Novis
Novis Cekap Mahir Pakar
Lanjutan
Guru novis juga dikenali sebagai guru baharu atau guru permulaan yang
dikategorikan daripada tahun pengajaran sekitar sejak bermula mengajar
sehingga tahun pertama. Guru ini biasanya baharu sahaja menamatkan
pengajian dan kursus ihtisas bidang perguruan seperti yang ditawarkan di
universiti pendidikan atau di institut pendidikan guru. Guru haruslah mempunyai
kelayakan ihtisas dalam bidang keguruan dan pendidikan supaya layak untuk
mengajar pelajar atau individu lain.
Pada peringkat ini, guru baru memperoleh pengetahuan dan ilmu secara
akademik dan telah didedahkan dengan pelbagai kaedah dan teori pengajaran
dan pembelajaran. Guru mempunyai literasi keguruan yang tinggi dan
mempunyai potensi yang penuh serta bakat yang boleh diserlahkan dalam
bidang pendidikan dan pengajaran. Guru perlu mempunyai daya usaha yang
tinggi untuk mengaplikasikan pengetahuan dan ilmu yang diperoleh untuk
membolehkan guru menyesuaikan diri untuk menghadapi situasi sebenar
pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah. Guru novis harus berusaha
membentuk suatu pandangan yang lengkap dalam menghuraikan konsep
menjadi seorang guru dalam setiap perbuatan, percakapan dan gaya hidup guru
tersebut. Setelah didedahkan dengan situasi di sekolah, guru permulaan
berpeluang memperolehi kemahiran-kemahiran hands-on pengajaran,
mempelajari istilah-istilah baharu berkenaan profesion serta berupaya menjana
idea-idea dan daya usaha awal yang baharu dalam melaksanakan tugas-tugas
pengajaran.
Walaubagaimanapun, guru novis atau guru permulaan sering dikaitkan
dengan pelbagai masalah terutamanya dalam bidang teknikal dan sosialisasi
kerana kekurangan pengalaman dan pendedahan awal dalam bidang profesion.
Guru novis biasanya disifatkan sebagai kurang berkemahiran kerana mempunyai
asas pengetahuan dan kebolehan yang terhad berbanding guru cekap dan mahir
terutamanya dalam bidang pengurusan dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti
sekolah.. Guru novis mempunyai kemahiran pengurusan kurikulum dan
kokurikulum yang rendah dan perlu menambahbaik kemahiran tersebut dari
semasa ke semasa. Tugas harian guru yang padat dan sibuk memerlukan guru
novis pantas menyesuaikan diri dan mendapatkan kemahiran dan pengetahuan
yang diperlukan untuk memberikan kesediaan dan kesempurnaan dalam
menyelesaikan tugas yang ada. Kekurangan teknikal lain seperti kemahiran
menguruskan aktiviti kokurikulum dan kemahiran menjalankan aktiviti sukan
penting dalam menunjukkan kebolehan seseorang guru itu. Selain itu, guru novis
menunjukkan kelemahan dalam memahami peraturan dan sistem disiplin sekolah
serta lemah dalam pengawalan bilik darjah. Hal ini boleh berlaku sekiranya guru
tersebut kurang pengetahuan teori dan amalan latihan serta tidan mempunyai
kemahiran sosial yang baik
Dengan itu, saranan yang boleh digunakan oleh guru novis adalah dengan
cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya sekolah. Setiap
sekolah mempunyai budaya unik tersendiri namun dari sudut asas semua iklim
sekolah adalah sama. Guru novis juga harus peka dan proaktif dalam
mendapatkan maklumat serta pengetahuan baru dalam pelbagai aspek dan
bidang penting di sekolah terutamanya dalam bidang pengajaran dan
pengurusan sekolah. Pengurusan yang baik boleh menjamin sistem kerja yang
efisien bagi guru novis. Guru novis juga boleh wujudkan keseronokkan dan
keceriaan pembelajaran dalam kalangan murid dalam memberikan semangat
kepada murid dan warga sekolah untuk turut membantu dalam membantu
perkembangan guru.
Pada peringkat novis lanjutan ini guru harus mempunyai semangat serta
kebolehan yang tinggi dalam mengaplikasikan dan mempraktikkan pengetahuan
teori dan perkara yang telah dipelajari dalam situasi sebenar dalam kelas dan
pergerakan iklim sekolah. Guru mahir atau cekap yang lain boleh membantu guru
novis lanjutan dengan memberikan teguran atau membimbing guru bagi
mengelakkan salah aplikasi konsep dari peringkat awal lagi. Guru novis lanjutan
boleh mempunyai suatu mentor atau idola yang boleh memberikan inspirasi
kepada guru tersebut untuk meneruskan usaha untuk berjaya dalam profesion.
Guru Cekap atau guru kompeten dapat diukur pada peringkat tempoh tiga hingga
lima tahun pengajaran. Pada peringkat ini, guru telah menguasai atau
mengetahui semua istilah-istilah serta konsep penting berkenaan profesion. Guru
juga sudah mampu menunjukkan kebolehan menguasai pengajaran dalam bilik
darjah dengan memberikan pengajaran yang berkesan. Guru juga mungkin
sudah memperoleh lulusan atau pengiktirafan dari sudut pengesahan jawatan
guru yang diukur daripada amalan profesionalisme guru tersebut.
Pada peringkat cekap, guru seharusnya sudah mampu menilai sendiri kualiti
pengajaran melalui amalan refleksi. Guru sebaiknya mampu mengimbas semula
setiap aktiviti yang telah dijalankan serta menjalankan penambahbaikan bagi
kelemahan yang timbul daripada aktiviti tersebut. Guru boleh menggunakan
amalan deduksi seperti saya telah atau saya sudah dalam menilai semula
aktiviti dan menyelesaikan dengan saya perlu atau saya harus untuk
memberikan langkah penambahbaikan dalam kemahiran pengajaran guru. Guru
ini juga mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan masalah dalam pengajaran
berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh.
Sekiranya seseorang guru itu tidak dapat bertahan dengan baik sehingga ke
peringkat guru cekap, ini merupakan petanda bahawa seseorang itu tidak
mampu atau menghadapi masalah dalam menjalankan tugas dan menghayati
profesion sebagai seorang guru.
Guru peringkat mahir dikenali juga sebagai guru berkesan atau efektif yang dapat
dikategorikan pada peringkat lima hingga sepuluh tahun pengajaran. Guru pada
peringkat ini dikatakan adalah berada dalam peringkat terbaik profesion dari
sudut produktiviti dan kebolehan mengaplikasikan pengajaran yang berkesan
terhadap murid. Guru ini juga sudah memenuhi segala keperluan dan kehendak
sebagaimana yang telah diaspirasikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Bilangan guru yang telah mencapai ke tahap ini juga kurang kerana untuk ke
tahap ini memerlukan seorang guru yang benar-benar menghayati
profesionalisme perguruan.
Guru Pakar atau guru senior atau elit adalah peringkat tertinggi dalam
perkembangan dan profesionalisme guru menurut teori Trotter. Peringkat ini
dikenalpasti pada sekitar 15 tahun pengajaran dan ke atas. Pada peringkat ini,
guru telah mencapai tahap tertinggi dalam perkembangan dari sudut kemahiran
pengajaran serta penguasaan penuh dalam setiap tugasan dan tanggungjawab
sebagai seorang guru. Guru pakar kebiasaannya telah menerima pengiktirafan
perkhidmatan cemerlang samada di peringkat sekolah mahupun peringkat yang
lebih tinggi berdasarkan kemahiran keguruan yang diperolehinya secara holistik.
Seorang guru pakar mempunyai tahap sahsiah dan peribadi yang tinggi
dengan mempunyai sahsiah yang terpuji, daya berketerampilan yang cemerlang
serta berpegang teguh kepada etika perguruan dan perkhidmatan awam. Guru
pakar sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan perkembangan murid serta
boleh menjadi role model kepada semua warga sekolah. Pengalaman luas yang
diperoleh guru pakar sentiasa membantunya menyelesaikan setiap
permasalahan dalam pengajaran secara lengkap dan berkesan. Setiap tugasan
atau perkara yang dijalankan oleh guru pakar sentiasa terlaksana dengan
cemerlang berbanding guru cekap atau mahir yang kadangkalanya mempunyai
kesilapan. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh guru
pakar, beliau dianggap sebagai individu yang berautoriti atau mempunyai
pengaruh besar dalam perkembangan sekolah. Senioriti yang diperoleh guru
pakar digunakan melalui pelantikan kepada jawatan-jawatan penting dalam
organisasi pentadbiran sekolah seperti penolong kanan mahupun guru besar.
Setiap idea mahupun kepakaran yang ada pada guru pakar boleh diaplikasikan
dalam membentuk polisi sekolah mahupun mempengaruhi sistem pengurusan
bilik darjah yang lebih baik.