Anda di halaman 1dari 28

TOPIK 1 : PENGENALAN ILMU LINGUISTIK

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan mendefinisikan ilmu linguistik;
2. Menyatakan bidang-bidang kajian ilmu linguistik;
3. Menyatakan struktur, fungsi dan pengalaman bahasa;
4. Mengenal pasti peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);
5. Menerangkan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran;
6. Meringkaskan pembinaan tamadun Melayu dan penyerapan bahasa asing; dan
7. Menjelaskan peranan faktor pembentuk bahasa.

PENGENALAN

Bidang linguistik merupakan bidang yang telah lama dikaji oleh pengkaji bahasa di Malaysia dan serata dunia. Pengkajian bidang ini adalah penting sejak dahulu hingga kini. Tidak hairanlah,
subjek ini diajar di peringkat tinggi seperti di institusi pengajian tinggi, institut perguruan, hingga ke peringkat yang lebih rendah, iaitu di sekolah-sekolah. Jelasnya, subjek ini terus menjadi
penting, walaupun negara telah menuju ke arah globalisasi yang menjadikan teknologi sebagai fokus utama. Walaupun pada masa ini, bidang teknologi diberi perhatian oleh kerajaan, namun
ilmu linguistik terus diberi perhatian untuk mengimbangi keperluan rohaniah di kalangan rakyat.

Berdasarkan kepentingan yang telah disebutkan, dalam topik permulaan ini, pelajar akan didedahkan kepada definisi, latar belakang, bidang dan cabang ilmu linguistik. Kesemua subbidang ini
akan disentuh memandangkan kepentingannya dalam memberi gambaran kasar terhadap ilmu linguistik sebelum kita mendalami bidang ini dengan mempelajari topik-topik yang seterusnya.

SEMAK KENDIRI 1.1


Apakah yang anda faham dengan ilmu linguistik? Adakah anda fikir ilmu linguistik perlu dikuasai oleh guru di sekolah-sekolah, khususnya guru Bahasa Melayu?

1.1 : DEFINISI LINGUISTIK


Istilah linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua yang membawa maksud "bahasa". Dalam bahasa-bahasa "Roman" (iaitu bahasa-bahasa yang berasal daripada bahasa Latin), masih
ada kata-kata serupa dengan lingua Latin itu; iaitu langue dan langage dalam bahasa Perancis, dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya, bahasa Inggers memungut kata daripada bahasa
Perancis ini menjadi language. Istilah linguistics dalam bahasa Inggers adalah berkaitan dengan kata language tersebut, seperti juga dalam bahasa Perancis, istilah linguistique adalah
berkaitan dengan language. Dalam bahasa Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu, dan kata adjektifnya adalah linguistic atau "linguistik".

Ferdinand de Saussure (1916), yang merupakan bapa linguistik moden berbangsa Swiss, dalam bukunya Cours de Linguistique Generale telah membezakan kata Perancis langue dan
langage. Selain itu, beliau juga turut membezakan istilah parole (tuturan) berdasarkan kedua-dua istilah tersebut.

Menurut beliau lagi, langue merupakan suatu sistem. Manakala, istilah langage boleh diertikan sebagai bahasa khas yang ada pada penutur bahasa seperti yang terdapat dalam ucapan Di
mana manusia memiliki bahasa, binatang juga memiliki bahasa, tetapi tidak tuturan. Parole yang merupakan tuturan pula adalah bahasa, sebagaimana yang dipakai secara konkrit dan
merujuk kepada loghat,ucapan, dan perkataan. Dalam bidang kajian ilmu linguistik, kebanyakan para sarjana bahasa sering menggunakan istilah Perancis ini (langue, langage dan parole)
sebagai suatu istilah profesional.

Di dalam bahasa Melayu, istilah ahli linguistik disebut linguis yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris linguist. Manakala dalam penggunaan bahasa Inggeris seharian, istilah linguist
merujuk kepada makna seseorang yang fasih dalam berbagai bahasa. Sebagai contoh, ungkapan He is quite a linguist yang bererti Dia fasih dalam beberapa bahasa. Dalam istilah ilmiah
pula, linguist dapat diertikan sebagai ahli bahasa. Berdasarkan keterangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa orang yang fasih dalam menguasai berbagai bahasa tidak sama dengan
ahli linguistik. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa kita perlu membuat perbezaan di antara kata bahasa Inggeris linguist di dalam bahasa seharian dengan istilah linguist sebagai ahli
linguistik.

Ilmu linguistik dikatakan bersifat umum. Umum di sini bermaksud bahawa bidang kajian ilmu linguistik ini tidak bersifat spesifik, yakni hanya menyelidik kepada bahasa-bahasa tertentu sahaja.
Ilmu linguistik sebenarnya merujuk kepada bahasa secara umum. Ini bertepatan dengan pandangan Ferdinand de Saussure (1857) yang merumuskan bahawa ilmu linguistik tidak hanya
meneliti salah satu langue sahaja, tetapi merangkumi bahasa atau language secara umum.

Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik. Ini bermakna bidang kajian linguistik, seperti juga disiplin ilmu yang lain, mempunyai sistem yang teratur bagi
merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari. Selain itu, ilmu linguistik dikaitkan juga dengan ilmu yang bersifat empiris. Ini bermakna ilmu linguistik dan bidang ilmu yang
lain dikaitkan dengan fakta dan data yang dapat diuji kesahihannya oleh ahli-ahli tertentu dan semua ahli yang lain.

Selain itu, kajian ilmu linguistik meliputi bahasa-bahasa di dunia yang berbeza sifatnya. Dengan wujudnya kelainan bahasa-bahasa tersebut, maka bidang kajian linguistik dikatakan bersifat
umum. Kelainan bahasa-bahasa ini merupakan bidang kajian ahli linguistik.

Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik. Ini bermakna bidang kajian linguistik, seperti juga disiplin ilmu yang lain, mempunyai sistem yang teratur bagi
merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari. Selain itu, ilmu linguistik dikaitkan juga dengan ilmu yang bersifat empiris. Ini bermakna ilmu linguistik dan bidang ilmu yang
lain dikaitkan dengan fakta dan data yang dapat diuji kesahihannya oleh ahli-ahli tertentu dan semua ahli yang lain.

1
Di dalam kajian ilmu linguistik ini juga, bahasa sering dikaitkan sebagai objek bagi kajian bidang ini. Istilah-istilah bahasa di dalam kajian ilmu linguistik pula dikaitkan dengan pelbagai tafsiran.
Umpamanya, bahasa dikaitkan dengan erti kiasan yang membawa pelbagai tafsiran makna. Selain daripada itu, bahasa juga dikaitkan dengan istilah harfiah, yakni dalam ungkapan "ilmu
bahasa" seperti dalam contoh bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan sebagainya. Dalam menjelaskan tafsiran bahasa, istilah harfiah ini dianggap sebagai objek dalam bidang ilmu kajian
linguistik.

Terdapat banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak dahulu hingga kini. Banyak definisi yang dikemukakan oleh mereka berfokus kepada pen gertian kata
linguistik itu sendiri yang membawa pelbagai tafsiran yang berbeza di kalangan mereka. Menurut Verhaar (1985:1), kata linguistik berasal daripada kata Latin iaitu lingua yang bermaksud
bahasa. Pandangan tentang definisi ilmu linguistik ini turut disentuh oleh Langacker (1987). Menurut beliau, linguistik adalah kajian terhadap bahasa manusia. Ini bermakna linguistik mengkaji
bahasa-bahasa yang dihasilkan oleh manusia melalui alat-alat pertuturan tertentu yang membawa pelbagai makna.

Seterusnya, David Crystal (1973) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Ini bermakna bahawa bahasa-bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang
tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri. Selain itu, saintifik juga merujuk kepada sesuatu ilmu yang mempunyai ciri keesahan dan kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan
fakta. Pandangan yang sama berkaitan kajian bahasa secara saintifik ini turut dikemukakan oleh John Lyons (1968:89). Menurut beliau, linguistik adalah "The scientific study of language".
Pandangan kedua-dua tokoh ini memperlihatkan bahawa perlunya linguistik dikaji seperti juga disiplin ilmu lain yang juga memperlihatkan ciri-ciri saintifik.

Verhaar (1993) menjelaskan linguistik sebagai satu kajian ilmu bahasa. Menurut beliau, pengertian kata 'linguistik' merujuk kepada bagaimana suatu kajian bahasa itu dilaksanakan.
Berdasarkan pandangan tersebut, kajian ilmu bahasa mencakupi bidang ilmu yang sangat luas. Ia merangkumi bidang linguistik secara khusus; iaitu linguistik sinkronik, linguistik diakronik,
linguistik deskriptif dan linguistik preskriptif. Linguistik sinkronik merujuk kepada kajian pada suatu bahasa dan masa tertentu. Linguistik diakronik pula menumpu kepada kajian yang dibuat
mengikut perkembangan masa dan perbandingan bahasa. Linguistik deskriptif pula menumpu kepada huraian beberapa kemungkinan yang ada di dalam sesuatu bahasa, tanpa penentuan
betul dan salah. Manakala, linguistik preskriptif membentuk norma atau menentukan yang mana betul dan yang mana salah di dalam pemerian bahasa. Bidang linguistik ini juga termasuklah
linguistik jati yang memberi huraian atau deskripsi tentang sesuatu bahasa tanpa kaitannya dengan bidang lain dan linguistik terapan, iaitu mengkaji segala bidang linguistik yang dikaitkan
dengan bidang lain.

Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh tersebut, kita dapat merumuskan bahawa linguistik merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam dan teliti yang memberi penekanan
kepada bidang kajian bahasa secara khusus serta menghubungkan bahasa dengan ilmu disiplin yang lain.

SUMBER WEB
Rujuk laman web berikut sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai Ferdinand de Saussure.

http://id.wikipedia.org/wiki/Ferdinand_de_Saussure

1.2 : BIDANG KAJIAN LINGUISTIK


Kajian linguistik meliputi bidang yang luas. Antara kajian linguistik yang perlu diketahui oleh pelajar ialah fonetik dan fonologi, morfologi, sintaksis, leksikografi, semantik, pragmatik, linguistik
sinkronik dan linguistik diakronik, linguistik teoritis dan linguistik terapan. Sila rujuk Rajah 1.1. Di dalam modul ini, tiga bidang utama sahaja akan disentuh, iaitu bidang fonetik dan fonologi,
morfologi dan sintaksis.

2
Rajah 1.1: Kajian Ilmu Linguistik/Bahasa

Penerangan mengenai bidang fonetik, fonologi, morfologi dan sintaksis adalah seperti berikut:
a. Fonetik dan Fonologi
Pertuturan bahasa melibatkan "bunyi-bunyi bahasa". Bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan berbentuk tertentu dan berbeza menurut bahasa tertentu. Kesemua bunyi yang
dihasilkan merupakan bidang kajian ilmu fonetik dan fonologi. Fonetik meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akuastiknya, manakala ilmu fonologi pula
meneliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi, susunan dan strukturnya.

Kita dapat melihat fungsi fonetik dan fonologi ini dengan menjelaskannya bersertakan contoh yang memaparkan wujudnya perbezaan penelitian mengikut bidang kajian
masing-masing. Sebagai contoh, bunyi "p" yang secara lazimnya menurut sifat fonetiknya diapit oleh tanda condong. Ia disebut dengan menutup kedua-dua bibir dan
melepaskannya sehingga udara keluar dengan "menghasilkan suatu bunyi letupan". Penghasilan bunyi "p" tersebut merupakan deskripsi fonetik sahaja.

Seterusnya, jika dua bunyi yang secara fonetik mempunyai perbezaan tertentu, ia dikatakan berbeza fonologinya. Perbezaan tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Ini
bermakna dua bunyi tersebut dikatakan mempunyai perbezaan fonologi jika bunyi-bunyi tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Sebagai contoh, di dalam bahasa Melayu,
bunyi "p" dan "t" berbeza dari segi fungsional atau secara fonologi. Ia disebut sebagai pasangan minimum kerana kata-kata yang dihasilkan oleh kedua-dua bunyi tersebut
berbeza dari segi kata-kata yang dihasilkan, seperti dalam contoh kata "padi" dan "tadi". "Padi" merujuk kepada sejenis tanaman, manakala "tadi" merujuk kepada kata

3
keterangan masa. Jelas, perbezaan pasangan minimum tersebut memperlihatkan wujudnya tafsiran makna yang berlainan bagi kedua-dua kata tersebut. Perbezaan makna
yang dibawa oleh bunyi-bunyi tersebut merupakan bidang kajian ilmu fonologi.
b. Morfologi
Nik Safiah Karim et al. (1993) mentakrifkan morfologi sebagai "bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata", manakala Arbak Othman (1968)
menjelaskan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem dan varian morfem. Sebagai rumusan, dapat disimpulkan bahawa
morfologi ialah bidang yang mengkaji cara kata dibentuk. Bentuk kajian morfologi yang terkecil ialah morfem dan bentuk yang terbesar ialah kata. Kata mempunyai bentuk yang
bebas, bermakna dan dapat berdiri sendiri manakala morfem terdiri daripada dua bahagian, iaitu bentuk bebas dan bentuk terikat.

Kata-kata yang dibentuk lahir daripada kata yang terdapat di dalam sesuatu bahasa dan juga melalui proses-proses tertentu. Kata yang dilahirkan melalui kata tertentu; sebagai
contoh di dalam bahasa Melayu merupakan kata yang dihasilkan di dalam bahasa Melayu itu sendiri. Manakala, kata yang melalui proses tertentu pula ialah melalui proses
pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Melalui proses pengimbuhan kata dasar, kata yang dihasilkan ialah kata terbitan. Melalui proses penggandaan, kata yang
dihasilkan merupakan kata ganda dan melalui proses pemajmukan pula, kata yang dihasilkan merupakan kata majmuk.

Di dalam bahasa Melayu, terdapat bentuk kata utama; yakni kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Contoh kata nama ialah "sabun", "cangkul", dan "penyapu". Contoh kata
kerja pula ialah kata "gerak", "kumpul", dan "letup" manakala contoh kata adjektif ialah kata "baik", "gemuk" dan "panjang". Selain kata utama, terdapat juga kata tugas yang
mempunyai tugas tertentu, sama ada di dalam perkataan atau binaan ayat.
c. Sintaksis
Perkataan "sintaksis" berasal daripada perkataan Yunani "suntutein" yang bermaksud menyusun atau susunan. Di dalam bidang linguistik, "sintaksis bermaksud kajian
pembentukan ayat".

Menurut Kamus Linguistik (1997), sintaksis ialah "cabang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembentukan ayat", seperti penyusunan kata kepada ayat dan cara hubungan
antara kata di dalam ayat. Nik Safiah Karim et al. (1986) mendefinisikan sintaksis sebagai "bidang linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat". Abdullah Hassan (1981)
menyatakan sintaksis ialah "istilah untuk mengkaji pembentukan ayat", iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau menjadi
klausa, dan ayat merupakan inti terbesar. Asmah Hj. Omar (1968) turut mendefinisikan sintaksis sebagai "bahagian daripada linguistik deskriptif atau sinkronis yang
mempelajari kombinasi kata di dalam rangkai kata dan ayat".

Berdasarkan pandangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa sintaksis sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji "bentuk, struktur dan binaan ayat". Ia sebenarnya
mengkaji konstruksi ayat, iaitu mengkaji bagaimana ayat dibentuk bermula dengan penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan seterusnya ayat. Bidang kajian
sintaksis pula meliputi perkataan, frasa, klausa dan ayat.

Kajian sintaksis melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari cara penggabungan dan penyusunan
perkataan atau kelompok perkataan untuk membina ayat. Ayat yang terhasil melalui penyusunan rangkaian perkataan yang membentuk frasa dan daripada gabungan frasa ini
membentuk klausa dan seterusnya ayat. Di dalam erti kata lain, ayat terdiri daripada konstituen frasa dan konstituen klausa. Kedua-dua konstituen ini terbina daripada susunan
perkataan. Oleh itu, dalam sesebuah ayat terdapat unsur kata atau perkataan, frasa dan klausa.

Kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat melalui jenisjenis ayat dan ragam ayat; seperti ayat penyata, ayat perintah, ayat seruan, ayat tanya, ayat aktif
dan ayat pasif.

Sintaksis merupakan cabang daripada ilmu linguistik yang membicarakan tentang wacana, ayat, klausa dan frasa. Di dalam bahasa Inggeris, istilah sintaksis disebut syntax.
Untuk menjelaskan urutan sintaksis ini, lihat sahaja contoh ayat berikut:

Seorang pelajar sedang belajar di perpustakaan.


d.
Berdasarkan contoh ayat tersebut, ia terdiri daripada satu klausa yang terdiri daripada subjek; iaitu "seorang pelajar" dan predikat ialah "sedang belajar" dan keterangan iaitu "di
perpustakaan". Setiap klausa tersebut terdiri daripada beberapa kesatuan frasa bagi membentuk ayat. Sebagai rumusan, sintaksis membicarakan bagaimana gabungan
beberapa frasa bagi membentuk klausa dan seterusnya gabungan beberapa klausa akan membentuk ayat.
1.3 : LINGUISTIK SEBAGAI SATU DISIPLIN
Linguistik merupakan suatu disiplin ilmu yang dapat berdiri sendiri dan bersifat autonomi. Menurut Koentjaraningrat (1997), linguistik meliputi ilmu yang berkait dengan ilmu sosial dasar.
Sebagai suatu cabang ilmu pengetahuan, linguistik mempunyai subdisiplinnya yang tersendiri. Antara subdisiplin linguistik adalah bidang linguistik, sifat telaah linguistik, pendekatan objek
linguistik, instrumen yang digunakan, ilmu lain yang berkaitan dengan linguistik, penerapan linguistik serta aliran dan teori linguistik.

Bidang linguistik meliputi linguistik umum, linguistik terapan, linguistik teoritis dan sejarah linguistik. Ini dapat kita lihat dalam Rajah 1.2. Linguistik umum merumus secara umum semua bahasa
manusia yang bersifat alamiah. Linguistik terapan pula merupakan ilmu yang berusaha menerapkan hasil penelitian di dalam bidang linguistik untuk keperluan praktis. Sementara, linguistik
teoritis mengutamakan penelitian bahasa dari segi internal atau dalaman. Akhir sekali, sejarah linguistik menyentuh mengenai uraian knonologis, iaitu tentang perkembangan bahasa.

Rajah 1.2: Rajah 1.2: Bidang Linguistik

Sifat telaah linguistik meliputi bidang linguistik mikro yang bidang kajiannya lebih sempit dan bersifat internal, sementara linguistik makro bersifat luas dan eksternal. Pendekatan objek linguistik
meliputi bagaimana menganalisis bahasa. Dengan demikian, bahasa dapat dilihat secara deskriptif, historis komparatif, kontrastif, sinkronik dan diakronik. Instrumen linguistik pula ialah
penggunaan komputer atau linguistik komputer. Ilmu lain yang berkaitan dengan linguistik ialah psikologi, antropologi, sosiologi dan sebagainya.

Penerapan linguistik meliputi:


a. Dialektologi
b. Leksikografi
c. Leksikostatistik

Dialektologi mempelajari serta membandingkan bahasa yang masih serumpun untuk mencari titik persamaan dan perbezaan. Leksikografi pula ialah kajian mengenai kosa kata dan
leksikostatistik ialah kajian tentang umur kata sejak kata wujud.

Linguistik dilihat dari segi teori, aliran struktur dan aliran transformasi yang melahirkan linguistik struktural dan linguistik transformasi. Ini akan dijelaskan seterusnya.

1.4 : STRUKTUR BAHASA


Sub-topik ini akan membincangkan pengenalan kepada struktur bahasa dengan lebih jelas. Anda akan mendalami fonem, morfem, kata, f rasa, klausa, ayat dan wacana.

4
1.4.1 : Pengenalan Kepada Struktur Bahasa
Kamus Za'ba mentakrifkan kata "struktur" kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah "susunan atau bahagian daripada sesuatu binaan dan susunan atau bahagian daripada sesuatu
binaan", manakala kategori yang kedua ialah "sistem rangka sesebuah karya sastera yang terlebih dahulu dirancang". Kategori yang pertama meliputi pola atau bentuk masyarakat yang
terbentuk atau tersusun daripada pelbagai jenis unsur yang mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Kata "struktur" juga ditakrifkan sebagai bukan cara sesuatu yang terbentuk
daripada pelbagai bahagian, unsur atau aspek tertentu sehingga menjadi suatu pola, sistem atau bentuk tertentu. Kategori takrifan yang kedua ialah sistem rangka sesebuah karya sastera
yang terlebih dahulu dirancang (Kamus Za'ba, 2001: 1073). Takrifan yang sama juga boleh diperoleh bagi kata "struktur" jika dirujuk dalam Kamus Melayu Global (Kamus Melayu Global, 1997:
1073).

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula, kata "struktur" didefinisikan sebagai cara sesuatu terbina atau terbentuk daripada pelbagai bahagian, unsur, atau aspek hingga menjadi suatu pola,
sistem atau bentuk tertentu seperti struktur di dalam bahasa Melayu.

Menurut Tesaurus Bahasa Melayu, kata "struktur" merujuk kepada binaan atau rangka (Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, Hlm.297). Kamus Pelajar Terkini pula mendefinisikan kata "struktur"
yang merupakan binaan kata daripada cantuman kata struk + tur (KN) yang membentuk kata nama ialah sesuatu yang dibentuk, dibina atau binaan dan cara menyusun sesuatu (susunan atau
gubahan) yang merujuk kepada bahasa, ekonomi dan sebagainya (Ahmad Mahmood Musanif, 1996: 465). Menurut buku Glosarium Bahasa dan Sastera, struktur bahasa wujud akibat adanya
aturan-aturan bahasa. Maka, terdapatlah struktur bahasa iaitu ketetapan peristiwa bahasa. Ianya dapat dilihat pada susunan fonem, susunan kata dan susunan frasa serta lagu bicara dan
intonasi. Ia juga termasuk struktur bahasa yang harus diketahui seseorang kalau dia ingin berbicara dalam sesuatu bahasa (A. Hamid Hasan Lubis, 1994: 132).

Menurut Kamus Linguistik edisi ketiga, kata "struktur" merujuk kepada struktur batin, struktur fonemis, struktur frasa, struktur lahir, struktur praleksikal, struktur semantik (makna) dan struktur
tematis (Harimurti Kridalaksana, 1993: 203-204). Jika dirujuk di dalam A Dictionary of Linguistics and Phonetics, edisi keempat menyatakan seperti berikut:

"Structure in its most general sense, and especially as defined by structuralist


studies of human institutions and behavior, the term applies to the main abstract
characteristic of a semiotic system. A language for example is a structure in the
sense that it is a network of interrelated units, the meaning of the parts being
specifiable only with reference to the whole. In this sense, the terms "structure"
and "system" are often synonymous (and the phrase "structured system" which is
sometimes encountered as in "language is a structure system" -as a tautology)..."
David Crystal,1997 :367
Adakah bahasa satu fenomena penting di dalam hidup kita? Kita sering menganggap kebolehan bertutur sebagai salah satu daripada kebolehan asasi manusia, sama seperti kita berjalan dan
bernafas. Kita tidak pernah menyoal sama ada kebolehan manusia bertutur itu sebagai satu kejadian semula jadi, iaitu berlaku secara tidak sengaja ataupun ia satu perkara yang mesti
dipelajari oleh manusia. Bahasa yang digunakan di dalam pertuturan merupakan satu alat perhubungan yang penting di antara man usia dengan manusia (kadang-kadang dengan binatang).
Alat perhubungan ini amat kompleks tetapi teratur dengan menggunakan kod tertentu.

Walau bagaimanapun, bahasa bukanlah satu-satunya alat perhubungan manusia kerana terdapat juga cara lain yang digunakan oleh manusia untuk berhubung seperti mela lui gerak-geri,
simbol atau kod telegraf, muzik dan banyak lagi (Abdullah Hassan, 1992: 3). Seperti bidang ilmu yang lain, bidang ilmu bahasa atau linguistik diwarnai dengan pelbagai paradigma, aliran, teori
dan pendekatan yang menjadi pegangan seseorang ahli bahasa. Ia banyak menentukan cara mereka memandang dan menghuraikan hal kebahasaan (Zulkifley Hamid, 1996: 2).

Masih ramai yang belum mengetahui apakah yang dikatakan linguistik. Lazimnya, orang akan menganggap seorang linguis (ahli bahasa) itu ialah seorang yang boleh bertutur banyak bahasa.
Ini adalah satu fenomena yang tidak betul. Sebenarnya, hanya sebahagian daripada linguistik melibatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa. Linguistik adalah lebih luas daripada itu.
Secara jelasnya, seperti yang dikatakan oleh Bolinger (1968), linguistik ialah satu sains bagi mengkaji bahasa. Ini bermakna bahasa digunakan sebagai bahan yang dikaji secara saintifik.

Menurut A. Bakar Hamid (1960), linguistik atau ilmu bahasa ialah suatu sains yang mempelajari bahasa manusia (Rencana Linguistik, susunan Abdullah Hassan, 1992:28). Ahli ilmu bahasa
dapat membuat sejarah bahasa dan rumpun bahasa, selain membandingkan bahasa untuk mencapai suatu rumusan tentang ciri umum yang terdapat di dalam semua bahasa. Misalnya,
semua bahasa mempunyai bentuk-bentuk fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana.

Apabila kita berbicara berkenaan struktur bahasa, kita mesti mengetahui tata tingkat bahasa yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Strukturnya dapat kita
lihat seperti hierarki di dalam Rajah 1.3 berikut.
Sila klik pada struktur bahasa berikut untuk melihat keterangannya.

5
Rajah 1.3: Struktur Bahasa

Penerangan mengenai bentuk-bentuk fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana adalah seperti berikut.

a. Fonem Top
Fonem ialah unit bahasa yang diwujudkan bagi memudahkan deskripsi bunyi. Fonologi pula
ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi bahasa (Abdullah Hassan, 2006: 62). Manusia dapat
menghasilkan banyak bunyi atau fon, tetapi daripada fon-fon tersebut, hanya beberapa sahaja
yang distingtif atau berbeza. Bagi menentukan sama ada fon itu adalah distingtif, fon-fon
dibandingkan dan dikontraskan antara satu dengan yang lain.

Dengan demikian, kita dapat mengenal pasti fon-fon yang distingtif daripada yang hanya berbeza
sebutan. Ini ialah kerana mereka dihasilkan pada konteks yang berlainan, tetapi tidak distingtif.
Hanya golongan fonfon yang distingtif itulah yang dikenali sebagai fonem.

Fonem wujud di dalam susunan tertentu dan susunan ini berlainan daripada satu bahasa kepada
bahasa yang lain. Mengkaji kewujudan dan penggunaan fonem daripada aspek demikian adalah
mengkaji struktur fonologi bahasa tersebut. Apabila kita sudah dapat mengenal pasti fonem
dalam bahasa, maka kita dapat pula membentuk sistem ejaannya. Ini dilakukan dengan memberi
lambang kepada fonem tadi. Setiap fonem diberi satu lambang huruf seperti fonem /p/ diberi
lambang huruf p. Oleh kerana bilangan huruf terhad, ada juga fonem yang diberi lambang
gabungan dua huruf, seperti fonem / / yang diberi lambang huruf ng. Ini bermakna, apabila
manusia membentuk sistem ejaan, manusia sudah mengenali konsep fonem. Apabila kita

6
menyusun sistem ejaan atau lambang tulisan, maka huruf akan dibuat supaya melambangkan
fonem (Abdullah Hassan, 2006: 62-63).

Di dalam bahasa Melayu, sistem fonologi menggunakan kaedah analisis segmental. Ada 33 buah
fonem dalam bahasa Melayu yang terdiri daripada 24 fonem asli dan 9 fonem pinjaman.
Daripada kajian, didapati kontras fonem bahasa Melayu lebih banyak berlaku pada konteks
pangkal dan tengah perkataan daripada pada akhir perkataan. Pada akhir perkataan, kontras
antara fonem bersuara dengan yang tak bersuara menjadi neutral atau hilang. Daripada 24 fonem
asli Melayu, terdapat 6 fonem vokal dan 18 fonem konsonan. Fonem vokal ialah /i/, /e/, /a/, //, u/
dan /o/. Manakala fonem konsonan pula ialah /p/, /b/, /t/, /d/, /k/, /g/, /c/, /j/, /m/, /n/, / /, //, /s/,
/h/, /r/, /l/, /w/ dan /y/.
b. Morfem Top
Morfem pula merupakan unit yang terkecil di dalam bahasa yang mempunyai makna dan menjadi
unsur terbentuknya kata. Misalnya, kata minum ialah morfem kerana unit yang terkecil, unit yang
mengandungi makna dan tidak boleh dipecahkan menjadi unit yang lebih kecil dan bermakna.
Morfem dengan sendirinya boleh menjadi kata. Morfem biasanya diapit oleh tanda { }.
Contohnya, kelima terdiri daripada morfem {ke-} dan {lima}. Ada kata yang terbentuk daripada
satu morfem dan ada juga yang terbentuk daripada lebih daripada satu morfem. Misalnya, kata
minum terdiri daripada satu morfem, manakala minuman terdiri daripada dua morfem, iaitu
{minum} dan {-an}. Morfem dapat juga dibezakan berdasarkan jenis maknanya. Ada golongan
morfem yang mempunyai makna yang menunjukkan benda, perkara, perbuatan atau sifat yang
terdapat di sekeliling kita. Morfem seperti ini dikatakan mempunyai makna yang leksikal dan
disebut morfem leksikal. Contohnya, "pokok", "kerusi", "duduk", "tidur" dan sebagainya.
Golongan morfem yang tidak atau hampir tidak mempunyai makna asas, tetapi kehadirannya
membawa fungsi nahuan disebut morfem nahuan/gramatikal. Contohnya, ber-, -kan, di-, tetapi,
yang, dan, itu dan banyak lagi (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007: 2).

Morfem terbahagi kepada dua, iaitu:

Morfem bebas
Morfem terikat

Morfem bebas boleh wujud sendiri tanpa perlu bergabung dengan unsur lain untuk membentuk
kata. Umpamanya "rumah", "tidur", "sedih", "takut" dan sebagainya. Morfem bebas juga boleh
bergabung dengan morfem lain untuk membentuk kata terbitan, kata ganda atau kata majmuk.
Contohnya, "batu" boleh diterbitkan menjadi "berbatu, membatu, batuan, batu-batan, batu api,
kepala batu dan berbatu-batu".

Morfem bebas juga terdiri daripada dua jenis, iaitu yang bersifat terbuka dan tertutup. Morfem
bebas yang bersifat terbuka boleh bergabung dengan morfem lain dan boleh menjadi dasar
manakala morfem bebas tertutup tidak boleh bergabung dengan morfem lain dan tidak dapat
menjadi kata akar. Contohnya, "dan, ke, dari, atau serta dengan". Morfem terikat pula tidak dapat
wujud sendiri tanpa unsur lain dan tidak boleh berdiri sebagai kata asal atau kata dasar.
Contohnya; imbuhan beR-, ke-, -kan, meN-, -kan dan sebagainya yang mesti bergabung dengan
unsur lain. Morfem terikat juga terdiri dari dua jenis, iaitu morfem terikat yang dapat bergabung

7
dengan morfem dasar seperti ke-, di-, ber-, pe-, se-, -an, -i dan em-, dan morfem terikat yang
dapat bergabung dengan morfem lain seperti "tapa (bertapa), juang (berjuang) dan renang
(berenang)".
c. Kata Top
Kata adalah bentuk bebas yang terkecil. Menurut Abdullah Hassan (2002), bebas mempunyai
kesatuan tertentu untuk wujud sebagai sebuah ayat yang terdiri daripada satu kata. Misalnya
"pergi" dapat berdiri sendiri sebagai sebuah ayat perintah. Kata juga merupakan bentuk terkecil
yang bermakna dan dapat digunakan bersendirian sebagai ayat minimal yang disebut bentuk
bebas (Ahmad Khair Mohd Nor, 2006: 4). Kata adalah unsur yang terbesar di dalam proses
pembinaan kata dan berada di atas fonem dan fonem.

Bahasa Melayu mempunyai beberapa cara untuk membentuk perkataannya. Ada yang bersifat
tunggal, contohnya "rumah", "tinggal", dan "merah" serta ada juga perkataan yang dibentuk hasil
proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Contoh perkataan yang dibentuk secara
pengimbuhan ialah "meninggal" dan "meninggalkan"; contoh perkataan yang dibentuk secara
pemajmukan ialah "putih melepak" dan "rumah pangsa"; dan perkataan yang dibentuk secara
penggandaan ialah "putih-putih" dan "Perdana Menteri-Perdana Menteri" (Nik Safiah Karim et
al., 2003: 59). Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tergolong di dalam jenis bahasa
aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Jenis bahasa ini membentuk kebanyakan
perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar dengan
morfem imbuhan secara rentetan mendatar; iaitu digabungkan secara serentak dengan kata dasar,
sama ada imbuhan itu mendahului (awalan), menyisip (sisipan) atau mengikuti (akhiran) kata
dasar tersebut.
d. Frasa Top
Frasa adalah unsur bahasa di dalam binaan sintaksis bersama-sama dengan klausa dan ayat.
Melalui binaan ini, kita akan dapat melihat bagaimana frasa menjadi klausa dan seterusnya
klausa menjadi ayat. Frasa ialah unsur terkecil di dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi
membina ayat. Di dalam tata tingkat unsur bahasa, frasa adalah unsur yang terkecil dan terletak
di bawah unsur yang dipanggil klausa. Binaan frasa dapat dibentuk daripada satu kata atau lebih.
Namun begitu, harus diingat bahawa frasa bukanlah rangkai kata. Ini kerana rangkai kata mesti
terdiri lebih daripada satu kata, tetapi frasa tidak. Lihat contoh ayat yang seterusnya:
Fatihah menjadi pengawas.

Di dalam ayat "Fatihah menjadi pengawas", ada dua frasa. Frasa pertama ialah "Fatihah" yang
menjadi subjek. Frasa kedua ialah "menjadi pengawas" yang bertindak sebagai predikat. Frasa
subjek "Fatihah" terdiri daripada satu kata sahaja. Frasa predikat "menjadi pengawas" terdiri
daripada dua kata.

Frasa berbeza dengan klausa dan ianya dapat dilihat dengan jelas kerana frasa adalah unsur
klausa, tetapi tidak sebaliknya. Perbezaan yang dapat dilihat ialah frasa menggunakan kata
penunjuk "itu" dan "ini" (binaan frasa ditutup oleh kata penunjuk "itu" dan "ini"). Frasa juga
boleh menerima sisipan "yang", sekiranya frasa yang terlibat itu terdiri daripada dua perkataan
atau lebih. Perkataan "yang" boleh digunakan bagi membezakan frasa daripada klausa. Sekiranya

8
ungkapan itu sebuah frasa, maka "yang" boleh disisipkan antara bahagian-bahagiannya dengan
tidak mengubah tarafnya sebagai frasa. Frasa juga mempunyai inti dan penerang tetapi klausa
mempunyai subjek dan predikat. Dengan mengenal pasti frasa menurut kata yang menjadi
intinya, maka frasa dapat dijeniskan kepada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi
nama dan frasa adverba. Di dalam ayat, fungsi frasa ialah menjadi subjek dan predikat.
e. Klausa Top
Walaupun klausa dan frasa adalah unsur di dalam ayat, tetapi keduaduanya adalah berbeza.
Binaan sebuah frasa terdiri daripada kata inti dan kata penerang. Ada juga frasa yang terdiri
daripada satu kata, iaitu kata inti sahaja tanpa kata penerang. Binaan klausa terdiri daripada
subjek dan predikat. Sebenarnya, klausa adalah sebuah ayat di dalam ayat iaitu ayat yang menjadi
unsur kepada ayat lain ataupun dikenali sebagai anak ayat. Za'ba memanggilnya ayat kecil yang
terkandung dalam ayat besar. Contoh ayat adalah seperti berikut;
Aminah tidak datang kerana dia sakit.

Di dalam ayat "Aminah tidak datang kerana dia sakit", terdapat dua klausa, iaitu "Aminah tidak
datang" dan "dia sakit". Kedua-duanya digabungkan oleh kata hubung "kerana". Klausa "Aminah
tidak datang" boleh berdiri sendiri, jadi ungkapan ini adalah sebuah ayat. Klausa "Aminah tidak
datang" mempunyai subjek "Aminah", dan predikat "tidak datang". Klausa "dia sakit" juga
mempunyai subjek, iaitu "dia" dan predikat, "sakit". Klausa "dia sakit" digabungkan dengan
klausa "Aminah tidak datang" menggunakan kata hubung "kerana".

Dengan kata lain, klausa dapat dibahagikan kepada dua, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.
Klausa bebas boleh berdiri sendiri sebagai ayat yang sempurna yang menjadi sebahagian
daripada ayat yang lebih besar. Klausa tak bebas pula dapat dibahagikan kepada dua, iaitu klausa
nama dan klausa adverba. Klausa nama berfungsi sebagai kata nama. Malah klausa ini dapat
digantikan dengan satu kata nama. Klausa adverba pula memberi penerangan lanjut mengenai
kata kerja. Ada beberapa jenis keterangan, antaranya ialah keterangan waktu, tempat, syarat,
sebab, kesungguhan dan lain-lain.
f. Ayat Top
Ayat ialah unsur yang paling tinggi di dalam tatabahasa. Di dalam ayat, terdapat unsur-unsur
seperti kata, frasa dan klausa. Penggabungan unsur inilah yang membentuk binaan yang
dikatakan ayat. Jika dikaji dari aspek bebas, ayat didefinisikan sebagai bentuk bahasa yang bebas.
Bloomfield (1930), mengatakan ayat ialah satu bentuk bebas di dalam bahasa yang tidak
tertakluk dengan mana-mana bentuk lain yang lebih besar. Ada kalanya bentuk kata, frasa dan
klausa menjadi bentuk bebas. Tetapi, ia masih belum berdiri sendiri kerana unsur-unsur ini
tertakluk kepada bentuk lain yang lebih besar, iaitu ayat.

Bagi Chomsky (1967), ayat itu terdiri daripada rentetan kata yang diterbitkan oleh rumus
tatabahasa. Secara keseluruhannya, kata ialah unit yang dapat berdiri sendiri di dalam tata tingkat
tatabahasa. Di dalam mengkaji sintaksis, kita harus dapat menentukan apa yang dikatakan
polapola ayat tersebut. Di antaranya ialah apa yang menjadi pola dasar dan pola yang terbentuk
daripada pola dasar tersebut melalui proses transformasi.
g. Wacana Top

9
Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Oleh itu, wacana boleh terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, susunan ayat, ceraian bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang
memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan. Di dalam sesebuah
wacana, perkaitan antara unit bahasa yang terlibat melahirkan satu kesatuan yang utuh. Sesuatu
wacana, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan diujarkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu
maklumat tentang sesuatu perkara. Di dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada kedudukan
yang tertinggi selepas ayat. Wacana mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Menurut
Beaugrande dan Dressier (1981), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk
menghasilkan wacana yang utuh iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan
dan interteks. Ini ditunjukkan dalam Rajah 1.4.

Rajah 1.4: Ciri Ketekstualan Wacana

Keterangan lanjut mengenai tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan
wacana yang utuh dinyatakan dalam Jadual 1.1.
Jadual 1.1: Keterangan Ciri Ketekstualan Wacana
Bil. Ciri Keterangan
Ketekstualan
Wacana

1. Tautan atau
kohesi Ia adalah keserasian hubungan antara satu unsur
linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam
sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang
mantap.

Keserasian hubungan ini lazimnya dapat dilihat melalui


hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat
dengan perkataan, frasa atau ayat yang lain yang
terdapat di dalam wacana tersebut.

Tautan penting kerana dapat mewujudkan


kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang
lain sehingga membentuk satu kesatuan.

2. Runtutan atau
koheren Ia merupakan kesinambungan idea yang terdapat di
dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan sesebuah
teks itu bermakna.

Oleh itu, runtutan merupakan asas di dalam pembinaan


wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai
wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

10
3. Tujuan
Setiap wacana yang diujarkan, sama ada di dalam
bentuk lisan atau tulisan perlu mempunyai tujuan.

Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil


wacana tersebut, sama ada penulis atau pembicaranya.

Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk


menimbulkan interaksi yang komunikatif.

Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang


digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk
mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan
ialah ayat tanya; tetapi jika seseorang itu ingin
menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang
digunakan ialah ayat penyata.

4. Penerimaan
Sesuatu wacana juga perlu mempunyai pendengar atau
pembaca yang merupakan penerima bagi sesebuah
wacana.

Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar


atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang
diujarkan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap


tujuan sama dengan tahap penerimaan.

5. Maklumat
Setiap wacana juga perlu mempunyai maklumat.

Maklumat yang terdapat di dalam sesebuah wacana


boleh dibahagikan kepada dua, iaitu maklumat lama dan
maklumat baharu.

Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan


pada peringkat awal dan diulang semula di dalam
konteks yang berikutnya.

6. Keadaan
Keadaan juga menjadi faktor untuk membentuk wacana
yang relevan dengan situasi ujaran.

Sesebuah wacana yang diujarkan perlulah sesuai


dengan keadaan.

Oleh itu, untuk menjadikan sesuatu wacana itu sesuai


dengan keadaan, pemilihan perkataan, frasa dan ayat
adalah penting.

7. Interteks
Interteks pula bermaksud suatu wacana itu bergantung
kepada wacana yang lain.

Ini bermaksud wacana lain juga memainkan peranan


penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu
wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan
mudah.

Oleh itu, kefahaman seseorang terhadap sesebuah


wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap
perkara yang sedang dibaca atau didengarinya.

Kesimpulannya, struktur bahasa, khususnya di dalam bahasa Melayu mempunyai unsur yang membina strukturnya untuk menjadi satu bahasa yang mantap. Pada peringkat awal
pembentukan kata, fonem dan morfem terlebih dahulu dikaji sebelum menjadi kata. Setelah membentuk kata, frasa dan klausa pula akan memainkan peranan untuk membentuk atau
menghasilkan ayat. Manakala, wacana yang merupakan hierarki tertinggi di dalam tata tingkat bahasa berperanan untuk menghasilkan satu bahasa, sama ada lisan atau bukan lisan yang
mantap dan utuh.

1.5 : PENGALAMAN BAHASA

Pengalaman yang 'ditimba' oleh bahasa Melayu telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gemilang dan layak dijadikan Bahasa Kebangsaan
negara Malaysia. Bahasa Melayu telah banyak melalui pengalaman yang bermakna, sama ada dari awal hingga kini yang dapat dilihat daripada pelbagai aspek. Terdapat
banyak bahan, yang pada zaman awalnya menggunakan bahasa Melayu seperti batu bersurat, hasil sastera dan bahan sejarah.

Bangsa Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya tidak boleh lagi berundur dan terus mengangkat tangan menyerah kalah dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Kita ingin membuktikan bahawa kita adalah bangsa yang besar yang tidak segan menghadapi cabaran. Bangsa yang besar harus tahu sejarah perkembangan bahasa
kebangsaannya sendiri. Jika ada pendapat yang menyangka bahawa orang Melayu khususnya tidak perlu belajar bahasa Melayu atau bahasa Malaysia disebabkan bahasa itu
adalah bahasa pertama mereka, sangkaan tersebut adalah salah. Alangkah kecewanya generasi kita yang sekarang ini gagal melaksanakan tugas bersama-sama
memartabatkan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu Malaysia adalah tonggak kepada bangsa Melayu sejagat yang sentiasa memainkan peranan penting di dalam perjuangan memartabatkannya. Ia adalah antara
bahasa yang dituturkan oleh banyak bangsa dan merupakan gabungan daripada bahasa Arab, Parsi dan Sanskrit. Melalui perdagangan dan penjajahan, bahasa Melayu
berkembang dan menerima istilah daripada bahasa Inggeris, Cina dan India. Dari aspek dakwah, usia bahasa Melayu adalah lebih tua daripada segala macam bahasa yang
wujud di Malaysia.

Bahasa itu berdaulat kerana bahasa Melayu meniti di bibir dan lidah penguasa Melayu yang memeluk agama Islam. Hal ini membezakan bahasa Melayu daripada bahasa lain
yang tidak mencapai darjat kekuasaan. Ertinya, bahasa lain di dalam bentuk dakwah Islam tidak berada di puncak kekuasaan seperti mana kedudukan bahasa Melayu pada
zaman Kesultanan Melayu. Justeru, apabila bangsa Melayu kini tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan, keilmuan dan dakwah, maka bahasa ini akan
mati dengan sendirinya. Penerimaan kemasukan istilah pula ke dalam cabang bahasa Melayu melibatkan wacana keilmuan dan lain-lain dimensi cabang pengetahuan. Oleh
sebab itu, bahasa Melayu berkembang kerana dalam kalangan pakar bahasa Melayu, kita mampu memperincikan hal ini dengan teliti mengikut pengalaman bahasa.

1.5.1 : Era Sebelum dan Selepas Merdeka

11
Sejarah awal penggunaan tulisan rumi di dalam bahasa Melayu dilakukan oleh pedagang, pengembara dan penjelajah yang datang dari Eropah ke Nusantara secara
perseorangan. Penulisan mula dijalankan dengan membuat penulisan tentang bahasa Melayu dengan menggunakan huruf-huruf Rumi Latin. Huruf Latin yang mula-mula
digunakan untuk menulis perihal bahasa Melayu ditemui di dalam senarai pelayaran Pigafetta dari Itali pada tahun 1522. Catatan-catatan di dalam bahasa Melayu daripada
Antonio Pigafetta yang telah menyusun daftar kata Melayu-Itali pada tahun 1522 lagi membuktikan pengalaman bahasa Melayu sehingga menerbitkan kamus Melayu-Itali yang
pertama iaitu Vocaboli De Quedti Popoli Mori. Berkisar tentang penerbitan tersebut, penerbitan kamus telah berkembang pesat. Selain itu, pengaruh bahasa Sanskrit amat luas
sewaktu kebudayaan Melayu mengalami pengaruh peradaban India. Pengaruh tersebut meliputi bidang keagamaan, undang-undang, kesenian dan bidang lain. Namun,
struktur bahasa Melayu tidak terjejas. Bermula pada abad ke-16 itu, bahasa Melayu terus ditulis dengan huruf rumi oleh pedagang, pengembara, penjelajah dan sarjana dari
Eropah. Rumpun keluarga bahasa Melayu-Austronesia atau ikatan rumpun Melayu-Polynesia telah berkembang saling berhubung kait melalui asas budaya yang hampir sama.
Penerimaan hubungan tersebut diolah dan diterima suai pengaruh kebudayaan asing tanpa melenyapkan asas-asas keserumpunan atau memusnahkan bahasa yang menjadi
kekuatan bahasa Melayu.

Daripada tinjauan sosial juga, bahasa Melayu dipilih sebagai Bahasa Nasional kerana penyebarannya yang luas di Nusantara dan peranan tokoh yang berpengaruh. Malahan,
orang Eropah tidak mengetahui bahawa bahasa Melayu baku sudah menjadi bahasa rasmi sejak beratus-ratus tahun. Di perpustakaan Sorbonne di Perancis, ada dua pucuk
surat Raja Ternate kepada Raja Timor dalam abad ke-13 yang ditulis dalam bahasa Melayu Hikayat. Kenyataan itu membuktikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
yang penting untuk urusan rasmi. Bahasa berkembang, bertukar dan berubah; iaitu yang dikatakan pendekatan dinamik (tidak statik).

Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia. Sebelum 1969, Bahasa Kebangsaan ini dikenali sebagai bahasa Melayu, tetapi sesudah 13 Mei 1969, bahasa ini diberi
nama baru. Namun, nama baru ini dapat diumpamakan sebagai pakaian baru yang dikenakan oleh orang perseorangan untuk tujuan tertentu tanpa menimbulkan sebarang
perubahan kepada dirinya (Asmah Omar, 1978).

'Bahasa menunjukkan Bangsa' adalah perumpamaan yang sering disebutkan di dalam penggunaan berbahasa. Ini bermaksud secara tidak langsung, kita akan memartabatkan
bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama di dunia. Sebelum era kemerdekaan, bahasa Melayu telah banyak melalui cabang-cabang kegemilangan sebagai bahasa
yang dipertuturkan di dalam urusan rasmi. Justeru, proses perubahan zaman pada abad ke-20 telah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi
negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan dan bahasa utama di dalam sistem pendidikan. Bahasa Melayu mampu berkembang seiring dengan
keperluan dan tuntutan semasa serta berupaya menangani perubahan. Bahasa Melayu mempunyai kekuatan sejarah, kekuatan serumpun serta telah banyak melalui
pengalaman.

1.6 : PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

Pada tahap bahasa Melayu mencapai kekuatannya selepas era penjajahan, beberapa institusi telah wujud bagi mengembangkan dan memajukan bahasa Melayu. Melalui
penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaysia pada tahun 1956, pelbagai kegiatan dan aktiviti untuk mengembangkan lagi potensi bahasa Melayu telah berjalan
dengan rancak. Bahasa Melayu menjadi 'alat' perhubungan moden pada abad ke-20. Pelbagai bentuk program dan aktiviti kebahasaan diadakan oleh DBP, antaranya
penerbitan buku di dalam pelbagai bidang ilmu. DBP juga menghasilkan kamus dan perkataan-perkataan baharu Melayu.

Secara kasar, kemajuan dan pengalaman yang ditimba oleh bahasa Melayu adalah pada tahap yang memenuhi seluruh rakyat Malaysia, sama ada perkamusan di dalam
ekabahasa mahupun di dalam dwibahasa. Pengalaman bahasa Melayu telah berkisar pada perkembangan dan pengaruh yang ditinggalkan secara bertahap-tahap mengikut
peredaran masa. Oleh itu, bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa perhubungan di dalam bidang perdagangan, pemerintahan, ilmu pengetahuan serta dalam hubungan
diplomatik. Perubahan yang ditempuhi bahasa Melayu dengan 'seribu macam' pengalaman akibat berlakunya perubahan sejarah dan politik seperti geopolitik, selepas kolonial
dan kemerdekaan.

SUMBER WEB
Rujuk laman web berikut sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php

1.7 : PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Bahasa Melayu telah menjadi alat bahasa pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya di dalam sistem pendidikan negara. Keadaan ini berterusan apabila Bahasa Melayu
dijadikan sebagai mata pelajaran teras dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, perubahan telah berlaku di dalam sistem pendidikan negara apabila pengajaran bagi subjek atau mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan di dalam bahasa
Inggeris. Pengalaman Bahasa Melayu di dalam pengajaran di sekolah telah dipinggirkan selaras dengan dasar baru Kementerian Pelajaran yang menuntut supaya mata
pelajaran Inggeris dipertingkatkan. Akhirnya, bahasa Melayu akan lenyap sekiranya kerajaan dan pihak kementerian khususnya, meminggirkan mata pelajaran Bahasa Melayu.
Seharusnya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu kerana pengalaman yang lampau banyak 'mematangkan' bahasa Melayu di dalam pembentukan tamadun
Melayu di Malaysia sendiri.

Golongan yang dididik dengan bahasa pinjaman (bahasa Inggeris) akan membina pemikiran berdasarkan kepada bahasa pinjaman tersebut. Berdasarkan kajian, didapati
negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pengantar pendidikan akan dapat mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya. Contohnya, negara Jepun
yang menerima pendidikan Barat, masih lagi mengamalkan kebahasaan Jepun walaupun pentadbiran, perdagangan serta sains dan teknologi diserap daripada Barat. Keadaan
ini disebabkan keutuhan dan keaslian pemikirannya yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa ibundanya.

Perisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, telah meletakkan bahasa Melayu dalam Perlembagaan
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Selangkah demi selangkah, bahasa Melayu membentuk peranan dalam merealisasikan hasrat masyarakat
Malaysia untuk melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia di dalam negeri dan perkembangan ekonomi antarabangsa
seharusnya membawa bersama tanggungjawab pengembangan dan penggunaan bahasa Melayu. Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi
mempunyai nilai bahasa perpaduan bangsa di negara Malaysia. Usaha untuk menegakkan perpaduan bangsa adalah sesuai dengan prinsip demokrasi dan peruntukan
Perlembagaan, yakni tidak juga menghalang penggunaan bahasa kaum atau dialek masing-masing.

1.8 : PEMBINAAN TAMADUN MELAYU

Pengalaman bahasa Melayu sebagai alat komunikasi serta asas kepada pembinaan tamadun Melayu haruslah dikekalkan dan dipertahankan melalui tradisi ilmu. Bahasa
Melayu hendaklah berupaya mengungkapkan peranannya di dalam pelbagai bidang dan cara kehidupan bangsanya. Ia meliputi akal fikiran dan daya ciptaan di dalam tuntutan
kemasyarakatan, persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Perancangan bahasa Melayu yang lebih tersusun memperlihatkan bahasa sebagai lambang negara.

Pembinaan manusia yang berharkat-bermartabat sambil menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan teknologi selalu dipesankan melalui pesan-pesan bahasa. Oleh
sebab itu, fungsi dan kedudukan bahasa Melayu bukan hanya sebagai bahasa pergaulan atau lingua franca tetapi juga sebagai bahasa kebudayaan dan adat istiadat di dalam
masyarakat. Terdapatnya keragaman gaya bahasa dan variasi bahasa yang disebabkan pengelompokan masyarakat yang berupa idolektis, dialektis dan sosiolek. Bahasa
Melayu juga merupakan alat untuk mengekspresikan harapan, maksud dan keinginan yang berkait dengan diri sendiri, keluarga mahupun di dalam lingkungan masyarakat.

12
1.9 : PENYERAPAN BAHASA ASING

Bahasa Melayu memiliki sifat keterbukaan yang membenarkan penyerapan kata dan istilah daripada pelbagai bahasa, seiring dengan kehendak dan perkembangan zaman.
Keadaan ini disebabkan pengaruh dan hubungan bangsa atau suku bangsa lain dengan penggunaan bahasa Melayu. Penyerapan bahasa asing meliputi bahasa Sanskrit,
Jawa, Arab dan Inggeris. Penyebaran bangsa Melayu memberi petunjuk tentang penyebaran dan perkembangan bahasa Melayu. Selain itu, unsur asing yang menyusupi
bahasa Melayu itu dapat melengkapi kosa kata bahasa Melayu. Kajian dari aspek dialek yang digunakan, termasuklah bahasa daerah dari segi kosa kata, tatabahasa dan
sebagainya dianggap perlu di dalam bahasa Melayu.

Era Bahasa Melayu yang terus berkembang juga dapat menjelaskan lagi proses penerimaan bahasa Melayu itu sendiri, misalnya bahasa Melayu kuno yang dapat dilihat pada
aspek strukturnya. Dari sudut peminjaman, ia banyak diselitkan dengan kata Sanskrit. Bahasa Melayu tengahan pula dikatakan menerima pengaruh bahasa Arab. Datanya
banyak sekali berupa kitab, hikayat dan sebagainya. Pelbagai kemahiran telah diterapkan di dalam meningkatkan perkembangan bahasa yang banyak 'mendewasakan' bahasa
Melayu. Lazimnya, kemahiran bahasa merupakan matlamat utama di dalam pengajaran bahasa; iaitu kemahiran mendengar, bertutur, menulis dan membaca. Kemahiran
bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat; sama ada daripada kemahiran permulaan, kemahiran pertengahan atau kemahiran kefahaman yang juga dikenali sebagai
kemahiran tertinggi. Aspek bunyi dan tatabahasa Sanskrit turut meninggalkan kesan ke atas bahasa Melayu walaupun unsur ini tidak begitu jelas kelihatan dan menjadi
berkurangan dengan unsur penyerapan daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Pengaruh bahasa Inggeris bukan sahaja kelihatan melalui perbendaharaan kata, malahan
merangkumi morfologi dan sintaksis Melayu yang turut dipengaruhi dengan jumlah yang amat besar.

Pengaruh penyerapan dan penerimaan bahasa asing terus berkembang dan disesuaikan dengan penggunaan kata di dalam bahasa Melayu. Ini termasuk pengaruh Islam dan
Barat dan kemudian, pengaruh bahasa Jawa. Setelah kedatangan Islam, kedudukan bahasa Melayu amat penting kerana bahasa Melayu mula menjadi bahasa pengantar
agama. Peranan bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi penting. Perubahan dalam pandangan hidup keilmuan dan keintelektualan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa
Melayu.

Gerakan bahasa dan kebangsaan di Malaysia selepas kemerdekaan dilahirkan dengan ciri-ciri kebangsaan, salah satu daripadanya ialah bahasa. Perkembangan baru di dalam
bidang bahasa telah memesatkan lagi kegiatan bahasa, seperti penulisan di dalam bentuk novel, drama, sajak dan esei. Dengan itu, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi
bahan sastera, malahan perkembangan bahasa telah membentuk menjadi bahasa moden.

AKTIVITI 1.1

1. Nyatakan contoh yang sesuai bagi memperlihatkan perbezaan pada struktur bahasa.
2. Nyatakan kekuatan yang ada pada bahasa Melayu yang menjadikannya terus kekal dan hidup hingga ke hari ini.

3. .10 : FUNGSI BAHASA


4.
5. Bahasa adalah satu konsep umum yang menjadi dasar di dalam perhubungan. Terdapat beberapa sarjana yang memberi definisi mereka terhadap bahasa.
Menurut Kamus Linguistik, bahasa adalah keupayaan fitrah manusia yang berupa satu sistem lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh
kelompok sosial dan digunakan sebagai alat berkomunikasi (Kamus Linguistik, 1997:27). Menurut Gorys Keraf (1997:1), bahasa adalah alat komunikasi antara
anggota masyarakat berupa simbol bunyi yang dihasilkan oleh alat ucap manusia. Walau bagaimanapun, bahasa tidak semestinya sebagai alat berkomunikasi
kerana komunikasi juga boleh terbentuk melalui isyarat tubuh atau melalui cara yang telah disepakati seperti lukisan, asap api, bunyi gendang atau tong dan
sebagainya. Bahasa memberikan kemungkinan yang jauh lebih luas dan kompleks daripada yang dapat diperoleh dengan mempergunakan media tadi. Bahasa
haruslah merupakan bunyi yang dihasilkan oleh alat ucap manusia. Ia bukannya sebarang bunyi tetapi adalah bunyi yang merupakan simbol atau perlambangan.

Bahasa mempunyai fungsinya yang tersendiri. Ia boleh memberi fungsi apabila bahasa tersebut telah seragam penggunaannya melal ui perbendaharaan dan
pengimbuhan dan mengikuti segala peraturan penggunaannya (Darwis Harahap Mohamad, 2004: 50). Fungsi adalah beban makna suatu satuan bahasa atau
hubungan antara satu satuan dengan unsur-unsur gramatikal, leksikal/fonologi di dalam suatu deretan satuan/peranan unsur dalam suatu ujaran dan
hubungannya secara struktural (Harimurti Kridalaksana, 1993: 60). Terdapat beberapa fungsi bahasa yang utama.

Pada awalnya, seorang anak menggunakan bahasa untuk mengekspresikan kehendaknya atau perasaannya pada sasaran yang tetap. Proses kognitif, iaitu
pengenalan benda-benda kepada bahasa telah berlaku (Asmah Omar, 1993: 16). Inilah yang menjadi fungsi utama bahasa iaitu sebagai alat untuk
mengekspresikan apa yang terlintas dalam pemikiran. Di dalam perkembangan bahasa, kanak-kanak tidak lagi menggunakan bahasa hanya untuk
mengekspresikan kehendaknya, tetapi juga untuk berkomunikasi dengan lingkungan di sekitarnya.

Setelah dewasa, kita menggunakan bahasa untuk mengekspresikan diri dan berkomunikasi. Seorang penulis mengekspresikan dirinya melalui tulisan. Sebagai
contoh, tulisan kita dalam sebuah buku, merupakan hasil ekspresi diri kita. Ketika menulis, kita tidak memikirkan siapa pembaca. Kita hanya menuangkan isi hati
dan perasaan kita tanpa memikirkan apakah tulisan itu difahami orang lain atau tidak. Semasa menggunakan bahasa sebagai alat untuk mengekspresikan diri, si
pemakai bahasa tidak perlu mempertimbangkan atau memperhatikan siapa yang menjadi pendengarnya, pembacanya, atau khalayak sasarannya. Ia
menggunakan bahasa hanya untuk kepentingannya peribadi. Sebagai alat untuk menyatakan ekspresi diri, bahasa menyatakan secara terbuka segala sesuatu
yang tersirat di dalam dada kita. Unsur-unsur yang mendorong ekspresi diri adalah untuk menarik perhatian orang lain terhadap kita dan keinginan untuk
membebaskan diri kita daripada semua tekanan emosi (Gorys Keraf, 1997: 4).

Fungsi utama bahasa adalah sebagai alat komunikasi (Mokhtar Mansor, 1991: 22). Manusia memerlukan suatu medium untuk melawan bicara dengan orang
lain. Dalam komunikasi seharian, salah satu alat yang sering digunakan adalah bahasa, baik bahasa lisan mahupun bahasa tulisan. Bahasa menjadi alat
komunikasi yang paling efektif di dalam memastikan proses komunikasi berjalan lancar. Melalui komunikasi, kita mempelajari dan mewarisi semua yang pernah
dicapai oleh nenek moyang kita, serta apa yang dicapai oleh orang-orang yang sezaman dengan kita.

Sebagai alat komunikasi, bahasa merupakan saluran perumusan maksud, melahirkan perasaan dan memungkinkan kita menciptakan kerja sama yang
mewujudkan pelbagai aktiviti, merencanakan dan mengarahkan masa depan (Gorys Keraf, 1997: 4). Semasa menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi,
kita sudah memiliki tujuan tertentu antaranya ingin difahami oleh orang lain (Sumarsono, 2004: 143). Dalam berkomunikasi, kita mempertimbangkan bahasa apa
yang ingin digunakan. Misalnya, kata makro hanya difahami oleh orang berpendidikan, namun kata besar atau luas lebih mudah difahami masyarakat.

Bahasa adalah unsur kebudayaan yang telah memberi manfaat kepada pengalaman manusia. Melaluinya, manusia mempelajari dan mengambil bahagian
dalam pengalaman tersebut. Di dalam situasi ini, bahasa telah berfungsi sebagai alat integrasi dan adaptasi sosial atau kemasyarakatan (Sumarsono, 2004:
145). Masyarakat hanya dapat disatukan secara efisien melalui bahasa. Bahasa sebagai alat komunikasi, lebih jauh memungkinkan setiap orang untuk merasa
dirinya terikat dengan kelompok sosial yang dimasukinya. Seterusnya manusia dapat melakukan segala kegiatan kemasyarakatan dengan menggunakan
bahasa. Ia memungkinkan integrasi yang sempurna bagi setiap individu dengan masyarakatnya (Gorys Keraf, 1997: 5). Semasa mengadaptasi di dalam
lingkungan sosial tertentu, kita akan memilih bahasa yang kita gunakan bergantung pada situasi yang dihadapi. Kita menggunakan bahasa yang berbeza pada
orang yang berbeza. Kita perlu memilih dan menggunakan bahasa yang sesuai di dalam percakapan, misalnya menggunakan kata Kamu atau Saudara untuk
memulakan perbualan. Kita perlu bijak agar dapat menghasilkan perbualan yang sesuai. Kata kamu sesuai untuk rakan manakala saudara adalah untuk mereka
yang baru dikenali. Dengan menguasai bahasa suatu bangsa, kita dengan mudah berbaur dan menyesuaikan diri dengan bangsa tersebut (Zulkifley Majid, 1996:
16).

Fungsi seterusnya adalah sebagai alat di dalam mengawal sosial. Bahasa mampu untuk mengawal keadaan sosial dengan lebih efektif. Kawalan sosial ini dapat
diterapkan pada diri kita sendiri atau kepada masyarakat. Pelbagai penerangan, informasi dan pendidikan disampaikan melalui bahasa. Buku-buku pelajaran dan
buku-buku instruksional adalah salah satu contoh penggunaan bahasa sebagai alat kawalan sosial (Zulkifley Majid, 1996: 17). Ceramah agama atau dakwah
merupakan salah satu contoh penggunaan bahasa yang berfungsi sebagai alat kawalan sosial. Begitu juga penyampaian ilmiah atau politik. Kita juga sering
mengikuti diskusi atau perbincangan (talk show) di televisyen dan radio. Iklan layanan masyarakat atau layanan sosial merupakan salah satu kewujudan

13
penerapan bahasa sebagai alat kawalan sosial.

Semua itu merupakan kegiatan berbahasa yang memberikan kepada kita cara untuk memperoleh pandangan baru, sikap baru, perilaku dan tindakan yang baik
dengan menggunakan bahasa. Di samping itu, kita juga dapat belajar untuk menyemak dan mendengarkan pandangan orang lain mengenai suatu hal. Contoh
fungsi bahasa sebagai alat kawalan sosial yang sangat mudah kita terapkan adalah sebagai alat pereda rasa marah. Menulis merupakan salah satu cara yang
sangat efektif untuk meredakan rasa marah. Tuangkanlah rasa tidak puas hati dan marah kita ke dalam bentuk tulisan. Biasanya, pada akhirnya, rasa marah kita
beransur-ansur hilang dan kita dapat melihat persoalan secara lebih jelas dan tenang.

Bahasa sebagai alat untuk berfikir adalah fungsi yang hampir sama dengan ekspresi. Namun begitu, terdapat perbezaan yang ketara. Walaupun tanpa bahasa
manusia juga boleh berfikir, namun ia akan lebih bermakna seandainya ia dapat diinterpretasikan melalui bahasa. Dalam proses berfikir, kita menggunakan
bahasa agar apa yang kita fikirkan mampu untuk diungkapkan. Apa yang terbayang dalam pemikiran ialah bunyi-bunyi bahasa yang membentuk pertuturan atau
paparan. Paparan ini boleh diungkapkan menjadi suatu bahan iaitu bahan bertulis yang bercetak seperti buku, majalah dan akhbar. Selain itu, alat berfikir ini juga
boleh menjadi bahasa lisan yang boleh digunakan untuk berkomunikasi (Mokhtar Mansor, 1991: 23).

Bahasa juga berfungsi sebagai alat perakam (Mokhtar Mansor, 1991: 24). Apabila seseorang itu melihat gambar atau simbol, dia merakam apa yang dilihatnya
itu dalam fikirannya. Namun, ia tidak dapat dipancarkan kepada orang lain melainkan menggunakan medium seperti kamera. Tetapi sekiranya medium tersebut
tidak ada, manusia terpaksa menceritakannya. Di dalam hal ini, aspek bahasa adalah penting sebagai medium di dalam memindahkan segala apa yang ingin
diperkatakannya. Oleh itu, bahasa mengetengahkan fungsinya sebagai sebuah alat yang mampu merakam segala kejadian. Kejadian yang terakam
sememangnya tidak terbukti seperti apa yang mampu untuk dirakamkan melalui kamera tetapi ia diungkapkan kembali melalui penceritaan semula dengan
menggunakan bahasa.

Selain itu, terdapat beberapa orang tokoh seperti Karl Buhler, Simanjuntak, John Concon dan sebagainya yang telah mengemukakan fungsi bahasa mengikut
pandangan mereka sendiri.

Karl Buhler mengemukakan fungsi yang hampir sama dengan Simanjuntak. Mereka mengemukakan tiga fungsi utama bahasa iaitu Appel, Ausdruck dan
Darstellung. Appel/evokasi (membangkitkan) menunjukkan bahawa bahasa berfungsi sebagai alat untuk memerintah atau meminta lawan bicara untuk
melakukan sesuatu. Fungsi ini seperti seorang komander memberi arahan kepada pasukan mereka (Sumarsono: 148). Ausdruck/ekspresi (melahirkan) pula
menunjukkan bahawa bahasa berfungsi untuk mengungkapkan suasana hati penutur. Contohnya perkataan aduh, amboi dan wah. Perkataan ini sudah mampu
untuk memberitahu tentang suasana hati penutur. Fungsi seterusnya ialah Darstellung/representatif (mewakili) iaitu berfungsi untuk mengacu objek tertentu yang
berada di luar diri penutur dan lawan tuturnya. Fungsinya adalah untuk mengacu dan menjelaskan secara lebih terperinci, contohnya memberi analisis tentang
sesuatu.

John C. Concon Jr. turut memberi fungsi terhadap bahasa. Menurutnya, bahasa berfungsi untuk membuka perbicaraan, menghindarkan komunikasi, komunikasi
instrumental, komunikasi afektif, melepaskan tekanan perasaan, menceritakan perkara tahayul dan berfungsi dalam bidang ritual (Sumarsono, 2004: 154).

Halliday pula memberikan bahasa kepada beberapa fungsi iaitu sebagai fungsi deskriptif (menerang, menghurai), ekspresif (mengungkap) dan berfungsi di
dalam bidang sosial. Halliday (1978), juga menjelaskan bahawa bahasa berfungsi sebagai pencetus ideasional. Manusia menggunakan bahasa untuk menata
(mengorganisasikan) pengalaman penutur atau penulis tentang dunia nyata atau dunia fantasi kepada pengungkapan. Bahasa tersebut mengacu kepada
barang, orang, tindakan, peristiwa, keadaan dan sebagainya di dalam keadaan nyata atau yang dibayangkan. Bahasa juga berfungsi di dalam mengungkap
interpersonal manusia. Bahasa mampu untuk menunjukkan, membangun atau mempertahankan hubungan sosial antara manusia. Ini mencakupi bentuk
penyapaan, fungsi tutur, modalitas dan sebagainya. Fungsi seterusnya adalah sebagai tekstual. Di dalam hal ini, bahasa mencipta teks bertulis atau lisan yang
koheren di dalam dirinya dan yang sesuai bagi sesuatu situasi tertentu (Sumarsono, 2004: 49).

Bahasa boleh diperoleh daripada pelbagai sumber dan ia terbentuk daripada beberapa faktor, antaranya disebabkan oleh pengekodan, dialek dan sebagainya.
Bahasa mempunyai beberapa fungsi; sebagai alat ekspresi diri, alat komunikasi dan identiti diri yang memudahkan pekerjaan manusia. Melalui bahasa, kita
dapat menunjukkan sudut pandang kita, pemahaman kita atas suatu hal, asal usul bangsa dan negara kita, pendidikan kita, bahkan sifat kita. Bahasa menjadi
cermin diri kita, baik sebagai bangsa mahupun sebagai diri sendiri. Bahasa adalah suatu yang utuh dan bersistem, tidak menumpang kepada bahasa lain, wujud
secara tersendiri dan mempunyai banyak bentuk.

Derasnya arus globalisasi di dalam kehidupan telah menyerlahkan perkembangan dan pertumbuhan bahasa sebagai pendukung pertumbuhan dan
perkembangan budaya, ilmu pengetahuan dan teknologi. Semua manusia di dalam era ini memberi peranan penting di dalam dunia persaingan bebas dan
komunikasi. Konsep dan istilah baru di dalam pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat (IT) secara tidak langsung
memperkaya khazanah bahasa Melayu. Maka, semua produk budaya akan tumbuh dan berkembang pula sesuai dengan pertumbuhan dan perkembangan ilmu
pengetahuan dan teknologi itu. Sekali gus, ia berperanan sebagai prasarana berfikir dan pendukung pertumbuhan dan perkembangan IT. Menurut Sunaryo
(2000), tanpa adanya bahasa, bidang IT tidak dapat tumbuh dan berkembang. Selain itu, bahasa di dalam struktur budaya, telah memiliki kedudukan, fungsi, dan
peranan iaitu sebagai akar dan produk budaya. Bahasa menjadi medan prasarana pemikiran moden. Biasanya, penggunaan bahasa yang baik akan
menghasilkan buah fikiran yang benar. Bahasa juga menunjukkan identiti sesuatu bangsa. Oleh itu, bahasa perlu dipelihara kerana bahasa adalah jiwa bangsa.
6. 1.10.1 : Peranan Faktor Pembentuk Bahasa
7.
8. Pembentukan adalah perbuatan atau hal yang membentuk (Ahmad Mahmood, 2001: 133). Pembentukan bahasa adalah konsep umum yang mencakup infleksi,
devirasi, afiksasi dan penggabungan bahasa (Harimurti Kridalaksana, 1993: 159).

Faktor atau peranan pembentukan bahasa terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor ini menjadi asal kejadian kepada bahasa. Menurut hipotesis
monogenesis, semua bahasa di dunia ini berasal daripada satu bahasa induk. Bahasa merupakan sesuatu yang dikurniakan daripada tuhan yang telah tersebar
ke serata dunia. Ini berlandaskan daripada kitab-kitab suci setiap insan seperti Bible dan al-Quran (Sumarsono, 2004: 68).

Di dalam al-Quran sendiri ada menceritakan tentang hal ini, iaitu di dalam Surah al-Baqarah: Ayat 31 dan 32, Dan Allah mengajarkan kepada Nabi Adam
semua nama benda, kemudian Allah berfirman kepada malaikat, Sebutkan kepada-Ku nama-nama benda itu jika kamu memang benar. Mereka menjawab,
Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana (Terjemah al-Jumanatul Ali Al-Quran, 2004: 7).

Terdapat ahli falsafah yang tidak bersetuju dengan hipotesis monogenesis. E.B de Condillac (1968) mengatakan bahawa bahasa berasal daripada suara dan
gerak-geri badan yang mempunyai sifat naluri. Semua manusia dilengkapi dengan naluri. Naluri tersebut kemudiannya dibangkitkan oleh emosi yang kuat dan
suara-suara yang beremosi tersebut akan berubah menjadi bunyi-bunyi yang bermakna seterusnya membentuk bahasa.

Terdapat juga hipotesis yang disebut sebagai hipotesis polygenesis, iaitu hipotesis yang mengatakan bahawa bahasa-bahasa yang berlainan lahir daripada
pelbagai masyarakat yang berlainan dan bahasa tersebut berevolusi. Bahasa itu hadir sama ada kerana onomatope atau bahasa yang hadir akibat daripada
kesedaran manusia (Sumarsono, 2004: 72). Menurut Von Herder, bahasa lahir daripada alam dan onomatope iaitu tiruan daripada bunyi alam. Bunyi yang
ditimbulkan oleh alam seperti guruh dan bunyi binatang ditiru oleh manusia secara onomatope dan diolah untuk tujuan tertentu. Selepas pengolahan, peniruan
tersebut akan dimatangkan daripada dorongan hati manusia yang kuat untuk berkomunikasi.

Bloomfield telah mengemukakan tiga teori berkaitan asal kejadian bahasa. Teori pertama adalah teori bow-bow iaitu teori yang mengatakan bahawa bahasa
muncul daripada keupayaan manusia untuk meniru suara-suara lain. Teori ding-dong pula menyatakan bahawa bahasa berasal daripada keupayaan manusia
dalam memberi respons kepada bunyi yang dihasilkan oleh alam. Manakala, teori pooh-pooh menjelaskan bahawa bahasa berasal daripada teriakan kuat atau
seruan keras (Sumarsono, 2004: 70). Teori pembentukan bahasa ini adalah sesuatu yang abstrak.

Bahasa juga terbentuk hasil daripada pertembungan yang berlaku kepada bahasa atau disebut bilingualisme. Bilingualisme adalah pertembungan antara dua
bahasa dan penutur daripada kedua-dua bahasa tersebut berusaha untuk mempelajari bahasa daripada pihak masing-masing. Setiap penutur bahasa yang
berlainan akan berusaha untuk mewujudkan komunikasi dengan menguasai bahasa orang yang dilawan bicara. Contohnya, pertembungan antara bahasa
Inggeris dan bahasa Sanskrit telah membentuk bahasa baru seperti yang terdapat dalam beberapa perkataan bahasa Melayu (Kamarudin dan Siti Hajar, 1997:
14).

Faktor pembentukan bahasa yang paling utama berlaku hasil daripada pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kita mengetahui bahawa kanak-kanak tidak

14
memperoleh bahasa secara terus tetapi mereka harus melalui beberapa peringkat sehingga berjaya menguasai sesuatu bahasa. Mereka diajar sejak kecil untuk
mengenali bahasa tersebut (Harimurti Kridalaksana, 1982: 24). Pemerolehan ini berlaku sama ada orang dewasa memberi mereka bahasa asli atau pinjaman
atau menterjemah bahasa tersebut untuk memudahkan pemahaman kanak-kanak (Harimurti Kridalaksana, 1982: 55). Perkembangan kanak-kanak termasuk
pemikiran mereka telah membawa kepada kebolehan mereka untuk mengungkapkan pemikiran atau gagasan mereka sebagai tanda wujudnya sosialisasi
terhadap lingkungannya. Bahasa adalah satu proses yang sentiasa bersambung dan ia akan diperturunkan ke generasi seterusnya. Begitulah kita sebagai
manusia akan memperturunkan bahasa yang kita gunakan kepada anak-anak kita. Pemerolehan bahasa bagi setiap manusia iaitu kanak-kanak bermula ketika
mereka berumur 18 bulan dan ia hampir sempurna ketika mencapai usia 4 tahun (Sumarsono, 72). Pemerolehan bahasa ini bermula daripada proses prabahasa
hinggalah kepada bahasa, melalui pemberian nama oleh kanak-kanak itu kepada benda-benda yang dilihatnya kerana setiap kanak-kanak dilahirkan dengan
daya untuk memahami alam sekitarnya (Asmah, 1993: 67).

Faktor pembentukan seterusnya adalah melalui dialek. Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan di dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial.
Dialek berbeza daripada bahasa standard, loghat atau pelat daerah (Kamus Dewan, 2004: 302). Walaupun kita berteduh di dalam bumbung yang sama iaitu
Malaysia, namun wujud beberapa dialek seperti dialek Kelantan dan dialek Kedah (Asmah, 1993: 114). Variasi atau kelainan bahasa ini merupakan cabang
daripada bahasa Melayu, misalnya Sabah mempunyai variasi bahasanya sendiri dan orang kampung di kawasan pedalaman juga mempunyai variasinya sendiri.
Menurut Lyons, komuniti bahasa boleh wujud apabila semua orang dapat menggunakan satu bahasa atau dialek yang sama dalam sesebuah kawasan
(Kamarudin dan Siti Hajar, 1997: 2).

Dialek daerah dan dialek sosial adalah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau
dipanggil komunikasi bahasa (Kamarudin dan Siti Hajar, 1997: 5). Kedua-duanya wujud disebabkan oleh keadaan geografi, persekitaran, pergaulan dan faktor
politik, taraf pendidikan, kedudukan sosial, cara penyampaian, sikap penutur, gangguan latar belakang serta tempat.

Pembentukan bahasa seterusnya berlaku disebabkan adanya proses pengekodan bahasa. Biasanya, pengekodan bahasa ini membabitkan aspek tatabahasa,
sebutan ejaan, perkamusan dan peristilahan. Pengekodan ini biasanya menghasilkan satu bahasa baru. Di Malaysia, pewujudan bahasa baku adalah contoh
bahasa yang telah mengalami proses pengekodan. Bahasa baku adalah bahasa yang dikodifikasi dan diterima oleh masyarakat secara umum serta menjadi
model kepada masyarakat bahasa tersebut. Oleh itu, bahasa yang telah dikodifikasikan adalah bahasa yang bersistem atau mempunyai peraturan.

Menurut Nik Safiah Karim (1975), Bahasa Melayu standard ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini
berkumpul dan berbincang dengan tujuan untuk difahami, tiap pihak berusaha menggugurkan ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit
sebanyak variasi yang berasaskan bahasa Melayu dialek Johor-Riau, tetapi kini pertuturan bahasa Melayu umum telah mempunyai sifat-sifat tersendiri.

Bahasa merupakan suatu sistem komunikasi yang mempergunakan simbol vokal (bunyi ujaran) yang bersifat arbitrer. Bahasa dapat diperkuat dengan gerak-geri
badan yang nyata. Ia merupakan simbol atau lambang kerana rangkaian bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi manusia harus diberikan makna tertentu, dan
ia biasanya menggunakan simbol tertentu.

9.
SEMAK KENDIRI 1.2
10.
Pengalaman bahasa Melayu merentasi zaman. Bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa utama dunia sejak dahulu hingga kini. Persoalan yang timbul
dewasa ini, bersetujukah anda bahawa Bahasa Melayu perlu dipinggirkan dalam bidang keilmuan
11.

RUMUSAN

Secara kesimpulannya, bahasa memainkan peranan yang sangat penting di dalam kehidupan kita seharian. Bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat
komunikasi tetapi turut memainkan peranan sebagai alat perpaduan dalam menyatukan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya.
Dengan hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu telah berjaya menyatukan pelbagai etnik sehingga bangsa kita menjadi satu bangsa yang aman dan harmoni
tanpa sebarang permusuhan atau persengketaan.
Istilah linguistik berasal daripada kata Latin lingua yang membawa maksud bahasa.
Ilmu linguistik dikatakan bersifat umum yang bermaksud bahawa bidang kajian ilmu linguistik ini tidak bersifat spesifik, yakni hanya menyelidik kepada bahasa
tertentu sahaja.
Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik yang bermakna di dalam bidang kajian linguistik seperti juga disiplin ilmu yang lain mempunyai
sistem yang teratur bagi merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari.
Kajian linguistik meliputi fonetik dan fonologi, morfologi, sintaksis, leksikografi, semantik, pragmatik, linguistik sinkronik dan linguistik diakronik, sosiolinguistik dan
linguistik teoretis dan linguistik terapan.
Struktur bahasa meliputi tata tingkat bahasa yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana.
Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa nasional kerana penyebarannya yang luas di Nusantara dan peranan tokoh yang berpengaruh.
Bahasa Melayu telah menjadi alat bahasa pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya di dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dijadikan sebagai mata
pelajaran teras di dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bahasa Melayu memiliki sifat keterbukaan yang membenarkan penyerapan kata dan istilah daripada pelbagai bahasa seiring dengan kehendak dan
perkembangan zaman.
Bahasa berfungsi untuk membuka perbicaraan, menghindarkan komunikasi, komunikasi instrumental, komunikasi afektif, melepaskan tekanan perasaan,
menceritakan perkara tahayul dan berfungsi dalam bidang ritual.
Bahasa juga bersifat deskriptif (menerang, menghurai), ekspresif (mengungkap) dan berfungsi di dalam bidang sosial.
Pembentukan bahasa adalah konsep umum yang mencakup infleksi, devirasi, afiksasi dan penggabungan bahasa.
Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pelbagai domain.

TOPIK 2 : STILISTIK

HASIL PEMBELAJARAN

15
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Menyatakan definisi ilmu stilistik;


2. Menyatakan ciri-ciri ilmu stilistik;
3. Menjelaskan stilistik di dalam bahasa;
4. Menjelaskan bahasa bandingan; dan
5. Menjelaskan keberkesanan stilistik di dalam bahasa.

PENGENALAN

Perbincangan mengenai stilistik adalah berkenaan dengan gaya (style). Dalam bahasa Melayu, kata stylistics menjadi stilistik. Sebagai pendahuluan, kita akan membicarakan
persoalan istilah terlebih dahulu. Persoalan ini pula berkaitan dengan berbagai-bagai persoalan lain, misalnya istilah dan pengertian yang berhubungan dengan style dan
stilistik atau persoalan yang berhubungan dengan kemunculan ilmu itu sendiri, yang juga berhubungan dengan hakikatnya sebagai ilmu.

Sebelum timbul ilmu stilistik, iaitu kajian gaya yang digunakan untuk menganalisis karya sastera, bahasa memang sudah mempunyai apa yang dinamakan gaya. Ini kerana
semua pengucapan yang tidak lurus seperti yang biasa dipakai oleh masyarakat adalah gaya. Kelainan daripada bahasa yang lurus dan biasa itu dipakai untuk bercakap atau
menulis. Maka, timbullah berbagai-bagai kelainan dan ia membezakan gaya tertentu antara satu sama lain.

Stilistik ialah ilmu yang masih baru dan kedudukannya masih goyah. Kesedaran tentangnya masih goyah, terutamanya tentang gaya yang sudah lama wujud bagi mengkaji
gaya yang terdapat di dalam sesebuah karya sastera. Terdapat dua faktor yang menyebabkan perkembangannya lambat. Ini dinyatakan seperti berikut:

a. Perhatian terhadap gaya mungkin pernah muncul pada orang yang hidup di dalam dunia sastera dan mereka sedar, pemakaian bahasa mereka berbeza
daripada bahasa seharian mereka.

b. Di dalam hubungan dengan perkembangan lainnya, ada keinginan untuk merumuskan gaya yang terdapat pada bahasa yang indah itu dengan menghubungkan
gaya dengan keindahan.

Kedua-dua faktor ini berpengaruh terhadap kelambatan munculnya stilistik sebagai ilmu. Gerak ke arah stilistik sebagai ilmu hanya muncul setelah adanya perubahan besar di
dalam perkembangan linguistik dan kajian karya sastera.

Berdasarkan gerak ke arah menjadikan stilistik sebagai bidang ilmu yang penting, maka dalam topik ini, pelajar akan didedahkan tentang kepentingan ilmu stilistik yang meliputi
definisi stilistik, ciri-ciri stilistik, stilistik di dalam bahasa, bahasa perbandingan dan keberkesanan stilistik di dalam bahasa. Kesemua subbidang ini akan disentuh
memandangkan kepentingannya di dalam memberi gambaran kasar kepada pelajar sebelum mendalami bidang ini secara lebih mendalam di dalam topik yang berikutnya.

SEMAK KENDIRI 2.1


Apakah yang anda faham dengan ilmu stilistik. Adakah anda fikir ilmu stilistik penting kepada guru bahasa Melayu?

16
2.1 : DEFINISI STILISTIK

Stilistik berasal daripada Bahasa Inggeris, iaitu style yang bererti gaya dan daripada bahasa serapan, linguistic yang bererti tatabahasa. Menurut Kamus Bahasa Indonesia,
stilistik ialah ilmu kebahasaan yang mempelajari gaya bahasa. Menurut Bally, Jacobson, Leech, Widdowson, Levin, Ching, Chatman, Dalan dan lain-lain, mereka menjelaskan
stilistik sebagai suatu deskripsi linguistik daripada bahasa yang digunakan di dalam teks sastra.

Bagi Leech, stilistik adalah pembelajaran gaya ilmu linguistik atau simply defined as the (linguistic) study of style. Wawasan demikian adalah seiring dengan pernyataan
Cummings dan Simmons; bahawa pembelajaran bahasa di dalam teks sastera merupakan a branch of linguistic called stylistic. Di dalam konteks yang lebih luas, Jacobson
beranggapan bahawa puitika (poetics) sebagai teori tentang sistem dan kaedah teks sastera sebagai bahagian yang tidak dipisahkan daripada linguistik.

Manakala, Chvatik pula mengemukakan stilistik sebagai kajian teks sastera dan kod estetik dengan kajian stilistik yang mengkaji bahasa dalam teks sastera, sebagaimana
bahasa menjadi objek kajian linguistik (Aminuddin, 1995: 22). Sedangkan menurut Rene Wellek dan Austin Warren, stilistika perhatian utamanya adalah kontras sistem bahasa
pada zamannya (Wellek dan Warren, 1990: 221).

Bertolak daripada berbagai pengertian yang telah disebutkan, Aminuddin mentakrifkan stilistik sebagai pengajian tentang cara pengarang di dalam menggunakan sistem tanda
sejajar dengan gagasan yang ingin disampaikan secara kompleks, dan juga kekayaan unsur pembentuk itu yang dijadikan sasaran kajian hanya pada wujud penggunaan
sistem tandanya.

Walaupun fokusnya hanya pada sistem tanda untuk memperoleh pemahaman tentang ciri-ciri penggunaan, apabila sistem tanda dihubungkan dengan cara pengarang di dalam
menyampaikan gagasan, kita perlu juga memahami:

a. Gambaran objek/peristiwa

b. Gagasan

c. Ideologi yang terkandung di dalam karya sasteranya

Mengikut Kamus Linguistik Edisi Ketiga, stilistik boleh didefinisikan sebagai ilmu yang menyelidiki bahasa yang dipergunakan di dalam karya sastera atau ilmu yang bersifat
interdisiplin antara linguistik dan kesusasteraan ataupun penerapan linguistik pada penelitian gaya bahasa.

Mengikut Kamus Zaba, stilistik ialah suatu kajian mengenai teknik penggunaan gaya bahasa yang mantap serta secara berkesan di dalam sesuatu penulisan. Kamus Dewan
Edisi Ketiga pula mengatakan stilistik ialah kajian tentang teknik penggunaan gaya bahasa secara berkesan di dalam penulisan. Ianya berkaitan dengan stail atau gaya,
terutamanya gaya bahasa.

Tahukah anda stilistik ialah satu kajian stail yang melibatkan bentuk atau bahasa dan isi kesusasteraan? Ia meliputi kajian mengenai teknik pemakaian bahasa di dalam
penulisan dan teknik yang mengkaji segala kemungkinan yang berkaitan dengan gaya bahasa penulisan kesusasteraan yang semata-mata untuk mendapatkan kefahaman
sebenar tentang teks kesusasteraan (Nik Hassan Basri: 378).

Stilistik juga merupakan satu lagi disiplin yang mengkaji ciri-ciri linguistik yang berbeza yang berlaku di dalam kalangan kelompok sosial. Kelompok sosial itu pula dibezakan
oleh bidang pekerjaan atau perbezaan kelas di dalam sesuatu masyarakat. Walau bagaimanapun, pada kebiasaannya, stilistik merujuk kepada kajian mengenai bahasa literari
sesuatu komuniti dengan menggunakan kaedah linguistik.

Kaedah ini telah banyak dipakai. Antaranya ialah untuk menghuraikan tingkah laku bentuk-bentuk bahasa tulisan yang digunakan atau dicipta oleh pengarang di dalam karya
deskriptif mahupun karya kesusasteraan. Di dalam karya kesusasteraan, bentuk bahasa tulisan atau gaya bahasa banyak dipakai. Oleh itu, berdasarkan jenis bahasa inilah,
maka stilistik berusaha mencari jalan keluar bagi menghuraikan perhubungan antara bentuk pengucapan dengan makna yang dibawa olehnya (Nik Hassan Basri: 378).

Menurut Keris Mas, stilistik ialah kajian stail yang mengkaji segala kemungkinan gaya kesusasteraan untuk menilai dan mendapat kefahaman sebenar mengenai sesebuah teks
kesusasteraan. Segala hubungan yang menimbulkan kelainan gaya bahasa, baik gaya individu mahupun implikasi lain, yang melibatkan lahirnya hasil sastera yang
diperhatikan dan diberi saluran kajian khusus. Selain itu, kesusasteraan yang mempunyai sifat dan hakikat perkembangan dan perubahan yang sejajar dengan perkembangan
fikiran dan realiti hidup manusia dan masyarakat, ikut dipertimbangkan, dikaji dan dihubungkan dengan kajian gaya(Keris Mas: 8).

Kajian terhadap teks sastera secara tradisional hanya terbatas pada kelainan bahasa dalam hubungan dengan kehendak tatabahasa, di samping kelainan yang bersifat
figuratif; iaitu penggunaan peribahasa, bahasa kiasan, sindiran, ungkapan dan sebagainya. Kajian stilistik telah berubah kepada kajian yang dianggap lebih objektif dan
saintifik. Ia meliputi kajian terhadap teks sastera, yang tidak lagi dari sudut kebahasaan saja tetapi juga dari sudut isi yang disampaikan dengan penggunaan bahasa itu.

Perubahan kajian ini disebut kajian bentuk dan kajian isi, yang diandaikan sebagai apa yang diperkatakan (isi) dan apa cara mengatakan (bentuk atau bahasa). Dengan stilistik,
pendekatan terhadap kajian teks sastera meninggalkan cara pendekatan yang subjektif dan impresionis dan memasuki cara baru yang lebih objektif dan lebih saintifik (Keris
Mas: 8).

Di dalam disiplin linguistik, terdapat stilistik. Stilistik merujuk kepada penggunaan prinsip linguistik terhadap bahasa sastera. Stilistik atau ilmu gaya dapat dianggap sebagai
kajian variasi linguistik. Variasi linguistik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks teks dan konteks situasi. Stilistik juga mempunyai hubungan yang rapat dengan
disiplin sosiolinguistik dan dialektologi. Kedua-duanya pula merupakan cabang linguistik (Azmi Rahman, Esasterawan.com).

Beberapa pendapat lain yang sempat dikutip telah diutarakan oleh Freeman (1970: 4). Baginya, stilistik melihat penggunaan bahasa yang menyimpang atau deviasi daripada
norma tatabahasa, penggunaan pengulangan dan meminjam usaha pengarang (di dalam konteks ini penyair) untuk mendapatkan kepadatan tulisannya.

Murry pula berpendapat bahawa stilistik ialah gaya dan sesuatu yang istimewa, teknik eksposisi, pencapaian estetika dan pernyataan sikap penulis. Pemilihan kata dan
penyusunan struktur ayat itu memperlihatkan ciri-ciri keperibadian penulis.

Bahasa sastera, khasnya bahasa puisi adalah bahasa yang paling menonjol deviasi atau penyimpangan bahasa. Di dalam kajian puisi, stilistik melihat kaitan bahasa puisi
dengan unsur linguistik seperti fonologi, morfologi dan sintaksis. Stilistik juga melihat diri puisi sebagai bahasa kreatif yang membenarkan terjadi deviasi/penyimpangan di
dalam aspek linguistik secara eksplisit mahupun implisit (Esasterawan.com).

Di dalam kajian stilistik, karya sastera dianalisis dengan menggunakan pendekatan linguistik. Tujuan utama ialah untuk melihat dan mengesan nilai estetik atau gaya
pemakaian bahasa di dalam diri karya tersebut. Penerapan unsur linguistik-stilistik di dalam menilai karya sastera sebenarnya dapat membantu disiplin kritikan sastera supaya
lebih mantap, beraneka ragam dan tahap penghayatan karya sastera itu dapat diangkatkan lagi tingkatnya (Esasterawan.com).

Kridalaksana (1982: 157), di dalam Kamus Linguistik, memberikan batasan stilistik. Menurutnya, stilistik adalah ilmu yang menyelidiki bahasa yang dipergunakan di dalam karya

17
sastera; iaitu ilmu interdispiliner antara linguistik dan kesusasteraan atau penerapan lingustik pada penelitian gaya bahasa (Dwisusanto, Wordpress.com).

Tuner (1977: 7), juga memberikan pengertian tentang stilistik. Menurutnya, stilistik adalah bahagian daripada linguistik yang memusatkan perhatiannya pada variasi
penggunaan bahasa, terutama dalam kesusasteraan.

Fowier (1987:237), mengatakan bahawa stilistik merupakan cabang daripada pengajaran sastera. Menurutnya, para ahli mengatakan bahawa stilistik meneliti sastera pada
aspek bahasanya; yakni imej, stuktur suara, sintaksis dan lain-lain.

Umar Junus (1989: xvii), mengatakan bahawa hakikat stilistik adalah pemakaian dan penggunaannya di dalam karya sastera. Tetapi kemunculannya sudah ada di dalam
linguistik. Menurutnya, stilistik dipakai sebagai gabungan, iaitu ilmu sastera dan ilmu linguistik. Selanjutnya, Umar Junus (1989: xviii) mengusulkan bahawa stilistik menjadi ilmu
yang berdiri sendiri, terlepas daripada linguistik ataupun sastera.

Sebagaimana yang kita sudah ketahui, stilistik adalah ilmu tentang gaya bahasa. Gaya bahasa sendiri adalah pemanfaatan kekayaan bahasa oleh seseorang di dalam bertutur
dan menulis, pemakaian ragam tertentu untuk memperoleh kesan tertentu serta keseluruhan ciri bahasa sekelompok penulis sastera (Kridalaksana, 1982: 49-50).

Enkvist (Junus, 1989: 4), mengatakan bahawa gaya bahasa ada enam pengertian, seperti berikut:

a. Bungkus yang membungkus inti pemikiran yang telah ada sebelumnya

b. Pilihan antara berbagai pernyataan yang mungkin

c. Sekumpulan ciri peribadi

d. Penyimpangan norma atau kaedah

e. Sekumpulan ciri kolektif

f. Hubungan antara satuan bahasa yang dinyatakan di dalam teks yang lebih luas daripada kalimat

Untuk mengkaji karya sastera dari sudut stilistik, ada dua kemungkinan di dalam mendekatinya, iaitu:

a. Pertama, pengajaran stilistik dilakukan dengan cara menganalisis sistem linguistik karya sastera dan dilanjutkan dengan menginterpretasi ciri-cirinya. Ia dilihat
daripada tujuan estetik karya sastera sebagai makna yang penuh.

b. Kedua, penelitian stilistik ini dilakukan dengan menghayati variasi terhadap pemakaian bahasa yang normal dan menemukan tujuan estetiknya (Wellek dan
Warren, 1990: 226).

Berdasarkan kedua-dua pendekatan tersebut, ternyata terdapat perbezaan mengikut bidang kajian masing-masing. Namun, kedua-dua pendekatan tersebut pada hakikatnya
tidaklah saling bertentangan (Dwisusanto, Wordpress.com).

Stilistik ialah kajian kuantitatif yang berkaitan dengan usaha mendapatkan atau membuktikan ciri-ciri keindahan bahasa yang universal berkenaan sesuatu karya sastera. Ciri-
ciri keindahan bahasa yang universal itu; misalnya berupa rangkaian (perulangan) sesuatu bentuk linguistik seperti ayat jenis tertentu atau bunyi tertentu. Sesuatu karya sastera
boleh berupa novel, cerpen, drama, puisi moden atau sajak (Lutfi Abas, 1988 : 210). Stilistik wujud sebagai cabang disiplin linguistik yang berdiri sendiri pada penghujung abad
ke-19 dan awal abad ke-20.

Di dalam bahasa Inggeris, stilistik mula digunakan pada tahun 1846. Mengikut Awang Sariyan (1985), daripada dua aliran pemikiran yang dikembangkan oleh Charles Bally dan
Leo Spitzer itu, ahli-ahli stilistik menyimpulkan dua jenis kajian stilistik, iaitu:

a. Kajian tentang unsur-unsur ekspresif bahasa yang dapat menampilkan pemikiran dan perasaan seefektif mungkin

b. Kajian tentang gaya bahasa pengarang secara individu.

Lutfi Abas, dalam tulisannya cuba menunjukkan perbezaan antara stilistik dengan linguistik. Dengan cara membuat perbandingan ini, maka beliau dapat mengemukakan takrif
stilistik dengan lebih jelas. Ini akan diterangkan seterusnya.

18
SUMBER WEB
Rujuk laman web berikut sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai pengasas kamus za'ba.

http://nsembilan.jkr.gov.my/teratak_zaba.htm

2.2 : CIRI-CIRI LINGUISTIK

Stilistik atau kajian bentuk boleh dibahagikan kepada dua perkara. Pertama, kajian tentang kelainan bahasa yang mengandungi bentuk gaya bahasa pengulangan, penyirnaan,
perbandingan, pertautan dan pertentangan. Kelainan bahasa juga termasuk peribahasa, sindiran dan gaya retorik. Ciri yang keduanya ialah pemakaian bahasa yang termasuk
segala yang tercakup dalam linguistik seperti fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.

Stilistik di dalam kajian bahasa secara umumnya boleh dibahagikan kepada lima bahagian. Ianya boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian yang utama tadi.

a. Ciri-ciri yang terdapat di dalam gaya bahasa perbandingan adalah seperti imejan, metafora, personifikasi, pleonasme dan simile.

b. Gaya bahasa pertentangan pula adalah seperti hiperbola, inversi dan paradoks.

c. Sementara, gaya pertentangan merangkumi aliterasi, anafora, asonansi, epifora, rima dan sinkof.

d. Gaya yang terakhir ialah penyirnaan yang hanya terdapat satu ciri sahaja iaitu sinkof. Kesemua gaya ini mempunyai takrifan dan ciri-ciri yang membezakan di
antaranya. Di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, gaya bahasa ini diajar mengikut tahap-tahap tertentu. Misalnya, gaya bahasa perbandingan simile diajar
kepada pelajar-pelajar tingkatan satu.

Sungguhpun gaya bahasa pertautan tidak terdapat di dalam sukatan pelajaran, ianya juga perlu dikuasai oleh guru bagi membezakannya dengan ciri-ciri yang lain. Menurut Nik
Hassan Basri (2005), gaya bahasa pertautan ialah gaya bahasa yang menghubungkan sesuatu yang memiliki ciri atau sifat tertentu dengan yang lain. Antara gaya bahasa yang
selalu dikelompokkan di dalam gaya bahasa ini ialah gaya bahasa sinekdok, eufemisme, epitet, antonomasia, eponim, metonimia dan alusi.

Kilatan atau bayangan merupakan nama lain bagi alusi. Alusi merupakan pemerian yang membayangkan atau merujuk sesuatu secara tidak langsung kepada sesuatu cerita.
Contohnya, gambar yang ditunjukkan itu mengembalikan kenangan kita kepada peristiwa Mei 1969. Seterusnya, antonomasia melibatkan penggunaan jabatan, kementerian
dan gelaran tertentu seperti Dekan dan Guru Besar. Ciri yang seterusnya ialah epitet yang menjadi keterangan atau frasa yang menggelarkan atau merupakan suatu huraian
yang menjelaskan atau menggantikan nama sesuatu benda atau gaya bahasa. Ia merangkumi pengganti simbol atau lambang yang menyatakan sesuatu sifat atau ciri yang
khas daripada seseorang atau sesuatu hal. Contoh perkataan yang sering digunakan bagi menggambarkan ciri ini ialah Loceng pagi yang bersahut-sahut pada pagi itu di
rumah saya. Loceng pagi itu sebenarnya menggambarkan ayam jantan yang berkokok.

Eponim pula ialah sejenis gaya yang menggunakan nama seseorang yang memiliki sifat tertentu dipakai di dalam ayat bagi menghubungkan sifat yang dimilki oleh orang lain.
Contoh ayat, Perangai kamu ini seperti Pak Pandir. Manakala, eufemisme merupakan kata atau ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti kata-kata atau ungkapan yang
dianggap kasar atau keras. Contohnya, perkataan mati dan beranak. Terdapat perkataan yang sinonim dengan perkataan ini seperti meninggal dunia. Perkataan ini lebih
lembut berbanding mati. Tetapi bagi menggambarkan ciri eufemisme, perkataan kasar digunakan. Metonimia pula digunakan bagi menjelaskan ciri atau nama seperti jenama
dan sebagainya. Ciri yang terakhir di dalam gaya pertautan adalah sinekdok. Sinekdok membawa maksud perkataan yang disebut itu membawa maksud sepenuhnya,
walaupun perkataan separuh sahaja digunakan. Contohnya, Setelah mereka pergi dari rumah, batang hidung pun tidak nampak. Batang hidung itu mewakili keseluruhan
tubuhnya (Nik Hassan Basri, 2005).

Gaya bahasa penyirnaan atau pelesapan ialah bentuk bahasa yang mengalami unsur pengguguran bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayatnya. Antara unsur-unsurnya
ialah sinkof, afesis, akronim, apokop, elipsis dan aferisis. Aferisis atau aferesis ialah salah satu gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran bunyi atau kata pada awal ujaran
atau huruf awal atau suku kata awal bagi sesuatu perkataan. Pengguguran ini adalah bagi memudahkan penutur menyebutnya. Contoh perkataan yang sering digugurkan ialah
perkataan hulu menjadi ulu dan kamu menjadi mu sahaja.

Sementara itu, kata yang mengalami proses penyingkatan pula disebut sebagai akronim. Penyingkatan ini adalah disebabkan oleh pengguguran huruf atau suku kata di dalam
struktur kata tertentu, sama ada hasil daripada cantuman dua atau lebih perkataan sehingga akhirnya membentuk satu perkataan yang terdiri daripada satu atau lebih suku
kata. Contohnya, ABIM yang bermaksud Angkatan Belia Islam Malaysia. Apokop pula ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan yang mengalami proses pengguguran huruf akhir,
praakhir atau suku kata akhir bagi sesuatu perkataan, contohnya anakanda menjadi anak sahaja. Seterusnya, elipsis merupakan sejenis gaya bahasa penyirnaan yang di
dalam struktur ayatnya dihilangkan kata, frasa atau rangkai kata, atau pengguguran tertentu seperti pengguguran frasa nama sebagai subjek, objek. Ia juga termasuk
pengguguran seluruh frasa predikat atau pengguguran bahagian frasa predikat atau gaya bahasa, yang di dalam ayatnya didapati adanya unsur penghilangan atau
pengguguran kata atau kata-kata atau ayat yang menjadi unsur penting di dalam pembinaan sintaksis yang lengkap. Di dalam contoh ayat, Dia dirotan, frasa yang digugurkan
ialah oleh gurunya.

Proses penyingkatan adalah disebabkan pengguguran huruf, suku kata atau bahagian suku kata di dalam struktur kata dan rangkai kata tertentu, sama ada hasil daripada
cantuman dua atau lebih, tetapi pencantuman itu tidak boleh membentuk akronim. Contohnya, Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Pengguguran huruf sisip atau suku kata sisip
perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah. Contohnya, baharu menjadi baru sahaja. Afesis dan aferisis adalah hampir sama, tetapi afesis
menggugurkan bunyi vokal bagi sesuatu kata, manakala aferisis sebaliknya. Contoh perkataan adalah adinda menjadi dinda. Kesemua ciri di bawah penyirnaan ini adalah
hampir sama, tetapi mempunyai hanya sedikit perbezaan dari segi pengguguran penyingkatan.

Ciri stilistik keempat yang terdapat di dalam gaya bahasa pengulangan atau repetisi bermaksud gaya bahasa yang mengandungi unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata,
frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan di dalam sebuah konteks yang sesuai. Terdapat lima ciri yang sering
digunakan di dalam sukatan pelajaran iaitu aliterasi, anafora, asonansi dan epifora. Sementara itu, terdapat sembilan ciri yang kurang digunakan iaitu anadiplosis,
antanaklasis, asindeton, epanalepsi, epanortesis, epizeukis, erotesis, gradasi dan kiasmus.

Pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berurutan, sama ada di dalam puisi tradisional, moden, prosa tradisional, moden kreatif atau bukan kreatif.
Gaya bahasa ini terbentuk hasil daripada pengulangan konsonan yang sama. Oleh yang demikian, Taringan (1985a: 181, 1985a: 197) mendefinisikan aliterasi sebagai
pemakaian kata yang permulaannya sama bunyinya. Contohnya, pengulangan konsonan d dara damba daku. Anafora pula ialah pengulangan perkataan pertama pada
setiap baris atau pada setiap ayat, yang biasanya secara berurutan supaya memperoleh kesan tertentu. Menurut Rahman Shaari (2004: 5), anafora ialah pengulangan kata

19
pada awal baris untuk ayat-ayat yang berturut-turutan. Pengulangan ini biasanya dapat dilihat di dalam beberapa rangkap sajak atau syair.

Seterusnya asonansi, pengulangan vokal pada setiap baris atau ayat yang biasanya berurutan seperti anafora. Di dalam bahasa Melayu, terdapat enam jenis vokal tetapi
bunyi-bunyi itu hanya diwakili oleh lambang 'a', 'e', 'i', 'o' dan 'u', iaitu sebanyak lima bentuk huruf sahaja. Contoh gaya bahasa asonansi yang dipetik daripada puisi, iaitu sajak
"Negeri Cinta" oleh Nahmar Jamil, iaitu pengulangan vokal 'a'. Puisinya adalah seperti berikut Alam adalah sebahagian daripada kami, alam adalah syurga bumi, cinta
kepadanya adalah cinta jutaan bunga-bungaan, cinta kepadanya cinta jutaan manusiawi. Setiap huruf a menggambarkan asonansi.

Epifora atau epistrofa ialah sejenis gaya bahasa pengulangan; iaitu pengulangan kata, frasa, beberapa kata pada akhir baris atau beberapa kala pada akhir ayat yang juga
berurutan. Gaya bahasa pengulangan ini biasanya terdapat di dalam puisi dan prosa. Contoh gaya bahasa epifora yang ditinjau di dalam prosa kumpulan Surat yang
merupakan buku karya S. Othman Kelantan iaitu: Aku tidak mahu. Benar-benar tidak mahu (halaman 29).

Rima akhir ialah bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir di dalam sesuatu rangkap, iaitu yang terdapat dalam puisi seperti syair, gurindam, pantun atau rima ialah
susunan bunyi atau keselarasan huruf pada akhir kata atau suku kata terakhir di dalam sesuatu baris atau serangkap puisi, misalnya aaaa, abab, abcabc, aabb, abba dan
selainnya. Contoh rangkap yang memaparkan rima akhir 'abab' yang dipetik daripada "Pantun Budi", iaitu: Tenang-tenang air di laut, sampan kolek mudik ke tanjung; hati
terkenang mulut menyebut, budi sedikit rasa nak junjung (Nik Hassan Basri, 2005).

Sungguhpun ciri-ciri ini juga terkandung di dalam gaya bahasa penyirnaan, namun ianya kurang diketahui. Anadiplosis ialah sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu kata atau
frasa terakhir di dalam satu klausa atau ayat, diulang menjadi kata atau frasa di dalam frasa pertama pada klausa atau ayat yang berikutnya. Contohnya, Di dalam raga ada
darah, di dalam darah ada tenaga, di dalam tenaga ada daya, di dalam daya ada segala. Antanaklasis pula ialah sejenis gaya bahasa pengulangan yang mengandungi
pengulangan kata yang sama bentuknya di dalam ayat, tetapi mempunyai makna yang berbeza. Contohnya, Burung kakak tua menegur kakak tua ayahku pagi kelmarin.

Gaya bahasa pengulangan yang menggunakan tanda baca yang sama berulang-ulang untuk menghubungkan kata, frasa, klausa, ayat antara satu dengan yang lainnya
menjadikan satu ayat yang panjang, iaitu hanya dengan tanda koma atau beberapa tanda koma. Gaya bahasa ini terlalu banyak menggunakan tanda koma di dal am satu ayat.
Penggunaan gaya bahasa ini boleh digunakan juga di dalam penulisan kreatif. Ianya dikenali sebagai asindeton. Sementara, epanalepsi membawa maksud pengulangan kata
pertama menjadi kata terakhir di dalam klausa atau ayat. Epanalepsi juga merupakan pengulangan awal kata di dalam struktur kata di dalam ayat menjadi kata yang terakhir di
dalam baris yang sama di dalam ayat. Contohnya, Mereka tidak lupa pesanan ibu mereka.

Epanortesis ialah gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan beberapa kata yang sama di dalam ayat. Tetapi di sebalik pengulangan itu, terkandung maksud ayat yang pada
mulanya ingin menjelaskan sesuatu tetapi diperbetulkan yang salah. Contohnya, Ramli makan nasi, eh makan bubur. Epizeukis ialah sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu
pengulangan kata atau frasa yang dipentingkan atau yang ditekankan itu diulang beberapa kali berturut-turut di dalam satu ayat. Contohnya, Ya Allah, Tuhan Yang Maha
Kuasa dan Maha Pengampun.

Erotesis pula merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan yang berupa pertanyaan yang sering digunakan di dalam ucapan, pidato, perbahasan atau penulisan yang
tujuannya adalah untuk mencapai keberkesanan yang mendalam dan penekanan serta pertanyaan yang disuarakan atau persoalan yang diajukan itu tidak mengharapkan
jawapan. Gradasi pula ialah gaya bahasa pengulangan yang memaparkan maklumat yang mengandungi beberapa kata atau frasa yang paling sedikit tiga kata atau istilah
yang hadir secara berturutan di dalam ayat yang mempunyai beberapa ciri kemaknaan atau semantik secara umum diulang-ulang dengan beberapa perubahan yang bersifat
kuantitatif. Misalnya, "Kita malah bermegah juga di dalam kesengsaraan kita kerana kita tahu bahawa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan
tahan uji, dan tahan uji menimbulkan harapan. Dan pengharapan tidak mengecewakan..." (Taringan, 1985: 239).

Gaya bahasa yang mengandungi kata yang berunsur pengulangan, yang sekali gus pula merupakan inversi hubungan antara dua kata di dalam satu ayat pula dikenal sebagai
kiasmus. Sementara, mesodilopsis atau nama lainnya responsif ialah gaya bahasa pengulangan; iaitu pengulangan kata atau frasa yang berada di tengah-tengah baris atau
pengulangan kata atau beberapa kata di bahagian tengah ayat atau di bahagian tengah baris sesuatu ayat yang berturut-turutan. Paralelisme ialah gaya bahasa pengulangan,
iaitu sejenis gaya yang berusaha untuk mencapai keselarian di dalam penggunaan kata-kata atau beberapa frasa yang menduduki fungsi yang sama di dalam bentuk kenahuan
yang sama. Contohnya, Rasuah bukan sahaja patut dikutuk tetapi patut diperangi habis-habisan. Polisindeton ialah sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu yang
menggunakan kata hubung yang sama diulang-ulang untuk menghubungkan kata dengan kata atau frasa dengan frasa atau klausa dengan klausa di dalam ayat. Contohnya,
Bapanya memelihara kambing dan ayam dan lembu dan kerbau di ladang. Gaya yang terakhir di dalam gaya bahasa yang berkaitan dengan pengulangan ialah tautotes.
Tautotes ialah sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu yang berupa pengulangan sebuah kata atau beberapa kata berkali-kali di dalam sebuah struktur ayat. Contohnya,
Abang mengunjungi kakak, kakak mengunjungi abang dan mereka saling kunjung mengunjungi.

Gaya bahasa pertentangan, mengemukakan makna yang bertentangan dengan makna yang bertentangan. Gaya yang sering digunakan di dalam gaya bahasa ini hanya tiga
sahaja iaitu hiperbola, paradoks dan inversi atau anastof. Manakala, gaya bahasa yang lain pula adalah seperti antifrasis, antiklimaks, apofasis, hipalase, hiperbaton, inuendo,
ironi, katabasis, klimaks, litotes, oksimoron, preterisio, sarkasme, satira, sinis, silepsi dan zeugma.

a. Hiperbola berasal daripada bahasa Yunani. Kata majmuk ini dibina melalui gabungan perkataan 'hyper' yang bermaksud melebihi dan 'ballien' yang bererti
meluahkan atau mengeluarkan. Jadi, maksud hiperbola ialah pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan semata-mata untuk mencapai kesan tertentu,
iaitu suatu gaya bahasa yang mengandungi kebenaran yang diperbesar-besarkan (Dale et al., 1971: 233). Dengan kata lain, hiperbola ialah ungkapan yang
melebih-lebihkan apa yang sebenarnya dimaksudkan: jumlahnya, ukurannya dan sifatnya (Moeliono, 1984: 3).

b. Paradoks ialah sejenis gaya bahasa pertentangan yang mengandungi pertentangan yang nyata dengan fakta yang ada, tetapi kenyataannya mengandungi
kebenaran dengan pendapat umum atau realiti. Ini bermaksud paradoks memaparkan suatu keadaan atau suasana yang berlawanan. Gaya bahasa ini boleh
dijumpai dalam teks komsas. Contohnya, di tengah-tengah kesedihan ada juga kelucuan (Dzul Karnain, 2000: 79).

c. Manakala, inversi atau anastrof pula ialah gaya bahasa pertentangan yang memfokuskan pembalikan kata-kata atau frasa yang berbeza daripada susunannya
yang lazim atau ayat yang susunnya dimulai dengan predikat dan diikuti oleh subjek, sama ada ayat aktif songsang atau ayat pasif songsang.

Kesimpulannya, bidang stilistik terkandung di dalam ciri-ciri linguistik yang berbeza yang berlaku dalam kelompok sosial. Stilistik mempunyai gaya bahasa yang tersendiri bagi
mengklasifikasikan sesuatu ayat, klausa, perkataan dan rangkap-rangkap di dalam teks komsas. Sungguhpun takrifannya hampir sama, namun ianya dibezakan dengan ciri-ciri
yang tersendiri.

SEMAK KENDIRI 2.2

1. Nyatakan contoh yang sesuai bagi memperlihatkan perbezaan pada ciri-ciri stilistik.
2. Nyatakan kekuatan yang ada pada ciri-ciri stilistik di dalam menghuraikan gaya bahasa.

20
2.3 : STILISTIK DALAM BAHASA

Menurut Seymour Chatman (1971), stilistik lebih membatasi dirinya kepada unsur bahasa. Oleh sebab itu, kebanyakan pembicaraan mengenai stilistik selalu dilihat di dalam
hubungan dengan bahasa dan linguistik. Sebelum timbul ilmu stilistik, iaitu ilmu kajian gaya yang digunakan untuk menganalisis hasil penulisan, bahasa memang sudah
mempunyai apa yang dinamakan gaya, kerana semua pengucapan yang tidak lurus seperti yang terbiasa dipakai oleh masyarakat adalah gaya. Kelainan daripada bahasa
yang lurus dan biasa itu dipakai oleh pelbagai orang, baik untuk bercakap atau menulis. Maka, timbullah berbagai-bagai kelainan. Setiap kelainan ini menjadi gaya tertentu
yang berbeza antara satu dengan yang lain (Keris Mas, 1988: 3).

Walaupun stilistik, sebagai satu disiplin ilmiah masih agak baru, namun pemikiran tentang gaya atau stail sudah lama timbul. Sejarah munculnya stilistik berkait rapat dengan
retorik sebagai disiplin pertama di dalam tradisi Barat yang memberikan penyataan bahasa. Stilistik sering dikaitkan dengan gaya. Gaya di dalam bahasa bermaksud cara
atau ragam bahasa itu dipakai. Pemakaian bahasa mempunyai pelbagai jenis kegunaan tertentu; seperti untuk menghuraikan ilmu pengetahuan, digunakan dalam bidang
penulisan serta pemakaiannya dalam konteks tidak rasmi (Keris Mas, 1988: 13).

Di dalam percakapan biasa, manusia selalu menggunakan pelbagai gaya walaupun ayat yang dituturkan mempunyai maksud yang sama, contohnya:

a. Dia itu orang bijak pandai

b. Dia itu pujangga besar

Kedua-dua ayat tersebut sama maknanya tetapi lain dari segi pengucapannya. Kelainan seperti itu sering berlaku di dalam bidang penulisan, selain kata-kata yang diucapkan
oleh manusia seharian. Kelainan pemilihan kata untuk menyatakan satu makna yang sama akhirnya menjadi salah satu unsur lahirnya gaya, yang pada dasarnya bermula
dengan percubaan mengucapkan sesuatu berlainan caranya daripada pengucapan biasa.Maka, berlakulah bermacam-macam kelainan daripada pengucapan biasa. Selain
daripada kelainan pemilihan kata, terdapat juga kelainan daripada penyusunan ayat. Struktur sintaksis yang lurus mengandungi subjek, predikat (misalnya) dilainkan dengan
menterbalikkan susunan seperti ayat berikut:

a. Makan dia bersama saya

b. Dia makan bersama saya

Seterusnya, terdapat pelbagai kelainan daripada pengucapan yang lurus hingga bahasa itu menjadi berwarna dan berbunga, indah dan menarik serta dapat berperanan untuk
menimbulkan rasa yang berlainan dan makna yang lebih halus (Keris Mas, 1988: 3).

Selain itu, apabila seseorang berhujah, bercakap, berkomunikasi atau berbual; apa yang ingin dilihat dan tahu bukan sahaja isi tetapi bagaimana caranya dilafazkan. Sesuatu
situasi atau lokasi juga memainkan peranan penting kerana ia boleh menentukan maksud sesuatu ujaran. Tentu sekali, sebagai seorang pendengar ingin tahu isi kandungan
mesej yang hendak disampaikan, apa cara disampaikan, bagaimana disampaikan dan respons yang patut diberi terhadapnya. Maka, stilistik merujuk kepada situasi sosial di
mana ujaran berlaku atau disampaikan. Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata-kata yang dilafazkan kerana melalui proses sosialisasilah, seseorang
itu berupaya membuat interpretasi isi kandungan ujaran. Sebagai contoh, seseorang itu dapat menentukan dan mengenal pasti asal-usul atau kedudukan geografi penutur,
hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka, selain dapat mengetahui bahasa yang digunakan itu adalah loghat, slanga, jargona, dialek, bahasa
baku atau nada juga intonasi ketika mesej itu disampaikan (Alias dan Abdullah, 2007: 23). Variasi ini dapat dilihat daripada beberapa dimensi seperti berikut (Umar Junus,
1989: 7-9):

a. Fitur tetap stilistik

i. Individu (Bahasa yang ditutur oleh individu itu sendiri atau bahasa sehari-hari)

Fungsi : Digunakan di dalam pergaulan santai yang alamiah.


Teks : Bahasa sehari-hari
Kesantaian, mudah, ketegangan emosi yang terlihat pada kelancaran
Unsur
: dan hambatan di dalam pembicaraan dan cenderung kepada ayat
Stilistik
pendek yang tidak mementingkan ketetapan dan kenahuannya.

b.
i. Dialek (Bahasa yang dituturkan mengikut daerah geografi atau kedudukan sosial)

Fungsi : Digunakan di dalam hubungannya dengan keadaan bahasanya.


Teks : Mengikut daerah geografi atau kedudukan sosial.
Unsur Berlainan daripada bentuk standard, baik dari segi sebutan,
:
Stilistik tatabahasa atau penggunaan kata-kata tertentu.

21
c.
i. Masa (Ketika/zaman yang dituturkan)

Bagi memberi pemahaman kepada pemakai mengikut sesuatu masa


Fungsi :
tertentu.
Teks : Bahasa kuno, klasik dan kini.
Struktur kata yang tertentu mengikut zaman atau masa yang
Unsur
: dituturkan dari segi sebutan, ejaan dan penggunaan ayat yang
Stilistik
panjang serta pendek.

d.
i. Wacana
Media (dituturkan, ditulis, direkod melalui tayangan wayang gambar dan sebagainya).

Informasi, menjelaskan sehingga orang tahu dengan jelas tentang


Fungsi :
peristiwa yang dilaporkan.
Teks : Artikel surat khabar dan sebagainya.
Lukisan tentang apa yang terjadi (nama tempat, pelaku dan
Unsur
: sebagainya), penggunaan slogan, perifrasa dan kata pemula (yang
Stilistik
menarik).

e.
i. Fitur sementara stilistik

Laras (Bahasa undang-undang, sains, perubatan, ekonomi, politik dan sebagainya)

Bagi menghuraikan hal, aspek, bidang dan peristiwa yang


Fungsi :
berbeza-beza.
Bahasa undang-undang, agama, sains, ekonomi dan
Teks :
sebagainya.
Unsur Perbezaan banyak kata, imbuhan dan jenis ayat tertentu
:
Stilistik mengikut laras yang digunakan.

ii.
Status (Slanga, jargona, lemah-lembut, diraja dan sebagainya)

Menentukan konteks dan status pemakai apabila


Fungsi :
menuturkannya.
Teks : Dituturkan mengikut status pemakai.
Unsur Intonasi yang berbeza, pencampuran kod bagi slanga, kata
:
Stilistik atau ungkapan yang tertentu bagi jargona dan sebagainya.

f.
i. Bahasa pergaulan rasmi

Melaksanakan hubungan rasmi antara pegawai pemerintah dan


Fungsi :
rakyat.
Teks : Bersifat pemerintah, melukiskan dengan berbelit-belit.

22
Unsur Konstruksi ayat pernyataan yang rumit, gagal menggunakan kata
:
Stilistik yang berhubungan dengan perasaan.

g.
i. Gaya bahasa rasmi

Penyampaian kebenaran ilmu dan hukumannya dengan pembuktian


Fungsi :
logik dan objektif.
Teks : Karangan ilmiah, komentar, kuliah.
Kata-kata yang neutral daripada nilai sastera dan tanpa warna emosi,
Unsur
: istilah yang monosemi, jarang ditemui penggunaan ungkapan seperti
Stilistik
pepatah, jalinan yang padu antara ayat-ayatnya.
Apa yang dinyatakan tersebut adalah sebahagian daripada ruang-lingkup stilistik di dalam sesuatu bahasa. Oleh kerana itu, pembaca jarang terjumpa perkataan yang
mempunyai kedua-dua makna konseptual dan makna stilistik, jadi tidak mungkin wujud sinonim sebenar. Elok disemai sinonim dengan makna konseptual untuk memudahkan
pembaca mengenali gaya-gaya atau cara-cara yang diketengahkan oleh penutur. Di dalam hal ini, tidak mungkin juga kita mendapat jawapan yang sama bagi sesuatu
perkataan yang bersinonim dengan perkataan lain. Keadaan ini berlaku kerana penutur mempunyai cara tersendiri. Contohnya, perkataan sarapan atau makan pagi yang
mempunyai sama sahaja sifat luarannya iaitu aktiviti makan di waktu pagi, tetapi sifat dalamannya tentu sekali berbeza. Bagi sesetengah orang, makan pagi betul-betul
makan, mengenyangkan, banyak dan sedap terutama bagi pesawah, penoreh getah atau pelaut. Bagi orang Barat, makan pagi memang banyak, iaitu banyak dan sedap pula.
Bagi orang lain, hanya kudap-kudap sahaja atau sedikit-sedikit dan tidak banyak, iaitu hanya untuk melapik perut sahaja (Alias dan Abdullah Yusof, 2007: 24).

Jika dilihat dari aspek status, sudah pasti individu yang berstatus tinggi mempunyai nilai lain mengenai sarapan berbanding dengan orang bawahan. Contohnya orang
kenaman berstatus tinggi, makannya beradat, apabila mengunyah menutup mulut, menjamah sedikit-sedikit sahaja, tidak banyak dan menyediakan tisu untuk mengesat mulut
dan selepas itu mengumur dan membasuh mulut.

Seperti yang dinyatakan, stilistik merupakan gaya yang digunakan oleh pemakai bahasa untuk menyatakan fikiran dan perasaan mereka mengikut konteks masing-masing.
Konteks memainkan peranan penting di dalam semua aspek perbualan antara penutur dan pendengar. Cara atau gaya seseorang itu mengeluarkan buah fikiran,
berkomunikasi atau berhubung boleh menentukan anggapan seseorang atau pendengar terhadap seseorang penutur. Aspek komunikasi sosial yang mempunyai pelbagai stail
atau gaya penyampaian bahasa memainkan peranan penting di dalam hal ini. Selain itu, penggunaan bahasa ketika berkomunikasi dapat menentukan siapa penutur, apa
statusnya dan latar belakang sosial seseorang. Di samping itu, kadangkala tinggi rendah nada atau intonasi suara seseorang itu boleh mencerminkan kedudukan kastanya,
darjatnya, mewakili sesebuah kumpulan seperti dialek, slanga, jargona dan sebagainya, berstatus tinggi atau berpelajaran tinggi (Alias dan Abdullah Yusof, 2007: 25).

Sebagai rumusan, stilistik merujuk kepada pengkajian yang berunsurkan gaya, sama ada di dalam bidang penulisan ataupun sebaliknya. Sebagai ilmu yang masih baru, di
dalam tradisi ilmiah Bahasa Melayu, stilistik sudah berupaya meyakinkan pengkaji bahasa bahawa di dalam hubungan sosialisasi, seseorang perlu menentukan stail
pengucapannya. Gerak ke arah stilistik sebagai ilmu, baru muncul setelah adanya perubahan besar di dalam perkembangan linguistik. Dengan adanya stilistik di dalam setiap
bidang, tidak kira ianya berbentuk ilmiah ataupun tidak, secara tidak langsung akan dapat mempelbagaikan cara penghasilan sesebuah makna.

Selain itu, stilistik juga melihat bukan sahaja isi tetapi gaya pengucapan seseorang apabila berhujah ataupun mengeluarkan sesuatu idea. Daripada itu, maka penghasilan idea
yang diberikan akan dapat menentukan asal-usul atau kedudukan geografi penutur, hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka ataupun
pendengar dapat mengetahui bahasa yang digunakan itu adalah loghat, slanga, jargona, dialek, bahasa baku atau nada juga intonasi ketika mesej itu disampaikan. Maka,
pengkajian stilistik, terutamanya dalam bidang bahasa akan dapat menggariskan gaya tertentu seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, tidak kira secara formal
mahupun tidak formal.

2.4 : BAHASA PERBANDINGAN

Bahasa perbandingan merupakan satu bentuk atau pun gaya bahasa yang sering digunakan di dalam penulisan mahu pun pertuturan kita seharian. Bahasa perbandingan
boleh dipecahkan kepada dua, iaitu bahasa perbandingan yang menunjukkan persamaan dan pertentangan. Sebelum mengenal dengan l ebih lanjut tentang bahasa
perbandingan, terlebih dahulu kita harus mengetahui definisi tajuk tersebut. Menurut Kamus Dewan, bahasa boleh ditakrifkan sebagai suatu sistem lambang bunyi suara yang
digunakan sebagai alat perhubungan di dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Di samping itu, ia juga bermaksud kata-kata yang disusun
menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang di dalam percakapan atau tulisan. Menurut Kamus Pelajar pula, perbandingan bermaksud persamaan. Maka secara
keseluruhannya, bahasa perbandingan merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan untuk memerihalkan sesuatu perkara atau kejadian tanpa memberitahu secara terus,
tetapi ia akan diungkapkan melalui beberapa rangkai kata atau pun perkataan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan perasaan serta mesej yang hendak disampaikan. Di
dalam bahagian ini, akan dibincangkan aspek-aspek yang terkandung di dalam bahasa perbandingan. Antara yang penting ialah gaya bahasa personifikasi, metafora, simile
dan banyak lagi.

2.4.1 : Bahasa Perbandingan

Bahasa perbandingan mempunyai banyak fungsi. Antaranya, digunakan untuk menerangkan sesuatu secara berkias. Maka, secara tidak langsung ia akan dapat menjaga
perasaan terhadap sesuatu yang ingin disampaikan. Ini sesuai dengan masyarakat kita yang tidak suka untuk berterus-terang. Di samping itu, bahasa perbandingan digunakan
untuk menyamakan sesuatu benda dengan keadaan atau peristiwa yang lain. Seperti contoh, unsur metafora digunakan untuk membandingkan sesuatu benda dengan
keadaan atau pun peristiwa yang lain dengan menyatukan sesuatu perkataan yang maujud dengan keadaan yang abstrak. Secara tidak langsung, pembaca akan tahu maksud
perkataan tersebut dengan melihat unsur yang telah digabungkan.

Bahasa perbandingan juga mempunyai fungsi yang tersendiri, terutama di dalam sesebuah penulisan prosa tradisional. Ia digunakan untuk menerangkan sesuatu maksud
perkataan secara berkias. Sebagai contoh, di dalam gaya bahasa eufemisme, perkataan seperti bunting boleh digantikan dengan ayat seseorang yang telah mengandung.
Secara tidak langsung, perkataan tersebut akan menjadi lebih gramatis dan sedap untuk dibaca. Seterusnya, bahasa perbandingan adalah bertujuan sebagai penggambaran
atau pelukisan watak dan memberi pengajaran kepada pembaca tentang sesuatu akibat daripada perbuatan yang tidak baik. Seperti contoh, bahasa perbandingan bagaikan
harimau kehilangan belangnya boleh membawa maksud seseorang yang berkuasa dalam sesuatu hal, tetapi telah kehilangan kuasa akibat daripada tindakannya yang tidak
baik.

Terdapat beberapa contoh bahasa yang menunjukkan perbandingan yang sering digunakan di dalam sesebuah penulisan karya. Antaranya ialah seperti berikut:

a. Simile
Perbandingan secara eksplisit dan dijelaskan. Penggunaan kata seperti, ibarat, bak, bagaikan, umpama, laksana,penaka dan serupa. Contohnya:

23
i. Seperti seekor rerama terbang
ii. Ibarat api yang hidup segan mati tak mahu
iii. Bagaikan mahu terkeluar biji matanya
iv. Keruh seperti air deru
v. Macam melukut di tepi gantang

b. Personifikasi
Personifikasi ialah perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak. Perkataan personifikasi
(personification) sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani, prosopopoeia. Sebagai perbincangan, berikut diturunkan petikan sajak Sungai 3 karya T. Alias
Taib daripada kumpulan puisi Piramid (1990: 14)

Tersentak sungai tua itu.


Tak bergerak
darah dalam tulang sungai
tua itu sewaktu
ia memerhati keanehan
anaknya tadi pagi.
anaknya merangkak menyongsong arus.
Ternganga rumputan,
tergamam batuan dan
terpegun tebing dengan
keajaiban dan
keberanian yang luar biasa itu.
Lubuk timbul
buat pertama kali, menyaksi
sejarah mencipta dongeng.
Bagaimana lagi akan
kuperolehi pengalaman?

tanya anak sungai sambil terus


menentang arus dengan payah tapi tabah.

Pemberian sifat manusia kepada benda bukan hidup atau abstrak di dalam sajak ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu satu sifat manusia seperti
'ternganga rumputan', 'tergamam batuan', dan 'terpegun tebing'. Sifat ternganga, tergamam dan terpegun itu ialah aksi manusia, namun di sini aksi manusia itu
telah dipadankan dengan objek-objek yang bukan manusia, iaitu rumputan, batuan dan tebing. Kesannya kita merasai elemen-elemen alam tersebut hidup
seperti manusia. Contoh kedua pula ialah memberi anggota badan manusia seperti tulang yang dipadankan dengan sungai, seperti 'tulang sungai tua'. Tulang
ialah elemen yang ada pada manusia tetapi di dalam sajaknya, penyair telah menggambarkan bahawa sungai mempunyai tulang dan ini secara tidak langsung
telah memberikan sifat manusia kepada sungai.

Melalui sajak tersebut, secara umum penyair T. Alias Taib telah memanfaatkan gaya bahasa personifikasi untuk menyampaikan mesej di dalam sajaknya.
Penyair telah memberikan tingkah laku manusia kepada sungai dan unsur alam seperti tebing, rumput dan lubuk untuk menimbulkan sesuatu kesan yang lain di
dalam puisinya sehingga dipersonifikasikan anak sungai sebagai berkata-kata melalui rangkap terakhir sajak tersebut. Melalui penerapan unsur personifikasi ini,
penyair dapat menyampaikan mesejnya secara tersirat kepada pembaca tanpa merasai mereka sebenarnya dikritik. Gaya bahasa personafikasi ialah bahasa
kiasan yang menggambarkan benda-benda mati atau barang-barang yang tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat kemanusiaan. Contohnya adalah seperti
berikut:

i. Hati ini selalu memberontak


ii. Guruh dan langit sedang berteriakan
iii. Subuh telah mengundur diri
iv. Alunan manja belantara khatulistiwa
v. Perlahan-lahan dikoyaknya mulut sampul surat itu
vi. Kabus pagi yang sejuk mengucup mesra

c. Metafora
Gaya bahasa metafora adalah perbandingan secara langsung, iaitu ia memberi sifat sesuatu objek itu secara perbandingan terus. Terdapat dua jenis metafora,
iatiu seperti berikut:

i. Metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti bagaikan, laksana, bak dan bagai. Contohnya:

Abang benar-benar harimau di dalam rumah


Hari ini bapa menjadi singa

ii. Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak. Contohnya adalah seperti berikut:

Dahan kerinduan
Dinding hati
Kotak fikiram
Roda kehidupan
Manik-manik peluh

24
Gunung harapan

Berikut adalah contoh ulasan gaya bahasa metafora yang terdapat di dalam sajak.

Sebuah Masterpiece Karya si Bush


Oleh: Mosna

Lukisan-lukisan di dinding ofis


Di Downing Street
Dan White House itu
Dilukis sendiri oleh si Bush.
Dia pakar melukis
Di atas kanvas bergelar Iraq
Dan gemar sekali gunakan cat
Diperbuat hanya dari darah
Dan luka lelehan bernanah!
Untuk air dan tanah
Pepohon, langit dan awan
Tiadakah warna lain
Yang tuan gemari
Selain dari merah?
(haram sungguh, dia tidak endah pertanyaan kita)
Dia terus gila melukis tanpa sedar
Bahawa cat yang sama juga
Sedang mengaliri jantung
Dan salur-venanya sendiri
Menanti dielus tuan Osama
Dalam masterpiecenya pula!

Mosna melalui sajak Sebuah Masterpiece Karya si Bush dengan gaya bahasa yang gemar menggunakan metafora. Contohnya,

Lukisan-lukisan di dinding (ofis): Baris 1


Diperbuat hanya dari (darah): Baris 8
Dan (luka) lelehan (bernanah). Baris 9

Lukisan, dinding, air, tanah, pohon dan awan adalah metafora yang membantu menguatkan sajak ini.

d. Eufemisme
Eufemisme adalah bahasa yang digunakan untuk tujuan memperhaluskan kata atau ucapan. Ia juga disebut sebagai ucapan atau ungkapan lembut. Misalnya,
perkataan merogol akan lebih indah dan sopan digantikan dengan memperkosa. Sebagai contoh ayat, lihat Jadual 2.1.

Jadual 2.1: Contoh ayat Eufemisme

Rogol Telah diperkosa oleh seorang yang tidak bertanggungjawab

Bunting Telah berbadan dua

Kencing Pergi buang air kecil

Beranak Hendak bersalin

Pekak Kurang daya pendengaran

Mampus, kojol Pergi menemui Tuhannya


Kembali ke rahmatullah
Pergi menyahut seruan Ilahi
Menghembuskan nafasnya yang terakhir
Kembali ke alam baqa

e. Alegori Alegori adalah cerita yang digunakan sebagai lambang yang digunakan untuk pendidikan. Kebanyakan gaya bahasa ini digunakan di dalam penceritaan
yang mewakilkan watak binatang sebagai objek. Sebagai contohnya, di dalam cerita kanak-kanak, watak singa selalu digunakan sebagai seorang raja. Begitu
juga seperti sang kancil yang selalu digunakan untuk melambangkan seseorang yang bijaksana. Sebagai kesimpulannya, elemen alegori ini menggunakan
watak binatang sebagai pelakon utama di dalam sesebuah cerita. Antara lain watak yang digunakan ialah seperti monyet, kura-kura, ular, kucing dan anjing.

f. Antilesis
Gaya bahasa ini adalah bahasa yang membandingkan dua perkara yang berlainan di dalam masa yang sama. Setiap ayat yang dibina mesti terdiri daripada dua

25
frasa ayat yang mempunyai makna yang bertentangan. Gaya bahasa ini banyak digunakan di dalam sesebuah penulisan karya sastera mahu pun di dalam
perbualan seharian. Antara contohnya ialah:

i. Segala kebaikan yang dilakukan oleh ibunya telah dibalas dengan kejahatan yang menyakitkan.
ii. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
iii. Walaupun Ahmad menyayangi isterinya dengan sepenuh hati, namun isterinya tetap akan membencinya.

Kesimpulannya, bahasa perbandingan terdiri daripada unsur gaya bahasa yang membandingkan sesuatu perkara yang mempunyai pertalian yang sama dan
berbeza. Sebagai contoh, gaya bahasa simile membandingkan dua perkara yang mempunyai persamaan. Gaya bahasa ini amat penting dalam membentuk
ayat yang gramatis di dalam penulisan sesebuah karya. Di samping itu, ia juga digunakan di dalam kehidupan kita seharian. Tanpa kewujudan aspek gaya
bahasa ini, maka sesebuah penulisan itu tidak akan menarik para pembaca menghayati secara efektif sesebuah karya yang dibaca. Penulis amat berharap agar
para pembaca dapat membezakan dan lebih memahami aspek penting di dalam bahasa perbandingan demi kesejahteraan bahasa Melayu yang kita sayangi.

2.5 : KEBERKESANAN STILISTIK DALAM BAHASA

Salah satu keberkesanan stilistik di dalam bahasa ialah pendedahan kepada kepelbagaian gaya bahasa. Gaya ialah manipulasi penggunaan bahasa seperti yang ingin
dinyatakan penulisannya, sehingga menimbulkan kesan tertentu kepada pembacanya (1985: 48).

Gaya bahasa ialah ragam bahasa yang digunakan di dalam penulisan atau lisan ataupun cara pemakaian bahasa di dalam sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat
yang digunakan oleh pengarang dalam usaha melengkapkan tema dan persoalan dan sebagainya di dalam karya yang dihasilkan. Gaya dapat dikelompokkan kepada lima
jenis, iaitu gaya bahasa pengulangan, gaya bahasa penyirnaan, gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa pertautan dan gaya bahasa pertentangan (Nik Hassan Basri, 2007:
145).

Menerusi karya sastera, aspek gaya bahasa adalah amat penting bagi menjadikan sesuatu karya lebih menarik dengan penggunaan gaya yang pelbagai. Contoh gaya bahasa
pengulangan adalah seperti aliterasi, anafora, asonansi, epifora dan banyak lagi. Gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengulangan
bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting.

Gaya bahasa penyirnaan pula ialah bentuk bahasa yang mengalami unsur pengguguran bunyi, suku kata, frasa atau bahagian ayat. Contoh gaya bahasa penyirnaan
termasuklah aferesis, afesis, akronim, apokop, elipsis, kata singkatan dan sinkof. Seterusnya, gaya bahasa perbandingan yang bermaksud bentuk bahasa perbandingan yang
indah untuk menambah kesan tertentu dengan cara membandingkan. Contohnya imejan, metafora, personifikasi, pleonasme dan simile. Gaya bahasa pertautan pula ialah
gaya bahasa yang mengaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Antaranya termasuklah alusi, antonomasia dan lain-lain. Seterusnya ialah gaya bahasa
bertentangan, yang terdiri daripada tiga jenis iaitu hiperbola, inversi dan paradoks (Nik Hassan Basri, 2007: 80-82).

Berdasarkan gaya bahasa yang digunakan, seseorang pengarang karya tidak perlu bergantung kepada aspek tatabahasa sahaja. Beliau boleh menggunakan gaya bahasa
sebagai panduan dalam membentuk atau menghasilkan sesuatu karya yang lebih kreatif dan dapat memberi kesan kepada pembaca.

Gaya dari segi variasi bahasa juga banyak digunakan di dalam sesebuah karya; khususnya novel, cerpen dan prosa Melayu klasik. Antara variasi bahasa termasuklah seperti
bahasa lisan, bahasa pasar, bahasa surat dan lain-lain. Di samping itu, gaya di dalam bahasa juga dapat dilihat menerusi simpulan bahasa dan ungkapan, peribahasa, bidalan
dan perumpamaan, bahasa kiasan, ragaman bahasa dan karangan berangkap. Gaya tersebut jelas menggambarkan kepelbagaian penggunaan bahasa di dalam sesebuah
karya. Salah satu contoh adalah seperti peribahasa berangkap dua baris seperti berikut yang menunjukkan kreatifnya sesuatu bahasa itu digunakan untuk menegur
masyarakat:

Biar bersimpah peluh di muka,


Jangan tersingkap kain basahan,

Bongkok kail penyangkut insang,


Bongkok fail penyangkut hutang,

Dipetik daripada Puisi Melayu Tradisional, 2006:61

Menurut Farid M. Onn (1982: 84), Proust pernah menyatakan bahawa gaya adalah hak penulis. Gaya bukan sekadar teknik penulisan atau sekadar satu cara untuk
memperkatakan sesuatu, tetapi lebih kepada satu pilihan epsitemik yang memperlihatkan mod pengalaman dan visi. Pousin (1647), menegaskan bahawa gaya digunakan oleh
seniman di dalam mengungkapkan impresinya sesuai dengan tema, sikap dan suasana yang ingin disampaikan (Aminuddin, 1995:31).

Seterusnya, stilistik dianggap sebagai cara mengetengahkan unsur keindahan. Menerusi stilistik, kita dapat menilai keindahan di dalam sastera. Aminuddin mengatakan
bahawa stilistik merupakan gaya yang dapat menampilkan nilai keindahan melalui cara menyusun dan menggambarkan sesuatu secara tepat dan mendalam (1995: 31).
Menurut Hashim Awang (1982: 20), menilai secara kasar ialah kegiatan mencari atau menentukan nilai. Nilai yang dimaksudkan ialah objek atau pengalaman yang dapat
memberikan kepuasan terhadap minat, penghayatan atau kemahuan seseorang. Nilai dikatakan dapat dilihat daripada yang bersifat instrumental atau peralatan dan
tanggapan yang bersifat segera atau dalaman.

Aminuddin (1995: 34), menyatakan bahawa gaya atau stilistik mampu membentuk atau menggambarkan emosi, contohnya melalui puisi. Berdasarkan pandangan daripada
beberapa pelopor seperti Coleridge dan Wordsworth, Aminuddin (1995: 35) mengatakan stilistik atau stail sebagai bentuk pengungkapan sesuatu bahasa sesuai dengan emosi
dan sesuatu yang ingin disampaikan oleh pengarang secara tidak langsung.

Nik Hassan Basri (2007: 372), menganggap nilai keindahan unsur karya dikenali sebagai unsur estetik. Pengarang yang bijak memanipulasi bahasa melalui aspek teknik dan
gaya itulah yang akan menentukan nilai estetik sesebuah karya. Sesetengah pihak juga beranggapan bahawa nilai estetik sesebuah karya juga ditentukan oleh arah
penggunaan bahasa di dalam sesebuah karya atau yang dikenali sebagai autonomi estetik, iaitu kuasa sendiri dan linguistik tidak boleh masuk campur, khususnya di dalam
pengucapan karya dan kesenian.

Konsep estetik menurut A. Wahab Ali (2000: 69), merujuk kepada sesuatu objek alam dan seni yang bernilai dan berguna pada penglihatan dan penikmatan kita. Nilai estetik
sesuatu karya dapat dilihat menerusi rima, susunan ayat dan unsur gaya bahasa lain yang digunakan. Unsur keindahan ini dapat memberi penghayatan terhadap pembaca.
Contohnya menerusi novel dan cerpen, penghayatan dapat membangkitkan pelbagai emosi di dalam diri pembaca mengikut jalan cerita yang disampaikan. Begitu juga dengan
sajak dan karya sastera yang lain. Contohnya, menerusi sajak Usman Awang Lahirnya Engkau, yang menggambarkan perasaan pengarang semasa isterinya sedang
melahirkan anaknya.

Saatnya begitu genting, ah, jauh keluh ibumu,


Kepalanya ke dinding dan ayah resah menunggu,
Alangkah gelisah betapa kelak wajah anakku,
Semoga jenis yang kami harapkan dalam restu.

Petikan daripada Puisi Nusantara,


1981: 149

26
Selain itu, melalui stilistik kita dapat membezakan penggunaan ayat antara penggunaan tatabahasa dengan betul dengan penggunaan gaya bahasa. Tatabahasa atau nahu,
merupakan peraturan bagi menggunakan golongan atau komponen kata bahasa Melayu dengan betul, yang meliputi kata nama, kata kerja, kata sifat, adverba (kata
keterangan), kata ganti nama, kata hadapan, kata hubung, kata seru, kata bantu, kata nafi, kata darjat (perbandingan) dan praktikel (Sulaiman Masri, et al, 2007: 19).

Gaya bahasa pula, lebih kepada kevariasian gaya. Kevarasian gaya ialah hal-hal yang ada hubungan dengan kelainan pemilihan kata (diksi), kelainan penyusunan ayat iaitu
susunan biasa subjek predikat kepada susunan inversi predikat subjek, dan adanya unsur estetik atau unsur keindahan. Oleh itu, menurut Nik Hassan Basri (2007: 373),
segala yang halal oleh tatabahasa juga adalah halal di sisi stilistik. Tetapi semua yang halal di sisi stilistik, belum tentu diterima sebagai gramatis oleh tatabahasa. Contohnya,
ayat berikut jelas menunjukkan adanya manipulasi bahasa.

i. Pelajar itu kena tangkap oleh pensyarah . (Gaya lurus/biasa)


ii. Kena tangkap oleh pensyarah pelajar itu. (Gaya inversi)

Dipetik daripada Stilistik Komsas, 2005: 3

Menurut Awang Sarian (1982: 67), tatabahasa lebih dikenali sebagai hukum bahasa daripada sebagai sistem bahasa. Ia tidak boleh dianggap sebagai aspek terpencil di dalam
penciptaan karya sastera. Sebaliknya, tatabahasa hendaklah dianggap sebagai suatu asas untuk menzahirkan gaya bahasa yang indah. Berdasarkan pandangan beliau,
tatabahasa dan gaya bahasa adalah dua unsur yang saling melengkapi. Gaya bahasa tidak boleh disalah tafsirkan, iaitu semakin banyak kesalahan bahasa, semakin indah
bahasa sesebuah karya itu. Gaya bahasa juga tidak harus dijadikan suatu escapism untuk menolak kenyataan bahawa bahasa yang salah bukanlah suatu gaya yang baik
(1982: 66). Kesalahan imbuhan, struktur ayat, kata sendi, bentuk jamak, struktur DM dan beberapa kesalahan lagi tidak seharusnya dianggap sebagai gaya, kerana menurut
Umar Junus, kesalahan tersebut adalah unsur yang tidak fungsional yang mengurangkan keutuhan sesuatu karya sastera. Menurut Slametmuljana (1969), penyimpangan
stilistik ada hubungan dengan konsep gaya tersendiri, iaitu penulis menimbulkan gaya yang lain daripada gaya yang biasa digunakan orang.

Awang Sariyan (1985: 11) menegaskan bahawa tatabahasa dan gaya mempunyai hakikat yang berbeza. Tatabahasa didasarkan pada penggunaan bahasa yang telah ada,
sedangkan gaya didasarkan pada penggunaan bahasa secara kreatif. Pada hakikatnya, gaya ialah manipulasi penggunaan bahasa yang dapat dilakukan oleh mereka yang
menguasai bahasa. Anggapan tentang bahasa salah pada karya sastera adalah disebabkan oleh terikatnya kita pada penggunaan bahasa yang telah ada, dan bukan
disebabkan penggunaan bahasa yang berbeza. Tambahan pula, penulis kreatif mementingkan penggunaan bahasa secara kreatif sehingga menghasilkan sesuatu yang
berbeza daripada yang sebelumnya. Namun, menurut beliau, memang ada penulis kreatif yang dianggap menggunakan bahasa yang menyimpang. Contohnya Kemala pernah
memasukan perkataan kemanusiaan peri dan bukannya peri kemanusiaan.

Ilias Haji Zaidi (1986: 174), menyatakan bahawa seseorang haruslah berbeza gaya penulisannya dengan gaya penulis lain. Contohnya, gaya Kris Mas dikatakan berbeza
daripada unsur romantis Usman Awang kerana Kris Mas lebih mendekati tatabahasa yang baku. Gaya Syed Sheikh al-Hadi pula mirip gaya nominal dan ada persamaan
dengan gaya A. Samad Said di dalam novel Salina. Gaya Shahnon Ahmad, walaupun pada mulanya menggunakan gaya nominal, namun kemudiannya condong kepada gaya
verbal yang banyak dicontohi oleh penulis muda, terutamanya Azizi Haji Abdullah dan Fatimah Busu. Oleh kerana masing-masing mencari gaya tersendiri, maka kita lebih
cenderung mengatakan gaya mereka menyalahi bahasa ataupun tidak menurut peraturan bahasa.

Menerusi stilistik juga kita dapat menggunakan gaya bahasa atau ayat dengan baik serta dapat menguasainya. Melalui cara ini, sesuatu karya akan lebih indah dan kreatif.
Menurut Umar Junus (1986:129), unsur gaya merupakan unsur yang mempunyai hubungan erat dengan kekreatifan, cara pengucapan dan ideologi. Ketiga-tiga perkara
tersebut dapat disalurkan melalui gaya dan gaya dipelajari melalui bidang stilistik. Dhanil Adnani (1982:75), mengatakan penilaian karya bahasa adalah bergantung kepada
kandungan (konsep) dan juga bentuk fizikal yang membawa konsep berkenaan. Aspek kandungan dikatakan aspek penting kerana daripada kandungan tersebut, nilai estetik
dapat diukur. Dhanil Adnani ada menyentuh berkenaan dengan contoh-contoh karya sastera yang dianggap mengganggu. Contohnya seperti ayat berikut yang menunjukkan
penggunaan bentuk yang tidak mewakili dengan tepat makna yang hendak disampaikan.

... memanggil nama anak dengan nama Inggeris...


Menerusi ayat tersebut, bentuk yang digunakan nama anak sedangkan makna yang dimaksudkan adalah anak (Stilistik Simposium Keindahan Bahasa, 1982: 76).

Seterusnya, menerusi stilistik kita dapat mengenal pasti aspek penggunaan wacana (Umar Junus 1989: 75). Wacana boleh ditampilkan melalui beberapa cara iaitu secara
lisan, puisi dan prosa. Keadaan ini dikatakan bersesuaian dengan pendirian Riffaterre, yang melihat gaya di dalam hubungan bahasa bertulis. Cara penulisan pengarang juga
dikatakan sebagai satu unsur gaya yang memberikan makna dan interpretasi (1989: 90).

Kesimpulannya, stilistik merupakan gaya atau stail yang memang tidak dapat dipisahkan dengan sesuatu karya yang mempunyai hubungan rapat dengan konteks teks dan
konteks situasi (Simanjuntak, 1982: 41).

Roland Barthes di dalam Writing Degree Zero (1967), ada menyatakan bahawa suatu stail bukanlah sesuatu yang tidak mengandungi makna dan stail penuh dengan
maknanya yang tersendiri (Awang Sariyan, 1985: 256). Kenyataan beliau sama dengan kenyataan Umar Junus yang menyatakan gaya bukanlah sesuatu tanpa makna. Malah,
gaya adalah tanda yang menurut pengertian semiotik yang mempunyai makna, terikat dengan Signifer dan Signifield (1986: 134).

Jelaslah bahawa pelbagai pendapat berkaitan dengan stilistik. Namun, berdasarkan pendapat sendiri, stilistik mempunyai kepentingan dan fungsi yang tersendiri di dalam
bahasa, khususnya sastera. Antaranya termasuk mewujudkan unsur estetik di dalam sesebuah karya, dapat mempelbagaikan gaya bahasa dan lain-lain seperti yang telah
dibincangkan. Walau bagaimanapun, stilistik masih dipertikaikan dari segi penggunaan gaya yang kadangkala dikatakan melanggar hukum tatabahasa. Oleh itu, keberkesanan
stilistik di dalam bahasa harus dilihat daripada kesan penggunaannya dan kelemahan penggunaannya di dalam bahasa. Kesemuanya dapat dinilai berdasarkan pandangan
pengkaji bahasa dan penilai sesuatu karya itu sendiri. Namun yang pastinya, stilistik bukan hanya terbatas kepada persoalan bahasa di dalam karya sastera, malah stilistik
juga boleh dilihat di luar hubungan sastera.

SEMAK KENDIRI 2.3


Keberkesanan stilistik di dalam bahasa memang tidak dapat dinafikan. Persoalan yang timbul dewasa ini, bidang stilistik dikatakan hanya menjurus kepada bidang kajian
sastera semata-mata. Bersetujukah anda dengan pernyataan tersebut?

RUMUSAN

Ilmu stilistik meliputi definisi ilmu tentang stilistik, ciri-ciri ilmu stilistik, stilistik di dalam bahasa, bahasa perbandingan dan keberkesanan stilistik di dalam bahasa.

27
Stilistik berasal daripada bahasa Inggeris iaitu style yang bererti gaya dan daripada bahasa serapan linguistic bererti tatabahasa.

Aminuddin mengertikan stilistik sebagai pengajian tentang cara pengarangan di dalam menggunakan sistem tanda sejajar dengan gagasan yang ingin

disampaikan secara kompleks dan kekayaan unsur pembentuk itu yang dijadikan sasaran kajian hanya pada wujud penggunaan sistem tandanya.

Stilistik juga merupakan satu lagi disiplin yang merujuk kajian mengenai ciri-ciri linguistik yang berbeza yang berlaku di dalam kalangan kelompok sosial.

Di dalam kajian stilistik, karya sastera dianalisis dengan menggunakan pendekatan linguistik.

Ciri-ciri yang terdapat di dalam gaya bahasa perbandingan adalah seperti imejan, metafora, personifikasi, pleonasme dan simile. Gaya bahasa pertentangan pula

seperti hiperbola, inversi dan paradoks. Sementara gaya pertentangan merangkumi aliterasi, anafora, asonansi, epifora, rima dan sinkof. Gaya yang terakhir

ialah penyirnaan yang hanya terdapat satu ciri sahaja iaitu sinkof.

Kebanyakan pembicaraan mengenai stilistik selalu dilihat di dalam hubungan dengan bahasa dan linguistik.

Stilistik merupakan gaya yang digunakan oleh pemakai bahasa untuk menyatakan fikiran dan perasaan mereka mengikut konteks masing-masing.

Tujuan bahasa perbandingan digunakan untuk menerangkan sesuatu secara berkias.

Antara bahasa perbandingan yang penting ialah gaya bahasa personifikasi, metafora, simile, eufamisme, alegori dan antilesis.

Keberkesanan stilistik di dalam bahasa ialah stilistik dapat memberi pendedahan kepada kepelbagaian gaya bahasa.

Gaya bahasa ialah ragam bahasa yang digunakan di dalam penulisan atau lisan ataupun cara pemakaian bahasa di dalam sesebuah k arya atau susunan kata,

frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam usaha melengkapkan tema dan persoalan dan sebagainya di dalam karya yang dihasilkan.

28