Anda di halaman 1dari 6

ANALISIS DOKUMEN STANDARD KURIKULUM DAN PENTAKSIRAN BAHASA

MALAYSIA SEKOLAH RENDAH MEMENUHI KEPERLUAN REKA BENTUK KURIKULUM


MASA KINI

Menurut Sufean Hussien (2004), bidang pendidikan merupakan suatu bidang yang
bersifat dinamik. Hal ini demikian kerana, bidang pendidikan berubah mengikut
peredaran masa. Dalam konteks sistem pendidikan negara, pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah melakukan transformasi terhadap sistem
pendidikan negara dengan memperkenalkan kurikulum standard sekolah rendah
(KSSR) bermula pada tahun 2011 bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) yang telah digunakan sejak tahun 1982. Penggubalan KSSR dilihat
sebagai satu langkah yang efektif dalam mentransformasikan sistem pendidikan
negara agar relevan keperluan semasa. Dalam membuat transofrmasi kurikulum,
KPM telah membuat penanda aras dengan kurikulum negara maju untuk
memastikan KSSR setanding dengan sistem pendidikan global. Alimuddin Mohd.
Dom (2015) menyatakan bahawa KSSR digubal berdasarkan bentuk pernyataan
standard yang dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
(DSKP) yang terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran di
mana DSKP tersebut digunakan dalam semua mata pelajaran. Untuk mata
pelajaran Bahasa Melayu, dokumen kurikulum standard yang digunakan adalah
DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
tersebut memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum menerusi beberapa aspek
yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.
Penggubalan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah adalah berdasarkan
enam tunjang utama dalam KSSR mampu melahirkan individu yang seimbang
berdaya saing signifikan dengan keperluan reka bentuk kurikulum masa kini .
Perkara tersebut bertepatan dengan salah satu elemen Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) iaitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dalam aspek
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Mok Soon Sang, 2009). Enam tunjang
tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan
disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Konsep tunjang yang
diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu,
kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Hal ini bermakna,
KSSR bukan sahaja memberi fokus terhadap ilmu pengetahuan sahaja, tetapi turut
memberi fokus terhadap aspek kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada
pembentukan individu yang seimbang. Enam tunjang yang dapat melahirkan
individu yang seimbang dan berdaya saing tersebut ialah tunjang komunikasi,
tunjang kerohanian dan sikap, tunjang kemanusiaan, tunjang keterampilan diri,
tunjang perkembangan fizikal dan estetika serta tunjang sains dan teknologi. Setiap
tunjang yang terdapat dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah mempunyai
peranan tertentu dalam memperkembang aspek jasmani, emosi, rohani, intelek
dan sosial murid. Secara ringkas, penggubalan DSKP bahasa Malaysia Sekolah
Rendah dilihat memenuhi reka bentuk kurikulum melalui penggubalannya yang
berdasarkan enam tunjang utama yang mampu melahirkan individu seimbang dan
berdaya saing seperti nama yang dihasratkan oleh FPK.
DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk
kurikulum menerusi fokus yang diberikan terhadap aspek kemahiran bahasa yang
perlu dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah. Antara kemahiran
bahasa yang difokuskan dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah sebagai
tunjang komunikasi dalam KSSR ialah kemahiran mendengar, kemahiran bertutur,
kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran-kemahiran bahasa
tersebut merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh murid untuk menjadi individu
yang mempunyai kemahiran komunikasi yang dianggap perlu dalam pendidikan
pada masa kini untuk menjadi individu yang berdaya saing (Siti Hajar Abdul Aziz,
2011). Hal ini demikian kerana, murid dapat membina keyakinan diri untuk
menyuarakan idea dan buah fikiran melalui penguasaan terhadap kemahiran
bahasa seperti mana yang difokuskan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah.
Hal tersebut sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 menerusi anjakan kedua yang berhasrat untuk Memastikan setiap
murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Deduksinya, fokus
yang diberikan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah terhadap kemahiran
bahasa dilihat sebagai satu aspek yang memenuhi kriteria reka bentuk kurikulum
masa kini kerana mampu melahirkan individu yang digubal untuk membolehkan
murid berketerampilan dalam berbahasa yang dianggap perlu dalam konteks
pendidikan pada masa kini.
Penekanan yang diberikan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
terhadap kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu
faktor mengapa DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk
kurikulum pada masa kini. Perkara ini sejajar dengan anjakan ketujuh dalam PPPM
2013-2025 yang menekankan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (Goay Teck Chong et
al., 2013). DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memberi perhatian terhadap
aspek pengajaran dan pembelajaran kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi dalam kalangan murid seiring dengan perkembangan dalam bidang
sains dan teknologi. Penekanan terhadap kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi dalam kalagan murid adalah bertepatan dengan keperluan pendidikan
pada masa kini seperti mana yang diaplikasikan di negara-negara yang maju dalam
sistem pendidikan. Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan
untuk memastikan mereka menguasai kemahiran tersebut sebagai persediaan
untuk menghadapi cabaran era modenisasi. Konklusinya, DSKP Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah yang memberi fokus terhadap kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi dalam kalangan murid dilihat sebagai satu perkara yang menyebabkan
DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah tersebut memenuhi reka bentuk kurikulum
masa kini yang mengaplikasikan komponen teknologi maklumat dan komunikasi.
Reka bentuk kurikulum masa kini dipenuhi oleh DSKP Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah menerusi penekanan yang diberikan terhadap kreativiti dan
inovasi dalam kalangan murid. Elemen kreativiti dan inovasi diintegrasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia bagi membangun dan
mengembangkan tahap potensi kreativiti mengikut keupayaan individu
murid. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Alimuddin Mohd. Dom (2015),
kreativiti merujuk kepada kebolehan atau kemampuan seseorang individu untuk
mencipta, menyelesaikan masalah, menggunakan daya imaginasi, idea kreatif
untuk menghasilkan idea yang tulen, asli dan baharu bagi menghasilkan sesuatu
yang objektif. Manakala, inovasi pula merujuk kepada proses menjana idea dan
mengaplikasikan idea kreatif dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovatif saling
berkait rapat bagi menghasilkan modal insan yang serba boleh dan
berketerampilan. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah menitik berat akan
perkembangan daya kreativiti dan inovasi murid ke tahap yang optimum dalam
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perkara tersebut dilakukan untuk
memastikan murid tersebut berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea
dan ciptaan yang berkualiti dalam menyelesaikan masalah. Hal tersebut adalah
penting sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pembelajaran pada abad
ke-21. Di negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa, aspek
kreativiti dan inovasi merupakan elemen yang penting untuk diterapkan dalam
kalangan murid agar mereka menjadi individu yang berdaya saing. Oleh yang
demikian, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk
kurikulum masa kini melalui penekanan yang diberikan terhadap perkembangan
kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid seperti mana yang terdapat dalam
kurikulum pendidikan negara maju.
Seterusnya, aspek yang menyebabkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah
Rendah memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini adalah menerusi penekanan
terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid
menerusi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Perkara
tersebut juga sejajar dengan PPPM 2013-2025 yang memberi perhatian terhadap
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid. Penguasaan
murid terhadap kemahiran berfikir secara membolehkan murid untuk
mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam konteks yang berbeza. Hal ini dapat
meningkatkan keupayaan murid untuk meningkatkan kebolehan berfikir secara
aras tinggi dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut Faridah Nazir dan Tuan
Jah Tuan Yusof (2013), kebolehan berfikir secara aras tinggi tersebut akan
menjadikan murid lebih produktif dan berdaya saing seiring dengan keperluan
semasa bidang pendidikan bagi memenuhi cabaran abad ke-21. Pemikiran secara
aras tinggi ini telah lama diterapkan dalam sistem pendidikan di negara Findland
sehingga menyebabkan sistem pendidikan negara tersebut diiktiraf sebagai sistem
pendidikan yang terbaik di dunia. Deduksinya, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah
Rendah yang menekankan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam
kalangan murid memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini selari dengan hasrat
PPPM 2013-2025 yang meletakkan kemahiran berfikir sebagai salah satu aspek
yang diperlukan untuk murid berdaya saing.
Penekanan terhadap aspek ilmu pengetahuan sebagai salah satu elemen
pengisian kurikulum merupakan antara sebab mengapa DSKP Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum masa kini. Pengajaran
dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia menurut DSKP Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah amat menitik berat akan penyerapan ilmu pengetahuan
berdasarkan enam tunjang KSSR yang dilihat mampu meningkatkan tahap kognitif
murid. Hal ini demikian kerana, murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan
berkenaan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia, tetapi juga memperoleh
pengetahuan dalam bidang yang lain seperti sains, matematik, sejarah dan
sebagainya. Perkara tersebut bersesuaian dengan PPPM 2013-2025 yang
menetapkan pengetahuan sebagai salah satu ciri yang diperlukan oleh murid untuk
berdaya saing menerusi pengetahuan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu.
Intihanya,penekanan yang diberikann oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
terhadap ilmu sebagai salah satu elemen pengisian kurikulum menjadikan DSKP
Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum
masa kini kerana menerapkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan dalam konteks
pembelajaran bahasa.
Salah satu aspek DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang memenuhi
keperluan reka bentuk kurikulum masa kini ialah menekankan penggunaan
pelbagai teknik pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Menurut Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof (2013), kepelbagaian teknik
pengajaran yang dilakukan oleh guru bergantung pada tahap kebolehan murid.
Perkara tersebut adalah penting agar murid dapat memahami isi pembelajaran
yang guru sampaikan ketika berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran.
Hal ini demikian kerana, setiap murid mempunyai tahap kognitif dan daya
kecerdasan yang berbeza-beza antara satu dengan lain. Berdasarkan DSKP Bahasa
Malaysia Sekolah Rendah, penggunaan pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran amat ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata
pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah untuk memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran dapat dilakukan secara berkesan. Keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran tersebut bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan
bahan bantu mengajar, serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan
murid berkomunikasi dan berinteraksi serta berfikir secara kritis, kreatif dan
inovatif. Perkara tersebut relevan dengan keperluan reka bentuk kurikulum masa
kini yang memberi fokus terhadap aktiviti pembelajaran kepelbagaian teknik
pengajaran dan pebelajaran untuk meningkatkan pemahaman murid terhadap isi
pembelajaran. Dengan itu, murid akan mudah menerima input berkenaan dengan
pengajaran Bahasa Malaysia yang diajarkan oleh guru. Ringkasnya, penekanan
DSKP Bahasa Melayu Sekolah Rendah terhadap penggunaan teknik pengajaran
dalam proses pengajaran dan pembelajaran memenuhi keperluan reka bentuk
kurikulum masa kini.
Secara holistik, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah dilihat sebagai suatu
dokumen standard pembelajaran yang dapat memenuhi reka bentuk kurikulum
pada masa kini. Hal ini demikian kerana, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
telah digubal berdasarkan penanda aras dengan kurikulum yang terdapat di negara
maju dalam bidang pendidikan khususnya Findland. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah
Rendah dilihat sebagai satu medium yang mampu melahirkan murid berdaya saing
signifikan dengan KSSR dan PPPM 2013-2025. Perkara tersebut dapat dibuktikan
apabila DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah menekankan beberapa aspek yang
telah diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara maju tersebut seperti
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran berfikir aras tinggi,
daya kreativiti dan inovasi dan sebagainya. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
juga turut memberi perhatian terhadap kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai
oleh murid sebagai persediaan menghadapi cabaran era modenisasi. Berdasarkan
pernyataan tersebut, jelaslah bahawa DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah
memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini seiring dengan peredaran zaman.

Anda mungkin juga menyukai