Anda di halaman 1dari 1

Teori Kognitif / Mentalis

Teori Kognitif berkaitan dengan bahasa pertama. Tokoh-tokoh teori ini ialah Noam Chomsky,
Miller, Katz dan Lakoff. Menurut teori kognitif, manusia sejak lahir sudah mempunyai kebolehan
untuk menguasai bahasa. Kanak-kanak mempunyai keupayaan semulajadi untuk merumus dan
membentuk ayat-ayat mengikut sistem bahasa yang diperolehi dengan syarat kanak-kanak
terdedah kepada penggunaan bahasa tersebut. Selain itu, wujud jangkamasa tertentu yang
merupakan masa subur untuk bahasa berkembang dan sebaliknya.

Teori kognitif mengambil sudut pandangan Jean Piaget yang mengatakan bahawa otak
manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari banyak perkara. Proses pembelajaran
adalah proses mental. Menurut N. Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan kecekapan
semulajadi untuk menguasai bahasa sehingga tahap peringkat kematangan tertentu. Setiap
tahap kematangan kanak-kanak akan terbentuk hipotesis-hipotesis terhadap peraturan-
peraturan ahli masyarakatnya. Pembetulan kesalahan oleh ahli dalam masyarakat,
memperkukuhkan rumus-rumus bahasa yang tersimpan dalam otak.

Menurut Lenneberg pula, kanak-kanak yang sihat dan normal mulai bercakap dan bertutup
pada peringkat umur yang sama. Dalam konteks ini, perkembangan dan kebolehan berbahasa
adalah terjadual secara biologi. Apabila sampai masanya kanak-kanak tertarik kepada bunyi-
bunyian yang didengarnya dan dia dapat menajamkan pancainderanya. Oleh itu, kanak-kanak
berupaya memahami dan memilih bunyi-bunyi yang penting dan mengetepikan yang lain.

KESIMPULAN

Psikolinguistik adalah kajian tentang bahasa dan akal budi. Bidang psikolinguistik membuat
penyelidikan tentang apa yang berlaku dalam fikiran atau akal budi manusia iaitu apa yang
berlaku apabila seseorang memperoleh, memahami, menghasilkan dan menyimpan unsur-
unsur kebahasaan. Psikolinguistik merupakan disiplin ilmu yang mengkaji apa yang dikaji oleh
psikologi dan linguistik. Psikolinguistik juga memberi tumpuan terhadap mekanisme-mekanisme
mental khususnya peranan dan operasi mental ketika manusia berbahasa. Psikolinguistik
melibatkan kajian ke atas pemerolehan bahasa pertama. Pemerolehan bahasa pertama
dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor persekitaran, sosial, psikologi, pendedahan
bahasa dan motivasi.