Anda di halaman 1dari 4

Secebis Dari Biodata Imam Ghazaliy

Oleh:

Al Imam Abdul Ghafir Ibn Ismail Al Farisi1

(Wafat pada 529 Hijrah)

Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad, Abu Hamid, Al Ghazaliy, gelarannya Hujjatu
Al Islam Wa Muslimin (Bukti bagi Islam dan Kaum Muslimin), dan Imam bagi sekalian
pemimpin agama. Sungguh, mata tidak pernah melihat orang semisalnya dari sudut kefasihan
lisan, ketajaman akal, kemurnian hati dan keramahan pada akhlak.

Beliau telah mempelajari sebahagian dari ilmu fiqh ketika masih kecil di Tus dari Al Imam
Ahmad Al Razkaniy, dan setelah itu berpindah ke Naisabur untuk menghadiri dengan giat
pengajian-pengajian Imam Al Haramain, ini ketika beliau sudah meningkat remaja. Beliau
gigih dan kuat berusaha sehingga bergraduasi (Takharruj) dalam tempoh yang amat singkat.
Beliau telah mendahului sekalian teman-teman sepeguruan, dan menjadi orang terulung
dalam penghujahan pada zamannya, ini ketika Imam Al Haramain masih hidup.

Banyak dari para penuntut beroleh faedah yang banyak dari beliau, dan belajar di bawah
seliaannya, namun begitu diri beliau masih kekal bersungguh-sungguh memperkukuh dirinya
dalam ilmu, sehingga beliau mampu mengeluarkan karya-karya dan penulisan yang tinggi
nilainya. Adalah Imam Al Haramain dengan ketinggian martabat dan kehebatannya dalam
berdebat serta ketokohan dalam ilmu Mantiq dan Kalam secara rahsia melihatnya dengan
pandangan cemburu terhadap beliau, iri hati dengan kefasihan dan ketokohan yang dimiliki
oleh Ghazaliy, terutamanya apabila beliau bertindak menghasilkan karya-karyanya, walaupun
Al Ghazaliy adalah murid yang bergraduasi darinya. Hal demikian bukanlah suatu yang pelik
pada tabiat manusia. Namun begitu, Imam Al Haramain masih kekal menzahirkan
kebanggaannya pada beliau, serta mengiktiraf ketinggian kedudukan yang telah dicapai oleh
Al Ghazaliy, sehinggalah wafat.

Kemudian, beliau keluar dari Naisabur menuju Al Askar, dan menjawat kedudukan yang
tinggi di sisi Nizam al Mulk, kerana ketinggian darjatnya, kemasyhuran namanya, keindahan
kata-katanya dan keberanian hujahnya. Dan disamping Nizam al Mulk lah berkumpul para
cendiakawan dan ulama, dan dari situ, beliau mula bertemu para ulama, dan para musuh. Dan
di situ jugalah beliau berdebat dan mengkritik para cendiakawan yang ulung. Maka dengan
itu, semakin masyhurlah namanya dipesada dunia, dan disebut-sebut dengan pujian yang tidak
terhingga.

Sehinggalah beliau, mengambil keputusan untuk berpindah ke Baghdad bagi menyandang


jawatan sebagai guru di Madrasah Al Maimunah Al Nizamiyyah. Dan kesemua warganya
merasa begitu takjub terhadap kehebatan beliau dalam mengajar dan berdebat, dan dianggap
bahawa dizaman ini, tidak yang setandingnya. Dengan itu, beliau telah dianggap sebagai
mahaguru di Iraq setelah memperoleh yang sedemikian tatkala di Khurasan.

Seterusnya beliau mula memberi perhatian kepada ilmu Usul Fiqh yang telah dikuasainya
sebelum ini dengan mengeluarkan beberapa karya, dan memperbaharui Mazhab Syafie
dalam ilmu Fiqh. Padanya juga telah dikarang beberapa karya dan penulisan. Begitu juga
1
Beliau adalah sahabat karib serta murid bagi Imam Al Ghazaliy RadiaAllahu anhu.
ilmu Khilaf, telah beliau hasilkan juga beberapa tulisan berkenaannya. Maka, keagungannya
mula terserlah, darjatnya kian meningkat, dan ketokohan dan keagungannya itu tatkala di
Baghdad melampaui keagungan para pemimpin dan menteri. Dan dengan tidak semena-mena
keadaan mula berubah, setelah beliau mendalami ilmu-ilmu yang dalam lagi halus, serta
menelaah buku-buku yang ditulis berkaitannya. Maka beliau mula melalui jalan kezuhudan
dan para sufi. Beliau mula meninggalkan kemegahan, dan melepaskan kesemua darjat dan
pangkat untuk memberi sepenuh perhatian pada jalan-jalan ketaqwaan dan mengumpul
bekalan menuju akhirat.

Oleh yang demikian, beliau mula keluar dari hal sebelum ini, menuju ke Baitullah
menunaikan haji, kemudian berpindah ke Syam, dan bermukim di sana kira-kira sepuluh
tahun; menziarahi kawasan-kawasan mulia lagi suci, dan disitulah beliau mula menulis karya
agung yang tidak pernah ditulis oleh mereka yang terdahulu: Ihya Ulum Al Din, serta karya-
karya ringkas lain seperti Al Arbain, dan beberapa risalah-risalah ringkas, yang tidak dilihat
oleh sesiapa melainkan akan mengetahui pangkat beliau dalam sekalian bidang keilmuan.

Beliau memberi perhatian sepenuhnya kepada bermujahadah hawa nafsu, mengawal tadbir
akhlak dan tingkahlaku, memperelok tabiat, memperbaiki selok belok kehidupan. Maka
bertukarlah syaitan yang mendesak, dan sikap gilakan pangkat dan akhlak yang keji kepada
jiwa yang tenang, dan tabiat yang berpuji. Bebas dari pakaian kemegahan berubah kepada
pakaian para Sholihin. Cita-cita mula menyingkat, kemudian mewakafkan dirinya untuk
menyampaikan petunjuk kepada sekalian makhluk dan membantu mereka untuk
mempersiapkan diri menuju akhirat, serta menjadikan mereka bencikan dunia, dan bekerja
untuknya.

Setelah itu, beliau pulang ke kampung halamannya, dengan melazimi rumahnya untuk
bertafakkur dan memelihara waktunya untuk beribadah, sehinggalah tiba suatu ketika bahawa
sekalian tulisan-tulisannya tersebar meluas, dan tidak mampu seorang pun yang mampu
menyatakan kritikan. Kemudian, di zaman Fakhr Al Malik Jamal Al Syuhada menjawat
sebagai jawatan menteri agung -semoga Allah merahmatinya- apabila dia mendengar dan
mengenalpasti kedudukan Al Ghazaliy yang tinggi, dan kesempurnaan akhlak dan akidahnya,
dia mula menghadiri Al Ghazali dan mengambil keberkatan darinya. Dia mendesak dan
berterusan memohon supaya beliau kembali menjawat jawatannya yang terdahulu.
Sehinggalah beliau menerima permohonan tersebut, dan keluar menuju ke Naisabur. Namun
dengan takdir Allah, tidak lama selepas itu, beliau mula kembali ke Madrasah Al Maimunah
Al Nizamiah semoga Allah memakmurkannya dan tatkala itu beliau mula melihat bahawa
tanggungjawabnya adalah menyampaikan petunjuk kepada sekalian pemimpin yang keras
hatinya, dan membimbing para murid yang ikhlas menuju Allah. Tatkala itu, beliau tidak lagi
menghalakan pandangan kepada apa yang telah ditinggalnya sebelum ini, dari perbuatan
mencari pangkat, berdebat, dan tidak langsung menyibukkan diri untuk menjawab caci maki,
dan kritikan para pendengki atau pujian mereka yang memuji.

Aku telah menziarahinya berulangkali, dan adalah biasa untuk aku ceritakan pengalamanku
sebelum ini, berkenaan tabiatnya yang kasar, memalukan manusia, memandang mereka
dengan mata penghinaan, dan berbangga-bangga dengan apa yang telah dikurniakan padanya
dari kemahiran berkata-kata, kebijaksanaan, pangkat dan kedudukan, namun kini, beliau
dalam hal yang bertentangan dari yang dahulunya. Dan aku sebelum ini berpendapat bahawa
itu adalah salah satu bentuk lakonan dan berpura-pura, namun setelah kajian dan
berdampingan lama dengannya aku dapati bahawa dia seakan-akan telah sedar dari kegilaan
sebelum.

Pernah suatu malam, beliau bercerita berkenaan dengan hal ehwalnya yang telah terzahir
padanya sejak awal penglibatan dalam jalan kesufian, dan selepas penguasaan terhadap
sekalian ilmu dan kritikan yang telah dilakukan pada sekalian ilmuan, sehinggalah dia
mengalihkan focus untuk mendalam ilmu-ilmu yang pelik, dan mula memikirkan berkenaan
kesudahan dirinya, dan apa yang bermanfaat dan berfaedah sebagai bekalan di hari akhirat.
Setelah sekalian itu, beliau mula berdampingan dengan Al Faarmadiy dan mengambil darinya
kunci-kunci jalan bertarekat, serta menerima bimbingan darinya berkenaan dengan susun atur
ibadah, dan melazimi amalan-amalan sunat dan zikir, dilakukan dengan bersungguh-sungguh
dengan hajat supaya diri ini selamat bagi menghadapi halangan dan ujian, dan bebas dari
bebanan kesusahan, seterusnya berhasil memperoleh apa yang menjadi cita-citanya sebelum
ini.

Beliau juga pernah menceritakan bahawa dia telah mengulangkaji ilmu-ilmu dan terjun ke
dalamnya, dengan usaha yang bersungguh-sungguh, yang terdapat di dalam tulisan-tulisan
ilmu yang halus (Tasawwuf), dan mengikuti sekalian makna yang terdapat di dalamnya
sehinggalah terbuka baginya sekalian pintu-pintunya, dan setara sekalian dalil-dalil dan
permasalahan. Beliau ceritakan bahawa telah dibuka padanya sebuat pintu dari sifat Takut
(Khauf) sehingga menyebabkan beliau berpaling dari segala sesuatu. Dan begitulah yang
berlaku sehingga beliau berterusan dalam mujahadah, kemudian terzahir padanya sekalian
hakikat, dan terlihat padanya suatu yang tidak disangka-sangka dari akhlak dan tabiat yang
baik serta ilmu dan makrifat yang tinggi. Sekalian itu, adalah kesan kebahagiaan yang
dikurniakan dari Allah.

Seterusnya kami tanyakan pula berkenaan keinginannya untuk keluar dari rumah yang telah
dilaziminya bagi menyahut pangilan dan arahan yang datang dari Naisabur: jawab beliau
sambil memohon keuzuran: Tidaklah aku haruskan dari agamaku ini sehinggalah aku berdiri
berdakwah, dan memberi manfaat kepada para penuntut. Telah sampai waktunya untuk aku
menzahirkan kebenaran dan menyeru kepadanya.. Kata ini terbit dari jiwa yang jujur lagi
benar.

Kemudian beliau meninggalkan jawatannya, dan kembali semua ke kampung halaman. Dan
membina bersebelahan rumahnya madrasah khusus bagi penuntut ilmu, dan khanqah (rumah
sufi) bagi ahli ibadat. Sekalian waktu-waktunya dibahagikan kepada beberapa tugasan, seperti
mengkhatamkan al Quran, mendampingi ahli Tasawwuf, dan mengajar, pada sudut tidak ada
satu detik pun dari maksanya melainkan padanya manfaat, sehinggalah beliau kembali ke
rahmatullah setelah perjalanan yang begitu lama berhadapan dengan musuh, raja, raja dan
semoga Allah memeliharanya dari tangan-tangan pedengki yang cuba menzahirkan keaiban.

Dan tika pengakhiran hayatnya beliau mula memberi perhatian penuh kepada hadis-hadis
Nabi , dan menghadiri majlis-majlisnya, dan sentiasa menelaah Shahih Al Bukhari dan
Muslim. Dan jikalau beliau masih hidup nescaya dalam beberapa hari yang singkat beliau
mampu menandingi sekalian ulama dalam bidang hadis tersebut. Namun tidak syak lagi di
masa yang lalu bahawa beliau pernah mendengar dan mempelajari hadis-hadis, walaupun
beliau memberi perhatian penuh kepada mendengar hadis-hadis. Namun sekalian ini tidak
menjejaskan sedikit pun dari kedudukannya jika dilihat kepada karya-karyanya yang bermutu
dalam ilmu Ushul dan Furu, dan sekalian penulisan yang mengharumkan namanya yang
telah disepakati faedahnya oleh sekalian besar penuntut ilmu. Sekalian mereka bersepakat
bahawa dirinya tidak dapat diganti oleh sesiapa pun.

Beliau kembali ke rahmatullah pada hari Isnin, 14 Jamadil Akhir, tahun 505 (Hijrah), dan
dikebumikan di Thabiran semoga Allah mengkhususkannya dengan pelbagai kemuliaan di
hari akhiran, seperti yang tidak Dia kurniakan kepadanya dari pelbagai ilmu pengetahuan
tatkala di dunia.

Anda mungkin juga menyukai