Anda di halaman 1dari 4

Dua atlet judo wanita negara, Nik Norlydiawati Nik Azman dan Siti Nor Aisyah Shahabuddin, turun

dengan misi berbeza apabila menghadapi Sukan SEA edisi ke-29 ini.

Norlydiawati menyasarkan untuk meraih apa jua warna pingat selepas kecewa dalam dua edisi
terdahulu sementara Aisyah yang baru berusia 18 tahun berhajat untuk mencipta kejutan.

"Saya agak berdebar kerana sebelum ini tidak berpeluang untuk merebut pingat.

"Kali ini saya akan cuba sehabis baik untuk menang.

"Ini peluang untuk saya merebut pingat kerana bukan senang untuk beraksi di tempat sendiri," kata
Norlydiawati yang muncul juara Kejohanan Judo Kebangsaan 2017 kategori 63kg wanita selain
ditabalkan Atlet Wanita Terbaik, Mac lalu.

Sementara itu, menurut Aisyah pula: "Dari segi pengalaman, dari awal-awal lagi saya sudah
bersedia.

"Memandangkan saya paling muda dalam skuad Malaysia, saya harap dapat menyumbang pingat
dalam Sukan SEA kali ini."

Skuad hoki dalam dewan negara tampak dalam persediaan terbaik untuk mengharungi kempen
Sukan SEA Kuala Lumpur selepas menamatkan siri perlawanan persahabatan dengan rekod tanpa
kalah.

Justeru, ia pasti meletakkan mereka dalam landasan terbaik untuk meraih pingat emas.

Skuad hoki dalam dewan lelaki menamatkan siri perlawanan persahabatan dengan Australia Barat
menerusi keputusan seri, 5-5.

Keputusan itu bermakna skuad hoki dalam dewan negara berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah
melalui tiga kemenangan dan dua keputusan seri.

"Kami akan berdepan Filipina dan Vietnam dengan mengintai kemenangan.

"Saya harap kami beroleh momentum kemenangan sebelum kami berjumpa dengan Thailand dan
Indonesia.

"Kedua-dua pasukan ini mempunyai tahap tinggi buat kami hadapi dalam Sukan SEA kali ini," ujar
ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki negara, Amin Rahim.

Skuad wanita pula akhirnya meraih kemenangan pertama apabila cemerlang menundukkan Australia
Barat, 4-4, selepas gagal melakukannya dalam empat perlawanan terdahulu.
"Dari perlawanan pertama dan terakhir ini, pemain-pemain semakin menyesuaikan diri di antara
separuh masa pertama dan kedua kerana apabila saya membuat lima pertukaran pemain, jurang
permainan nampak semakin dekat," kata ketua jurulatih hoki dalam dewan wanita kebangsaan,
Iman Gobinathan.

Sambutan meriah di Putrajaya memberi petanda baik menjelang hari terakhir Larian Obor KL2017
yang dijadualkan berlangsung di KL Sports City, Bukit Jalil, esok.

Berbaki lapan hari sahaja lagi menuju ke upacara pembukaan Sukan SEA Ke-29, Larian Obor KL2017
semakin menuju ke garisan penamatnya.

Ia dibawa ke Putrajaya hari ini dengan tumpuan sudah pasti menaiki belon udara panas di Dataran
Gemilang.

Permulaan larian kemudian akan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, di
Dataran Gemilang, tepat jam 7.30 pagi.

Ia kemudian melalui beberapa kawasan sekitar Putrajaya, antaranya Masjid Putra dan Istana
Kehakiman menuju ke penamat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Tinggal lapan hari sahaja lagi untuk upacara pembukaan Sukan SEA dan masa berlalu dengan cepat.

"Kita ada semua jawatankuasa yang sedang bergerak dalam melaksanakan persediaan terbaik untuk
memastikan kita dapat menganjurkan Sukan SEA edisi ke-29 ini sebagai yang terbaik," ujar Ketua
Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pengendali skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, mengharapkan tonggak senior untuk
menjelmakan aksi ampuh apabila berdepan Mongolia dalam aksi persahabatan pada hujung
minggu ini menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Aksi persahabatan dengan Mongolia adalah persiapan terakhir skuad negara sebelum memulakan
saingan dalam edisi ke-29 temasya dwitahunan itu.

Sehubungan itu, Chun Yong mengharapkan tonggak senior seperti Firdaus Razali dan Mohd Khairul
Efendy mampu memainkan peranan dalam memastikan aksi ampuh pasukan.

"Ini adalah salah satu daripada jangkaan saya untuk melihat mereka memperagakan aksi sebenar
dan memenuhi jangkaan yang saya harapkan.

"Banyak perkara yang akan saya nilai.


"Saya mahu melihat bagaimana cara mereka beraksi secara berpasukan selain aksi memberi tekanan
tinggi kepada lawan, termasuk taktikal ketika menyerang dan bertahan," katanya yang dilantik ketua
jurulatih setahun lalu.

Chun Yong turut tidak menolak kemungkinan Saiful Nizam Ali akan tersisih ekoran kecederaan.

Begitupun, beliau akan memantau tahap kecergasan pemain dari Melaka itu dan akan membuat
keputusan dalam masa terdekat sama ada akan memanggil pemain lain sebagai penggantinya atau
tidak.

"Tahap pemulihannya agak lembab.

"Saya bimbang dia tidak akan tersenarai, namun kami akan terus memantau perkembangannya."

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berharap pengubahsuaian Kinrara Oval mampu
menyuntik semangat pasukan kriket negara untuk menghadiahkan pingat emas Sukan SEA Kuala
Lumpur..

Kerja-kerja menaik taraf yang menelan belanja RM1.3 juta itu meliputi keseluruhan kawasan Kinrara
Oval seperti padang, bilik persalinan atlet, bilik doping dan beberapa kemudahan lain.

Kinrara Oval telah dibina pada 2003 dan sejak itu, ia telah menjadi venue penting untuk sukan kriket
di Malaysia. Antara kejohanan besar yang pernah dianjurkan di situ adalah Piala DLF yang
melibatkan Australia, India dan West Indies pada 2006.

"Venue ini sudah hampir disiapkan, mungkin dari segi penjenamaan akan kami tambah.

"Kami akan melengkapkannya dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Tetapi dari segi kemudahan awam dan tempat duduk penonton telah lengkap.

"Cuma saya sarankan kepada orang ramai yang ingin datang memberi sokongan di Kinrara Oval ini
agar menggunakan pengangkutan awam," kata Khairy.

Antara ciri-ciri menarik yang dinaik taraf meliputi penggunaan semula tempat duduk yang diambil
dari Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Turut diwujudkan adalah bilik balai tamu bersempena nama penaung Persatuan Kriket Malaysia
(MCA), Tunku Imran Tuanku Ja'afar atas jasanya ketika bergelar pemain serta menjawat jawatan
timbalan presiden selain mengabdikan segala trofi dan pencapaian atlet kriket negara dalam bilik
tersebut.

"Saya sangat gembira dengan bilik balai tamu ini.


"Mereka merahsiakannya daripada saya sehinggalah tiba masanya.

"Saya sangat gembira dan bangga mempunyai kaitan dengan sukan kriket," ujar beliau.

Jawatankuasa Penganjuran Malaysia (MASOC) untuk Sukan SEA Kuala Lumpur menyarankan orang
ramai yang akan hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan upacara pembukaan
Sukan SEA Kuala Lumpur agar menggunakan pengangkutan awam.

Saranan itu dibuat dengan mengambil kira penutupan jalan sepenuhnya dalam upacara pembukaan
itu nanti.

Justeru, langkah alternatif untuk memudahkan penonton hadir ke stadium dengan cepat dan lancar
ialah dengan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut MASOC, syarikat pengendali Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid KL dan Transit Aliran
Massa (MRT) akan melanjutkan perkhidmatan masing-masing sehingga jam 1 pagi.

Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga akan mengumumkan waktu lanjutan
perkhidmatan mereka dalam masa terdekat.

Sementara itu, perkhidmatan Rapid Rail menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk ke
destinasi venue Sukan SEA sehingga 31 Ogos nanti, manakala sebanyak 18,000 petak meletak
kenderaan di semua rangkaian perkhidmatan rel disediakan di sepanjang laluan ke Bukit Jalil.

Sukarelawan dan petugas media bakal menikmati perkhidmatan pengangkutan awam percuma
sepanjang Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN nanti.

Anda mungkin juga menyukai