Anda di halaman 1dari 2

Faktor kelahiran tamadun

a) Kedudukan yang strategik. Kedudukan yang sesuai dapat membantu membangunkan


sesebuah penempatan dan membolehkan penduduk atau penerokanya memperoleh sumber-
sumber semula jadi untuk kelangsungan kehidupan. Faktor geografi yang merujuk kepada
kesesuaian lokasi telah dilihat menyebabkan kemunculan tamadun Cina di lembah Huang-He
dan Yang Tze. Selain itu, tamadun India di Lembah Ganges dan Brahmaputra, serta tamadun
Mesopotamia di Lembah Tigris dan Euphrates, dan tamadun Mesir di Lembah Nil. Begitu
juga dengan tamadun Melaka di pinggiran Selat Melaka.
b) Kemajuan teknologi. Penggunaan logam seperti tembaga, gangsa dan besi.
Penciptaan pelbagai alat dan teknologi pertanian seperti tajak dan terusan menyebabkan
pertanian diusahakan dengan meluas. Penggunaan bajak menyebabkan manusia mula
menggunakan tenaga haiwan bagi membantu meringankan pekerjaan mereka. Manusia telah
berjaya mencipta pelbagai peralatan daripada tembikar.
c) Rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan rohani mendorong
manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci, seterusnya membawa
kepada kehidupan bertamadun. Sesebuah masyarakat yang menghayati kehidupan beragama
akan berusaha memastikan kehidupan mereka mencapai kesempurnaan kemanusiaan, agar
dapat melahirkan ketinggian budaya hinggalah membawa kepada kehidupan bertamadun.
Kemunculan tamadun Islam misalnya begitu dipengaruhi oleh rangsangan nilai daripada
penghayatan cara hidup Islam yang kamil berserta dorongan langsung daripada risalah wahyu.
d) Pembangunan ilmu dan penghayatan nilai. Penghayatan yang tinggi terhadap moral dan
nilai terpuji oleh pemimpin dan masyarakatnya. Nilai-nilai murni yang wujud pada
masyarakat pastinya menggalakkan kecintaan kepada ilmu dan nilai-nilai murni yang lain
seperti kreativiti, ketekunan, kerajinan, semangat berdisiplin dan sebagainya. Nilai-nilai
murni yang wujud pada pemimpin pula sudah pasti menggalakkan kepimpinan yang
berhemat, bertanggungjawab dan jujur yang seterusnya mendorong rakyatnya berganding
bahu untuk membangunkan negara. Penghayatan nilai-nilai murni telah direalisasi oleh
kesemua tokoh tamadun silam seperti Plato dan Aristotle dalam tamadun Yunani, Lao Tze
dan Kung Fu-Tze dalam tamadun Cina, Kautilya dan Samkara dalam tamadun India serta al-
Farabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun dalam tamadun Islam.
e) Tekanan kehidupan. Kesengsaraan hidup yang dialami oleh sesebuah masyarakat.
Kehidupan yang sengsara dan menderita boleh mendorong masyarakat bekerjasama
menggemblengkan tenaga untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu tersebut.
Situasi demikian boleh menjadikan masyarakat itu lebih berdisiplin dan kreatif untuk
membangunkan kehidupan mereka. Hakikat ini bersesuaian dengan pepatah Inggeris yang
menyatakan keperluan kehidupan merupakan ibu segala reka cipta. Dalam konteks zaman
moden, kemunculan negara Jepun sering kali dikaitkan dengan penderitaan masyarakatnya
selepas kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua.
f) Interaksi dengan tamadun lain. Toleransi yang tinggi terhadap sumbangan tamadun-
tamadun yang lain. Semangat untuk mewujudkan interaksi antara tamadun merupakan satu
rangsangan dan dorongan kepada pemupukan kehidupan bertamadun. Toleransi
menggambarkan sikap keterbukaan untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada
tamadun-tamadun lain, yang akhirnya dapat membantu kemunculan tamadun baru. Sikap
sebegini diamalkan oleh tokoh-tokoh penting tamadun-tamadun sebelum ini jelas
menampakkan toleransi dan saling hubungan antara tamadun. Tamadun Islam contohnya
merupakan tamadun yang telah bersikap terbuka untuk menerima sumber-sumber ilmu
daripada tamadun Yunani, tamadun Parsi, tamadun India dan tamadun Cina.
Faktor merosot tamadun
a) Jurang kaya-miskin. Berlakunya ketidakadilan dengan wujudnya jurang perbezaan yang
begitu ketara antara golongan kaya dengan miskin. Sebagai contoh, situasi seperti ini dapat
diperhatikan di penghujung tamadun Romawi pada kurun ketiga dan keempat Masehi.
b) Penindasan dan kezaliman. Berleluasanya penindasan dan kezaliman sehingga persoalan
hak-hak kemanusiaan diketepikan sama sekali. Kehidupan bertamadun sudah tidak bermakna
lagi apabila sistem ketatanegaraan dan perundangan tidak dihormati malah dicabuli dengan
sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, wilayah-wilayah kolonial yang merupakan
sebahagian daripada tamadun Barat telah tumbang disebabkan penindasan dan kezaliman
yang dilakukan.
c) Keruntuhan akhlak/moral. Berlakunya keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat
terutama di kalangan pemimpin yang menandakan musnahnya penghayatan terhadap budi
pekerti yang murni dan mulia. Berdasarkan sejarah kemerosotan tamadun Yunani, tamadun
Romawi dan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan keruntuhan moral dan nilai terutama di
kalangan pemimpin. Seorang penyair Arab, Ahmad Shawqi (1868 - 1932) pernah menukilkan
dalam salah satu puisinya Sesungguhnya tertegaknya sesebuah umat itu adalah disebabkan
ketinggian akhlaknya. Sekiranya akhlak mereka hilang maka umat tersebut akan lenyap.
d) Sikap tertutup. Wujud sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan terutamanya
dari segi perubahan teknologi atau perubahan dalam struktur politik, ekonomi dan sosial.
Sikap sebegini pasti akan merencatkan daya kreativiti dan inovasi sesebuah masyarakat dan
seterusnya menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang beku atau jumud berpanjangan.
Seorang tokoh pemikir masa kini, Edward de Bono menyatakan bahawa sikap tertutup
merupakan halangan yang paling besar terhadap penganjakan paradigma (paradigm shift).
Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyyah mengalami keruntuhan
dan dalam disebabkan sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan
sosial.
e) Malapetaka/ bencana alam. Berlakunya malapetaka atau bencana alam yang
menyebabkan kerosakan secara besar-besaran. Faktor seperti ini juga merupakan salah satu
penyebab kemerosotan sesebuah tamadun. Bagaimanapun, faktor ini di luar kawalan manusia
untuk menghalangnya daripada berlaku.

Anda mungkin juga menyukai