Anda di halaman 1dari 6

Dasar-dasar Solusi Dalam Pendidikan

Pengenalan

Solusi adalah penyelesaian masalah. Dasar yang berkaitan dengan penyelesaian masalah
yang memberi tumpuan kepada aspek sosial dan ekonomi. Dasar ini berbentuk reaktif
kerana bertujuan untuk mengatasi masalah yang timbul. Hal ini disebabkan trend atau
perkembangan semasa yang berubah-ubah akibat tuntutan prioriti manusia dan ekonomi
semasa. Pendidikan merupakan proses yang melibatkan interaksi di antara sesama
manusia, manusia dengan persekitaran dan manusia dengan sistem. Interaksi yang
berlaku tidak selalunya lancar, kerap kali interaksi yang berlaku mengalami gangguan dan
halangan. Percanggahan idea bukanlah sesuatu yang salah tetapi keputusan yang diambil
itulah yang boleh menjadi sesuatu yang salah. Apabila keputusan yang dibuat salah maka
sistem juga menjadi salah dan hasilnya tersasar. Oleh itu dasar-dasar solusi dalam
pendidikan mensejajarkan semula hala tuju, pelaksanaan dan perancangan yang dibuat
dalam bidang pendidikan. Contoh dasar ini dalam pendidikan ialah Dasar 60 pelajar sains
dan 40 pelajar sastera, Dasar 1 pelajar 1 sukan, Dasar PPSMI, Dasar MBMMBI, Dasar
Keciciran Sifar, Dasar Integrasi Nasional, Dasar Sekolah Selamat dan Dasar Sekolah Khas.

a. Dasar 60 pelajar sains dan 40 pelajar sastera


Dasar 60:40 ini adalah dasar yang memperkatakan tentang penetapan bilangan
penyertaan pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi berbanding bidang sastera.
Dasar ini telah diwujudkan sejak tahun 1967 dan dengan berpaksikan aspirasi
negara yang diilhamkan dalam Wawasan 2020 iaitu pencapaian taraf sesebuah
negara yang maju menjelang tahun 2020, kerajaan telah menetapkan matlamat
dasar ini adalah untuk melahirkan lebih banyak para saintis, jurutera, doktor dan
juruteknik yang berkepakaran tinggi bagi pembangunan pelbagai sektor ekonomi
dan sosial, sejajar dengan pertambahan penduduk dan kualiti hidup masyarakat.
Hal ini kerana dapat dilihat bahawa pendidikan sains kini menjadi semakin
penting dalam membantu negara mencapai status negara maju yang memerlukan
lebih ramai tenaga mahir dalam bidang itu. Penguasaan sains dan teknologi akan
membolehkan Malaysia membina kekuatan untuk berdaya saing dengan negara-
negara maju. Dunia telah pun menyaksikan perkembangan sains dan teknologi
yang begitu pesat pada abad ke-20, khususnya dalam masa dua pertiga terakhir
abad berkenaan. Dijangka perkembangan ini akan menjadi lebih hebat lagi pada
abad ke-21 ini. Sains dan teknologi akan dibangunkan sehingga berupaya memberi
sumbangan positif yang lebih besar dan bernilai tambah kepada pertubuhan
pembangunan yang berasaskan produktiviti. Secara perlahan industri dan
perkhidmatan berintensif modal dan teknologi akan menjadi teras penting kepada
strategi pembangunan untuk mengekalkan kadar pertumbuhan yang pesat dan
meningkatkan taraf hidup masyarakat.

b. Dasar 1 murid 1 sukan


Dasar ini merupakan suatu dasar yang mewajibkan setiap murid menyertai
sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah, dasar ini menyokong Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mengutamakan perkembangan jasmani, emosi,
rohani dan intelek (J.E.R.I.) dalam murid. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan
Negara yang mengutamakan Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk
Kecemerlangan. Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan
keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan Minda Yang Cerdas Terletak
Pada Tubuh Yang Sihat. Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan
yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar
dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan
ekonomi negara.
Dasar ini dapat memberi peluang secara menyeluruh kepada semua murid
melibatkan diri dalam sukan secara lebih terurus dan terancang serta
mengimbangkan fokus atau penekanan dalam melahirkan modal insan secara
holistik ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang berdaya saing tinggi. Dasar
1M 1S adalah berteraskan kepada prinsip-prinsip asas perkembangan fizikal
murid-murid. Justeru itu, Dasar 1M 1S adalah diwujudkan untuk merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar dapat memberi akses kepada semua murid
untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada
murid yang kurang atau tidak aktif, sukan sekolah dapat dibangunkan ke arah
meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah dan memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan
berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Dasar ini berhasrat
membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan
murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan di
kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya
hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.

c. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris


(MBMMBI)
Dasar MBMMBI merupakan strategi memartabatkan BM melibatkan penggunaan
BM sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan
menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan
pembelajaran BM, hal ini kerana BM merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi
alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina
negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
Selain itu, dasar ini pun merupakan strategi memperkukuh penguasaan BI
melibatkan penambahbaikan kurikulum BI serta penyediaan guru dan bahan yang
mencukupi dan berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut, tujuan
memperkukuh BI adalah kerana BI merupakan bahasa komunikasi antarabangsa
yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan
pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
Dengan melaksanakan dasar ini, kami dapat melahirkan warga Malaysia
yang fasih dan yakin untuk menggunakan BM dan BI standard, membina modal
insan yang mampu mengakses pelbagai bidang ilmu melalui pelbagai media
seperti Teknologi Maklumat dan Informasi. Selain itu dasar ini pun dapat
membentuk 1Malaysia yang mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik dan
mampu bersaing di peringkat antarabangsa ke arah mencapai negara maju.

Kesimpulan

Dasar solusi dalam pendidikan merupakan dasar yang bertujuan untuk mengatasi
masalah yang timbul dari semasa ke semasa, oleh itu dasar-dasar solusi dalam pendidikan
mensejajarkan semua hala tuju, pelaksanaan dan perancangan yang dibuat dalam bidang
pendidikan.

Dasar ini tetap mengutamakan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek
yang seimbang dalam pelajar seperti apa yang diutamakan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Dengan melaksanakan dasar ini, insan yang mempunyai perkembangan
J.E.R.I. yang seimbang dapat dilahirkan justeru dapat mendatangkan pembangunan
masyarakat dan negara. Oleh itu, Wawasan 2020 dapat dicapai dengan menjadikan
negara Malaysia sebagai negara moden dan mampu bersaing dengan negara lain di atas
pentas global.
Bibliografi

Azrina bt Sobian, (2009). Kerjasama dalam Pendidikan Sains. Diperoleh pada April
6,2015 daripada

http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=1718

Dasar sains dan Teknologi Negara (2008). Diperoleh pada April 6,2015 daripada
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=
247:dasar-sains-dan-teknologi-negara&catid=88:dasar-dasar-negara

Kementerian Pelajaran Malaysia (2011). Buku Panduan Pelaksanaan Dasar Satu Murid
Satu Sukan (1M 1S) . Diperoleh pada April 6,2015 daripada

http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2011/articlefile_file_001793.
pdf

Kementerian Pelajaran Malaysia. Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa


Inggeris. Diperoleh pada April 6,2015 daripada

http://www.moe.gov.my/userfiles/file/MBMMBI.pdf

Zaini bin Abdullah, Mohmad Noor bin Mohmad Taib. KPF 3012: Perkembangan
Pendidikan di Malaysia: Falsafah dan Dasar. Tanjung Malim, Universiti Pendidikan Sultan
Idris.

Anda mungkin juga menyukai