Anda di halaman 1dari 28

BAB 2

KAJIAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Pembangunan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang

terlalu pantas telah mempengaruhi gaya hidup manusia pada hari ini. Internet

merupakan salah satu pemangkin dalam ICT di mana ia adalah satu jaringan komputer

yang saling terhubung secara global yang memungkinkan pengguna internet saling

bertukar informasi dan data melalui jaringan tersebut (Mohd Aizaini Maarof, 2006: 23).

Teknologi ini terus berkembang sehingga memenuhi keperluan masyarakat untuk

mewujudkan satu komuniti maya atas talian (on-line) yang efektif sehingga munculnya

laman sesawang sosial. Laman sesawang sosial ini telah memainkan peranan sebagai

satu medium komunikasi sejagat sehingga menjadi satu budaya dalam kehidupan

masyarakat masa kini terutama remaja. Akan tetapi, apabila budaya tersebut mula

sebati dalam diri seseorang, ia akan memberi kesan terhadap sistem kehidupan

manusia termasuk nilai-nilai akhlak yang dikaji dalam kajian ini.


2.2 Pengertian Akhlak

Agama Islam menganjurkan umatnya supaya memiliki akhlak yang baik. Merujuk

kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 25), akhlak memberi maksud budi pekerti,

kelakuan, tingkah laku manusia dan tabiat sama ada baik atau jahat. Menurut Ahmad

Mohd Salleh (2004: 180), akhlak dalam bahasa Arab iaitu jama daripada kata khuluq

yang membawa maksud kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap, tabiat dan tingkah

laku. Maksud ini terkandung dalam ayat-ayat yang berkaitan akhlak Nabi Muhammad

s.a.w yang dikatakan oleh Aisyah r.a yang bermaksud Akhlak Rasulullah s.a.w adalah

al-Quran. Maknanya, apa yang disebut dalam al-Quran mengenai sifat yang baik,

maka sifat itulah yang ada pada diri Nabi Muhammad s.a.w. Manakala segala sifat

buruk yang disentuh dalam al-Quran adalah sifat yang tidak ada pada Baginda.

Menurut Asmawati Suhid (2009: 15), akhlak diberi pengertian sebagai perangai atau

tabiat kerana ia dimiliki oleh individu sejak lahir lagi. Beliau juga menjelaskan definisi

yang diberikan oleh Imam al-Ghazali bahawa akhlak ialah satu gambaran daripada

keadaan dalam diri yang telah sebati, yang daripadanya lahir tingkah laku yang mudah

dicerna tanpa memerlukan pengulangan. Menurut Imam al-Ghazali juga, akhlak ialah

kebiasaan manusia yang tetap yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang itu

dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan atau tingkah laku.

Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji menurut akal, ia dinamakan

akhlak yang baik tetapi jika perbuatan atau tingkah laku itu keji, ia dinamakan akhlak

yang buruk (Mohd Liki Hamid, 2003: 117).

16
Menurut Dr Migdad Yalchin, akhlak adalah prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah yang

ditentukan oleh wahyu untuk mengatur perlakuan, membatasi (membentuk)

hubungannya dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudannya di dunia

ini secara yang paling sempurna (Ahmad Mohd Salleh, 2004: 182). Beliau juga

meringkaskan akhlak sebagai mengandungi aspek seperti sifat semula jadi yang dimiliki

oleh seseorang; sifat yang dimiliki oleh seseorang melalui latihan atau sebagainya yang

akhirnya sebati menjadi adat atau tabiat; dan dimensi batin atau kejiwaan dan zahir

dalam bentuk kelakuan.

Dasar dan prinsip akhlak di dalam Islam adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa

mengira bangsa, agama, kekayaan, politik, kuasa dan kewarganegaraan. Islam

menegah secara total apa jua bentuk diskriminasi kerana akhlak yang dianjurkan dalam

Islam adalah sesuai untuk semua lapisan masyarakat (Haneef, 1979). Menurut Dato Dr

Haron Din (2007: 5), akhlak mempunyai dua corak iaitu akhlak Islam dan akhlak

fasalafah atau etika. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumberkan wahyu al-Quran

dan Sunah. Sementara akhlak falsafah adalah akhlak yang berpunca daripada daya

usaha kemampuan pemikiran akal manusia. Akhlak Islam bersumberkan kepada

kekudusan yang mutlak sementara akhlak falsafah atau etika adalah akhlak daripada

sumber tidak kudus, tidak mutlak dan tidak tetap.

Berdasarkan pengertian dan konsep akhlak di atas, dapat disimpulkan bahawa akhlak

adalah sifat yang terkandung dalam jiwa seseorang yang dizahirkan melalui perbuatan

sama ada baik atau buruk pada pandangan manusia. Akhlak baik ialah akhlak

mahmudah iaitu amanah, jujur, bercakap benar, merendah diri, pemurah, sabar,

syukur, menepati janji dan pemaaf. Manakala akhlak buruk ialah akhlak mazmumah

iaitu bohong, takbur, dengki, khianat, bakhil, marah, dendam dan mengumpat. Oleh itu,

17
kajian ini adalah untuk mengenal pasti kesan Facebook terhadap akhlak pelajar sama

ada akhlak baik atau akhlak buruk yang dibahagikan kepada akhlak fardiyah, akhlak

usariyah dan akhlak ijtimayah.

2.3 Kepentingan Akhlak

Akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam kerana ia merupakan antara ciri

yang membezakan manusia dengan haiwan. Manusia tanpa akhlak yang baik akan

hilang taraf kemanusiaanya. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan persoalan akhlak.

Bagi menunjukkan kepentingan akhlak dalam kehidupan manusia, perutusan Nabi

Muhammad s.a.w merupakan simbol kepada kepentingan akhlak dalam Islam. Ini jelas

daripada sabdanya dalam Riwayat Bukhari iaitu Sesungguhnya aku diutuskan untuk

menyempurnakan akhlak yang mulia. (Aa Gym, 2007: 51). Ini bermakna, Nabi

Muhammad s.a.w bukan sahaja menyempurnakan risalah nabi dan rasul yang

terdahulu, bahkan menyempurnakan pembinaan akhlak.

Menurut Ahmad Mohd Salleh (2004: 183), Islam menghubungkan akhlak dengan

keimanan seseorang dan menganggap orang yang paling mulia akhlaknya itu sebagai

orang yang paling tinggi darjat keimanannya. Nabi Muhammad s.a.w juga pernah

menyifatkan agama atau ad-din itu sebagai akhlak yang baik. Islam amat menyanjung

penganut-penganutnya yang berakhlak mulia. Nabi Muhammad juga menganggap

orang yang berakhlak mulia sebagai orang yang paling Baginda kasihi dan akan dapat

duduk berdekatan sahabat-sahabatnya pada hari kiamat. Sabda Baginda dalam

Riwayat Tirmizi iaitu Orang yang paling aku kasihi antara kamu dan yang paling dekat

kedudukannya denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya.

18
Berdasarkan perkara diatas jelas bahawa pentingnya akhlak dalam kehidupan

seseorang itu. Akhlak sangat penting dan besar pengaruhnya dalam membentuk

perbuatan manusia dan apa sahaja yang lahir daripada manusia itu sendiri. Menurut

Ahmad Mohd Salleh (2004: 188), pentingnya akhlak dapat dilihat dari segi

pertimbangan iaitu sebelum membuat atau meninggalkan sesuatu perbuatan, manusia

terlebih dahulu memikirkan apa yang dibuat atau tidak itu sesuai dengan sifat-sifat yang

ada dalam jiwanya. Walau apa pun keputusan yang diambil, haruslah lahir dorongan

dan keinginan untuk membuat atau meninggalkannya yang didahului oleh

pertimbangan dan penilaian Islam. Islam menekankan agar manusia berpegang

kepada norma-norma akhlak dan mencintai akhlak yang baik, serta berusaha

melaksanakannya dalam kehidupan. Daripada penerangan ini, dapat dikatakan

bahawa akhlak dapat mendorong seseorang melakukan perbuatan baik dan

membataskan seseorang itu melakukan perbuatan jahat melalui pertimbangan sebelum

membuat sesuatu keputusan. Selain itu, sebagai bukti kesempurnaan akhlaknya,

seseorang yang beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, khusus setiap remaja

Muslim perlulah mengamalkan ke semua ajaran Islam dan perlu menghayatinya serta

mengamalkannya secara menyeluruh dalam kehidupan seharian. Remaja yang

berakhlak mampu membuat pertimbangan yang wajar dalam menghadapi dan

menangani permasalahan hidup dalam masyarakat. Keperibadian dan akhlak yang

rendah akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya dan norma

negatif, yang wujud dalam persekitarannya.

Jika dilihat dari sudut kajian ini, apabila Facebook memberi pengaruh yang besar dalam

diri seseorang pelajar itu, ia sedikit sebanyak akan mengawal kehidupan seharian

pelajar tersebut. Melalui pengaruh ini juga, akan lahirnya sifat, perbuatan atau tingkah

laku yang menggambarkan akhlak pelajar. Malah, cara atau tujuan pelajar

19
menggunakan Facebook juga dapat memperlihatkan akhlak pelajar tersebut.

Contohnya, sekiranya pelajar menggunakan Facebook bagi tujuan positif seperti

menambah ilmu pengetahuan dan rakan, secara tidak langsung ia akan

memperkayakan lagi akhlak baik yang ada dalam diri pelajar tersebut. Namun,

sekiranya Facebook digunakan bagi tujuan negatif seperti melayari laman sesawang

lucah dan melakukan khianat, maka ia akan memperkayakan akhlak yang buruk dan

mengurangkan akhlak yang baik dalam diri seseorang pelajar terebut.

Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih pelajar sebagai responden utama kajian.

Pelajar adalah generasi muda yang merupakan pelapis dan pemimpin masa hadapan.

Namun, arus kepimpinan masa kini berada di persimpangan kerana semakin ramai

individu yang ghairah ingin memimpin dari yang rela dipimpin. Kepimpinan alaf baru

turut berhadapan dengan tamadun kemanusiaan yang serba pincang dan lemah dari

sudut moral dan akhlak (Aminuddin Ruskam al-Dawany, 2004: 55). Malah, seorang

pemimpin berjaya seharusnya mempunyai akhlak yang baik. Ini menunjukkan akhlak

yang baik merupakan elemen utama harus dimiliki oleh generasi muda bagi melahirkan

pemimpin berjaya.

Dr Abdullah Darraz telah mengklasifikasikan akhlak Islam kepada lima kategori iaitu

akhlak fardiyah (individu), akhlak usariyah (kekeluargaan), akhlak ijtimayah

(kemasyarakatan), akhlak daulah (negara) dan akhlak diniyah (agama). Keseluruhan

kategori ini menjadi bidang dan ruang cakupan akhlak Islam, bermula daripada

pembentukan peribadi, keluarga, masyarakat hingga kepada pembentukan negara dan

peradaban (Ahmad Mohd Salleh, 2004: 187). Namun, kajian ini ingin melihat pengaruh

dan kesan Facebook kepada akhlak pelajar dalam kategori akhlak fardiyah, akhlak

usariyah dan akhlak ijtimayah.

20
2.4 Perkembangan Facebook

Perkembangan Facebook bermula daripada revolusi laman sesawang sosial. Menurut

Boyd dan Ellison (2007) dalam satu kajian bertajuk Perkembangan Teknologi Maklumat

dan Komunikasi: Penggunaannya Dalam Industri Penerbitan (Siti Ezaleila Mustafa,

2010), mendefinisikan laman sesawang sosial sebagai perkhidmatan yang

membolehkan individu melakukan perkara seperti membina profil publik atau

semipublik dalam sesuatu sistem, menyediakan senarai pengguna lain yang berkongsi

hubungan (share a connection) serta melihat dan merentasi senarai hubungan mereka

dan yang dilakukan oleh orang lain dalam sistem itu.

Kebiasaannya, laman sesawang sosial ini mempunyai portal, forum, blog serta galeri

foto dan video. Setiap elemen yang digunakan oleh pengguna laman sesawang sosial

berhubungan antara satu sama lain dan menyumbang ke arah terbentuknya satu

komuniti. Laman sesawang sosial seperti Facebook, Bebo, MySpace, Twitter, Tagged

dan Friendster berjaya menarik perhatian berjuta-juta pengguna. Laman sesawang

sosial ini membolehkan komunikasi dalam kitaran hubungan yang lebih luas, di

samping mempunyai pelbagai aplikasi yang menarik seperti pembentukan laman

sesawang, diari, album foto serta memuat naik dan memuat turun muzik dan video.

Kini, salah satu laman sesawang yang paling popular dilayari oleh masyarakat dunia

untuk berinteraksi secara maya adalah Facebook. Berdasarkan statistik yang

dikeluarkan daripada CheckFacebook.com iaitu laman rasmi Facebook yang

memaparkan analisis dan statistik pengguna Facebook di seluruh dunia, jumlah

pengguna Facebook di seluruh dunia yang dikeluarkan pada tarikh 12 Mac 2011 adalah

631,127,240 pengguna. Manakala, jumlah pengguna Facebook di Malaysia adalah

21
10,138,760 pengguna yang terdiri darpada 5,393,420 pengguna lelaki (53.2 peratus)

dan 4,741,900 pengguna perempuan (46.8 peratus). Ini bermakna lebih 10 juta

pengguna Facebook di Malaysia (http://www.checkfacebook.com/. 12/03/2011).

Berdasarkan buku bertajuk Step By Step Facebook yang ditulis oleh Sartika Kurniali

(2009), Facebook diasaskan oleh seorang graduan Sains Komputer dari Universiti

Harvard iaitu Mark Zuckberg. Beliau adalah anak pasangan Edward dan Karen

Zuckberg yang dibesarkan di Amerika Syarikat. Bapanya adalah seorang doktor gigi

manakala ibunya seorang pakar perubatan. Dikatakan, Zuckberg seorang yang genius

komputer sejak kecil lagi dan semasa beliau pada umur belasan tahun, beliau telah

mencipta permainan komputer yang dinamakan Risk dan Synapse. Facebook telah

dilancarkan pada 4 Februari 2004 yang bertujuan memudahkan mahasiswa Universiti

Harvard berinteraksi antara satu sama lain. Bagaimanapun, atas permintaan ramai, ia

telah dikembangkan ke universiti di sekitarnya sehingga ke seluruh dunia.

Sejak kemunculan Facebook pada tahun 2004, penggunanya terus meningkat

sehingga melebihi kenaikan prestasi Friendster, iaitu laman sesawang sosial paling

popular yang diwujudkan pada tahun 2002. Kini, Facebook mempunyai hampir 700

juta pengguna di seluruh dunia. Aplikasi-aplikasi yang paling popular dalam kalangan

pengguna Facebook adalah FarmVille iaitu permainan menjadi petani, Album iaitu

membuat album foto atas talian, Name Analyzer iaitu permainan analisa nama, MP3

Player iaitu memasang aplikasi radio, Gift iaitu mengirim dan menerima hadiah, Events

iaitu membuat jadual acara, Group iaitu membuat komuniti atas talian dan Music Videos

iaitu melihat video atas talian (Hernita P, 2010: 15)

22
Terdapat satu penulisan ilmiah bertajuk Facebook dalam Perspektif al-Quran dan al-

Hadis (Fathurrahman Karyadi, 2010) yang membahaskan hukum Facebook dalam

tinjauan agama kerana melihat kepada kesan yang diterima masyarakat akibat

daripada Facebook. Penulis telah menyatakan bahawa di Indonesia, para ulama dari

Pondok Pesantran seJawa-Madura telah mengeluarkan fatwa Facebook adalah haram

sekiranya pengguna melayari Facebook dengan tujuan yang tidak baik sehingga

memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan orang lain. Contohnya, Facebook

digunakan untuk menyebarkan fitnah dan memutuskan tali persaudaraan. Namun,

sekiranya pengguna menggunakan Facebook untuk tujuan kebaikan seperti

mengeratkan silaturrahim serta menyebarkan dakwah dan ilmu, maka penggunaan

Facebook adalah tidak haram bagi seseorang itu. Penulis juga turut mengemukan

beberapa dalil yang boleh dikaitkan dengan Facebook sekiranya penggunaan dan

kesannya adalah baik.

Fenomena Facebook yang melanda dunia pada hari ini, telah menjadi satu budaya bagi

sebahagian besar pengguna internet terutama golongan pelajar. Ia dikaitkan dengan

ledakan maklumat yang berlaku secara global sehingga membawa kepada tercetusnya

revolusi dunia ketiga iaitu revolusi era digital atau teknologi maklumat. Dalam buku

bertajuk Pascamoden: Perbincangan Isu Sosial (Aminuddin Ruskam al-Dawany, 2004:

45), beliau ada membincangkan penulisan Marshall McLuhan dalam dua buah bukunya

iaitu The Gutenberg Galaxy: The Making of Typographic Man (1962) dan

Understanding Media: The Extensions of Man (1964). Menurut McLuhan, dengan

perkembangan teknologi komunikasi dan media, khususnya televisyen, komputer dan

internet, telah memungkinkan umat manusia hidup dalam dunia yang disebutnya global

village. Dalam sebuah desa besar ini, segala sesuatu dapat disebarluaskan,

dimaklumkan dan digunakan dalam dimensi ruang dan waktu yang seolah-olah

23
mengecut. Kini, setiap orang dapat melihat, mendengar dan mendapatkan informasi

dari segenap penjuru dunia. Batas ruang dan waktu seolah-seolah lenyap, dilipat

dalam sebuah layar kaca televisyen, disket ataupun internet. McLuhan melihat

fenomena ini sebagai kemenangan manusia moden untuk mengatasi ruang dan waktu.

Penulisan McLuhan ini bertetapan untuk diaplikasikan dengan fenomena Facebook

yang sedang melanda dunia kini. Melalui Facebook, pengguna di seluruh dunia, tanpa

mengira tempat dan waktu, saling dapat berkomunikasi dan berinteraksi serta

menyebarkan sebarang maklumat dengan mudah dan cepat. Berdasarkan penulisan

McLuhan, pengkaji dapat mengaitkannya dengan arus globalisasi. Proses globalisasi

ini berkembang secara meluas setelah kerajaan Soviet Union mengalami kejatuhan

pada tahun 1991. Keadaan ini adalah fenomena baru yang mencorakkan dasar dan

asas pemikiran manusia. Gagasan global ini meliputi seluruh kegiatan termasuk

ekonomi, politik, budaya dan pendidikan. Kehadiran teknologi dan kemajuan yang baru

dalam pengangkutan, perhubungan serta maklumat mempercepatkan lagi aliran dan

proses globalisasi.

2.5 Pengaruh dan Kesan Facebook Terhadap Masyarakat

Fenomena Facebook yang berlaku secara global ini dilihat amat memberi pengaruh

dan kesan terhadap masyarakat sama ada dari sudut negatif mahu pun positif.

Berdasarkan statistik bilangan pengguna Facebook di Malaysia bermula dari November

2010 hingga Januari 2010 yang dikeluarkan oleh SocialBakers.com iaitu sebuah laman

sesawang yang mengeluarkan statistik berkaitan dengan Facebook (rujuk Rajah 2.1),

berlaku peningkatan bilangan pengguna secara berterusan dan mendadak. Ini jelas

bahawa pengaruh Facebook di Malaysia begitu besar.

24
Rajah 2.1: Statistik Pengguna Facebook di Malaysia

(Sumber: http://www.socialbakers.com/facebook-statistics/malaysia#chart-intervals. 31/01/2011)

Tidak keterlaluan sekiranya pengkaji menyatakan bahawa Facebook dilihat seolah-olah

mempunyai kuasa dalam merubah kehidupan seseorang, masyarakat mahupun

negara. Ini dapat dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku kesan daripada

Facebook. Di London, Facebook didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes

penceraian apabila semakin ramai suami atau isteri ditangkap berkelakuan curang

dalam laman itu. Menurut seorang peguam, pengguna yang sudah berkahwin

berkecenderungan untuk menipu pasangan mereka apabila berkenalan dengan

pengguna Facebook yang lain (The Sun: 21 Disember 2009). Perkara ini juga berlaku

di Malaysia di mana, menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan

Keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zawiah bt Hassan, komunikasi

lemah antara pasangan dikenal pasti menjadi punca suami atau isteri beralih kepada

Facebook. Malah, didapati pasangan suami isteri terlalu mudah mempercayai dan

meluahkan perasaan mereka kepada orang yang tidak dikenali di Facebook (Utusan

Malaysia: 27 Disember 2010). Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

25
Datuk Dr Mashitah Ibrahim turut menyatakan sikap asyik melayan teman maya di

laman sosial seperti Facebook sehingga lupa kepada tanggungjawab menjadi antara

punca ramai pasangan Islam di Malaysia bercerai (Utusan Malaysia: 5 Mac 2011).

Kesan Facebook juga dapat dilihat dengan jelas ke atas perilaku remaja. Di Muar,

terdapat kes dua sahabat baik yang bertikam lidah dan bergaduh hingga bertindak

melampaui batas dengan seorang daripada mereka ditikam di khalayak ramai. Menurut

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, kes ini berpunca

daripada salah faham dan kutuk mengutuk yang berlaku dalam Facebook (Harian

Metro: 7 Oktober 2010). Terdapat juga kes di Lenggong, mengenai pelajar tingkatan

lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang cedera di mata dan dahi akibat

dipukul rakan sekelas selepas dituduh mencerobohi Facebook milik rakannya. Pelajar

berkenaan dibelasah dengan teruk selepas dituduh menceroboh akaun Facebook milik

rakannya kerana mengetahui kata laluan (Harian Metro: 4 Oktober 2010). Walaupun

kes ini kelihatan terpencil, namun ia menunjukkan kesan buruk akibat laman sesawang

sosial. Di Kuala Lumpur pula, satu pergaduhan besar telah berlaku apabila

sekumpulan 50 lelaki bertindak membelasah mangsa, seorang rakan mangsa dan dua

anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut. Kejadian ini berpunca

daripada pertemuan mangsa dengan seorang wanita yang baru dikenali melalui

Facebook sehingga diketahui teman lelaki wanita tesebut (Harian Metro: 7 Oktober

2010).

Terdapat juga kesan negatif juga berlaku kepada remaja perempuan. Menurut

Pengerusi Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia

(Sidim), Hanafi Abdul Malek, antara keburukan laman sesawang sosial adalah

pembentukan sikap lalai, keruntuhan rumah tangga dan mempengaruhi remaja berzina.

26
Menurut beliau lagi, Rumah Iman kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja

perempuan yang terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka

terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi

Facebook sehingga membawa kepada perbuatan zina (Harian Metro: 4 Oktober 2010).

Malah kini, populariti Facebook telah dijadikan platform kepada sindiket dadah

antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan yang terdiri daripada pelajar,

golongan profesional dan janda bagi direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Melalui Facebook, sindiket menggunakan ahli-ahli dalam kalangan lelaki tempatan yang

akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta. Meraka akan

dilayan dengan baik sepanjang tempoh bercinta malah dihadiahi barang-barang mewah

serta dibawa melancong ke luar negara. Setelah yakin, anggota sindiket akan

mengambil kesempatan itu untuk memperdayakan mangsa untuk membawa hadiah ke

luar negara. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit

Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, Facebook adalah taktik terbaru dikenalpasti

digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa (Utusan Malaysia: 16 Febuari 2011).

Berdasarkan kes-kes ini, jelas bahawa Facebook banyak memberi kesan negatif

kepada masyarakat terutama pelajar, walaupun tidak dinafikan terdapat juga kebaikan

Facebook seperti mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan serta

sebagai medium penyebaran maklumat yang mudah, murah dan pantas. Di London,

polis Britain akan melatih 3,500 pelatih baru cara mengesan jenayah di Facebook dan

Twitter bagi mendapatkan saksi. Ini adalah kaedah terkini untuk memerangkap

penjenayah kerana polis dapat mengesan individu yang ada kaitan dengan penjenayah

terbabit (Berita Harian: 30 Oktober 2010). Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga

dicadangkan supaya menggunakan khidmat Facebook sebagai alternatif dalam usaha

menyelesaikan kes jenayah. Menurut Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Negara

27
(NKRA), Abdul Aziz Md Noor, berikutan Facebook kini diguna secara meluas sebagai

medium perantara masyarakat, ia dapat membantu pihak berkuasa keselamatan untuk

memerangi jenayah. Contohnya dengan memaparkan gambar suspek bagi satu-satu

kes melalui Facebook, secara tidak langsung orang awam dapat menyalurkan

maklumat berkaitan kes itu kepada polis. Secara tidak langsung, ia dapat merapatkan

hubungan PRDM dengan masyarakat (Berita Harian: 21 Disember 2009).

Facebook juga dapat membantu masyarakat dalam menyebarkan maklumat ketika

dalam kesusahan atau darurat. Sepertimana yang berlaku ketika banjir di Brisbane,

Australia, Jawatankuasa Bencana Alam Pelajar Malaysia cuba mengesan 205 pelajar

dan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa banjir dengan menggunakan kaedah

menyiarkan iklan dalam Facebook (Utusan Malaysia: 30 Januari 2011). Begitu juga

ketika berlaku ketengangan politik di Mesir, pelajar Malaysia yang terperangkap di

Mesir menggunakan Facebook dan blog untuk menghebahkan tentang keadaan

mereka dan berhubung antara satu sama lain (Utusan Malaysia: 2 Febuari 2011).

Yang terkini, susulan gempa bumi yang belaku di Jepun, Persatuan Penuntut Malaysia

di Jepun (MSAJ) mengambil tindakan proaktif mengesan semua pelajar dengan

meminta semua pelajar mengemaskini kedudukan mereka melalui laman sesawang

persatuan dan Facebook (Utusan Malaysia: 13 Mac 2011).

Kini, penggunaan Facebook cukup meluas dan tidak sahaja mencakupi sekadar

perhubungan maya terhadap rakan-rakan yang dikenali. Perdana Menteri Malaysia,

Dato Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan antara jutaan pengguna Facebook yang

cukup aktif. Sejak mengambil alih pemerintahan Malaysia pada April 2009, beliau

mengambil keputusan untuk menggunakan Facebook sebagai salah satu bentuk

komunikasi yang boleh digunakan untuk mendekati rakyat dan mahukan rakyat

28
bersama-sama dalam pembangunan Malaysia secara tidak langsung. Penganjuran

aktiviti-aktiviti seperti sesi dialog dan Jamuan Minum Petang 1Malaysia bersama rakan-

rakan internet dapat memberikan gambaran positif dalam hala tuju pembangunan

Malaysia daripada segi kaca mata masyarakat.

Jelas bahawa, pengaruh Facebook banyak memberi kesan terhadap masyarakat sama

ada positif atau negatif. Ia bergantung kepada bagaimana individu atau masyarakat

dalam mengaplikasikan kegunaan Facebook. Sekiranya digunakan secara positif

kesannya juga pasti baik.

2.6 Teori-teori Berkaitan

Terdapat tiga teori yang boleh dikaitkan dengan pengaruh dan kesan Facebook

terhadap akhlak pelajar iaitu Teori Pertukaran Sumber, Teori Kegunaan dan Kepuasan

dan Teori Konflik.

2.6.1 Teori Pertukaran Sumber

Pengkaji menggunakan Teori Pertukaran Sumber kerana ia mengaitkan pengaruh

dengan perubahan tingkah laku. Dalam konteks kajian ini, pengaruh Facebook akan

memberi kesan kepada pengguna dari segi perubahan tingkah laku atau akhlak.

Menurut French dan Raven (1959) konseptualisasi pengaruh adalah sebagai proses

psikologi timbal balas yang terlibat agen mempengaruhi secara paksaan untuk berubah

dan sasaran pula menunjukkan paksaan bagi menghalang perubahan. Oleh itu,

29
tingkah laku sasaran terhadap percubaan mempengaruhi itu berbeza apabila tiada

percubaan mempengaruhi (Dr Mohd Fadzilah Kamsah et al., 2005: 75). Dalam konteks

kajian ini, pengkaji meletakkan agen adalah laman sesawang Facebook manakala

sasaran adalah pelajar. Jelas bahawa, penularan pengaruh Facebook dalam kalangan

masyarakat, khususnya adalah disebabkan tiadanya percubaan yang mempengaruhi

secara paksaan, oleh itu pelajar juga menerimanya tanpa ada paksaan. Ini juga

disebabkan oleh faktor fenomena Facebook itu sendiri yang menjadi budaya dalam

masyarakat sehingga ia menjadi kebiasaan kepada mereka untuk menerima budaya

baru ini.

Interaksi sosial yang berlaku dalam masyarakat melibatkan aktiviti-aktiviti pematuhan

dan penentangan tanpa mengambil kira latar belakang anggota masyarakatnya dari

segi umur, jantina, status sosial dan taraf perkahwinan (2005: 80). Dalam kajian ini,

aktiviti pematuhan adalah menerima pengaruh tanpa paksaan, manakala aktiviti

penentangan adalah paksaan bagi menghalang pengaruh. Teori yang mendasari

konsep pematuhan dan penentangan adalah Teori Pertukaran Sumber. Pengkaji-

pengkaji yang terlibat dalam bidang ini adalah Blau (1967), Homans (1961) serta

Thibaut dan Kelly (1959).

Menurut Foa (1972), sumber boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian iaitu

cinta, status, maklumat, perkhidmatan, barangan material dan wang. Sumber-sumber

adalah berbeza mengikut kepentingannya dan situasi. Melalui interaksi sosial,

pertukaran sumber akan berlaku. Mereka akan mendapat sumber-sumber yang

mereka ingini serta memberi sumber-sumber yang mereka miliki (2005: 82). Dalam

konteks kajian ini, pelajar melayari Facebook untuk mendapatkan sumber yang diingini

iaitu perkhidmatan (aplikasi permainan, medium perhubungan dengan rakan dan

30
mencari teman baru). Manakala bagi Facebook (syarikat yang mengendalikan

Facebook), ia memberikan sumber (perkhidmatan) kepada pengguna untuk

mendapatkan sumber lain iaitu status dan wang. Contohnya, Facebook telah

menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengguna dan sentiasa mempertingkatkan

mutu perkhidmatan mengikut keperluan pengguna bagi mendapatkan keuntungan dan

mengekalkan status sebagai laman sesawang sosial yang paling popular di dunia.

Dalam masa yang sama, pengguna akan sentiasa melayari Facebook kerana

perkhidmatan yang terdapat dalam Facebook menepati keperluan mereka.

Berdasarkan teori ini juga, tingkah laku dapat diubah melalui pemberian ganjaran dan

hukuman di mana ia boleh diinterpretasi sebagai memberi dan mengambil sumber

(2005: 82). Jelas bahawa dengan perkhidmatan yang ditawarkan melalui Facebook,

sekiranya ia menepati sumber yang diingini pelajar, ia akan mengubah tingkah laku

pelajar. Ada setengah individu bertindak menolak pengaruh apabila sumber-sumber

yang ditawarkan tidak bersesuaian dan menarik minat. Namun, keinginan untuk

pematuhan (menerima pengaruh) pasti ada kerana individu mencari sumber-sumber

untuk ditambah terutamanya sumber yang kurang dimilikinya. Dalam konteks kajian ini,

apabila Facebook memberi perkhidmatan sepertimana yang diperlukan oleh pelajar, ia

akan mengubah tingkah laku pelajar seperti melayari Facebook dalam jangka masa

yang lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Ini kerana pelajar

akan sentiasa patuh (menerima pengaruh) bagi memenuhi keperluan atau sumber yang

ingin dimiliki.

31
2.6.2 Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak

Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak (Uses and Gratifications Theory)

diadaptasi dari Teori Fungsionalis yang diperkenalkan oleh para sosiologis termasuk

Micheal Gurevitch, Jay Blumler dan Elihu Katz. Teori ini menyatakan bahawa orang

secara aktif mencari media tertentu dan perkhidmatan tertentu untuk menghasilkan

kepuasan tertentu. Teori ini menganggap orang aktif kerana mereka mampu

mempelajari dan menguasai pelbagai jenis media untuk mencapai tujuan komunikasi

(Maria Natalia Damayanti Maer, 2008: 101). Dalam konteks kajian ini, orang aktif

adalah pelajar yang menggunakan Facebook untuk pelbagai tujuan bagi memenuhi

kepuasan diri.

Rosengren (1974) melakar model Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak (rujuk

Rajah 2.2) yang menerangkan bagaimana ciri-ciri individu yang berlaianan watak

menggunakan saluran media untuk memuaskan kehendak dan untuk menyelesaikan

masalah. Individu tertentu mempunyai tujuan yang berlainan untuk menyokong

perlakuannya (Saodah Wok et al., 2006: 203). Dalam konteks kajian ini, ia merujuk

kepada tujuan pelajar melayari Facebook. Setiap pelajar mempunyai tujuan dan alasan

masing-masing untuk melayari Facebook.

32
3. Masyarakat (termasuk struktur media)

4. Tanggapan 7. Penggunaan
Masalah Media

1. Keperluan 6. Tujuan 6. Tujuan


Asas

4. Tanggapan 8. Perlakuan lain


Penyelesaian

2. Karekter Individu

Rajah 2.2: Model Teori Penggunaan dan Pemuasan Kehendak

(Sumber: Saodah Wok et al., 2006: 103)

Merujuk kepada teori ini juga, setiap individu tertentu seperti pengguna Facebook

mempunyai tujuan dan alasan yang berlainan untuk menyokong perlakuannya. Ia juga

bergantung kepada kriteria-kriteria yang diinginkan individu untuk mencapai kepuasan

(Maria Natalia Damayanti Maer, 2008: 104). Contohnya, setiap individu pelajar

mempunyai tujuannya yang tertentu semasa mengakses laman sesawang tersebut

33
untuk mencapai kepuasan diri seperti menghilangkan tekanan belajar, mencari

keseronokan dan menambah ilmu pengetahuan. Oleh itu, mereka memilih untuk

melayari Facebook bagi memenuhi keperluan dan kemudahan yang diingini oleh

pelajar tersebut.

Daripada perspektif teori ini juga, kepuasan individu terutamanya pelajar dalam

menggunakan Facebook mempunyai kesan baik dan buruknya bergantung kepada

cara ia digunakan selain dapat membantu menyokong perlakuan (tingkah laku) dalam

melakukan sesuatu pekara ke arah kebaikan atau keburukan (2008: 105). Contohnya,

sekiranya pelajar itu mendapat kepuasan diri semasa melayari Facebook dengan

menambah rakan baru, maka setiap apa yang dilakukan oleh pelajar itu adalah untuk

mencapai kepuasannya iaitu menambah rakan baru. Ini juga menunjukkan pelajar itu

menggunakan Facebook bagi tujuan yang baik. Namun, sekiranya pelajar itu

mendapat kepuasan dengan melakukan perkara negatif, maka dia menggunakan

Facebook untuk mencapai kepuasannya seperti melayari laman sesawang lucah,

berinteraksi dengan menggunakan perkataan biadap dan menyebarkan fitnah.

2.6.3 Teori Pergantungan

Teori Pergantungan (Dependency Theory) dihasilkan oleh Ball-Rokeach dan DeFleur

(1976). Teori ini memberi gambaran bagaimana masyarakat memerlukan media massa

sehingga mewujudkan keadaan di mana mereka merasakan seolah-olah tugas harian

mereka tidak lengkap kalau tidak menggunakan media massa tersebut. Keadaan amat

memerlukan media massa ini dilihat sebagai pergantungan (Saodah Wok et al., 2006:

105).

34
Merujuk Rajah 2.3, darjah kebergantungan pengguna kepada maklumat media adalah

angkubah penting dalam memahami bila dan mengapa mesej-mesej media mengubah

kepercayaan, perasaan dan tingkah laku mereka. Terdapat pelbagai cara pengguna

bergantung kepada sistem media untuk memenuhi matlamat mendapatkan maklumat

bagi memahami dunia sosial seseorang, keperluan untuk bertindak dengan bermakna

dan berkesan di dalam dunia itu, keperluan untuk berhibur, kepuasan ekspresi semata,

atau untuk melarikan diri daripada masalah dan tekanan seharian. Semakin besar

keperluan dan seterusnya semakin kuat pergantungan, dalam hal-hal tersebut semakin

besar kemungkinan bahawa maklumat yang dibekalkan akan mengubah pelbagai

bentuk kognisi, perasaan dan tingkah laku (Noor Bahti Hj Badarudin, 1992: 311).

Dalam konteks kajian ini, apabila pelajar menjadikan Facebook sebagai budaya dalam

kehidupan mereka, dalam masa yang sama bertujuan untuk memenuhi keperluan diri,

tahap pergantungan terhadap media ini adalah tinggi bagi pelajar itu. Dengan erti kata

lain, semakin penting Facebook dalam kehidupan pelajar itu, maka semakin kuat

pergantungan pelajar kepada Facebook. Secara tidak langsung juga, apabila darjah

pergantungan dipertingkatkan, maka darjah perubahan dan konflik akan tinggi dalam

masyarakat (1992: 312). Maknanya, Facebook akan memberi kesan kepada

masyarakat sekiranya penggunaannya tidak dikawal.

Teori ini turut menyatakan apabila masyarakat menjalinkan hubungan saling

bergantung yang lebih kompleks dan mendalam, dan apabila mutu media bertambah

baik, media akan mempertingkatkan perkhidmatannya kepada pengguna (1992: 312).

Sepertimana juga Facebook yang sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatannya

memandangkan bilangan pengguna yang semakin meningkat dan permintaan daripada

pengguna yang ingin mempelbagaikan keperluan mereka semasa melayari Facebook.

35
Sistem Sosial Sistem Media
(darjah kestabilan berbeza-beza) (bilangan dan kepusatan fungsi
maklumat berbeza-beza)

Pengguna
(darjah kebergantungan kepada
maklumat media berbeza-beza)

Kesan
Kognitif
Afektif
Kelakuan

Rajah 2.3: Model Teori Pergantungan

(Sumber: Saodah Wok et al., 2006: 105)

2.6.4 Teori Konflik

Konflik atau conflictus berasal dari bahasa Latin yang bererti pertentangan. Pada

keseluruhannya, Teori Konflik membincangkan mengenai peranan struktur sosial.

Konsep-konsep yang berkaitan yang selalu dibincangkan oleh teori ini ialah seperti

pembahagian kelas sosial dalam masyarakat, konflik, perubahan sosial, alienasi kuasa

dan ideologi (Amir Hassan Dawi, 2006: 33).

36
Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber.

Secara analitikal, teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran

Weber. Pengkaji memilih Teori Konflik aliran Marx kerana bersesuaian dengan objektif

kajian. Dua perkara utama yang diutarakan iaitu, pertama, teori ini melihat akses atau

peluang yang tidak sama terhadap sumber-sumber yang terhad yang ada dalam

struktur sosial. Kedua, ia melihat bagaimana ketegangan yang berpunca daripada

ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan (2006: 33).

Pengkaji melihat perkara kedua menjadi fokus utama untuk dikaitkan dengan kajian

kerana ia menghubungkaitkan antara konflik dan perubahan tingkah laku atau akhlak.

Ketegangan dan konflik yang berlaku akan menyumbang kepada perubahan sosial.

Dalam perbincangan Teori Pertukaran Sumber, Teori Penggunaan dan Permuasan

Kehendak serta Teori Pergantungan, dinyatakan berlakunya perubahan tingkah laku

apabila wujudnya pematuhan, keperluan pemuasan kehendak dan pergantungan

terhadap Facebook iaitu kesan daripada pengaruh Facebook. Maka, teori ini akan

menghubungkaitkan perubahan tingkah laku tersebut dengan konflik. Dalam konteks

kajian ini, perubahan tingkah laku pelajar yang berpunca daripada keterpengaruhan

terhadap Facebook telah menyebabkan berlaku perubahan sosial dalam masyarakat.

Perubahan sosial yang dimaksudkan adalah konflik yang timbul daripada perubahan

tingkah laku (akhlak) pelajar. Contoh perubahan tingkah laku adalah pergaulan bebas,

seks luar nikah, ponteng sekolah, berbohong, biadap dan mengabaikan tanggungjawab

sebagai pelajar. Dengan ini, teori ini jelas membuktikan bahawa akan wujud konflik

dalam masyarakat iaitu kesan negatif Facebook terhadap akhlak pelajar sekiranya

pelajar berada dalam situasi yang dibincangkan dalam Teori Pertukaran Sumber, Teori

Penggunaan dan Pemuasan Kehendak serta Teori Pergantungan.

37
2.7 Kajian Lepas

Menurut Mohd Effendi Mohd Matore (2010) dalam kajian beliau iaitu Facebook:

Fenomena Yang Membawa Ketagihan, Facebook adalah satu fenomena yang

menyerap dengan pantas dan dilihat sebagai tsunami baru selepas Myspace dan

Friendster. Ketagihan terhadap Facebook telah menembusi semua lapisan masyarakat

terutamanya pelajar. Berdasarkan hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh beliau ke

atas 50 orang pelajar (pengguna Facebook) untuk mengenalpasti tahap ketagihan

Facebook dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari,

didapati bahawa pelajar SMK Khir Johari mempunyai tahap ketagihan yang tinggi

terhadap Facebook. Pelajar lelaki pula didapati mempunyai tahap ketagihan Facebook

yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. Kajian juga mendapati jumlah masa

penggunaan Facebook sehari oleh pelajar yang paling dominan ialah sebanyak 2 jam

manakala jangka pengalaman menggunakan Facebook paling dominan ialah selama 3

tahun serta anggaran jumlah rakan yang paling dominan adalah antara 201 hingga 300

orang rakan. Didapati juga tidak terdapat perbezaan yang signifikan secara statistik

dalam tahap ketagihan Facebook bagi kumpulan pelajar lelaki dan perempuan dan

terdapat kolerasi yang lemah bagi mengaitkan tahap ketagihan Facebook dengan

pencapaian akademik. Berdasarkan kajian ini, jelas menunjukkan betapa Facebook

memberi kesan yang besar dalam kehidupan pelajar. Jika dilihat dari segi lokasi, SMK

Johari berada dalam daerah Tanjung Malim, yang merupakan sebuah pekan yang

terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Berdasarkan pemerhatian pengkaji,

pekan Tanjung Malim juga amat terhad dalam pembangunan seperti pusat membeli

belah, taman tema dan hiburan yang selalu menjadi tumpuan remaja. Ini juga dapat

meningkatkan tahap ketagihan pelajar terhadap Facebook sebagai satu medium untuk

menghiburkan diri.

38
Facebook juga merupakan salah satu eleman dalam perkembangan media elektronik

kerana ia menjadi medium komunikasi dan penyebaran maklumat secara global.

Menurut Mawaddah Abdullah (2008) dalam kajian beliau mengenai Pengaruh Media

Elektronik Terhadap Keruntuhan Akhlak Pelajar, media merupakan satu alat yang

mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku individu atau

masyarakat merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Media juga berperanan

dalam membina identiti bangsa dan budaya untuk pembangunan keseluruhannya

kerana ia mewujudkan dialog antara agama dan peradaban pelbagai bangsa di dunia.

Beliau juga turut menyatakan media massa bukan sahaja merupakan saluran maklumat

bagi memperoleh hiburan dan pengetahuan, tetapi juga mencorak pelbagai tingkah

laku sosial, budaya, perkembangan personaliti dan seterusnya memperkasakan kendiri

individu sama ada ke arah positif atau negatif. Dengan kata lain, pengaruh media

massa ini secara tidak langsung mempengaruhi tingkah laku masyarakat. Hasil

dapatan kajian yang dijalankan ke atas pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi

Malaysia mendapati, kecenderungan perkaitan antara pengaruh media elektronik dan

permasalahan akhlak pelajar adalah sederhana. Kajian juga mendapati faktor-faktor

seperti kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangan waktu siaran,

pemantauan ibu bapa dan penampilan personaliti televisyen berada pada tahap min

yang sederhana untuk dikaitkan dengan permasalahan akhlak pelajar. Pada pendapat

pengkaji, kajian ini sedikit sebanyak dikaitkan dengan fenomena Facebook. Ini kerana

kita sedia maklum bahawa media massa terutama televisyen merupakan teknologi

yang paling rapat dalam kehidupan manusia. Boleh dikatakan janggal sekiranya masih

ada masyarakat yang tidak mempunyai televisyen di rumah masing-masing. Sama

seperti melayari Facebook kini yang merupakan aktiviti tetap bagi sebahagian besar

pengguna Facebook. Melalui elemen-elemen penarikan yang diserap melalui aplikasi

Facebook, ia mampu memberi kesan terhadap masyarakat.

39
Berdasarkan kajian penulisan daripada Mohd Dahlan A Malek dan Ida Shafinaz

Mohamed Kamil (2010) yang bertajuk Jenayah dan Masalah Sosial Di Kalangan

Remaja: Cabaran dan Realiti Dunia Siber, menyatakan disebabkan generasi muda

masa kini terutama para remaja banyak menghabiskan masa dalam dunia siber, tidak

mustahil pelbagai bentuk jenayah yang melibatkan remaja boleh berlaku. Antara jenis

jenayah siber yang biasa berlaku yang melibatkan golongan remaja adalah seperti

penipuan, kecurian maklumat, kerosakan atau pengubahsuaian ke atas program atau

data komputer, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, skim cepat

kaya, pornografi, pedofilia, gangguan seks, ancaman dan fitnah. Dengan

perkembangan arus semasa, kebanyakan golongan remaja menggunakan siber untuk

menjalinkan hubungan sosial seperti menerusi Facebook, Twitter dan Friendster yang

menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan menarik lagi menyeronokkan yang

sememangnya menarik minat remaja untuk melayarinya. Tidak dapat dinafikan

bahawa laman sesawang sosial ini mempunyai banyak kebaikan seperti dapat

berhubung serta membincangkan isu-isu terkini melalui ruang siber, namun kini

penggunaannya telah disalahgunakan hingga menyebabkan peranan utamanya tidak

berlaku dengan berkesan sehingga banyak berlaku perkara-perkara negatif.

Tambahan lagi, apa yang menyebabkan internet begitu berpengaruh berbanding media

lain adalah sifatnya yang dapat menembusi sempadan negara yang menjadikannya

sukar disekat, ditapis dan dihalang. Maka dengan itu, bahan-bahan lucah seperti

pornografi dengan begitu mudah memasuki negara. Kandungan filem atau lagu dari

artis luar negara yang berunsur ganas, lucah dan bertentangan dengan moral, tulisan

yang bersifat menentang agama turut berleluasa dan meninggalkan kesan negatif

kepada remaja seterusnya membawa kepada keruntuhan akhlak.

40
Kajian yang dijalankan oleh David S.Wall (2005) juga mendapati terdapat hubungan

signifikan di antara penggunaan internet dengan jenayah yang berlaku. Antara

perlakuan jenayah dan masalah sosial yang melibatkan remaja adalah seperti

pornografi, penipuan, pelacuran, penyeludupan, peras ugut, aktiviti seks bebas, rogol,

cabul kehormatan dan penyalahgunaan dadah. Berdasarkan kajian-kajian ini, jelas

membuktikan penggunaan internet bukan sahaja memberi kesan dari segi masalah

sosial, malah membawa kepada perlakuan jenayah (Mohd Dahlan A Malek et al.,

2010).

Satu kajian juga turut dilakukan oleh Azhar Ahmad dan Dr Ab Halim Tamuri (2006)

mengenai Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah. Kajian ini telah dilakukan

bagi mengenalpasti tahap penghayatan akhlak dalam kalangan pelajar sekolah

menengah yang telah melalui proses pendidikan sekurang-kurang 15 tahun di peringkat

sekolah rendah dan sekolah menengah. Kajian ini mendapati status keseluruhan

penghayatan akhlak peribadi pelajar adalah pada tahap sederhana tinggi. Namun,

terdapat pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa aspek akhlak kritikal

seperti kewajipan solat lima waktu, adab pergaulan dan pendedahan aurat. Sedikit

sebanyak ia memberi gambaran tentang punca kepada beberapa masalah sosial yang

dihadapi masyarakat kini. Berdasarkan kajian ini, dapat menunjukkan betapa lemahnya

pegangan akhlak pelajar untuk menangkis pengaruh negatif daripada menguasai diri

mereka. Ini ditambah lagi dengan fenomena Facebook yang diakui banyak memberi

hiburan yang melalaikan dengan terdapatnya unsur-unsur hedonisme melalui aplikasi-

aplikasi, akan melunturkan nilai-nilai akhlak baik dalam kalangan pelajar.

41
2.8 Kesimpulan

Secara ringkasnya, bab ini adalah bertujuan menerangkan serta menguatkan lagi

perbincangan mengenai tajuk kajian iaitu melalui perbincangan konsep akhlak,

kepentingan akhlak, perkembangan Facebook serta pengaruh dan kesan Facebook

terhadap masyarakat. Pengkaji juga turut mengemukan beberapa teori yang boleh

dikatkan dengan tajuk kajian bagi mengukuhkan lagi perbincangan dalam bab-bab

seterusnya. Beberapa kajian lepas berkaitan dengan tajuk kajian daripada beberapa

pengkaji yang terdahulu turut dilampirkan sebagai rujukan kepada kajian ini.

Secara keseluruhannya, kajian-kajian yang pernah dibuat mengenai kesan dan

pengaruh Facebook terhadap akhlak pelajar kurang mendapat perhatian. Ini kerana

perkembangan Facebook di Malaysia yang telah bermula pada tahun 2004, kini baru

mula menunjukkan kesan-kesan terhadap masyarakat. Namun, berdasarkan kes-kes

dan kajian-kajian yang berkaitan dengan bidang ini seperti laman sesawang sosial dan

internet, jelas menunjukkan terdapatnya kesan negatif mahupun positif dalam

penggunaan Facebook.

42

Anda mungkin juga menyukai