Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi ini
telah menjadi mangsa dalam arus permodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat
mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat. Antaranya, isu jerebu
yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang
dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fata morgana sehingga mengabaikan isu
pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan keadaan ini semakin merosot.
Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang akan menerima padahnya pada suatu hari nanti.
Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi
bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam
sekitar? Jawapannya terletak pada kita semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak
mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.
Pepatah Melayu ada mengatakan tiada penyakit yang tiada penawarnya. Usaha untuk mengatasi
pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu
bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat kepada anak-anak
sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi. Hal
ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa
haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-isu pencemaran alam sekitar yang terkini
untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup,
ibu bapa juga harus menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak
sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang
boleh mencemarkan udara. Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak
harus diamalkan oleh ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka
sendiri tidak berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak
juga akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar
akan dapat diatasi.
Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga
berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh
dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat
cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik
dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi
kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti
meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan
menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat
disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya
kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di
sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab
Alam Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong
membersihkan kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar
secara intensif. Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga
dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan
program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai Reduce, Reuse,
Recycle. Reduce ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti
1
kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari
kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. Reuse pula ialah usaha menggunakan semula
bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta
barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan
sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat
perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya,
masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja
dapat mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata
pepatah, berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka
terhadap isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi
semakin serius.
Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca
daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan
negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-
undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang
membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara
terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang
alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan
melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi
berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet.
Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk
menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi
kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan
alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam
sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.
Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera
dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan
dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh
tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan
pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan
manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting
daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa
mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan
alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada
setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan
kelestarian alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan
ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk
identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina,
India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu
sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang
berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat
patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman
moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat
2
patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan
tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato
Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur
dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu
dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-
anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam
menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya
sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang
dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak
untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri
Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti
lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-
anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan
silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan
amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-
buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal
ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara
berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur
patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang
sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang
tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-
buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak.
Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar
ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Tegasnya, ibu bapa juga
hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan
semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu
bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka
akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan
sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di
rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa
janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan
menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa
harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia,
ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan
3
usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan
negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak
bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau
kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai
contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-
pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela,
Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan
sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa
zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan
kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang
diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak
akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang
kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam
jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk
menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan
negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah
dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba
mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu,
ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang
bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara
seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita
Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri
mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang,
mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang
tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan
kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah
disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat
menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus
dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini
juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-
kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan
wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa
dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi
sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada
menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya
4
selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya
tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa
haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat
patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut,
menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap
pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah
semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan
membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain
lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang
mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana angin,
masakan pokok bergoyang.
Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar tunjang
kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya mementingkan
profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan sehingga
mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan ,seseorang anak itu
kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak juga
sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah, baik atau
buruk, akibat daripada tiada bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala
buli. Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga
melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup
melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan.
Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga mendorong
berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang hal
ehwal peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar
untuk mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli. Kelonggaran kawalan
disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan
mengambil peluang untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut.
Kekurangan penghayatan nilai nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja terlibat dalam
gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan,seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan
agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif.
Tambahan pula,kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga membentuk remaja yang
kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral
dan agama dalam kehidupan.
Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah yang efektif
boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan
yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan
yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka
kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan
5
patut diikuti. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka
juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik,
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Tambahan lagi, di
samping mengejar kesenangan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga seharus sentiasa
mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian
kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan.
Ibu bapa juga harus memupuk peribadi anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah
dari rebungnya.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk
membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan segera agar
masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan semua. Manakala, pihak
sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi
masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan
sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah
dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli
dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar
tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada
pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan dan ditekankan kepada para
pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti
penglibatan dalam gejala buli.
Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala ini.
Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan
Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai
sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung
dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran
tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh
daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap
orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat
sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan
tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat
negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan
menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam
usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh
dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda
yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
6
'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkansignifikan sesuatu
bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemiktelah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini
bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun
bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang
disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun begitu,
apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-
menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-
jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding
bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung
dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis
mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak
ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus
dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di
peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada
satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha
Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat
sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi
Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak
harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan
bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat
dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan
penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai
objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini.
Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir
secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.
7
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan
terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan
raya serta di bangunan-bangunanpencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan
bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan
bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harusberpeluk tubuh dan mendiamkan
diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan
bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini
perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh denganbahasa ibunda.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa
kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan
mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa
kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang
baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang
nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas'.
Pelbagai prakarsa yang efektif dapat diimplementasikan antara satu sama lain bagi menghidupkan kembali
budaya murni tersebut. Mana-mana pihak berkuasa yang terlibat dalam menyuburkan amalan murni ini seperti
jawatankuasa kampung dan rukun tetangga harus memainkan peranan dengan cakna dan peka terhadap
perkara ini. Pelbagai aktiviti umum yang melibatkan masyarakat harus dilaksanakan dengan terancang dan
konsisten seperti aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti yang demikian dapat memberi kemaslahatan yang besar
terhadap kehidupan bermasyarakat. Antara contohnya seperti aktiviti bergotong-royong dan kenduri-kendara
mampu mengeratkan hubungan silaturahim di samping merancakkan semangat perpaduan antara jiran yang
bervariasi etnik. Perkara ini dapat dibuktikan apabila masyarakat setempat bersatu hati dan saling membantu
antara satu sama lain ketika melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak terbabit sekaligus
membentuk keakraban antara jiran tidak kira sama ada secara langsung atau memerlukan sedikit masa.
Walau bagaimanapun, aktiviti kemasyarakatan ini wajar dilakukan secara konsisten serta dijadualkan agar
momentum mereka dalam melaksanakan amalan murni ini terus kekal subur dan sebati dalam jiwa masing-
masing. Jelaslah bahawa aktiviti kemasyarakatan merupakan wadah penting yang pragmatik kerana mampu
mewujudkan satu kelompok masyarakat yang bersatu padu dan hidup berkasih sayang.
Selain itu, masyarakat juga perlulah sentiasa menerapkan nilai murni di dalam diri masing-masing misalnya
sikap suka membantu orang lain. Hal yang demikian kerana nilai murni tersebut mampu membina ukhuwah
yang erat sesama manusia. Sudah menjadi lumrah, jiran merupakan insan yang paling rapat ibarat saudara
sendiri selepas keluarga. Mereka menjadi tempat bergantung apabila seseorang individu berhadapan dengan
pelbagai kemelut sama ada besar atau kecil yang memerlukan bantuan dan sokongan. Hal ini terbukti apabila
jiran kita menghadapi masalah atau berada dalam kesusahan dan sebagai jiran yang bertanggungjawab serta
8
berguna kepada masyarakat sekeliling, kita seharusnya memberikan khidmat dan berjasa kepada orang lain
tidak kira bantuan yang dihulurkan dari segi wang atau perkhidmatan tanpa mengira status mereka.
Peribahasa ada menyebut, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama yang
bertepatan dengan khidmat bakti seseorang yang tetap dikenang walaupun mereka telah meninggal dunia.
Oleh itu, apabila kita sering membantu jiran sekeliling atau sesiapa sahaja, sekaligus kita telah mentaati adab
terhadap masyarakat iaitu saling berkunjung dan menghormati antara satu sama lain. Benarlah bahawa sikap
suka menolong orang lain dapat merealisasikan impian setiap insan bagi mewujudkan kehidupan
bermasyarakat yang lebih baik dan seutuh Tembok Besar China.
Ibu bapa sering dilambangkan sebagai suri teladan bagi anak-anak dalam proses kematangan mereka
berfikir. Hal ini demikian kerana sikap dan adab ibu bapa menjadi ikutan anak-anak dalam kehidupan. Tidak
dapat dinafikan lagi bahawa peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan jati diri anak-anak sangat besar.
Anak-anak pada era modenisasi ini sering dihidangkan dengan pelbagai lambakan teknologi seperti gajet dan
internet sehingga mereka alpa dengan adab-adab dan nilai murni yang menjadi amalan masyarakat dahulu
kala. Fenomena ini menjadi satu cabaran hebat bagi ibu bapa. Namun, mana mungkin kayu yang bengkok
dapat menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa perlu
mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani untuk memainkan peranan mereka dalam memupuk sikap
hormat-menghormati dalam diri anak-anak sejak mereka kecil bak kata peribahasa, melentur buluh biar dari
rebungnya. Ibu bapa perlu menerangkan nilai-nilai murni sekaligus mempraktikkannya agar dapat sebati
dalam diri anak-anak. Tamsilnya, ibu bapa harus sering membawa anak-anak mengunjungi saudara-mara dan
jiran tetangga ketika ada waktu senggang dan menunjukkan adab dalam berinteraksi dengan orang yang lebih
tua. Hal ini walaupun kecil namun memberi impak yang sangat mendalam dalam proses interaksi sosial anak-
anak. Izharnya, peranan ibu bapa dalam mencorak peribadi anak-anak dapat memastikan amal tradisi ini terus
lestari dan tidak lenyap ditelan zaman.
Dalam pada itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita mestilah mempunyai kesedaran tersendiri untuk
menyertai pelbagai program yang diadakan anjuran kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Slogan Budi
Bahasa Amalan Kita yang diwara-warakan seharusnya disambut meriah oleh anggota masyarakat dalam
merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan berbudi bahasa.
Kerajaan mencari pelbagai alternatif yang pragmatik kerana proses asimilasi masyarakat bukanlah sesuatu
yang mudah untuk diaplikasikan. Kerajaan dengan bantuan agensi-agensi bukan kerajaan telah menganjurkan
pelbagai program seperti ceramah, pameran dan kursus interim agar dapat meningkatkan kesedaran dalam
masyarakat tentang peri pentingnya amalan murni bagi memelihara kesejahteraan sejagat. Oleh itu, sebagai
anak watan yang mempunyai kesedaran, kita perlulah memberi sepenuh komitmen terhadap program-program
tersebut kerana hal ini dapat membina semangat kekitaan sesama masyarakat di samping dapat berkongsi
ilmu antara satu sama lain. Sementalahan, ilmu yang dikongsi itu mampu mewujudkan marhaen yang
mempunyai sikap hormat-menghormati, bertegur-sapa, dan bertoleransi. Masyarakat seyogianya menyahut
seruan kerajaan agar lebih progresif dan bersatu-padu dalam membina sebuah negara bangsa yang
mempunyai minda dan akhlak kelas pertama.
Masyarakat merupakan satu unit sosial yang merangkumi individu, keluarga, jiran tetangga dan kelompok-
kelompok kecil yang hidup bersama dalam sesuatu tempat manakala manakala masyarakat yang prihatin ialah
masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama dalam segala hal untuk menjamin kesenangan hidup
bermasyarakat. Jaringan erat antara anggota masyarakat hanya akan terbentuk melalui hubungan secara
bersemuka. Kekerapan amalan bersemuka ini akan menghasilkan kesepaduan pola hubungan sosial dan
membentuk kehidupan masyarakat yang lebih harmonis. Tidak mustahil perkara ini dapat direalisasikan
sekiranya setiap anggota masyarakat mengamalkan sikap bertanya khabar, menziarahi dan membantu jiran
yang ditimpa musibah atau berkumpul ketika menyambut pelbagai hari perayaan. Hal ini dapat memeriahkan
lagi suasana kehidupan berjiran ini. Bukan itu sahaja, apabila setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai-
nilai murni tersebut, mereka dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih rapat lagi serta dapat bertukar-tukar
idea dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul seperti aur dengan tebing yang saling
menyokong antara satu dengan yang lain dalam membentuk sebuah ikatan sosial yang utuh. Oleh yang
demikian, sikap betolak-ansur turut dapat diaplikasikan dalam hidup bersama-sama masyarakat sekeliling kita.
9
Oleh itu, tiada benang basah yang perlu ditegakkan dalam membicarakan soal kepentingan hidup berjiran.
Jadi, amat wajarlah kita mengimplimentasikan budaya toleransi bagi membina kelangsungan hidup
masyarakat yang saling bermuafakat.
Intihanya, setiap individu dalam kelompok masyarakat tidak seharusnya mempunyai stigma negatif terhadap
kehidupan bermasyarakat sebaliknya mestilah mengorak langkah dan bersatu hati ibarat ke bukit sama didaki,
ke lurah sama dituruni ke arah membina masyarakat yang sejahtera dan hidup berkasih sayang. Melalui
prakarsa yang pragmatik ini juga, semangat perpaduan yang terjalin mampu mengubah corak hidup kita
bersama-sama jiran atau masyarakat serta melahirkan sebuah negara dan bangsa yang berkualiti sejajar
dengan visi kudsi negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Tegasnya, masyarakat yang harmonis amat
penting agar kelestarian budaya dan amalan nenek moyang terus dapat dikekalkan dan tidak lenyap ditelan
arus zaman. Peribahasa ada mengatakan, bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat.
10