Anda di halaman 1dari 5

TUGASAN 1-ULASAN KRITIS

1.0. PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, seni bermaksud karya
(sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat, hasil daripada sesuatu
ciptaan. Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni bukan sahaja
diaplikasikan dalam satu bidang sahaja tetaapi dalam beberapa bidang yang lain seperti
seni suara, seni tari dan seni lakon. Seni turut diaplikasikan ke dalam bidang pengajaran
dan pembelajaran (PdP). Seni yang diaplikasikan dalam setiap PdP dapat memberi satu
nilai dalam jangka masa panjang dan memberi impak positif kepada individu. Seni juga
mnegajar individu untuk sentiasa berfikir secara kritis dan kreatif.

2.0. KONSEP SENI DALAM PENDIDIKAN

Seni dalam pendidikan (SDP) merupakan bidang yang menggabungkan tiga elemen
penting iaitu seni visual, seni muzik dan pergerakan dalam satu. SDP memainkan peranan
yang penting dalam perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi,
estetika dan kreativiti mereka. SDP berperanan sebagai learning tool yang membolehkan
murid meningkatkan kreativiti dan ekspresi kendiri mereka. Matlamat SDP adalah untuk
membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai
estetika yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Penggabungan tiga
elemen seni tersebut akan membantu pembentukan insan yang lebih bersifat holistik dan
menyeluruh serta dapat meningkatkan rasa kesyukuran kepada Tuhan, menghargai
keindahan seni dan warisan bangsa dan dapat menyumbang ke arah pembangunan diri,
masyarakat dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara ini turut
disokong oleh Eisner dalam (Siew Heng Loke et al., 2005) yang menyatakan seni
menawarkan domain yang unik dari segi cara dan kandungan. Oleh itu, SDP penting untuk
diajar kepada murid-murid kerana memberi tumpuan kepada aktiviti kreatif yang mendorong
mereka menggunakan imaginasi, penerokaan, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai
untuk menguasai sesuatu kemahiran.

3.0. TEORI BERKAITAN SENI DALAM PENDIDIKAN

Terdapat beberapa pandangan atau teori yang menyokong bahawa SDP dapat
memberi manfaat untuk jangka panjang. Antaranya, Teori Konstruktivisme. Teori
Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif dan
bukan secara pasif. Menurut Vygotsky, proses perkembangan mental seperti ingatan,
pemerhatian dan penaakulan melibatkan pembelajaran menggunakan hasil interaksi dengan
masyarakat seperti bahasa, sistem pengiraan dan alat pengukuhan ingatan (Wong Kiet Wah
et al., 2013). Pembelajaran aktif dan interaksi sosial digalakkan dalam persekitaran yang
kondusif di mana pembelajaran dapat dicapai melalui aktiviti meneroka dan membuat
eksperimen. Sebagai contohnya, kanak-kanak di Barat dilatih mengingat dengan mencatat
nota sebaliknya kanak-kanak Orang Asli dilatih mengingat jalan yang dialui dengan
mencantas dahan-dahan pokok yang terdapat di sepanjang jalan itu [ CITATION MdN03 \l
17417 ]. Perkara ini membuktikan bahawa pentingnya proses penerokaan dan interaksi
sosial antara kanak-kanak dengan orang dewasa untuk membina ilmu pengetahuan. Dalam
SDP pula contohnya, murid-murid akan belajar membuat kraftangan dengan orang atau
guru yang lebih mahir. Ia melibatkan bimbingan sepenuhnya pada peringkat awal yang
beransur-ansur kurang sehingga murid-murid mampu menguasai kemahiran tersebut. Oleh
hal yang demikian, Teori Konstruktivisme membuktikan SDP merupakan wadah yang sesuai
dalam PdP kerana melibatkan interaksi sosial murid dan guru serta mereka akan meneroka
pelbagai kemahiran.

Selain itu, Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner menyatakan bahawa
terdapat sembilan jenis kecerdasan yang berbeza yang digunakan untuk memproses
maklumat dan seharusnya disuburkan dalam kalangan murid melalui pengenalan pelbagai
mata pelajaran di sekolah. Teori ini menyokong kesepaduan subjek yang digabung seperti
dalam mata pelajaran SDP. Penggabungan ketiga-tiga elemen dalam seni dapat menangani
masalah penyuburan kecerdasan minda kanak-kanak. Menurut beliau, sekiranya satu
sahaja pendekatan atau kaedah yang digunakan dalam sesuatu pengajaran, hanya murid
tertentu sahaja yang akan memahami apa yang disampaikan. Murid yang kekurangan
keupayaan untuk belajar pula perlu dibimbing melalui alternatif lain. Oleh itu, SDP
merupakan satu pendekatan atau alternatif yang sangat sesuai dan bertepatan dengan teori
ini kerana pelbagai aktikiti dan kaedah yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan
ketiga-tiga elemen dalam SDP.

Teori Hoka Hoki oleh Ned Hermann juga turut menyokong SDP sebagai satu alat
sokongan bagi meningkatkan kreativiti kanak-kanak. Hermann telah mengasaskan
Quadrant Concept yang mengkaji perkembangan otak kanan dan kiri. Beliau telah
membahagikan otak kepada empat bahagian dan setiap bahagian mempunyai fungsi
tersendiri. Terdapat manusia yang cenderung kepada otak kanan dan begitu juga
sebaliknya. Menurut Hermann, gaya pemikiran otak kanan adalah lebih bebas dan lebih
menyeluruh, subjektif, sintesis dan abstrak. Ilmu yang cenderung kepada otak kanan ialah
seni muzik, sastera dan seni visual. Manakala gaya pemikiran otak kiri pula lebih kepada
logik, rasional, analitik, objektif dan spesifik. Ilmu yang cenderung kepada otak kiri adalah
seperti Matematik. Terdapat juga ilmu yang menggunakan kedua-dua pemikiran otak kanan
dan kiri iaitu ilmu Sains, Fizik, Kimia, dan Falsafah. Berdasarkan teori ini, individu dapat
menyeimbangkan kemahiran dan pemikiran mereka melalui penggabungan elemen dalam
SDP. Seni juga dapat membantu pemikiran rasional dan intuitif seseorang individu. Oleh itu,
dengan adanya pemahaman tentang cara pemikiran menggunakan pemikiran otak kanan
dan otak kiri, maka SDP dapat dijadikan wadah supaya murid dapat meneroka dan
menggunakan kemahiran yang ada pada diri mereka selari dengan teori kepelbagaian.

4.0. KEPENTINGAN SENI DALAM PENDIDIKAN

Antara kepentingan yang dapat dicapai ialah, proses PdP akan menjadi lebih
seronok. Hal ini kerana, suatu PdP yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai
elemen seperti muzik, seni visual dan pergerakan akan menarik minat murid untuk belajar.
Kaedah tersebut berbeza dengan kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan
kapur dan papan tulis yang sudah kurang relevan pada abad ini. Contohnya, dalam subjek
Sejarah, guru boleh mengadakan aktiviti nyanyian dengan menukar lirik lagu kepada lirik
yang berunsur Sejarah. Irama dalam sesuatu muzik tersebut akan menarik minat mereka
terhadap subjek Sejarah. Oleh yang demikan, jelas menunjukkan penggabungjalinan dalam
SDP dapat menjadikan sesi PdP lebih seronok dan murid-murid lebih berminat untuk belajar.

Di samping itu, SDP juga berperanan dalam melahirkan guru yang lebih profesional
dan kreatif dalam merancang PdP. SDP akan mendorong para guru untuk lebih kreatif
dalam merancang PdP mereka supaya menjadi lebih menarik kepada murid-murid. Secara
tidak langsung, guru akan lebih banyak meneroka kemahiran-kemahiran baru yang sesuai
dengan pencapaian murid-muridnya. Perkara ini juga akan turut memotivasikan para guru
dan seterusnya dapat meningkatkan tahap profesionalisme dalam kerjaya mereka.

Selain itu, SDP juga dapat membantu perkembangan intelek, sahsiah dan sosial
murid-murid. Menurut John Dewey, beliau menyatakan bahawa pendidikan adalah satu
proses untuk mengembangkan kecerdasan manusia, sekolah seharusnya memberi kanak-
kanak kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelektual iaitu kebebasan untuk
melatih kecerdasan melalui seni. Hal ini turut disokong oleh [ CITATION Moh13 \l 17417 ],
yang menyatakan bahawa melalui mata pelajaran seni, pelajar mempunyai ruang dan
kesempatan untuk berfikir dan beriadah. Dengan adanya proses pembelajaran SDP, para
murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran pembelajaran yang diajar oleh guru
selari dengan perkembangan diri mereka. Mereka juga dapat melahirkan idea dan
menggunakan keupayaan akal dan fizikal mereka untuk menyelesaikan masalah. Secara
tidak langsung, aspek emosi dan sosial akan berkembang apabila berinteraksi dengan guru
dan rakan sebaya. Perkembangan aspek-aspek tersebut juga selaras dengan hasrat yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjurus kepada
pembinaan insan yang harmoni dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan
sosial.

5.0. PENUTUP
Sebagai kesimpulannya, SDP merupakan satu bidang yang penting dalam
kurikulum di sekolah dan memberi banyak manfaat terutamanya kepada guru dan
murid. SDP merupakan subjek yang sesuai diajar di sekolah berikutan corak
pendidikan hari ini yang menuntut kepada pembelajaran yang lebih kreatif dan
memberi banyak nilai posritif. Perkara ini turut disokong oleh Ibrahim Hassan dan
Roskang Jailani dalam (Mohd Johari Ab. Hamid, 2004), yang menyatakan antara
nilai pendidikan yang disumbangkan oleh bidang seni termasuklah mendorong kita
untuk membuat refleksi tentang nilai dan kepercayaan yang bertali arus dengan
perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa. Oleh itu, terbuktilah bahawa ketiga-
tiga elemen yang diintegrasikan ke dalam satu bidang seperti SDP dapat membantu
meningkatkan kreativiti dan perkembangan yang seimbang dalam diri setiap individu
terutama kepada murid-murid sejajar dengan FPK.
BIBLIOGRAFI

Hajah Noresah bt Baharom. (2013). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka .

Md. Nasir Ibrahim, & Prof. Madya Iberahim Hassan. (2003). Pendidikan Seni untuk Maktab
dan Universiti. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Discributors Sdn. Bhd.

Mohd Johari Ab. Hamid, & Hamzah Lasa. (2013). Estetika Seni Visual. Perak Darul Ridzuan:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Johari Ab. Hamid, Ibrahim Hassan, & Roskang Jailani. (2004). Pendidikan Seni Visual
dan Muzik. Perak Darul Ridzuan: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Siew Heng Loke, Abu Talib Putih, Lee Siew Eng, Sandiyao Sebestian, & Adelina Asmawi.
(2005). Pedagogi Merentas Kurikulum. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Wong Kiet Wah, Mohamad Isa Azis, & Rafidah Ruhani. (2013). Perkembangan Kanak-
Kanak. Selangor Darul Ehsan : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai