Anda di halaman 1dari 6

2.

0 SEJARAH PENDIDIKAN MORAL DI KOREA

Pendidikan moral merupakan pendidikan yang penting di Negara Korea malah jika
dilihat daripada sejarahnya sekitar 5000 tahun dahulu masyarakat korea telah menekankan
pendidikan moral itu sendiri. Hal ini demikian kerana tradisi dan adat resam masyarakat Korea
itu sendiri telah menyedarkan bahawa pendidikan moral boleh dijadikan panduan ataupun
amalan moral yang dapat mencerahkan kehidupan bangsa korea dari bangsa peradaban timur
sehinggalah nilai-nilai ketimuran tersebut (Mukhtasar Syamsuddin ,2015).

Bagi masyarakat Korea Langit merupakan dasar bagi panduan moral dan landasan
hidup yang mampu merasuk ataupun meresap ke dalam jiwa untuk memberi kesedaran kepada
umat manusia. Hal ini demikian kerana pengaruh yang amat kuat terhadap kepercayaan
menyebabkan masyarakat Korea beranggapan bahawa langit mampu memahami dan
menguasai hidup manusia sepenuhnya. Menurut kepercayaan masyarakat Korea langit juga
merupakan salah satu Tuhan yang mampu menguasai kebaikan yang ada dalam diri manusia.
Keadaan ini telah merasakan dan melahirkan rasa malu serta kewajipan moral di hadapan
langit atau tuhan. Sebahagian besar masyarakat Korea merasa sangat takut akan ancaman
langit atau tuhan tatkala mereka melakukan sesuatu keburukan ataupun ketidak adilan
(Jeong-Kyu Lee ,2001). Dalam hal ini keyakinan dan kepercayaan yang mendalam merupakan
gambaran sebuah masyarakat Korea yang sangat menjunjung tinggi serta mengaplikasikan
peradaban timur sejak zaman berzaman lagi. Keadaan ini menunjukkan bukti bahawa Pendidikan
Moral sangat dititik beratkan dan dipandang sebagai unsur yang paling penting dalam proses
pendidikan di Korea.

Selain itu, masyarakat Korea juga sangat mempercayai bahawa penghormatan atas
kebajikan moral dan perkembangan disiplin diri merupakan sesuatu yang mungkin dilakukan
melalui Pendidikan Moral secara berterusan. Sebagai contoh Hwarang-do dalam era dinasti Silla
memberikan pengaruh tertinggi bagi Pendidikan Moral. Hwarang-do didirikan bertujuan untuk
melatih remaja dari segi pemikiran serta membangunkan peribadi mereka melalui latihan tentera
dan akademik dalam membentuk jiwa patriotisme serta warganegara yang berani (Jeong-Kyu
Lee ,2001). Pada era akhir Dinasti Choson juga, Pendidikan Moral dilihat sangat penting
sebagaimana yang telah dibentuk dan diajar di Institusi Pendidikan seperti Sungkyunkwan,
Hyanggyo, Seodang dan Seowon.
Selepas bebas dari Imperialisme Jepun pada era Perang Dunia II, Korea mula
memperoleh pengaruh yang cukup kuat daripada sistem pendidikan barat (Jeong-Kyu Lee
,2002). Pada ketika itu, Pendidikan Moral dilihat tidak dapat dipisahkan dalam pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Pendidikan Moral itu juga dikatakan menjadi sebahagian daripada
keseluruhan kurikulum sekolah pada ketika itu. Mengikut gagasan daripada Pendidikan Barat,
para pendidik Korea pada ketika itu sangat mengharapkan supaya Pendidikan Moral dapat
mewarnai seluruh Kurikulum Sekolah. Namun begitu, hasrat tersebut tidak dapat diwujudkan
kerana pengaruh dan pendekatan barat ketika itu pada Pendidikan Moral berlaku sebaliknya.
Pada ketika itu juga, pengaruh yang kuat terhadap barat mnyebabkan sokongan daripada
masyarakat semakin kurang terhadap kepentingan Pendidikan Moral yang mengandungi nilai-
nilai murni sebagaimana perkembangannya pada era dinasti Silla dan Choson (Jeong-Kyu Lee
,2002).

Sejak Perang Korea pada tahun 1950 hingga 1953, sistem nilai tradisional seperti rasa
hormat kepada orang tua, kerjasama, intergriti, dan menghargai kehidupan mengalami penurunan
serta berlaku permasalahan sosial yang luas dalam kalangan masyarakat Korea. Perang yang
berlaku antara Korea Utara dan Korea Selatan melahirkan rasa ketidakpercayaan yang sangat
mendalam dan menyebabkan lahirnya survival-first-policy yang membantah dengan tujuan
dan cara hidup bangsa Korea pada ketika itu (Edward Y. J. Chung, 2015). Ancaman Korea Utara
menyebabkan semangat anti-komunisme semakin kuat dalam diri masyarakat Korea Selatan
sehingga membantah pelajaran anti-komunisme yang merupakan momentum yang tepat bagi
para pengajar Pendidikan Moral di Korea Selatan ketika itu.

Selain itu, perubahan sosial yang disertai dengan pembangunan ekonomi ketika itu telah
melahirkan suatu krisis nilai yang tidak dapat dibendung. Suatu cogan kata dikenali me-first"
bangkit dan sikap materialistik pada ketika itu semakin meningkat. Egoisme, nepotisme, dan rasa
kedaerahan ataupun tamak menjadi landasan utama bagi runtuhnya peraturan-peraturan moral
(Edward Y. J. Chung, 2015). Wang semakin menjadi nilai dan tujuan utama orang Korea pada
waktu itu. Pada waktu yang sama, kejahatan, penggunaan ubat-ubatan terlarang, dan kekerasan
meningkat secara berleluasa dalam kalangan masyarakat. Melalui permasalahan yang terjadi ,
tahap kesedaran masyarakat Korea semakin meningkat dan mula mengambil berat tentang
kepentingan aspek moral dalam kehidupan.
Akibat perang Korea dan pesatnya kemajuan pembangunan, keperluan terhadap nilai-
nilai demokrasi mula dibangkitkan. Para pendidik Korea mula mementingkan cara demokratik
dalam hidup yang harus dimasukkan ke dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi melalui sistem
pendidikan yang sistematik. Sejak saat itu, beberapa nilai-nilai demokratik sentiasa bercampur
dengan nilai-nilai tradisional Korea. Sebagai contoh, pandangan hidup orang Korea yang
didasarkan pada kesetiaan dan cinta serta kasih yang mendalam seringkali harus diikuti oleh
masyarakat secara rasional dan secara tidak langsung proses demokratik dalam kehidupan
masyarakat wujud.

Menurut Mukhtasar Syamsuddin , ( 2015), Pendidikan moral di Korea saat ini merupakan
hasil refleksi atas situasi dan faktor sejarah yang telah berlaku. Keperluan dalam membangunkan
identiti nasional bangsa Korea memerlukan nilai-nilai dan sikap demokratik yang dapat
menciptakan suatu kesepakatan moral melalui sintesis antara nilai-nilai tradisional dan nilai-nilai
demokratik. Hal ini telah meningkatkan kembali Pendidikan Moral dalam konteks sintesis nilai
tradisional dan nilai demokratik yang sekaligus wujudnya konsep dan implementasi Pendidikan
Moral di Korea yang telah berkembang sehingga saat ini.

Oleh hal demikian, negara Korea kini merupakan sebuah Negara yang begitu
menekankan subjek moral dalam pendidikan formal di mana setiap pelajar perlu mengambil
kelas moral selama dua jam seminggu pada umur 12 tahun atau ketika mereka dibangku sekolah
rendah sehinggalah ke menengah atas (Yong Lin Moon,1995). Kurikulum pendidikan moral di
wajibkan untuk semua pelajar dan buku teks pendidikan moral telah disediakan khas oleh
Kementerian Pendidikan Korea.

Menurut Yong Lin Moon,(1995) ,pada peringkat sekolah rendah (6 Tahun), murid
ditawarkan kepada dua buku teks Pendidikan Moral di mana dua buku teks tersebut ialah buku
teks utama dan sebuah buku cerita pada setiap semester selama 6 tahun. Manakala di sekolah
Menengah Rendah (3 Tahun) dan Menengah Atas (3 tahun), semua pelajar disediakan satu atau
tiga buku teks Pendidikan Moral pada setiap tahun. Pendidikan Moral di Korea sebenarnya
adalah berpandukan kepada Dokumen Undang-Undang Kurikulum Kebangsaan yang digubal
oleh Kerajaan Pusat (Kementerian Pendidikan). Dalam Kurikulum Pendidikan Moral ini, setiap
objektif, kaedah pengajaran, kandungan (Senarai Kebaikan), penilaian dan peruntukan masa
untuk tahap gred setiap sekolah di senaraikan dengan rapi dan sistematik.
Namun begitu, menurut Moon (1990), tahun 1945 dianggap merupakan titik perubahan
atau transformasi dalam Pendidikan Moral di Korea di mana ia di bahagikan kepada tradisional
(Confucian) dan Moden (Barat). Ia berlaku selepas tahun 1945 di mana Sistem Pendidikan Moral
barat ditubuhkan dan ia telah di ajar di seluruh Negara atas tujuan yang jelas untuk memupuk
kaedah ataupun cara demokratik kehidupan. Hal ini dianggap penting kepada masyarakat korea
bagi membina sebuah Negara Republik Korea yang baru. Selepas daripada itu, kandungan utama
dan nilai-nilai dominan Pendidikan Moral di Korea lebih bersifat individualisme Barat serta
Demokrasi Rasional. Walaupun begitu, etika tradisional dalam Confucian masih termasuk dalam
buku teks dan di ajar sebahagian daripadanya. Lebih daripada lima puluh tahun bermula pada
tahun 1945 sehingga kini , Kurikulam Pendidikan Moral di Korea telah berlaku perubahan
sebanyak enam kali (Gambar rajah 2.0).

Gambar Rajah Di Bawah Menunjukkan Perubahan Sistem Pendidikan Moral Di


Korea.

Kurikulum Pendidikan Moral Pertama (1954-1963)


Kurikulum ini merupakan kurikulum pertama yang mengalami kemodenan akibat daripada
perubahan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Korea. Pendidikan Moral pada era ini
difokuskan pada Pendidikan Kewarganegaraan (Civic Rducation).

Kurikulum Pendidikan Moral Kedua (1963- 1973)


Kurikulum ini difokuskan pada etika anti-komunisme, pembaharuan ekonomi, dan nilai-nilai
tradisional.

Kurikulum Pendidikan Moral Ketiga (1973-1982)


Pendidikan Moral menjadi sebahagian pelajaran tersendiri dalam sistem pendidikan
Kurikulum Pendidikan Moral Keempat (1982-1987)
Pendidikan Moral lebih menfokuskan pada perkembangan pengajaran dari pendekatan nilai-
nilai kebajikan kepada pendekatan perkembangan pengetahuan/kognitif. Pembincangan dan
permasalahan moral lebih ditekankan daripada proses penghafalan konsep-konsep moral.

Kurikulum Pendidikan Moral Kelima (1987-1992)


Kurikulum ini lebih menekankan unsur-unsur demokratik yang di implementasikan dalam
kehidupan seharian. Terdapat juga perubahan fokus daripada anti-komunisme kepada isu
permasalahan kedua Korea dan pendidikan yang berorientasikan pada pertahanan nasional.

Kurikulum Pendidikan Moral Keenam (1992-2000)


Kurikulum ini dipraktikkan sehingga sekarang di mana ia lebih berpusatkan pada etika
kemasyarakatan, tingkah laku moral, dan sikap perilaku moral. Kurikulum ini menekankan
pelajaran berkaitan pandangan hidup dalam bertindak Permasalahan Koreadan Selepas
permasalahan Korea.

Gambar rajah 2.0 : Perubahan Sistem Pendidikan Moral Di Korea.

Sumber : Mukhtasar Syamsuddin , ( 2015).

Sejarah dan situasi yang berlaku di Korea telah menyebabkan perubahan dalam
Pendidikan Moral. Kepentingan Pendidikan Moral dilihat daripada pelbagai aspek sehinggalah
membawa perkembangan kepada sistem pendidikan di Korea. Ia mampu membawa dan
memperbaiki disiplin dan sikap keperibadian dalam masyarakat korea yang mementingkan aspek
sikap demokratik. Kini, Pendidikan Moral telah menjadikan satu subjek penting di Negara Korea
kerana ia menitikberatkan kepada perubahan dalam sikap masyarakat itu sendiri.
RUJUKAN

Edward Y. J. Chung. (2015). Korean Confucianism Tradition and Modernity. Diambil pada 24
April 2017 di laman web
http://intl.ikorea.ac.kr/korean/UserFiles/UKS3_Korean_Confucianism_eng.pdf

Jeong-Kyu Lee .(2002). The Role of Religion in Korean Higher Education. Diambil pada 22
April 2017 di laman web http://files.eric.ed.gov/fulltext/ED547255.pdf.

Jeong-Kyu Lee. (2001). The Establishment of Modern Universities in Korea and Their
Implications for Korean Education Policies. Diambil pada 24 April 2017 di laman web
epaa.asu.edu/ojs/article/download/356/482

Mukhtasar Syamsuddin. (2015). Pendidikan Moral Di Korea. Diambil pada 24 April 2017 di
laman web http://www.academia.edu/1497486/Pendidikan_Moral_Korea

Yong Lin Moon. (1995). The Status and Perspective of Moral Education in Korea. Diambil pada
24 April 2017 di laman web http://s-space.snu.ac.kr/bitstream/10371/72457/1/01.pdf