Anda di halaman 1dari 20

BAB 4

PERSONALITI DAN KERJAYA

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Membincangkan perkaitan antara personaliti dan pemilihan
kerjaya.
2. Menjelaskan kepentingan menjaga personaliti dalam dunia
kerjaya.
3. Menyenaraikan jenis-jenis personaliti beserta ciri-ciri budaya
kerja individu.
4. Menyusun atur program-program pembentukan dan
pembangunan personaliti di kalangan pekerja.
5. Mengenal pasti perubahan-perubahan personaliti pekerja dan
kesesuaian dengan kehendak pasaran kerja masa kini.

4.1 PENGENALAN

Tingkahlaku, ragam, gaya, citarasa dan budaya kerja para pekerja adalah
bersifat pelbagai. Kebanyakan organisasi berusaha sebaik mungkin untuk
mendapatkan calon-calon pekerja yang mempunyai norma-norma kerja
yang menjurus kepada nilai positif. Umpamanya, bersifat peramah, jujur,
kemas dari segi penampilan, berkeyakinan, berdikari dan sebagainya.
Organisasi juga kerap memperuntukkan sejumlah wang bagi menerapkan
pengetahuan peningkatan personaliti dan imej pekerja melalui
pendekatan berbentuk latihan, bengkel, kursus, dan seminar. Contohnya,
latihan protokol dan etiket sosial, seminar komunikasi efektif, latihan
cara-cara menjawab dan membuat panggilan telefon, dan bengkel
penampilan diri.

Personaliti yang baik merupakan antara item yang dinilai oleh


kebanyakan majikan terhadap pekerja mereka bermula dari tempoh
permohonan kerja, sewaktu sesi temuduga, pengesahan jawatan,
penilaian prestasi, hinggalah kepada kenaikan pangkat. Cara dan gaya
individu bekerja banyak dipengaruhi oleh personaliti mereka. Personaliti
boleh ditonjolkan melalui beberapa perkara seperti gaya berbahasa, cara
berpakaian, tingkahlaku, sikap, pemikiran, pembawakan diri dan

39
sebagainya. Berdasarkan kepada penilaian personaliti, majikan berupaya
membuat ramalan dan kesimpulan berhubung potensi seseorang pekerja
dalam pekerjaan serta sumbangan mereka kepada organisasi. Kebanyakan
majikan juga percaya bahawa individu yang mempunyai personaliti yang
baik berkolerasi dengan kualiti kerja yang tinggi.

4.2 DEFINISI PERSONALITI

Menurut Hergenhahn dan Olson (1999), terma personaliti berasal


daripada perkataan latin, iaitu persona yang bermaksud topeng diri.
Pendefinisian personaliti sebagai topeng diri mengambarkan aspek-aspek
dalaman dan luaran individu yang boleh ditunjukkan dalam pelbagai
situasi. Individu juga boleh digambarkan memiliki personaliti yang
menarik (positif), personaliti yang teruk (negatif), atau tidak mempunyai
personaliti (kosong). Berpandukan kepada definisi personaliti di atas,
peribadi dan perwatakan individu merupakan antara kayu pengukur
dalam menentukan kategori personaliti individu.

Gordon Allport (Liebert dan Leibert, 1998) menghuraikan personaliti


sebagai struktur dalaman individu yang dinamik dari sistem psikofizikal
yang membolehkan mereka membuat penyesuaian secara unik terhadap
persekitaran hidup mereka. Dengan lain perkataan, personaliti adalah
bersifat unik, karektor-karektor khusus dan dinamik bagi setiap individu,
penampilan fizikal dan psikologikal, yang mempengaruhi tingkahlaku dan
tindakbalas terhadap persekitaran sosial dan fizikal. Bagi setiap karektor
individu, mereka mungkin mempunyai persamaan dengan karektor
individu tertentu (seperti keupayaan mengingat, hobi dan kesukaan) atau
berkongsi karektor dengan beberapa orang lain, ramai orang atau sama
bagi semua orang. Allport menerangkan sistem psikofizikal, iaitu segala
yang tiada kaitan dengan mental atau urat saraf. Manakala struktur
individu merujuk kepada operasi (tindakan) tubuh, dan pemikiran yang
menghasilkan unit personal.

Untuk memahami dengan lebih mendalam tentang personaliti, para


pelajar digalakkan mengkaji pandangan ahli-ahli teori personaliti seperti:
(i) Sigmund Freud pandangan berkaitan kepentingan motivasi
secara tidak sedar dalam tingkahlaku manusia.
(ii) Carl Jung membincangkan proses realisasi kendiri. Beliau
telah dilabelkan sebagai individu pertama yang
memperkenalkan teori personaliti bercorak moden.
(iii) Alfred Adler pandangan beliau menjurus kepada manusia
secara semulajadinya ingin serta mengarahkan personaliti
mereka untuk mengecapi kesempurnaan dan keharmonian.

40
Tokoh-tokoh pengkaji personaliti yang lain seperti Karen Horney, Erik
H. Erikson, Gordon Allport dan B.F. Skinner, mempunyai pandangan
yang berbeza tentang personaliti bergantung kepada aspek mana yang
diberi fokus oleh setiap mereka.

SOALAN DALAM TEKS 4.1

1. Berikan definisi personaliti.


2. Nyatakan antara empat ciri personaliti.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.3 TEORI PERSONALITI PEKERJAAN: JOHN


HOLLAND

Teori Personaliti Pekerjaan yang diperkenalkan oleh Holland, secara


amnya menjelaskan tingkahlaku pekerjaan dan memberi cadangan kepada
individu dari pelbagai tahap umur tentang bagaimana memilih,
mengubah, dan mengekalkan kepuasaan dalam pekerjaan. Teori tersebut
juga memberi tumpuan ke atas keupayaan individu, pendidikan,
tingkahlaku sosial, dan personaliti.

Holland juga percaya bahawa teori yang dikemukakan oleh beliau dapat
menerang dan menjelaskan tiga persoalan asas berkaitan kerjaya individu
iaitu
(i) Apakah peribadi dan karektoristik individu yang menuju
kepada kepuasan dalam membuat keputusan kerjaya,
penglibatan, pencapaian?; dan apakah pula karektoristik
yang menuju kepada kegagalan membuat keputusan,
ketidakpuasan kerjaya dan kegagalan dalam kerjaya?;
(ii) Apakah peribadi dan karektoristik individu yang menuju
kepada kestabilan atau perubahan kerjaya dan prestasi
kerja di sepanjang kitaran kerjaya mereka?; dan
(iii) Apakah kaedah yang paling sesuai untuk membantu
individu yang mempunyai masalah-masalah kerjaya?

Untuk pemahaman yang lebih baik mengenai idea dan pandangan


Holland melalui Teori Personaliti Pekerjaan, beliau telah mengusulkan
enam andaian yang mengaitkan personaliti dengan pekerjaan, iaitu

41
(i) Pilihan pekerjaan individu adalah gambaran personaliti
mereka;
(ii) Inventori tarikan pekerjaan adalah sama dengan inventori
personaliti individu;
(iii) Ciri-ciri pekerjaan adalah bersifat streotype dan ia amat
penting kepada kesan psikologikal dan sosiologikal
individu;
(iv) Kemahiran kerja para pekerja mempunyai persamaan
dengan pembangunan peribadi mereka;
(v) Individu yang berada dalam pekerjaan yang sama
membuat tindakan dan maklumbalas yang serupa bagi
setiap masalah yang dihadapi; dan
(vi) Kepuasan kerja, kestabilan dan pencapaian pekerja
bergantung kepada personaliti individu dan persekitaran
tempat kerja mereka.

Dengan menggunakan andaian-andaian di atas, Holland telah


mengemukakan enam jenis personaliti individu iaitu
(i) Individu yang mempunyai personaliti jenis realistik;
(ii) Individu yang mengemari hal-hal penyiasatan atau
pemeriksaan;
(iii) Individu berpersonaliti kesenian;
(iv) Individu berpersonaliti social;
(v) Individu yang bersifat keusahawanan; dan
(vi) Personaliti individu jenis konvensional.

Setiap jenis personaliti dikatakan mempunyai hubungan yang rapat


tentang kerjaya yang akan diceburi oleh individu. Holland juga percaya
bahawa jenis-jenis personaliti tersebut terbentuk daripada interaksi
individu melalui budaya, pandangan peribadi mereka, rakan sebaya,
biologi, latarbelakang keluarga, kelas sosial, dan persekitaran sewaktu
tumbesaran mereka. Kadangkala, individu turut melihat dan meniru
personaliti pekerjaan hasil daripada pendedahan yang mereka sendiri
alami seperti melalui media cetak, media elektronik, dan pemerhatian.
Pendedahan akan menjurus individu kepada minat dan pembentukan
personaliti pekerjaan yang diimpikan.

Klasifikasi enam jenis personaliti seperti yang dikemukakan oleh Holland


dikenali sebagai Inventori Rujukan Pekerjaan atau Pencarian Terarah
Sendiri dan Inventori Tarikan Kuat. Menurut teori ini juga, jenis
personaliti yang paling menonjol akan berpengaruh dari segi pemilihan
kerjaya individu. Jadual 4.1 di bawah menunjukkan secara ringkas Teori
Personaliti Pekerjaan oleh Holland.

42
Jadual 4.1
Teori Personaliti Pekerjaan oleh Holland

Jenis Ciri-Ciri Diri Nilai dan Fokus


Realistik Kurang bersosial, patuh, terus-terang, Wang, kuasa dan
keaslian, mengutamakan hasil, status.
materialistik, semulajadi, tabah dan keras
hati, praktikal, berdikari, teliti, tidak suka
matlamat yang kabur.
Pemeriksaan/ Analitikal, berhati-hati, kompleks, Kemahiran saintifik
penyiasatan kritikal, ambil berat, berdikari, dan perangkaan.
intelektual, rasional, tidak suka
menonjolkan diri, pesimistik, menyukai
fakta, tepat dan teliti.
Kesenian Emosional, imaginasi, pengluahan rasa, Kualiti estetika.
berlakon, bersifat terbuka, keaslian,
sensitif, orientasi penulisan dan
komunikasi, idealistik, berdikari, kurang
praktikal.
Sosial Bekerjasama, baik hati, suka membantu, Sosial dan nilai-nilai
bertanggungjawab, sabar, pemujuk, etika.
idealistik, suka bersosial, orientasi
mendidik.
Keusahawanan Suka cabaran, mengutamakan kualiti, Politik dan ekonomi.
mendominasi, optimistik, gemar
berkomunikasi, suka meneroka, berhati-
hati, berkeyakinan diri, mahir memujuk,
cergas dan tangkas.
Konvensional Berhati-hati, mempertahankan nilai-nilai Perniagaan, ekonomi
masyarakat, efisyen, patuh, pratikal, teliti, dan pencapaian.
tidak gemar imaginasi, kurang fleksibel,
mengutamakan kaedah, keupayaan
pengiraan, berterus-terang.

Dengan merujuk kepada Jadual 4.1, didapati ciri-ciri individu mengikut


jenis personaliti ada yang mempunyai persamaan. Walaupun mempunyai
persamaan, penonjolan sebenar personaliti individu dilihat dari segi
perbezaan fokus utama mereka. Contohnya, individu realistik
mengutamakan kuasa dan status, kesenian pula menumpukan soal kualiti
estetika hasil pengkaryaan mereka, manakala personaliti keusahawanan
menjurus kepada politik dan ekonomi. Ciri-ciri personaliti yang
dikemukakan oleh Holland amat berguna kepada pengamal sumber
manusia khususnya dalam proses pemilihan dan penempatan pekerja
serta pembangunan kerjaya pekerja. Contohnya, ciri-ciri personaliti jenis
keusahawanan boleh dijadikan sebagai item yang dinilai sewaktu
menemuduga calon pekerja baru bagi jawatan promoter, jurujual,
eksekutif pemasaran, pengurus pembangunan produk, dan sebagainya.

43
Pemilihan kerjaya mempunyai hubungan yang cukup kuat dengan
prinsip, pegangan, dan personaliti individu. Personaliti individu boleh
berubah bergantung kepada pendedahan dan pengalaman yang dialami
mereka dari masa ke semasa. Apabila individu menukar kerjaya mereka
ke suatu kerjaya yang lain, diyakini telah wujud perubahan personaliti
dalam diri individu tersebut. Holland hanya menyentuh ciri-ciri
personaliti yang bersifat dalaman.

SOALAN DALAM TEKS 4.2

1. Apakah jenis-jenis personaliti yang ada dalam


Teori Personaliti Pekerjaan?
2. Nyatakan tiga (3) andaian Holland berhubung
personaliti dan pilihan pekerjaan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.4 PEMBENTUKAN IMEJ

Pembentukan dan penampilan imej diri yang menarik merupakan salah


satu komponen dalam mencorak personaliti yang berketrampilan. Imej
individu boleh dinilai dan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu imej
dalaman (sifat-sifat dalaman) dan imej luaran (penampilan fizikal). Imej
dalaman bermaksud perawakan, perwatakan dan jiwa individu.
Umumnya, semua jenis perawakan dan perwatakan yang positif seperti
peramah, jujur, setia, matang, bijak, toleransi dan pelbagai lagi.
Penampilan fizikal pula membawa erti kecantikan individu yang
ditafsirkan melalui gaya berpakaian, bahasa badan, pergerakan tubuh
badan, kebersihan diri, keceriaan wajah, dan sebagainya. Kebiasaannya,
individu mula dinilai akan sifat-sifat mereka berpandukan penampilan
fizikal. Penampilan fizikal dianggap sebagai cermin kepada diri individu
tersebut. Namun begitu, ramai yang kurang bersetuju dengan kenyataan
tersebut kerana berpegang kepada pepatah jangan menilai sesebuah
buku dengan hanya melihat kulitnya sahaja.

4.4.1 Pembentukan Imej Dalaman

Kecantikan imej dalaman akan menambah kecantikan fizikal individu.


Dalam urusan bekerja seharian, penampilan sifat-sifat dalaman boleh
menjadikan seseorang pekerja itu disayangi, dikagumi, dan disukai oleh

44
rakan-rakan dan majikan atau pun sebaliknya. Pembentukan imej
dalaman hanya boleh dimiliki apabila individu menyedari tentang
kelemahan imej dalaman mereka serta sanggup belajar dan mengubah
sifat-sifat dalaman yang kurang menyenangkan kepada sifat-sifat dalaman
yang lebih baik.

Dalam usaha membentuk dan mencapai keindahan peribadi dalaman


yang unggul, individu perlu belajar membinanya sehingga memiliki sifat
dan sikap yang dapat dijelmakan dalam amalan sehari-hari, di mana
sahaja individu berada dan dengan siapa juga mereka bersua. Antara ciri-
ciri peribadi dalaman yang perlu dikuasai ialah
(i) Percaya dan amalkan suruhan agama - Percaya
bahawa setiap agama mahukan pengikutnya sentiasa
mempunyai sifat-sifat dan berkelakuan baik tanpa
mengira waktu dan keadaan. Individu yang berpegang
kepada suruhan agama tidak akan melencong dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab kerja mereka.
(ii) Menyedari dan mengakui kelebihan dan kelemahan
diri sendiri serta orang lain - Menyedari bahawa setiap
individu mempunyai kelebihan, keistimewaan dan
kelemahan tersendiri. Kesedaran tersebut akan
membantu individu dalam mewujudkan rasa yakin diri
dan menghormati orang lain. Menyedari kelemahan diri
membantu individu untuk memperbaikinya. Kelebihan
dan keistimewaan pula memberi peluang kepada individu
untuk memperkembangkan potensi diri mereka sama ada
dalam kehidupan atau pun pekerjaan.
(iii) Bersifat peramah - Sentiasa bersifat peramah supaya
tidak dilabelkan sebagai orang yang sombong dan
pendiam. Individu yang cantik penampilan luarannya,
tetapi tidak peramah tentu tidak kelihatan cantik dan
menarik. Paling buruk kesannya, individu tidak disukai
atau dengan kata lainnya individu akan dibenci. Dalam
dunia pekerjaan, bersifat peramah merupakan antara nilai
yang sering ditekankan kepada para pekerja dalam piagam
pelanggan organisasi.
(iv) Jujur dan tidak mengharapkan balasan - Melakukan
pekerjaan dengan jujur, bertanggungjawab dan tidak
mengharapkan balasan akan melahirkan imej dalaman
yang suci bersih. Produktiviti pekerja akan meningkat
sekiranya mereka jujur dalam melaksanakan tugas dan
tanggungjawab kerja mereka. Majikan mudah menaruh
kepercayaan kepada para pekerja yang memiliki sifat jujur
dan amanah.

45
(v) Mencipta suasana yang mengembirakan - Bentuk
hubungan dan suasana diri yang menyenangkan orang
lain memberi satu lagi kredit kepada imej dalaman
individu. Dalam konteks pekerjaan, hubungan dan
suasana yang harmoni memudahkan individu
melaksanakan pekerjaan mereka malah orang lain juga
akan lebih mudah memberikan kerjasama. Contohnya,
individu sentiasa kelihatan ceria, segar, dan mesra
sewaktu bekerja.
(vi) Bersyukur menerima keadaan diri - Sikap dan sifat
tidak berpuas hati dengan keadaan diri sendiri akan
menyebabkan individu kelihatan tidak tenang dan tidak
cantik. Oleh itu, untuk mendapat penampilan diri yang
unggul dari segi dalaman, individu perlu bersyukur
dengan kekurangan yang terdapat pada diri jasmani dan
rohani. Kekurangan yang bersifat kekal seperti wajah
tidak menarik, cacat anggota tubuh badan merupakan
contoh kekurangan yang tidak boleh dibaiki. Maka
individu perlu rela dan menerima kekurangan tersebut.
Latihlah diri untuk terus gembira dengan kekurangan
yang anda miliki. Sekiranya tidak dilatih, individu akan
menjuruskan diri mereka kepada sifat rendah diri, tidak
berpuas hati dan memberontak dari dalam. Kesan kepada
kerjaya ialah individu kurang mempunyai keinginan untuk
maju dalam kerjaya mereka kerana merasakan kekurangan
mereka menjadi penghalang dalam kemajuan kerjaya.
Kekurangan yang boleh diperbaiki seperti tidak ramah,
tidak sabar, bersifat tunggu dan lihat, perlulah di atasi
secara berperingkat-peringkat.
(vii) Memiliki sifat peka dan prihatin terhadap
perubahan persekitaran - Sifat peka dan prihatin
memberi ruang kepada individu untuk tidak ketinggalan
dari segi perubahan yang berlaku di persekitaran
hidupnya. Dunia pekerjaan memerlukan individu-individu
yang mempunyai sifat suka menerokai sesuatu ilmu
pengetahuan atau kemahiran kerja yang baru. Individu
sebegini biasanya mempunyai inisiatif yang tersendiri
untuk memajukan diri mereka.

Pembentukan imej dalaman bukanlah suatu perkara yang rumit. Setiap


individu menyedari apakah sifat-sifat dalaman mereka. Perasaan malu,
mudah berputus asa, panas baran, tidak boleh menerima pandangan
orang lain, tidak minat bersosial dan sebagainya bukanlah perkara yang
tidak boleh diubah. Individu yang mahu cantik fizikal dan rohani perlu
menyeimbangkan pembentukan kecantikan tersebut.

46
Membentuk dan meningkatkan penampilan dalaman individu adalah
penting demi pembangunan kerjaya di masa hadapan. Antara
kepentingan menjaga penampilan dalaman ialah
(i) Sifat-sifat dalaman yang positif mempunyai hubungan
yang kuat dengan pencapaian dan kualiti kerja yang
positif.
(ii) Pekerja yang memiliki sifat dan sikap yang baik akan
lebih mudah diberi kepercayaan oleh majikan untuk
menjalankan tugas yang lebih besar
tanggungjawabnya. Manakala calon pekerja baru akan
mendapat tawaran kerja sekiranya majikan yang
menemuduga berpuashati dengan sifat-sifat dalaman
calon yang dinilai sewaktu sesi temuduga.
(iii) Pekerja yang mempunyai sifat-sifat positif lebih
banyak menyumbang kepada penghasilan kerja dan
kurang menimbulkan masalah kepada organisasi.
Mereka juga lebih mudah diuruskan.
(iv) Hubungan yang harmoni antara majikan dengan
pekerja, pekerja dengan pekerja, pekerja dengan
pelanggan dapat diwujudkan kerana pekerja dapat
menghayati erti menjalankan tugas pekerjaan.
(v) Pekerja yang baik akan sentiasa memperbaiki
kelemahan diri dan meningkatkan kualiti diri yang
sedia ada supaya kekal dan mampu bersaing dalam
dunia kerjaya mereka.
(vi) Pekerja yang mempunyai sifat dan sikap positif akan
sentiasa bermotivasi dan memotivasikan pekerja lain
dalam urusan pekerjaan mereka sehari-hari.

4.4.2 Pembentukan Imej Fizikal

Ramai orang suka melihat dan merenung orang lain bermula dengan
penampilan luaran orang tersebut. Imej luaran atau fizikal yang dipapar
atau ditonjolkan oleh seseorang akan dijadikan pengukur awal tentang
siapa dia dan bagaimana peribadi orangnya. Setiap orang tidak boleh
lari dari dinilai secara kasar oleh orang lain melalui penampilan luaran
mereka, sama ada semasa menghadiri majlis rasmi, ditemuduga, pakaian
ke tempat kerja, keluar membeli-belah dan pelbagai lagi, semuanya akan
diperhatikan. Pujian terhadap penampilan menarik merupakan contoh
paling mudah hasil penilaian orang lain terhadap seseorang. Manakala
kritikan atau cemuhan (biasanya secara sembunyi) merupakan manifestasi
daripada rasa kurang senang terhadap penampilan fizikal seseorang.
Penampilan fizikal terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu:

47
1. Bahasa badan dan pergerakan tubuh badan

Para pekerja dan calon pekerja perlu memastikan bahasa dan pergerakan
tubuh badan mereka sentiasa kelihatan sopan dan menyenangkan. Bahasa
badan bermaksud tindakbalas antara anggota tubuh badan yang
digerakkan dalam pelbagai gaya dan cara dengan pemikiran dan perasaan
seseorang. Tindakbalas tersebut biasanya berlaku secara spontan, kurang
disedari, dan bersifat universal (diterima guna oleh kebanyakan orang).
Contohnya, apabila sedang marah, biasanya orang akan mengenggam
tangan dan mimik muka kelihatan bengis. Fenomena sedemikian
merupakan bahasa badan yang bersifat umum dan universial.

Pergerakan tubuh badan pula bermaksud lengok anggota tubuh badan


yang terhasil daripada pergerakan seperti berjalan, berdiri, berlari, duduk
dan sebagainya. Cara dan gaya lengok tubuh badan seseorang juga boleh
mengambarkan sikap mereka pada masa ianya berlaku. Sebagai satu
contoh, apabila seseorang berjalan dengan sambil lewa, sikap mereka
boleh diramalkan sebagai sengaja membuang masa, malas, dan kurang
bermotivasi.

Penafsiran bahasa badan banyak ditonjolkan oleh bahagian-bahagian


anggota badan seperti berikut:
(i) Mimik muka dan air muka seseorang seperti air muka
keruh yang melambangkan kebimbangan, air muka yang
jernih melambangkan membahagiakan dan air muka yang
kering melambangkan menyakitkan. Dalam apa keadaan
sekalipun, di waktu bekerja individu perlu sentiasa
memaparkan air muka jernih membahagiakan.
(ii) Mata dan bibir juga berperanan dalam mengambarkan
sikap seseorang terhadap sesuatu perkara, sama ada
perkara yang dipersetujui atau yang tidak dipersetujui.
Mengawal pergerakan mata (termasuk gerakan kening
mata) dan bentuk bibir yang sopan semasa
berkomunikasi mampu membuatkan orang lain merasa
selesa dan gembira berurusan dengan kita. Mata dan bibir
dianggap sebagai pemula cinta. Senyuman dan gerak
bibir yang menyenangkan akan memberi gambaran
positif kepada yang melihatnya. Semasa berurusan dengan
pelanggan contohnya, renungan dan senyuman yang
menarik akan memikat hati pelanggan.
(iii) Pergerakan kepala boleh mengambarkan sikap seseorang
seperti tidak ambil kisah, berkhayal, memberi perhatian,
mengantuk dan sebagainya. Kedudukan kepala mestilah
sentiasa berada dalam keadaan seperti memberi tumpuan
yang penuh terhadap sesuatu situasi atau perkara.

48
(iv) Tangan dan jari kerap digerakkan dalam pelbagai cara
apabila seseorang berbicara atau cuba mengambarkan
sesuatu keadaan. Simbol atau signal yang cuba
disampaikan melalui jari dan tangan perlulah diberi
perhatian dan dikawal pergerakannya. Hanya simbol-
simbol yang positif dan tidak menyinggung perasaan
orang lain sahaja boleh diterima pakai. Elakkan menunjuk
simbol-simbol yang negatif walaupun anda berada dalam
emosi yang tidak stabil seperti sedang marah, tidak
berpuas-hati, mempersendakan pendapat orang lain dan
sebagainya.
(v) Bahagian badan yang terakhir yang turut menyumbang
kepada penafsiran sikap individu ialah kaki. Pergerakan
dan kedudukan kaki yang negatif seperti meletakkan kaki
kiri di atas peha kanan atau sebaliknya semasa berbual
dengan orang lain, melihatkan keegoan individu yang
melakukannya. Dalam keadaan menjalankan urusan kerja
bersama orang lain, pekerja perlu duduk dalam keadaan
yang sopan dan selesa. Amalkan cara duduk yang betul
dimana boleh membantu kesegaran dan ketangkasan
tubuh badan anda. Dalam situasi-situasi tertentu seperti
menghadiri temuduga dan majlis makan malam, anda
perlu belajar cara duduk mengikut protokol.

Kesimpulannya, bahasa dan pergerakan tubuh badan yang ditonjolkan


oleh seseorang sama ada sewaktu bekerja atau di luar waktu kerja, akan
memberikan pelbagai bentuk tafsiran berkenaan sikap seseorang. Imej
diri yang ingin ditonjolkan bergantung kepada personaliti individu
tersebut.

2. Imej fizikal melalui pakaian

Pakaian ke pejabat mestilah disesuaikan dengan jenis kerja dan jawatan


yang disandangkan oleh seseorang. Pakaian yang dipakai berupaya
membangkitkan imej dan penampilan individu. Bagi lelaki yang bekerja
dalam bahagian pentadbiran dan pengurusan, baju kemeja lengan
panjang tidak bercorak dan seluar slack merupakan pakaian yang paling
sesuai. Penggunaan tali leher dengan corak yang sesuai akan menyerikan
lagi penampilan lelaki. Bagi wanita pula, mereka boleh memilih pakaian
tradisional seperti baju kurung, kebaya, kebarung dan sebagainya. Pakaian
moden seperti three piece-suit, blouse, skirt labuh dan seluar yang longgar
juga boleh dipakai sewaktu ke pejabat. Elakkan daripada memakai
pakaian yang ketat, singkat, dan menjolok mata kerana ia menjejaskan
imej si pemakainya.

49
Pekerja perlu mempunyai kemahiran dalam berpakaian ke pejabat.
Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah
(i) Potongan atau fesyen pakaian yang dipilih. Bagi lelaki
tidak ada banyak pilihan selain baju kemeja dan seluar
panjang. Wanita pula mempunyai pilihan yang pelbagai
dalam fesyen berpakaian. Penukaran jenis fesyen pakaian
dalam seminggu bekerja akan menjadikan anda lebih
menarik.
(ii) Warna pakaian turut memainkan peranan dalam
mengambarkan mood dan sikap si pemakainya.
Pemilihan warna pakaian perlu disesuaikan dengan cuaca,
mood, majlis dan warna kulit si pemakai. Elakkan dari
mengenakan pakaian yang berwarna kabur atau suram,
warna yang terlalu terang dan bersinar serta warna yang
terlalu banyak pada sesuatu pakaian (biasanya pakaian
wanita). Kesannya boleh menyebabkan orang lain merasa
kurang selesa apabila berdampingan dengan anda.
(iii) Wanita juga mempunyai pelbagai pilihan corak atau motif
yang ada atas pakaian mereka. Motif bunga yang pelbagai
saiz kerap menjadi pilihan wanita dalam membeli atau
menempah baju-baju tradisional. Elakkan daripada kerap
memakai corak berbunga yang terlalu halus dan
memenuhi keseluruhan pakaian. Ia boleh menyebabkan
orang yang melihatnya merasa pening dan kompleks.
Begitu juga bagi lelaki, elakkan daripada memakai kemeja
berjalur halus. Corak-corak bunga yang terlalu menonjol
atau besar pula akan mengalih perhatian orang lain untuk
merenung corak tersebut. Si pemakai akan merasa tidak
selesa apabila ada orang merenung objek atau corak
tersebut. Si pemakai juga mungkin akan menganggap
sesuatu yang negatif terhadap si perenung.
(iv) Pengayaan pakaian yang dipelbagaikan akan memberi
kelainan dan daya tarikan kepada si pemakainya. Wanita
amat bertuah kerana mempunyai banyak pilihan untuk
mengayakan pakaian mereka supaya kelihatan anggun dan
menarik. Contohnya dalam mengayakan tudung kepala di
mana tudung tersebut boleh dilepaskan ke bawah,
diselepangkan ke sebelah kiri atau kanan bahu, digubah
menjadi seakan-akan bentuk reben dan sebagainya.
Pengayaan amat penting untuk menambah kecantikan
rupa diri terutama bagi mereka yang tidak memiliki wajah
atau bentuk tubuh yang menarik.
(v) Kekemasan pakaian juga merupakan salah satu faktor
pelengkap imej fizikal. Baju yang berkedut, kurang bersih,
tidak dikemaskan, terlalu besar dan sebagainya boleh
50
mengambarkan disiplin diri si pemakainya. Mengosok
pakaian sebelum ke pejabat akan membantu keserian
pakaian tersebut. Dipakai dengan kemas dan teratur akan
menonjolkan kehebatan si pemakainya.

3. Imej fizikal melalui kebersihan diri dan aksesori tambahan

Pakaian yang cantik dan menarik akan hilang tarikannya sekiranya si


pemakai kurang menjaga kebersihan diri mereka. Kebersihan kuku,
rambut, misai, janggut, gigi, mata dan kulit perlu sentiasa dijaga.
Kebersihan melambangkan ketelitian dan sikap kemas seseorang.
Individu yang bekerja perlu sentiasa menampilkan imej diri yang bersih
dari segala kekotoran atau ketidakterapian terutama bila berurusan
dengan pelanggan. Imej majikan dan organisasi turut bergantung kepada
penampilan yang hampir sempurna para pekerjanya. Antara bahagian
yang kurang diberi perhatian oleh individu dari segi kebersihannya ialah
bahagian mulut dan rambut. Mulut yang berbau dan rambut yang tidak
terurus akan menyebabkan orang lain merasa jijik dan kurang selesa
untuk bergaul.

Bau badan juga sering mendatangkan masalah kepada mereka yang


bekerja terutama ketika berpeluh. Bagi pekerja yang menghadapi masalah
bau badan, penggunaan pewangi badan yang pelbagai dapat membantu
mengurangkan masalah tersebut. Pilihlah wangian yang lembut dan kekal
sepanjang hari supaya anda merasa segar dan yakin pada diri sendiri. Ia
juga boleh mengelakkan orang lain daripada menghindari diri anda.

Penggunaan aksesori tubuh badan memantapkan lagi kekemasan


penampilan fizikal. Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis aksesori tubuh
badan terutamanya bagi kaum wanita. Terdapat pelbagai bentuk, corak,
dan saiz aksesori seperti tali pinggang, keronsang, rantai leher, jam
tangan, tie-pin, rantai tangan, skaf, pen, dan sebagainya. Penggunaan
yang bersesuaian dan berpadanan dengan pakaian akan menerapkan
nilai-nilai estetika serta menyerikan penampilan si pemakainya.

Dalam usaha menampilkan imej fizikal, faktor harga pakaian dan aksesori
yang tinggi tidak menjanjikan penampilan yang berkualiti. Imej fizikal
akan terbentuk sekiranya individu punya kemahiran untuk mengayakan
pakaiannya, menyesuaikan warna dan corak, penyesuaian pakaian dengan
suasana dan mengenakan aksesori yang boleh menambahkan kesegakan
atau kecantikan. Ketinggian imej dan personaliti individu bergantung
kepada usaha dan minat mereka dalam pembangunan personaliti secara
menyeluruh.

51
Kepentingan membentuk dan meningkatkan imej fizikal ialah
(i) Imej fizikal yang positif mengambarkan individu turut
memiliki imej dalaman yang baik.
(ii) Imej majikan dan organisasi terserlah dan secara tidak
langsung ia menjadi satu kaedah mempromosikan nama
baik organisasi.
(iii) Pakaian dapat membantu mengawal tingkahlaku pekerja
sewaktu bekerja kerana ia jelas melambangkan posisi dan
tanggungjawab mereka melalui imej pakaian tersebut.
(iv) Pakaian kerja yang seragam pula dapat mengelakkan
perbezaan status-quo di tempat kerja.
(v) Disiplin diri para pekerja boleh dibentuk sekiranya imej
fizikal diberi penekanan oleh organisasi.

Kesimpulan yang boleh dibuat berhubung penampilan dalaman dan


fizikal ialah penampilan bermula dari pelbagai keadaan. Ada yang
menampilkan cara berkomunikasi, cara berjalan dan cara berpakaian.
Kesemua contoh tersebut jika digabungkan akan menjadikan diri
seseorang kelihatan seolah-olah amat sempurna. Perlakuan ini dikatakan
individu berjaya menampilkan diri secara berkualiti. Dengan cara begitu
individu menampakkan kesesuaian, baik dalam berpakaian, sikap atau
gaya bahasa badan, perhiasan, berbicara dimana kesemuanya diadun
dengan tatacara yang sopan dan halus berbudi.

SOALAN DALAM TEKS 4.3

1. Jelaskan dengan ringkas maksud imej.


2. Senaraikan lima ciri pakaian yang sesuai dan
menarik untuk seseorang.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.5 KEMAHIRAN DAN KEBOLEHAN

Produktiviti dan kualiti kerja pekerja banyak bergantung kepada


pengetahuan, kecekapan, kemahiran dan kebolehan dalam menjalankan
tugas. Latihan kepada pekerja merupakan salah satu kaedah yang sering
digunakan oleh organisasi untuk menerapkan kemahiran bekerja. Selain
usaha yang dibuat oleh organisasi, pekerja atau calon pekerja juga perlu
memiliki beberapa kemahiran dan kebolehan asas seperti kemahiran

52
berkomunikasi, pembuatan keputusan, berbahasa, pemujukan, mahir
menggunakan komputer dan sebagainya. Kemahiran tersebut juga
dikenali sebagai kemahiran bersifat semulajadi. Jika diperhatikan syarat
dalam kebanyakan iklan jawatan kosong, rata-rata majikan memerlukan
calon pekerja yang mempunyai kemahiran atau kebolehan tersebut.
Dalam sub-topik ini, perbincangan hanya tertumpu kepada kemahiran
atau kebolehan asas yang perlu ada pada setiap pekerja pada masa kini.
Para pelajar digalakkan merujuk modul SH 3013 Perancangan Latihan
Dalam Organisasi untuk lebih memahami aspek-aspek latihan.

Kemahiran dan kebolehan kerja merupakan keupayaan melakukan


sesuatu kerja tanpa perlunya tunjuk ajar, penyeliaan yang rapi, dan
berkesan. Pekerja yang mahir dan berkebolehan, melakukan kerja dengan
teratur, tepat, tangkas, kos efektif, bijak, dan berkualiti. Selain
mendapatkan latihan yang bersifat khusus, para pekerja harus
mempunyai kemahiran-kemahiran yang bersifat semulajadi. Kemahiran
sebegini biasanya diperolehi melalui pengalaman, pengetahuan,
pendedahan, dan amalan.

Kemahiran dan kebolehan asas pekerja memudahkan lagi mereka dalam


melaksanakan tugas-tugas seharian. Terdapat beberapa kemahiran asas
perlu dikuasai oleh pekerja, di antaranya ialah:

1. Kemahiran berbahasa

Keupayaan pekerja menguasai pelbagai jenis bahasa merupakan


kelebihan tambahan yang diperlukan oleh kebanyakan majikan. Pekerja
di Malaysia pada masa kini, dikehendaki menguasai sekurang-kurangnya
dua jenis bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kemahiran
berbahasa bukan sahaja diukur dari segi boleh bertutur (lisan) dengan
baik tetapi turut merangkumi kemahiran menulis. Para pekerja juga perlu
memahirkan diri dengan bahasa-bahasa pekerjaan atau perniagaan.
Dalam era globalisasi, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantara bagi
kebanyakan syarikat di Malaysia.

2. Kemahiran berkomunikasi

Mahir pelbagai bahasa tetapi jika kurang efektif semasa berkomunikasi


boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada pekerjaan dan diri
pekerja sendiri. Teknik-teknik komunikasi yang berkesan perlu dipelajari
agar kelancaran urusan kerja dapat dijamin. Antaranya, pekerja perlu
menjadi pendengar yang baik, tahu masa yang tepat menyatakan
pendapat, isi atau idea bersifat matang, penggunaan intonasi suara yang
bersesuaian, mengurangkan halangan komunikasi, corak berkomunikasi

53
yang berubah mengikut keadaan dan sebagainya. Kesan kepada kualiti
kerja iaitu segala maklumat yang ingin disampaikan lebih mudah diterima
dan difahami. Bagi sesetengah jenis pekerjaan seperti jurujual, juruhebah,
pegawai perhubungan awam dan perunding, kemahiran dan kebolehan
berkomunikasi yang tinggi amat diperlukan. Setiap pekerja, tidak boleh
elak dari memahirkan diri dalam berkomunikasi kerana hubungan
mereka dengan rakan sekerja, majikan dan pelanggan memerlukan
mereka berinteraksi setiap masa.

3. Kemahiran menggunakan komputer

Komputer telah menjadi satu peralatan kerja yang wajib ada dalam
organisasi moden masa kini. Penggunaan komputer membantu
memudah dan mempercepatkan urusan kerja organisasi. Kebanyakan
majikan memerlukan pekerja yang mempunyai keupayaan serta kesedaran
asas tentang dunia teknologi komputer. Secara ringkasnya disebut sebagai
celik IT (Information Technology) dan yang terkini celik ICT (Information
Communication Technology). Pengetahuan pekerja dalam mengoperasikan
sistem atau program-program yang ada dalam komputer juga menjadi
aset tambahan kepada kemahiran diri mereka.

4. Kemahiran pembuatan keputusan

Setiap kerja yang dilaku atau dipertanggungjawabkan mempunyai


masalah-masalahnya yang tersendiri untuk diselesaikan. Kadangkala
apabila unit, pusat, jabatan, atau organisasi sendiri menghadapi masalah,
keputusan segera perlu dibuat oleh kakitangan yang bertanggungjawab.
Pekerja yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan keputusan akan
menyatakan pandangan mereka secara sistematik, iaitu menggunakan
gabungan idea, fakta, kes, logik, rasional, perangkaan dan ramalan. Masa
depan organisasi banyak bergantung kepada keputusan-keputusan yang
tepat dan mendatangkan hasil. Setiap pekerja mesti memiliki kebolehan
membuat keputusan sekurang-kurangnya yang berkaitan tugas seharian.

5. Kemahiran protokol dan etiket sosial

Memiliki kemahiran protokol dan etiket sosial melengkapkan imej diri


pekerja. Pengetahuan dan amalan protokol melatih pekerja menjadi
individu yang lebih tertib, penuh kesopanan, dan menyenangkan. Pekerja
juga tidak merasa kekok apabila berhadapan dengan situasi-situasi yang
memerlukan penggunaan protokol seperti mengatur temujanji,
penggunaan panggilan hormat, penetapan tempat duduk tetamu
kehormat, dan sebagainya. Antara contoh kemahiran protokol yang
boleh dipelajari ialah teknik menjawab panggilan telefon,
memperkenalkan diri, makan secara hidang atau buffet, pemilihan
54
pakaian menghadari majlis rasmi seperti makan malam dan high-tea,
merekabentuk kad jemputan, penentuan tempat majlis, teknik menaiki
dan turun kenderaan, menaiki lif, menaiki tangga bergerak, dan
sebagainya. Walaupun penggunaan protokol dan etiket sosial jarang
berlaku dalam urusan kerja, pengetahuan berkaitan dengannya tidak
boleh diabaikan.

6. Kemahiran berinovasi

Setiap pekerja perlu memahami segala cabaran, masalah, peluang dan


ancaman yang wujud dalam pekerjaan mereka. Kebanyakan majikan
sentiasa menerima sebarang cadangan baru daripada para pekerja yang
boleh melancar, menjimat, dan menguntungkan kerja yang dilakukan.
Pekerja perlu menggunakan kekuatan fikiran mereka untuk menyalurkan
idea-idea baru dalam membantu memajukan pekerjaan dan organisasi.
Kesimpulannya, kemahiran dan kebolehan pekerja dapat membantu
dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Kemahiran-kemahiran
tersebut kadangkala tidak diperolehi melalui pendidikan formal sahaja
malah dikuasai hasil pengalaman bersama pihak lain, pembelajaran
kendiri, pergaulan dan sebagainya. Kemahiran boleh dijadikan
pemangkin kepada pencapaian prestasi peringkat individu, jabatan dan
keseluruhan organisasi. Bagi calon pekerja baru, syarat-syarat kualiti diri
yang dikehendaki oleh majikan melalui iklan jawatan kosong merupakan
panduan awal dalam menyediakan kemahiran-kemahiran asas diri.

SOALAN DALAM TEKS 4.4

1. Senaraikan lima kemahiran asas yang sewajarnya


dikuasai oleh setiap pekerja.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.6 KESIMPULAN

Personaliti pekerja yang berketrampilan akan melahirkan sikap dan sifat


yang positif dalam diri pekerja tersebut. Imej dalaman dan luaran pekerja
melambangkan kualiti diri pekerja. Membentuk imej yang baik tidak akan
mendatangkan kerugian tetapi membantu pekerja dalam mencerahkan
prospek kerjaya mereka. Disamping itu juga, pekerja akan sentiasa
kelihatan berperwatakan menarik kerana menjaga dan menampilkan imej

55
yang baik setiap masa. Pekerja juga perlu mempunyai kemahiran bekerja
yang asas untuk membantu mengurangkan masalah ketika menjalankan
urusan kerja. Minat dan kemahuan pekerja dalam meningkatkan kualiti
diri bergantung kepada matlamat akhir kerjaya yang dipilih. Pemilihan
kerjaya yang bersesuaian dengan personaliti akan mendatangkan
kepuasan kerjaya yang hakiki. Kelayakan akademik yang tinggi dan
pengalaman kerja yang banyak, tidak lagi menjadi jaminan untuk berjaya
dalam pengembangan kerjaya. Elemen personaliti dan kualiti diri
keseluruhan seseorang akan diambil kira oleh majikan dalam proses
peningkatan kerjaya pekerja. Oleh yang demikian, kadang kala wujud juga
kebenarannya apabila nilai sesebuah buku itu, dinilai dari segi kulit dan
rupa luarannya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Bincangkan pemilihan kerjaya mengikut enam jenis personaliti


seperti yang terdapat dalam Teori Personaliti Pekerjaan.
2. Imej diri boleh diterjemahkan melalui penampilan dalaman dan
luaran. Huraikan, bagaimana penampilan dalaman dan luaran
dapat membantu pekerja berjaya dalam kerjaya mereka?
3. Terangkan kemahiran-kemahiran asas yang perlu ada pada setiap
pekerja.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 4.1

1. Antara definisi personaliti ialah


(i) Personaliti diertikan sebagai topeng kepada ciri, sifat dan
sikap manusia. Gambaran personaliti manusia dapat
diperhatikan melalui perlakuan, perwatakan dan
penampilan mereka.
(ii) Personaliti adalah imej diri seseorang. Imej yang
terbentuk sama ada positif atau negatif bergantung
kepada latarbelakang kehidupan mereka. Individu yang
berpersonaliti dikaitkan dengan sifat dan sikap yang baik

56
manakala tidak berpersonaliti mengambarkan sesuatu
yang kurang menarik tentang diri individu.
(iii) Sifat, sikap, gaya dan penampilan melambangkan
personaliti. Penonjolan norma-norma diri yang berkualiti
mempunyai hubungan yang signifikan dengan personaliti
berkualiti.
(iv) Karektor-karektor individu yang bersifat khusus dan unik
membentuk ciri-ciri peribadi dan tindakbalas karektor
tersebut terhadap persekitaran psikofizikal menghasilkan
nilai personaliti.

2. Nyatakan antara empat ciri personaliti.


(i) Bentuk karektoristik individu.
(ii) Penampilan lahiriah/fizikal individu.
(iii) Penampilan dalaman individu.
(iv) Kecantikan berbahasa.

SDT 4.2

1. Jenis-jenis personaliti dalam Teori Personaliti Pekerjaan:


(i) Personaliti Kesenian.
(ii) Personaliti Keusahawanan
(iii) Personaliti Realistik.
(iv) Personaliti Konvensional.
(v) Personaliti Sosial.
(vi) Personaliti Pemeriksaan/Penyiasatan.

2. Nyatakan tiga andaian Holland berkaitan personaliti dan pilihan


pekerjaan.
(i) Pilihan pekerjaan individu adalah gambaran personaliti
mereka.
(ii) Kemahiran kerja para pekerja mempunyai persamaan
dengan pembangunan peribadi mereka.
(iii) Kepuasan kerja, kestabilan dan pencapaian pekerja
bergantung kepada personaliti individu dan persekitaran
tempat kerja mereka.

SDT 4.3

1. Imej dapat dijelaskan sebagai paparan dan mesej yang tergambar


pada diri seseorang sama ada melalui bentuk fizikal, pakaian,
sopan-santun, sikap dan sebagainya.

2. Senaraikan lima ciri pakaian yang sesuai untuk individu.

57
(i) Warna pakaian bersesuaian dengan warna kulit.
(ii) Potongan pakaian mengikut saiz badan dan tidak terlalu
besar atau kecil.
(iii) Corak pakaian bersesuaian dengan situasi.
(iv) Pengayaan dalam berpakaian yang tidak bersifat sejenis.
(v) Pemilihan jenis kain bersesuaian dengan keadaan cuaca.

SDT 4.4

1. Senaraikan lima kemahiran asas yang sewajarnya dikuasai oleh


setiap pekerja.
(i) Kemahiran berkomunikasi.
(ii) Kemahiran menggunakan komputer.
(iii) Kemahiran protokol dan etiket sosial.
(iv) Kemahiran membuat keputusan.
(v) Kemahiran berinovasi.

58

Anda mungkin juga menyukai