Anda di halaman 1dari 5

LAPORAN REFLEKTIF KONSERT KOMUNITI ASEAN 2015

Pada 5 September 2015, sebuah konsert telah diadakan di Dewan Dato Razali
Ismail, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPIK) dari pukul 8.30 malam hingga
11.00 malam. Konsert tersebut merupakan Konsert Komuniti ASEAN yang dianjurkan
oleh Jabatan Pendidikan Muzik IPIK. Konsert tersebut disertai dan dijayakan bukan
sahaja oleh para pelajar IPIK, malah terdapat kerjasama daripada beberapa Institut
Pendidikan Guru yang lain iaitu Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa,
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh,
dan Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik. Setiap institut yang mengambil bahagian
telah mempersembahkan persembahan masing-masing yang berkaitan dengan
negara-negara ASEAN tertentu. Antara persembahan negara-negara yang telah
dilakukan adalah persembahan negara Malaysia, Cambodia, Singapura, Thailand,
Filipina dan Indonesia.

Sebagai pembukaan atau perasmian untuk pembukaan konsert tersebut, sebuah


persembahan nyanyian oleh para pelajar IPIK telah berlangsung. Persembahan lagu
Melayu iaitu Kurik Kundi telah memeriahkan suasana dewan dan berjaya menarik
perhatian setiap penonton di dewan. Lagu tersebut telah dinyanyikan dengan iringan
orkestra IPIK sendiri serta tarian. Selepas lagu tersebut, konsert diteruskan dengan
persembahan lagu Cina, lagu Hindi, lagu Tamil, dan lagu Thailand oleh IPIK. Setelah itu,
persembahan-persembahan yang diikuti adalah persembahan nyanyian koir, nyanyian
berkumpulan, nyanyian berduet dengan kugiran, peragaan fesyen, dan tarian. Setiap
persembahan dalam konsert tersebut adalah mewakili salah sebuah negara dalam
komuniti ASEAN.

Secara keseluruhannya, terdapat beberapa kekuatan atau perkara yang amat


menonjol dalam konsert tersebut. Pertama, dari segi tekstur bunyi ensembel alat muzik.
Tekstur merujuk kepada bilangan bunyi atau suara. Dalam konsert tersebut, ensembel
pemain alat muzik atau orkestra merupakan pemuzik-pemuzik yang utama. Secara
umumnya, orkestra adalah ensembel muzik yang paling lengkap dengan pelbagai jenis
alat muzik. Alat muzik orkestra terbahagi kepada empat seksyen utama iaitu alat
woodwind, alat brass, alat perkusi, dan alat bertali. Orkestra dalam konsert tersebut
bukanlah merupakan Orkestra Simfoni yang biasa, tetapi merupakan Orkestra Pop.
Orkestra Pop berbeza dari segi tambahan seksyen irama yang yang menggunakan alat
muzik kibod, gitar, gitar bes, dan set dram. Kehadiran orkestra pop tersebut mewujudkan
tekstur bunyi yang tebal kerana adanya pelbagai jenis alat muzik. Walaupun saiz orkestra
tidak besar, mereka mampu memainkan muzik yang menghasilkan bunyi seolah-olah
dimainkan oleh orkestra yang besar. Dari segi tekstur harmoni , para pemuzik berjaya
memainkan alat muzik mereka secara betul dan menghasilkan muzik yang mempunyai
tekstur harmoni heterofoni yang dapat dikesan. Hal ini menunjukkan bahawa saiz
sebuah orkestra tidak semestinya mempengaruhi kualiti tekstur bunyi yang dihasilkan,
tetapi kesungguhan dan kecekapan setiap pemain alat muzik yang bekerjasama boleh
menghasilkan kualiti bunyi yang baik.

Kedua, dari segi ekspresi. Ekspresi merujuk kepada perasaan dan idea yang
ditonjolkan mengenai karya muzik seperti perasaan takut, riang, sedih, gembira,
bersemangat, tenang dan sebagainya. Dalam konsert tersebut, setiap peserta konsert
dari pemain orkestra pop, sehinggalah penyanyi utama, penyanyi latar, dan penari
menonjolkan ekspresi yang baik yang membolehkan penonton menghayati muzik
sebenarnya yang disampaikan. Orkestra pop dan penyanyi memainkan peranan yang
penting untuk memberi ekspresi yang sesuai bagi menggambarkan mud lagu .
Contohnya, dalam persembahan medley lagu kanak-kanak tradisional Melayu oleh
peserta Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, para penyanyi perlu bekerjasama
dengan orkestra yang memainkan lagu-lagu yang terlibat. Setiap lagu dalam medley
tersebut mempunyai mud yang berbeza dan bertukar secara cepat. Misalnya, bermula
dengan mud serius dan seram dan tiba-tiba bertukar kepada mud gembira, sedih, tenang,
dan akhirnya gembira lagi. Selain persembahan nyanyian, persembahan tarian Borneo
oleh kampus yang sama juga menggambarkan pelbagai jenis mud. Para penari perlu
menonjolkan ekspresi pergerakan dan mimik muka yang sesuai dengan pergerakan lagu.
Setiap pergerakan memberi gambaran kepada perasaan yang berbeza seperti garang,
tenang, dan gembira. Secara pendek, kerjasama antara pemain muzik dengan penyanyi
dan penari adalah penting untuk memastikan penonton dapat menghayati sesuatu muzik
dan tarian.
Ketiga, dari segi harmoni suara. Harmoni merupakan hasil gabungan dua pic atau
lebih disusun secara menegak dan dinyanyikan atau dimainkan. Dalam konsert tersebut,
persembahan-persembahan nyanyian yang melibatkan penggunaan harmoni suara
adalah amat baik. Antara persembahan yang melibatkan harmoni suara adalah
persembahan koir oleh peserta Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik, dan
persembahan nyanyian berkumpulan Virus Voice oleh Institut Pendidikan Guru Kampus
Ilmu Khas. Dalam persembahan koir, pecahan suara soprano, alto, tenor, dan bes dapat
didengar secara jelas. Hal ini kerana para penyanyi koir telah memastikan kedudukan
masing-masing adalah sesuai untuk menonjolkan pecahan suara harmoni secara
maksimum. Bagi persembahan kumpulan Virus Voice yang terdiri daripada enam orang
penyanyi , harmoni keenam-enam suara juga jelas didengar. Mereka berjaya
menyanyikan lagu dengan memastikan harmoni suara setiap ahli dapat dikomplemen
oleh masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan berjaya kerana pendengaran
dalaman setiap penyanyi adalah baik. Mereka dapat memikirkan pic yang sesuai dengan
pantas untuk mengharmonikan pic suara-suara dinyanyikan hanya dengan mendengar
suara setiap ahli yang sedang menyanyi. Secara pendek, kedudukan dan kemahiran
pendengaran dalaman penyanyi akan mempengaruhi kualiti harmoni suara yang
dihasilkan.

Keempat, dari segi kreativiti dan kepelbagaian. Konsert tersebut dimeriahkan


dengan variasi jenis persembahan. Setiap persembahan mewakili salah satu negara
yang terkandung dalam komuniti ASEAN. Dalam setiap persembahan, kreativiti
kumpulan yang membuat persembahan amat menonjol bukan hanya dari segi visual,
malah dari segi muziknya. Muzik yang mengiringi setiap persembahan jelas menonjolkan
sifat negara masing-masing dan dipersembahkan secara kreatif melalui gabungan
pergerakan, kostum, dan nyanyian. Kreatif di sini merujuk kepada adanya suatu elemen
yang unik dalam setiap persembahan. Contohnya, penggunaan prop dan pergerakan
yang diubahsuai dalam tarian Borneo. Penari telah mengubahsuai pergerakan tradisional
sedikit dan menggunkan sebuah bakul yang biasa menjadi suatu prop beg dan bertukar
menjadi alat reben yang amat cantik dan berwarna-warni. Selain itu, persembahan lagu
kanak-kanak tradisional dan medley lagu P.Ramlee telah ditambah dengan sedikit
elemen kemodenan dalam muziknya dan berjaya menarik perhatian audien kerana
persembahannya yang moden melalui penyanyi yang menari sambil menyanyi secara
berharmoni. Secara pendek, kreativiti dalam kebolehan mengolah dan mengubahsuai
sesuatu karya muzik atau tarian tanpa menenggelamkan sifat atau makna aslinya adalah
penting untuk memastikan kesinambungannya dalam dunia yang semakin moden dan
berevolusi dalam teknologi. Selain itu, kejayaan dalam memastikan kesinambungan
sesuatu karya atau tarian tradisional akan memastikan generasi-generasi yang akan
datang dapat mengenal dan menghayatinya.

Kelima, dari segi penekanan kepada tema tradisional. Dalam konsert tersebut, setiap
persembahan sama ada nyanyian mahupun tarian kesemuanya mempunyai unsur
tradisional bagi negara yang diwakili. Dalam kata lain, setiap persembahan merupakan
persembahan lagu dan tarian tradisional. Setiap persembahan melambangkan identiti
unik negara-negara ASEAN yang diwakili. Contohnya, tarian tradisional Borneo, tarian
tradisional Kambodia, nyanyian lagu tradisional Thailand, Melayu, Cina, Tamil, Filipina,
serta peragaan naju-baju tradisional negara-negara ASEAN. Oleh sebab tema identiti
dan tradisional, para penonton bukan sahaja dapat mengenali serba sedikit mengenai
tarian dan lagu-lagu tradisional negara-negara ASEAN, malah juga dapat menghayati
setiap persembahan dari segi keunikannya. Hal ini membolehkan penonton berasa
bangga dengan negara sendiri. Secara pendek, penekanan setiap persembahan
terhadap identiti negara ASEAN mengajar individu untuk menghayati keunikan serta
menimbulkan rasa bangga terhadap negara sendiri. Hal ini pula juga akan membantu
dalam proses kesinambungan identiti negara dari segi kesenian.

Seterusnya, terdapat satu kelemahan yang wujud. Sepanjang konsert berlangsung,


terdapat masalah dengan sistem pengendalian bunyi ( Public address system atau P.A
system) dalam dewan. Sepanjang konsert berlangsung, sistem bunyi bagi para penyanyi
terganggu kadangkala. Hal ini menyebabkan suara penyanyi kadang-kadang kurang
jelas termasuk suara penyanyi latar. Walau bagaimanapun, amat jelas dinampak bahawa
para peserta konsert amat profesional dalam menghadapi masalah tersebut. Mereka
meneruskan persembahan mereka dengan bersungguh-sungguh tanpa menunjukkan
sebarang kerisauan tentang masalah tersebut. Secara pendek, cara menangani masalah
memaparkan tahap professionalisme seseorang.
Kesimpulannya, Konsert Komuniti ASEAN 2015 telah berjaya dilaksanakan. Konsert
tersebut telah menunjukkan banyak kekuatan berbanding dengan kelemahan. Kekuatan
amat jelas dari segi tekstur bunyi, ekspresi, harmoni, kreativiti, dan tema konsert. Konsert
tersebut bukan sahaja memberi pengetahuan tentang identiti negara ASEAN, malah juga
membantu untuk memahami dan menghayati pelbagai jenis persembahan.

ISI KANDUNGAN

Bil. Perkara Mukasurat

1. SKOR LAGU

A. Skor lagu rekorder

- Melodi

-SATB

B. Skor lagu nyanyian ensembel

- Melodi

-SATB

2. Laporan refleksi

3. CD pimpinan lagu (Conducting)