Anda di halaman 1dari 7

Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)

140

KESEDIAAN GURU DALAM PELAKSANAAN


KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)

Wan Nor Shairah Sharuji (Pengarang Penghubung)


Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, MALAYSIA
che_ji89@yahoo.com

Norazah Mohd Nordin


Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, MALAYSIA
norazah13140@gmail.com

ABSTRAK
Kertas konsep ini membincangkan tentang kesediaan guru dalam melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) semasa di sekolah. Guru merupakan tonggak utama dalam penerapan kemahiran berfikir aras tinggi
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah. Kesediaan guru dalam melaksanakan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran penting kerana guru bertindak sebagai peneraju
pengajaran dan pembelajaran mempersiapkan diri untuk penerapan kemahiran berfikir aras tinggi. Peningkatan
diri guru dalam aspek amalan, pengetahuan dan kemahiran berkaitan kemahiran berfikir aras tinggi harus diberi
perhatian.Kemahiran berfikir aras tinggi berpandukan teori taksonomi Bloom melibatkan tiga aras tertinggi iaitu
menganalisis, menilai dan mencipta manakala kemahiran berfikir aras rendah pula merangkumi mengingat,
memahami dan mengaplikasi.
Kata Kunci: Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); Kesediaan Guru; Pengajaran dan Pembelajaran
Matematik

ABSTRACT
This concept paper discusses about the teachers readiness in implementing higher order thinking skills
(HOTS). Teacher is the major milestone in the application of higher-order thinking skills in mathematics
teaching and learning in schools. Teachers readiness in implementing higher order thinking skills for teaching
and learning is important as teacher is a leader who has to prepare for the application of higher order thinking
skills. Self-improvement for teachers in terms of practice, knowledge and skills related to higher order thinking
skills must be addressed. Higher order thinking skills based on Bloom's taxonomy theory involves three highest
levels which are analyze, evaluate and create ; while lower-order thinking skills encompasses remember,
understand and apply.
Keyword: Higher-Order Thinking Skills (HOTS), Teacher Readiness, Teaching and Learning Mathematics

PENGENALAN
Matematik merupakan suatu jurusan ilmu pengetahuan yang melatih minda untuk berfikir secara logik dan
tersusun bagi menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.Kemahiran berfikir merupakan salah satu
sasaran utama untuk dicapai oleh kurikulum di Malaysia. Kemahiran abad ke-21 ini seiring dengan enam
aspirasi negara yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global
seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid perlu
mempunyai kemahiran memimpin, etika dan kerohanian, identiti sosial, kemahiran dwibahasa, pengetahuan dan
kemahiran berfikir (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan lanjutan daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan
pemikiran luar daripada kotak setelah Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) dilaksanakan sebelumnya.
Kemahiran berfikir telah ditekankan di dalam kurikulum Malaysia sejak tahun 1994 dengan memperkenalkan
Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK). Kemahiran berfikir ini menekankan bentuk pemikiran bermula
dari aras rendah sehingga aras tinggi. Bermula pada tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Untuk memetik artikel ini:


Sharuji, W., N., S., & Mohd Nordin, N. (2017). Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Simposium
Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017).
Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
141

telah diperkenalkan serta memberi penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2013).
Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) melibatkan kemampuan untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan,
berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Spesifiknya di Malaysia, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
adalah merujuk kepada kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta yang ditekankan secara
teliti dalam setiap mata pelajaran di sekolah. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) didefinisikan oleh
Brookhart(2010) dengan membahagikannya ke dalam tiga kategori utama iaitu pemindahan, pemikiran kritis
dan penyelesaian masalah.

Kurikulum terbaru yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) telah mengintegrasikan kemahiran berfikir dalam subjek Matematik dengan
mewujudkan tahap penguasaan bagi kemahiran berfikir. Jadual 1 menunjukkan tahap penguasaan kemahiran
berfikir yang dikhususkan bagi subjek Matematik.
Jadual 1. Tahap Penguasaan Kemahiran Berfikir Matematik

Tahap Penguasaan Tafsiran


1 Boleh menyatakan pengetahuan dan kemahiran matematik

2 Boleh menerangkan pengetahuan dan kemahiran matematik.


Boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam situasi
3
berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara.
Boleh mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk memahami dengan
4
lebih mendalam serta hubungkait antara bahagian berkenaan.
Boleh membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan,
5
pengalaman dan kemahiran serta memberi justifikasi.
6 Boleh menghasilkan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia 2013

Senario semasa menunjukkan bahawa guru mengetahui peri pentingnya pendidikan dan apa yang ingin dicapai
melalui pendidikan. Namun, sejauhmana pengetahuan guru tentang kepentingan kemahiran berfikir aras tinggi
serta komitmen mereka terhadap penerapannya semasa dalam pengajaran dan pembelajaran matematik juga
perlu dititikberatkan. Rosnani Hashim (2003) menyatakan bahawa guru merupakan faktor terpenting yang bakal
menentukan kejayaan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi berbanding faktor-faktor lain. Selain itu, guru
dilihat lebih cenderung untuk hanya berbincang tentang kemahiran berfikir berbanding mengaplikasikannya
sendiri di dalam kelas.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Brookhart (2010) menyatakan definisi kemahiran berfikir aras tinggi ke dalam tiga kategori utama iaitu yang
pemindahan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Maimunah (2004) merumuskan bahawa kemahiran
berfikir tidak bergantung kepada tahap kepandaian seseorang semata-mata namun turut melibatkan masa,
pendedahan dan motivasi diri. Selain itu, kemahiran berfikir juga boleh dipupuk dan digilap melalui proses
pendidikan yang berterusan.Pemikiran kritikal merupakan proses yang cermat dan reflektif dalam membuat
penilaian terhadap fakta dan hujah. Matlamat pemikiran kritikal ini adalah rasionalisasi atau mempunyai
pegangan yang rasional yang melibatkan pelbagai bukti yang tidak menyatakan sebaliknya atau kemungkinan
lebih baik berbanding hujah yang lain (Kelly, 2001).

Caviglioli, Harris & Tindall (2002) memegang konsep bahawa berfikir memerlukan tenaga dan kemahiran sama
seperti manipulasi objek nyata berlaku. Berfikir merupakan manipulasi tentang objek pemikiran yang
melibatkan penerokaan, penciptaan dan reka bentuk. Kemahiran berfikir adalah satu kemahiran memproses
minda untuk mencapai tujuan tertentu. Proses ini melibatkan dua tahap iaitu persepsi dan tahap pemprosesan.
Tahap persepsi merupakan tahap di mana individu cuba menterjemahkan sesuatu aktiviti daripada kompleks
kepada bentuk termudah dan bermakna. Tahap kedua iaitu tahap pemprosesan melibatkan kekuatan logik yang
digunakan untuk memproses maklumat yang diterima bagi membuat keputusan, mengambil tindakan dan
meyelesaikan masalah (Munir & Azlena, 2001).

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
142

Dalam kajian mengenai kemahiran berfikir aras tinggi, King et al. (2000) pula menyatakan bahawa kemahiran
berfikir aras tinggi yang berjaya bergantung kepada kebolehan murid untuk mengaplikasikan, menyusun semula
dan memperindahkan pengetahuan dalam konteks situasi pemikiran. Beberapa konsep utama yang relevan
dengan proses kemahiran berfikir aras tinggi ini adalah mengikut tiga andaian utama. Pertama, tahap pemikiran
tidak boleh dipisahkan daripada tahap pembelajaran seseorang kerana kebergantungan, pelbagai komponen dan
tahap. Kedua, pemikiran tidak semestinya boleh dipelajari tanpa kandungan sesuatu subjek yang hanya
merupakan satu titik teori. Realitinya, murid akan mempelajari kandungan sesuatu subjek dalam kedua-dua
komuniti dan pengalaman di sekolah. Selain itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan pelbagai proses
berfikir yang diaplikasikan dalam pelbagai situasi kompleks.

Kemahiran berfikir aras tinggi pula dirujuk sebagai proses operasi intelektual yang abstrak yang diklasifikasikan
kepada pemikiran inferensi, pemikiran kritis, pemikiran kritikal dan juga gabungan kemahiran berfikir seperti
penyelesaian masalah dan membuat keputusan (Salandanan, 2009). Merujuk kepada Resnick (1987), kemahiran
berfikiran aras tinggi disifatkan sebagai non algorithmic. Ini membawa makna bahawa kemahiran berfikir aras
tinggi ini tidak mempunyai prosedur langkah demi langkah untuk dilaksanakan.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Di Malaysia


Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di Malaysia wujud hasil daripada Taksonomi Bloom yang telah disemak
semula pada tahun 2001. Kemahiran ini merujuk kepada empat tahap kemahiran teratas dalam Taksonomi
Bloom edisi semakan iaitu fakta, konseptual, prosedural dan metakognitif (Krathwohl, 2002). Manakala, aras
paling bawah yang merujuk kepada kemahiran berfikir aras rendah (KBAR) iaitu memahami dan mengingat.
Pembentukan edisi semakan ini terhasil dengan harapan untuk membentuk Pembelajaran Abad ke-21 di semua
sekolah.Rajah 1 menunjukkan perbandingan dua taksonomi ini.

Versi Lama Versi Baru

Rajah 1. Perbandingan Taksonomi Bloom Versi Lama dan Versi Baru

Menurut Alimuddin Mohd. Dom (2012), kemahiran berfikir aras tinggi ini dimaksudkan sebagai kemahiran
yang melibatkan kemahiran intelek yang tinggi.Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum
membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan
masalah dan membuat perancangan. Kementerian Pendidikan Malaysia (2011) mendefinisikan kemahiran
berfikir aras tinggi sebagai keupayaan untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat
penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta
sesuatu

TEORI KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI

Taksonomi Bloom (1956)


Taksonomi Bloom telah dikembangkan pada tahun 1956 hasil karya Benjamin Bloom yang memperkenalkan
tiga domain utama pembelajaran iaitu kognitif, psikomotor dan afektif. Taksonomi membawa maksud

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
143

pengkelasan kerana taksonomi Bloom memperihalkan sistem pengkelasan kognitif bagi kemahiran berfikir.
Penguasaan aras rendah bagi taksonomi Bloom akan memudahkan lagi pencapaian aras tinggi (Moore &
Stanley, 2010).

Penilaian
Sintesis
Analisis
Aplikasi
Pemahaman
Pengetahuan

Rajah 2. Taksonomi Bloom (1956)


Sumber : Moore & Stanley (2015)

Tiga aras dalam taksonomi Bloom bawah iaitu pengetahuan, pemahaman dan aplikasi dikenali sebagai
pemikiran aras rendah. Ramai pendidik silap faham bahawa setiap kali murid diminta untuk berfikir, aktiviti ini
dianggap aplikasi kemahiran berfikir aras tinggi (Moore & Stanley, 2010). Sedangkan, terdapat permasalahan
yang timbul pertamanya adalah jenis pemikiran yang terlibat dan kedua murid jarang dibimbing bagaimana
untuk menjawab soalan. Maka, guru perlu mengubah cara pemikiran terlebih dahulu.

Seterusnya, tiga aras tertinggi pula lebih dikenali sebagai pemikiran kritikal dan pemikiran aras tinggi.
Pemikiran aras tinggi ini memerlukan penaakulan dibuat dalam bentuk induktif mahupun deduktif. Berpandukan
kepada taksonomi Bloom, pemikiran aras tinggi melibatkan peringkat analisis, sintesis dan penilaian. Namun,
aras analisis dalam taksonomi Bloom sering disalah erti apabila menentukan aras pemikiran yang digunakan
dalam sesuatu aktiviti kerana persepsi terhadap soalan yang susah. Realitinya, soalan tersebut sukar disebabkan
murid perlu membuat analisis soalan terlebih dahulu.

Taksonomi Bloom Baru (2001)


Taksonomi Bloom mempunyai pelbagai variasi sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1956. Walau
bagaimanapun, taksonomi Bloom edisi semakan yang sering diguna pakai adalah dikemas kini oleh bekas
pelajar Bloom sendiri iaitu Loren Anderson pada tahun 2001. Perbezaan ketara di antara kedua-dua taksonomi
ini adalah penggunaan kata nama oleh taksonomi asal dan penggunaan kata kerja bagi taksonomi baru untuk
memperlihatkan proses pemikiran yang lebih aktif.

Mencipta
Menilai
Menganalisis
Mengaplikasi
Memahami
Mengingat

Rajah 3. Taksonomi Bloom (2001)


Sumber : Moore & Stanley (2015)

Berpandukan kepada taksonomi Bloom baru, aras bawah taksonomi itu menyediakan tapak bagi pembelajaran
kemahiran berfikir bagi aras yang lebih tinggi. Aras mengingat, memahami dan mengaplikasi membentuk
hubungan bagi kemahiran berfikir aras tinggi yang berada pada aras atas. Tahap mengaplikasi menggalakkan
murid untuk menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam situasi yang berlainan untuk melaksanakan
sesuatu perkara.

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
144

Seterusnya, bagi tahap menganalisis murid belajar untuk mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk
memahaminya dengan lebih mendalam serta hubungkait antara bahagian yang berkenaan. Manakala, bagi tahap
menilai murid mampu membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman,
kemahiran dan nilai serta memberi justifikasi.Murid pula mampu untuk menghasilkan idea atau produk atau
kaedah yang kreatif dan inovatif bagi tahap tertinggi dalam taksonomi Bloom iaitu kemahiran mencipta
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013).

PERANAN GURU DALAM PELAKSANAAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS


TINGI (KBAT)
Guru memainkan peranan penting dalam usaha memupuk pemikiran aras tinggi dalam kalangan murid. Menurut
Yahya Othman (2014), guru pertama sekali perlu menguasai dan mendalami ilmu berkaitan kemahiran berfikir
sebelum mengamalkan atau mengaplikasikan ilmu tersebut ke dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh
itu, guru perlu membuat pelbagai rujukan dan mencari maklumat berkaitan kemahiran berfikir aras tinggi untuk
memastikan penguasaan optimum dalam bidang tersebut sebelum mempraktikkannya.

Selain itu, guru perlu menyesuaikan strategi, teknik dan pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) untuk memastikan objektif kurikulum dapat dicapai semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Maka, penggunaan ilmu yang telah dipelajari oleh guru mengenai pelbagai strategi pengajaran bagi
merangsang murid berfikir dengan lebih tinggi akan diguna pakai sebagai pemudah cara untuk memastikan
kemahiran berfikir aras tinggi dapat dilaksanakan dan digunakan oleh murid.

Merujuk Conklin (2012), pelbagai strategi pengajaran yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam memupuk
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam diri murid. Salah satunya adalah pembahagian kumpulan
homogen yang terdiri daripada murid yang mempunyai aras kemahiran yang sama atau kumpulan heterogen
yang merupakan gabungan pelbagai aras kemahiran murid serta kumpulan flaksogen yang bermakna pertukaran
kedua-dua kumpulan murid secara fleksibel dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya, teknik penyoalan guru juga merupakan strategi utama untuk meningkatkan tahap kemahiran berfikir
aras tinggi (KBAT) murid. Guru perlu bertindak menyoal soalan yang menggalakkan lagi murid untuk berfikir
dengan lebih mendalam. Soalan berbentuk terbuka adalah lebih baik daripada soalan tertutup kerana mampu
membantu murid membuat penaakulan dan penilaian.Guru juga boleh menganjurkan aktiviti sumbang saran
yang mampu menjana minda murid untuk berfikir pada aras yang lebih tinggi berbanding biasa.

Penilaian ke atas kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang telah dikuasai oleh murid juga perlu dilaksanakan
oleh guru untuk menyemak sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran tercupai (Brookhart, 2010). Guru
perlu memfokuskan penilaian terhadap tahap berfikir pada aras yang lebih tinggi seperti peringkat penilaian dan
penciptaan berbanding rutin sebelumnya yang hanya menitik beratkan penilaian pada aras rendah semata-mata.

KESEDIAAN GURU DALAM PELAKSANAAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS


TINGGI (KBAT)
Menurut Siti Mistima (2015), pengajaran dan pembelajaran di Malaysia masih dimonopoli oleh pemikiran aras
rendah daripada aspek pengajaran dan hasil pembelajaran. Realitinya, guru kurang diberikan pendedahan
berkaitan kaedah pengajaran dan pedagogi kemahiran berfikir aras tinggi. Hal ini membuktikan bahawa terdapat
masalah yang perlu dikaji untuk kebaikan institusi pendidikan Malaysia itu sendiri.

Manakala Williams (2015) pula menyatakan bahawa guru sepatutnya bertanyakan bagaimana murid melihat
hubungan sesuatu perkara berbanding mengabaikan murid yang memberikan jawapan yang tidak relevan. Hal
ini mampu menggalakkan pemikiran aras tinggi dalam kalangan murid dan membentuk pemikiran inovatif.
Seringkali dilihat murid dimarahi oleh guru kerana memberi jawapan yang difikirkan tidak logik oleh guru.
Guru memainkan peranan untuk bertanya dengan lebih mendalam terhadap pembentukan jawapan murid serta
menjana masalah yang merangsang minda murid untuk berfikir.

Selain itu, berdasarkan dapatan kajian oleh Nooriza & Effandi (2013) mendapati sebahagian guru kurang
bersedia untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan mengintegrasikan kemahiran berfikir aras
tinggi. Hasil temu bual menunjukkan bahawa hal ini terjadi disebabkan oleh ketidakpelbagaian strategi
pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi yang digunakan oleh guru.

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
145

Seterusnya, menurut Rosnani Hashim (2003) dalam kajian yang dilakukan olehnya mendapati bahawa kursus
atau latihan berkaitan kemahiran berfikir aras tinggi ini tidak diperkenalkan kepada guru semasa latihan
perguruan dan juga semasa dalam perkhidmatan. Ini membuktikan bahawa pengetahuan dan pendedahan yang
diberikan kepada guru masih sangat kurang serta perlu diperbanyakkan lagi dalam usaha mewujudkan generasi
baru yang berkemahiran berfikir aras tinggi.

KESIMPULAN
Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sememangnya penting untuk diberikan penekanan dalam kurikulum di
Malaysia. Namun, kebanyakan guru tidak diberikan pendedahan yang sepatutnya terhadap pedagogi dan kaedah
melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi. Walhal, guru merupakan pelaksana dan penentu kepada kejayaan
pelaksanaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) semasa di sekolah. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)
perlu diajar oleh guru tanpa guru bersedia dengan pelbagai kaedah serta strategi pengajaran yang sesuai dan
berkesan.

Pencapaian Malaysia dalam ujian peringkat global seperti PISA dan TIMSS semakin merosot sejak akhir-akhir
ini. Hal ini membimbangkan banyak pihak memandangkan ujian ini menggambarkan kedudukan pendidikan
Malaysia di persada antarabangsa. Malaysia tidak tergolong dalam negara ASEAN yang mempunyai sistem
pendidikan yang terbaik seperti Korea, Singapura dan China. Oleh itu, kerajaan di bawah usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk dilaksanakan
dan diintegrasikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Namun, pelaksanaan kemahiran berfikir aras tinggi ini agak lemah disebabkan kurangnya pendedahan yang
diberikan kepada guru sebagai medium pelaksana dan pengajar kemahiran tersebut. Guru-guru tidak diberikan
kursus dan latihan sepatutnya untuk memperkenalkan mereka kepada kemahiran berfikir aras tinggi ini. Hal ini
menyumbang kepada ketidaksediaan guru dalam melaksanakan kemahiran berfikir aras tinggi disebabkan
pengetahuan pedagogi yang cetek. Persepsi guru terhadap pelaksanaan kemahiran berfikir aras tinggi yang
dilihat susah untuk diajar dan dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran juga mempengaruhi
kejayaan pelaksanaan kemahiran tersebut.

Selain daripada itu, guru juga tidak mempunyai sebarang garis panduan tentang kaedah pengajaran kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT). Hal ini menyumbang kepada limitasi dalam mempelbagaikan kaedah dan strategi
pengajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) semasa di dalam kelas. Oleh itu, wujudnya inisiatif untuk
membangunkan modul pengajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai garis panduan yang bakal
digunakan oleh guru untuk mengaplikasikan kemahiran berfikir ini ke dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

RUJUKAN
Alimuddin Mohd Dom. 2012. Kemahiran Berfikir dalam pendidikan. Utusan Malaysia ,29 Disember.
Brookhart, S. M. 2010. How To Assess Higher-order Thinking Skills in Your Classroom. Alexandria : ASCD.
Caviglioli, O. , Harris, Ian. & Tindall, B. 2002. Thinking Skills & Eye Q. United Kingdom : Network
Educational Press.
Conklin, W. 2012.Strategies for Developing Higher-Order Thinking Skills. California : Shell Education
Kelly, S. E. 2001. Thinking Well : An Introduction to Critical Thinking. New York : McGraw-Hill Higher
Education
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
King, F.J. , Goodson, L. & Rohani, F. 2000. Higher Order Thinking Skills. Center for Advancement of Learning
and Assessment
Krathwohl, D.R. 2002. A Revision Of Bloom Taxonomy : An Overview . The Ohio State University . 41 (4) :
212 218
Maimunah Osman. 2004. Kemahiran Berfikir. Kuala Lumpur : Intan Management Series
Moore, B. & Stanley, T. 2015.Critical Thinking & Formative Assessment. New York : Eye On Education.
Munir Shuib & Azlena Zainal. 2001. Kemahiran Berfikir. Dlm. Munir Shuib & Azman Azwan Azmawati
(pnyt.) Pemikiran Kreatif, hlm. 1-13. Petaling Jaya : Prentice Hall
Nooriza Kassim & Effandi Zakaria. 2013.Integrasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Pengajaran dan
Pembelajaran Matematik: Analisis Keperluan Guru. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia
Resnick, L.B. 1987. Education and Learning to Think. Washington D.C.: National Academy Press

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)


Simposium Pendidikan diPeribadikan: Perspektif Risalah An-Nur (SPRiN2017)
146

Rosnani Hashim. 2003. Malaysians Teachers Attitude, Competency and Practices in the Teaching Of Thinking.
International Islamic University Malaysia. 11 (1) . 27 - 50.
Salandanan, G.G. 2009.Teacher Education. Quezon City : KATHA Publishing Co., Inc
Williams,R.B. 2015. Higher Order Thinking Skills : Challenging All Students to Achieve. New York : Skyhorse
Publishing
Yahya Othman .2014. Peranan Guru Bahasa Melayu Dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT). Dewan Bahasa.14(25). 20-24

Kesediaan Guru dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)