Anda di halaman 1dari 4

Teks Pidato-Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

"Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama"

Ayah.Ayah. Di mana rumah kita? Ayah. Ayah. Di mana jiran kita? Ayah. Ayah. Di mana adik-adik saya?
Ayah Ayah Di mana ayah? Mungkin, inilah luahan hati seekor anak ular tedung selar yang telah
kehilangan habitat akibat pembangunan.

Pembangunan adalah sebahagian daripada perkara yang berlaku di sekeliling kita pada setiap hari.
Atas nama pembangunan, saban waktu kita melihat keadaan semula jadi di muka bumi ini terpaksa
dikorbankan sedikit demi sedikit, demi apa? Demi mengejar seribu impian yang terkandung dalam
istilah pembangunan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang berpaksikan
keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan
seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian. Assalamualaikum dan salam pertemuan.
Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa
dan bukan juga mengalunkan irama pop yeh yeh akan tetapi menyampaikan pidato saya iaitu
penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama. Di sini saya akan mengungkap beberapa persoalan
yang bersangkutpaut dengan pelestarian alam sekitar tanggung jawab bersama.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk pidato ini, ianya
merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung
dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah
pada perkataan tanggungjawab bersama. Saya akan pecahkan tajuk saya ini kepada tiga kompenan
utama. Yang pertama akan saya kupaskan punca-punca kemusnahan alam sekitar, keduanya kesan-
kesan kemusnahan alam sekitar dan seterusnya mencari jalan alternatif dalam melestarikan alam
sekitar. Semuanya tidak lain dan tidak bukan bertunjangkan tema penjagaan alam sekitar
tanggungjawab bersama.

Sidang pendengar yang penuh santun,

Kompenan saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan alam sekitar. Kemusnahan terhadap
alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi peraturan atau rang undang-
undang mahupun kaedah yang selamat dalam aktiviti kehidupan seharian. Tindakan tersebut itu
dikaitkan dengan sikap ingin mengaut keuntungan maksimum dan mengurangkan bebanan kos yang
ditanggung. Peraturan soal kebersihan dan menjaga alam sekitar ada dibincangkan dalam kitab-kitab
feqah yang menandakan amalan ini penting dalam ajaran islam. Pemimpin tersohor India, Mahatma
Gandhi pernah berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk orang biasa tetapi tidak
kepada orang yang tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar ertinya ini membuatkan saya
cukup terpanggil mengajak saudara dan saudari sama-sama memikirkan alam sekitar kita.

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang merobek
keindahan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksik dan agen pencemar alam secara tidak
mematuhi piawaian yang ditetap pihak kerajaan sekaligus menyebabkan keindahan alam sekitar
tercabul. Tindakan buruk itu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, bahkan satu perbuatan
berdosa di sisi agama. Ajaran Islam menegah umatnya melakukan perbuatan yang diketahui
mendatangkan kesan buruk, tidak kiralah kecil atau besar sesuatu kesalahan itu. Individu yang tidak
bertanggungjawab melakukan sesuatu berdasarkan mana yang lebih mudah dan menguntungkan
mereka. Soal keburukan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain atau masyarakat
tidak pula dikisahkan. Hal ini umpama jari-jari liar yang rakus menerkam mangsanya. Batu dilontar ke
depan, tangan disorok ke belakang. Yang konon-kononnya terlalu sarat, terlalu berat untuk difikirkan
bersama. Menyesakkan nafas orang yang melihat. Manusiaoh, manusia.oh, manusia!

Sidang pendengar yang setia,

Kita terus meneroka dengan komponen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan alam sekitar.
Dipetik dari Malaysia Today, para akademik mendapati bahawa dua pertiga daripada ekosistem yang
seimbang yang dikaji, telah mengalami kerosakan di tangan manusia sepanjang setengah abad yang
lalu. Wilayah tanah kering di dunia, yang mewakili 41 peratus permukaan tanah di bumi, telah begitu
teruk dimusnahkan, namun, di sini jugalah populasi manusia telah berkembang dengan begitu
pesatnya sejak tahun 1990-an. Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah ekosistem
dengan pantas dan meluas berbanding mana-mana waktu dalam sejarah manusia, kebanyakannya
bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk makanan, air bersih, kayu balak serta keperluan
yang lain. Seluruh akibatnya, hanya kini, kian nampak jelas. Lebih kurang 15 dari 24 ekosistem yang
utama bagi kehidupan atas bumi telah mengalami kerosakan yang serius. Sebuah ekosistem
ditakrifkan sebagai sebuah kompleks yang dinamik mengandungi tumbuh-tumbuhan, binatang dan
mikroorganisma yang membentuk unit fungsi bersama persekitaran benda bukan hidup yang dapat
wujud bersama.

Sememangnya sektor pertanian menjana pendapatan negara dan merupakan sumber pendapatan
yang terpenting. Namun begitu, peningkatan nutrien buatan manusia dalam persekitaran telah
membawa kepada peningkatan alga. Ini akan mengurangkan oksigen bagi hidupan akuatik dan juga
menghasilkan bahan toksik yang membahayakan air untuk diminum. Hal ini disebut eutrofikasi yang
disebabkan cahaya matahari tidak dapat menembusi dasar air akibat pengumpulan alga di atas
permukaan air. Maka, tumbuhan akuatik tidak dapat menjalankan proses fotosintesis untuk
menghasilkan oksigen sekaligus menyebabkan hidupan akuatik di ambang kepupusan. Terumbu yang
didominasi oleh batu karang kini dengan tiba-tiba berubah kepada dipenuhi alga, yang telah
bertambah disebabkan bertambahnya kadar nutrien yang turun dari sumber-sumber dari darat.
Banyak terumbu karang di Jamaica kini didominasi oleh alga. Sekali lagi, hidupan akuatik diancam
kepupusan akibat kemusnahan habitat.

Sidang saksi yang bermisi,

Sudah banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah
pencemaran. Isu pencemaran alam merupakan masalah peringkat global yang turut melanda negara
seluruh dunia. Mungkin sesebuah negara itu telah, sedang dan akan mengalami krisis ini. Kegagalan
sesbuah negara menangani alam sekitar turut melepasi sempadan negara apabila kesannya turut
dirasai di negara lain. Maka, sudah tentulah isu alam sekitar sering menjadi duri dalam daging
hubungan dua negara yang berjiran. Sedekad lalu, masyarakat dunia heboh dengan masalah
penipisan lapisan ozon. Kejadian itu selalu menjadi igauan ngeri bagi generasi kini dan akan datang.
Generasi kini merupakan pencetus generasi akan datang. Lapisan ozon yang melindungi bumi
daripada sinaran ultra-lembayung (UV) disebabkan pelepasan gas-gas berbahaya secara tidak
terkawal. Melepaskan unsur pencemaran sememangnya tidak dapat dielakkan. Aktiviti harian
manusia sudah pasti tidak lepas daripada menghasilkan bahan buangan. Kita makan dan
menghasilkan najis, bekas pembalut makanan menjadi sampah, menhidupkan enjin melepaskan asap
dan sebagainya.

Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan misteri. Kita teruskan
dengan komponen ketiga saya iaitu kempen melestari alam sekitar. Sebenarnya, kempen ini
bukannya bertujuan menyusahkan, membebankan mahupun melecehkan hadirin sekalian tetapi
bertujuan mencari alternatif meminimumkan kesan daripada aktiviti tersebut. Sebenarnya krisis alam
sekitar bukannya suatu isu yang boleh dianggap remeh. Di peringkat global, pelbagai perbincangan
khusus yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi negara seluruh dunia. Deklarasi demi
deklarasi telah dibuat mengenai tatacara dan usaha mengatasi masalah ini. Memang tidak dinafikan,
semua pihak sedar kepentingan menjaga alam sekitar.

Bagaimanapun, perkara yang agak menyedihkan apabila negara maju yang sedia kita tahu yang
sebenarnya lebih banyak menyebabkan masalah alam sekitar ini mengambil jalan mudah menunding
jari terhadap negara membangun sebagai punca berlakunya masalah alam sekitar. Sebagai contoh,
negara Amerika Syarikat merupakan penyebab 20% kesan rumah hijau dunia. Negara maju lebih
gemar menyalahkan aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah sebagai punca masalah alam sekitar.
Justeru, negara maju cuba menghalang atau memulau hasil kayu seperti perabot yang dihasilkan
daripada negara membangun sebagai ugutan berlapik bagi menutup mulut negara membangun.
Memang sukar untuk negara membangun menegur dan memperbetulkan sikap buruk negara maju.
Maka, langkah yang mampu diambil ialah tindakan yang dilakukan di dalam negara sendiri.

Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh mencemarkan
alam sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang difikirkan. Saya bawakan contoh
membuang puntung rokok dan kertas pembalut gula-gula juga perbuatan mencemarkan alam
sekitar. Biarpun kecil, tetapi sekiranya jumlahnya berlipat kali ganda tetap mencemarkan alam
sekitar. Acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas awam dan sebagainya
kelihatan agak kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap antara kita mempunyai
peranan untuk melestarikan alam sekitar biarpun perkara itu dianggap remeh. Jangan disebabkan
benda remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti masyarakat.

Hadirin sekalin, sidang penonton penuh santun,

Harus dikejut mana yang lena

Harus ditegur mana yang alpa

Sebelum manusia ditimpa bencana

Sebelum alam mulai bicara

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan. Asimilasi ini bagai isi dengan kuku, bagai
irama dengan lagu, bak aur dengan tebing. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan
diterokai untuk pembangunan sudah pastilah haiwan-haiwan akan pupus. Tidak hairanlah hadirin
sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah
bersama kita. Bahkan jangan terkejut sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang panda itu, pokok
yg tumbuh melilit di tepi pagar. Seterusnya, ledakan bom jangka ketiga ini umpama ledakan bom
jangka pada generasi mendatang.

Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan
menanamkan sikap mencintai alam sekitar. Ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Jadi, anda
bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin inilah luahan rasa sebatang pokok meranti
ataupun rintihan seekor semut api merah. Konklusinya, manusia yang mengancam Manusia
sendirilah turut terancam. Persoalannya, untuk mengejar sesuatu kemajuan. Haruskah alam menjadi
taruhan? Timbang-timbangkan agar bom jangka ini tidak terus-terusan meledak seperti ledakan
tsunami di Acheh, gempa bumi di Pakistan dan taufan Katrina dan Wilma di Amerika. Tepuk dada
tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama,
Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh. Pemidato bestari,
mohon permisi!

Anda mungkin juga menyukai