Anda di halaman 1dari 3

1.

0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Pendidikan Islam Sekolah Rendah adalah merupakan satu mata pelajaran yang

wajib dipelajari oleh semua murid beragama Islam. Semua ini telah dinyatakan

dalam Akta Pelajaran 1996 (Akta 550). Di dalam akta tersebut dinyatakan bahawa

mana-mana sekolah yang mempunyai lima orang murid beragama Islam, hendaklah

diajar Pendidikan Islam. Mata pelajaran Pendidikan Islam terbahagi kepada 7

bidang iaitu asuhan tilawah al-Quran, asas ulum syariah (akidah, ibadah dan sirah),

asas akhlak islamiah, hadis dan jawi. Pembahagian secara terperinci ini adalah

bertujuan untuk memastikan murid-murid dapat menguasai agama Islam dari

segenap aspek cabang bidang agama.

Pendidikan Islam dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan murid

beragama Islam yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab

dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan

khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan

negara. Hal ini dipertegaskan lagi oleh Ab. Halim dan Zarin (2006) yang melihat

pendidikan Islam secara langsung berperanan mendidik dan membentuk individu

muslim yang bukan sahaja berakhlak dan beriman tetapi sentiasa mengalami

perubahan demi menambah baik dan mempertingkatkan keberkesanan dalam

pendidikan akhlak murid. Matlamat akhir dalam proses pendidikan ialah melahirkan

murid yang mempunyai asas ilmu yang baik, bermaklumat dan berketerampilan

serta memiliki kekuatan dalam menghubungkan dirinya kepada Allah (Sidek Baba,

2009).

Al-Quran ialah sumber utama dalam ajaran Islam yang suci ini serta menjadi

panduan bagi setiap manusia yang bergelar seorang muslim. Al-Quran memuatkan

pelbagai petunjuk yang sangat diperlukan oleh manusia dalam mengatur


kehidupannya dalam berhubungan dengan Allah, sesama manusia, bahkan alam

sekitar manusia itu sendiri. Oleh itu, kandungan Al-Quran perlu difahami secara

sempurna agar kefahaman agama seseorang muslim turut menjadi lengkap agar

pengamalannya sehari-hari adalah sahih, menepati kehendak Allah SWT bahkan

dapat diteruskan secara konsisten. Justeru, pendidikan Al-Quran walaupun

peringkat asas seperti belajar membaca adalah sangat penting dan mendesak

untuk membina peribadi muslim yang dikehendaki seperti yang telah disebutkan.

Menurut Ibn Khaldun (2000) dalam Al-Muqaddimah, beliau menyatakan

bahawa Al-Quran menjadi asas seluruh kurikulum pendidikan dalam dunia Islam

kerana Al-Quran merupakan syiar agama yang mampu menguatkan akidah dan

mengukuhkan keimanan seseorang muslim. Berdasarkan pandangan Ibn Khaldun,

memang sepatutnya masyarakat muslim di Malaysia memberikan penekanan

terhadap pendidikan Al-Quran kepada anak bangsa kita yang beragama Islam.

Untuk itu, harus ada satu usaha dan upaya yang jelas bahkan nyata dalam

meningkatkan mutu pendidikan Al-Quran kerana pendidikan Al-Quran merupakan

inti yang paling utama dalam mempersiapkan generasi muslim yang kukuh asas

agamanya.

Membaca Al-Quran itu sendiri ialah suatu ibadah yang diberi pahala

sehinggakan setiap huruf yang dibaca akan diberi sepuluh kebaikan oleh Allah

kepada pembacanya jika dibaca dengan sebutan yang betul, mengikut kaedah

bacaan dan menurut kaedah tajwid. Tajwid ialah satu peraturan bagi para pembaca

Al-Quran untuk memastikan sebutan, bacaan dan tilawah adalah tepat (Jamaliah

Taib, et. al., 2016). Membaca Al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan

makhrajnya supaya tidak terpesong pengertiannya adalah menjadi tuntutan agama

ke atas orang Islam kerana membaca Al-Quran memastikan bacaan individu

tersebut menjadi sah dan seterusnya dapat membentuk akidah dan akhlaknya yang

menjadi wawasan Al-Quran.


Rujukan:

Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail (2006). Nilai Akhlak Dan Pengaruh Media Massa

Di Kalangan Remaja Islam Luar Bandar. Jurnal Islamiyyat.

Sidek Baba (2009). Hakikat Rukun. Shah Alam, Selangor: Alaf 21.

Ibn Khaldun. (2000). Al-Muqaddimah. Jakarta: Pustaka Firdaus.

Jamaliah Mohd Taib, Norliza Mohamad Yusof, Makiah Tussaripah Jamil, Husnul
Rita Aris & Hisam Satari. (2016). An Interactive Approach of an E-
Tajweed Yaasin System. Envisioning the Future of Online Learning:
Selected Papers from the International Conference on e-Learning 2015,
115-123.
Malaysia. (1996). Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).