Anda di halaman 1dari 7

PENDAHULUAN

Persaingan dunia hari ini memerlukan setiap individu untuk menguasai pelbagai
pengetahuan dan kemahiran sehingga sistem pendidikan negara dan kurikulum sekolah
kini memberatkan penguasaan kemahiran dari semua aspek terutamanya aspek fizikal
dan sosial. Pembelajaran abad ke-21 (PAK21) menegaskan keseimbangan antara tugas
guru dan pelajar. Guru bukan lagi individu yang mendominasi bilik darjah tetapi pelajar
sendiri perlu mengambil inisiatif untuk meneruskan pembelajaran dengan bantuan guru.
Guru kini bertindak lebih kepada fasilitator yang membimbing pelajar dalam mendapatkan
ilmu serta sebagai pengurus bilik darjah itu sendiri. Hal ini secara tidak langsung adalah
bagi mengoptimumkan perkembangan diri pelajar.

Penulisan ini akan berfokuskan elemen PAK21 dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)
matematik.

KEMAHIRAN ABAD KE-21

Perubahan teknologi yang berlaku hampir setiap hari memerlukan pelajar dan guru untuk
sama-sama menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran abad ke-21 seperti
yang digariskan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) melibatkan tiga
tonggak utama iaitu kemahiran literasi, pembelajaran dan kehidupan. Tiga kemahiran
abad ke-21 yang perlu pelajar kuasai ialah kemahiran maklumat dan komunikasi,
kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah dan kemahiran interpersonal dan arah
kendiri. Guru sendiri sebagai pendidik perlulah mempersiapkan diri dengan tiga kemahiran
ini bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki setanding dan mampu
membantu pembelajaran pelajar. Kemahiran literasi menekankan keupayaan guru dan
pelajar untuk menguasai bidang informasi, media dan penggunaan teknologi. Guru
haruslah mempunyai literasi terhadap akses maklumat dan media yang semakin canggih
seperti perisian GeoGebra, Rstudio, Matlab dan Geometres Sketch Pad (GSP) bagi
membantu pelajar mendapatkan ilmu dengan lebih meluas dan memberi pendedahan
lebih terhadap pengetahuan am dan teknologi. Antara kemahiran kehidupan yang
dihasratkan untuk dipupuk dalam diri setiap individu pelajar di Malaysia melalui sistem
pendidikan negara ialah fleksiibiliti, daya usaha, keterampilan, produktif dan mempunyai
kemahiran sosia. Pelajar seharusnya mampu untuk menyatakan idea matematik serta
mengaplikasi matematik dalam usaha menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Pelajar yang mempunyai kemahiran interpersonal mampu membina imej serta
mempromosikan diri dalam dunia kerjaya yang semakin tinggi persaingan. Dengan
adanya tiga kemahiran abad ke-21 ini, sistem pendidikan pastinya akan berupaya untuk
melahirkan sumber tenaga manusia berkualiti yang mampu menyumbang kepada
pembangunan negara. Selain itu, PAK21 juga adalah berteraskan kepada kemahiran
menguasai dan menakluk pengetahuan. Sistem pendidikan negara berhasrat untuk
membentuk pemikiran kritis dan kreatif melalui kolaborasi antara kumpulan pelajar serta
kemahiran komunikasi dalam diri setiap individu pelajar. Pemikiran analitikal dan kritikal
adalah perlu bagi menyediakan pelajar yang mempu melakukan dan mengaplikasi ilmu
terutamanya dalam konteks ilmu matematik dalam kehidupan harian. Guru perlu bijak
merancang dan mengurus sesi PdP supaya dapat mencetuskan pemikiran aras tinggi
serta membantu pelajar menjana idea-idea baru melalui inkuiri penemuan. Pembelajaran
yang dirungkai sendiri oleh pelajar adalah lebih berkesan dan mudah untuk disimpan di
dalam kotak memori pelajar. Pelajar akan berasa bertanggungjawab terhadap penemuan
tersebut dan sentiasa inginkan pembaharuan idea. Contohnya, sekiranya pelajar berjaya
menemukan rumus Teorem Phytagoras melalui aktiviti PdP, pelajar seharusnya akan
mampu untuk mengingat rumus ini dengan mudah apabila terdapat pembelajaran atau
masalah berkaitan segitiga bersudut tegak.

GURU ABAD 21

Melalui perbincangan banyak pihak, terdapat enam ciri-ciri guru PAK21 iaitu menguasai isi
pelajaran, mahir dan berketerampilan dalam pedagogi, memahami perkembangan dan
menyayangi pelajar, memahami psikologi pembelajaran, berkemahiran kaunseling serta
mampu menggunakan teknologi terkini. Sebagai pendidik kepada pelajar dalam zaman
yang serba maju dan berkitarkan teknologi, guru perlu mahir dan mempunyai
pengetahuan mengenai pelbagai alat teknologi. Pembelajaran yang tidak hanya tertumpu
pada penggunaan papan tulis dan mempunyai variasi cara penyampaian semestinya
adalah lebih menarik. Guru perlu menggunakan tayangan slaid, aplikasi telefon pintar,
permainan serta memaksima penggunaan pemancar LCD (liquid-crystal display) untuk
membawa kelainan kepada suasana pembelajaran dalam bilik darjah. Pelbagai aplikasi
interaktif matematik boleh digunakan dalam PdP contohnya penggunaan perisian Matlab
untuk mengilustrasi pindah bentuk pepejal 3-dimensi (Rajah 1).
RAJAH 1

Pengetahuan mantap dalam ilmu psikologi pendidikan adalah penting bagi guru untuk
memahami tahap perkembangan pelajar dan mencari penyelesaian terhadap setiap
tingkah laku pelajar dalam bilik darjah. Guru perlulah membina hubungan positif dengan
pelajar serta memahami perkembangan fizikal, mental dan emosi mereka. Hal ini penting
agar guru dapat memberi respon dan reaksi yang sepatutnya apabila berlakunya sesuatu
yang tidak diingini semasa proses PdP tetapi dalam pada masa yang sama tidak
membuatkan pelajar berasa terganggu dengan respon yang diberikan. Selain itu, guru
perlulah menguasai topik yang akan diajar dan pedagogi dalam menyampaikan isi
pelajaran. Guru perlu menghayati dan memahami kurikulum kandungan yang terkandung
dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) ataupun Huraian Sukatan
Pelajaran (HSP). Guru sendiri perlu betul-betul memahami konsep nombor negatif dan
operasi yang melibatkan nombor negatif bagi mengelakkan sebarang miskonsepsi
semasa pembinaan konsep oleh pelajar. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan
strategi PdP bagi mengelakkan pelajar berasa bosan dan mewujudkan suasana yang
lebih produktif dan kondusif. Disamping itu, guru juga perlu untuk memiliki kemahiran
kaunseling agar dapat membantu pelajar menangani emosi, sosial dan pelbagai masalah
lain yang dihadapi oleh pelajar. Kemahiran kaunseling sangat penting agar masalah yang
dihadapi oleh pelajar di luar bilik darjah tidak menjadi satu gangguan atau halangan
semasa pembelajaran dalam bilik darjah.
PPPM telah menggariskan beberapa ciri-ciri pembelajaran kelas abad ke-21. Semua
pembelajaran pelajar dan proses PdP mestilah berpusatkan pelajar yakni pelajar
mendominasi sesi pembelajaran dan guru bertindak sebagai pembimbing sahaja
sepanjang proses tersebut. Guru perlu meletakkan minat dan kelebihan pelajar sebagai
keutamaan semasa merancang PdP. Guru bleh meminta pelajar untuk menyediakan satu
permainan interaktif matematik untuk dimainan bersama rakan-rakan semasa PdP akan
datang. Tugasan seperti ini akan membuatkan pelajar berasa teruja kerana diberi pilihan
dan kebebasan untuk merancang pembelajaran yang mengikut minat dan kemahiran
mereka. Persekitaran yang kondusif dan selesa amat penting bagi memastikan
pembelajaran kendiri dan penglibatan aktif pelajar. Guru yang berjaya mengurus bilik
darjah dengan efektif adalah guru yang dapat memastikan pembelajaran tetap berlaku
buat semua pelajar walaupun perhatian dan tumpuan guru adalah kepada sesuatu
kelompok sahaja. Pelajar perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap
pembelajarannya sendiri di samping nilai saling menghormati pendapat orang lain dan
mematuhi arahan yang diberikan sebelum melakukan sesuatu tugasan.

Peraturan bilik darjah yang telah dipersetujui bersama perlu dipaparkan secara jelas dan
guru perlu menerangkan rasional dan kerelevanan sesuatu peraturan yang ditetapkan.
Pembelajaran yang terancang dan teliti memudahkan kedua-dua pihak guru dan pelajar.
Penggunaan komputer dan elemen teknologi sangat membantu dalam pelaksanaan PdP.
Guru boleh memberi tugasan yang melibatkan penggunaan teknologi seperti
perbentangan kerja berkumpulan. Penilaian pembelajaran abad ke-21 melibatkan kedua-
dua pentaksiran formal dan juga informal. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah
penilaian seperti melalui pemerhatian, lisan, kuiz, perbincangan serta penilaian kendiri
oleh pelajar sendiri. Guru boleh mendapatkan maklum balas daripada pelajar untuk
melihat sejauh mana tahap pemahaman terhadap topik atau isi pelajaran yang dipelajari.
Maklum balas turut boleh menjadi salah satu cara untuk guru mengenalpasti
keberkesanan pembelajaran dan minat pelajar. Guru mestilah tidak menjalankan
pentaksiran dengan pelbagai kaedah tanpa terikat dengan sesuatu bentuk ujian sahaja.
BILIK DARJAH ABAD 21

Pelaksanaan pengurusan bilik darajh abad ke-21 telah pun lama bermula sejak tahun
2014 lagi dengan beberapa langkah kecil untuk mengimplimentasikan kesemua elemen
susun atur dan suasana bilik darjah abad ke-21. Tahun demi tahun pelbagai langkah
pemantapan telah dijalankan. Satu modul pedagogi kreatif dan kritis telah dibina bagi
memberi panduan kepada para guru untuk melaksanakan pengurusan bilik darjah abad
ke-21. Beberapa ciri penting yang menunjukkan bahawa susunan itu adalah susun atur
bilik darjah abad ke-21 ialah mesti merupakan susun atur yang membolehkan pelajar
melibatkan diri dengan aktif semasa sesi PdP berlangsung, membina ruang autonomi
pembelajaran dan menselarikan ruang pembelajaran fizikal dengan ruang pembelajaran
mental. Antara contoh susunan bilik darjah abad ke-21 adalah seperti yang berikut:

Susun atur meja merupakan antara perkara yang sangat ditekankan dalam pelaksanaan
PAK21 lantaran susunan yang dicadangkan ini memudahkan para guru dan pelajar untuk
menjalankan aktiviti yang bercirikan PAK21 seperti aktiviti berkumpulan, gallery walk dan
jigsaw learning yang mana memerlukan pelajar dan guru untuk bergerak aktif. Menurut
rekod unjuran oleh panel PPPM, semua sekolah di Malaysia telah pun berjaya
membudayakan sepenuhnya bilik darjah abad ke-21. Namun begitu, pelbagai faktor luaran
dan dalaman telah menjadi halangan yang melumpuhkan pelaksanaannya. Masih terdapat
kalangan guru yang kurang mahir dan tiada pendedahan serta kemahiran untuk
mengendali dan mengurus bilik darjah abad ke-21. Terdapat juga guru-guru yang telah
lama berkhidmat dan selesa dengan teknik pengajaran tradisional. Golongan seperti inilah
yang menjadi halangan pelaksanaan pengurusan bilik darjah abad ke-21 yang efektif.
PENUTUP

Usaha kerajaan untuk memurnikan pembelajaran abad ke-21 adalah bertujuan untuk
meningkatkan tahap keberhasilan pelajar. Banyak sekolah yang tidak berjaya
mengimplimentasikan PAK21 secara menyeluruh disebabkan beberapa halangan dan
ancaman seperti mempunyai capaian internet yang perlahan, kekangan masa guru dan
kekurangan fasiliti bilik darjah itu sendiri. Capaian internet yang perlahan menghadkan
sumber bahan bantuan mengajar dan untuk guru merancang PdP yang menarik dan
pelbagai. Pelbagai cara boleh dijalankan bagi mengatasi kelemahan sekolah dalam
melaksanakan PAK21. Antaranya ialah dengan memberi pendedahan bahan kursus
kepada guru agar para guru ini mempunyai panduan dan mampu untuk menjadi lebih
mahir dan berpengetahuan mengenai cara pelaksanaan PAK21. Pemantauan secara
berkala dan berterusan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga penting
bagi memastikan pihak sekolah dan guru tidak lalai serta rajin untuk bekerja lebih
merancang aktiviti PdP yang pelbagai. Peranan guru adalah sangat penting dalam
memastikan kelangsungan pelaksanaan PAK21 dalam bilik darjah.
RUJUKAN

Listyowulan, W. S. (2013). Transformasi Pendidikan: Pembelajaran Abad Ke-21. dalam


berita yang berjudul, Transformasi Pendidikan: Pembelajaran Abad Ke-21, di dalam
http://www. uny. ac. id/berita/transformasi-pendidikan-pembelajaran-abad-ke-21.
html. Diambil pada tanggal, 27.

PANDUAN LENGKAP Pembelajaran Abad 21. (2017). Cikguhailmi.com. Dimuat turun


pada 16 Ogos 2017, daripada http://www.cikguhailmi.com/2017/01/pembelajaran-
abad-21.html

Pelaksanaan Pembudayaan Pak 21 - Lessons - Tes Teach. (2017). Tes Teach with
Blendspace. Dimuat turun pada 16 Ogos 2017, daripada https://www.tes.com/lessons/
HNtv9nXMwYXa6A/pelaksanaan-pembudayaan-pak-21

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2013). Putrajaya.

Zubaidah, S., & Malang, J. B. F. U. N. (2016). Keterampilan Abad ke 21: Keterampilan


yang Diajarkan melalui Pembelajaran. In Makalah disampaikan pada Seminar Nasional
dengan Tema Isu-Isu Strategis Pembelajaran MIPA Abad 21 di STKIP Perdana Katulistiwa
Sintang.