelas selari fitrah
kewujudan manusia.

Firman Allah yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka menyembah-Ku. (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Matlamat utama pembangunan modal insan adalah untuk membangun dan menjadikan
manusia itu bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan fungsinya serta tekun beribadat
kepada Allah. Dalam hubungan ini, segala gerak kerja manusia dihitung sebagai ibadat jika
didahului dengan niat yang ikhlas kepada Allah bagi mendapat keredaan-Nya.

Selain tekun beribadat, ciri penting untuk mengukur kecemerlangan insan ialah melalui
kemuliaan dan ketinggian akhlaknya. Dalam sejarah tamadun manusia, akhlak adalah faktor
utama yang menentukan jatuh bangunnya tamadun sesuatu bangsa.

Contohnya umat Nabi Lut dihancurkan Allah kerana terbabit dalam gejala sosial seperti
melakukan perbuatan homoseksual.

Kecemerlangan insan boleh dicontohi melalui keperibadian unggul Nabi Muhammad SAW
seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah
itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan
balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah. (Surah al-
Ahzab, ayat 21)

Islam menjelaskan, manusia itu terdiri daripada dua unsur yang membentuk satu kesatuan
iaitu rohani dan jasmani. Hakikat manusia itu bukanlah semata-mata diri jasmaninya yang
sentiasa berubah tetapi adalah rohaninya yang kekal abadi dan perlu dipelihara supaya tidak
tercemar.

Pendekatan utama dalam proses pembangunan modal insan adalah memenuhi tuntutan diri
rohani manusia selari dengan aku janji antara manusia dengan tuhannya. Oleh demikian,
apabila manusia dapat mematuhi aku janji itu, maka manusia akan menjadi insan yang
sungguh mulia lagi berhikmah.

Usaha melahirkan insan salih dan modal insan berkualiti bukan perkara mudah, malah
menghadapi cabaran besar seperti pengabaian pendidikan akhlak, menganggap kelemahan
moral hak individu, mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara untuk
kepentingan peribadi dan mengagungkan nilai Barat yang jelas bertentangan dengan hukum
syarak.

Bagi mewujudkan insan salih dan modal insan berkualiti, hendaklah bersama:

Berpegang teguh kepada aku janji dalam mentaati titah perintah Allah,

Membudayakan membaca al-Quran supaya hati terdidik cenderung berakhlak mulia,

Ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pembuat dasar, pendidik dan umat Islam
hendaklah menjadi contoh berakhlak mulia yang tidak dipertikaikan masyarakat,

Bermuhasabah dan membuat penilaian prestasi akhlak diri sendiri dari masa ke masa supaya
kita kekal berakhlak sebagai seorang Muslim, dan
Mereka yang mempersendakan dan melanggar aku janji Allah akan menerima azab seksa
sama ada di dunia atau akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang
yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta
mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang
yang benar. (Surah al-Hujurat, ayat 15) - Khutbah Jakim online

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke
halaman utama untuk membaca lebih 1968 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi
artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin
memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami
berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan
Portal Mukmin ini. Insyallah.

Kitaran tamadun manusia dan sejarah perjuangan bangsa jelas menunjukkan betapa generasi muda
dan pelajar sebenarnya mempunyai signifikasi tertentu yang tidak boleh dikesampingkan. Mereka
merupakan cerminan kepada gambaran masa depan sesebuah tamadun. Justeru penampilan suatu
wajah dan imej generasi muda yang beriman, beridealisme, berilmu, berakhlak, berketrampilan dan
mempunyai daya juang yang tinggi amatlah diperlukan. Kisah generasi muda yang dirakamkan di
dalam Surah al-Kahfi adalah refleksi kepada lambang kesetiaan serta keutuhan idealisme mereka
walaupun berada ditengah-tengah suasana kebejatan moral dan aqidah yang melampau.

Senario mutakhir tamadun dunia yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan kecelaruan mencakupi
bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, keagamaan dan banyak lagi menuntut tindakan yang
lebih pro-aktif khasnya daripada generasi muda. Pastinya, peranan kita dalam dunia hari ini dan akan
datang semakin ruwet lagi mencabar. Apakah kita berupaya menjadi satu generasi yang dapat
mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam berhadapan dengan suasana kepelbagaian ragam
dan rencam termasuklah kecelaruan masyarakat? Mampukah kita gah berdiri menyatakan prinsip
dan pendirian kita sebagai seorang Muslim berjiwa besar tatkala pelbagai bentuk mehnah dan
tribulasi menujah kita untuk menggadaikan prinsip dan idealisme sebagai seorang pemuda-pemudi
Islam?

Generasi muda adalah aset terpenting umat sepertimana yang telah diungkapkan oleh Prof. Dr.
Yusuf Al-Qaradawi yang mengumpamakan kelompok ini sebagai mutiara yang menjadi
perbendaharaan negara. Siapa pula dapat melupakan kata-kata Sukarno yang lantang melaungkan
bahawa negara Indonesia mampu bangkit menjadi kuasa besar dunia walau hanya dengan 10 orang
pemuda yang memiliki kualiti manusia unggul. Namun, apa yang menakutkan hari ini adalah
permasalahan sosial yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda. Kemuflisan akhlak
mereka bererti kehancuran sesuatu bangsa sepertimana yang diungkapkan dengan jelas oleh Shauqi
Bek, seorang penyair terkenal Mesir dalam madahnya:
Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti, selama budi pekerti itu ada,
maka adalah umat. Dan jika budi pekerti itu lenyap, maka lenyaplah umat.

Potensi-potensi kepemudaan yang dimiliki oleh generasi muda perlu digembleng sepenuhnya untuk
kebaikan seterusnya dapat menjadi agen perubah di dalam masyarakat. Partisipasi pemuda-pemudi
perlu mengambil kira realiti masyarakat Malaysia yang diwarnai oleh struktur serta watak
kepelbagaian agama, bangsa, budaya, adat dan bahasanya. Seluruh upaya generasi muda Malaysia
ini hendaklah diarahkan kepada satu bentuk sumbangan yang positif dan bukannya menjadi beban
atau liabiliti kepada masyarakat dan negara khususnya.

Menganjak kebangkitan melalui proses pencerahan, pembebasan dan perubahan sebuah generasi
merupakan agenda terpenting untuk disemarakkan. namun, anjakan ini tidak datang secara tiba-tiba
dengan datangnya seorang wira atau tokoh mahupun pemimpin yang akan mengetuai misi penting
ini. Dr Majid Irsan Kailani dalam kajian ilmiahnya yang dibukukan bertajuk Kebangkitan Generasi
Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam memperbetul salah faham terhadap
pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi Salahuddin al-Ayyubi. Beliau telah
mengemukakan dalil-dalil, fakta sejarah dan hakikat sunattullah bagi membuktikan bahawa kejayaan
generasi Salahuddin menawan Jurusalem dan menyebarkan Islam bukanlah kerana kehebatan dan
ketokohan beliau semata-mata.

Proses kebangkitan yang menyaksikan peribadi generasi itu sebenarnya telah dimulakan melalui
hasil tarbiyah yang dibina oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali setelah beliau mengasingkan diri (uzlah)
daripada kerajaan pimpinan Nizam al-Muluk. Kelemahan-kelemahan dalaman umat Islam waktu itu
yang ditandai dengan gejala fanatisme mazhab, penyimpangan sufisme, batiniah, falsafah dan
ketidakseimbangan dari sudut ekonomi, sosial, politik dan ketenteran telah mendatangkan suatu
iltizam yang tinggi kepada beliau untuk membina madrasah tarbiyahyang bakal mempersiapkan
generasi kebangkitan kelak. Usaha-usaha ini telah disambut pula oleh Syeikh Qadir al-Jilani yang
telah menggabungkan madrasah-madrasah dari tanah Arab di antara tahun 546H-550H. Graduan
madrasah-madrasah inilah yang akhirnya telah membina jaringan kebangkitan generasi muda oleh
Nurudin Zinki dan kemudiannya Salahuddin al-Ayyubi yang mantap dan seimbang daripada semua
segi. justeru, Salahuddin al-Ayyubi merupakan susuk peribadi yang paling hebat untuk menampilkan
keunggulan sebuah generasi yang telah mengalami proses kebangkitannya sejak sekian lama.

Hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan generasi muda tetap relevan dan
mempunyai potensi dan harapan yang amat cerah sekiranya dipedomani dengan sumber agama dan
diterapkan dengan elemen tadib yang akan menjurus kepada peradaban murni. Sebagai penerus
kepada kelangsungan tamadun, perjuangan ini sewajarnya bertunjangkan kepada nilai-nilai ilmu,
keadilan, kebenaran, nilai keagamaan dan kemanusiaan sejagat. Sementara itu, pemerkasaan
budaya-budaya asasi seperti mempekasa budaya ilmu, pemantapan budaya kerohanian,
pemahaman kepada isu-isu semasa antara lain menjadi faktor penentu kepada kejayaan atau
kegagalan kebangkitan generasi muda. Ianya harus dijaringkan dengan rantaian hubungan yang bijak
dan strategik selain diadun sebaiknya dengan pemahaman dan pegangan yang mantap kepada
sejarah, solusi dan idea penambahbaikan kepada isu-isu berbangkit dan antisipasi persoalan yang
sentiasa mendatang.

Sehubungan dengan itu, mesej dan harapan banyak pihak hari ini terletak kepada generasi muda
supaya bangkit dan bersama-sama menggerakan agenda pencerahan, pembebasan dan perubahan.
Pergerakan ini perlu didasari dengan segala macam persediaan bagi menghadapi tentangan
mendatang. Pengajaran daripada pencerobohan kedaulatan negara dan juga sebab akibat
peperangan perlu diambil pengajaran kepada kita untuk terus mempersiapkan diri agar tidak terleka.
Kita perlu yakin bahawa generasi muda akan terus hidup dengan idealisme serta prinsipnya yang
cintakan kepada keadilan dan keamanan.

Mukkadimmah: Pertama, Bangsa Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini.


Kedua, Bangsa Melayu sebagai bangsa beragama Islam yang elit. Dimensi
ketiga ada kaitan dengan politik dan kepimpinan. Keempat ialah dimensi yang
melihat betapa pentingnya kekuatan adat resam, sistem nilai, etika, budi pekerti
dan budaya dalam memartabatkan Bangsa Melayu. Dan yang kelima bagaimana
tamadun Islam yang begitu sebati dengan Bangsa Melayu dapat dijiwai lebih
mendalam lagi bagi mengangkat tinggi integriti dan martabat Bangsa Melayu.
Bangsa Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia. Suku kaum Melanau di
Sarawak bukannya kaum majoriti di sana tetapi dek keunggulannya, semua
kaum di Sarawak termasuk bukan Bumiputera, akur dengan kepimpinan yang
diterajui suku-kaum Melanau ini.
Suku kaum ini juga adalah di antara suku-kaum yang tergolong dalam rumpun
Melayu-Polynesia, maka ia juga dianggap sebagai Bangsa Melayu. Jika ini dapat
diteladani, maknanya Bangsa Melayu tidak perlu menjadi bangsa majoriti untuk
menjadi dominan.
Maka, apabila menjadi bangsa majoriti, sepatutnyalah ia menjadi bangsa yang
lebih unggul, maju dan makmur, yang wajar diteladani. Penulis mengakhiri
perenggan ini dengan pertanyaan, adakah Bangsa Melayu di Malaysia yang kini
merupakan komponen kaum majoriti merupakan bangsa yang dominan? Penulis
menjangkakan pelbagai jawapan yang berbeza dari mereka yang membaca
rencana ini.

Dimensi kedua, wajarkah Bangsa Melayu yang berdasarkan definisinya, wajib


beragama Islam, dan bolehkah diterima hakikat bahawa Bangsa Melayu adalah
bangsa beragama Islam yang elit? Perenggan ini bermula dengan persoalan
yang ingin penulis sendiri jawab dan tentunya ada pembaca yang tidak setuju.
Penulis berpendapat ia adalah benar. Manakan tidak, dengan hanya sekitar 18
juta saja penduduk negara ini diklasifikasikan sebagai Bangsa Melayu beragama
Islam, bersamaan hanya sekitar satu peratus daripada jumlah penduduk dunia
beragama Islam, mereka mampu mendominasi pentas Islam global.
Bangsa Arab di Saudi, terutamanya, dianugerahkan lima rahmat utama oleh
Allah SWT (kebanyakan Nabi & Rasul diturunkan di sana; Islam diturunkan di
sana; Kaabah berada di sana; Yahudi dijadikan musuh utama mereka untuk
mengajar mereka erti keakraban dalam Islam & black gold (minyak) dilimpahkan
banyak kepada mereka). Bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia hanya
memilih menjadikan Islam Agama Persekutuan tetapi datang bersamanya
rahmat yang mereka bina sendiri.
Lima rahmat utama ialah Sultan/Raja Ketua Agama Islam & Majlis Agama Islam
yang mengatasi institusi politik & pemerintahan, Tabung Haji sebagai tabungan
harta, Bank & Takaful Islam sebagai institusi kewangan & takaful,
Universiti/Kolej/Sekolah/Tadika Islam menara gadingnya dan Rejimen Askar
Melayu (Islam) pertahanan baginya. Mana ada negara Islam lain yang gah
memartabatkan Islam sejajar dengan perundangan Maqasid Syariah yang
sebegini rupa? Bukankah itu sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh
bangsa yang elit status dan kemampuannya!
Ketiga, mengenai politik dan kepimpinan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan
tidak mencedok bulat-bulat kesemua 47 fasal dalam Piagam Madinah, tidak
dinafikan itulah di antara premis yang diguna pakai dalam penggubalan
Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, mana ada satu perlembagaan dalam
dunia ini yang sempurna, maka bagi mengukuhkan lagi sistem perundangan di
Malaysia, khusus untuk mereka beragama Islam, tanpa menjejas mereka yang
bukan Islam, diadakan pula sistem perundangan syariah yang kian hari hampir
sempurna diperlengkap.
Yang barangkali sering diperdebatkan ekoran manipulasi terhadap grey areas
atau pun legal loopholes yang masih wujud, dan yang seolah-olah
menampakkan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia amat lemah dan
tidak Islamik. Walhal itu semua adalah polemik politik semata-mata. Inilah
padahnya apabila peneraju institusi politik merasakan mereka berada di atas
lain-lain institusi (beyond politics) atau mereka rasa mereka memiliki kekebalan
politik untuk dieksploitasi.
Dari tiga dimensi yang sudah dikupas setakat ini, dimensi politik dan kepimpinan
inilah yang menghasilkan banyak symptoms of defects terhadap kewibawaan
Bangsa Melayu Beragama Islam ini. Ada banyak lagi causal factors lain tapi
dimensi politik dan kepimpinan yang paling ketara menjadi penyebab wabak
pertikaian kewibawaan Bangsa Melayu.
Dimensi keempat ialah dimensi yang terabai. Dalam keghairahan mengejar
kemajuan dan mendominasi kuasa kepimpinan, semua bangsa di Malaysia
dilihat leka dan akhirnya mengabaikan betapa adat resam, nilai budaya, pekerti
dan tata-susila yang sama pentingnya dengan kemajuan jasmaniah dalam
mengejar kehidupan makmur dan sejahtera ini. Gejala ini bukan saja ibarat
gejala dadah, lebih parah lagi ia membenarkan pula budaya asing yang ternyata
songsang, untuk kedua kalinya meresap ke dalam sanubari dan menghancurkan
sama sekali peradaban Bangsa Melayu yang baru nak dipulihkan selepas
pertama kali ia dilacurkan penjajah selama lebih 500 tahun sebelum merdeka.
Ada satu negara di dunia ini yang sungguh ajaib kebolehan mereka
membangunkan kekayaan kebendaan dan kemajuan jasmaniah. Sekalipun
dihancurkan tanpa peluang untuk bangkit selepas Perang Dunia Kedua, tetapi
tidak sampai pun tiga dekad, mereka sudah kembali maju, malah lebih maju dari
sebelumnya. Akan tetapi selepas empat dekad mereka mengecap kemajuan
jasmaniah, mereka menyedari kemajuan itu banyak cacat-celanya, kerana ia
tidak diimbangi dengan kemajuan rohaniah.
Bangsa tersebut dianggap bangsa tanpa agama, maka pilihan yang ada pada
bangsa itu supaya kembali kepada pegangan budaya. Mujurlah bangsa
berkenaan amat kuat (fanatik) pegangan budayanya. Justeru itu, mereka
menjadikan ilmu (pendidikan) dan budaya sebagai asas kemajuan, kemakmuran
bangsa dan negaranya. Penulis pernah mengikuti rapat reformasi pendidikan &
budaya yang dilakukan oleh negara berkenaan pada awal 1980an. Penulis
berpendapat amat wajar bagi Bangsa Melayu meneladani dengan mengikuti
cara mereka mengintegrasikan ilmu dan budaya sebagai tiang seri
pembangunan dan kemajuan.
Penulis sengaja meletakkan dimensi ini (tamadun Islam) sebagai yang kelima
dan yang terakhir dikaitkan dengan tajuk rencana ini. Ini bukan kerana ia yang
kelima penting, tetapi sebagai grand finale dan untuk bertanya kenapa Bangsa
Melayu memilih agama Islam tetapi tamadun Islamnya tempang. Manakan tidak,
hampir kesemua kecacatan yang dinyatakan (sekalipun tidak dihuraikan)
berpunca dari ketempangan ini.
Walaupun hanya segelintir Bangsa Melayu beragama Islam yang begitu
kewibawaannya, pepatah Melayu ada berkata, ibarat seekor lembu membawa
lumpur semuanya terpalit. Hanya kerana segelintir ini yang ghairah mengejar
kemajuan jasmaniah dan kuasa (fame & glory), sudah cukup untuk Bangsa
Melayu dihukum dan dimengerti sebagai bangsa yang mengabaikan adat resam,
nilai, etika dan budaya serta menjadikan Islam sebagai kosmetik tanpa mengerti
langsung worldview of Islam. Malah, perkuburan tamadun Islam jauh lebih
terperosok berbanding peminggiran adat dan budaya Bangsa Melayu yang
terabai itu.
Betul, ada banyak dibina institusi bagi memartabatkan Islam; Majlis Agama
Islam, ILIM, IKIM, JAKIM, IAIS, CASIS dan macam-macam lagi yang Islam,
malah jika boleh, perkhidmatan teksi pun nak di Islamkan, tetapi apakah
sumbangan positif dan signifikan mereka secara collective terhadap usaha
memartabatkan tamadun Islam? Tepuk dada tanyalah selera.
Debaran semua rakyat menanti pengumuman PRU 13 adalah disebabkan
bahang dari api yang dihidupkan bagi menyalakan symptom of defects itu. Isu-
isu berkaitan simptom ini banyak diperkatakan, tetapi impaknya masih kabur.
Justeru, Majlis Perundingan Melayu, MPM, memberanikan diri menghimpunkan
cendekiawan Melayu dari pelbagai kelompok masyarakat untuk menyelami isu ini
buat ke sekian kalinya. Forum Negara di Dewan Negara yang diadakan pada
Isnin 25 Mac 2013 dirancang untuk menjadikan PRU13 ini sebagai take-off
point. Ia sebagai perancangan dan perlaksanaan satu agenda nasional
berteraskan inti pati Forum Negara tersebut, iaituMembina Peradaban Bangsa
Melayu Berteraskan Tamadun Islam.
Bila Bangsa Melayu berperadaban tinggi, diperkukuhkan dengan pegangan
kepada amalan dan tamadun Islam, mereka akan menjadi bangsa yang lebih
bermartabat dan berwibawa. Lain-lain kaum di Malaysia tidak akan rasa takut,
cemburu atau tercabar kedudukan mereka jika ini terjadi, kerana apabila Bangsa
Melayu sebagai bangsa majoriti lebih kuat dari segi budaya dan tamadunnya, ia
akan menjadi bangsa yang lebih mampu menerajui pembangunan, kemajuan,
kemakmuran dan kesejahteraan semua kaum di Malaysia.
Isu-isu polemik yang sering dipolitikkan akan lenyap begitu saja. Budaya-budaya
negatif dan songsang akan lenyap ditelan zaman dek kekebalan benteng
peradaban Bangsa Melayu yang diwarisi sejak zaman nenek-moyang mereka
dulu.
Bangsa Melayu wajib bangkit kerana ia mampu menjadi bangsa berperadaban
tinggi, mulia dan elit. Namun, banyak yang perlu dilakukan, terutama selepas
PRU13 kelak.

Entah mengapa sehingga lebih lima puluh tahun merdeka, istilah bahasa Melayu masih
dipolemikkan sejak dahulu sehingga kini dengan nama bahasa Malaysia. Bagi sesetengah
orang perkara ini kecil dan remeh. Tidak perlu diperbesar. Malangnya jika betul remeh dan
kecil sahaja hal ini, makanya tak perlulah kita bersusah payah dan beria-ria untuk
menegakkan penggunaan istilah bahasa Malaysia yang sebenarnya tidak betul dan lain
maksudnya. Misalnya mengapa kita tidak sebut begini yang pastinya lucu memartabatkan
bahasa Malaysia (nama negara), memperkukuh bahasa England (juga nama negara). Orang
berbangsa Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain tidak pun mengambil kisah untuk
menukar bahasa English tersebut kepada nama bahasa Amerika, Australia, New Zealand,
India, Korea, Jepun atau Filipina. Walau di ceruk mana sekalipun itulah sahaja namanya,
Inggeris atau English. Begitu juga halnya dengan orang di utara England atau Scotland yang
sekalipun kedengaran juga berasa kurang selesa dengan orang Inggeris di England. Martabat
bahasa Melayu sepatutnya dijaga daripada sekecil-kecil perkara termasuk nama, sehinggalah
kepada hal yang lebih besar berkaitan dengan pengisiannya, pembakuan sebutan, tatabahasa,
istilah dan laras bidang ilmu. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 merupakan punca
kuasa utama usaha memperkasa bahasa Melayu di Malaysia. Apabila bahasa Melayu
diisytiharkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu
(atau kemudiannya Malaysia) itu bererti bahasa Melayu sudah berubah taraf dan fungsi
sebagai bahasa kebangsaan BANGSA Melayu kepada bahasa kebangsaan NEGARA
Malaysia. Peranan atau fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara merentas
sempadan dan kepentingan etnik; fungsinya ialah sebagai alat pembangunan negara, bukan
semata-semata sebagai alat pembangunan dan kepentingan bangsa Melayu sahaja. Fungsinya
juga tidak hanya bersifat simbolik atau sebagai alat perpaduan kaum sahaja tetapi bersifat
instrumental atau functional, pragmatik dan developmental (Razaleigh Hamzah,
2007:11). Bermula daripada nama bahasa yang sah lagi sahih iaitu bahasa Melayu maka
sebagai asas dan dasar, nama tersebut juga perlu diperkasakan dan digunakan di samping hal-
hal lain. Bahasa Melayu diabsahkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia.
Bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sebenarnya bukan nama gantian bagi bahasa Melayu
tetapi taraf dan peranan yang diberi kepada bahasa Melayu. Contoh mudahnya katakanlah
ada seorang individu yang namanya Ali. Beliau berjawatan sebagai Pengurus Besar sebuah
syarikat. Ali itu namanya dan Pengurus Besar itu jawatan atau peranannya walaupun
memanglah Ali dan Pengurus Besar itu orang yang sama. Justeru bahasa Melayu itu
namanya dan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan itu peranan atau taraf yang diberi kepada
bahasa Melayu di negara ini. Istilah kebangsaan bukan berkaitan dengan semangat
nasionalisme Melayu sahaja tetapi berkaitan dengan kepentingan dan perpaduan negara.
Justeru bahasa Melayu wajib digunakan dalam setiap majlis atau acara rasmi seperti
mesyuarat, taklimat, kursus, segala urusan bertulis atau surat-menyurat (khususnya dalam
negara), hebahan atau pengumuman rasmi seperti iklan jawatan dan seumpamanya melalui
media elektronik dan media cetak, pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan
peringkat rendah, menengah (Tingkatan Enam dan Matrikulasi) dan pengajian tinggi.

Nama bahasa Melayu

Merujuk negara kita yang majmuk ini, secara dasarnya tidak ada sesiapapun yang berhak
untuk membenci mana-mana bahasa pun yang dituturkan di negara ini. Misalnya, kita sebagai
rakyat satu Malaysia khasnya tidak berhak membenci bahasa Mandarin kerana namanya
bahasa Mandarin atau kerana bahasa Mandarin itu dituturkan oleh bangsa Tionghua atau
Cina. Kita juga tidak berhak membenci bahasa Tamil kerana namanya bahasa Tamil atau
kerana bahasa Tamil dituturkan oleh bangsa India dan kita tidak boleh membenci bahasa
Inggeris kerana namanya Inggeris atau English atau kerana orang Inggeris pernah menjajah
kita. Seterusnya rakyat Malaysia tidak berhak membenci bahasa Melayu kerana namanya
bahasa Melayu atau kerana penutur jati bahasa Melayu berbangsa Melayu. Tentunya tidak
waras jika kita meminta bahasa Mandarin atau Tamil ditukar namanya barulah kita tidak
membenci atau akan berminat untuk mempelajari bahasa tersebut. Begitu juga tidak waras
untuk kita membenci bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan negara ini. Kita perlu sedar akan konsep menuntut ilmu yang banyak adalah baik
dan meningkatkan taraf atau darjat kita termasuk jika kita belajar bahasa yang banyak
(bahasa apa pun) dan bukan sebaliknya. Justeru tidak waras dan tidak munasabah sama
sekali, bahasa Melayu perlu ditukar kepada nama lain atau disebut dengan nama lain
dengan harapan setelah bertukar nama barulah tidak dibenci, disayangi, dipelajari dan
digunakan serta dapat menjadi bahasa perpaduan semua bangsa di Malaysia. Kita tidak
harus emosional dan perlu bersikap profesional dalam hal ini dan menerima hakikat sesuatu
itu berlandaskan ilmu dan kebenaran. Dengan sikap tersebut dan keterbukaan akan
membantu kita ke arah menjiwai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebanggaan
kita sebagai rakyat Malaysia yang juga turut menjadi bahasa pengucapan kelima terbesar di
dunia. (disesuaikan daripada kertas kerja yang dibentang semasa Konvensyen Munsyi
Dewan (DBP) Memperkasa Bahasa Melayu di Sektor Swasta: Satu Tinjauan Selepas 50
Tahun Merdeka, pada 18-21 April 2008 di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur)

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.


(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan henda
klah dalam tulisan yang
diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang
daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau
belajar, apa-apa bahasa lain;
dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjeja
skan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara
dan meneruskan
penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain
di dalam Persekutuan.
(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama temp
oh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan sel
ainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis
Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud r
asmi yang lain.
(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama temp
oh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan sel
ainnya oleh Parlimen, teks sahih
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa at
au pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Maj
lis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan sub
sidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan,
hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama temp
oh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan sel
ainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah R
ayuan atau Mahkamah Tinggi
hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi
kedua-dua pihak bersetuju,
keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan
oleh saksi tidak perlu
diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa
Inggeris.
(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga di
peruntukkan selainnya oleh
Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah
, selain pengambilan keterangan,
hendaklah dalam bahasa Inggeris.
(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-a
pa maksud Kerajaan, sama ada
Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan term
asuklah apa-apa maksud sesuatu
pihak berkuasa awam.

Selaras dengan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa kebangsaan 1967
yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya
sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah
untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan
santun dalam Perkhidmatan Awam. kata YAB Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Haji Mohd.
Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa merasmikan Seminar Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan pada 28 Jun lalu, di Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Selanjutnya, kata Tan Sri Dato Haji Muhyiddin, Kerajaan sentiasa tegas dalam
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan akan memastikan bahasa
tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita
membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu. Saya yakin, sistem pendidikan
kita mempunyai peranan besar dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan memupuk
semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara kita bukan sahaja dapat
menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik, tetapi juga menghayati nilai-nilai
perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.
Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Ketua Satu GAPENA (Gabungan Penulis
Nasional), dalam Ucap Utamanya, Cabaran Terhadap Pelaksanaan Bahasa Melayu dalam
Pentadbiran dan Sistem Pendidikan Kebangsaan pula berkata, Walaupun Malaysia sudah
55 tahun merdeka dan mempunyai dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun
negara kita masih tidak menonjol sebagai negara yang dihormati mendaulatkan bahasa
kebangsaan di persada dunia antarabangsa seperti Jepun, China, Jerman, Korea dan Perancis.
Bahasa asing masih berleluasa dan dominan penggunaannya serta masih lagi digunakan di
tempat-tempat awam, pusat pengajian tinggi awam dan swasta, dan pemimpin-pemimpin kita
lebih berbangga bertutur dalam bahasa asing apabila berdepan dengan rakyat Malaysia.
Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa Melayu dan tidak rasa bersalah apabila
menggunakan bahasa asing.

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa disebabkan oleh segolongan rakyat kita yang tidak
menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, para pejuang bahasa dan nasionalis
yang mempunyai semangat patriotisme cinta kepada negara Malaysia yang bermaruah dan
berdaulat, bangkit menegur dan mengkritik golongan yang tidak patriotik ini. Malangnya,
yang berjiwa patriotik dan berusaha membina negara bangsa Malaysia yang bersatu itu
dituduh pula sebagai tidak mengikut perkembangan zaman dan perkembangan globalisasi,
rasis dan sebagainya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Awang Sariyan
[Petikan satu bahagian dalam kertas kerja penulis]

Bahasa Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa dan tamadun
besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan,
bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan
Sriwijaya. Pada zaman Kesultanan Melayu dari sekitar abad 13 hingga abad 19, bahasa Melayu
mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa
pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa
perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi (Awang Sariyan, 2002, 2005, 2009,
2010).

Kebudayaan Melayu secara langsung pula telah menjelma menjadi kebudayaan yang definitif di
rantau ini sehingga rantau ini dikenal sebagai Kepulauan Melayu atau alam Melayu kendatipun pola
demografi rantau ini pada hakikatnya menunjukkan kerencaman komposisi penghuninya. Jika
berdasarkan hakikat wujudnya beratus-ratus bahasa yang dikelompokkan dalam keluarga bahasa
Nusantara (sebagai cabang bahasa Austronesia) di rantau ini, ternyata bahawa bangsa Melayu
sebagai satu kumpulan etnik hanya merupakan satu daripda ratusan kumpulan etnik tersebut.
Namun kebitaraan tamadun Melayu, terutama disebabkan adanya kekuatan kuasa politik, ekonomi
dan kebudayaan (termasuk kekuatan bahasanya) telah memungkinkan identifikasi rantau ini dengan
citra Melayu. Kini digunakan juga istilah dunia Melayu untuk merujuk kepada rantau yang diwakili
oleh Malaysia, Indonesia, Brunei dan beberapa wilayah negara serantau yang mewarisi tamadun
Melayu, misalnya Thai selatan, Singapura, Filipina selatan, Kemboja, Vietnam, dan Myanmar.
Maka itu, tidaklah menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan
kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:

Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan
di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami
di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau
sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu
sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan
saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan
Kepulauan Filipina. (Nik Safiah Karim, et al., 2004)

Kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa
bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya
sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama
besar dunia dan bahasa sastera (Collins, 1999; Awang Sariyan, 2000; Hassan Ahmad, 2002).

Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia)
dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi
bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa
perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkugan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan
Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa masuk oleh Inggeris
untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa
penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular
Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.

Penjajah Inggeris benar-benar telah melaksanakan dasar pecah-belah dan perintahnya dan pada
waktu yang sama telah membenamkan bahasa dan budaya Melayu ke lumpur pekat sehingga sirna
sinar bahasa bitara itu di negaranya sendiri. Sistem pentadbiran dan undang-undang yang pada
zaman kesultanan Melayu didasarkan pada asas kemelayuan (dengan Islam sebagai tunjangnya)
telah dirobah oleh Inggeris dengan menggunakan sistem sekularnya. Apabila kini umat Melayu Islam
di negara ini bertelagah tentang pelaksanaan undang-undang yang berdasarkan Islam, sebenarnya
punca utamanya disebabkan kejayaan Inggeris memusnahkan asas keperibadian kebudayaan kita
dengan dasar sekularnya.

Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa
penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini
bukan suatu kebetulan, sebaliknya direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris,
semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa
dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. Dokumen-
dokumen rasmi kerajaan Inggeris dengan jelas merakamkan perencanaan itu. Antaranya
termasuklah:

memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-


peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia daripada penipu-penipu yang tidak
bertimbang rasa. (Annual Departmental Reports, S.S. 1903)

Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-
kira, Ilmu Alam dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan
bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan
penyelia lombong. Setakat itu baguslah.
(Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898)

Pendidikan Melayu yang asalnya untuk tempoh enam tahun pun dikurangkan menjadi empat tahun
sahaja pada tahun 1885 (Awang Had Salleh, 1980), sejajar dengan dasar penjajah yang tidak
berhasrat mewujudkan anak watan berwibawa.

Jawatankuasa Barnes (1951) memperlihatkan perubahan pandangan sedikit tentang bahasa Melayu
apabila mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam membentuk sistem pendidikan yang bersifat
kebangsaan, tetapi masih tetap mengutamakan pendidikan dalam bahasa Inggeris kerana bahasa
Melayu tetap setakat menjadi bahasa penghantar di peringkat sekolah rendah sahaja. Usulnya agar
sistem pendidikan hanya berlandaskan dua bahasa penghantar, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa
Melayu ditentang kuat oleh masyarakat Cina dan India.

Menjelang kemerdekaan, usaha memartabatkan semula bahasa Melayu telah diupayakan,


khususnya oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan
dengan berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Usul
Jawatankuasa tersebut (yang dikenal sebagai Penyata Razak) dan kemudian diperkuat olah usul
Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 (yang dikenal sebagai Penyata
Rahman Talib) telah dijadikan asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang selama 35 tahun menjadi
asas sistem pendidikan kebangsaan sebelum diluluskan Akta Pendidikan 1996. Malah akta
pendidikan yang baharu itu pun, khususnya dalam Seksyen 17, masih mempertahankan kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara.

Setahun menjelang kemerdekaan juga, peristiwa penting yang berkaitan dengan usaha
memartabatkan semula bahasa Melayu ialah Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (dengan
pejabat awalnya di Bukit Timbalan, Johor Bahru) dan Institut Bahasa (dengan kampus pertamanya di
Bukit Senyum, Johor Bahru), sebagai hasil desakan rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu, khususnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).

Kesediaan kerajaan pada waktu itu memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebjiksanaan yang tepat
untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana bidang-
bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan korpus bahasa dalam
bidang kosa kata (umum dan khusus), sistem ejaan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.

Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah
asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah berhasil menjadi asas terbentuknya konsep
negara yang berdaulat dan telah menjadi faktor pemersatuan rakyat yang ampuh untuk membentuk
perpaduan kebangsaan.

Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana komunikasi rasmi yang
menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai sektor.
Sektor utama negara seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman serta media
massa menjadi lancar dan mencapai tahap kecekapan melalui bahasa Melayu sebagai wahana
utamanya.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian


pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa
kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeklusifan
bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan lepasan sekolah
aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi tonggak pembangunan negara dalam
pelbagai bidang.

Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang melanjutkan pengajian di luar negara,
mereka memperoleh ilmu dalam bahasa asing, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa
sehingga peringkat menengah atas sekurang-kurangnya, iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan
kemahiran asas kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan.

Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana
bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa
Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-
bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta
Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa
Melayu sebagai salah satu asas jati diri dan tonggak pembinaan negara.