Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu
bahasa. Demikianlah ungkapan yang menggambarkan sifat berbudi dalam kalangan
masyarakat. Menurut Imam al-Ghazali, apabila kamu hendak mengenali wajah, lihatlah pada
cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri, lihatlah pada wajah. Jelaslah bahawa sifat
berbudi bahasa ini amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap masyarakat. Pada era
globalisasi ini, isu budi bahasa budaya kita telah menjadi polemik dalam masyarakat Malaysia
terutama dalam kalangan orang dewasa dan remaja. Mereka menyedari bahawa budaya berbudi
bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kerana terdapat seribu satu
kemaslahatan yang boleh diperoleh daripadanya. Justeru kerajaan telah mengambil langkah
yang proaktif dengan melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita. Persoalanya,
sejauhmanakah kempen ini berhasil dalam membentuk peribadi masyarakat Malaysia ? Tepuk
dada, tanyalah minda. Semestinya rakyat mendapat manfaat daripada kempen yang telah
dilaksanakan dalam segenap lapisan masyarakat tersebut.
Kempen Budi Bahasa Budaya Kita telah memberikan manfaat kepada kakitangan
kerajaan. Konsep mesra pelanggan biasanya dilakukan antara pelanggan dengan anggota
penguatkuasaan mahupun pegawai di kaunter khidmat nasihat dan sebagainya. Kempen Kenali
Saya yang menyemai sikap senyum dan mengucapkan terima kasih telah menyumbang kesan
yang positif. Objektif kempen ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara pelanggan
dan pegawai kakitangan kerajaan. Perkara ini turut dipuji di sisi Islam kerana senyuman itu
suatu sedekah. Terdapat pepatah yang mengatakan alah bisa tegal biasa yang jelas
menunjukkan bahawa sesuatu sikap yang kurang diterapkan dalam diri tetapi akhirnya menjadi
suatu budaya apabila sering dilakukan secara konsisten. Tegasnya, kempen Kenali Saya ini
adalah suatu cara untuk menunjukkan perlunya sikap ini supaya masyarakat mudah untuk
berurusan dengan anggota penguatkuasaan dan sebagainya. Seterusnya perkara ini boleh
menyumbang kepada imej baik kerajaan dan negara yang menjadikan amalan nilai murni
sebagai suatu adat kebiasaan.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya Bertepatan dengan peribahasa tersebut ibu bapa
perlulah menjadi agen perubah anak-anak dengan mengamalkan adab sopan dalam kehidupan
seharian terutamanya di rumah. Hal ini demikian kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu
bapalah seharusnya mencorakkan mereka samada menjadi permata atau sebaliknya. Kempen
yang dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) telah
memberikan penekanan terhadap aspek kekeluargaan seperti mengadakan aktiviti makan
sekeluarga, meraikan hari istimewa dalam kalangan keluarga dan pertandingan sesama ahli
keluarga. Hubungan yang mesra dapat terbentuk melalui aktiviti seumpama ini dan seterusnya
dapat memupuk nilai-nilai murni seperti rasa kasih dan sayang, sifat bertolak ansur dan
bertimbang rasa sesama adik beradik. Intihanya, kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan ini
dapat membantu memberikan impak yang positif dalam institusi keluarga di negara ini.
Selain itu jika kita lihat dari sudut yang lain, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan
turut dimanfaatkan oleh warga sekolah. Dari aspek ko-akademik, pihak sekolah perlulah
mengadakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk
amalan berbudi bahasa seperti sikap bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati
dalam kalangan murid. Para guru diibaratkan sebagai seorang pekebun kerana murid ini ibarat
pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, pohon itu perlulah dijaga dengan memberikan cahaya
matahari, air dan perlu dibaja dengan secukupnya. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang
dianjurkan antara sekolah dalam daerah atau negeri. Dengan itu, murid dapat berkenalan dengan
rakan-rakan baru dan mereka akan lebih bersikap membina daripada meruntuhkan atau
membinasakan sesuatu. Oleh itu, pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara terancang telah
membuang sifat negatif seperti vandalisme dan sebaliknya melahirkan masyarakat sekolah
yang prihatin dan lebih bertolak ansur. Pendek kata, kempen amalan budi bahasa ini
sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Seterusnya, kempen anjuran kerajaan ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih
bertamadun dan mempamerkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian. Jika dilihat dengan
lebih terperinci, amalan positif seperti layanan yang sopan, sikap lemah lembut, keprihatinan
dan budaya membantu golongan yang memerlukan akan memberikan impak yang besar
terhadap para pelancong yang berkunjung ke negara ini. Pelancong akan merasa diri dihargai
dan beranggapan bahawa kedatangan mereka dialu-alukan oleh penduduk tempatan. Maka,
rakyat dapat membantu aspirasi kerajaan iaitu Cuti-cuti Malaysia. Negara Jepun sayugia
dijadikan teladan kerana sikap masyarakatnya yang kaya dalam budi bahasa. Sekiranya kita
berkunjung ke negara Jepun, ucapan selamat datang dan terima kasih tidak lekang daripada
bibir rakyat mereka dalam setiap urusan samada di kedai mahupun di tempat pelancongan.
Seandainya amalan ini diikuti , sudah pasti keramahan rakyat Malaysia menjadi sebutan para
pelancong yang berkunjung ke Malaysia. Oleh itu, amalan murni ini yang diterapkan dalam
kempen kerajaan ini sewajarnya dibudayakan dalam kehidupan seharian agar masyarakat
bertamadun dapat dibina demi kebaikan negara kita.
Ternyata, kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang dilaksanakan oleh kerajaan telah
memberikan impak yang positif dalam kehidupan rakyat Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa amalan berbudi bahasa amat penting dalam meningkatkan taraf negara kita ke arah
negara maju supaya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara
gergasi yang lain. Lantaran itu, semua pihak seperti para pemimpin, ibu bapa, pihak sekolah,
dan setiap individu masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
memupuk dan membaja amalan nilai murni dalam jiwa rakyat Malaysia. Profesor Diraja Ungku
Aziz pernah menyatakan bahawa Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit
masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang terhakis daripada jiwa mereka.
Izharlah bahawa setiap usaha yang dilaksanakan perlulah bersungguh-sungguh ibarat
mengenggam bara api biar sampai jadi arang supaya kesanya dinikmati bersama dan Malaysia
akan terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.