Anda di halaman 1dari 8

Persaingan Dalam Perniagaan Memberi Manfaat Kepada Pengguna.

Bincangkan.

Persaingan yang wujud dalam perniagaan merupakan fenomena baharu pada masa
kini. Namun begitu, persaingan yang wujud menjana kepada perubahan corak
perniagaan dan pembelian dalam kalangan peniaga serta pengguna. Secara tidak
langsung, persaingan yang wujud telah memberi banyak manfaat kepada para
pengguna dalam merebut peluang yang ada. Menurut teori competitive analysis
persaingan yang komprehensif merangkumi semua fakta yang perlu kita ketahui
supaya pelan pemasaran dapat mengatasi pesaing yang ada. Secara umum kita
perlu mengetahui bagaimana pesaing beroperasi, bagaimana kaedah mereka
menarik pelanggan dan berapa besar pasaran mereka.

Justeru, sebagai pengguna kita juga perlu tahu bagaimana mereka membuat
penilaian dari segi harga jualan, promosi, pengiklanan, branding dan lain-lain aspek.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, persaingan mengikut trend dalam
perniagaan adalah proses dalam ekonomi para peniaga iaitu ibarat pemain yang
berperanan penting dalam pasaran. Tugas utama mereka adalah untuk mencuit hati
pelanggan. Contoh perniagaan tersebut adalah syarikat multinasional, firma
tempatan, pemborong dan peruncit yang menjual barang dan perkhidmatan. Mereka
adalah golongan dalam pesaing-pesaing yang saling berlumba dan situasi
persaingan ini semakin mencabar kerana dalam pada masa yang sama juga
wujudnya pemain baharu yang berminat untuk bersaing dalam pasaran, terutama
perniaga-peniaga secara atas talian atau on-line yang banyak memonopoli corak
perniagaan pada masa kini.

Persaingan dalam perniagaan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu


persaingan harga dan persaingan bukan harga. Persaingan harga merupakan
bentuk persaingan di antara pembekal untuk memenangi hati pelanggan dengan
cara menawarkan produk pada harga yang lebih rendah daripada harga pesaing,
iaitu menurunkan harga barang dengan mengharapkan untuk meningkatkan
pasaran. Manakala persaingan bukan harga pula, adalah lebih kepada perniagaan
dalam menyediakan perkhidmatan di mana berlaku transaksi bayaran berdasarkan
perkhidmatan yang diberikan seperti perkhidmatan peguam, kaunseling, runding
cara dan sebagainya.

Pengguna pula merupakan individu, institusi, firma dan kerajaan yang perlu
diberi keutamaan oleh organisasi perniagaan. Kejayaan sesebuah organisasi
perniagaan amat bergantung kepada kepada golongan pengguna. Permintaan
golongan pengguna terhadap barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya yang
disediakan oleh organisasi perniagaan menetapkan sejauh manakah pencapaian
objektif atau matlamat organisasi perniagaan iaitu untuk mendapat keuntungan.
Kehendak atau citarasa pengguna mempengaruhi keputusan organisasi perniagaan
terhadap jenis atau barangniaga yang hendak ditawarkan di pasaran.

Organisasi perniagaan harus sentiasa menilai sama ada keluarannya dapat


memenuhi kehendak pengguna atau tidak. Sekiranya keluaran yang ditawarkan oleh
organisasi perniagaan itu tidak diminati dan tidak disambut baik oleh pengguna,
maka organisasi perniagaan akan menanggung risiko bahawa barang tidak terjual
dan ini pasti merugikannya. Selain itu, keluaran organisasi perniagaan perlu
mempunyai inovasi, berkreativiti dan berkembang maju supaya keperluan dan
citarasa pengguna selari dengan perkembangan teknologi dunia hari ini.

Hakikatnya, persaingan dalam perniagaan yang berlaku pada masa kini tidak
dapat dinafikan meninggalkan tempias yang bukan sedikit kepada pengguna,
malahan banyak meninggalkan impak besar kepada corak pembelian para
pengguna. Buktinya, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), pengguna
pasar raya meningkat 1.5 kali ganda manakala pelanggan hypermarket meningkat
lebih dua kali ganda sejak tahun 1995. Mengapa fenomena ini berlaku? Nah, sudah
pastilah pengguna kini kian bijak dan biasanya lebih tertarik untuk membuat
pembelian di pusat-pusat membeli-belah yang lebih besar, moden dan menyediakan
pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada mereka memandangkan mereka dapat
menjimatkan masa dan kos. Hanya berada dalam satu bangunan semua keperluan
mereka dapat diperolehi. Begitu mudah sekali!. Kedudukan yang strategik dan
kemudahan untuk mendapatkan barangan keperluan di bawah satu bumbung
merupakan antara faktor utama kejayaan beberapa buah syarikat peruncitan luar
negara yang melabur di negara ini, seperti Tesco, Aeon dan Jaya Jusco. Pasar raya
yang masih mengekalkan sistem peruncitan dan persekitaran tradisional akan
tenggelam pada zaman globalisasi ini dan tidak dapat dinafikan inilah antara bentuk
persaingan yang banyak memberi manfaat kepada pengguna.

Lantaran itu, seseorang peniaga yang bijak harus peka kepada perubahan
corak pembeli dan boleh mentafsir kehendak mereka sesuai dengan perubahan
zaman. Mereka juga tidak boleh hanya mementingkan kepentingan dirinya sahaja
terutama dalam mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Mentaliti pembeli
telah beralih arah dan mereka kian bijak memanipulasikan peluang terbaik untuk
memenuhi tuntutan dan keuntungan yang mereka dapat daripada setiap sen yang
dibelanjakan. Oleh itu, kini pelbagai strategi dilakukan oleh para peniaga untuk
merebut pelanggan dalam setiap produk yang mereka keluarkan. Antara contohnya
ialah membuat jualan lelong, cabutan bertuah dan jualan happy hour. Jika peniaga
mengambil langkah bijak sebegini siapakah yang beruntung?. Jawapannya, tentulah
para pembeli, kerana mereka mendapat peluang berganda bukan sahaja
memperoleh barangan yang dibeli, namun begitu, mendapat pelbagai faedah yang
disediakan oleh peniaga yang bersaing untuk menambah bilangan pembeli seperti
cabutan bertuah atau harga runtuh yang menjadi trend perniagaan pada masa kini
terutama bagi menyambut sesuatu perayaan besar contohnya Hari Raya, Tahun
Baru Cina dan Deepavali.

Para peniaga tidak harus lupa kepada hakikat bahawa pasaran adalah
mekanisme pertukaran barang dan wang yang menemukan penjual dan pengguna
pada sebarang perkhidmatan atau komoditi. Ia adalah transaksi yang mudah, iaitu
pengguna bersetuju untuk membayar harga barang yang telah dibeli daripada
penjual. Justeru, persaingan akan sentiasa berlaku walaupun terdapat perbezaan
kepada ciri-ciri struktur pasaran seperti bilangan penjual dan pengguna, jenis barang
yang dihasilkan, halangan kemasukan contohnya firma baharu tidak dapat memasuki
pasaran dan sebagainya. Persaingan yang wujud antara para peniaga akibat
perubahan corak pembelian pengguna secara langsung telah membawa banyak
manfaat kepada pengguna itu sendiri. Harga barangan akan menjadi lebih rendah
manakala kualiti pula semakin meningkat. Oleh itu, faedahnya banyak kepada para
pembeli. Kos perbelanjaan secara langsung akan dapat dijimatkan dan mereka
dapat mengecilkan kos daripada poket mereka setiap hari. Seterusnya, jika ini
berlaku, maka lebihan perbelanjaan yang sepatutnya dikeluarkan pula boleh
dibelanjakan untuk menampung keperluan lain seperti belanja persekolahan anak-
anak, kos perubatan dan keperluan sosial keluarga masing-masing seperti aktiviti
melancong dan sebagainya.

Realitinya, persaingan antara peniaga memberikan impak besar kepada para


pengguna. Sementelahan itu, menurut kenyataan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baharu-baharu ini
menyatakan, Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan di bawah Akta Persaingan.
Ia bertujuan untuk memantau kegiatan bersifat monopoli dan mengendalikan
sebarang aduan yang berkaitan dengan kegiatan tersebut. Langkah yang diambil
oleh pihak kementerian ini memberikan kesan positif kepada para pengguna kerana
persaingan yang berlaku dalam kalangan para peniaga dipastikan berlaku secara
berhemah dan berintegriti tanpa menindas para pembeli dengan menaikkan harga
sesuka hati dan mewujudkan kekurangan bekalan secara palsu bertujuan untuk
mendesak kenaikan harga.

Namun begitu, persaingan ini kadang kala mewujudkan pakatan antara


pesaing itu sendiri bagi memonopoli harga barangan keperluan bagi para pengguna.
Inilah hakikatnya!. Pandangan ini telah disuarakan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr.
Mohamed Ariff Abdul Kareem, mantan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan
Ekonomi Malaysia (MIER) ketika melancarkan Pusat Penyelidikan dan Sumber
Pengguna (CRRC) pada 20 Mac 2017 yang lalu. Pada masa kini, senario dalam
penguasaan kepada bekalan bagi beberapa komoditi keperluan asas dikendalikan
oleh beberapa pengeluar dan pembekal tertentu. Mereka juga sering mewujudkan
pakatan atau kartel dalam menentukan kedudukan bekalan dan harga, khususnya
barang yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan. Pada masa ini terdapat bekalan
bagi beberapa komoditi keperluan asas dikendalikan oleh beberapa pengeluar dan
pembekal tertentu. Impaknya, para pembeli akan merasai kesannya dengan
kenaikan harga yang diwujudkan oleh para peniaga.
Persaingan juga dapat memperkembangkan bidang penyelidikan dan inovasi
bagi melahirkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan beraneka pilihan. Bagi
menangani masalah ini, kerajaan perlu menyediakan perancangan agar secara
berperingkat, penguasaan secara monopoli syarikat-syarikat ini akan dipecahkan
dan syarikat-syarikat lain yang ingin menyediakan perkhidmatan yang sama
dibenarkan untuk beroperasi. Ini memberikan pilihan kepada pengguna untuk
memilih pihak yang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. Keahlian
Suruhanjaya Persaingan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri kelak
hendaklah dianggotai oleh pelbagai pihak yang berkepentingan, seperti wakil
persatuan pengguna, persatuan pengilang, agensi kerajaan, ahli akademik dan
sebagainya yang mampu membuat pertimbangan sewajarnya dalam mengendalikan
isu berkaitan amalan monopoli. Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk mengambil
sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang mewujudkan pakatan atau
terlibat dengan kegiatan perniagaan bersifat monopoli secara tegas dan tidak
berpihak kepada mana-mana premis perniagaan. Langkah ini diambil bagi membela
nasib para pembeli dan pengguna agar tidak ditindas oleh para peniaga dengan
menggunakan harga yang tidak masuk akal, sedangkan kualiti yang diperoleh tidak
setanding dengan harga yang dikenakan terhadap produk yang dibeli oleh mereka.

Selain itu, persaingan dalam perniagaan juga memberikan banyak faedah


kepada para pembeli. Seseorang peniaga tidak boleh mengamalkan penetapan
harga yang berbeza kepada pembeli yang berlainan kerana ia adalah suatu tindakan
yang telah menyalahi etika perniagaan demi menjaga imej perniagaan mereka di
mata pembeli. Persaingan sempurna adalah situasi yang ideal di mana para pembeli
boleh membuat pilihan bijak yang manakah barangan yang boleh dipilih. Oleh itu,
para peniaga haruslah melaksanakan persaingan secara sihat agar berlaku
kebolehpercayaan dalam urusan jual beli. Natijahnya, para pembeli tidak rasa tertipu
dan ini secara langsung juga dapat mewujudkan situasi win-win situation di mana
para peniaga dan pembeli sama-sama mendapat kebaikan. Contohnya dalam
persaingan monopoli di mana penjual individu, pengguna yang ramai, tiada
pengganti keluaran yang terdekat dan sekatan kemasukan yang tinggi seperti
perkhidmatan pengangkutan.

Oleh kerana itu, berlaku persaingan yang memberikan banyak faedah kepada
para pengguna kerana berlaku persaingan untuk menyediakan perkhidmatan yang
terbaik bagi merebut hati pelanggan. Contohnya, perkhidmatan pengangkutan awam
seperti Syarikat Sani Ekspress dan Syarikat Penerbangan Air Asia yang sentiasa
menjalankan pelbagai promosi yang menarik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan
agar jenama syarikat mereka mendapat kepercayaan daripada para pelanggan.

Seterusnya dalam persaingan monopolistik, contohnya para pengguna


mendapatkan produk pengganti terdekat dan tiada sekatan kemasukan yang
dikenakan. Kewujudan bilangan penjual dan pengguna yang besar menunjukkan
bentuk persaingan ini menyerupai persaingan sempurna. Kewujudan bilangan
penjual dan pengguna yang besar tidak bererti hanya satu harga yang menguasai
pasaran. Beberapa harga wujud dalam bentuk pasaran ini. Setiap firma bebas
menetapkan harga bagi setiap barang yang dipasarkan. Oleh kerana itu, para
pembeli memperoleh banyak faedah kerana mereka mempunyai banyak pilihan dan
berupaya membuat keputusan bagi mendapatkan barangan yang terbaik untuk
memenuhi kehendak mereka. Contohnya barangan keperluan harian seperti
makanan dan keperluan rumah yang biasa digunakan seperti susu, beras, ubat gigi,
sabun dan sebagainya. Buktinya, terdapat pelbagai jenama produk barangan di atas
seperti Nestle, Gardenia, Coca Cola, Johnson and Johnson dan sebagainya. Selain
memastikan barangan mereka mendapat tempat di hati para peniaga, syarikat-
syarikat di atas juga banyak memberikan sumbangan sosial kepada masyarakat
dengan memberikan sumbangan terhadap pelbagai program yang dianjurkan seperti
Pertandingan Kepenggunaan yang diadakan pada setiap tahun.

Persaingan Oligopolistik berlaku apabila bilangan penjual sangat sedikit,


bilangan pengguna lebih ramai, lebih banyak produk berjenama dan sekatan
kemasukan yang tinggi. Jumlah penjual adalah sangat sedikit dan sedar mereka
perlu saling bergantung antara satu sama lain (dalam bentuk harga, produk atau
promosi). Mereka mengambil kira kemungkinan reaksi pesaing sewaktu mereka
merancang strategi. Firma, dalam bentuk pasaran ini, cenderung untuk
menghasilkan barangan berjenama dalam kuantiti yang banyak untuk
mempelbagaikan pengeluaran produk dan yang bersaing dalam terma bukan harga
(seperti kesetiaan terhadap janama) dan menguatkannya dengan bajet pengiklanan
yang tinggi. Persaingan dalam bentuk Oligopolistik ini mempunyai cabaran yang
tersendiri kerana mereka sentiasa memastikan jenama produk yang dikeluarkan
diterima oleh pengguna yang setia dengan satu jenama yang telah menjadi pilihan
mereka. Namun begitu, bagi pengguna ia kadangkala mendatangkan banyak faedah
kerana kualiti barangan yang dikeluarkan sentiasa terpelihara di samping mereka
mendapat pelbagai kelebihan seperti diskaun untuk para pemegang kad keahlian,
contohnya barangan kemasan diri seperti Habib Jewels, Poh Kong, Focus Point dan
Jam Tangan Rolex.

Kajian yang dibuat oleh pakar ekonomi menunjukkan bahawa persaingan


yang sihat dapat memberi manfaat kepada pengguna. Apabila ini berlaku, kuasa
pembelian pengguna akan meningkat apabila harga barangan turun. Terdapat
banyak kesan positif yang diperoleh daripada persaingan yang berlaku antara para
peniaga, terutama dalam sistem ekonomi yang kian mencabar, di mana kos hidup
yang semakin meningkat setiap masa. Hakikatnya, apabila ada persaingan antara
para peniaga, secara tidak langsung pengguna akan mendapat banyak manfaat.
Pembeli atau pengguna mempunyai banyak pilihan dan citarasa untuk memilih
barangan yang mereka mahu. Pilihan pengguna tidak lagi terhad kerana banyak
jenis barangan di pasaran. Pengguna juga dapat menikmati barang berkualiti tinggi
pada tahap harga yang rendah. Di samping itu pengguna juga terdedah kepada
pelbagai pertukaran teknologi dan ilmu pengetahuan dari negara lain. Hal ini
demikian kerana harga merupakan satu aspek yang sangat penting yang sering
dititikberatkan oleh seseorang pembeli. Oleh itu, dengan adanya harga mampu milik
ini akan dapat membantu para pembeli untuk memutuskan cara mengalokasikan
kekuatan membelinya pada berbagai jenis barang dan perkhidmatan. Secara
tuntasnya, para pembeli dapat membandingkan harga dari berbagai alternatif yang
tersedia, kemudian memutuskan alokasi dana yang dikehendaki. Peranan maklumat
adalah sangat penting dalam mendidik pengguna mengenai faktor produk, misalnya
kualiti. Perkara ini bermanfaat dalam situasi di mana pembeli mengalami kesukaran
untuk menilai faktor produk atau manfaatnya secara objektif. Persepsi yang sering
berlaku adalah bahawa harga yang mahal mencerminkan kualiti yang tinggi. Tanpa
disedari, kadangkala kita sebagai pengguna tertipu secara tidak disedari kerana
terlalu taksub dengan sesuatu jenama yang diwarisi dari satu generasi kepada
generasi yang lain.

Selain pelbagai faedah diperoleh kepada para pembeli, kita juga jangan
tertipu dengan pelbagai strategi yang digunakan oleh para peniaga bagi
memanipulasikan pengguna, contohnya harga umpanan. Strategi ini digunakan ke
atas barangan yang kurang popular, tidak laris atau mempunyai harga yang terlalu
mahal atas sebab jenama atau kualitinya. Melalui strategi ini, barang penggenap
yang ditawarkan pada harga yang tinggi akan ditawarkan pada harga yang rendah
untuk dijadikan umpan dengan harapan pembelian barang penggenapnya akan turut
berlaku. Selain strategi peletakan harga di atas, terdapat beberapa strategi harga
yang lain yang digunakan oleh peruncit seperti potongan harga mengikut kuantiti dan
strategi harga ganjil. Ini juga memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana
pengguna dapat membeli sesuatu barangan yang berjenama dengan harga yang
mampu dibelinya.
Persaingan yang dilakukan oleh para peniaga juga dijalankan melalui kegiatan
promosi kerana ia merupakan satu aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah syarikat
perniagaan untuk menonjolkan keistimewaan-keistimewaan produk dan memujuk
pengguna supaya membeli. Strategi promosi menggabungkan pengiklanan,
penjualan perseorangan, promosi penjualan, hebahan maklumat dan publisiti
menjadi suatu program berpadu untuk berkomunikasi dengan pengguna yang pada
akhirnya akan mempengaruhi keputusan pembelian. Aktiviti promosi ini memberi
manfaat kepada pengguna kerana dengan cara ini pengguna mendapat maklumat
yang terperinci tentang sesuatu produk. Dengan cara ini juga pengguna boleh
bertanya lebih lanjut tentang sesuatu barangan yang mereka tidak ketahui terutama
jika produk tersebut masih baharu di pasaran. Para pembeli seterusnya akan dapat
menambah pengetahuan pengguna tentang sesuatu produk yang dihasilkan.

Persaingan yang pelbagai berlaku akibat peniaga memahami perilaku


pengguna yang beragam. Persaingan wujud agar dapat mengembangkan produk
dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pengguna. Banyak faktor yang
mempengaruhi pengguna dalam mengambil keputusan akhir iaitu membeli sesuatu
produk, kerana pada umumnya manusia sangat rasional dan memanfaatkan secara
sistematik maklumat yang tersedia untuk mereka. Hakikatnya, persaingan antara
peniaga memang memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna
sangat beragam dalam usia, pendapatan dan citarasa walaupun kadangkala para
peniaga sendiri menggunakan perang harga dalam melariskan jualan mereka.

Manakala persaingan yang sihat bermaksud para peniaga perlu menjalankan


urusan perniagaan secara jujur dan adil, di mana bukan sahaja mengaut keuntungan
menjadi agenda utama, malahan mereka juga perlu memikirkan tentang
kemanusiaan dan hubungan yang toleran dengan para pembeli. Dunia perniagaan
tidak dapat lari daripada persaingan. Oleh kerana itu, persaingan yang sihat haruslah
dicipta oleh semua peniaga agar tidak mengkhianati antara satu dengan yang lain
dengan apa cara sekalipun. Nilai-nilai positif perlu dipupuk dalam diri peniaga agar
berlaku persaingan secara sihat.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh peniaga dalam
mengamalkan persaingan sihat dalam kalangan para peniaga ini, antaranya tidak
mendapatkan maklumat penting peniaga lain dengan cara yang haram seperti
pemberian rasuah kepada kakitangan peniaga tersebut. Selain itu, membuat
provokasi dan memberikan reputasi buruk kepada peniaga lain, berpakat dengan
pesaing lain untuk menetapkan harga, meletakkan harga lebih rendah daripada kos
supaya dapat menyingkirkan pesaing daripada pasaran dan memburuk-burukkan
produk lain dalam iklan juga merupakan amalan yang harus dielakkan dalam diri
para peniaga. Persaingan yang sihat sebaliknya, mestilah sanggup berkongsi untuk
mencari faedah bersama seperti mengamalkan perkongsian pintar supaya sama-
sama mendapat untung dalam perniagaan. Menghasilkan produk berkualiti,
kecekapan kos, penggunaan sumber dengan optimum, aplikasi penggunaan
teknologi yang maju, pelaburan dalam kajian dan pembangunan adalah langkah-
langkah bijak dalam mengamalkan persaingan ssecara sihat.

Berdasarkan teori sistem, sesebuah organisasi perniagaan itu tidak dapat


berdiri sendiri. Mereka sentiasa memerlukan sokongan daripada organisasi
perniagaan dan dikelilingi oleh elemen-elemen persekitaran yang berinteraksi dan
mempengaruhi pembuatan keputusan dan tingkah lakunya. Sebelum para peniaga
merancang strategi perniagaan, mereka perlu mengenali, menganalisa dan
memahami keadaan persekitaran perniagaan terlebih dahulu. Namun, persekitaran
perniagaan boleh ditinjau dari dua perspektif iaitu persekitaran perniagaan dalaman
dan persekitaran perniagaan luaran. Oleh kerana itu, keadaan ini sangat
menguntungkan para pembeli kerana mereka akan memperoleh faedahnya kerana
pembeli mempunyai kuasa yang besar dan kuat dalam membuat pilihan dan hal ini
boleh mendesak kepada para peniaga untuk mengatur pelbagai strategi perniagaan
yang banyak membawa kebaikan kepada para pembeli.

Pengguna merupakan individu, institusi, firma dan kerajaan yang perlu diberi
keutamaan oleh organisasi perniagaan. Kejayaan sesebuah organisasi perniagaan
amat bergantung kepada kepada golongan pengguna. Permintaan golongan
pengguna terhadap barangan atau perkhidmatan atau kedua-duanya yang
disediakan oleh organisasi perniagaan menetapkan sejauh manakah pencapaian
objektif / matlamat organisasi perniagaan iaitu mendapat keuntungan. Kehendak
atau citarasa pengguna mempengaruhi keputusan organisasi perniagaan terhadap
jenis atau barangniaga yang hendak ditawarkan di pasaran. Organisasi perniagaan
harus sentiasa menilai sama ada keluarannya dapat memenuhi kehendak pengguna
atau tidak. Sekiranya keluaran yang ditawarkan oleh organisasi perniagaan itu tidak
diminati dan tidak disambut baik oleh pengguna, maka organisasi perniagaan akan
menanggung risiko tidak terjual yang tinggi dan ini pasti merugikannya.Selain itu,
keluaran organisasi perniagaan perlu mempunyai inovasi, berkreativiti dan
berkembang maju supaya keperluan dan citarasa pengguna selari dengan
perkembangan teknologi dunia hari ini.

Pada era globalisasi, operasi perniagaan tidak lagi terhad kepada persekitaran
setempat, malahan juga pasaran dari luar negara. Sebagai peniaga berhemah,
mereka harus bersedia dan menyusun strategi dan merancang perniagaannya
supaya benar-benar berdaya saing dengan peniaga-peniaga antarabangsa.
Keadaan politik, ekonomi dan perkembangan teknologi semasa di negara-negara
asing banyak berinteraksi dan memberi kesan yang signifikan kepada perjalanan
perniagaan di negara tempatan. Misalnya, kegawatan ekonomi yang berlaku di
Malaysia pada tahun 1997 telah menjejaskan sedikit sebanyak negara-negara barat
yang mengeksport industri pendidikan mereka. Kerajaan Malaysia telah mengambil
keputusan untuk membekukan penghantaran pelajar-pelajar untuk melanjutkan
pelajaran mereka ke luar negara. Tindakan kerajaan Malaysia sedemikian secara
tidak langsung memaksa banyak institusi pengajian tinggi luar negara untuk
menawarkan biasiswa atau mengurangkan yuran pengajian kepada pelajar-pelajar
Malaysia yang melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara.

Justeru, kita harus berfikir di luar kotak dan membuat tanggapan baharu
bahawa apa sahaja bentuk persaingan yang dilakukan dalam proses jual beli,
mereka tetap tertakluk kepada peraturan dan akta perniagaan yang digubal oleh
negara. Pihak bertanggungjawab seperti Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan
(KPDNKK) adalah badan yang berperanan menyebarluas maklumat tentang perkara
ini kepada para peniaga mahupun kepada para pembeli. Tidak dapat dinafikan
kesedaran ini perlu dipupuk sedari awal agar rakyat Malaysia menjadi pengguna
yang bijak dalam memanipulasikan strategi yang digunapakai oleh para peniaga.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh dijadikan platform dalam
mendidik dan memberikan pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan agar satu masa
nanti negara dapat melahirkan peniaga yang berintegriti dan pembeli yang
berinformasi. Ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Anda mungkin juga menyukai