Anda di halaman 1dari 35

Topik Konsep Asas

2 Hubungan
Etnik
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menerangkan konsep asas hubungan etnik;
2. Menghuraikan fenomena hubungan etnik pada peringkat
tempatan dan global berdasarkan konsep asas dan teori; dan
3. Menganalisis teori berkaitan dengan hubungan etnik dan
implementasinya.

PENGENALAN
Memahami konsep asas adalah penting untuk mengaitkan kursus ini dengan
realiti masyarakat di Malaysia. Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan supaya
masyarakat berada dalam keadaan bersatu padu dan mempunyai tahap toleransi
yang tinggi. Topik ini cuba mendekati dan memberikan kefahaman kepada para
pelajar tentang konsep asas yang penting untuk memahami dan mengaitkan
konsep dan teori dengan hubungan etnik khasnya di Malaysia. Konsep asas
tersebut akan dibincangkan dengan khusus di bawah tiga bahagian yang utama
iaitu manusia, masyarakat dan budaya. Ini kerana dalam ketiga-tiga entiti ini,
terdapatnya proses sosialisasi yang menjadikan siapa kita pada hari ini.

Antara perkara yang penting adalah budaya. Budaya merupakan elemen penting
yang membentuk kita pada hari ini. Budaya juga mengkategorikan kita sebagai
Melayu, Cina, India atau lain-lain etnik. Pembentukan etnisiti ini bermula
dengan adanya proses sosialisasi. Hubung kait antara ketiga-tiga entiti ini dapat
dilihat dalam Rajah 2.1.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 23

Rajah 2.1: Manusia, masyarakat dan budaya

Sudah menjadi lumrah bahawa kehidupan manusia melalui proses interaksi dan
hubungan sesama mereka. Kemudian, barulah berlaku pembentukan masyarakat
dan komuniti. Justeru, manusia diikat dengan interaksi. Proses berinteraksi ini
berlaku dan membentuk masyarakat. Cuma di sini persoalan yang ingin
dikemukakan ialah bentuk masyarakat yang telah terbentuk. Justeru, topik ini
akan berusaha mendekati konsep penting melibatkan manusia, budaya dan
masyarakat serta perkara yang berlaku di dalamnya seperti ras dan etnik,
masyarakat majmuk, konsep stereotaip, prasangka dan diskriminasi. Selain itu,
bahagian teori juga akan menyentuh teori utama yang mendasari pengajian
kursus Hubungan Etnik dan berkait rapat dengan teori integrasi.

2.1 KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK


Sebelum meninjau hubungan etnik dengan lebih mendalam di Malaysia,
beberapa konsep yang berkaitan dengannya perlulah dijelaskan terlebih dahulu.
Pelbagai konsep yang digunakan sudah tentu mempunyai makna yang berbeza-
beza. Antaranya adalah majoriti, minoriti, stereotaip, prasangka, perkauman,
etnosentrisme, diskriminasi dan konflik. Bab ini juga akan menerangkan tiga
komponen utama konsep asas dalam hubungan etnik iaitu komponen konsep
masyarakat, budaya dan perpaduan. Komponen konsep masyarakat ini
melibatkan banyak konsep yang perlu difahami seperti konsep masyarakat,
etnik, entiti, ras, rasisme, prejudis, stereotaip dan diskriminasi.

2.1.1 Konsep Ras dan Rasisme


Konsep yang pertama apabila bercakap tentang etnik ialah konsep ras. Justeru,
apakah yang anda faham tentang ras? Dalam konteks negara kita, konsep ras ini
sering kali diguna bersama etnik, walaupun konsep etnik dan ras mempunyai
perbezaan yang nyata. Menurut Ting Chew Peh (1987), kumpulan ras adalah
sekelompok manusia yang mempunyai persamaan dari segi fizikal seperti warna

Copyright Open University Malaysia (OUM)


24 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

kulit, bentuk badan, kepala, hidung, telinga, bibir, mata, rambut dan sebagainya.
Ciri-ciri fizikal ialah perkara yang paling asas yang diguna pakai untuk
menggambarkan pengelompokan etnik seseorang yang disebut sebagai ras.
Menurut Chew Hock Thye (1975), konsep ras berkaitan dengan traits dan sifat
semula jadi seperti bentuk badan, warna rambut, bentuk kepala, warna kulit dan
warna mata. Justeru, istilah ras meletakkan manusia dalam keadaan yang
berbeza. Istilah ras merujuk pada membezakan seseorang penduduk manusia
(atau bukan manusia) dengan kategori yang lazim digunakan bagi membezakan
penduduk manusia dengan sifat nyata (terutamanya warna kulit dan bentuk
muka) baka dan pengenalan diri.

Dalam konteks ini, kita melihat konsep ras sebagai indikator penting yang
membezakan kelompok manusia daripada kelompok manusia yang lain. Justeru,
konsep ini telah mewujud istilah baka keturunan. Para sarjana berpendapat baka
keturunan ini dipengaruhi oleh keturunan nenek moyang kita yang dibahagikan
kepada empat kelompok besar iaitu Caucasoid, Mongoloid, Negroloid dan
Austroloid. Konsep keturunan ini merujuk pada baka dan keturunan seseorang.
Maka, konsep ini menjadi asas kuat konsep etnik.

Konsep ras juga melahirkan konsep lain yang penting dan agak bersifat negatif
iaitu rasisme. Perkataan rasisme telah wujud bukan sahaja dalam Bahasa
Inggeris malahan juga Bahasa Perancis semenjak tahun 1930an lagi. Perkataan ini
menimbulkan konotasi yang membawa pada wujudnya pertelingkahan etnik
antara individu dan kelompok yang berasaskan pada tanggapan ras. Rasisme
lazimnya termasuk kepercayaan bahawa manusia daripada kelompok ras yang
berbeza juga mempunyai kebolehan semula jadi seperti darjah intelek,
kepakaran fizikal atau akhlak yang berbeza. Kebanyakan mereka yang
menggunakan konsep kategori ras percaya bahawa kelompok ras boleh disusun
berdasarkan hierarki yang berbeza antara mereka. Umumnya, konsep ras ini
merujuk pada pelbagai sistem kepercayaan yang mengatakan manusia boleh
dibahagikan pada kelompok tertentu atas dasar sifat fizikal dan pembahagian ini
akan menentukan atau mempengaruhi pencapaian individu tersebut. Dalam
sesetengah keadaan, ia akan menentukan nilai individu atau seseorang manusia
berkenaan. Maka, wujud perasaan superior dalam diri seseorang berbanding
dengan seorang yang lain atau antara kelompok dengan kelompok yang lain.

Justeru, konsep ras dan rasisme ialah konsep yang mempunyai perkaitan yang
rapat. Dalam konteks negara kita, penggunaan konsep ras adalah pada kadar
yang rendah. Masyarakat lebih selesa menggunakan konsep kaum atau etnik
untuk merujuk pada ras tertentu. Seharusnya masyarakat memahami bahawa ras
juga boleh digunakan untuk merujuk pada ras Melayu, Cina dan India.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 25

AKTIVITI 2.1
1. Bincangkan bagaimana konsep ras memainkan peranan yang
penting dalam pembentukan negara bangsa.

2. Mengapa sesetengah ras merasakan ras mereka adalah yang


terbaik, sementara ras lain sebaliknya?

2.1.2 Konsep Etnik


Sesuai dengan pembelajaran kursus ini, maka penting untuk kita memahami
konsep etnik. Saya faham anda semua memahami apa yang dimaksudkan
dengan konsep etnik. Etnik adalah antara istilah yang banyak digunakan dalam
masyarakat kita selain istilah kaum. Etnik khususnya ialah konsep yang
digunakan untuk merujuk pada kelompok manusia yang mempunyai ciri-ciri
distingtif tertentu, misalnya agama, bahasa, budaya atau asal usul kebangsaan.
Menurut Ting Chew Peh (1987), istilah etnik berasal daripada perkataan Yunani
yang dipanggil ethnos bermaksud orang iaitu sekumpulan manusia atau bangsa.
Apa yang dimaksudkan dalam konsep ini ialah kumpulan etnik ditafsirkan
secara sosial atas dasar ciri-ciri budayanya. Justeru, konsep etnik ini secara
umum merujuk pada sekumpulan manusia yang mengamalkan budaya yang
hampir sama merangkumi adat resam, pakaian, bahasa, agama, aktiviti ekonomi
dan sebagainya.

Jika diperhatikan, konsep ras ini mempunyai perkaitan dengan konsep ras yang
dibincangkan sebelum ini. Selain konsep ras dan etnik dalam masyarakat, kita
juga popular dengan penggunaan bangsa. Bangsa, jika dirujuk ialah entiti yang
besar yang boleh mewakili sesebuah negara. Dalam konteks kita, apabila
merujuk bangsa, kita akan melihat pada perkara yang lebih besar iaitu negara
Malaysia dengan kata lain Bangsa Malaysia. Walaupun Bangsa Malaysia ialah
konsep yang abstrak, tetapi itu ialah hakikat. Etnik atau kaum, bermaksud etnik
atau sub etnik tertentu misalnya orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Melanau,
Bajau, Iban dan sebagainya. Ia merujuk pada etnik tertentu. Jelaslah, konsep
etnik ini berkait rapat dengan ras dan bangsa di mana ras dan bangsa
memberikan penekanan pada perbezaan fizikal antara manusia berbanding
aspek budaya dan kebudayaan.

Sementara itu, konsep bangsa merupakan konsep yang sering digunakan dalam
masyarakat kita dan membawa konotasi pada diri seseorang yang mempunyai
hubungan dan pertalian darah yang sama. Justeru, konsep ini juga merangkumi
bangsa tertentu dalam masyarakat di Malaysia seperti bangsa Melayu, Cina atau
India. Jika, kita menggambarkan kedudukan bangsa pada kedudukan yang lebih

Copyright Open University Malaysia (OUM)


26 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

tinggi, kita sebenarnya menggambarkan negara seperti Bangsa Malaysia. Konsep


Negara Bangsa adalah merujuk pada kerjasama dan perkongsian politik,
kerjasama dan perkongsian ekonomi, keadilan sosial, sistem pendidikan dan
bahasa kebangsaan, kebudayaan kebangsaan dan pembangunan kerohanian
yang berteraskan nilai agama, etika dan moral yang telah dilaksanakan. Segala
usaha ini adalah bagi menjaga keharmonian hidup bersama dan membentuk
negara bangsa Malaysia yang aman dalam sistem politik, ekonomi dan sosial.
Justeru, konsep negara bangsa adalah merujuk pada keadaan tertinggi yang
boleh berlaku dalam sesebuah negara apabila melibatkan etnik tertentu dan
mungkin melibatkan lebih daripada satu etnik dalam proses pembinaan negara
bangsa.

Bertitik tolak daripada konsep etnik ini, lahirlah istilah etnisiti yang merujuk
lebih pada konsep ras itu sendiri. Konsep etnisiti ialah konsep baru yang
dimodifikasi daripada kosep ras itu sendiri. Etnisiti merujuk pada rasa kekitaan
seseorang terhadap kumpulan etnik tertentu. Misalnya, seorang Melayu
berbangsa Jawa akan lebih selesa berada dalam kelompok Melayu Jawa
disebabkan mereka berkongsi banyak benda yang sama seperti budaya, sejarah
hidup, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama. Justeru, dalam etnik dan etnisiti
terdapatnya ras dan sub ras tertentu yang mempengaruhi pembentukan mereka.
Dengan lahirnya konsep etnik, maka wujud konsep hubungan etnik atau
dipanggil hubungan ras. Hubungan etnik ialah konsep yang merujuk pada
hubungan yang wujud antara manusia yang berbeza dari segi ras dan keturunan.
Hubungan ini penting apabila mereka yang berhubungan itu sedar tentang
perbezaan tersebut. Hubungan ini akan menentukan konsep tentang diri mereka
dan juga kedudukan masing-masing dalam masyarakat.

Konsep hubungan etnik ini penting dan menjadi isu besar di beberapa buah
negara dalam masyarakat yang majmuk atau plural. Dalam konteks Malaysia,
kita ialah masyarakat majmuk, tetapi Amerika ialah lebih majmuk berbanding
Malaysia. Justeru, hubungan etnik ini bukan fenomena Malaysia semata-mata,
tetapi fenomena global. Dalam banyak situasi, kepelbagaian ini membawa
masalah dan banyak berakhir dengan konflik seperti Bosnia, Selatan Thailand
dan sebagainya. Selepas peristiwa 11 September, keadaan menjadi semakin sukar
dan boleh mewujudkan ketegangan, misalnya apabila melibatkan agama.
Persepsi terhadap orang Islam meletakkan mereka terutamanya di Timur Tengah
dalam keadaan ketakutan dan keadaan ini dipanggil Islamophobia. Ketakutan
kepada bangsa Arab yang dianggap sebagai pengganas dan nama-nama dalam
Islam yang juga dikaitkan dengan keganasan memberikan konotasi bahawa
masyarakat dunia perlu memahami hubungan etnik.

W. G. Sumner mengembangkan lagi konsep ini apabila wujudnya konsep


etnosentrisme dalam masyarakat. Etnosentrisme ialah konsep yang merujuk
pada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam seseorang individu dan

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 27

masyarakat yang diwakili oleh individu tersebut. Mereka merasakan budaya


atau ras mereka jauh lebih hebat berbanding kelompok manusia yang lain.
Konsep ini melihat etnik mereka hanya dari kaca mata etnik mereka sendiri.
Misalnya, bangsa Yahudi merasakan bangsa mereka ialah pilihan Tuhan dan
hanya mereka layak masuk syurga sehingga mereka merasakan darah manusia
lain halal untuk dibunuh. Keadaan ini menggambarkan ketaksuban pada etnik
tertentu hingga menghalalkan darah etnik lain. Ini bertentangan dengan firman
Allah s.w.t dalam al-Quran, surah Hujurat ayat 3 yang bermaksud, Hai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
supaya kamu saling kenal-mengenali. Justeru, dalam konteks hubungan
etnik, sebagai orang Islam, sudah termaktub dalam al-Quran tentang kita perlu
berkasih sayang sesama manusia bukannya bermusuhan.

2.1.3 Konsep Budaya


Kamus Dewan (2005) pula mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran,
akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya merupakan salah
satu komponen yang penting dalam membicarakan tentang hubungan etnik.
Tahukah anda kenapa budaya penting? Selain kita mengkategorikan manusia
berasaskan ras dan etnik, manusia juga dapat dikategorikan berasaskan budaya
yang diamalkan.

Umumnya, budaya ialah perkara yang sering dilakukan oleh seseorang. Perkara
tersebut jika diulang-ulang akan menjadi budaya. Budaya dapat ditafsirkan
dalam bentuk perbuatan dan tingkah laku yang dibawa oleh kita. Misalnya,
budaya orang Cina ialah berniaga. Agak pelik jika seorang etnik Cina bekerja
sebagai pengawal keselamatan. Ini kerana budaya yang telah dibentuk secara
turun temurun dalam minda masyarakat Cina ialah tentang konsep rajin bekerja
sendiri, tanpa makan gaji dengan orang lain.

Budaya ialah struktur yang membentuk cara hidup manusia merangkumi cara
bertindak, berkelakuan dan berfikir. Budaya yang dipraktikkan secara individu
akan menjadi budaya individu berkenaan. Tetapi, jika budaya dipraktikkan
dalam kapasiti yang lebih besar, ia akan menjadi kebudayaan. Kebudayaan ini
akan menentukan etnik kita.

Ciri penting budaya ini ialah memberikan identiti bagi kumpulan tertentu.
Budaya kadangkala dipengaruhi oleh latar pengalaman seseorang. Budaya juga
mempunyai kaitan dengan adat. Adat merupakan aturan tradisi yang
mempunyai sistem nilai dan ikutan. Misalnya, perkahwinan mempunyai
beberapa aturan sebelum seseorang mempelai menjalankan perkahwinan.
Sebelum berkahwin, terdapat aturan yang perlu diikuti oleh pasangan seperti

Copyright Open University Malaysia (OUM)


28 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

merisik, meminang, membuat hantaran, akad dan bersanding. Jika aturan ini
tidak diikuti, pasangan tersebut seolah-olah telah melanggar adat. Melanggar
adat umpama melanggar budaya. Justeru, budaya ini memainkan peranan
penting dalam membentuk identiti masyarakat di sesuatu tempat.

Menurut Edward Taylor (1871), budaya bersifat menyeluruh dan kompleks serta
mengandungi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, akhlak,
adat resam dan lain-lain keupayaan serta kebiasaan yang diperolehi oleh
manusia sebagai anggota masyarakat. Justeru, budaya khususnya ialah sistem
kepercayaan, nilai, adat resam, tingkah laku dan artifak yang dikongsi bersama
oleh anggota masyarakat dan digunakan untuk urusan sesama mereka dalam
menghadapi hidup di dunia. Budaya boleh diperturunkan dari satu generasi ke
satu generasi yang lain melalui pembelajaran dan adaptasi. Oleh itu, apakah
yang mempengaruhi pembentukan budaya?

Pembentukan budaya dipengaruhi oleh proses sosialisasi. Sosialisasi ialah proses


penerapan adat dan budaya yang berlaku pada diri seseorang. Mungkin proses
ini mengambil jangka masa yang lama untuk diri seseorang menyerap budaya
tersebut. Justeru, tidak hairanlah proses penerapan budaya matang pada diri
seseorang berlaku dalam jangka masa yang lama mungkin mengambil masa
belasan tahun atau puluhan tahun. Apa yang menjadi persoalan ialah sama ada
budaya boleh dipelajari. Jawapannya ialah ya. Antara ciri-ciri budaya ini adalah
seperti berikut:

(a) Diperturunkan dari generasi ke generasi;

(b) Dikongsi bersama (shared);

(c) Dipelajari (learned);

(d) Menggambarkan nilai dan identiti kelompok;

(e) Menyediakan kerangka rujukan bagi masyarakat tertentu; dan

(f) Bersifat dinamis dan kreatif.

Jika diperhatikan ciri-ciri budaya, kita boleh memperkatakan bahawa budaya


merupakan elemen yang boleh dipelajari. Tidak mustahil kita boleh mempelajari
budaya orang lain, walaupun kita mempunyai budaya kita sendiri. Budaya
bersifat dinamik dan berubah-ubah melalui perkembangan masa dan zaman.
Justeru, budaya antara satu etnik dengan etnik yang lain mempunyai ciri-ciri
yang berbeza. Keadaan ini boleh dipengaruhi oleh keadaan persekitaran, agama
dianuti dan masyarakat majoriti sesuatu kawasan.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 29

Jika ilmu budaya tidak dipelajari, hal ini akan menimbulkan konflik. Ini kerana,
ia akan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat tersebut. Dalam
senario yang lebih luas, perkara ini akan menyebabkan konflik yang tidak
berkesudahan. Misalnya, dalam masyarakat orang asli Nawamo di Afrika, cara
mereka menerima kita dalam masyarakat mereka adalah dengan meludah kahak
ke atas tangan mereka dan bersalaman dengan kita. Di Malaysia, perkara ini
dianggap menjijikan dan ditolak dalam masyarakat. Tetapi, bagi masyarakat
Nawamo, cara ini dianggap mulia bagi menghormati tetamu mereka.

Menurut Jenkcks (1993), terdapat empat cara penggunaan konsep kebudayaan.


Menurut beliau, kebudayaan itu dilihat melalui empat cara:

(a) Pemikiran
Kebudayaan merupakan kualiti yang dimiliki oleh seorang individu yang
berkeupayaan menerima pengetahuan dan mencapai kualiti yang harus
dimiliki oleh seorang insan yang berbudaya.

(b) Kebudayaan Tamadun


Melihat sesuatu masyarakat sebagai lebih unggul berbanding masyarakat
lain. Masyarakat yang lebih berbudaya dianggap sebagai lebih bertamadun
daripada masyarakat lain.

(c) Badan Kolektif tentang Seni dan Kerja Intelektual


Kebudayaan boleh ditemui di pentas drama, galeri seni, muzium dan
perpustakaan. Kebudayaan jenis ini juga dikenali sebagai kebudayaan
tinggi.

(d) Cara Hidup Manusia yang Menyeluruh


Menurut Linton (1945), kebudayaan sesebuah masyarakat ialah cara hidup
ahlinya, koleksi idea dan tabiat mereka belajar, berkongsi dan menurunkan
sesuatu daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.

Kebudayaan merangkumi hasil kehidupan kelompok yang bercorak kebendaan


dan bukan kebendaan. Kebudayaan berbeza dari satu masyarakat ke masyarakat
yang lain, namun beberapa aspek yang sama didapati wujud dalam kalangan
semua masyarakat seperti bahasa, objek kebendaan, amalan agama, sistem
kekeluargaan, nilai dan kesenian. Persamaan tersebut dikatakan sebagai pola
kebudayaan sejagat.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


30 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Pembentukan sesuatu budaya adalah amat penting bagi membina imej negara ke
arah mewujudkan keperibadian dan identiti. Selain itu, pembentukan
kebudayaan dapat memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan
kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental. Ciri-ciri sesuatu budaya adalah
seperti yang dapat dilihat dalam Rajah 2.2.

Rajah 2.2: Ciri-ciri sesuatu budaya

Jika diteliti, terdapat dua peranan besar yang dimainkan oleh budaya dalam
konteks pembinaan negara bangsa iaitu membina identiti individu dan
memupuk semangat kebangsaan. Budaya dapat membina identiti sesuatu
kelompok dengan cara menguruskan kehidupan dan cara hidup. Cara hidup
sesuatu etnik boleh dibina dengan budaya yang diperturunkan dari satu
generasi kepada satu generasi dan dijaga oleh generasi berkenaan. Dalam
konteks Malaysia, budaya yang mewakili kelompok yang telah terbina itu
diperturunkan daripada nenek moyang mereka.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 31

Pembentukan negara Malaysia, menuntut pengorbanan dan sudah pasti


keperluan untuk membina semangat kebangsaan merupakan perkara yang
penting dan dituntut. Justeru, melalui pembentukan negara, nilai seperti
kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental akan dapat dipupuk dan perlu
dipertahankan sebagai sebuah entiti negara. Kesedaran ini penting dalam
pembinaan jati diri seseorang dalam konteks pembinaan negara bangsa.
Menurut Mohd Taib Osman (1988), budaya dikatakan sebagai himpunan
kelengkapan intelektual dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi
dan kemasyarakatan, serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling.

Menurut A. Aziz Deraman (2001), pembentukan budaya adalah melalui manusia


itu sendiri dan perkembangan budaya dapat dikesan melalui perkembangan
masyarakat itu sendiri. Kebudayaan juga dapat dibahagikan kepada beberapa
jenis seperti dalam Rajah 2.3.

Rajah 2.3: Jenis kebudayaan

Rajah 2.3 menunjukkan jenis kebudayaan. Konsep kebudayaan tinggi (great


tradition) merujuk pada ciptaan kebudayaan yang mempunyai status yang tinggi
bagi menunjukkan tahap kreativiti manusia paling tinggi. Contohnya, lukisan
Leonardo da Vinci, karya sastera William Shakespeare dan John Milton.
Kebudayaan massa pula (mass culture) merupakan hasil masyarakat
perindustrian. Hasil kebudayaan massa ialah media massa seperti filem cetera
popular, drama lipur lara dalam televisyen dan muzik pop. Seterusnya,
subkebudayaan (subculture) ialah kumpulan manusia yang berkongsi nilai atau
norma yang sama seperti minat, masalah dan perlakuan. Hal ini memisahkan
mereka melalui cara tertentu daripada kumpulan sosial yang lain. Kebudayaan
rakyat pula merujuk pada unsur yang menjadi budaya rakyat asal sesuatu
masyarakat misalnya budaya membuka kasut apabila memasuki rumah dalam
kalangan orang Melayu. Akhir sekali, kebudayaan popular (popular culture)
ialah produk kebudayaan yang dinikmati oleh bilangan orang yang ramai seperti
yang disiarkan dalam rancangan televisyen, muzik pop dan sebagainya.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


32 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

2.1.4 Konsep Masyarakat


Kamus Dewan (2005) mendefinisikan masyarakat sebagai sekumpulan manusia
yang hidup bersama di satu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Manakala
menurut Roucek dan Warren (1979), masyarakat merupakan kumpulan
manusia yang berhubung secara tetap dan tersusun dalam menjalankan aktiviti
secara kolektif dan merasakan bahawa mereka hidup bersama. Ahli masyarakat
tersebut mempunyai perhubungan terus menerus dalam kalangan mereka yang
masih hidup dan kekal selama berabad-abad. Umumnya, masyarakat
merupakan sekumpulan manusia yang berkongsi budaya yang sama,
menduduki satu kawasan khas dan merasai kewujudan mereka sebagai entiti
yang bersatu padu dan berbeza dengan entiti yang lain. Masyarakat juga
merupakan kumpulan atau kelompok manusia yang mempunyai struktur
organisasi, berbincang, bekerjasama dalam mengatur kerja secara kolektif dan
mampu menyatupadukan buah fikiran dan tindakan sehingga terjalin hubungan
antara satu sama lain, serta melahirkan satu sistem yang dinamakan sebagai
kebudayaan.

Masyarakat mempunyai institusi yang kompleks. Institusi merupakan praktis


yang mantap untuk mengawal pelbagai aktiviti sosial dan membentuk
kehidupan sosial. Institusi ini membentuk set kepercayaan yang akan dikongsi
bersama berdasarkan prosedur mantap bagi memenuhi keperluan sosial. Contoh
institusi ialah perkahwinan, kurikulum pendidikan, ritual keagamaan dan
kerajaan. Institusi tersebut memberikan kestabilan terhadap aspek yang
berlainan dalam kehidupan kita. Hal ini bermakna institusi dalam masyarakat
adalah saling berkait dan bergantung antara satu sama lain.

Rajah 2.4 menyenaraikan tahap masyarakat yang bermula dengan tahap


keluarga, komuniti, negara dan bangsa dan seterusnya masyarakat organisasi
global dan antarabangsa.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 33

Rajah 2.4: Tahap masyarakat

Penerangan bagi setiap tahap dalam Rajah 2.4 adalah seperti berikut:

(a) Keluarga
Keluarga atau rumah tangga terdiri daripada sekumpulan manusia dalam
bilangan yang kecil dan berhubung rapat antara satu sama lain. Mereka
mempunyai perasaan bertanggungjawab terhadap satu sama lain
berbanding dengan orang di luar unit itu dan menganggap diri sebagai ahli
keluarga tersebut.

(b) Komuniti
Tahap ini menunjukkan majoriti orang berhubung dengan unit sosial yang
lebih besar. Kira-kira dua abad yang lalu, manusia hidup dalam komuniti
yang kecil. Mereka mampu menyara diri dan menjalani kehidupan serba
lengkap di kampung, luar bandar dan pekan kecil. Dalam komuniti seperti
ini, ahli saling berkenalan dan bersemuka dalam kehidupan harian.
Menjelang era perindustrian, proses perindustrian dan perbandaran telah
membawa masuk ramai orang yang tidak dikenali antara satu sama lain.
Bentuk komuniti baharu ini terbentuk di bandar.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


34 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

(c) Negara dan Bangsa


Pada tahap ini, masyarakat merupakan unit yang lebih besar iaitu negara
bangsa yang muncul sejak abad ke-19 dan ke-20. Kemudian, wujud pula
institusi nasional bersama-sama pembangunan negara bangsa iaitu sistem
pentadbiran kerajaan negara itu sendiri, institusi nasional lain seperti
sistem pendidikan nasional, institusi ekonomi sosial, perkhidmatan
perubatan, institusi pertahanan dan sebagainya. Individu mempunyai hak
kerakyatan, tanggungjawab sebagai warganegara dan identiti nasional
sebagai ahli atau warganegara negara bangsa.

(d) Global
Tahap global merupakan hubungan antara satu negara bangsa dengan
negara bangsa lain yang menjadi semakin penting dan berlaku dalam
proses yang dikenali sebagai globalisasi. Tahap ini dapat dicapai selaras
dengan perkembangan teknologi terutamanya dalam bidang komunikasi
yang membolehkan manusia mendapat maklumat tentang negara lain
dalam sekelip mata sahaja. Apabila sesebuah masyarakat berkembang, unit
sosial turut menjadi semakin besar. Komuniti menjadi sebahagian daripada
masyarakat nasional dan masyarakat nasional pula menjadi sebahagian
daripada masyarakat global. Oleh itu, tumpuan dan sifat hubungan etnik
boleh berubah apabila hubungan etnik wujud pada tahap yang berlainan
dalam masyarakat. Rajah 2.5 menunjukkan tahap perkembangan
masyarakat.

Rajah 2.5: Tahap perkembangan masyarakat

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 35

Masyarakat merupakan entiti penting dalam kewujudan kebudayaan. Tanpa


masyarakat, mustahil kebudayaan akan terbina. Kewujudan kebudayaan ialah
manifestasi kewujudan masyarakat. Realitinya, masyarakat mempunyai
kebolehan untuk mencipta, mengubah, menokok dan melestarikan budaya dan
berupaya menurunkan kepada generasi yang akan mewarisinya. Justeru,
terdapat dua komponen dalam menyebarkan budaya dalam masayarakat iaitu
generasi yang menurunkan budaya dan generasi yang menerima budaya.
Simbiosis ini akan membantu sesebuah masyarakat berkenaan kekal sebagai
sebuah masyarakat.

Oleh yang demikian, dapatlah kita nukilkan bahawa masyarakat dapat dilihat
sebagai kelompok manusia yang berbeza dari segi kepentingan bersama,
penyertaan dalam perhubungan yang mempunyai ciri khusus, penyertaan dalam
institusi yang dikongsi bersama dan mengamalkan budaya yang sama.
Masyarakat juga dilihat sebagai komuniti yang tinggal di sebuah negeri atau
wilayah tertentu, mempunyai adat resam, undang-undang serta organisasi yang
dikongsi bersama. Khususnya, masyarakat dapat dilihat dalam aspek berikut
dari segi cirinya seperti:

(a) Berkumpulan;

(b) Tinggal di negeri atau wilayah tertentu;

(c) Berkongsi budaya;

(d) Mengalami perubahan;

(e) Berhubungan dan bekerjasama antara satu sama lain;

(f) Mempunyai kepimpinan;

(g) Mempunyai aturan sosial (susun lapis, kelas, status dan kasta);

(h) Menganggotai institusi dan organisasi bersama; dan

(i) Mendokong undang-undang bersama.

Malaysia terdiri daripada pelbagai masyarakat seperti Melayu, Cina dan India.
Dalam konteks ini, payung besar yang memayungi negara ialah masyarakat
Malaysia. Walaupun setiap etnik mempunyai masyarakat masing-masing, tetapi
setiap etnik itu akur pada payung yang lebih besar iaitu Malaysia. Justeru, cara
bertindak dan berhubung dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik ialah
melalui dasar dan undang-undang yang ada di Malaysia, di samping budaya
setiap etnik itu sendiri yang mendasari pembentukan dan pembinaan Malaysia.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


36 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

2.1.5 Konsep Masyarakat Majmuk dan Masyarakat


Plural
Konsep masyarakat majmuk dikemukakan oleh Furnivall (1948), yakni
masyarakat majmuk sebagaimana dilihat oleh beliau ialah masyarakat yang
terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama bahasa
dan adat resam yang tersendiri. Menurut Furnivall, masyarakat majmuk
merupakan masyarakat yang bercampur, tetapi mereka tidak bersatu. Ini adalah
berasaskan pemerhatian dalam kajian beliau di Burma dan Kepulauan Jawa,
Indonesia. Masyarakat majmuk ialah masyarakat yang terhasil oleh perpecahan
dan konflik antara kumpulan manusia yang bernaung di bawah satu sistem
politik. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum, mereka berganding
bahu di bawah sistem politik yang sama, tetapi kehidupan mereka adalah
berasingan, interaksi sosial dalam kalangan mereka amat kurang dan hubungan
mereka amat terbatas dan pembahagian tugas dilakukan atas garis ras.
Campuran pelbagai kelompok manusia menjadi asas pada pembentukan
masyarakat majmuk. Menurut Furnivall, ciri-ciri masyarakat majmuk dapat
dilihat seperti dalam Rajah 2.6.

Rajah 2.6: Ciri-ciri masyarakat majmuk

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 37

Justeru, masyarakat majmuk umumnya merupakan masyarakat yang terdiri


daripada pelbagai kelompok ras atau etnik yang berlainan berada di bawah satu
sistem pemerintahan. Antara ciri-ciri yang utama dalam masyarakat ini ditandai
dengan konflik, percanggahan dan paksaan. Menurut Furnivall juga, masyarakat
majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama,
bahasa dan adat resam yang tersendiri. Menurut Smith (1965) pula, yang
merujuk pada perbincangan Furnivall mengenai masyarakat majmuk,
masyarakat majmuk dilihat sebagai masyarakat yang mempunyai kepelbagaian
budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat
majmuk dikuasai oleh kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang
tersendiri, serta berpendapat bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar
konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Menurut Van Den
Berghe (1967), konsep masyarakat majmuk dirujuk sebagai berikut:

(a) Ketiadaan konsensus nilai;

(b) Kepelbagaian kebudayaan;

(c) Wujudnya konflik antara kelompok yang berlainan;

(d) Wujudnya autonomi atau kebebasan di antara bahagian dalam sistem


sosial;

(e) Peri mustahaknya paksaan dan saling bergantungan dari segi ekonomi
sebagai dasar integrasi;

(f) Dominasi politik oleh satu golongan tertentu; dan

(g) Hubungan antara kelompok lebih bercorak secondary, segmental,


utilitarian, manakala hubungan dalam kelompok lebih berbentuk primary.

Menurut Van den Berghe (1967), pluralisme mempunyai darjah atau tingkat
yang berlainan. Sesetengah masyarakat misalnya masyarakat Afrika Selatan
yang terdiri daripada empat kumpulan ras terbesar dengan kebudayaan dan
tradisi yang berbeza-beza ialah masyarakat yang lebih majmuk berbanding
dengan masyarakat Amerika yang hanya terdiri daripada dua kumpulan ras
terbesar dan berkongsi satu kebudayaan Eropah. Pluraliti baharu pula wujud
akibat daripada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta
pengangkutan. Oleh itu, anggota masyarakat dapat melampaui garisan
sempadan yang diwujudkan semasa pembentukan negara bangsa yang telah
mencapai tahap yang disebut sebagai tanpa sempadan atau borderless.
Desakan dalam bidang ekonomi membawa masuk buruh asing dalam kadar
yang tinggi sama ada secara halal atau haram dan mempluralisasikan lagi
masyarakat negara penerima.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


38 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

AKTIVITI 2.2

Bincangkan perkara berikut di dalam kelas dan bentangkan:

(a) Apakah hubung kait antara ras, etnik, bangsa dan kaum?

(b) Apakah yang anda faham tentang masyarakat majmuk dan


masyarakat plural?

(c) Bagaimanakah budaya memainkan peranan dalam pembentukan


etnik?

2.1.6 Konsep Perpaduan dan Integrasi


Perpaduan dapat diertikan sebagai proses yang menyatupadukan seluruh
masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk
identiti nilai dan perasaan cinta bersama yang membanggakan tanah air.
Menurut Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara (Februari 1992),
meletakkan perpaduan sebagai keadaan rakyat daripada pelbagai kumpulan
etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai bangsa yang bersatu
dengan memberi komitmen yang penuh pada identiti kebangsaaan berlandaskan
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Merujuk pada kenyataan ini,
terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak pemerintah untuk menjayakan
matlamat perpaduan ini berasaskan definasi yang diberikan. Antara usaha yang
dilaksanakan adalah memperkenalkan konsep Bangsa Malaysia.

Konsep Bangsa Malaysia diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan


merupakan langkah berani yang tidak pernah dilakukan oleh para pemimpin
sebelum beliau. Justeru, apakah yang dimaksudkan dengan konsep Bangsa
Malaysia ini? Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, konsep Bangsa Malaysia
merupakan masyarakat yang sejahtera dan bersatu padu antara wilayah atau
kumpulan etnik. Bangsa Malaysia ini hidup dalam keadaan harmoni dan
berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Bangsa Malaysia seharusnya
bersatu dari sudut kesetiaan, politik dan kebaktian. Di sini, dapat kita katakan
Bangsa Malaysia perlu menjadi bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu
masa depan yang sama dan dikongsi.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 39

Jika kita perhatikan, konsep Bangsa Malaysia ialah konsep perpaduan yang telah
dibentuk tetapi realitinya masih jauh. Dalam definisi perpaduan yang sebenar
dan konteks masyarakat kita, perpaduan yang sebenar masih belum terjelma.
Antara ciri perpaduan yang terpenting adalah berkongsi identiti dan nilai
yang sama. Sedangkan dalam realiti kita perbezaan itulah nilai yang kita ada.
Kesimpulannya, kita belum lagi mencapai perpaduan dan situasi kini umpama
jauh panggang dari api. Sebaliknya, apa yang cuba kita lakukan ialah integrasi.

Integrasi ditakrifkan sebagai proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan


dan ciri-ciri sosial yang diterima oleh semua kelompok etnik dalam negara.
Integrasi wujud dalam sesuatu masyarakat apabila ahlinya menerima ciri ahli
yang lain tanpa merujuk asal usul dan ras mereka.

Integrasi ada dua bentuk iaitu integrasi sosial dan integrasi nasional. Integrasi
sosial merupakan ilmu yang digunakan dalam ilmu sosiologi. Integrasi sosial
merupakan proses menyatupadukan pelbagai kumpulan kelompok dalam
masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan
identiti masing-masing.

Sementara itu, integrasi nasional merupakan proses yang mewujudkan satu


identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan,
sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Menurut Ahmad Haji Kambar
(1987), integrasi ialah proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam
kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam
sesebuah unit politik. Merujuk pada Jawatankuasa Integrasi Nasional (Jun 1991),
integrasi nasional didefinikan sebagai proses dinamik untuk merapatkan
masyarakat negeri dalam Malaysia, khususnya antara negeri di Semenanjung
dengan negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk Bangsa Malaysia yang
mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan
Rukun Negara.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


40 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Justeru, unsur integrasi yang dibincangkan dapat dipisahkan sebagaimana


dalam Rajah 2.7:

Rajah 2.7: Unsur integrasi

Terdapat pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat kerajaan untuk menjayakan


integrasi dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia. Sejauh manakah kejayaan
program ini?

2.1.7 Tahap Integrasi


Bagaimanakah kita mengukur tahap integrasi? Tahap integrasi boleh diukur
melalui pemerhatian yang dilakukan oleh seseorang terhadap masyarakatnya.
Dalam konteks Malaysia, kita boleh perhatikan masyarakat yang terdiri daripada
pelbagai etnik yang ada di Malaysia. Maka, lahirlah konsep yang diguna pakai

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 41

oleh para sarjana untuk memahami tahap integrasi dalam masyarakat yang
bermula dengan segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan akhir sekali
amalgamasi. Penerangan tentang tahap integrasi dapat dijelaskan dengan lebih
terperinci seperti berikut:

(a) Konsep Segregasi


Segregasi merupakan proses sosial yang menyebabkan pemisahan atau
pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain
dalam sesebuah negara. Hal ini menyebabkan interaksi yang sedikit atau
tiada interaksi antara mereka. Segregasi biasanya berlaku atas dasar ras,
agama, kebudayaan dan lain-lain ciri etnik.

Selain itu, segregasi juga dapat dibahagikan pada dua jenis iaitu segregasi
rela dan segregasi tidak rela. Segregasi rela ialah keadaan melibatkan
golongan manusia yang memencilkan diri dengan tujuan menentang
asimilasi. Segregasi tidak rela pula timbul kerana paksaan daripada
pihak yang berkuasa. Selain itu, terdapat juga istilah segregasi de facto
yang merupakan kecenderungan semula jadi manusia yang ingin hidup
bersama golongan yang berkongsi persamaan dari segi kebudayaan,
kewarganegaraan, ras, bahasa, pekerjaan, agama, pendapatan atau
persamaan. Segregasi de jure pula merujuk pada jenis segregasi yang
dilaksanakan oleh kerajaan. Segregasi jenis ini memaksa pengasingan atau
pemisahan yang ketat ke atas individu atau kumpulan manusia dengan
pelaksanaan undang-undang dan maksud segregasi de jure ini hampir
sama dengan segregasi tidak rela.

(b) Konsep Akomodasi


Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan
etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik
lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Konsep ini
dijelaskan dengan formula A + B + C = A + B + C dan A, B dan C itu
merujuk pada budaya. Hidup bermasyarakat terdedah pada pelbagai
kumpulan etnik yang hidup secara harmonis dan menghormati antara satu
sama lain. Konsep akomodasi ini dapat dicapai apabila keadaan atau
proses kelompok yang berkonflik dengan mengadakan interaksi secara
aman untuk sementara atau untuk selama-lamanya. Keadaan ini
membolehkan kelompok yang terlibat meneruskan identiti serta sikap
mereka yang berasingan. Sebagai contoh, pada peringkat pemerintahan
pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi
dan pendidikan dan mereka saling bergantungan. Proses penyesuaian
ini banyak berlaku di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas
mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni seperti penggunaan

Copyright Open University Malaysia (OUM)


42 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

pelbagai bahasa, pengamalan pelbagai agama dan kepercayaan secara


bebas bagi setiap kelompok etnik. Oleh itu, penyesuaian amat penting
sebagai dasar untuk menyelesaikan masalah dalam hubungan etnik.

(c) Konsep Akulturasi


Akulturasi merupakan proses penerimaan unsur kebudayaan dalam
kalangan individu atau kelompok yang berasal daripada kebudayaan lain
yang berbeza. Akulturasi juga merujuk pada proses penyerapan unsur
kebudayaan daripada budaya tertentu dalam budaya yang lain. Proses ini
amat penting bagi mencapai integrasi. Sebagai contoh, ahli pelbagai
kumpulan perlu berkongsi pola kebudayaan seperti bahasa yang sama
supaya interaksi dan perhubungan sosial mereka tidak diganggu oleh
perbezaan dan sempadan kumpulan.

(d) Konsep Asimilasi


Integrasi juga mungkin melibatkan asimilasi. Asimilasi merupakan proses
percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya
sehingga membentuk kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang
sama. Konsep ini diwakili dengan formula A + B + C = A. Bagi huruf A
mewakili golongan dominan, sementara B dan C mewakili kumpulan etnik
minoriti. Sebagai contoh, di Malaysia seperti masyarakat Jawa, Cina
Kelantan, Baba dan Nyonya menunjukkan contoh telah berlakunya proses
asimilasi. Proses asimilasi ini berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat
antara ahli kumpulan etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama.

(e) Konsep Amalgamasi


Konsep amalgasi ialah proses penyatuan pelbagai kumpulan etnik dari
segi biologi. Konsep ini berlaku apabila budaya atau ras bercampur
untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Sebagai contoh, amalgamasi
berlaku apabila kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan
perkahwinan campur lalu membentuk generasi baharu atau budaya baharu
tanpa menuruti budaya asal mereka.

Oleh itu, konsep ini menjelaskan tahap integrasi dalam kalangan masyarakat di
sesuatu tempat. Jika merujuk pada Malaysia, kebanyakan para sarjana
meletakkan kita berada pada tahap kedua iaitu tahap akomodasi. Ini bermakna,
perpaduan dalam masyarakat kita masih jauh. Kita hanya berpegang pada
perbezaan yang mana elemen yang membentuk akomodasi ialah perbezaan
tetapi kita saling hormat-menghormati berbanding segregasi yang merujuk pada
perbezaan dan pemisahan.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 43

AKTIVITI 2.3
1. Apakah yang anda faham tentang integrasi? Bincangkan bersama
rakan sekelas.

2. Apakah pandangan anda tentang perpaduan? Bolehkah perkara


itu terbentuk dalam konteks Malaysia? Bentangkan jawapan anda.

2.1.8 Kesepaduan Sosial dan Penyatupaduan


Antara para sarjana yang membawa wacana tentang kesepaduan sosial ialah
Prof. Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin. Konsep kesepaduan sosial bukan
merupakan perkara yang baru tetapi telah banyak diperkatakan oleh para
sarjana terdahulu seperti Emile Durkheim, Max Weber, Ferdinand Tones dan
sebagainya. Sejak akhir-akhir ini, para sarjana seperti Jane Jenson, Lockwood dan
Judith Maxwell yang berbahas tentang wacana kesepaduan sosial dalam era
hampir memasuki tahun 2000. Konsep kesepaduan sosial merupakan perkara
yang penting di negara maju hingga ada dasar digubal tentangnya.

Misalnya, pada tahun 1996, terdapat sebuah organisasi iaitu Organisation for
Economic Co-operation and Development (OECD) yang melihat kesepaduan
sosial sebagai alat yang penting dalam era globalisasi. Ini kerana untuk
mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan dalam masyarakat, dunia
memerlukan nilai yang boleh dikongsi bersama dan dengan itu, kesepaduan
sosial akan dapat dikekalkan dari semasa ke semasa. Emile Durkheim
membincangkan tentang kesepaduan sosial apabila beliau memperkenalkan
konsep kesepaduan organik (organic solidarity) dan kesepaduan mekanikal
(mechanical solidarity). Kesepaduan organik merupakan bentuk kesepaduan
baharu yang tercetus apabila impak modenisasi berlaku dalam masyarakat.
Sementara itu, kesepaduan mekanikal ialah kesepaduan yang wujud di kawasan
kampung atau desa.

Dalam konteks semasa, kesepaduan terus wujud dalam masyarakat tetapi dalam
bentuk baharu. Dahulu, kesepaduan wujud di desa dengan cara yang mudah
dan tidak memerlukan pengurusan yang kompleks. Tetapi kini pengurusan
dalam komuniti, bentuk baru memerlukan kesedaran yang tinggi terhadap
kesepaduan dan dalam kalangan masyarakat bandar yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang. Mereka memerlukan organisasi tertentu untuk
menguruskan mereka dalam masyarakat. Di Malaysia, ada organisasi seperti
Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk yang memainkan peranan dalam
memupuk semangat kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat setempat.
Justeru, apakah elemen yang ada dalam kesepaduan sosial? Menurut Bollen dan

Copyright Open University Malaysia (OUM)


44 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Hoyle (2001), terdapat dua perkara yang membentuk kesepaduan sosial iaitu
perasaan individu iaitu sifat sense of belonging kepada kumpulan dan
perasaan dalam bentuk semangat (iaitu tindak balas emosi) yang dikaitkan
dengan keahlian dan kumpulan.

Konsep penyatupaduan masih baru diperkatakan. Konsep ini mula diutarakan


dalam Gagasan Penyatupaduan Nasional. Ia merupakan matlamat yang
mungkin tercapai dalam konteks negara Malaysia kerana perpaduan yang
sebenar sukar dicapai. Misalnya, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Prof.
Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyatakan, kita sering berdiskusi
tentang perpaduan yang lebih berbentuk Moment of Unity kerana perpaduan
sebenarnya sukar dicapai sehingga kini. Justeru, penyatupaduan bertitik tolak
daripada perpaduan dan kesepaduan. Misalnya, dalam pilihanraya, kewujudan
parti politik dan kerjasama antara mereka walaupun berlainan ideologi merujuk
pada istilah ini.

2.1.9 Konsep Stereotaip, Prasangka dan Diskriminasi


Dalam hubungan etnik, terdapat tiga konsep asas yang menjadi duri dalam
daging kepada perhubungan etnik yang harmonis. Tiga konsep asas ini adalah
stereotaip, prasangka dan diskriminasi. Penerangan tentang konsep ini
dijelaskan seperti:

(a) Stereotaip
Konsep ini yang didokong oleh satu-satu kumpulan ke atas kelompok
manusia yang lain. Konsep ini digunakan secara negatif dan mempunyai
sifat prasangka bagi memenuhi justifikasi tentang tingkah laku diskriminasi
yang diambil. Secara hikmah, konsep ini memberikan gambaran
kebijaksanaan manusia dalam menyatakan secara tepat tentang satu-satu
realiti sosial. Justeru, stereotaip merupakan sikap yang dibina tanpa
pengalaman dan pengetahuan. Ia melibatkan pernyataan umum tentang
sesuatu kumpulan etnik yang negatif.

(b) Prasangka
Konsep prasangka bertitik tolak daripada stereotaip terhadap seseorang
iaitu membina persepsi terhadap orang itu dalam bentuk yang negatif.
Prejudis biasanya tidak ditunjukkan secara terbuka. Ia tersemat di dalam
hati. Jika sentimen diluahkan, ia akan menjadi stereotaip. Justeru, stereotaip
merupakan sikap permusuhan tidak rasional yang ditunjukkan oleh
seseorang terhadap kumpulan atau etnik tertentu.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 45

(c) Diskriminasi
Konsep diskriminasi ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran dan
kepercayaan negatif seseorang terhadap sekelompok etnik lain yang
dijelmakan dalam bentuk tindakan. Misalnya, di Amerika, adanya
diskriminasi terhadap ras yang berkulit hitam. Di Afrika, adanya dasar
Apartheid dan di Britain ada tindakan diskriminasi terhadap imigran dari
Pakistan dan India. Namun, diskriminasi tidak hanya melibatkan ras
sahaja. Ia juga turut melibatkan perkara lain seperti diskriminasi agama,
jantina, atas dasar ketidakupayaan, etnik, berhubung dengan faktor
ketinggian dan juga faktor umur.

2.1.10 Konsep Ethnosentrisme dan Cauvinisme


Ethnocentrisme merujuk pada keadaan seseorang yang percaya bahawa sifat
dalaman seseorang itu lebih hebat daripada kelompok atau budaya orang lain.
Dia cenderung melihat kelompok atau budaya asing dari kaca mata budaya
sendiri. Dalam konteks ini, ethnocentrisme lebih cenderung pada bersifat
pemikiran iaitu percaya kepada pemikiran berpusatkan etnik. Hanya etnik dia
yang terbaik, sementara etnik lain adalah lemah. Cauvinisme pula ialah
keadaan yang wujud dalam diri seseorang atau sekelompok kumpulan etnik
dengan mengagungkan etnik masing-masing, serta kadar yang berlebihan dan
menunjukkan tindakan yang merendah-rendahkan bangsa lain.

AKTIVITI 2.4
1. Bincangkan konsep kesepaduan dan penyatupaduan dalam
konteks Malaysia dengan rakan sekelas.

2. Bagaimanakah kita boleh mengelakkan berlakunya perhubungan


etnik yang negatif dalam masyarakat? Fikirkan dan bentangkan di
dalam kelas.

2.2 KERANGKA TEORI DALAM HUBUNGAN


ETNIK
Apakah yang dimaksudkan dengan teori? Teori merupakan pelajaran rangkap
pemerhatian kejadian berlandaskan hipotesis yang terbukti sahih dan disahkan
oleh para penyelidik. Justeru, teori ini berkembang melalui kaedah saintifik yang
melibatkan siri proses penyelidikan yang mendalam. Misalnya, teori tentang
poligami. Adakah poligami membawa kebahagiaan atau penderitaan kepada

Copyright Open University Malaysia (OUM)


46 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

kaum hawa? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu menjalankan kajian
berulang kali untuk membangunkan persoalan ini menjadi teori. Jika terbukti
kesahihannya, setelah beberapa kali melakukan kajian yang bersifat ilmiah dan
saintifik, barulah kita boleh merumuskan hasil itu akan menjadi satu teori. Jika
permasalahan atau situasi tertentu hanya wujud dalam pemikiran kita sahaja
dan masih belum diuji kesahihannya, ia dipanggil hipotesis. Hipotesis kajian
boleh wujud melalui andaian. Dalam ilmu, hubungan etnik mempunyai banyak
teori yang digunakan untuk memahaminya. Walau bagaimanapun, hanya
beberapa teori yang dianggap penting sahaja yang akan dimasukkan dalam
perbincangan ini. Mari kita meneliti teori ini satu demi satu.

2.2.1 Teori Fungsional


Teori fungsional bermula daripada situasi yang mana masyarakat itu dalam
keadaan stabil dan mantap. Masyarakat dilihat sebagai keseluruhan (whole)
yang terdiri daripada beberapa bahagian (parts). Setiap bahagian ini berfungsi
dalam memberikan sumbangan terhadap wujudnya keseluruhan yang
dimaksudkan. Justeru, fungsional bermaksud kita memberikan sumbangan
untuk keseimbangan. Misalnya, kita sebagai ayah, ibu atau anak memainkan
peranan penting dalam keluarga. Dalam aspek ekonomi, kita memberikan
sumbangan kepada organisasi. Dalam politik pula, kita memberikan sumbangan
kepada parti masing-masing. Antara tokoh teori fungsional ialah Emile
Durkheim, Talcott Parsons, Robert Merton dan lain-lain.

Sumbangan untuk setiap bahagian itu adalah untuk memenuhi pelbagai


keperluan dalam masyarakat, misalnya tentang keperluan sara diri, integrasi dan
lain-lain. Jelasnya setiap bahagian dalam masyarakat memberikan sumbangan
untuk memenuhi keperluan (fungsional). Jika sumbangan yang diberikan tidak
fungsional, tindakan ini akan meruntuhkan keseluruhan masyarakat. Para
fungsional sering membuat analogi bahawa masyarakat dianggap sebagai
organisma biologi seperti tubuh badan manusia yang terdiri daripada anggota
badan dan setiap satunya berfungsi dalam memberikan keseimbangan terhadap
wujudnya tubuh badan tersebut sebagai keseluruhan (whole). Bahagian badan
seperti jantung, buah pinggang, hati dan sebagainya memberikan sumbangan
kepada kehidupan seseorang insan termasuklah rambut yang dianggap sebagai
mahkota seorang gadis. Mata pula berfungsi untuk membaca, melihat dan
sebagainya.

Sementara itu, bahagian anggota badan yang tidak memberikan sumbangan atau
merosakkan tubuh badan dianggap sebagai tidak berfungsi (disfunction). Jika
kita lihat dalam masyarakat, ahli masyarakat seperti perogol, peragut, pencuri
dan lain-lain ialah bahagian dalam masyarakat yang merosakkan keseimbangan.
Untuk mengatasinya, penjenayah akan ditangkap dan dikenakan hukuman. Jika

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 47

kumpulan mereka dibenarkan berada dalam masyarakat, masyarakat tidak akan


berfungsi dan tidak berjalan dengan baik. Ini akan menyebabkan ketidakstabilan
dalam masyarakat. Justeru, bahagian ini perlu dipisahkan dalam masyarakat
untuk menjaga survival masyarakat.

Jika diperhatikan, masyarakat dilihat sebagai sistem yang terdiri daripada


beberapa subsistem yang setiap satunya berfungsi seperti ekonomi, politik dan
sebagainya. Subsistem itu pula mempunyai hubungan yang fungsional antara
satu sama lain dan bersifat saling bantu membantu (complementary). Misalnya,
dalam masyarakat, ada graduan yang habis belajar, tetapi tidak bekerja dan
menganggur dan ini akan menjejaskan keseimbangan ekonomi. Jika subsistem
itu berubah, maka subsistem yang lain juga akan berubah dan keseluruhan
sistem sosial juga akan turut berubah. Contohnya, jika subsistem ekonomi
berubah, maka akan berlaku juga perubahan dalam subsistem yang lain seperti
politik, pendidikan, kekeluargaan, susun lapis masyarakat, agama dan
sebagainya. Oleh yang demikian, hubungan etnik yang terdiri daripada pelbagai
etnik dalam masyarakat juga mempunyai fungsi tersirat yang perlu dipenuhi
dalam memastikan masyarakat berada dalam keadaan stabil dan mantap.

2.2.2 Teori Konflik


Antara tokoh teori ini ialah Karl Marx, Max Weber, George Simmel, Ralph
Dahrendorf dan lain-lain. Teori konflik ini menganggap konflik ialah perkara
yang utama dalam kehidupan bermasyarakat dan tidak mungkin dapat diatasi
sepenuhnya. Mengikut teori ini, konflik itu perlu dibendung dan memerlukan
kawalan sosial yang bersifat formal seperti polis dan juga badan penguatkuasa
yang lain. Keadaan ini akan memaksa anggota masyarakat supaya tunduk dan
akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dalam perspektif
teori konflik, undang-undang menjadi elemen penting yang digunakan oleh
pihak berkuasa bagi menjamin supaya anggota masyarakat tidak melanggar
peraturan atau melakukan sesuatu yang menjejaskan keutuhan institusi utama
dalam masyarakat. Oleh itu, teori ini melihat dari aspek ketenteraman sosial
(social order) itu wujud bukan atas dasar keinginan atau persetujuan
masyarakat, tetapi wujud atas dasar penguatkuasaan melalui undang-undang.
Dalam konteks ini, ada dua keadaan iaitu kesedaran kita sendiri dan
pelaksanaan undang-undang atau peraturan. Justeru, penyelesaian teori konflik
ialah melalui penguatkuasaan undang-undang atau peraturan sementara dalam
teori fungsional penyelesaian datang daripada kesedaran kita sendiri.

Teori konflik melihat masyarakat terbentuk daripada kelompok sosial yang


berbeza dan kepelbagaian ini membentuk perbezaan antara setiap satunya
merangkumi pelbagai segi. Ketidakseragaman dalam ekonomi, politik, gender
dan sebagainya mencetuskan konflik. Ini kerana setiap kelompok mempunyai

Copyright Open University Malaysia (OUM)


48 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

tafsiran tersendiri terhadap buruk baik sesuatu fenomena sosial. Ukuran moral
dan tingkah laku yang standard juga berbeza mengikut kelompok yang berbeza.
Misalnya, etnik Cina melihat fenomena sosial dan perspektif etnik Cina dan
orang Melayu melihat perkara yang berlaku daripada perspektif etnik Melayu.
Begitu juga orang kaya melihat dari perspektif mereka yang tersendiri. Justeru,
konflik antara kelompok tidak dapat dielakkan. Ini kerana kelompok yang
wujud atas dasar perbezaan ini akan sentiasa bersaing untuk mendapatkan
kuasa, kekayaan dan lain-lain. Persaingan ini akan menimbulkan konflik dan
pergeseran. Kebiasaannya, sifat utama konflik antara kelompok tertumpu pada
penggunaan kuasa terutamanya kuasa politik sebagai kuasa yang sah.

Justeru, undang-undang merupakan alat kuasa dan digunakan bagi menjaga dan
mengawal kepentingan mereka yang berkuasa. Undang-undang memberikan
kuasa kepada golongan yang berkuasa untuk memperolehi sesuatu dan
memberikan akses untuk mereka mendapatkan sesuatu secara sah.

2.2.3 Teori Modenisasi


Teori modenisasi merupakan teori yang penting untuk menganalisis masyarakat.
Pendokong teori ini antaranya ialah Auguste Comte, Karl Marx, Georg Simmel
dan lain-lain. Teori ini berkembang daripada keadaan yang tradisi kepada
moden. Pemodenan adalah proses perubahan ke atas sistem sosial, ekonomi,
politik yang berkembang di Eropah Barat dan Amerika dari abad ke-17 hingga
abad ke-19. Proses modenisasi ini kemudiannya tersebar ke negara Eropah yang
lain dan pada abad ke-19 dan ke-20 ke benua sekitar. Auguste Comte
membicarakan tentang masyarakat yang berubah mengikut evolusi. Jadual 2.1
menyenaraikan pendapat-pendapat penyokong teori ini.

Karl Marx pula membincangkan tentang ekonomi kapitalis dan perkembangan


kapitalisma dalam masyarakat hingga mewujudkan masyarakat berkelas. Emile
Durkheim pula membicarakan tentang mechanical solidarity vs organic
solidarity. Dalam masyarakat yang berbentuk organik, kesepaduan sosial
merupakan keadaan yang dikaitkan dengan anomie, yakni masyarakat tidak
mementingkan hubungan. Georg Simmel menyentuh teori ini dalam aspek
perkembangan bandar kerana bandar ialah tempat tumpuan. Selain itu, beliau
juga mengaitkan teori ini dengan ekonomi kewangan (money economy).
Ekonomi kewangan merujuk pada perluasan dan penyerapan pemodenan.
Ekonomi kewangan menyebabkan manusia dipengaruhi oleh duit. Pengaruh
duit ini mengakibatkan pengasingan (alienation) sebagaimana diutarakan oleh
Karl Marx. Di sini manusia menjadi terpisah melalui mekanisme yang diciptanya
sendiri.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 49

Max Weber melihat proses pemodenan sebagai proses rasionalisasi (logik,


berasas atau munasabah). Justeru, menurut Weber masyarakat moden
mengalami proses rasionalisasi kerana menolak masyarakat tradisi. Ini kerana
masyarakat tradisi dilihat tidak rasional.

Selain itu, Rostow juga membincangkan teori modenisasi. Beliau melihat


perkembangan ekonomi kepada lima tahap iaitu:

(a) Tahap tradisi;

(b) Tahap persediaan;

(c) Tahap lepas kandas;

(d) Tahap matang; dan

(e) Tahap massa.

Selain itu, para sarjana kontemporari kini juga ada membincangkan tentang teori
pemodenan kontemporari seperti Anthony Gidens, Ulrich Beck, George Ritzer
dan lain-lain. Gidens melihat konsep juggernaut tentang pemodenan. Juggernaut
merupakan satu keadaan yang tidak menentu dan kita tidak boleh mengawal
keadaan dan keselamatan kita berada dalam keadaan yang tidak menentu.
Keadaan ini dipanggil Juggernaut Pemodenan. Beck pula melihat konsep risk
society iaitu masyarakat berisiko dan Ritzer telah membawa konsep
McDonalisation dan Americanisation. Justeru, keadaan yang berlaku ialah
kehidupan masyarakat dunia bergerak daripada revolusi pertanian kepada
revolusi industri dan sekarang ialah revolusi maklumat. Jika diperhatikan,
revolusi ini ada kaitan dengan kekayaan.

2.2.4 Kesepaduan Mekanikal dan Kesepaduan


Organik
Konsep kesepaduan ini didokong oleh tokoh penting iaitu Emile Durkheim.
Penulisan dan pemikiran beliau tentang kesepaduan mekanikal dan kesepaduan
organik masih menjadi rujukan hingga sekarang. Kesepaduan mekanikal ialah
satu bentuk kesedaran kerana sesuatu masyarakat itu mendokong nilai yang
sama, emosi yang sama atau nasib yang sama. Anggota masyarakat dikatakan
mempunyai kesedaran kumpulan yang sama disebut sebagai collective
consciusness. Misalnya, kita daripada kelompok yang sama perlu menjaga emosi
kumpulan masing-masing. Jika kita melakukan perkara yang bertentangan, kita
akan dikenakan tekanan. Menurut Durkheim perpaduan mekanikal ini lahir
dalam masyarakat sederhana yang terdapat di kawasan luar bandar seperti di
desa atau kampung.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


50 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Sementara itu, kesepaduan organik merupakan kesepaduan bentuk baru yang


berlaku disebabkan oleh proses modenisasi dalam masyarakat. Kesepaduan
organik wujud dan ditandai dengan perbezaan yang wujud dalam struktur
masyarakat. Perpaduan organik merupakan bentuk perpaduan yang wujud
dalam masyarakat apabila masyarakat itu mengalami perbezaan struktur
(structural differentiation), misalnya dalam konteks masyarakat bandar atau kota
yang kompleks. Dalam keadaan ini, individu bebas untuk melakukan sesuatu
berdasarkan kesedaran individu bukan hanya kesedaran kolektif. Durkheim
melihat masyarakat moden mempunyai ciri-ciri individualistik yang jelas justeru
masyarakat bertindak tanpa kesedaran kolektif. Tindakan sebegini dianggap
sebagai melakukan sesuatu tanpa kesedaran kemasyarakatan.

Namun begitu, untuk menyesuaikan dengan perubahan, ada kesedaran baru


yang berbentuk organik. Perpaduan ini adalah dalam bentuk kepentingan
tertentu dengan penubuhan kelab dan persatuan. Misalnya, dalam kalangan
orang kaya dan elit, terdapat persatuan dan kelab yang wujud di tempat
eksklusif seperti di kelab golf atau tempat rekreasi yang mahal. Perpaduan
bentuk ini adalah bersifat segmental dan bersifat sementara. Keadaan ini berbeza
dengan perpaduan mekanikal di desa yang lebih akrab dan tidak memerlukan
penubuhan persatuan atau kelab. Ini merupakan impak modenisasi.

2.2.5 Teori Kelas


Menurut Cox (1948), teori kelas ini berasaskan apa yang berlaku di Amerika iaitu
berkisar tentang pertelingkahan ras yang berlaku antara orang kulit putih dan
kulit hitam. rujukan akademik perlu diletakkan pada bahagian rujukan/
bibliografi. Ia dikaitkan dengan dasar dan sikap golongan kapitalis dan orang kulit
putih terhadap orang kulit hitam dan kelas buruh. Permasalahan wujud di sini
antara kelompok borjuis dan proletariat yang membawa kepada permasalahan
hubungan kelas. Masalah perhubungan ini menurut Cox bermula daripada
amalan kapitalisme di Eropah yang mendorong keupayaan bagi mencipta
keuntungan dalam memperolehi sumber buruh yang berbeza. Keadaan ini
disebabkan tahap perhubungan yang tidak sama dan buruh akhirnya tertindas.
Struktur sosial sebegini menguntungkan pemerintah. Antara sarjana penting yang
membincangkan tentang teori kelas ini ialah Karl Marx. Menurut beliau, ekonomi
merupakan faktor utama (basic structure) dalam masyarakat. Sementara itu, faktor
lain yang dianggap sebagai super structure bergantung pada faktor utama
tersebut.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 51

2.2.6 Teori Masyarakat Majmuk


Menurut konsep masyarakat majmuk dikemukakan oleh Furnivall (1948) dan
Smith (1965), masyarakat terpisah berdasarkan ciri-ciri tertentu dan mereka
dikelompokkan dalam kumpulan etnik tertentu. Kemudian, Leo Kuper (1974
dan 1977) berhujah tentang teori ini dan menyatakan teori kelas boleh
menjelaskan bentuk pengkategorian ras dalam masyarakat. Teori Kuper
berkaitan masyarakat majmuk didasarkan kepada masyarakat majmuk dapat
dibezakan dengan masyarakat berkelas melalui ciri-ciri perbezaan dalam
susunan ekonomi. Konsep ini terikat dalam tahap politik tertentu dan jika
berlaku konflik, etnik dan bukannya kelas. Pengkategorian ini berasaskan sejarah
dan latar belakang yang dibentuk melalui persaingan.

2.2.7 Teori Pilihan Rasional


Teori pilihan rasional agak popular dan didokong oleh beberapa orang sarjana
seperti Thomas Sowell, Thomas Schelling dan Michael Banton. Teori pilihan
rasional dikenali juga sebagai teori kategori sosial. Teori ini mencadangkan
mereka yang rasional akan fokus terhadap dua perkara iaitu memaksimumkan
keuntungan material dan mencapai kedudukan status yang lebih baik. Asas teori
ini ialah seseorang akan cuba mendapatkan kedudukan status dalam masyarakat
dan mendapat ganjaran dalam bentuk material pada masa yang sama.

AKTIVITI 2.5
Bincangkan bagaimana teori yang diutarakan tersebut boleh digunakan
untuk memahami hubungan etnik di Malaysia.

2.3 KESIMPULAN
Umumnya, perbincangan tentang konsep dan teori ini penting untuk memahami
hubungan etnik yang wujud dalam masyarakat. Konsep-konsep ini mendedahkan
pada senario yang berlaku di peringkat kajian para sarjana. Tugas para sarjana
ialah menyusun dan mengkategorikan sesuatu fenomena supaya mudah
difahami oleh masyarakat seluruhnya. Konsep seperti ras, etnik, budaya dan
masyarakat merupakan konsep asas yang perlu dibincangkan supaya para
pelajar dapat memahami topik perbincangan. Konsep yang positif seperti
perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan juga merupakan konsep penting
untuk diketahui oleh para pelajar. Begitu juga konsep yang dilihat dan aspek

Copyright Open University Malaysia (OUM)


52 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

negatif seperti prasangka, stereotaip dan prejudis yang melibatkan perasaan.


Konsep yang wujud dalam bentuk tindakan seperti diskriminasi boleh
dibahagikan pada ethnocentrisme dan cauvinisme. Konsep ini penting, jarang
didengar, tetapi dapat menjawab permasalahan dalam masyarakat majmuk di
Malaysia dan dunia. Sementara itu, teori pula penting untuk kita memahami
sebab dan akibat yang berlaku dalam masyarakat. Untuk menghuraikan sesuatu,
kita mesti berlandaskan pada kerangka teori. Oleh yang demikian, kerangka
teori yang dibawa adalah teori penting yang dibincangkan untuk melihat dan
memahami hubungan etnik khasnya di Malaysia. Teori ini boleh dijadikan
sandaran bagi para pelajar sebagai alat untuk mengkaji masyarakat pelbagai
etnik di Malaysia.

SEMAK KENDIRI 2.1

1. Bincangkan konsep utama dalam hubungan etnik.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat? Apakah


perbezaan antara masyarakat dan etnik?

3. Jelaskan tentang teori fungsional dan teori konflik. Bagaimanakah


kita menganalisis hubungan etnik menggunakan teori ini?

4. Bagaimanakah teori modenisasi membolehkan kita memahami


perkembangan masyarakat?

5. Apakah yang anda faham tentang teori pilihan rasional?


Bagaimanakah kaedah membolehkan kita mengaitkan teori ini
dengan masyarakat pelbagai etnik?

Konsep asas dan teori dalam hubungan etnik menggunakan pendekatan


sosiologi.

Konsep ras berkait dengan ciri-ciri fizikal yang ada pada seseorang individu
seperti warna mata, warna kulit, warna rambut, bentuk hidung, bentuk
kepala dan sebagainya.

Rasisme ialah keadaan seseorang atau sesuatu kelompok yang berasa


kelompoknya sendiri adalah lebih baik berbanding pihak lain.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 53

Konsep etnik merujuk pada ciri-ciri yang distingtif yang ada pada seseorang
atau sesuatu kelompok.

Budaya merujuk pada rutin yang dilakukan oleh seseorang atau sesebuah
kumpulan.

Masyarakat merujuk pada sekumpulan manusia yang hidup bersama dalam


satu kumpulan.

Masyarakat majmuk merupakan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai


kaum yang berbeza daripada segi budaya, ras, agama, bahasa dan lain-lain.

Perpaduan ialah proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara


supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti bersama.

Integrasi ialah proses penyesuaian kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang


diterima oleh semua golongan etnik dalam negara.

Hubungan etnik yang baik boleh dilihat melalui perpaduan, kesepaduan dan
penyatupaduan.

Hubungan etnik yang negatif ditandai dengan stereotaip, prasangka,


prejudis, diskriminasi, ethnocentrisme dan chauvinisme.

Kesepaduan mekanikal ialah bentuk kesedaran kerana sesuatu masyarakat


itu mendokong nilai yang sama, emosi yang sama atau nasib yang sama.

Kesepaduan organik merupakan kesepaduan bentuk baru yang berlaku


disebabkan oleh proses modenisasi dalam masyarakat.

Teori fungsional bertitik tolak daripada melihat masyarakat dalam keadaan


stabil dan mantap.

Teori konflik ini menganggap konflik ialah perkara yang utama dalam
kehidupan bermasyarakat.

Teori modenisasi bergerak daripada keadaan tradisi ke keadaan moden.

Teori kelas merujuk pada permasalahan antara kelompok borjuis dan


proletariat yang membawa permasalahan hubungan kelas.

Masyarakat majmuk ialah masyarakat yang dikelaskan dalam keadaan


terpisah berasaskan ciri-ciri tertentu dan dikelompokkan dalam kumpulan
etnik tertentu.
Copyright Open University Malaysia (OUM)
54 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Teori pilihan rasional berkisar tentang dua benda iaitu bagi mereka yang
rasional, mereka akan memaksimumkan keuntungan material dan mencapai
kedudukan status yang lebih baik.

Budaya Masyarakat majmuk


Etnik Masyarakat plural
Fungsional Modenisasi
Integrasi Penyatupaduan
Kesepaduan mekanikal Perpaduan
Kesepaduan organik Ras
Kesepaduan sosial Rasisme
Konflik Sosiologi
Masyarakat Teori pilihan rasional

A. Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan pembinaan Bangsa Malaysia.


Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Aziz Deraman. (2001). Masyarakat dan kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur,


Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Embong. (2001). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Bangi,
Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Abdul Rahman Embong. (2006). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Ed.
ke-2. Bangi, Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bollen, K. A. & Hoyle, R. H. (2001). Perceived cohesion: A conceptual and


empirical examination. Social Forces 69: 479504.

Chew, H. T. (1975). Masalah perpaduan nasional. Kuala Lumpur, Malaysia:


Dewan Bahasa dan Pustaka.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK 55

Furnivall, J. S. (1948). Colonial policy and practice. Cambridge, England:


Cambridge University Press.

Godwin R. K., & Wahlke, J. C. (1997). Introduction to political science. San Diego,
CA: Hartcourt Brace college publishers.

Haizan Mohd Taha, Mohd Ariff Ahmad Tarmizi, & Mohd Isa Hamzah. (2009).
Monograf teks ras dan etnik: Teori, praktis dan isu moral. Petaling Jaya,
Malaysia: Prentice Hall Pearson.

Jawatankuasa Integrasi Nasional. (1991). Jabatan Perpaduan Negara.

Jenks, C. Culture. London, England: Routledge.

Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leo Kupper. (1974). Race, class and power: Ideology and revolutionary change in
plural societies. London, England: Duckworth.

Linton, R. (1945). The cultural background of personality. New York, NY: Taylor
and Francis.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz, & Mohamad Ainuddin
Iskandar Lee. (2006). Hubungan etnik di Malaysia. Petaling Jaya, Malaysia:
Prentice Hall Pearson.

Mohd Taib Osman. (1988). Kesusasteraan Melayu dan perubahan sosio budaya.
Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ritzer, G., & Smart, B. (2001). Handbook of sosial theory. London, England:
SAGE Publication.

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul hubungan etnik. Shah Alam, Malaysia:
Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik. Ed. ke-2. Bangi,
Malaysia: Institut Kajian Etnik, UKM.

Smith, M. G. (1965). The plural society in the British West Indies. Berkeley, CA:
University of California Press.

Syed Ahmad Hussein, & Y. Mansoor Marican. (1989). Integrasi politik:


Kumpulan rencana pilihan. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Copyright Open University Malaysia (OUM)


56 TOPIK 2 KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Tylor, E. B. (1871). Primitive culture: Researches into the development of


mythology, philosophy, religion, art, and custom (Vol. 2). London,
England: Murray.

Ting C. P. (1987). Hubungan ras dan etnik. Kuala Lumpur, Malaysia: Pustaka
Dimensi.

Van Den Berghe. (1967). South Africa: A study in conflict. Berkeley, CA:
University of California Press.

Zaid Ahmad et al. (2010). Hubungan etnik di Malaysia. Ed. ke-2. Shah Alam,
Malaysia: Oxford Fajar.

Zulhilmi Paidi, & Rohani Abdul Ghani. (2003). Kenegaraan Malaysia: Isu-isu
dalam pembinaan negara. Batu Caves, Malaysia: PTS Publication.

Copyright Open University Malaysia (OUM)

Anda mungkin juga menyukai