Anda di halaman 1dari 7

ADAT RESAM

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun
tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran,
perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di
Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu
masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU

Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan
suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah
dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu
setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu
banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia
merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara
Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara
ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia
dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk
membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal
bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

Peralatan untuk upacara ini termasuk

v Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan

v Segantang beras
v Sebiji kelapa

v Beberapa urat benang mentah


Damar

v Minyak kelapa atau minyak urut

v Lilin

v Tepak sirih yang lengkap isinya

v Pengeras sebanyak RM1.25

Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita
hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.

Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di
kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama.
Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor
ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau
dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang
bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan
membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai
yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan
mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan
mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan
di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya
kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah
lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai
kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali
diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari
tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini
dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur
budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin

Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga
berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan
sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh
hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga
daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah
pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi
mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat
yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Potong Tali Pusat

Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu
disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong
dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu
ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali
pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih
yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.

v Azan/Qamat

Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan
akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu
adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

v Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang
menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah
dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan
ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir
tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah
tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

v Berpantang

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud
larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit
sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari
mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.

Tempoh Berpantang

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau
berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah
yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari
serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh
menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan
yang dibakar, direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.

Bertungku

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat
membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan
di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang
tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi
sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah
kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang
dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk
mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada
wanita selepas bersalin.
Selepas lahir

Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

v Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci
lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum
tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya
dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

v Nasi kunyit dan lauk-lauk

v Seekor ayam hidup

v Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang

v Hadiah untuk bidan sepersalinan

Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan
memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan
kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan
dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu
dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang
digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.

Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik
kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para
nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan
dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri
nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.

Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

v Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung
tawar,beras kunyit dan bertih.

v Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok


siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air
sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias,
umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang
dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya
dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi
akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-
gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa
tadi.

Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang
ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan
acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua
pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya
oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang
dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar
halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai
memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah
membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak
dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti
kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak
disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu
dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza
mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor
kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan
kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke
tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat
memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan
di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana
penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu
sulung.

Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang
menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan.
Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara
berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan
lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada
kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan
adat memberi nama dan adat cukur rambut.

JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan
anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan
untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan
secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara
mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas
kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak
berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis
barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam
dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut,
gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah
ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan
dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa
depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-
kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan.
Adat ini jug boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-
kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis
daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan
doa dibaca.
Bersunat / Berkhatan

Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil
iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak
perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun
atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan
menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam
lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di
dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam
menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi
kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan
kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis
perkahwinan.

Sumber : Perpustakaan Negara Malaysia

Anda mungkin juga menyukai