Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Hidup Berjiran

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga
di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang
sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Namun begitu, semangat kejiranan
dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Masyarakat zaman ini tidak lagi
mengutamakan semangat kejiranan antara satu sama lain. Persoalannya, apakah kepentingan
semangat kejiranan ini?

Antara kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mengukuhkan semangat perpaduan
dalam kalangan masyarakat. Hal ini sedemikian adalah kerana masyarakat majmuk dapat
berhimpun dan berinteraksi bersama-sama dalam sebuah komuniti yang berharmoni.
Contohnya, kita boleh merayakan hari perayaan bersama-sama dengan saling mengunjungi
ke majlis-majlis rumah terbuka jiran. Kesannya, kita dapat mengenali jiran kita dengan lebih
mendalam dan mengeratkan hubungan silaturahim. Bak kata pepatah, Jiran sepakat
membawa berkat, setiap kejayaan bergantung kepada kerjasama dan muafakat semua jiran.
Tegasnya, semangat kejiranan adalah amat penting dan haruslah diutamakan demi
mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, semangat kejiranan juga dapat memupuk semangat bekerjasama dan tolong-
menolong dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia. Hal ini adalah kerana kita
berpeluang untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan jiran-jiran apabila menyertai
aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua jiran tetangga. Misalnya, aktiviti gotong-royong,
kenduri makan dan majlis sambutan perayaan dapat mengeratkan hubungan silaturahim
sesama jiran. Impaknya, kita semua boleh saling memahami dan mengenali antara satu sama
lain secara lebih mendalam. Semangat bekerjasama dan tolong-menolong bagai aur dengan
tebing akan disemai dalam sebuah komuniti. Natijahnya, aktiviti yang dijalankan secara
berkumpulan boleh mewujudkan sebuah komuniti yang bersatu-padu.

Di samping itu, semangat kejiranan turut dapat mengelakkan berlakunya kes-kes jenayah
dalam sesebuah taman ataupun kampung. Hal ini disababkan adalah kerana jiran-jiran kita
mampu menghulurkan bantuan kepada kita pada masa kecemasan. Sebagai contoh, jiran kita
boleh membantu kita menelefon pihak berkenaan pada waktu kecemasan untuk mendapatkan
bantuan pihak professional. Dengan ini, kes-kes meragut dan kes-kes merogol dapat
dikurangkan secara efektif. Hal ini jelas menepati ungkapan menyediakan payung sebelum
hujan. Tuntasnya, sebuah komuniti yang selamat dapat diwujudkan melalui pengamalan
semangat kejiranan.

Tambahan pula, kehidupan yang lebih harmoni, aman damai dan sejahtera akan diwujudkan
sekiranya kita mempunyai semangat kejiranan. Hal ini sedemikian adalah kerana hubungan
silaturahim yang erat bagai isi dengan kukuh menyebabkan jiran setempat yang berbilang
kaum saling memahami. Perkara ini dapat dicapai dengan menyemarakkan budaya kunjung-
mengunjungi dalam kalangan rakyat. Akibatnya, segala pertelingkahan dan perselisihan
faham anara jiran dapat dielakkan dan dikurangkan. Sikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing turut dihapuskan. Pendek kata, semangat kejiranan
berupaya mewujudkan suasana yang sentosa dalam kehidupan rakyat.

Kesimpulannya, semangat kejiranan amatlah penting dan patutlah kita mengamalkannya.


Bak kata pepatah, Melentur buluh biarlah dari rebungnya, kita wajib mengamalkan
semangat kejiranan sejak kecil lagi. Terdapat sebuah pepatah yang mengatakan bahawa
bersama kita teguh, bercerai kita roboh, perpaduan negara akan dijejaskan secara tidak
langsung jika semangat kejiranan diabaikan. Sebaliknya, perpaduan negara akan bertambah
utuh dan tegah jika semangat kejiranan ditingkatkan. Oleh itu, semua pihak wajarlah
menggembleng tenaga bersama-sama supaya semangat kejiranan sentiasa terpelihara dan
diteruskan sehingga generasi-generasi yang akan datang.

Written by: Khoo Zi Qi (10 Epsilon)

Edited by: Vivian Beh Wei Ean (4M) 26/02/2017

Anda mungkin juga menyukai