Anda di halaman 1dari 7

Ceramah Motivasi Bahasa Melayu

Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah Lumut


18 Mei 2006

Ke Arah Kecemerlangan Bahasa Melayu Dalam Peperiksaan

Selamat Petang dan salam sejahtera,


Yang Mulia, Cikgu Abd Khalid bin Hj Mahmood Pengetua Sek Men PAP Hajah Rashidah
Saadatul Bolkiah, Lumut
Yang Mulia, Cikgu Hjh Saliah binti Bongsu Ketua Jabatan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan pihak Sekolah
Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah Lumut kerana memberikan kepercayaan
kepada saya untuk menyampaikan ucapan pada hari ini.

Saya difahamkan murid-murid yang ada di dewan sekarang adalah dari tingkatan 5. Menyebut
tingkatan 5, terbayang di kepala saya tahun 1983, iaitu kira-kira 23 tahun dahulu, tahun 1983
saya berada dalam tingkatan 5 seperti awda sekarang. Ada yang berumur 23 tahun sekarang tak?
Saya maksudkan murid-murid bukan cikgu-cikgu di sini. Kalau saya melihat awda sekarang,
saya harap saya berada di posisi awda sekarang! Masa terlalu cepat berlalu sehingga dirasakan
masih banyak perkara yang belum saya buat lagi. Mengapa pula saya tidak melakukan perkara-
perkara yang saya inginkan semasa saya seusia awda? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan,
saya hanya manusia biasa, saya tidak tahu masa depan saya bagaimana. Pernah tak awda ditanya
oleh cikgu-cikgu awda kalau sudah besar nanti nak jadi apa? Ha, macam-macam jawapan yang
ada tapi pasti jawapan-jawapan tersebut hebat-hebat. Memang baik untuk berangan-angan, kalau
berangan-angan itu biarlah angan-angan itu tinggi. Kata Shakesphere kalau berangan-angan itu
biarlah setinggi langit, kalau jatuh pun jatuh atas pokok kayu, jangan berangan-angan naik pokok
kayu sahaja kerana kalau jatuh, jatuh terus ke tanah. Lagi pun awda sudah tingkatan lima,
ertinya awda adalah murid-murid pintar. Tetapi mengikut Shakesphere lagi, Kepandaian tanpa
cita-cita adalah seumpama burung tanpa sayap ertinya sepandai mana pun awda jika tidak ada
cita-cita awda tidak akan ke mana-mana. Tetapi cita-cita itu harus tinggi kerana seperti kata
Archie C. Danielson, Hasil yang besar memerlukan cita-cita yang besar. Jadi, awda harus
menetapkan tujuan hidup dengan jelas sekarang, tetapi tujuan hidup itu haruslah besar. Seperti
kata James R. Cook, Cita-cita saya bukan sahaja untuk pergi jauh daripada tempat yang pernah
dijelajah manusia, tetapi sejauh mungkin manusia boleh jelajahi. Ertinya, kita boleh bercita-cita
setinggi mana yang boleh asalkan cita-cita itu secara logiknya boleh digarap oleh manusia.

Mengapa saya kemukakan beberapa kata hikmah tersebut? Semua itu adalah untuk menyedarkan
awda dari lena yang tiada penghujungnya. Jika saya tahu saya akan jadi pensyarah sekarang,
pasti saya akan belajar lebih rajin lagi dulunya. Zaman saya mana ada kemudahan seperti
sekarang, mana ada ceramah motivasi seperti sekarang, zaman saya, saya tidak pernah
mendengar perkataan pensyarah apa lagi seorang pensyarah universiti datang ke sekolahnya!
Awda sangat beruntung, awda dilahirkan dalam zaman penuh dengan kecanggihan sekarang.
Tetapi inilah masalahnya, sebenarnya inilah tujuan saya kemari. Masalah sekarang ialah masalah
dunia yang sangat canggih ini boleh membawa kesan yang buruk terhadap warisan budaya kita.
Apa yang ingin saya perkatakan ialah soal bahasa Melayu.

Ramai yang menggangap pelajaran bahasa Melayu itu tidak penting. Belajar kerana terpaksa,
pelajaran bahasa Melayu diambil kerana wajib. Belajar bahasa Melayu tidak menjamin pekerjaan
yang baik! Semua itu ada betul dan ada juga tidaknya. Yang betulnya ialah mana dapat pekerjaan
1
yang baik jika keputusan asal cukup makan sahaja. Yang tidak betulnya ialah pelajaran bahasa
Melayu itu adalah dianggap sama seperti subjek lain, jadi, peluang pekerjaan jika lulus dengan
cemerlang adalah sama seperti mata pelajaran lainnya. Secara pratikalnya NBD melihat bahasa
Melayu itu sangat penting. Apa buktinya? Pertama bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Negara
ini. Ini telah termaktub dalam Perlembagaan tahun 1959 bab 82 yang dipinda dengan bab baru
pada tahun 2004, iaitu Bab 82 (1) berbunyi, bahasa rasmi bagi Negara Brunei Darussalam ialah
bahasa Melayu. Apa pentingnya kenyataan dalam Perlembagaan tersebut? Perlembagaan dapat
didefinisikan sebagai sistem undang-undang dan peraturan-peraturan yang secara formal
menyatakan dengan jelas hak-hak dan tanggungjawab penduduknya. Dalam soal bahasa Melayu,
kita pegang perkataan tanggungjawab dalam definisi perlembagaan tersebut. Di sini bermaksud
kita sebagai penduduk Negara ini bertanggungjawab dalam menggunakan bahasa Melayu.
Perkataan kedua yang perlu dikupas ialah perkataan bahasa rasmi dalam perlembagaan tersebut.
Rasmi bermaksud disahkan, ditentukan, ditetapkan, diisytiharkan oleh kerajaan atau yang
berkuasa. Jadi, penggunaan bahasa Melayu kalau diinterpretasi atau ditafsirkan adalah
bermaksud secara undang-undang bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa yang perlu
digunakan dalam situasi formal di Negara ini. Situasi formal adalah merangkum dari bilik darjah
iaitu dalam proses pembelajaran dan pengajaran sehingga ke peringkat tertinggi seperti Majlis
Mesyuarat Negara (LegCo). Berbalik di dalam bilik darjah, tidak bermaksud mata pelajaran
berbahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain tidak dihiraukan. Apa yang saya mahu tekankan di
sini selain menjadi tanggungjawab kita menjaga bahasa Melayu, mata pelajaran bahasa Melayu
itu sebenarnya sama pentingnya dengan mata pelajaran yang lain. Belajar bukan disebabkan
kerana mata pelajaran ini adalah wajib! Tetapi belajar untuk kecemerlangan, jika awda
cemerlang dalam mata pelajaran lain mengapa tidak boleh mata pelajaran bahasa Melayu?

Menyedari kepentingan bahasa Melayu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan, melalui Kementerian Pendidikan telah menjadikan mata pelajaran Bahasa
Melayu sebagai mata pelajaran wajib sehingga tingkatan lima. Jika awda tidak lulus bahasa
Melayu, sebaik mana pun keputusan, awda tidak akan dinaikkan ke tingkatan enam. Mengapa
peraturan ini dilakukan, ini adalah disebabkan Kerajaan menyedari kepentingan bahasa Melayu
yang menjadi teras identiti bangsa kita, yang menjadi lambang patriotisme masyarakat kita.
Kerajaan kita meletakkan identiti dan patriotisme di atas segala-galanya, dan salah satunya
adalah dengan bahasa Melayu.

Beberapa Kementerian akan menjalankan ujian tersendiri sewaktu menerima pekerja-pekerja


baru mereka. Saya terlibat dalam pemeriksaan kertas-kertas jawapan bahasa Melayu untuk
jawatan-jawatan di Kementerian Hal-Ehwal Luar Negara. Salah satu kertas soalan itu ialah
dalam bahasa Melayu, tujuannya selain melihat pengetahuan umum calon berkenaan, ia juga
sekali gus melihat bahasa Melayu calon tersebut. Jika bahasa Melayu calon tersebut buruk, calon
itu akan kempunan bekerja di Kementerian tersebut. Kalau awda merasakan yang mata pelajaran
bahasa Melayu itu tidak penting, awda tersilap kerana jika awda bercita-cita bekerja di
Kementerian Hal-Ehwal Luar Negara, selain dari menguasai bahasa Inggeris, awda juga mesti
menguasai bahasa Melayu dengan baik. Jadi, pelajarilah bahasa Melayu dengan cemerlang mulai
dari sekarang!

Setakat ini saya hanya bercakap tentang pentingnya bahasa Melayu di Negara kita, tetapi saya
belum bercakap tentang pentingnya bahasa Melayu secara global. Bahasa Melayu menjadi
bahasa rasmi di tiga buah Negara, iaitu Brunei, Malaysia dan Indonesia. Tetapi sebenarnya
bahasa Melayu dituturkan disekurang-kurangnya di lima buah Negara, iaitu selain dari Brunei,
Malaysia dan Indonesia, bahasa Melayu juga dituturkan di Singapura dan selatan Thailand serta
boleh difahami juga dibeberapa tempat di selatan Filipina. Kalau dilihat dari keramaian
2
penuturnya yang melebihi 250 juta orang, bahasa Melayu adalah bahasa keempat terbesar di
dunia selepas bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol. Kalau rankingnya adalah
yang ke-4, bermakna bahasa Melayu itu adalah bahasa sangat penting, serta boleh diangkat
menjadi bahasa dunia. Kenyataan ini pernah diluahkan oleh David Graddol, Director of The
English Company (UK) Ltd, yang dilaporkan dalam Science Journal, The Future of Language
pada 27 Februari 2004, yang antara lain mengatakan bahasa Melayu bersama bahasa Bangali dan
Tamil adalah tiga bahasa yang berkembang dengan cepat pada masa sekarang. Beliau menambah
menjelang tahun 2050 bahasa Cina akan tetap menjadi bahasa dominant dunia, bagaimanapun
bahasa Inggeris akan digantikan dengan bahasa Hindi/ Urdu sebagai bahasa kedua dominan yang
akan diikuti oleh bahasa Arab sebagai bahasa ketiga. Jadi kita sekarang berperanan penting untuk
menggangkat bahasa Melayu itu. Bahasa Melayu itu akan menjadi bahasa yang lebih besar lagi
jika kita sendiri yang menggangkatnya. Cuma, bagaimana mengangkat bahasa Melayu jika kita
sendiri mengabaikannya, tidak melihat bahasa ini sebagai bahasa penting.

Kita sekarang melalui Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM), sedang bekerja


keras mempromosikan agar bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kedua di ASEAN, iaitu
bahasa yang digunakan dalam persidangan ASEAN. Mengapa kita berani dan penuh yakin ketika
mencadangkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat ASEAN? Kerana seperti apa yang
dinyatakan tadi, bahasa Melayu itu adalah merupakan bahasa ke-4 terbesar di dunia selain dari
bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol, yang melayakkan bahasa Melayu sebagai
satu-satunya bahasa terbesar di dalam pertubuhan ASEAN! Jika bahasa Melayu adalah
merupakan bahasa terbesar di ASEAN, sudah sewajarnya bahasa ini diberikan status yang
penting dalam organisasi serantau ini.

Mungkin awda tersenyum dengan aspirasi dan cita-cita kita itu. Apa lagi jika kita lihat dalam
keadaan dunia yang penuh dengan teknologi, atau semua kita sibuk dengan istilah globalisasi.
Awda tahu atau tidak pada masa sekarang bahasa Melayu itu telah diajarkan pada sekurang-
kurangnya 30 buah negara di seluruh Dunia, iaitu Australia, Austria, Kanada, China,
Czechoslovakia, Denmark, Egypt, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Malaysia, Belanda, New
Zealand, Norway, Papua New Guinea, Russia, Saudi Arabia, Singapura, Korea Selatan, Surinam,
Sweden, Switzerland, Thailand, Filipina, U.K., Amerika Syarikat., Vatican,Vietnam (Alwi 1995).

Mengikut Chambert-Loir 1998, Perancis adalah negara pertama yang mengajarkan bahasa
Melayu sebagai bahasa Asing. Bahasa Melayu telah diajarkan pada tahun 1841 bersamaan
bahasa Arab, Parsi dan Turki di Ecole National des Langues et Civilisations Orientales Vivantes
(ENLOV), yang kemudiannya menjadi Institut Nasional des langues et Civilisations Orientales
(INALCO). Keempat-empat bahasa tersebut adalah bahasa orang Islam pada abad ke-18. Orang
Perancis juga telah menerbitkan Kamus Melayu-Prancis pada tahun 1875; Tata Bahasa Melayu
pada tahun 1876; and Kamus Prancis-Melayu pada tahun 1880.

Di Belanda, bahasa Melayu-Indonesia, amat penting kerana keperluan kolonial. Pekerja-pekerja


dan tentera Belanda yang akan dihantar ke Indonesia dimestikan belajar bahasa Indonesia.
Disebabkan polisi ini beberapa kajian penting tentang bahasa Melayu dapat dihasilkan sebelum
Perang Dunia Pertama, umpamanya oleh De Hollander (1845), Gerth van Wijk (1889), Spat
(1900-1901), Tendeloo (1901) and Van Ophuijsen (1910). Bagaimanapun, pengajaran bahasa
Indonesia hanya tertumpu di University of Laiden.

Di Jepun bahasa Melayu telah diajarkan di Tokyo Gaikokugo Daigaku [Tokyo University of
Foreign Studies] bermula dari tahun 1908. Mengikut Alwi 1995, Jepun sebenarnya adalah negara
kedua yang mengajar bahasa Melayu-Indonesia yang bermula di Tenri Daigaku [Tenri
3
University] pada tahun 1925. Pada peringkat Degree yang mengkhusus bahasa Indonesian pada
masa sekarang ditawarkan di lima buah universiti di Jepun iaitu: Tokyo Gaikokugo Daigaku,
Tenri Daigaku , Osaka Gaikokugo Daigaku [Osaka University of Foreign Studies], Kyoto
Sangyo Daigaku [Kyoto Sango University] and Setsunan Daigaku [Setsunan University].

Mampukah bahasa Melayu menjadi bahasa global atau ini hanyalah angan-angan yang tidak ada
dasar yang kukuh. Baiklah kalau saya katakan bahasa Melayu pernah menjadi bahasa penting
dunia mungkin awda tertanya-tanya, betul ke?. Bahasa Melayu sudah lama mengenali
globalisasi. Dari awal kewujudannya sekitar 3000 tahun dahulu, bahasa Melayu sudah menjadi
bahasa penting. Bahasa Melayu telah mendahului bahasa Inggeris dalam tradisi tulisan. Ketika
Bede (sebutan Beda) (731M) yang digelar sebagai bapa sejarah Inggeris, menulis tentang karya
atau lagu-lagu pemujaan kepada tuhan yang ditulis oleh Caedmon, bahasa Melayu telah pun
diukir pada batu bersurat Kedukan Bukit pada tahun 683M, iaitu 48 tahun lebih awal dari tulisan
terawal Inggeris itu. Bahasa Melayu sudah menerima proses globalisasi, di mana bahasa Melayu
dengan kosa kata pinjaman dari Sanskrit dan tulisan India iaitu tulisan Palava telah berjaya
mengembangkan budaya Melayu berdasarkan kekuatan bahasa dan budaya India. Dengan
kekuatan budayanya itulah Srivijaya muncul sebagai sebuah empayar yang terbesar di Nusantara
pada zaman itu. Proses itu bertambah dari semasa ke semasa, ketika orang Arab datang, mereka
telah memperkenalkan bahasa Arab dan agama Islam ke alam Melayu. Pengaruh Arab itulah
yang meninggalkan satu budaya yang sangat penting sekarang iaitu budaya tulisan Jawi. Selepas
itu datang pula pengaruh dari pedagang-pedagang Cina dan ini dengan tidak secara langsung
telah memperluaskan penggunaan bahasa Melayu itu. Empayar Melaka (1400 1511) adalah
kemuncak pengaruh bahasa Melayu. Ketika itu bahasa Melayu dijadikan lingua franca, iaitu
bahasa perantaraan di pelabuhan-pelabuhan perdagangan di Nusantara. Jika ingin berdagang
dengan Melaka, orang-orang asing perlu belajar bahasa Melayu. Jika ingin berdagang dengan
Negara-negara di Nusantara pada ketika itu bahasa Melayulah satu-satunya yang digunakan.
Status bahasa Melayu pada ketika itu adalah bahasa antarabangsa, bahasa perantaraan (lingua
franca), bahasa ilmu dan yang paling penting adalah bahasa perdagangan. Tidak keterlaluan jika
saya katakana yang ramai pedagang-pedagang Cina, India dan Arab atau tempat-tempat lain
mengunakan bahasa Melayu dan sebaliknya tidak mustahil juga ramai orang Melayu sendiri
yang belayar secara aktif ke nagara-negara tersebut untuk berdagang. Bahasa orang Melayu ini
sudah pasti bahasa Melayu, walaupun tidak berluas-luasa digunakan di tempat-tempat tersebut
tetapi sudah pasti mereka menggunakan bahasa Melayu terutama kepada pedagang-pedagang
tempatan yang mereka kenali di Nusantara. Untuk ini sudah mula banyak rekod-rekod China
yang mulai kita ketahui terutama hasil dari terjemahan beberapa orang sarjana China yang boleh
berbahasa Melayu, umpamanya Prof. Liang Li Ji.

Tradisi menggunakan bahasa Melayu ini berterusan sehingga zaman kolonial. Bermula dari
pemerintahan Portugis di Melaka, Belanda di Indonesia dan akhirnya Inggeris di Semananjung
Tanah Melayu, bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan dalam pentadbiran, bahasa untuk
kolonial mengembangkan agama Keristian, bahasa perdagangan dan juga diplomatik. Banyak
bukti yang boleh kita kemukakan tentang penggunaan bahasa Melayu ini. Daftar kata Melayu
terawal yang ditulis oleh Frederick de Houtman (1603) seorang Belanda ketika dalam tahanan
selama 2 tahun di Aceh, telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa di Eropah. Begitu juga
tulisan Danckaerts (1623), begitu popular sehingga diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa
Eropah yang lainnya. Ini hanya dua contoh terawal tulisan bahasa Melayu oleh orang Belanda.

Terdapat juga tulisan raja Melayu yang menggunakan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu,
umpamanya Surat Sultan Aceh Iskandar Muda kepada Raja James I (1615) yang mengundang
Inggeris untuk berniaga di Aceh. Begitu juga surat-surat izin berdagang yang dikeluarkan oleh
4
raja-raja Melayu kepada pedagang-pedagang asing adalah dalam bahasa Melayu, umpamanya
Surat izin berdagang di Aceh bagi seorang nakhoda Inggris yang bertarikh 1602.

Bahasa Melayu digunakan oleh pemerintah-pemerintah Kolonial sehingga abad ke-19. William
Marsden seorang sarjana Inggeris ketika ditugaskan di Bengkulu (1771-1779) telah berjaya
menggumpulkan bahan-bahan untuk mempelajari bahasa Melayu. Akhirnya beliau berjaya
menerbitkan kamus A Dictionary of the Malayan Language, yang memaparkan untuk pertama
kali penggunaan tulisan jawi di dalam kamus. Selain dari itu, penggunaan bahasa Melayu ini
juga telah mendorong R.J. Wilkinson pada tahun 1895 mengusahakan Kamus Inggeris-Melayu
yang kemudiannya diterbitkan pada tahun 1902.

Mengapa bahasa Melayu dipelajari oleh hampir kesemua orang asing yang datang ke Nusantara
ini? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah keperluan perdagangan. Kita sedar atau tidak,
sedikit sebanyak perdagangan rempah ratus di Nusantara telah menyumbang kepada proses
dunia moden sekarang. Nusantara telah lebih awal mengalami proses globalisasi ini. Disebabkan
keperluan perdagangan rempah ratus di Nusantara, Negara-negara Eropah berlumba-lumba
mengembangkan teknologi perkapalan dan pelayaran mereka. Kerana perdagangan rempah ratus
di Nusantara ini jugalah banyak tempat baru di dunia ini ditemui oleh orang Barat. Penemuan
Amerika pada tahun 1492, adalah satu usaha mencari jalan alternatif dan jalan pintas ke Asia
oleh Columbus.

Jika alam Melayu dan bahasa Melayu pernah menjadi tumpuan dunia selama hampir 500 tahun,
apa yang telah terjadi dalam seratus tahun kebelakangan ini? Barat kaya dan maju sebahagiannya
adalah kerana hasil bumi Nusantara. Sekarang kita pula melihat Barat sebagai tuan kepada
segala-galanya. Semua ini adalah disebabkan orang kita lupa sejarah, tidak yakin dengan diri kita
sendiri. Kita harus belajar dari Negara-negara lain, umpamanya Jepun, Korea dan sebagainya.
Jepun pernah jatuh miskin selepas perang Dunia Ke-2, tetapi bangkit semula dengan menjadi
Negara ekonomi yang terkuat di rantau Asia. Jepun menggunakan bahasanya sendiri, orang
Jepun sangat yakin dengan budayanya, dengan bahasanya dengan orangnya.

Mungkin kita tidak akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan silam, tetapi sekurang-
kurangnya kita akan boleh memperbaiki keadaan yang ada sekarang. Siapa yang akan
bertanggungjawab terhadap semua ini, bukan saya seorang tetapi kita semua. Sekecil mana pun
sumbangan awda tetapi jika dikumpulkan pasti akan menjadi timbunan kekuatan bangsa kita.

Bahasa Melayu sudah mendapat perhatian dunia sekarang. Seperti yang saya nyatakan tadi
banyak institusi di luar negara yang sudah atau pun telah menaruh minat terhadap pengajaran
bahasa Melayu. Ramai tenaga-tenaga pengajar bahasa Melayu dipanggil ke negara mereka, dan
tidak kurang pula ramai pelajar-pelajar dari Negara ini dihantar ke Negara-negara berbahasa
Melayu untuk belajar bahasa Melayu. Ketika berada di Korea baru-baru ini saya agak terkejut
yang seorang setiausaha persidangan Korea-ASEAN itu lebih fasih berbahasa Melayu jika
dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Ramai juga pelajar-pelajar kita di UBD adalah dari luar,
terutama dari China, dan Jepun. Mereka berminat mempelajari bahasa Melayu kerana
memikirkan potensi ekonomi rantau ini pada masa yang akan datang. Jadi, jika orang luar yang
berminat mempelajari bahasa Melayu, mengapa pula anda kurang berminat.

Selain dari itu ramai juga yang keliru dengan pengajian bahasa Melayu terutama pada peringkat
tinggi. Ramai yang menggangap yang Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik di UBD atau mana-
mana institusi yang mengajarkan bahasa Melayu itu hanya mengajar kerangan, imbuhan atau
yang sebandingnya. Ramai juga yang tertanya-tanya kepada saya dan rakan-rakan saya di
5
Jabatan bahasa Melayu dan Linguistik UBD, yang mendapat ijazah sarjana dari England atau
Amerika, bagaimana pengajian bahasa Melayu di sana. Saya mendapat ijazah MA saya di
Universiti of Hawaii. Ketika saya balik ramai yang bertanya soalan tersebut, lalu saya jawab,
bukan itu sahaja ketika saya turun dari kapal terbang ramai yang menyambut saya sambil
berteriak-teriak dalam bahasa Melayu! Hawaii adalah koloni Amerika yang ke-59, bermakna
jika koloni Amerika, Hawaii adalah Amerika, menggunakan wang Amerika dan sudah pasti
berbahasa Inggeris! Selain saya ada beberapa orang dari Malaysia dan Indonesia tidak ada orang
yang boleh berbahasa Melayu di Kepulauan Hawaii pada ketika itu. Belajar bahasa Melayu akan
memudahkan awda mengikuti kursus Linguistik.. apa pula Linguistik? Linguistik adalah sains
bahasa. Jika mengambil Linguistik, awda sudah belajar sains. Bahasa Melayu sama seperti
bahasa lain, umpamanya bahasa Inggeris, akan memudahkan awda mengikuti peringkat ilmu
yang lebih tinggi lagi, iaitu ilmu linguistik. Semua guru-guru bahasa Melayu awda di sini pernah
belajar linguistik, kalau tidak agak sukar mengajar apa lagi ketika menyelesaikan atau
meramalkan masalah kebahasaan awda.

Bidang-bidang linguistik atau ilmu bahasa atau sains bahasa itu cukup dinamik, ertinya
berkembang mengikut masa. Selain dari ilmu linguistic tulin seperti Fonetik (mengkaji bunyi-
bunyi bahasa), Fonologi (mengkaji fungsi bunyi bahasa), Morfologi (kajian morfem-morfem
seperti imbuhan dsbnya), Sintaksis (kajian frasa atau ayat), Semantik (kajian makna bahasa), kita
ada juga bidang-bidang seperti Dialektologi (kajian dialek), Sosiolinguistik (kajian sosiologi dan
linguistik), Antropolinguistik (kajian antropologi dan linguistik), Neurolinguistik (kajian otak
dengan linguistic), psikolinguistik (kajian psikologi dengan linguistik), linguistic sejarawi /
historical linguistic (kajian sejarah dengan linguistic), ada juga computational linguistic (kajian
penerapan computer dengan linguistic), metamatikal linguistic (bagaimana matamatik
memenafaatkan linguistic), terjemahan, komunikasi linguistic dan banyak lagi yang tidak
mungkin dapat diterangkan di sini.

Ceramah ini bukanlah bertujuan menyuruh awda hanya menumpukan perhatian pada bahasa
Melayu sahaja. Saya tidak mengatakan yang pelajaran lain tidak penting, termasuk bahasa
Inggeris. Bahasa Inggeris pada masa sekarang adalah bahasa ilmu dan bahasa dunia jadi
pelajarilah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh juga. Jangan sampai bahasa Melayu tak
habis bahasa Inggeris juga tak habis!

Akhir sekali saya menyeru kepada murid-murid sekalian, belajarlah bersungguh-sungguh. Masa
depan awda ditentukan oleh awda sendiri, untuk itu tanamlah rasa yakin, tanamlah rasa ingin
maju, pasti awda akan mendapat apa yang awda inginkan pada masa yang akan datang. Jadilah
pelajar yang cemerlang, kerana cemerlang adalah pasport untuk kehidupan yang lebih baik.
Ingatlah kata-kata mutiara ini Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang
untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menggangap setiap halangan
sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya. Jangan sesekali awda menggangap belajar
itu sebagai halangan kehidupan, halangan kebebasan, anggap halangan atau kesukaran belajar
sekarang itu sebagai peluang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik pada masa yang
akan datang. Sesuatu kejayaan adalah lebih bermakna apabila ia disertai usaha yang
bersungguh-sungguh orang yang muda berputus asa tidak mungkin beroleh kejayaan yang
cemerlang. Biarlah bersusah dahulu, asalkan senang kemudian.
Sekian.

[Selesai jam 10.30 pagi pada 18 Mei 2006]


Dr Yabit bin Alas
6
Bilik 2.69
Ketua
Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Brunei Darussalam

Anda mungkin juga menyukai