Anda di halaman 1dari 2

Salah satu cabaran atau isu berkaitan dengan pengintegrasian ICT dalam pendidikan

ialah penyediaan prasarana dan bahan sokongan ICT untuk guru dan semua pelajar. Seperti yang
kita ketahui, perbelanjaan untuk meningkatkan pencapaian ICT ini memakan perbelanjaan yang
sangat tinggi. Walau bagaimanapun, bagi mencapai taraf negara-negara maju perkembangan ICT
ini sentiasa diberi keutamaan oleh pihak kerajaan terutamanya dalam bidang pendidikan itu
sendiri. Namun demikian, situasi yang dapat dilihat sekolah-sekolah di Malaysia, isu penyediaan
kemudahan ICT dan bahan digital menjadi penghalang kepada sekolah dan guru-guru dalam
menerapkan elemen ICT dalam pembelajaran.

Sebagai contoh, bilangan komputer yang dibekalkan adalah jauh lebih rendah daripada
bilangan pelajar itu sendiri dan peralatan yang diberikan kurang berkualiti. Bilangan komputer
yang diberikan kepada sesebuah sekolah masih tidak mencukupi untuk memaksimumkan
penggunaan komputer sebagai medium pengajaran bagi para pelajar. Bilik komputer di sekolah
digunakan untuk mempelajari sesuatu yang memang memerlukan penggunaan komputer
contohnya subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan hanya boleh digunakan oleh
sebilangan kecil pelajar sahaja dalam satu-satu masa (Noor Azlan Ahmad Zanzali & Noraziah
Binti Kassim @ Aziz, 2007). Oleh itu, kebiasaannya penggunaan ICT dalam pengajaran hanya
berfokus kepada sesuatu mata pelajaran dan dalam masa-masa yang tertentu sahaja. Ini
sebenarnya tidak sesuai seperti yang dirancangkan iaitu penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran setiap masa.

Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak
cekap di sekolah. Makmal komputer di sekolah sememangya menghadapi masalah dari segi
penyelenggaraan (Mazniza Muhamad, 2004). Banyak makmal di sekolah tidak terurus kerana
tidak ada kepakaran dari segi penyenggaraan. Walaupun kerajaan telah melantik juruteknik
komputer di setiap daerah, tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Perkakasan dan
perisian komputer yang terdapat di dalam makmal memerlukan penyelenggaraan sentiasa untuk
mengelakkannya daripada mudah rosak. Memandangkan makmal komputer tidak mempunyai
pembantu makmal sebagaimana makmal sains yang mempunyai pembantu makmalnya sendiri,
maka kerja-kerja penyelenggaraan buat masa sekarang terletak di bahu guru teknologi maklumat
itu sendiri. Kerja-kerja penyenggaraan ini mengambil banyak masa guru sekiranya terdapat
kerosakan ke atas sesebuah komputer. Kadang-kala terdapat juga kalangan guru teknologi
maklumat yang kurang mempunyai kemahiran menyenggarakan komputer. Ini bermakna
sebarang kerosakan pada komputer perlu merujuk kepada pihak luar. Keadaan ini biasanya
memakan belanja yang besar dan proses P&P juga terganggu. Hal ini sangat mendukacitakan
kerana kerajaan telah membelanjakan banyak peruntukkan untuk membangunkan ICT di sekolah
tetapi dari segi penyenggaraannya terabai.

Namun, bagi menjadikan pengintegrasian ICT di sekolah ini satu realiti, guru perlu
mengambil tindakan yang lebih proaktif dan mengambil insiatif sendiri untuk mempelbagaikan
teknik dan kaedah pengajaran menggunakan ICT. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan
telefon pintar untuk membuat pelbagai video pembelajaran melibatkan pelajar dan guru. Video
tersebut boleh disimpan di dalam CD-ROM dan dijadikan koleksi yang boleh digunakan di
sekolah. Video ini juga boleh dikongsi dalam laman sesawang yang sedia ada seperti aplikasi
YouTube, Facebook dan sebagainya. Melalui pendedahan seperti ini, cita-cita untuk
mengintegrasian ICT dalam setiap sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dan seterusnya dapat
melonjakkan pencapaian ICT dalam pendidikan di negara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai