Anda di halaman 1dari 6

Cabaran guru pada zaman moden ini semakin mencabar.

Tanggungjawab seseorang
guru semakin besar ditambah lagi dengan bebanan kerja dan cabaran-cabaran seperti
masalah disiplin murid-murid, keupayaan menggunakan teknologi, pertambahan tugasan,
dan sebagainya yang semakin hari semakin meningkat. Dengan ini, segala permasalahan
dan isu berkaitan dengan guru sedikit sebanyak telah mencetuskan tekanan kepada guru.
Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus
daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana bebanan tugas guru
tetapi juga terpaksa berdepan dengan karenah di persekitaran tempat kerja mereka (Sinar
Harian,2013). Namun, guru merupakan aspek yang penting di dalam sesebuah institusi
pendidikan di mana mereka bukan sahaja hanya memainkan peranan utama sebagai
penyampai ilmu dan pengetahuan untuk melahirkan insan yang sukses secara akademik,
bahkan juga bertanggungjawab dalam membentuk akhlak dan keperibadian insan tersebut
ke arah yang lebih baik (Jalaludin Othrnan & Zuber Hassan, 2008). Gagal seorang
doktor,mati satu pesakit, gagal seorang guru, rosak satu generasi. Daripada kata-kata ini
jelasmenunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk menangani stress yang berlaku dalam
kalangan guru supaya fungsi seorang guru itu dapat dimanfaatkan dengan seoptimal yang
mungkin.

Pelbagai masalah dan cabaran berkemungkinan juga akan menyebabkan seseorang


guru itu mengalami tekanan perasaan dan ketidakstabilan emosi. Kyriacou (2010)
menyatakan tekanan kerja dalam kalangan guru merujuk kepada emosi negatif seperti
kemarahan, kekecewaan, kebimbangan, kemurungan dan cemas akibat daripada beberapa
aspek kerja mereka sebagai guru. Emosi yang kurang stabil akan mengakibatkan guru
melakukan pelbagai tindakan negatif (Noriah M.I, Zuria Mahmud, 2013). Sekiranya guru
tidak pandai mengurus emosi, maka guru tidak dapat melaksanakan tugasannya dengan
baik dan segala perancangan pendidikan yang telah disediakan akan terbengkalai begitu
sahaja. Hal ini kerana pengawalan emosi yang baik dapat membantu guru dalam membuat
penilaian terhadap sesuatu perkara (Mok Soon Sang, 2010). Seperti apa yang ditekankan
oleh Goleman (1995) bahawa pengawalan emosi adalah bergantung kepada tahap
kecerdasan emosi seseorang individu. Sekiranya kemahiran kecerdasan emosi baik dan
tinggi, seseorang itu bukan hanya mampu mengawal emosi mereka sendiri, namun mereka
juga mampu mengawal emosi orang lain. Oleh itu, kompetensi kecerdasan emosi amat
penting untuk diaplikasikan oleh semua guru bagi memastikan mutu dan kualiti pendidikan
dijaga dan dilaksanakan dengan baik selaras dengan perkembangan dunia pada masa kini.
Seperti apa yang jelaskan di atas bahawa tekanan emosi akan memberi risiko yang
tinggi terhadap individu dan organisasi sekiranya tidak ditangani dan diuruskan dengan cara
yang betul. Oleh itu, sesuatu perubahan yang berlaku ke atas individu menunjukkan bahawa
simptom tekanan telah wujud dan langkah segera perlu diambil supaya tidak berlaku kesan
yang lebih parah (Nazar, 2004). Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diambil
oleh seseorang guru dalam mengamalkan kawalan emosi yang baik.

Pertama sekali, seseorang guru dapat mengamalkan kawalan emosi yang baik
dengan sentiasa menenangkan fikiran. Sebagai seorang guru, kita sentiasa berhadapan
dengan pelbagai kerenah murid-murid yang boleh menyebabkan tekanan emosi (Nordien
Sulaiman, 2011). Pada masa yang tertentu, kita akan berasa geram dan marah atas tingkah
laku murid sehingga teringin melepaskan perasaan ke atas mereka. Murdock dan Scutte
(2004) menyatakan bahawa faktor disiplin pelajar merupakan faktor utama tekanan kerja
terhadap guru-guru di sekolah. Sikap biadap yang ditonjolkan oleh pelajar dan menyakiti hati
guru dengan tingkahlaku yang tidak baik. Sekiranya guru berasa marah, guru boleh cuba
mengira dari nombor 1 hingga 10 dan menarik nafas dalam-dalam untuk beberapa saat
dalam kiraan 10. Jika perlu, guru boleh mengambil masa untuk berehat dari bertemu dengan
orang dan mengalihkan diri dari situasi tersebut supaya tidak memindahkan kemarahannya
terhadap murid-murid.. Contohnya, guru boleh berjalan keluar dari bilik darjah sebentar
untuk menghirup udara segar serta merasakan sinaran matahari.

Langkah tersebut adalah berkesan dalam membantu guru mengamalkan kawalan


emosi yang baik. Hal ini kerana setiap pergolakan emosi biasanya reda dalam masa dua
jam ke tiga jam. Ada juga individu yang dapat meredakan emosinya dalam masa beberapa
hari (Nordien Sulaiman, 2011). Sebagai seorang dewasa, mengira 1 hingga 10 adalah salah
satu cara untuk memberikan diri kita mencari ketenangan sebelum memberi reaksi pada
situasi yang menaikkan kemarahan anda. Dalam tempoh masa ini, ia membolehkan kita
memikirkan kejadian tersebut dengan lebih menyeluruh mengenai punca menimbulkan
emosi negatif tersebut dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Dengan ini, guru akan
bertindak secara rasional dengan mempertimbangkan pelbagai situasi yang mungkin
berlakunya. Sebaik sahaja emosi sudah stabil dan boleh berfikir dengan waras, guru boleh
menyatakan kekecewaan atau kemarahan anda dengan tegas tetapi bukan konfrontasi
(Alimuddin Mohamrnad Dom, 2008). Ini lebih baik dengan menyatakan kebimbangan dan
keperluan anda dengan jelas dan secara langsung tidak menyakitkan orang lain atau cuba
mengawal mereka.
Kedua, seorang guru patut menguasai kemahiran pengurusan masa. Salvo dan
Lewis (2003) menyatakan pengurusan masa adalah penting dalam memastikan
keseimbangan antara semua peranan dan tugas guru seperti pengurusan masa untuk
berehat, masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan dan pengurusan masa untuk
penyediaan dalam proses pengajaran. Beban kerja yang berat dialami oleh guru adalah
berkait rapat dengan faktor masa di mana guru terpaksa melakukan banyak kerja dengan
masa yang kurang, Gold (2003). Permintaan tuntutan kerja yang tinggi telah menyebabkan
guru semakin tertekan dan memberi kesan terhadap prestasi kerja dalam bidang
pengajaran. Selain itu, kebanyakan guru telah menghabiskan masa ke atas tugasan yang
kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa
tertekan kerana tugas mereka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa tertentu. Beech
dalam Ahmad Azhari (2004), menyatakan bahawa seseorang yang melakukan lebihan tugas
dalam satu-satu masa dengan suasana kerja yang tidak selesa serta pengurusan masa
yang tidak sesuai juga akan memberi kesan tekanan yang tinggi kepada seseorang individu
tersebut. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan
emosi akibat beban kerja.

Pada pendapat saya, kemahiran pengurusan masa yang efektif boleh membantu
guru menangani tekanan emosi guru dengan berkesan. Kemahiran ini dapat membantu
seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya
dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual bekerja dan
meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri. Pada zaman
moden ini, setiap individu telah memiliki sebuah telefon pintar yang canggih, alat teknologi
merupakan trend malahan juga memberikan kemudahan kepada masyarakat.. Dengan ini,
guru boleh merancang jadual waktu menggunakan perisian yang dibekalkan dalam telefon
pintar sendiri dan boleh menetapkan pemberitahuan untuk mengingati sendiri. Melalui
pengurusan ini, guru akan dapat mengenalpasti kerja harian mengikut keutamaan dengan
jadual yang ditetapkan supaya dapat menyiapkannya mengikut keutamaan tanpa berlengah.
Malahan segala kerja yang tidak mendatangkan sebarang faedah seperti gosip kosong,
perbualan telefon dan yang membazirkan masa akan dapat dielakkan dan seterusnya
menggunakan masa yang lebih bagi membuat kerja yang lebih penting.

Seterusnya, seseorang guru boleh melakukan aktiviti riadah bagi mengatasi tekanan
emosi. Hal ini kerana riadah merupakan satu keperluan di dalam hidup manusia (Fauzee, M.
S, 2012). Pada masa kini, guru sentiasa sibuk dengan rutin kehidupan seharian seperti
bekerja sehingga tidak mempunyai masa lapang untuk melakukan aktiviti senaman. Lama-
kelamaan, mereka akan mudah berasa tertekan dan bosan dalam kehidupan seharian. Ini
sejurusnya menyebabkan kesihatan mental-emosi mereka mencapai suatu tahap yang
membimbangkan. Dengan hal yang demikian, seseorang guru perlu meluangkan masa
dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi seperti mempelajari kemahiran relaksasi yang
dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan. Contohnya, guru boleh
menjalankan aktiviti relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan
menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres. Pernafasan
membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak,
melegakan otot dan menteramkan minda kita. Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut
mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan bersenam, makan makanan yang
sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak meminum air beralkohol. Ini disebabkan
pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru
menangani stress.

Pada pendapat saya, aktiviti riadah atau senaman merupakan langkah yang baik
untuk membantu guru mengawal emosi. Seorang guru perlu memberi perhatian kepada
penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Melalui aktiviti bersenam, fikiran kita menjadi
segar dan tenteram di mana kehidupan kita tidak diganggu oleh perkara yang boleh
membebankan fikiran seperti cemburu, sakit hati, geram, dan perasaan negatif yang lain-
lain. Ini sejurusnya menyebabkan badan kita menjadi sihat sehingga membolehkan kita
berhadapan dengan tekanan tanpa perasaan yang tertekan. Tambahan pula, interaksi sosial
yang berlaku semasa sesi senaman dan sukan dengan individu lain dapat mencetuskan
emosi positif. Pelbagai bentuk aktiviti senam dan sukan yang boleh dipilih sama ada secara
bersendirian atau berkumpulan, menjadikan aktiviti ini satu amalan yang dapat memberikan
kebaikan jangka panjang terhadap kawalan emosi yang menyeluruh.

Bukan itu sahaja, seseorang guru dapat mengamalkan kawalan emosi yang baik
sekiranya mendapatkan rehat yang cukup. Hal ini kerana rehat yang mencukupi dapat
mengurangkan tekanan (Fauzee, M. S, 2012). Sebagai seorang guru, sudah menjadi
kebiasaan apabila terlalu sibuk dengan aktiviti sehingga tidak menyedari badan telah
berlakunya ketegangan otot. Sekiranya kita tidak menyedari kesakitan itu pada peringkat
awal, ketegangan itu berlaku dalam tempoh yang lama sehingga boleh merosakkan otot-otot
(Fauzee, M. S, 2012). Maka, guru dinasihatkan supaya jangan wujudkan gangguan fikiran
apabila kadar rehat badan tidak mencukupi. Bagi membantu mengatasikannya, guru boleh
mencari satu tempat yang selesa dan tiada gangguan serta sesuai untuk melaksanakan
senaman kerehatan. Contohnya, guru boleh melakukan meditasi untuk menenangkan emosi
diri di samping dapat merehatkan minda. Meditasi akan membantu seseorang untuk melatih
dirinya, dalam memiliki cita atau sikap yang lebih baik dan bermanfaat untuk kawalan emosi
diri.

Saya berasa langkah tersebut adalah berkesan dalam membantu guru


mengamalkan kawalan emosi yang baik. Hal ini kerana rehat ini merupakan satu teknik
mengurangkan ketegangan dalam otot dan perlu dilakukan secara progresif dan sistematik.
Senaman kerehatan ini dilakukan bermula daripada bahagian kepala ataupun kaki dan
membuat segala aktiviti untuk mengelakkan ketegangan dalam diri. Ini secara langsungnya
telah membantu melatih tubuh badan mengenali ketegangan dalam otot seterusnya emosi
berada dalam keadaan yang tenang. Ssehubungan itu, seseorang individu perlu rehat
dengan mencukupi supaya mekanisme badan dapat berfungsi dengan baik selagi
mengurangkan emosi negatif berlaku. Rehat yang berkualiti dan mencukupi boleh
mengekalkan kestabilan emosi kita dan membantu kita berfokus semasa bekerja.

Kelima, seseorang guru dapat mengamalkan kawalan emosi yang baik dengan
sentiasa berfikiran positif dengan sanggup menerima hakikat. Sebagai seorang guru, kita
perlu sering menerima perubahan organisasi dari segi dasar organisasi yang mungkin boleh
memecah belahkan aliran kerja dan perhubungan antara pekerja. Tekanan akan timbul
akibat sesuatu perubahan kerana setiap individu mempunyai keperluan dan kehendak yang
berbeza. Ini sejurusnya dapat memberi tekanan dari segi mental dan emosi kepada kita
secara tidak langsung. Namum begitu, kita boleh mengubah keadaan dengan mengamalkan
pemikiran positif dalam naluri kita. guru perlu bersikap optimis apabila menghadapi masalah.
Guru perlu percaya bahawa semua akan berjalan dengan lancar dan jangan kehilangan
harapan. Menurut Waxler (2009), guru seharusnya berfikir secara positif dan satu cara
adalah menyebutkan pemikiran-pemikiran yang positif setiap hari. Seseorang guru akan
berasa kagum tentang impak kata-kata positif kepadanya sepanjang hari bertugas. Dengan
ini, guru akan menerima apa sahaja keadaan yang tidak boleh berubah atau tidak dapat
dikawal. Dengan berbuat demikian, guru tersebut akan dapat melaksanakan tugasannya
dengan baik dan tanpa tekanan berlebihan.

Langkah ini adalah berkesan dalam membantu guru mengamalkan kawalan emosi
yang baik. Hal ini kerana orang yang sentiasa berfikiran positif tak suka menyalahkan
sesiapa, menyalahkan situasi, keadaan, persekitaran, mahupun benda (Hashim, S., Razali,
M. & Jantan, R, 2007). Dengan adanya sikap positif ini akan menjadikan seseorang guru
yang akan berfokus dari aspek dirinya dengan kesilapan yang dihasilkan, menganalisa lalu
mengambil inisiatif berubah ke arah yang lebih baik dengan cara refleksi kendiri.
Keenam, seseorang guru dapat mengamalkan kawalan emosi yang baik dengan
mempunyai kesedaran agama dalam diri sendiri. Seseorang guru yang mempunyai tujuan
hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stress dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri
dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk
menangani masalah tekanan stres kerana agama dapat memberi sumber harapan atau
menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Jika diri kita mengenang kembali
setiap seruan agama, kita akan lebih mudah menerima sikap individu yang kurang
menyenangkan. Hal ini kerana setiap agama menyeru umatnya untuk berdamai dan
bersahabatan antara satu sama lain. Sebenarnya, tiada manusia yang dikatakan sempurna.
Kalau diri kita hendakkan insan yang memuaskan emosi dan hasrat kita sahaja, kita tidak
akan mempunyai kawan. Yang penting, kita mencari kelebihan dan kesamaan setiap insan
dunia.

Pada pendapat saya, guru yang melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian dapat
membantu mereka mengatasi masalah tekanan emosi. Hal ini kerana ia dapat memberi
mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan. Guru akan sedar peranan
dan tanggungjawab yang diamanahkan serta memahami akauntabilitinya terhadap murid,
ibu bapa, masyarakat dan negara serta rakan sejawat dan profesion keguruan agar dapat
menunjukan prestasi yang terbaik ketika bekerja sekiranya mereka mendalami ilmu agama.
Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat dipertingkatkan.
Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta
optimistik dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa aspek rohani yang mantap dalam
diri seseorang dapat membantu ketika berhadapan dengan stress.

Secara keseluruhannya, dapatlah dirumuskan bahawa kecerdasan emosi


merupakan aspek yang sangat penting dalam bidang pendidikan kerana ia dapat
mempertingkatkan prestasi bekerja dalam kalangan para guru di sekolah. Bidang perguruan
merupakan satu bidang pekerjaan yang tidak mempunyai batasan yang jelas di antara
waktu bekerja dan waktu peribadi. Walaupun guru terpaksa berdepan dengan tugasan dan
cabaran, namun dengan memiliki kecedasan emosi yang baik dan juga tahu mengurus
tekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka sentiasa bersedia
untuk menghadapi segala cabaran dalam profesion keguruan dan dunia pendidikan yang
mendatang. Hal ini seterusnya akan membantu pemecutan kemajuan bidang pendidikan
negara.

Anda mungkin juga menyukai