Anda di halaman 1dari 7

Langkah-langkah dan Cara-cara Menangani Buli Di Sekolah

Prakata: Amiene Rev

Kes-kes buli sebenarnya kerap kali ditemui di sekolah. Setiap tahun malah setiap hari, ada-ada
sahaja kes buli berlaku. Kes buli bukan sahaja berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja,
tetapi juga berlaku di kalangan orang-orang dewasa yang sudah bekerja. Kes buli boleh terus-
menerus berlaku dengan sikap mangsa yang menganggap buli itu sebagai bukan satu perkara
yang perlu ditangani kerana kejahilan mangsa untuk mengetahui kesan jangka panjang yang
bakal dialami. Oleh itu guru-guru, kaunselor dan ibu bapa serta para pengawas juga pembimbing
rakan sebaya mesti mengambil tindakan proaktif untuk mengesan kes-kes buli di sekolah
sebelum perkara yang lebih buruk berlaku. Hari ini, saya menemui satu lagi artikel menarik dari
Harian Metro berkenaan buli. Cara-cara yang terkandung dalam artikel ini boleh membantu
ramai pihak untuk menangani kes-kes buli yang sentiasa sahaja wujud di mana-mana ini.

Artikel: Ajar Kemahiran Sosial, Emosi


Penulis: Norlaila Hamima Jamaluddin
Sumber: Harian Metro

SITI tak mahu pergi sekolah. Tak seronok, kata anak saudara penulis selepas dua bulan sesi
persekolahan dibuka awal tahun ini. Hairan juga, kenapa si bongsu yang mempunyai perwatakan
ceria tiba-tiba enggan ke sekolah sedangkan dia yang paling teruja untuk belajar di sekolah yang
sama dengan dua abangnya.

Selepas puas ditanya barulah Siti memberitahu, rupa-rupanya dia sering dicubit oleh rakan
sekelas yang duduk di hadapannya. Maka ibunya meminta si abang yang dilantik menjadi
pengawas sekolah untuk memberitahu rakan tadi supaya menghentikan perbuatannya itu. Kami
sekeluarga tidak menganggapnya sebagai buli (walaupun ia membuatkan Siti tidak mahu ke
sekolah). Kami membuat andaian mungkin rakannya geram melihat wajah Siti yang gebu dan
bulat.

FIZIKAL...buli fizikal biasanya dilakukan oleh kanak-kanak dan remaja lelaki.

AKRAB...mempunyai kawan-kawan rapat dapat elakkan kanak-kanak daripada jadi mangsa


buli.

SINDIR...sindir, umpat dan ejek termasuk dalam perbuatan buli.

SUKAN...dapat pupuk rasa saling menghormati pada kanak-kanak dan remaja.

Namun secara umumnya kanak-kanak memang mudah menjadi mangsa buli, terutama yang baru
masuk tahun satu. Sebelum si kecil anda menjejakkan kaki ke sekolah rendah, ibu bapa
sepatutnya sudah menjalankan tanggungjawab mengajar anak-anak supaya mereka tidak menjadi
mangsa buli.

Jika diperhatikan sekarang banyak sekolah meletakkan papan tanda atau pemberitahuan di papan
kenyataan memberi peringatan kepada pelajar supaya segera membuat laporan kepada guru
sekiranya mereka atau kawan-kawan menjadi mangsa buli.

Insiden buli tidak harus dipandang ringan kerana jika si pembuli itu berkumpulan, denda
dikenakan kepada mangsa yang pada asalnya hanya untuk berseronok boleh bertukar menjadi
seksaan sehingga membawa kecederaan dan ada yang berakhir dengan kematian. Membuli
beramai-ramai memang boleh membuatkan orang hilang pertimbangan apatah lagi dengan
sokongan moral daripada sorakan rakan pembuli.

Secara umumnya, kanak-kanak lelaki lebih cenderung menjadi mangsa buli berbanding
perempuan sama ada dalam bentuk buli fizikal atau psikologi. Bagaimanapun dalam sesetengah
kes, mangsa buli kadang-kadang bertukar menjadi pembuli. Apabila dibuli, mangsa mungkin
menunjukkan tindak balas seperti berasa resah atau agresif.

Oleh kerana mereka tidak tahu bagaimana cara untuk mengendalikan perasaan, mangsa buli ini
menjadikan kanak-kanak lain yang difikirkan tidak akan melawan sebagai sasaran. Dalam
keadaan ekstrem, ada mangsa buli yang membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderaan
yang dialami atau mereka boleh bertindak agresif dengan menyerang si pembuli.

Kesan dan akibat perbuatan buli kepada mangsa buli

Menurut Pakar Polisi dan Pendidikan Keluarga, Universiti New Hampshire, Malcolm Smith
yang menjalankan kajian ke atas buli di kalangan rakan sebaya selama 30 tahun berkata, buli
menjejaskan kehidupan kanak-kanak yang disisihkan kerana pelbagai sebab termasuk
kemurungan, mempunyai isu kesihatan mental dan berbeza daripada segi saiz dan bentuk badan.

Kemahiran sosial dan emosi mampu selamatkan mangsa buli

Berdasarkan laporan agensi berita Associated Press (AP), ibu bapa dan pendidik berkata, melalui
program pencegahan buli, kanak-kanak boleh diajar kemahiran sosial dan emosi yang diperlukan
untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa buli.

Pun begitu, pencegahan buli bukan bermakna mengalihkan perhatian si pembuli kepada mangsa
lain sebaliknya menerbitkan budaya saling sayang menyayangi dan menghormati serta
membentuk persahabatan di kalangan kanak-kanak supaya tiada yang disisihkan. Apa yang
penting, program ini perlu dimulakan sejak di prasekolah lagi.

Mangsa buli cenderung untuk membunuh diri

Kajian Universiti Yale mendapati mangsa buli mempunyai kecenderungan dua hingga sembilan
kali untuk membunuh diri berbanding orang yang tidak dibuli.

Kajian di Britain pula menunjukkan sekurang-kurangnya separuh kes bunuh diri di kalangan
golongan muda ada kaitan dengan buli. Berdasarkan statistik yang dilaporkan dalam ABC News,
30 peratus pelajar di Amerika Syarikat menjadi pembuli atau mangsa buli dan kira-kira 160,000
kanak-kanak tidak mahu ke sekolah kerana bimbang dibuli.

Apa itu buli?

Buli ialah perlakuan yang boleh menakutkan atau membahayakan orang lain. Kanak-kanak
pembuli biasanya akan memilih mangsa yang lebih lemah dan sering bersendirian dan membuli
mereka berulang kali. Biasanya buli bermula di sekolah rendah dan paling banyak berlaku di
sekolah menengah.

Sebenarnya buli ada beberapa bentuk iaitu:

Fizikal - membabitkan cubit, pukul, tumbuk, sepak, menolak atau sengaja membuatkan
seseorang terjatuh.

Emosi - perbuatan mengejek, menyindir, mengumpat atau memberi gelaran tertentu terutama
yang memalukan semuanya termasuk dalam kategori buli. Malah dalam era moden ini, banyak
berlaku buli siber iaitu menulis dengan tujuan memburuk-burukkan atau memalukan seseorang
menerusi laman sosial, blog, e-mel atau pesanan ringkas (SMS) juga dikira sebagai buli.

Membuli dengan teknologi

Buli melalui teknologi moden ini lebih besar kesannya daripada kaedah buli konvensional kerana
ia boleh dilengkapkan dengan gambar dan disebarkan kepada beribu-ribu orang dalam sekelip
mata melalui hujung jari saja.

Buli alam siber

Bagi anda yang menerima apa saja e-mel atau SMS mengenai keburukan seseorang, buangkan
segera dan jangan anda pula yang menjadi posmen memanjangkan cerita tidak baik itu. Dengan
berbuat demikian, anda secara tidak langsung terhindar daripada menjadi pembuli tanpa sedar.

Meskipun buli siber tidak menyebabkan sebarang lebam atau luka, ia meninggalkan kesan yang
sangat mendalam kerana ia mencederakan emosi dan meruntuhkan keyakinan serta harga diri
seseorang.

Ejekan satu bentuk buli

Buli di kalangan kanak-kanak perempuan biasanya membabitkan kaedah yang berkaitan dengan
emosi contohnya mangsa diasingkan dan disindir atau diumpat. Di kalangan kanak-kanak lelaki,
kedua-dua bentuk buli dilakukan (fizikal dan emosi) seperti ditolak dan diejek dengan nama
memalukan.

Ciri pembuli dan mangsa

Mengapa kanak-kanak boleh menjadi pembuli? Kanak-kanak yang membuli rakan sebaya
biasanya datang daripada keluarga yang agresif yang mana dia sering melihat orang dewasa
bergaduh di rumah. Kanak-kanak ini menjadi pembuli kerana mereka sering dibuli di rumah.

Ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka menjadi pembuli. Dalam kesibukan kerja, ramai ibu
bapa menyerahkan lebih separuh daripada tanggungjawab mendidik anak kepada guru. Namun
sedarkah anda, guru tidak mungkin dapat memberi perhatian sebaik ibu bapa kerana waktu
mereka bersama anak anda adalah terhad dan dalam masa singkat ini mereka perlu mengawal
ramai pelajar. Jadi tidak kira sesibuk mana pun, sebagai ibu bapa, kita perlu meluangkan masa
untuk mendekati dan memerhatikan keadaan anak.

Ciri kanak-kanak pembuli:

Mungkin menyaksikan keganasan fizikal dan percakapan mahupun sebarang tindakan agresif
di rumah. Mereka menganggapnya sebagai perlakuan biasa dan bertindak mengikut apa yang
dilihat.

Mungkin memukul atau menolak kanak-kanak lain.

Biasanya mempunyai kekuatan fizikal.

Pembuli boleh jadi popular atau tidak di kalangan rakan sebaya.

Sukar untuk mematuhi peraturan.

Tidak kisah atau mempedulikan perasaan orang lain.

Berasa atau berfikiran mereka lebih hebat daripada orang lain.

Suka dipandang tinggi.

Berasakan orang lain perlu mematuhi kata-kata mereka.

Ciri mangsa buli


Kanak-kanak mangsa buli sering berasa malu dan tidak mahu hal berkenaan diketahui oleh guru,
ibu bapa atau orang dewasa. Inilah sebabnya ibu bapa perlu memerhatikan keadaan anak dan
carilah jika mereka menunjukkan tanda dibuli. Kanak-kanak yang dibuli akan menunjukkan
perlakuan seperti:

Sensitif.

Lebih suka menyendiri, tidak mahu bergaul dengan orang lain.

Menganggap dirinya lemah, tidak berguna.

Sikapnya boleh bertukar menjadi cepat marah.

Resah.

Sukar tidur pada waktu malam.

Pasif dan membiarkan orang lain mengawal keadaan. Malah mereka juga tidak mahu
menegakkan hak sendiri.

Murung dan bersedih.

Ada kesan lebam pada badannya.

Kerap menangis.

Enggan pergi sekolah dengan memberikan pelbagai alasan.

Hilang selera makan.

Apa yang boleh dilakukan oleh mangsa?

Biasanya mangsa buli pendiam dan pemalu. Mereka tidak pandai mempertahankan diri sendiri
dan lama-kelamaan, mangsa buli mulai berfikir mereka memang layak untuk dibuli.

Jika anak anda dibuli, ajarlah dia untuk:

Membalas percakapan dengan berkata Jangan buat begini pada saya, Saya tidak takut.
Ajak anak untuk berlatih menuturkan ayat mudah ini dengan tenang dalam suara yang kuat dan
jelas.

Jalan dan tinggalkan tempat berkenaan. Katakan pada anak supaya dia tidak lari walaupun
hatinya berasa kecut.

Beritahu guru dan ibu bapa. Guru dan ibu bapa boleh mengambil tindakan pantas untuk
menghentikan perkara ini.

Bantuan ibu bapa

Mangsa buli perlu diberi perlindungan dan sokongan supaya ia tidak menjejaskan keyakinan
mereka. Kanak-kanak pembuli perlukan bantuan kaunseling. Ia membantu pembuli memahami
mengapa mereka tidak boleh berkelakuan demikian. Ia juga mengajar kanak-kanak pembuli
bagaimana untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dengan cara yang sihat.

Pada masa sama, ahli keluarga juga perlu diberikan kaunseling supaya ibu bapa (dan ahli
keluarga) boleh bersama-sama mengubah situasi dalam rumah demi kebaikan anak yang masih
kecil.

Mengapa buli perlu dihentikan? Kajian jelas menunjukkan pembuli biasanya mempunyai
pencapaian pelajaran yang kurang baik dan berkemungkinan tidak dapat menamatkan sekolah.
Rentetan itu, mereka akan cenderung untuk terbabit dalam pelbagai jenayah apabila dewasa
kelak khususnya apabila sukar mendapatkan pekerjaan. Malah ada kajian mendapati pembuli
lebih berisiko menyalahgunakan dadah dan alkohol.

Ada pakar psikologi berkata, ibu bapa perlu membantu anak mempunyai kawan sama ada di
sekolah atau luar sekolah yang saling memberi sokongan antara satu sama lain. Kehadiran kawan
dapat mengelakkan anak anda dan kawan-kawannya daripada menjadi mangsa buli.

Pada masa sama, ibu bapa juga disarankan belajar cara untuk memperkasakan emosi anak-anak.
Antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa ialah dengan bertanya apa yang dilakukan anak-anak
ketika di sekolah. Tanyakan dengan siapa mereka makan dan bermain, siapa yang duduk di
sebelah mereka di bilik darjah atau dalam bas, apa yang berlaku dalam perjalanan pergi dan balik
dari sekolah, adakah mereka nampak rakan mereka diejek atau dipulaukan?

Semua pertanyaan ini bukan sekadar mengajar anak anda berinteraksi bahkan ia secara tidak
langsung menguatkan emosi si kecil kerana tahu mereka mempunyai ramai kawan. Jika anak
anda memberitahu ada kawannya yang dipulaukan, anda bertanggungjawab memaklumkannya
kepada guru sekolah, walaupun anda tidak kenal si mangsa supaya perkara itu boleh diselidik
dan diambil tindakan sewajarnya.

Awasi tingkah laku dan aktiviti anak anda.

Antara kaedah lain yang berguna ialah memasukkan anak anda dalam kelas seni
mempertahankan diri. Selalu tekankan kepada anak supaya tidak menyalahgunakan ilmu yang
ada sebaliknya ia digunakan bagi melindungi diri sendiri.
Kanak-kanak yang belajar ilmu mempertahankan diri biasanya berasa lebih yakin dengan diri
sendiri dan ia juga secara tidak langsung dapat menjadi pendinding daripada dibuli kerana
pembuli biasanya mencari mangsa yang dilihat lemah dan takut.

Namun apa yang paling penting ialah didikan asas di rumah supaya anak sentiasa menghormati,
mengambil berat dan menyayangi orang lain. Jika anda melihat anak suka membuli adik-
adiknya, tanyakan pada anak, adakah dia suka jika diperlakukan begitu.

Menerima hakikat anak anda dibuli lebih mudah daripada mendengar berita anak anda menjadi
pembuli. Jika anak anda pembuli, anda perlu bertindak segera dengan membantu dia memahami
kesan daripada tindakannya itu.

Ambil perhatian serius terhadap perkara ini. Beritahu anak dengan tegas bahawa buli adalah
perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Buat peraturan dan denda (yang menyebabkan dia kehilangan beberapa manfaat) jika dia
membuli. Antara denda ini ialah tidak dibenarkan menonton rancangan kegemarannya buat satu
tempoh, tidak boleh bermain permainan yang disukainya atau apa saja yang anda anggap wajar
(tanpa menyebabkan kesakitan fizikal).

Maklumkan kepada guru, pentadbir sekolah dan minta bantuan guru kaunseling untuk turut
sama membimbing anak anda.

Pantau aktiviti anak anda. Masukkan dia dalam aktiviti komuniti atau sukan dan galakkan dia
berkawan dengan rakan yang cemerlang.

Anda sendiri perlu menjadi teladan yang baik kepada anak. Elak daripada menunjukkan
perlakuan agresif atau menggunakan perkataan yang menyakitkan hati.

Puji anak apabila dia bercakap sopan, rajin dan berkelakuan baik.

Sentiasa beritahu anak bahawa bersikap baik itu adalah perlakuan yang indah, disukai manusia
dan disayangi Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/15