Anda di halaman 1dari 5

3.

3 PUNCA-PUNCA STRES

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan guru berada dalam keadaan stres iaitu
faktor dalaman guru dan juga faktor luaran guru. Faktor dalaman guru merujuk isu-isu kesihatan
mental dan fizikal serta emosi manakala faktor luaran pula merujuk tanggungjawab yang dipikul
oleh guru dan hubungan sosial mereka dengan masyarakat luar.

3.3.1 BEBANAN KERJA YANG TIADA PENGHUJUNG

Salah satu pencetus stres dalam diri Cikgu Harun ialah bebanan tugas yang berlambak-
lambak. Menurut Maszuria, Salina, Marina dan Rosnah (2015), golongan guru pada masa kini
telah dibebani oleh pelbagai tugas seperti menguruskan kokurikulum serta beberapa kerja
tambahan yang lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa. Muhammad Sukri (1998)
dalam kajiannya pula mendapati purata guru bekerja dalam sehari ialah sekitar 13.61 jam. Hal
ini akan menyebabkan guru tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlakuan
mengajar yang sebenar kerana fokus dengan bebanan tugas yang berlebihan. Contohnya,
Cikgu Harun perlu memikul tugas untuk menyediakan kertas cadangan bagi pelaksanaan
Kempen Bulan Bahasa, menyediakan soalan peperiksaan Bahasa Malaysia, menyediakan
bahan-bahan utnuk kegunaan kelas tambahan, mengurus pembelajaran murid, menjadi
penasihat Persatuan Bahasa Malaysia dan menyemak kertas peperiksaan selain kerja-kerja
sampingan yang diberikan oleh pihak sekolah. Selain itu, Cikgu Harun juga perlu memastikan
komitmen terhadap keluarga dan komitmen terhadap aktiviti sosial di luar tidak terjejas dengan
keperluan memenuhi tuntutan tugasan di sekolah. Kerja-kerja tersebut nampak mudah pada
mata masyarakat, namun, bebanan tugas itu hanya difahami apabila mereka bergelar guru.
Pada pendapat penulis, walaupun Cikgu Harun mempunyai kecekapan yang tinggi dalam
menjalankan tugasnya, beban kerja yang melampaui batas kemampuannya akan menyebabkan
prestasi kerjanya menurun akibat kepenatan fizikal. Bebanan kerja yang perlu ditanggung oleh
Cikgu Harun amat berat dan hal ini menyebabkan beliau stres dalam kehidupan seharian.

3.3.2 MASALAH DISIPLIN MURID YANG TIDAK BERKESUDAHAN

Stres boleh berlaku kepada semua guru sama ada guru sekolah rendah mahupun
sekolah menengah. Berdasarkan hasil kajian yang dijalankan oleh Azizi dan Norliza (t.t.), faktor
yang paling mempengaruhi stres adalah faktor masalah disiplin murid yang mencatatkan nilai
min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Masalah disiplin murid di sekolah kini semakin meruncing
walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk menangani masalah ini.
Kajian juga dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf (2009) yang menunjukkan bahawa guru
tidak terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir murid yang kadang kala menyakitkan
hati. Antara contoh perlakuan murid yang membangkitkan stres dalam diri Cikgu Harun
termasuklah membuat bising di dalam kelas, tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,
bersikap biadap terhadap guru, tidak membuat kerja rumah dan mengganggu rakan-rakan lain
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Kebanyakan murid mengadu bahawa
mereka tidak faham bahasa Malaysia yang dituturkan oleh Cikgu Harun. Hal ini menambahkan
lagi tekanan emosi kepada Cikgu Harun kerana beliau perlu berikhtiar untuk menyelesaikan
masalah disiplin di dalam kelas di samping menyediakan bahan bantu mengajar yang dapat
memudahkan pemahaman murid bagi tajuk-tajuk yang diajar. Menurut Olivia (dlm. Abdullah
Sani, 2005), disiplin bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang
berkuasa serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan. Apabila Cikgu Harun perlu
berhadapan dengan masalah disiplin murid setiap kali sesi pengajaran bermula, maka beliau
nescaya berasa tertekan dengan keadaan tersebut untuk tempoh lama.
3.3.3 REFORMASI PENDIDIKAN YANG TIDAK MENENTU

Reformasi pendidikan merujuk pelaksanaan pelbagai dasar dalam sistem pendidikan


negara. Pelaksanaan pelbagai dasar dalam masa yang singkat menyebabkan Cikgu Harun
tertekan kerana tidak mampu menguasai dasar-dasar yang diperkenalkan. Antara kurikulum
pendidikan yang kerap berubah iaitu daripada Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR)
kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) dalam jangka masa yang singkat. Dalam pelaksanaan KSSR, dasar yang
diperkenalkan oleh kerajaan ialah 1 Bestari Net, Frog VLE, program i-Think dalam talian (KiDT),
mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT). Untuk memahirkan diri dalam kurikulum baru, semua guru termasuk Cikgu Harun perlu
menghadirkan diri ke kursus dan seminar untuk memperoleh pendedahan baharu. Hal ini
terbukti melalui kajian Azizi dan Norliza (2008) yang menyatakan bahawa faktor reformasi
pendidikan menjadi antara faktor utama stres dalam kalangan guru. Selain perlu memenuhi
tuntutan kerja yang banyak di sekolah, Cikgu Harun juga perlu membiasakan diri dengan
pengaplikasian Frog VLE, i-Think, KBAT pada setiap sesi pengajaran. Jadi, beliau terpaksa
bersifat lepas tangan semasa menguruskan aktiviti kokurikulum, menghasilkan kertas cadangan
dan sebagainya. Jelaslah bahawa Cikgu Harun berasa tertekan disebabkan pelaksanaan
reformasi pendidikan yang pelbagai.
3.3.4 HARAPAN YANG TINGGI DARIPADA IBU BAPA

Kini, guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan murid-murid yang mempunyai
masalah disiplin malah perlu berhadapan dengan ibu bapa yang menaruh harapan yang amat
tinggi kepada para guru untuk mendidik anak-anak mereka supaya cemerlang dalam pelajaran.
Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan
Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83%
daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa
murid yang mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak
mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Abu Bakar dalam artikelnya yang
dimuatkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 pula mengatakan bahawa ibu
bapa kebiasaannya akan mengukur kejayaan mutlak seseorang murid berdasarkan
kecemerlangan akademik semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang
pentingnya seperti kemahiran dalam bidang vokasional. Oleh sebab harapan daripada ibu bapa
yang terlampau tinggi, kebanyakan guru termasuk Cikgu Harun berasa stres. Kadang kala,
beliau juga terpaksa menerima tuduhan daripada ibu bapa apabila anak-anak mereka tidak
menyiapkan kerja rumah selama beberapa minggu. Walaupun sebenarnya nasihat sudah diberi
berkali-kali oleh Cikgu Harun, murid-murid masih tidak mendengar malah tidak mempedulikan
beliau. Maka, Cikgu Harun terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah untuk mengadakan
kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan murid-murid menyiapkan
kerja rumah agar harapan ibu bapa dapat dipenuhi.

3.3.5 KEKURANGAN EMPATI DARIPADA AHLI KELUARGA

Di samping itu, faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi dalam diri Cikgu Harun
adalah disebabkan oleh kekurangan empati daripada ahli keluarga. Setiap hari, Cikgu Harun
perlu memikul bebanan kerja yang bertimbun-timbun berkaitan dengan akademik, kokurikulum
dan pentadbiran. Beliau juga sering membawa buku kerja yang setinggi gunung balik ke rumah
untuk ditanda. Malah, kadang kala, beliau perlu menghadirkan diri ke sekolah pada hari Sabtu
untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum siap. Hal ini telah menjadi punca pergaduhan
kerana isterinya sering merungut apabila Cikgu Harun menanda buku sehingga lewat malam.
Isterinya berpandangan bahawa beliau tidak mengambil berat tentang hal anak-anak dan
melepaskan tanggungjawab kepadanya. Kekurangan empati dan prihatin telah menyebabkan
stres dalam diri Cikgu Harun kerana isterinya sendiri tidak memahami tanggungjawabnya
terhadap sekolah, ibu bapa, masyarakat dan juga murid. Menurut Maszuria, Salina dan Marina
et.al. (2015), terdapat dalam kalangan guru yang terpaksa bekerja sambilan setelah selesai
waktu mengajar untuk mencukupkan pendapatan mereka. Untuk memberi kesenangan kepada
keluarga, Cikgu Harun berusaha mencari pendapatan lebih dengan mengajar tuisyen. Namun,
isterinya tidak memahami segala pengorbanannya selama ini. Isterinya juga berpandangan
kesibukannya melampau kerana tidak meluangkan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti
riadah bersama-sama ahli keluarga. Masalah keluarga dan masalah kewangan telah
mengundang tekanan emosi kepada Cikgu Harun yang sememangnya telah berkorban untuk
memenuhi keperluan keluarga semata-mata.

3.4 LANGKAH-LANGKAH MENANGANI STRES

Masalah bebanan tugas guru tidak pernah ada pasang surutnya. Merujuk keratan
akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 23 Januari 2008, mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan bahawa beban kerja guru pada masa kini adalah
terlalu berat. Maka, langkah-langkah menangani stres perlu diambil.

3.4.1 MENYEDIAKAN KHIDMAT KAUNSELING KEPADA GURU

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menyatakan bahawa guru yang


menghadapi tekanan dalam menjalankan tugas digalak agar mendapatkan khidmat kaunseling
di Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan.
(Sinar Harian, 23 April 2017)

Pihak pengurusan sekolah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti guru-
guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi seperti Cikgu Harun.
Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan kaunselor pentadbir yang berada di
Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri agar mengadakan sesi kaunseling
dapat diadakan bersama-sama Cikgu Harun untuk menangani stresnya. Melalui sesi
kaunseling, kaunselor yang professional akan membantu Cikgu Harun dengan sistematik
berasaskan prinsip psikologi. Dengan itu, Cikgu Harun boleh berkongsi masalah yang dialami
dan mencari jalan penyelesaian bersama-sama kaunselor. Khidmat kaunseling mampu
membantu Cikgu Harun memahami dan mengetahui bidang tugasan beliau dengan lebih baik.
Pada masa yang sama, Cikgu Harun dapat menyedari dan mencari kekuatan dan kelemahan
diri mereka agar dapat mengatasi tekanan emosi. Penulis amat bersetuju dengan pendapat
Sapora Sipon, Khatijah Othman & Othman Abdul Rahman (2013) bahawa berdaya tindak
merupakan faktor pengimbang dalam usaha individu untuk mengekalkan penyesuaian yang
berbentuk psikososial ketika berada dalam keadaan yang tertekan. Maka, penulis percaya
bahawa Cikgu Harun mampu mengendalikan stres dan dapat mengubah pemikiran selain dapat
mengembangkan kebolehannya ke satu tahap yang maksimum.

3.4.2 MENGINGATI ALLAH

Menurut Maszuria, Salina dan Marina et.al. (2015), guru-guru yang beragama Islam
perlu diberikan bimbingan oleh pihak pentadbiran sekolah dengan bantuan para ustaz atau
ustazah, para guru senior bagi meredakan tekanan stres yang terlampau. Hal ini penting agar
Cikgu Harun dapat sentiasa mengingati Allah dan kembali kepada Pencipta apabila dalam
keadaan senang mahupun susah. Apabila mengalami tekanan emosi, Cikgu Harun boleh
mengingati Allah dengan cara berzikir agar hati lebih tenang dan tidak terbeban dengan kerja-
kerja dunia yang memenatkan fikiran. Setiap cabaran yang diberikan adalah supaya setiap
hambaNya kembali menginsafi diri dan memohon kepadaNya.

28. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.
Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Ar-Rad : 28 )
Selain berzikir, ustazah di sekolah juga boleh membimbing Cikgu Harun membaca al-
Quran atau mendengar bacaan al-Quran melalui teknologi yang ada pada masa kini. Dengan
mendengar pembacaan al-Quran, fikiran Cikgu Harun akan menjadi tenang malah dapat tabah
hati dalam menghadapi ujian yang diberiNya. Bukan itu sahaja, Cikgu Harun juga digalakkan
untuk selalu berdoa kepada Allah dalam apa keadaan sekali pun. Dengan itu, beliau dapat
berkomunikasi dengan Pencipta dan mempercayai bahawa tentu ada hikmah di sebalik
kejadian. Kepercayaan tersebut diperkukuh kerana Allah tidak akan membebankan hambaNya
dengan sesuatu yang tidak termampu olehnya.

Anda mungkin juga menyukai