Anda di halaman 1dari 11

Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar : UM 1969-75

Berikut merupakan pandangan Zainah Anwar dalam bukunya,


"Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar", IBS Buku Sdn. Bhd, Petaling
Jaya, Selangor,1990,hlm. 30-53. Menurut Profesor John L.Esposito, "satu
kajian mutakhir dan terbaik tentang pergerakan Islam
kotemporari.Berteraskan penelitian tersendiri, Zainah Anwar
memadamkan huraian dan analisis dengan temubual yang melahirkan
satu ulasan yang menarik lagi terserlah". Diharap para pembaca boleh
membuat kesimpulan sendiri mengenai naskah ini.Ulasan bebas,
penasakti2002@yahoo.com)

URL asal: http://idealis.1accesshost.com/isu/12apr01.html

Oleh Zainah Anwar

Di Universiti Malayalah, universiti ulung di negara ini, bermulanya


kebangkitan semula Islam, yang muncul setelah tamatnya rusuhan kaum
antara orang Melayu dan Cina pada 13 Mei, 1969.[3] Krisis dan perasaan
kecewa inilah, yang mendorong orang berpaling ke arah Islam. Setelah 12
tahun merdeka orang Melayu semakin sedar bahawa mereka masih lagi
mundur, ketinggalan dalam proses pembangunan negara. Mereka melihat
pertumbuhan ekonomi dikuasai oleh orang Cina yang tinggal di bandar dan
bergiat dalam bidang perniagaan. Mereka dipimpin oleh kerajaan yang
berasaskan Melayu, tetapi kerajaan itu pada pendapat mereka dimanipulasi
oleh orang Cina. Rusuhan yang berlaku itu merupakan:

...kemuncak polarisasi kaum yang kian meningkat antara orang Melayu dan
bukan Melayu dalam 1960-an - terutama sekali disebabkan oleh penyertaan
Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura dalam arena politik negara pada
tahun l963-65 (apabila Singapura dimasukkan sebagai satu komponen negara
Malaysia yang diperluaskan itu), konflik tentang isu bahasa, serta kesedaran
orang Melayu betapa mereka ketinggalan begitu jauh dalam proses
pemodenan - dan kempen pilihanraya yang terlalu berbau perkauman pada 10
Mei.[4]
Dalam masa beberapa bulan berikutnya, apabila pihak kerajaan berusaha
memulihkan keamanan, Kumpulan Muda dalam UMNO sendiri mencabar
kepimpinan Tunku Abdul Rahman, dengan menuduh beliau mengabaikan
kepentingan orang Melayu dan terlalu mengalah pada tuntutan orang Cina.
Mereka menuntut supaya orang Melayu diberi kuasa sepenuhnya dalam
kerajaan dan orang Cina tidak dimasukkan dalam Kabinet. Di Universiti
Malaya, pelajar-pelajar Melayu memainkan peranan penting berdemonstrasi
menentang Perdana Menteri dan meminta beliau meletak jawatan.

Di asrama-asrama dan Sudut Pidato di hadapan perpustakaan, desakan


supaya Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan menjadi semakin hebat.
Pada pertengahan bulan Ogos, Barisan Tindakan Pelajar-pelajar Malaysia
mengedarkan surat kenyataan: bahawa Perdana Menteri bertanggungjawab
terhadap keganasan yang berlaku pada bulan Mei; bahawa beliau tidak
melaksanakan Perlembagaan dari sudut tafsiran kaum Melayu.[5]

Di tengah-tengah suasana krisis demikian serta gerakan pelajar terhadap isu


hidup mati orang Melayu, kemiskinan di kalangan orang Melayu, bahasa
kebangsaan, dan sistem pendidikan baru yang berasaskan bahasa Melayu,
orang mula berpaling ke arah Islam.

Seorang pemimpin belia Islam yang berada di barisan hadapan kebangkitan


semula Islam di Universiti Malaya pada masa itu mengenang kembali:

Keadaan sungguh meruncing pada masa itu. Terdapat banyak isu...


kemiskinan orang Melayu, bahasa, rasuah. Dan selepas peristiwa 13 Mei,
mudah sahaja seseorang terlibat serta-merta dalam hal-hal ini. Ini semua
persoalan hidup matinya umah, yakni bangsa Melayu. Sebelum ini kita
memikirkan segala masalah ini di luar konteks Islam, walhal kita boleh
menyelesaikannya dengan cara Islam.[6]

Sekiranya ada orang yang boleh dianggap sebagai pengasas gerakan


kebangkitan semula Islam di Malaysia, dia ialah Anwar Ibrahim, sekarang
Menteri Pendidikan dalam pentadbiran Mahathir. Beliau seorang pemimpin
berkarisma yang muncul pada masa genting dengan seruan yang bertenaga
untuk menyelamatkan keadaan sosial dan rohani bangsa. Pada tahun 1969,
beliau seorang pelajar tahun dua di Jabatan Pengajian Melayu, Presiden
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang aktivis, juga
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dua
persatuan pelajar Melayu yang paling berpengaruh, yang memimpin kempen
anti-Tunku di kampus. Dengan menerajui oganisasi-organisasi ini, Anwarlah
yang mula "merasionalkan tema perjuangan kami untuk keadilan
sosioekonomi dengan nilai-nilai Islam," kata Kamaruddin Muhammad Nor,
rakan karib Anwar di universiti serta pengasas bersama ABIM. Anwar seorang
pemidato yang bersemangat dan berkarisma yang membangkitkan semangat
para pendengarnya dengan gaya yang berapi-api, dengan kepetahannya serta
keyakinannya. Beliau telah menggunakan semua ini untuk menggembleng
dan mempengaruhi pelajar-pelajar supaya menyokongnya dalam kempen
anti-Tunku. Kini sekali lagi karismanya menarik minat mereka yang berada di
sekelilingnya ke jalan baru menuju Islam.
"Kami berasa meluat dengan kepura-puraan yang ada dalam masyarakat.
Kami hampa dengan kepimpinan yang ada," Anwar Ibrahim berkata ketika
memperihalkan gerakan pelajar-pelajar Melayu ketika itu. Katanya:

Para pemimpin mengutuk rasuah, tetapi mereka sendiri memperkayakan diri.


Mereka bercakap tentang semangat kebangsaan Melayu tetapi mereka
terasing daripada masyarakat Melayu. Mereka mendewa-dewakan Barat.
Mereka terlalu mengalah pada sentimen-sentimen bukan Melayu. Mereka
terlalu lambat melaksanakan dasar-dasar negara bagi pelajaran dan bahasa.
Mereka kurang sabar dan marah terhadap kemiskinan orang Melayu,
pendidikan mereka, pembangunan luar bandar, serta kesihatan luar bandar.
Di sini ada Hospital Universiti yang besar, tetapi tiada klinik di kawasan-
kawasan luar bandar. Ada sekolah yang tidak ada makmal, tidak ada
perpustakaan dan tidak ada guru yang berkelayakan. Kami terasa amat
marah, meluat dan mengecam kerajaan. Nampaknya tidak ada asas akhlak
atau bimbingan rohani untuk diikuti. Kami berpaling pada Islam untuk
mengisi kekosongan ini, dan untuk mencari penyelesaian

Di bawah pimpinan Anwar, pemimpin-pemimpin pelajar Melayu pun mula


mengkaji Islam dengan bersungguh-sungguh. Mereka memperoleh buku-
buku karya Sayyid Qutb, Hassan al-Banna, Abdul A'la Al-Maududi serta ahli-
ahli fikir kebangkitan semula Islam lain yang terkemuka. Mereka
menterjemahkan buku-buku ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris atau Arab
ke bahasa Melayu, menyalin dengan siklostil serta mengedar karya-karya ini
ke seluruh kampus. Di tanahair, Profesor Syed Naguib Al-Attas, Dekan Fakulti
Sastera ketika itu, merupakan satu lagi sumber buah fikiran yang penting
pada peringkat terawal gerakan Islam ini. Menurut Kamaruddin Muhammad
Nor, Syed Naguib menyokong penuh kumpulan Islam ini serta matlamat
perjuangannya. Selepas kuliah, pelajar-pelajar ini tidak ke perpustakaan,
sebaliknya mereka kerap pergi ke pejabat atau rumahnya, berbincang panjang
lebar dengan beliau tentang Islam sebagai daya pengubah semua lapangan
dan Islam sebagai sumber modenisme serta pemodenan. Dengan kesedaran
baru ini, datang pula faharnan tentang lengkapnya Islam sebagai ad-din (cara
hidup), tarikan kuat yang membangkitkan semangat pelajar-pelajar tersebut.
"Pada masa itu kami hendak mengubah dunia," kata Anwar Ibrahim:

Wujud semangat persaudaraan, keinsafan tentang perlunya perjuangan


menentang rasuah, eksploitasi dan penindasan yang kuat. Kami masih lagi
mengambil berat tentang isu-isu bangsa Melayu, tetapi kini kami juga
mempunyai tanggungjawab yang sama berat terhadap Islam

Pelajar-pelajar tersebut mula membentuk kumpulan-kumpulan kajian kecil


yang meng-adakan perbincangan mengenai ajaran para pemimpin
kebangkitan semula Islam, dan mereka mula merencanakan satu rancangan
kerja untuk mempraktikkan kepercayaan mereka yang baru itu.

Salah satu matlamat mereka hendak menguasai Persatuan Mahasiswa


Universiti Malaya (PMUM), yang pada masa itu dikuasai oleh ahli-ahli Kelab
Sosialis. Seperti banyak lagi kumpulan berhaluan kiri, Kelab Sosialis
dipandang sebagai pejuang golongan miskin dan tertindas. Anwar dan
kumpulannya yang telah pun terh'bat dengan perjuangan menuntut keadilan
sosio-ekonomi bagi orang Melayu yang miskin dari luar bandar kini mahu
perjuangan ini diteruskan di bawah bendera Islam. Menurut Kamaruddin,
kumpulan sosialis mempunyai kelemahan kerana ada penentang semula jadi,
khususnya kumpulan antikomunis dan pro-kerajaan di kampus.

Apabila kami menyampaikan Islam sebagai perjuangan kami, kumpulan


prokerajaan sukar menentangnya. Dengan itu, kami mempunyai asas yang
lebih luas dan lebih kukuh untuk memperoleh sokongan

Pendekatan mereka terhadap Islam juga amat menarik. "Apabila kami


bercakap tentang Islam, ia jugamerangkumi bidang kehidupan seperti
ekonomi, politik, dan pelajaran," kata Kamaruddin:

Isu-isu semasa, seperti tanah dan kemiskinan, merupakan sebahagian


daripada kepentingan Islam bagi kami dan penyelesaian bagi masalah-
masalah ini harus dirujuk kepada sumber-sumber Islam. Kami berusaha
merayu kepada rakyat dan kerajaan agar cuba memandang Islam sebagai
penawar segala penyakit yang mencengkam masyarakat.

Melalui PBMUM dan PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti


Malaya) - dua buah pertubuhan pelajar yang dikuasai Anwar, Kamaruddin
serta kumpulan Islam mereka - satu haluan baru kegiatan-kegiatan pelajar
menurut jalan Islam pun dibentuk. Isu pertama yang menjadi sasaran mereka
ialah akhlak. Mereka berkempen menentang apa yang mereka anggap sebagai
kegiatan-kegiatan untuk berseronok seperti ragging yang dilakukan terhadap
siswa-siswa baru semasa orientasi, parti halloween serta majlis tari-menari.
"Kami rasa para intelek patut beristirahat dengan cara yang berlainan," kata
Kamaruddin. "Mereka harus lebih serius menggunakan masa mereka dan
tidak menghabiskan wang di disko."

Sebahagian besar sokongan yang diterima pada tahun-tahun awal itu datang
daripada pelajar-pelajar tahun pertama. PBMUM dan PMIUM mengadakan
rancangan orientasi mereka sendiri dan menerusinyalah mereka mendapati
golongan pelajar Melayu yang masih mentah, senang dipengaruh serta takut-
takut sebagai sasaran unggul seruan baru tentang Islam yang sedang mereka
bawa itu. Ceramah-ceramah dan forum-forum tentang Islam diadakan untuk
pelajar-pelajar tahun pertama ini. Isu kemiskinan, rasuah serta salah tadbir
kerajaan, yang peraah diambil berat oleh Kelab Sosialis, kini berada pula di
bawah bendera Islam. Menjelang waktu Kamaruddin tamat pengajian pada
tahun 1972, kegiatan ragging, majlis tari-menari serta majlis halloween
semuanya dilarang dengan rasmi (namun majlis tanpa kebenaran masih
diteruskan). Pihak berkuasa universiti ditentang hebat oleh kumpulan Islam
yang mengadakan kempen tandatangan untuk menyokong tuntutan-tuntutan
mereka. Dengan sokongan pelajar-pelajar tahun pertama ini, kumpulan Islam
tersebut mendapat ramai penyokong. Mereka mudah mendapat sokongan
untuk mengharamkan ragging kerana pelajar-pelajar tahun pertama inilah
yang menjadi mangsa orientasi ke alam kehidupan universiti yang kerapkali
kejam dan mengaibkan.

Tetapi pada tahun 1974 barulah kumpulan Islam ini, yang kini berada di
bawah pengaruh ABIM yang baru ditubuhkan itu, berjaya mengambil alih
PMUM itu. Apabila ini berlaku, orientasi untuk pelajar-pelajar Melayu mula
bermakna bangun sebelum Subuh untuk bersiap sedia menunaikan
sembahyang Subuh secara berjemaah, mendengar ceramah-ceramah agama
dan

menutup kepala dengan kain tudung yang diikat dengan bergaya di tengkuk,
sepanjang tempoh seminggu itu.

Menjelang waktu itu, kumpulan 'Islam' ini mula digelar orang dakwah.
Sungguhpun perkataan dakwah itu sendiri sebenarnya 'memanggil' atau
'menjemput' seperti dalam kerja-kerja mubaligh agama, namun dalam
konteks Malaysia serta banyak negara Islam yang lain hari ini, perkataan
dakwah diperluaskan pengertiannya meliputi tugas menjadikan orang Islam
lebih bertakwa. Pada masa itu, orang dakwah tersebut telah pun menetapkan
suatu aliran keislaman yang nyata dalam kegiatan-kegiatan pelajar di kampus
Universiti Malaya. Melalui pelbagai seminar, syarahan, forum serta projek
masyarakat, pelajar-pelajar tersebut diingatkan supaya lebih mengambil berat
akan hasrat rakyat, tetapi kali ini semuanya atas nama Islam.

Perjuangan untuk menegakkan hak-hak orang Melayu khususnya telah


diwarnai Islam. Menjelang pertengahan 1960-an, PBMUM dan PKPIM sudah
pun aktif membantah kegagalan kerajaan mengatasi masalah kemunduran
orang Melayu dalam lapangan seperti kesihatan, pendidikan dan ekonomi,
serta dalam melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; kini
mereka mula menekankan Islam dalam kegiatan-kegiatan mereka itu. Pada
tahun 1968, dengan diketuai oleh Anwar Ibrahim, kedua-dua organisasi
tersebut melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran (GKK), yang bertujuan
mewujudkan hubungan rapat di antara pelajar dan masyarakat. Semasa

cuti universiti, beratus-ratus pelajar pergi ke kampung-kampung di luar


bandar selama 12 hari hingga dua bulan, tinggal bersama-sama dengan orang
Melayu yang miskin untuk mengetahui masalah-masalah sosio-ekonomi
mereka dan memulakan projek-projek masyarakat. Melalui pendedahan ini,
diharapkan pelajar-pelajar tersebut akan peka terhadap golongan yang kurang
bernasib baik dan memahami mengapa orang Melayu ketinggalan dalam
proses pembangunan. Diharapkan mereka dapat menjadi agen perubahan,
membimbing serta membantu penduduk-penduduk kampung mengatasi
masalah. Di sini wujud semangat setiakawan tetapi bercorak kemelayuan.
Matlamat utamanya masih untuk membangkitkan semangat pelajar supaya
berjuang untuk bangsa Melayu. Tetapi menjelang sesi akademik 1972/73,
konsep GKK berubah haluan dari mpningkatkan kesedaran orang Melayu dan
hak-hak Melayu dalam pembangunan negara menjadi alat untuk berdakwah.
Kecenderungan keislamannya jelas terbayang dalam laporan GKK PKPIM
tahun tersebut. Matlamat GKK telah disenaraikan sebagai "Mewujudkan
keadilan, kejujuran, kebenaran dan kesefahaman di kalangan penduduk luar
bandar bagi menjamin perkembangan sosial, ekonomi, politik serta pelajaran
mereka dikaitkan dengan Islam."[8]

Dengan itu, banyak kegiatan berunsur Islam mula diadakan. Sesudah


bersembahyang Maghrib, pelajar-pelajar tersebut akan menjemput
penduduk-penduduk kampung duduk sebentar membincangkan Islam
sebagai satu cara hidup yang tidak memisahkan di antara agama dengan
kehidupan harian. Menjelang tahun 1973, kegiatan utama PKPIM merupakan
program latihan untuk pemimpin-pemimpin dakwah. Aktivitinya tidak lagi
menekankan soal hidup mati orang Melayu, yang mundur dalam semua
lapangan termasuk memahami agama Islam. Kini penekanan diberikan pada
Islam semata-mata. Matlamatnya untuk mengasaskan sebuah badan pelajar
yang sedar serta insaf akan tanggungjawabnya sebagai sebuah badan Islam;
mewujudkan suatu kumpulan pemimpin di kalangan pelajar Islam; memupuk
semangat berjuang untuk Islam di kalangan pelajar Islam; memahami
peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara dan di peringkat
antarabangsa; memperkuat serta menyusun semula gerakan-gerakan
Islamiah dengan cara perkumpulan; meningkatkan pemahaman tentang
Islam dan agama; membangkitkan semangat jihad; menggalakkan kebaikan
dan mencegah kemungkaran di kalangan pelajar.[9]

la suatu evolusi yang mengubah hala persatuan utama pelajar-pelajar Melayu-


Islam di universiti daripada kegiatan serta penekanan terhadap soal hidup
mati bangsa Melayu kepada usaha menyebar serta menegakkan Islam sebagai
suatu cara hidup.

Perkembangan serta pertumbuhan gerakan dakwah di kalangan pelajar,


terutamanya dalam tahun 1970-an, banyak terhutang kepada pembentukan
ABIM yang memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dari segi kepimpinan,
bimbingan, tenaga kerja, pengelolaan aktiviti-aktiviti dan pembekalan buku-
buku, risalah-risalah serta penceramah-penceramah tentang Islam. Sejak
pertengahan tahun 1969 lagi, Anwar dan rakan-rakan seperjuangannya yang
sedang muncul, mula berusaha mencari suatu dasar untuk meneruskan
perjuangan Islam setelah tamat pengajian. Dalam suatu mesyuarat PKPIM
pada bulan Ogos tahun itu, lahirlah idea mem-bentuk ABIM. Pada tahun 1971,
ABIM dilancarkan untuk memberi landasan bagi siswazah-siswazah muda
Islam memainkan peranan yang wajar dalam perjuangan baru mereka.
Matlamat mereka untuk membina sebuah masyarakat berlandaskan prinsip-
prinsip Islam. Ini merupakan suatu peristiwa yang amat penting bagi
kebangkitan semula Islam di Malaysia.

Serentak dengan pelancaran ABIM, Anwar dan Kamaruddin juga


melancarkan Yayasan Anda, sebuah sekolah menengah swasta yang memberi
pendidikan lanjutan kepada pelajar-pelajar yang tercicir dari sistem
pendidikan kerajaan, terutamanya orang Melayu. Setelah melibatkan diri
sepenuhnya dalam cara hidup Islam, tiada siapa pun dalam kumpulan Anwar
yang mahu bekerja dengan kerajaan atau sektor swasta setelah tamat
pengajian. Mereka mahukan masa yang lapang serta kebebasan untuk
meneruskan lagi tanggapan-tanggapan yang mereka anggap sempurna dan
untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dalam cara yang mereka fikir
patut. Anwar menjadi pengetua Yayasan Anda yang pertama dan rakan-rakan
universitinya menjadi guru yang pertama, kesemua mereka mendapat gaji
lebih kurang $300 - $400 sebulan, iaitu sepertiga atau separuh daripada apa
yang akan mereka terima sekiranya mereka bekerja dalam perkhidmatan
awam atau sektor swasta. Sekolah tersebut yang masih berjalan hingga ke hari
ini dengan lebih kurang 1,200 orang pelajar sepenuh masa dan 800 orang
pelajar sebelah malam, mengikuti sukatan pelajaran sekolah kerajaan untuk
membolehkan pelajar-pelajarnya mengambil peperiksaan-peperiksaan
peringkat kebangsaan. Tetapi di samping pendidikan sekular, para pelajar
juga mengambil satu kursus wajib prinsip Islam yang di antara lain, mengajar
mereka tentang Islam sebagai suatu cara hidup, gerakan-gerakan Islamiah,
perbezaan di antara Islam dengan agama-agama lain, dan perbezaan di antara
sistem ekonomi dan politik hari ini dengan apa yang digalakkan oleh Islam.
Cara berpakaian dan berkelakuan menurut Islam dikuatkuasakan. Bilik
darjah pula dibahagi dua; sebelah untuk pelajar-pelajar lelaki, sebelah lagi
pelajar-pelajar perempuan. Semua pelajar perempuan menutup kepala
dengan mini telekung (tudung kepala yang labuh hingga ke paras dada) untuk
menonjolkan kesopanan mereka menurut ajaran Islam. Lulusan Yayasan
Anda yang pertama pada tahun 1974 antara wanita-wanita pertama di
Universiti Malaya kelihatan memakai mini telekung ini. Mereka kemudian
mula dikenali sebagai 'orang dakwah'.[10]

Satu lagi pendorong penting kebangkitan semula Islam di Malaysia ialah


hubungan gerakan tersebut dengan pejuang-pejuang kebangkitan semula
Islam di Indonesia. Suatu ketika dahulu, ahli-ahli politik, pejuang-pejuang
kebangsaan serta tokoh-tokoh kesusasteraan Melayu sering merujuk kepada
Indonesia untuk memperoleh bimbingan serta dorongan, dan ini termasuklah
bidang agama. Buku-buku Indonesia tentang Islam dipandang tinggi sebagai
sumber idea serta tafsiran, Tetapi jauh lebih penting dalam kebangkitan
semula ini ialah hubungan ABIM dan PKPIM dengan Himpunan Mahasiswa
Islam (HMI) yang membantu ABIM dan PKPIM mengelolakan beberapa
lawatan latihan dakwah ke Jakarta dan Bandung, pusat kebangkitan semula
Islam di kalangan pelajar Indonesia. Menurut Kamamddin, semangat se-
Melayu yang sentiasa wujud kini berkembang menjadi semangat se-Islam di
antara pemuda-pemuda pejuang kebangkitan semula Islam Malaysia dan
Indonesia.

Pada peringkat awal ini, pemimpin-pemimpin ABIM ghairah belajar dari HMI
yang lebih berpengalaman itu. Semasa di Jakarta dan Bandung, pucuk
pimpinan HMI membantu rakan-rakan sejawat mereka dalam ABIM untuk
merumuskan idea-idea serta hujah-hujah intelektual bagi menyokong seruan
mereka agar Islam dijadikan cara hidup dan untuk berhujah menentang puak-
puak nasionalis dan sosialis yang terpaksa mereka hadapi di universiti serta
pihak kerajaan. Mereka juga mempelajari cara mengelola gerakan yan baru
ditubuhkan itu serta cara menjalankan kegiatan-kegiatan seperti khemah
latihan dan perkhidmatan kemasyarakatan untuk membangkitkan kesedaran
dan membina penumpuan khidmat terhadap matlamat Islam.

Di antara pejuang-pejuang kebangkitan semula Islam di Indonesia, ada


seorang yang memainkan peranan penting mempengaruhi pelajar-pelajar
universiti ke arah mengamalkan Islam seluruhnya. Pada awal 1970-an,
Imaduddin Abdul Rahim, pensyarah kejuru-teraan rakyat Indonesia dari
Institut Teknologj Bandung yang terkenal, yang merupakan pusat kegiatan
politik dan Islamiah pelajar di Indonesia, mengajar di Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, Imaduddin mula
mengadakan ceramah-ceramah agama untuk kumpulan-kumpulan pelajar
yang pada pandangannya, memiliki ciri-ciri kepimpinan di kampus-kampus di
Kuala Lumpur. Dia mengajar cara hidup Islam sepenuhnya, dan betapa
perlunya kembali semula kepada ajaran Al-Quran untuk menyelamatkan
masyarakat Islam yang dianggapnya sudah sesat. Mereka yang mendengarnya
berceramah masih ingat hari ini bahawa Imaduddin seorang pemidato yang
bersemangat serta meyakinkan, yang dapat mengusik hati pendengar-
pendengarnya sehingga menangis mengenangkan kesilapan mereka.[11]
Shukran Jamel Zaini, semasa itu pemimpin dakwah di Universiti Pertanian
Malaysia,[12] berkata:

Dia menyedarkan kami betapa salahnya kami bersembahyang lima kali sehari,
memberi salam apabila berjumpa pelajar-pelajar lain dan mengajar Islam
sebagai suatu cara hidup namun masih menghadiri majlis tari-menari pada
hari Ahad serta menjemput penyanyi-penyanyi ke konsert-konsert anjuran
kami.

Dia menginsafkan kami betapa beratnya kesalahan kami dan kami tidak boleh
menjalani kehidupan yang terbahagi dua apabila kami percaya bahawa Islam
itu suatu cara hidup yang lengkap.

Imaduddin membentuk sebuah kumpulan teras yang terdiri daripada lebih


kurang 100 orang pengikut di UTM. Ramai daripada mereka pergi ke Britain
kemudiannya untuk melanjutkan pendidikan dan meneruskan kegiatan
dakwah di sana. Apabila pulang ke tanahair, mereka mengajar di pelbagai
institusi pengajian tinggi dalam keadaan yang jauh lebih bertakwa.[13]

Tetapi tidak lama kemudian berlaku persengketaan di antara ABIM dengan


Imaduddin serta pengjkut-pengikutnya. Sekiranya ABIM mengharapkan
pengaruhnya akan diperkuat lagi oleh kepopularan Imaduddin di kalangan
pelajar, ia kecewa sama sekali. Akhirnya mereka berpisah jalan kerana
perbezaan pendapat tentang beberapa isu. Menurut Kamaruddin Muhammad
Nor dan beberapa orang lain, Imaduddin bersikap militan dalam
pendekatannya terhadap Islam. Kamaruddin berkata:

Dia menuntut supaya kami menerima Islam seluruhnya. Dari segj prinsip, ia
memang betu. Tetapi Islam juga mengakui kelemahan manusia dan tahap
tanggungjawab mereka yang berbeza-beza. Ada orang sanggup mati untuk
Islam, ada pula yang tidak sanggup dan ini tidaklah menjadikan mereka
murtad. Tetapi bagi Imaduddin, jika seseorang itu tidak sanggup
mengorbankan nyawanya, maka dia terkeluar dari Islam. Kami tidak setuju
dengan tafsiran perjuangan untuk Islam yang begitu ketat.

Satu lagi persoalan yang dipertikaikan ialah keengganan Imaduddin bekerja


dalam bidang organisasi gerakan dakwah yang wujud. Imaduddin dan
pengikut-pengikutnya di UTM enggan bekerja dalam rangkaian PKPIM atau
ABIM. Oleh itu, PKPIM sukar hendak menubuhkan persatuan pelajar Islam di
UTM dan akibatnya ia kalah dalam pilihanraya pelajar pada tahun 1972.[14]
Perbezaan pendekatan, tahap semangat ideologi serta persaingan untuk
mendapat pengaruh seperti inilah yang memulakan perpecahan dalam
gerakan dakwah serta persaingan untuk mendapatkan sokongan pelajar di
kalangan pelbagai kumpulan dakwah hari ini
Sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 dianggap sebagai keadaan genting yang
menjadi pendorong awal bagi peralihan ke arah Islam, maka pelbagai dasar
yang amalkan oleh kerajaan hanya menyemarakkan lagj kebangkitan semula
Islam. Setelah berlaku rusuhan itu, kerajaan telah memulakan usaha
memperbanyakkan lagi peluang untuk orang Melayu melanjutkan pen-
didikan mereka sebagai sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang bertujuan meningkatkan kedudukan sosioekonomi golongan miskin
yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Kerajaan mula
menghantar beribu-ribu orang Melayu belajar terutamanya dalam kursus
sains dan teknologi, di universiti-universiti tempatan dan juga luar negara.
Pada tahun 1971, kuota minimum ditetapkan untuk pelajar-pelajar Melayu
dalam kursus-kursus tertentu seperti perubatan, sains dan kejuruteraan yang
dahulunya dikuasai oleh pelajar-pelajar bukan Melayu. Kerajaan juga mula
menghantar pelajar-pelajar Melayu terbaik untuk melanjutkan pendidikan di
Britain.

Gerakan baru mengambil lebih ramai orang Melayu untuk mengikuti


pengajian tinggi menyebabkan bertambahnya bilangan pelajar Melayu di
universiti-universiti tempatan dan luar negara. Ramai pelajar ini datang dari
pekan-pekan kecil dan kampung-kampung. Ramai juga daripada mereka tidak
layak memasuki universiti jika bukan kerana dasar tindakan baru ini. Dengan
mendapat pendidikan dalam bahasa Malaysia dan kelayakan akademik yang
kurang baik, pelajar-pelajar ini terasa kalah kepada pelajar-pelajar bukan
Melayu yang datang dari bandar serta jauh lebih berkelayakan dan dapat
bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Walaupun kerajaan telah
memperkenalkan Dasar Pendidikan Baru pada tahun 1971 dengan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar, namun bahasa Inggeris masih menjadi
bahasa utama di kampus-kampus sehingga lewat tahun 1970-an. Pensyarah-
pensyarah yang berpendidikan Inggeris terpaksa bersusah payah mengajar
dalam bahasa Melayu manakala pelajar-pelajar yang berpendidikan Melayu
pula terpaksa bersusah payah belajar menggunakan buku-buku teks yang
masih ditulis bahasa Inggeris.

Seperti kata Judith Nagata, ia mewujudkan semacam krisis linguistik yang


baru:

Pelajar-pelajar tersebut masih terpaksa menghadapi masalah kurang fasih


berbahasa Inggeris, di samping kurang memiliki standard akademik umum
yang diperlukan pada peringkat ini. Dengan hebatnya rasa cemas, kecewa
serta kemungkinan gagal, maka ketegangan jiwa menyelubungi suasana hidup
pelajar-pelajar di kampus, menyebabkan mereka mencari saluran-saluran
bicara dan ideologi yang lain.[15]

Pelajar-pelajar ini menjadi sumber ahli baru PKPIM dan ABIM di kampus-
kampus universiti. Oleh sebab mereka lebih terdedah dan terpengaruh oleh
agama dalam kehidupan di luar bandar, maka mereka mudah diresapi
pengaruh dan idea daripada warisan yang sudah pun mereka kenali itu.

Satu lagi akibat rusuhan 13 Mei ialah pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej
Universiti, 1971. la mengenakan beberapa sekatan ke atas kegiatan pelajar. la
melarang pelajar-pelajar Universiti atau sebarang organisasi mereka
melibatkan diri atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada
sebarang parti politik atau kesatuan sekerja. Sesiapa yang menyalahi
peraturan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $1,000 atau enam
bulan penjara atau kedua-duanya sekali. Akta tersebut juga memberi kuasa
kepada Majlis-majlis Universiti untuk menggantung atau membubarkan
sebarang organisasi pelajar yang bertindak dalam cara yang dianggap
menggugat atau memudaratkan nama baik Universiti.

Disebabkan sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap kegiatan pelajar,


projek-projek GKK dikurangkan dengan banyaknya, lalu mendorong PKPIM
terlibat dengan lebih mendalam lagi menganjurkan kegiatan-kegiatan dakwah
di kalangan pelajar. Dengan sekatan terhadap penglibatan dalam hal-hal
politik, maka dengan mudah Islam menjadi satu-satunya jalan yang selamat
untuk pelajar-pelajar menyuarakan keluhan mereka, menggembleng tenaga,
memenuhi tuntutan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mencari
kelegaan dari tekanan-tekanan yang berpunca daripada kehidupan universiti
serta cara hidup di bandar.

Tetapi pada tahun 1974, Akta yang menyekat itu tidak dapat menghalang
pelajar-pelajar berdemonstrasi menentang kelaparan serta kemiskinan
petani-petani. Lebih kurang 1,169 orang yang kebanyakannya Melayu ditahan,
termasuk pemimpin ABIM, Anwar Ibrahim sendiri. Seterusnya ramai
daripada pelajar-pelajar itu yang merupakan pemegang biasiswa kerajaan
telah diminta mengemukakan alasan mengapa biasiswa mereka tidak harus
ditarik balik. Menjelang awal bulan April 1975, semua pemegang biasiswa
diberitahu bahawa pada masa hadapan mereka akan diminta
menandatangani 'perjanjian tambahan' dengan berikrar tidak akan
melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik.[17]

Tidak lama kemudian, kerajaan mengetatkan lagi jerutannya terhadap


penglibatan pelajar dalam politik dan kegiatan-kegiatan lain dengan meminda
Akta Universiti tahun 1971 itu. Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1975 yang
lebih menyekat itu melarang pelajar-pelajar menyimpan atau mengumpul
wang untuk kegiatan pelajar. Kini, semua wang untuk perbelanjaan
dikeluarkan oleh pihak berkuasa universitL Segala aktiviti termasuk hak
untuk mengadakan forum-forum dan menjemput penceramah dari luar serta
sebarang perbelanjaan yang timbul perlu disahkan secara bertulis terlebih
dahulu oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar. Perhimpunan yang
melebihi lima orang serta penerbitan sebarang dokumen tanpa kebenaran
terlebih dahulu juga dilarang.

Sekatan-sekatan demikian hanya membantu memperhebatkan lagi


perjuangan ke arah Islam. Gerakan dakwah masih tidak begitu dikenali pada
masa itu, dan kerajaan pula yang sibuk dengan kekacauan yang ditimbulkan
oleh pelajar-pelajar tentang isu sosioekonomi, tidak menganggap Islam
sebagai suatu ancaman bagi kawalannya terhadap kegiatan pelajar atau
cabaran kepada kuasanya.

Kesimpulan
Kebangkitan semula Islam yang timbul daripada suasana genting ketika
rusuhan 13 Mei dan diketuai oleh Anwar Ibrahim serta ABIM mengambil
jalan sederhana. Pada masa itu tidak ada seruan untuk menubuhkan sebuah
negara Islam atau melaksanakan undang-undang syariah. Sebenarnya,
menurut Anwar Ibrahim, dia serta rakan-rakannya tidak percaya dengan
proses politik dan tidak benninat memenangi kuasa politik. Mereka lebih
terlibat dengan 'penyedaran', yakni mengembangkan cara pemikiran kritis
serta kesedaran kritis pada diri sendiri dan juga dunia luar selaras dengan
pandangan progresif tentang isu-isu dan masalah-masalah yang melingkungi
masyarakat. Mereka mengelak dari menggunakan perkataan 'dakwah' bagi
diri mereka kerana ia membawa makna konservatif. "Kami bersikap toleran
dan liberal," katanya dengan bangga. Islam yang ABIM sebarkan mengaku
dan menerima kelemahan diri manusia serta perbezaan tahap penumpuan
khidmat mereka terhadap agama.

Saya suka menyifatkan fasa penguasaan ABIM ini sebagai gelombang pertama
dalam arus gerakan kebangkitan semula Islam di Malaysia. Tarikannya
progresif. la tidak memandang Islam begitu keras seperti yang dilakukan oleh
penyokong-penyokong dakwah kemudiannya. Sungguhpun ia mengkritik
kerajaan dan dasar-dasarnya yang ia anggap tidak adil atau menindas, ia tidak
pernah menyeru dengan lantang agar ditubuhkan negara Islam. la percaya
pengislaman umah mestilah terlebih dahulu dilaksanakan secara beransur-
ansur, sederhana serta progresif. Hingga hari ini, Anwar Ibrahim masih
berkata bahawa dia tidak percaya pada langkah menyuruh atau memaksa
orang lain ke arah Islam. "Tidak masuk akal langsung. Kita mesti memberi
peluang kepada orang lain untuk memahaminya. Tidak ada gunanya terlalu
ghairah mengecap dan menggesa."

Gelombang kedua gerakan dakwah bermula pada pertengahan hingga lewat


tahun 1970-an dengan pulangnya dari England beratus-ratus orang pelajar
Malaysia yang telah dipengaruhi Islam yang lebih asas anjuran Ikhwan
Muslimin Mesir serta Jamaati-i-Islam Pakistan. Seperti yang akan
diterangkan dalam bahagian berikut nanti, gerakan di Malaysia mula menjadi
lebih radikal. Perjuangan untuk menubuhkan negara Islam dengan Quran dan
Sunah sebagai perlem-bagaan mula menguasai gerakan dakwah.

Zainah Anwar adalah seorang penyelidik di Institut Kajian Strategik dan


Antarabangsa(ISIS), membuat penyelidikan tentang kerajaan,politik dan dasar luar
negara. Sebelum ini dia pernah menjadi wartawan di The New Straits Times mengkhusus
dalam laporan politik dan diplomatik. Beliau mendapat pendidikan dari Institut Teknologi
Mara, University Boston dan Fletcher School of Law and Diplomacy, University Tufts.

Anda mungkin juga menyukai