Anda di halaman 1dari 5

Membina Keluarga Bahagia

Nikah merupakan sunnah Rasulullah yang sangat sinonim dengan kita. Pernikahan juga
merupakan ikatan yang sangat kuat yang dalam istilah al-Quran disebut sebagai
miytsaqon ghaliyzho (4: ayat 21) yang mana kata ini digunakan juga untuk menyebut
perjanjian antara para Nabi dengan Allah s.w.t. dalam mengembangkan perjuangan
dakwah (33: ayat 7).

Oleh kerana itu pernikahan harus dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ajaran
Islam. Justeru itu pernikahan jangan sampai dinodai dengan perkara-perkara yang
berupa maksiat. Sesudah pernikahan berlangsung, kehidupan berumah tangga pun
harus dijalani dengan sebaik-baiknya meskipun cabaran dan godaan menjalani
kehidupan rumah tangga yang Islamik begitu banyak. Untuk menjalani kehidupan rumah
tangga yang Islamik, ada beberapa perkara yang harus mendapat perhatian suami dan
isteri. Antaranya ialah:

MENGUKUHKAN RASA CINTA

Cinta merupakan pengikat dalam keutuhan kehidupan rumah tangga. Apabila rasa cinta
suami kepada isteri atau sebaliknya telah hilang dari hati, maka kehancuran rumah
tangga amat sukar untuk dihindari. Oleh kerana itu, suasana cinta-mencintai mesti saling
dipupuksubur atau diperkukuhkan, tidak hanya pada masa-masa awal kehidupan rumah
tangga, bahkan pada masa-masa selanjutnya hingga suami isteri menanjak dan
menemui kematian.

Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami berjaya membahagi dan memupuk subur rasa
cinta kepada semua isteri baginda sehingga salah seorang isteri mengatakan bahawa
dialah yang paling dicintai oleh Rasulullah - begitu juga dengan isteri yang lain.

Berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru
bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana di samping penumpangnya
benar-benar ingin menikmati pelayaran itu, juga kerana belum ada sebarang kesulitan,
belum ada ombak dan angin kencang yang menerpa, tetapi ketika kapal itu telah sampai
di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang
menerpa.

Dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi
sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai
kehidupan rumah tangga. Pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan
wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa
cinta.

Dalam soal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda
kekuasaan-Nya ialah Dia menjadikan untukmu isteri-isteri daripada kalanganmu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di
antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar menjadi
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (30: ayat 21).

SALING HORMAT-MENGHORMATI

Saling cinta-mencintai harus diperkukuhkan dengan saling hormat-menghormati - suami


hormat kepada isteri dengan memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap
perkara-perkara baik yang dilakukan oleh isterinya. Begitu juga isteri terhadap suaminya
dengan menerima apa-apa yang diberikan oleh si suami meskipun dalam jumlah yang
kecil

Pelayaran awal dalam kehidupan rumah tangga selalu diisi dengan suasana romantis
yang segala-galanya indah, bahkan kelemahan dan kekurangan tidak begitu
dipersoalkan. Romantisme memang menjadikan penilaian suami terhadap isteri dan
isteri terhadap suaminya menjadi sangat subjektif. Tetapi ketika rumah tangga
berlangsung semakin lama, mulailah muncul penilaian yang objektif dalam pengerti an
suami menilai isteri atau isteri menilai suami sekadar sambil lewa atau apa adanya.
Dahulu, ketika masa romantis, kekurangan masing-masing sebenarnya sudah terlihat
tetapi tidak begitu dipersoalkan, tetapi sekarang, kekurangan yang sedikit pun sering
saja dipersoalkan. Dalam suasana seperti itulah perlunya disemarakkan hubungan
antara suami dengan isteri hingga masing-masing menyedari bahawa memang
kekurangan itu tetap ada tetapi setiap daripada mereka juga harus menyedari akan
adanya kelebihan-kelebihan yang lain.

Dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah s.a.w, baginda telah meninggalkan contoh
teladan kepada kita betapa baginda berlaku adil dan baik kepada keluarganya. Dalam
sebuah hadis, baginda telah bersabda, yang bermaksud: Orang yang paling baik di
antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling
baik terhadap keluargaku. (Hadis riwayat Tabrani)

SALING MENUTUPI KEKURANGAN

Suami dan isteri tentu saja memiliki banyak kekurangan, bukan saja kekurangan dari segi
fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka. Oleh kerana itu suami isteri yang
baik tentu saja akan menutupi kekurangan-kekurangan tersebut - tidak suka
menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada orang tuanya sendiri.

Walaupun begitu, dengan tujuan untuk berunding ke arah kebaikan, maka boleh
menceritakan kekurangan sifat-sifat suami atau isteri kepada orang yang dipercayai.

KERJASAMA DALAM KELUARGA

Dalam mengharungi kehidupan rumah tangga tentu saja banyak beban dan
tanggungjawab yang harus dipikul dan dilaksanakan, misalnya tanggungjawab ekonomi.
Dalam perkara ini suami harus mencari nafkah dan isteri harus membelanjakannya
dengan sebaik-baiknya untuk membeli perkara-perkara yang baik dan tidak membazir.
Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak yang dalam
hubungan ini diperlukan kerjasama yang baik antara suami dengan isteri dalam
melahirkan anak-anak yang salih.
Kerjasama yang baik dalam mendidik anak-anak antara lain dalam bentuk sama-sama
meningkatkan kesalihan diri masing-masing sebagai orang tua kerana mendidik anak
mesti dengan teladan yang baik, juga tidak ada pertentangan antara sikap bapa dengan
ibu dalam mendidik anak dan sebagainya.

Keharusan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik telah difirmankan Allah
s.w.t dalam Al-Quran, yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kamu dalam
(mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa
dan maksiat.

(5: ayat 2)

MENCERNAKAN FUNGSI RUMAH TANGGA SECARA OPTIMUM

Waktu yang dilalui sesudah bernikah juga harus dijalani dengan mencernakan fungsi
keluarga seoptimum mungkin sehingga rumah tangga tidak sekadar dijadikan seperti
tempat persinggahan dalam erti kata anggota keluarga menjadikan rumah sekadar
untuk singgah sebagaimana sesuatu stesen, tetapi semestinya rumah tangga dijadikan
sebagai tempat pulang dari sesuatu tempat lain bagi menghilangkan rasa penat dan
memperbaiki diri daripada pengaruh yang tidak elok serta memperkukuhkan hubungan
antara sesama anggota keluarga.

Oleh kerana itu keluarga harus dioptimumkan fungsinya seperti masjid. Ini bermaksud,
rumah dijadikan sebagai tempat untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t dan
sesama anggota keluarga sehingga dapat menghindar sikap individualistik antara
sesama anggota keluarga.

Di samping itu, rumah juga harus berfungsi seperti madrasah atau sekolah yang anggota
keluarganya harus memperoleh ilmu dan pembinaan perwatakan sehingga suami dan
isteri diharapkan berperanan seperti guru bagi anak-anaknya dengan memberikan ilmu
dan contoh teladan yang baik.
Apa yang juga penting dalam kehidupan sekarang dan masa mendatang ialah
menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan yang memberikan kekuatan
pertahanan akidah dan keperibadian dalam menghadapi segala godaan kehidupan yang
semakin banyak menjerumuskan manusia ke lembah kehidupan yang berupa maksiat
pada pandangan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Membangun rumah tangga yang Islamik merupakan sesuatu yang sukar. Banyak
rintangan, baik dari aspek dalaman mahupun dari aspek luaran yang harus dihadapi.
Namun begitu, harus diingatkan bahawa rintangan yang besar dan banyak itu bukan
bermakna tidak boleh atau tidak berupaya membangun rumah tangga yang Islamik.
Setiap daripada kita mesti yakin akan kemungkinan keupayaan membentuk rumah
tangga yang Islamik, dan kalau kita sudah yakin, maka kita dituntut membuktikan
keyakinan itu dengan penuh kesungguhan.

Ini adalah kerana melaksanakan ajaran Islam memang amat dituntut kesungguhan yang
besar. Akhirnya, untuk menikmati kehidupan rumah tangga yang bahagia, ada baiknya
kita telaah sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Empat perkara yang
merupakan kebahagiaan seseorang, iaitu mempunyai isteri yang salihah, mempunyai
anak yang berbakti, mempunyai sahabat yang salih dan mencari rezeki di negerinya
sendiri. (Hadis riwayat Dailami daripada Ali r.a)

(Di petik daripada tulisan S.Mahadzir)

http://abubasyer.blogspot.com/2010/07/membina-keluarga-bahagia_24.html