Anda di halaman 1dari 9

1.

0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Pendidikan Islam Sekolah Rendah adalah merupakan satu mata pelajaran yang

wajib dipelajari oleh semua murid beragama Islam. Semua ini telah dinyatakan

dalam Akta Pelajaran 1996 (Akta 550). Di dalam akta tersebut dinyatakan bahawa

mana-mana sekolah yang mempunyai lima orang murid beragama Islam, hendaklah

diajar Pendidikan Islam. Mata pelajaran Pendidikan Islam terbahagi kepada 7

bidang iaitu asuhan tilawah al-Quran, asas ulum syariah (akidah, ibadah dan sirah),

asas akhlak islamiah, hadis dan jawi. Pembahagian secara terperinci ini adalah

bertujuan untuk memastikan murid-murid dapat menguasai agama Islam dari

segenap aspek cabang bidang agama.

Pendidikan Islam dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan murid

beragama Islam yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab

dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan

khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan

negara. Hal ini dipertegaskan lagi oleh Ab. Halim dan Zarin (2006) yang melihat

pendidikan Islam secara langsung berperanan mendidik dan membentuk individu

muslim yang bukan sahaja berakhlak dan beriman tetapi sentiasa mengalami

perubahan demi menambah baik dan mempertingkatkan keberkesanan dalam

pendidikan akhlak murid. Matlamat akhir dalam proses pendidikan ialah melahirkan

murid yang mempunyai asas ilmu yang baik, bermaklumat dan berketerampilan

serta memiliki kekuatan dalam menghubungkan dirinya kepada Allah (Sidek Baba,

2009).

Al-Quran ialah sumber utama dalam ajaran Islam yang suci ini serta menjadi

panduan bagi setiap manusia yang bergelar seorang muslim. Al-Quran memuatkan

pelbagai petunjuk yang sangat diperlukan oleh manusia dalam mengatur


kehidupannya dalam berhubungan dengan Allah, sesama manusia, bahkan alam

sekitar manusia itu sendiri. Oleh itu, kandungan Al-Quran perlu difahami secara

sempurna agar kefahaman agama seseorang muslim turut menjadi lengkap agar

pengamalannya sehari-hari adalah sahih, menepati kehendak Allah SWT bahkan

dapat diteruskan secara konsisten. Justeru, pendidikan Al-Quran walaupun

peringkat asas seperti belajar membaca adalah sangat penting dan mendesak

untuk membina peribadi muslim yang dikehendaki seperti yang telah disebutkan.

Menurut Ibn Khaldun (2000) dalam Al-Muqaddimah, beliau menyatakan

bahawa Al-Quran menjadi asas seluruh kurikulum pendidikan dalam dunia Islam

kerana Al-Quran merupakan syiar agama yang mampu menguatkan akidah dan

mengukuhkan keimanan seseorang muslim. Berdasarkan pandangan Ibn Khaldun,

memang sepatutnya masyarakat muslim di Malaysia memberikan penekanan

terhadap pendidikan Al-Quran kepada anak bangsa kita yang beragama Islam.

Untuk itu, harus ada satu usaha dan upaya yang jelas bahkan nyata dalam

meningkatkan mutu pendidikan Al-Quran kerana pendidikan Al-Quran merupakan

inti yang paling utama dalam mempersiapkan generasi muslim yang kukuh asas

agamanya.

Membaca Al-Quran itu sendiri ialah suatu ibadah yang diberi pahala

sehinggakan setiap huruf yang dibaca akan diberi sepuluh kebaikan oleh Allah

kepada pembacanya jika dibaca dengan sebutan yang betul, mengikut kaedah

bacaan dan menurut kaedah tajwid. Tajwid ialah satu peraturan bagi para pembaca

Al-Quran untuk memastikan sebutan, bacaan dan tilawah adalah tepat (Jamaliah

Taib, et. al., 2016). Membaca Al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan

makhrajnya supaya tidak terpesong pengertiannya adalah menjadi tuntutan agama

ke atas orang Islam kerana membaca Al-Quran memastikan bacaan individu

tersebut menjadi sah dan seterusnya dapat membentuk akidah dan akhlaknya yang

menjadi wawasan Al-Quran.


1.2 Konteks Kajian

Saya merupakan seorang guru pelatih di bawah Program Ijazah Sarjana Muda

Perguruan (PISMP) pengkususan Pendidikan Islam semester 8 di Institut

Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi, Selangor. Pada

semester ini saya telah diberi peluang untuk melaksanakan internship di salah

sebuah sekolah yang berada di daerah Sepang, Selangor.

Sekolah ini mempunyai 23 kelas aliran perdana dan sebuah kelas pra

sekolah yang terdiri daripada 788 orang pelajar semuanya. Status sekolah ini

dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Sekolah ini dikelilingi oleh taman-taman

perumahan majoriti kaum Melayu yang mana para murid sekolah ini merupakan

penduduk taman sekitar. Semua murid yang berdaftar di sekolah ini merupakan

beragama Islam.

Saya menjalani internship di sini selama empat minggu bermula 31 Julai

2017 sehingga 25 Ogos 2017. Sepanjang tempoh tersebut, saya telah diamanahkan

untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dalam bidang Al-Quran bagi

sebuah kelas tahun 3. Bidang Al-Quran boleh dikatakan agak mencabar untuk diajar

terutama bagi murid-murid yang lemah dalam bidang tersebut.

Kelas tahun 3 tersebut ialah kelas kedua daripada belakang yang mana

murid-murid dalam kelas tersebut bercampur di antara murid yang sederhana dan

lemah. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa murid yang cerdas dan dapat

menerima pelajaran dengan baik tanpa perlu diberi perhatian yang lebih berbanding

murid-murid lain yang perlu diberi perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran

mereka.

Semasa waktu Al-Quran, kelas tahun 3 yang saya mengajar akan

dipecahkan kepada dua kumpulan mengikut jantina. Saya diminta untuk mengajar

murid lelaki manakala murid-murid perempuan diserahkan kepada rakan guru yang
lain dan biasanya kumpulan murid perempuan akan diminta untuk ke surau bagi

melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di sana. Kumpulan murid lelaki

pula kekal di kelas seperti biasa.

1.3 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Refleksi ini dibuat berdasarksan pengajaran dan pembelajaran yang telah

dijalankan pada tarikh 8 Ogos 2017 bersamaan hari Selasa. Murid-murid yang

terlibat adalah dari kelas tahun 3 yang saya mengajar seramai 15 orang.

Berlatarbelakang dari kawasan taman perumahan majoriti Melayu, murid-murid di

sekolah ini kebanyakkannya adalah dari kalangan keluarga yang sederhana dari

segi ekonomi dan pendidikan. Oleh sebab itu kebanyakkan murid-murid di sekolah

dari segi penguasaan pembelajaran mereka turut berada di tahap sederhana.

Berdasarkan amalan pengajaran yang telah saya jalankan di kelas tersebut

bagi matapelajaran Pendidikan Islam bidang Al-Quran, saya mendapati ada

segelintir murid yang agak sukar untuk mengingat definisi hukum mad badal dengan

tepat. Pada awalnya saya menganggap bahawa isi pelajaran ini sangat mudah

untuk diserap oleh pelajar kerana kandungannya yang sangat ringkas dan

seterusnya dapat mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan oleh saya. Isi

pelajaran mad badal tersebut hanya menekankan tentang definisi hukum tajwid

tersebut untuk murid-murid mengenal mad badal dan seterusnya kadar bacaan mad

yang mesti dibaca.

Semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran saya

menggunakan kaedah penerangan dahulu kerana menurut Shamsina Shamsuddin

(2011) kaedah penerangan digunakan secara meluas oleh para guru di mana

struktur kaedah penerangan merupakan pengucapan yang mengandungi semua

bahagian ciri yang diikuti dengan hujjah dan pandangan (arguments) serta

penyoalan retorikal (metaforikal, simbolik, tidak literal dan abstrak). Ia boleh dibina
dalam bentuk menyatakan, kuliah, narasi, mendedahkan, menjelaskan atau ucapan

mudah. Saya menggunakan bentuk menyatakan kerana ciri-cirinya yang mudah,

jelas serta dapat menggunakan frasa-frasa yang menggambarkan pemikiran secara

linear yang bertujuan untuk menarik minat murid terhadap pelajaran.

Walaupun kaedah penerangan adalah lebih berpusatkan guru ia dapat

dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada pelajar

dengan menggunakan bahan bantu yang sesuai (Bahagian Kurikulum Pendidikan

Islam dan Moral, 2007),. Saya telah menggunakan LCD sebagai bahan bantu saya

untuk memaparkan definisi mad badal kepada para murid. Abdul Razak Mat Wahie

(t.t.), menjelaskan bahawa penggunaan perisian komputer dan LCD dapat menarik

minat pelajar terhadap satu-satu matapelajaran bahkan dapat menjimatkan masa

guru, serta dapat memudahkan penyampaian ilmu dan kemahiran kepada pelajar.

Di samping penggunaan LCD, saya turut menggunakan warna bagi

menunjukkan hukum mad badal yang terdapat dalam ayat Al-Quran yang diajar

kepada murid-murid. Dalam satu potongan ayat yang mengandungi mad badal, mad

tersebut ditukarkan kepada warna merah untuk menfokuskan mad badal agar murid

lebih jelas. Hal ini dilakukan berdasarkan kajian Siti Hajar Ahmad Sabari (2012)

yang menyatakan bahawa penggunaan warna dapat meningkatkan kemahiran

membaca murid. Warna merah pula dijadikan pilihan kerana ia dapat menimbulkan

perasaan riang dan gembira bagi pelajar yang melihatnya (Mohd Johari, 2006).

Semasa sesi pengajaran, murid-murid pada mulanya didapati dapat

membaca dengan baik selepas mendengar bacaan guru. Kaedah yang digunakan

ini dipanggil kaedah talaqqi musyafahah di mana pembelajaran Al-Quran diajar dari

mulut ke mulut. Ia merupakan kaedah yang terbukti berkesan dan menyampaikan

sebutan yang tepat dan dianggap satu-satunya cara yang boleh digunakan untuk

mempelajari Al-Quran (Sedek Ariffin, 2009). Jadi penggunaan kaedah tersebut


adalah untuk membentuk interaksi yang dinamik antara guru dan murid kerana

menurut Connel (2007), proses mengajar dan belajar ialah proses yang dinamik dan

saling mempengaruhi antara guru dan murid. Keberkesanan seorang guru juga

bergantung kepada kebolehannya memudahkan proses pembelajaran murid.

Masalah dalam pengajaran saya dikesan apabila saya mendapati terdapat

empat orang murid yang tidak dapat menyebut kembali definisi mad badal yang

telah diajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Di akhir sesi pengajaran,

saya telah meminta murid untuk menyebut kembali definisi mad badal untuk

memastikan mereka memahami apa yang telah mereka pelajari. Menurut Mohamed

Najib (1999), pelajaran perlu diakhiri secara teratur dan memuaskan. Telah menjadi

amalan saya untuk bersoal jawab dengan murid di penghujung sesi pengajaran

sebagai peneguhan dan pengukuhan serta sebagai salah satu cara untuk saya

membuat peniaian terhadap hasil pembelajaran murid yang dicapai oleh mereka

selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.

Saya juga berasa hasil pengajaran saya tidak memuaskan apabila mereka

tidak dapat dapat menjawab soalan lembaran kerja yang diberikan kepada mereka

dengan baik. 4 orang murid yang dikenalpasti tidak dapat menyebut definisi mad

badal tersebut turut didapati mencapai skor yang kurang memuaskan dalam

lembaran kerja mereka. Mereka didapati tidak dapat mengenalpasti mad badal yang

terdapat dalam potongan ayat yang telah disoal dalam lembaran kerja tersebut. Ada

juga yang menconteng lembaran kerja yang diberikan dan menjawab secara ala

kadar sahaja serta dilihat tidak bersungguh-sungguh dan kurang berminat untuk

menyelesaikan tugasan yang telah diberikan disamping berbual-bual dan lambat

menyiapkan tugasan tersebut.

Nik Rosila (2007) menjelaskan bahawa 39.8 peratus pelajar suka jika waktu

Pendidikan Islam berlalu dengan cepat. Hal ini menunjukkan pelajar kurang
berminat dengan mata pelajaran Pendidikan Islam. Justeru itu adalah menjadi

tanggungjawab saya sebagai seorang guru untuk meningkatkan pencapaian murid

dan memastikan hasil pembelajaran murid yang memuaskan seperti yang

disebutkan oleh Connel. Lebih-lebih lagi kemahiran membaca Al-Quran adalah satu

keperluan sebagai seorang muslim yang akan menjalani kehidupan di atas dunia ini

sebagai hamba Allah di samping mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

yang ingin membentuk warga yang sejahtera jasmani, emosi, rohani dan intelek

yang dapat dicapai melalui pendidikan Al-Quran yang kukuh.


Rujukan:

Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail (2006). Nilai Akhlak Dan Pengaruh Media Massa

Di Kalangan Remaja Islam Luar Bandar. Jurnal Islamiyyat.

Sidek Baba (2009). Hakikat Rukun. Shah Alam, Selangor: Alaf 21.

Ibn Khaldun. (2000). Al-Muqaddimah. Jakarta: Pustaka Firdaus.

Jamaliah Mohd Taib, Norliza Mohamad Yusof, Makiah Tussaripah Jamil, Husnul
Rita Aris & Hisam Satari. (2016). An Interactive Approach of an E-
Tajweed Yaasin System. Envisioning the Future of Online Learning:
Selected Papers from the International Conference on e-Learning 2015,
115-123.
Malaysia. (1996). Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Shamshina Shamsuddin. (2011). Pasal Kaedah Penerangan. Diakses pada 17

Ogos 2017, daripada http://shamsinagurupendidikanislam.blogspot.my

Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral. (2007). Buku Panduan

Pelaksanaan Model-Model Pengajaran dan Pembelajaran dan Kokurikulum.

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Abdul Razak Mat Wahie. (t.t.). Penggunaan Perisian Komputer dan LCD sebagai

Bahan Bantu Mengajar dan Pemudahcara. Diakses pada 17 Ogos 2017,

daripada http://cgnarzuki.com/

Siti Hajar Ahmad Sabari. (2012). Penggunaan Warna Pada Huruf-Huruf Mad Asli

Dalam Pengajaran Surah Al-Bayyinah. Koleksi Artikel Penyelidikan.

Tindakan PISMP Pendidikan Islam amb. Januari 2009, Seminar

Penyelidikan. Tindakan IPG KBL Tahun 2012, ms 10-25.

Mohd Johari Ab. Hamid. (2006). Asas Seni Visual. Selangor: Penerbit Universiti

Pendidikan Sultan Idris.


Sedek Ariffin. (2009). Kepentingan Talaqqi Dan Musyafahah Dalam Pembacaan Al-

Quran. Jurnal Darul Quran, 13. pp. 109-127.

Connel, R. (2007). Education Change & Society. Oxford: Oxford University Press.

Nik Yaacob, Nik Rosila (2007) Penguasaan Jawi Dan Hubungannya Dengan Minat

Dan Pencapaian Pelajar Dalam Pendidikan Islam. The Asia Pacific

Journal of Educators and Education (formerly known as Journal of

Educators and Education), 22 (1). pp. 1- 12. ISSN 2289-9057