Anda di halaman 1dari 4

ULASAN KRITIS

ARTIKEL 1 : HUBUNGAN KEPIMPINAN GURU DENGAN PENCAPAIAN


AKADEMIK PELAJAR

Artikel ini telah mempromosi peranan kepimpinan guru di sekolah yang boleh membawa
kepada perubahan yang positif terhadap pencapaian akademik pelajar. Pengkaji amat percaya
bahawa kepimpinan seseorang guru dapat mengubah nasib seseorang pelajar, terutamanya dari
segi akademik. Oleh itu, pengkaji telah membuat kajian terhadap tahap kepimpinan guru
berdasarkan instrumen Teacher Leadership Self-Assessment (TLSA) oleh Katzenmeyer dan
Katzenmeyer (2004) yang terdiri daripada enam dimensi, iaitu penilaian kendiri dan membuat
perubahan, komunikasi, kepelbagaian, kemahiran pengajaran, penambahbaikan yang berterusan
dan organisasi kendiri. Walaupun dapatan kajian telah menunjukkan amalan kepimpinan guru
berada pada tahap tinggi, namun hasil dapatan tidak dapat menunjukkan hubungan yang kuat
antara amalan kepimpinan guru dengan pencapaian akademik pelajar. Namun begitu, tidak dapat
menafikan kepimpinan guru memang dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik
pelajar seperti yang telah dibuktikan dalam beberapa kajian yang dirujuk oleh pengkaji. Oleh itu,
tujuan utama artikel ini adalah untuk menyebarkan maklumat kepada pihak berkaitan,
terutamanya guru besar atau pengetua sekolah untuk mendorong kepimpinan guru di sekolah, di
samping mengenalpasti kepakaran guru tersebut dalam meningkatkan pencapaian akademik
pelajar (Norashikin Abu Bakar, Ramli Basri & Foo Say Fooi, 2015).

Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kepimpinan guru
dengan pencapaian akademik yang didahului oleh dimensi komunikasi berbanding dengan
dimensi lain. Menurut Farah Nur A. Hamid dan Maslida Yusof (2015), komunikasi berkesan
hanya akan berlaku apabila penerima memahami mesej yang dihantar dengan tepat daripada
penghantar. Oleh itu, komunikasi yang berkesan di dalam bilik darjah adalah amat penting bagi
mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Hal ini demikian kerana guru yang tiada
kemahiran komunikasi akan mewujudkan kelas yang tidak kondusif menyebabkan murid-
muridnya tidak bermotivasi dan berfokus semasa belajar. Seperti yang dinyatakan oleh Linda
Lambert (2015), kelemahan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja boleh
menyebabkan objektif pengajaran dan pembelajaran yang dirancang akan gagal tetapi turut boleh
menyebabkan pelajar mengalami perasaan tidak puas hati, kecewa, tekanan psikologi, kesihatan

1
fizikal, kesepian, hilang perasaan kasih sayang dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu bijak untuk
menyusun strategi agar suasana komunikasi antara guru dengan pelajar dapat berlaku secara
harmonis, saling bantu-membantu, hormat-menghormati supaya dapat membantu pemahaman
pelajar dalam mata pelajaran tersebut dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik
pelajar. Wida Yanti bt Mohammad Zen Umar, Salina binti Abdul Manan dan Nor Azian bt Mohd
Yussof (2017), juga menyokong pernyataan tersebut dengan menyatakan kefahaman pelajar
terhadap penyampaian guru di dalam kelas bergantung terhadap komunikasi yang berkesan.
Hasil pembelajaran yang cemerlang menjurus kepada kebijaksanaan guru menggunakan kaedah
komunikasi yang berkesan di dalam kelas. Namun begitu, kajian pengkaji telah menunjukkan
bahawa tahap kepimpinan guru dari segi dimensi komunikasi adalah paling rendah sekali, malah
sebenarnya dimensi komunikasi mendahului dimensi-dimensi yang lain dalam hubunganya
dengan pencapaian akademik pelajar. Oleh itu, guru seharusnya meningkatkan tahap
kepimpinannya, terutamanya dari segi komunikasi supaya dapat meningkatkan pencapaian
akademik pelajar.

Sebaliknya, kajian pengkaji telah menunjukkan bahawa dimensi penambahbaikan yang


berterusan menunjukkan hubungan yang paling lemah dengan pencapaian akademik pelajar.
Namun, seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia dalam Perutusan Sambutan Hari Guru 2014, para guru harus sentiasa
meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang semakin
mencabar. Hal ini demikian kerana kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan
generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 untuk bersaing dalam abad penuh
cabaran. Oleh itu, untuk mencapai tujuan ini, Tan Sri Dr. Khair mendorong para guru mestilah
sentiasa think again, think across and think ahead di samping menyaran guru-guru agar sentiasa
perka, menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah dan menfokuskan kepada pembelajaran murid. Menteri Pendidikan
II, Datuk Seri Idris Jusoh semasa menghadiri Perasmian Konvensyen Kebangsaan Pendidikan
Guru 2014 menyatakan Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha melaksanakan kaedah
meningkatkan prestasi guru sebagaimana yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 (Bernama, 2014). Beliau juga menyatakan seseorang guru yang kompeten
adalah guru yang sentiasa berpandangan jauh, berfikiran positif, dan konsisten dalam menerima
dan menambah pengetahuan serta kemahiran. Hal ini demikian kerana dunia pendidikan telah

2
banyak berubah mengikut arus pemodenan dan globalisasi. Oleh itu, penyesuaian kemahiran
keguruan untuk pendidikan abad ke-21 adalah perlu untuk sistem pendidikan negara terus kekal
relevan. Kaedah serta alatan mengajar sudah semakin canggih untuk menjadi keperluan untuk
guru mengajar dengan berkesan. Justeru itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri
Adenan telah menyatakan guru perlu memainkan peranan dengan menambah pengetahuan sedia
ada dan bersedia untuk menerima arus pemodenan bagi memastikan pendidikan dan pengajaran
yang disampaikan tidak ketinggalan (Borneo Post, 2014).

Selain itu, kemahiran pengajaran seseorang guru juga amat penting dalam meningkatkan
prestasi akademik pelajar. Menurut Anuar Ahmad dan Nelson Jinggan (2015), seseorang guru
mestilah memiliki elemen kompetensi untuk menjadi guru yang baik seperti menguasai
kandungan subjek yang diajar, berpengetahuan dalam pedagogi, berupaya memilih sumber
pengajaran, mampu mempelbagaikan strategi pengajaran, memilik kemahiran teknologi, serta
mempunyai sikap dan personaliti yang positif seperti bermotivasi, humor, dan berkeyakinan.
Guru juga perlu melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajarannya
dan ini menuntut kemahiran pengajaran yang tinggi dalam kalangan guru. Oleh itu, pendekaran
corak tradisional seperti chalk dan talk sudah kurang relevan dengan keperluan pelajar hari ini
kerana pelajar lebih berminat jika turut dilibatkan sama dalam pengajaran dan pembelajaran guru
(Mohd Azrone Sarabatin, 2017). Menurut Muhammad Suhaimi Taat (2012), guru hendaklah
memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman
pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyetuh perasaan pelajar.
Dengan cara ini, pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran
dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Oleh itu, guru haruslah merancang proses
pengajarannya dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran
yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik
penyampaian, alat bantu mengajar yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan seperti yang
dicadangkan oleh James Ang Jit Eng dan Balasandran Ramiah (2012).

Secara tuntasnya, kepimpinan seseorang guru berkemampuan untuk meningkatkan


prestasi akademik pelajar (Arkib, 2014). Oleh itu, Lokman Mohd Tahir dan Mohd Anuar Abd
Rahman menyaran pihak pentadbir atau pengurusan di sekolah harus sentiasa memberi sokongan
dan autonomi untuk guru-guru mengembangkan kepimpinan yang mereka miliki supaya dapat

3
meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Manakala sebagai seorang guru harus sering
meningkatkan profesionalisme diri dengan menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun swasta supaya mencungkil kepimpinan
baharu dan mengembangkan kepimpinan yang sedia ada supaya menjadi seorang guru yang lebih
kompeten dan berkesan supaya dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar (Mariani Md
Nor, Mohd Nazri Abdul Rahman, Norazana Mohd Nor, Norain Mat Talha dan Zaibidi Abdul
Razak, 2016).

(1040 patah
perkataan)

Anda mungkin juga menyukai