Anda di halaman 1dari 7

Tuesday, 28 August 2012

Salah Laku Guru Mencalar Kewibawaan Profesion Perguruan

(1) Pengenalan

Dalam era globalisasi kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang haruslah
mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai murni.
Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut (Syed Ismail etc.,
2010:24). Menurut Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat
atau tingkah laku atau kesusilaan. Dengan erti kata lain, etika menjadi teras dan tunggak
kepada keperibadian atau tatakelakuan penjawat awam supaya berurusan dengan apa yang
baik dan tidak baik mengikut kewajiban dan tanggungjawab moral mengikut profesion
tersebut. Etika juga dikatakan sebagai satu garis panduan yang menyenaraikan prinsip-
prinsip tingkah laku untuk tujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam
perkhidmatan. Justeru, adalah wajar setiap kerjaya yang digelar profesional
menyenaraikan kod etika kerja supaya memastikan pekerja-pekerja terlatih tertakluk kepada
kod etika tersebut untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti.

Memandangkan setiap organisasi perlu mempunyai kod etika profesion sebagai panduan
tingkah laku setiap ahli, bidang pendidikan juga tidak terlepas dari membina kod etikanya
sendiri. Menurut kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga 30 Jun
2008, bilangan guru yang berkhidmat di sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh
negara adalah seramai 369,928 orang dengan guru lelaki sebanyak 118,380 orang dan guru
perempuan sebanyak 251,548 orang. Tahun demi tahun, jumlah bilangan guru di seluruh
Negara meningkat dan sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan ini sebagai
profesion yang profesional, sebuah Etika Profesion Perguruan telah dicadangkan oleh
Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan
Aziz, 1971) bagi pembentukan tatasusila guru. Semua guru yang menjawat di sekolah perlu
mematuhinya yang mana etika kerja guru diwujudkan adalah untuk memastikan guru akan
dapat menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut panduan yang menjadi pegangan
setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia berdasarkan nilai-nilai akhlak mulia.

Antara rumusan Etika Profesion Perguruan secara keseluruhan adalah seperti yang
disenaraikan dalam karya Syed Ismail, etc. (2010:46-47):

i. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat
profesionalnya yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion
perguruan

x. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupaya yang boleh
membawa jatuhnya darjat profesion perguruan

xiii. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan
keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya
Begitulah suaranya antara kandungan Etika Profesion Perguruan yang mengingatkan guru
kita agar tidak melibatkan diri dalam salah laku semasa memberi perkhidmatan pendidikan
di Negara kita. Tetapi sehinggakan hari ini, berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari
segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru
sendiri yang masih lagi kedengaran. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah pada zaman
kini tidak menyedari keruntuhan akhlak di kalangan profesion ini sehinggakan mencalar
kewibawaan profesion perguruan di Negara kita?

2) Isu : Salah Laku Guru

Sebuah artikel bertarikh Ogos 2009,(Kosmo! Online) berjudul Rogol, cabul murid dalam
makmal yang dikarang oleh Adham Shadan telah dimuat turun dari laman web Kosmo
Online. Menurut sumber artikel, kes ini berlaku di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan
di Pasir Puteh, Kota Bharu dimana seorang guru lelaki berusia 29 yang mengajar Sains dan
Bahasa Cina di sekolah tersebut telah didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 12
tahun tiga bulan di makmal sains di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang. Bagi pertuduhan
kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15
tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan(KK) iaitu menggunakan
kekerasan dengan niat mencabul kehormatan. Tertuduh didapati bersalah oleh Hakim
Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan
munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu. Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan
dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai
guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman. Kata Rofiah Selepas mendengar hujahan
pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan
sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan
mencabul.

Guru yang terbabit sebenarnya juga telah melanggarkan peraturan dalam kod Etika
Profesion Perguruan dengan melakukan tingkah laku mencabul anak murid perempuan yang
mana ini telah menyebabkan pihak ibu bapa dan khalayak ramai tidak percaya kepada sifat
profesional profesion perguruan. Seperti mana yang dikemukakan sebelum ini, salah sebuah
kod yang terkandung dalam Etika Profesion Perguruan adalah menegaskan bahawa guru
haruslah sentiasa menjaga tingkah lakunya supaya keprosefionalannya tidak tercemar akibat
kehilangan kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Pernyataan ini
menjelaskan bahawa setiap tindak tanduk dan sikap yang guru lakukan adalah mendapat
perhatian masyarakat sekeliling terutamanya pelajar dan ibu bapa.

Sesungguhnya, amat penting bagi seseorang guru agar menjada perlakuan agar tidak
mencalar kewibawaan profesion perguruan sehingga boleh menghilangkan kepercayaan
masyarakat terhadap nilai-nilai murni seorang guru yang sepatutnya membawa
tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak bangsa supaya bertingkah laku baik dan
berakhlak mulia. Jika seorang guru gagal untuk menjaga tingkah laku dan sikapnya, maka
imej guru seluruh Negara akan dipersoalkan dan pada akhirnya, masyarakat tidak akan
mempercayai guru dalam peranan sebagai pengganti ibu bapa di sekolah untuk mendidik
anak-anak mereka. Pendek kata, tindakan guru disiplin lelaki yang dianalisis dalam sumber
artikel telah membuat pihak masyarakat mempersoalkan sifat profesional guru dan ini
sebenarnya telah mencabar kewibawaan profesion perguruan di Negara kita.

(2.1) Sebab: Guru kurang menghayati dan memahami kod etika

Jika diteliti, apakah sebenarnya sebab-sebab yang menyebabkan berlaku kes salah laku di
kalangan guru? Pada pendapat penulis, senario ini berlaku dengan antara sebabnya ialah
guru terbabit kurang menghayati dan memahami kandungan yang tertera dalam kod Etika
Profesion Perguruan. Sesungguhnya, kod etika yang disediakan dapat dijadikan suatu garis
panduan kepada para guru di Negara kita tentang bagaimana tingkah laku yang sesuai
dilakukan apabila diri individu itu telah menceburi profesion perguruan. Ini bermakna jika
guru yang terbabit dengan kes salah laku dapat menghayati dan memahami peraturan-
peraturan yang disenarai dalam kod Etika Profesion Perguruan, maka, beliau akan
mengetahui apa yang boleh dilakukan dan apa yang kurang sesuai dilakukan sebagai seorang
guru. Beliau juga akan mengetahui bahawa tindak-tanduk seorang guru yang buruk mampu
mencemarkan nama seluruh ahli komuniti guru justeru berusaha untuk mengelakkan dirinya
untuk terlibat dengan kes-kes salah laku. Natijahnya, penulis berasa bahawa salah satu
sebab yang menyebabkan guru terbabit melibatkan diri dalam kes salah laku adalah
berpunca daripada kekurangan pemahaman dan penghayatan keperluan mengikuti
peraturan mengikut kod Etika Profesion Perguruan.

(2.2)Sebab: Kursus, Latihan dan Bengkel mengenai kod etika kurang berkesan

Selain itu, penulis juga terfikir sejenak mengenai satu lagi punca yang mana mungkin secara
tidak langsung telah menyebabkan keadaan ini berlaku. Apakah sebab sebenar yang
menyebabkan guru-guru di Malaysia mengambil sikap tidak acuh kepada kod Etika Profeion
Perguruan? Mungkin kita perlu berhenti untuk menilai dan mempersoalkan keberkesanan
kursus dan latihan yang diberikan kepada guru mengenai kod etika serta kepentingan
mematuhi kod etika guru tersebut. Pada pendapat penulis, pihak kerajaan juga memainkan
peranan yang sama kritikal dalam menyebarkan pemikiran mengenai kepentingan guru
mematuhi kod etika kerja. Namun, realitinya, kursus dan latihan serta bengkel berkenaan
kod etika profesion guru masih lagi kurang dan tidak memadai untuk memberi pendedahan
yang tegas kepada guru-guru di Negara kita mengenai kepentingan menjaga tingkah laku
mereka berdasarkan tatatertib etika. Rumusnya, penguatkuasaan dan pemantauan yang
kurang berkesan akan menyebabkan berlakunya kes salah laku di kalangan guru.

(2.3) Sebab: Tekanan Emosi

Pada masa yang sama, penulis juga berpendapat bahawa kes guru terlibat dalam kes salah
laku berpunca daripada tekanan emosi atau lebih dikenali sebagai stres. Kyriacou (2000)
menjelaskan stres guru sebagai pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti
tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya
sebagai seorang guru. Stres juga didefinisikan sebagai tindak balas fizikal yang biasa
terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan
berlaku. Sebenarnya, setiap individu mengalami kelima-lima jenis stres yang disenaraikan,
apa yang membezakan adalah kekerapan dan tahap keseriusan tekanan emosi tersebut
kepada setiap individu, menurut Noriati A. Rahid, etc. (2010:67).

Dengan perkembangan yang pesat pada abad ke-21 ini, guru di sekolah bukan sahaja
menghadapi cabaran dalam menguruskan perihal pengajaran dan pembelajaran di sekolah,
malah golongan tersebut juga menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan
daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi
meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam proses menjalankan tugas dan tanggungjawab, guru
kian menghadapi halangan, kesuntukan masa, perselisihan faham antara guru justeru
tekanan emosi sememangnya berlaku jika guru tidak dapat menyelesaikan masalah atau
menangani cabaran yang dihadapi.

Dalam kes yang dirujuk, guru lelaki tersebut mungkin telah mengalami tekanan emosi yang
mana pada akhirnya menyebabkan dia bertindak terpesong daripada etika kerjaya sebagai
seorang guru. Stres yang hasil daripada tekanan kerjaya berkaitan yang menyebabkannya
mengalami kekangan dalam menyelesaikan ketidak-seimbangan yang berlaku dalam dirinya.
Kita faham bahawa kecelaruan dalam diri seseorang akan membawa kepada tindakan yang
berada pada luar jangkaan diri sendiri yang amat berbeza dengan personaliti asalnya,
dimana guru terbabit mungkin mencabul murid perempuan berkaitan walapun dirinya
sendiri tidak sedar bahawa dia sedang melakukan salah laku terhadap muridnya.

(2.4) Implikasi Salah Laku Guru

Menurut laporan Magendran Rajagopal dan Norliza Wasilan dalam Berita Harian secara
online, Kementerian Pelajaran telah menerima 200 aduan berhubung pelbagai salah laku
guru di seluruh Negara sejak tahun 2007. Sumber menjelaskan baahwa antara kesalahan
yang dilakukan oleh guru ialah tidak hadir bertugas (37%), cabul dan gangguan seksual
(17%), terbabit dalam rasuah dan disiasat Badan Pencegah Rasuah (15%), penyalah-gunaan
dadah (9.5%), kecurian (6%), jenayah syariah (7%) dan keterhutangan serius (1%).
Peningkatan bilangan guru-guru di Malaysia yang terbabit dalam kes salah laku
sesungguhnya mendatangkan kesan yang amat buruk jika masalah ini dibiarkan berterusan.

Antara kesan yang dapat dilihat daripada permasalahan ini adalah merosotnya kewibawaan
profesion perguruan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Syed Ismail etc. (2010:190), Pada
zaman ini guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi pengganti ibu bapa, kaunselor,
pembimbing dan rakan. Peranan guru begitu penting memandangkan beliau merupakan
individu yang paling dekat dengan murid semasa mereka berada di sekolah. Namun, apakah
pandangan ibu bapa di luar persekitaran sekolah yang mengharapkan guru menjadi
penggantinya, melihat kes-kes salah laku yang berlaku di kalangan guru di sekolah? Adakah
masyarakat di Negara kita akan terus menyanjung, menghormati dan mempercayai
profesion perguruan sebagai suatu jawatan yang mulia apabila guru-guru sekarang terjurus
untuk terbabit dalam salah laku?
Realitinya, peningkatan kes-kes salah laku melibatkan guru-guru di sekolah telah
menyebabkan ibu bapa dan masyarakat Negara kita memandang sinis terhadap profesion
perguruan. Mereka tidak yakin dengan kebolehan guru seluruh negara dalam mendidik
anak-anak mereka walaupun hanya berakibatkan tindakan salah seorang guru di Malaysia.
Nampaknya, pengaruh yang dibawa oleh permasalahan tidak mematuhi kod etika kerja guru
terhadap profesion perguruan di Malaysia adalah begitu luas sehingga menjejaskan imej
semua guru di Negara kita. Malah sesetengah pihak telah melabelkan profesion ini sebagai
pilihan terakhir setelah tiada kerjaya profesional yang lain atau disebabkan ingin
mengelakkan diri daripada menganggur. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Di samping itu, kes salah laku yang berlaku di kalangan guru juga memaksa pihak berkuat-
kuasa melucutkan jawatan guru di sekolah. Ini secara tidak langsung menyebabkan
kekurangan sumber guru yang berkualiti di sekolah-sekolah seluruh Negara. Menurut
sumber pada tahun 2010, bilangan sekolah rendah yang didirikan di Malaysia adalah
sebanyak 7,714 buah. Cuba bayangkan sekiranya seluruh sekolah di Malaysia mempunyai
hanya seorang guru yang membabitkan diri dalam kes salah laku. Dengan ini, pihak berkuat-
kuasa terpaksa melucutkan kira-kira 7 ribu orang guru yang memegang jawatan di sekolah.
Ini sudah tentu menimbulkan permasalahan yang tidak berterusan kepada proses
pembelajaran murid-murid di sekolah, malah sistem pendidikan di Negara kita. Jadi, jelaslah
bahawa tindakan salah laku guru akan menyebabkan sistem pembelajaran di Negara kita
tergendala.

(2.5) Cara mengatasi isu ini

Memandangkan isu atau permasalahan salah laku guru di Negara kita akan membawa kesan
yang begitu serius kepada imej guru dan sistem pendidikan di Negara kita, langkah-langkah
yang sesuai serta berkesan haruslah diambil supaya isu ini dapat diturunkan kadarnya,
diperbaiki keadaannya dan pada akhirnya dibasmi permasalahannya. Terdapat beberapa
pihak yang terlibat dalam usaha mengatasi isu salah laku di kalangan guru di Negara kita.
Antaranya ialah pihak pentadbir sekolah, pihak rakan sejawat guru dan juga pihak individu
yang tertuduh tersebut.

Pertama sekali, pihak pentadbir sekolah haruslah mempertingkatkan lagi sistem


pemantauan (monitoring) dan susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan cekap
dalam pemantauan terhadap guru-guru di sekolah agar isu salah laku di kalangan guru dapat
dielakkan. Pihak tersebut seharusnya mewujudkan sebuah sistem pantau yang dapat
menghalang guru-guru untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara yang dikatakan telah
melanggar peraturan kod Etika Profesion Perguruan. Sekiranya betul didapati guru
berkenaan masih tidak terlepas dari terbabit kes salah laku, pihak pentadbir sepatutnya
membuat persediaan untuk memberi perkhidmatan nasihat dan kauseling kepada guru
tersebut supaya dia sedar bahawa dirinya sedang menjurus ke arah yang terpesong daripada
profesionnya.

Walau-bagaimanapun,jika guru terbabit masih ingkar, maka amaran dan tindakan tatatertib
harus dilaksanakan dengan tegas agar kes salah laku tidak berterusan. Ketegasan pihak
pentadbir dalam menguruskan hal salah laku sememangnya membantu pihak berkuasa
membasmi isu salah laku di kalangan guru. Pihak pentadbir juga berperanan memastikan
guru di sekolah, khususnya guru permulaan yang baharu saja dilantik agar memahami dan
menghayati kod Etika Profesion Perguruan. Sekiranya perlu, kursus, latihan, seminar dan
bengkel menerangkan tentang etika kerja tersebut harus diadakan dengan kerap agar guru-
guru sentiasa peka dengan tindak-tanduk sendiri.

Selain itu, rakan sejawat guru juga memainkan peranan kritikal dalam mengatasi masalah
salah laku di kalangan guru. Sebagai salah seorang ahli dalam komuniti pendidik, individu
tersebut seharusnya sentiasa berusaha menjadi teladan kepada ahli-ahli lain dalam komuniti
berkaitan. Adalah diingatkan bahawa sebagai seorang guru, tingkah laku beliau bukan sahaja
sentiasa menjadi role model kepada murid-muridnya di dalam kelas, malah rakan-rakan
sejawatnya yang sentiasa berkomunikasi dengannya. Jadi, adalah wajar sebagai seorang
guru untuk sentiasa menjaga tindak-tanduknya. Sebagai rakan sejawat, individu tersebut
juga bertanggungjawab memberi dorongan dan nasihat sewajarnya kepada guru yang
didapati terbabit dengan kesalahan.

Kita dididik agar tidak menjaga tepi kain orang dan ini menyebabkan kita jarang
mengambil peduli tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan kita. Namun, sebagai rakan
sejawat, sikap ini haruslah diubah dimana individu tersebut haruslah berusaha
mengamalkan pendekatan kepedulian. Dari segi moral, pendekatan kepedulian merupakan
kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Dalam konteks ini, kepedulian
dapat diertikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. Oleh yang demikian,
setiap guru haruslah memikul tanggungjawab sebagai seorang rakan sejawat untuk
mempedulikan masalah salah laku yang dihadapi orang guru sejawat di sekolah.

Pada masa yang sama, rakan sejawat juga perlu sentiasa saling memberi peringatan dan
nasihat agar tidak terjurus daripada terlibat dalam kes salah laku. Menurut Syed Ismail, etc.
(2010:56), kita perlua sama-sama menjaga nama baik profesion perguruan supaya
pelanggan dan stakeholder kita berasa berpuas hati dan kehendak mereka yang sah dapat
dipenuhi. Beliau juga menyatakan bahawa Sebagai seorang guru yang berakauntabiliti
terhadap rakan, kita hendaklah sentiasa berusaha membantu rakan sejawat terutamanya
mereka yang baharu dalam terlibat dalam profesion peguruan ini. (Syed Ismail, etc.,
2010:57) Oleh yang demikian, jelaslah bahawa tugas kita sebagai guru sebenarnya tidak
terhad kepada murid, ibu bapa, masyarakat dan Negara. Kita sebenarnya mempunyai
tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga nama baik rakan sejawat kita yang
berkecenderung untuk melakukan tindakan terpesong agar kewibawaan profesion
perguruan ini tidak tercalar.

Di samping itu, setiap orang guru di Negara kita sebenarnya mempunyai peranan masing-
masing dalam memastikan kes salah laku berhenti dari terus berlaku dalam kalangan
pendidik. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya sentiasa
bermuhasabah dan membuat reflektif diri mengenai apa yang dilakukan olehnya. Dengan
cara ini, kekuatan dan kelemahan diri akan dapat dikenal-pasti dan dibaiki dengan kadar
yang cepat. Ia juga menimbulkan kesedaran untuk menjadikan diri individu itu berkembang
ke arah lebih baik. Umpamanya jikalau guru berkaitan mendapati dirinya mempunyai
masalah tekanan emosi yang menyebabkannya terjurus untuk melakukan tindakan
terpesong, maka beliau bolehlah dapatkan nasihat dan kaunseling dari pihak berpengalaman
sebelum kes salah laku berlaku. Sikap kepekaan dan rendah diri terhadap keperluan diri
untuk menerima nasihat amat membantu dalam konteks ini. Sudah tentu masalah salah laku
di kalangan guru dapat diselesaikan sebelum keadaan berkenaan berubah menjadi jenayah
serius sehinggakan didakwa.
Seterusnya, guru juga haruslah bijak memilih kawan yang mampu menjadi teladan dan
contoh kepada profesion perguruan beliau. Seperti peribahasa dalam Bahasa Inggeris yang
menyatakan bahawa A man is known by the company he keeps. Ini bermakna seorang
individu akan menerima pengaruh daripada teman-teman yang berdampingan dengannya.
Sekiranya seorang guru sentiasa berkawan dan berdampingan dengan golongan guru yang
dikatakan mempunyai sikap negatif, maka lama-kelamaan guru tersebut juga akan terjurus
untuk melakukan tingkah laku negatif akibat pengaruh rakan tersebut. Sebaliknya, sekiranya
guru berkenaan berdampingan dengan rakan sejawat yang mampu menjadi teladan dan
contoh malah model tiruan dalam profesion perguruan, maka guru tersebut akan terarah
untuk mengikuti arus supaya menjadi seorang guru yang ideal.

(3) Kesimpulan

Sebagai rumusan kepada ulasan-ulasan yang telah dikemukakan, Etika Profesion Perguruan
sebenarnya diwujudkan dengan hasrat untuk membentuk tingkah laku positif dan membaiki
potensi sesetengah individu pada satu-satu masa. Etika juga bertujuan mengawal tingkah
laku para profesional agar lebih beretika dalam bidang yang diceburi dan pada akhirnya
membimbing para profesional ke menara berjaya suatu hari nanti. Begitu juga keadaannya
dalam kerjaya guru. Dengan adanya Etika Profesion Perguruan, para guru di Malaysia akan
dapat merujuk dan mendapatkan garis panduan untuk menjadi seorang guru yang
bertanggungjawab dan berakauntabiliti terhadap semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa,
masyarat dan Negara serta rakan sejawat.

Pada masa yang sama, adalah wajar bagi setiap individu bagi memahami bahawa
pelaksanaan Etika Profesion Perguruan bukanlah untk membebankan individu yang terlibat
dalam profesion tersebut. Tujuannya seperti yang dinyatakan sebelum ini, sesungguhnya
adalah untuk membantu dalam guru yang berkhidmat dalam bidang pendidikan untuk
menjadi lebih komited, dan dapat memupuk akauntabiliti dalam menjalankan kerja atau
profesion beliau. Dengan pemahaman tentang kepentingan kewujudan etika kerja, maka
diharapkan guru-guru di Malaysia akan lebih menyedari keperluan diri mereka mematuhi
peratuan kod etika seperti yang tertera bagi menjaga imej profesion guru serta memelihara
kelancaran dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Negara kita.

Menurut Baharin Abu, etc. telah mengunkapkan bahawa Guru adalah pendidik dan
pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu
pengetahun untuk kemajuan bangsa dan Negara pada masa hadapan. Semamangnya guru
memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan Negara. Selain meyebar ilmu, segala
tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat
membina masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru
yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai
berjenaka, sabar, bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan
(Mook Soon Sang, 1988). Sesungguhnya, guru-guru harus merenungkan kenyataan yang
diungkapkan oleh Imam Ghazali (1980) dalam buku Ihya Ulumiddin yang berbunyi
rosaklah pemimpin kerana guru yang jahat.

Anda mungkin juga menyukai