Anda di halaman 1dari 8

ARKIB : 23/01/2008

Ads by Kiosked

Beban kerja guru kini terlalu berat


PETALING JAYA 22 Jan. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
mendedahkan bahawa beban kerja para guru pada masa kini adalah terlalu berat.
Katanya, selain tugas-tugas hakiki selaku pendidik, guru juga terpaksa menanggung beban yang
sepatutnya turut menjadi tanggungjawab ibu bapa seperti aspek disiplin.
Kata beliau, pengharapan untuk menaikkan tahap akademik pelajar dan sekolah turut
meningkatkan bebanan kerja para guru selain tanggungjawab remeh-temeh yang terpaksa
digalas mereka.
Isu longkang sumbat, isu siling bocor antara bebanan yang terpaksa dipikul guru, katanya
semasa melancarkan program bimbingan kerjaya anjuran CIMB Group di Sekolah Menengah
Perempuan Sri Aman, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Noh Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk
Nazir Razak.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana sebahagian peranan ibu bapa telah diserahkan
kepada guru.
Sehubungan itu, kata beliau, bebanan yang digalas di bahu para guru dapat dikurangkan melalui
penglibatan ibu bapa dalam aspek pendidikan selain penyertaan pihak ketiga.
Pihak ketiga, kata beliau, adalah sektor swasta yang boleh mengadakan program-program yang
bertujuan membantu kecemerlangan pelajar.
Beliau memberikan contoh CIMB Group yang bersedia untuk menghantar ahli-ahli lembaga
pengarahnya sendiri bagi memberikan bimbingan kerjaya kepada pelajar-pelajar di 50 buah
sekolah tahun ini.

Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0123&sec=Muka_Hadapan&pg=
mh_09.htm#ixzz4pEwGTDE8
Utusan Melayu (M) Bhd

Beban Kerja Guru Kini Terlalu Berat Utusan Malaysia 23 Januari 2008
14 isu beban guru ditangani

Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai sokongan terhadap guru
sambil diperhatikan Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika Pelancaran
Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak,Kuala Kangsar, Perak,
semalam.
KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru
sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban
tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain
memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban
dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
''Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah
di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya
ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini
hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi
penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi
mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di
sekolah-sekolah di bawah kementerian.
''Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah
melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik
pengendaliannya di peringkat sekolah.
''Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan
sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan
dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk
mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah
menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus
daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi
pengajian tinggi.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120517/dn_02/14-isu-


bebanguru-ditangani?t=123#ixzz4pExLGSB8
Utusan Melayu (M) Bhd
14 Isu Beban Guru Ditangani Utusan Malaysia 17 Mei 2012

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.

PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.


BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa
menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan,
buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan
persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga
boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau
dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus


daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga
terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga,
dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan
cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah
anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia
sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang
dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan
banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak
faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya
terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.
HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada
golongan guru.

Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan
kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut
orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk
bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat
sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya,"
katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya
daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula
jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu,
mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu,"
katanya.

Kerja tujuh hari seminggu


Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42,
pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-
lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu
mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.
"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama
tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar,"
katanya.

Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Re
ncana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4pF30YZrP
Hakcipta terpelihara

Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang
memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF
seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi
hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta
menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula
saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu
ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah
waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.
"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja,"
katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan
dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan
anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk
dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang
datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan
dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak
pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal


MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof.
Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan
wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan
guru.

Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak
tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja
luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang
sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,
katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah
dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab
itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan
kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru,
Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan
pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti
kebimbangan melampau dan kemurungan.

Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap
hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak
mempunyai waktu rehat yang cukup.

Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang
di sekeliling mereka, katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan
jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat
tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk
mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan
mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan
melakukan aktiviti harian.

Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan
membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi
kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling, jelas Nor Zuraida.
Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Re
ncana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4pF39vU2J
Hakcipta terpelihara
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my

Ramai guru sakit jiwa