Anda di halaman 1dari 4

PENGENALAN

Konsep kendiri boleh didefinisikan sebagai penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri
atau bagaimana ia menganggap tetang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Ia
berkait rapat dengan perasaan kita terhadap kebolehan kita, perkara yang berlaku pada diri kita
dan perkara yang akan berlaku pada diri kita. Konsep kendiri amat berkaitan dengan
pembelajaran. Pengetahuan mengenai konsep kendiri penting untuk guru dan pendidik secara
amnya. Rogers (1951) adalah tokoh penting yang membicarakan mengenai konsep kendiri.
Melalui Terapi Pusatan Klien beliau mengemukakan teori konsep kendiri yang dikatakan lebih
bersifat kemanusian. Menurut teori Carl Rogers, Shahabudin (2003) pada asas setiap individu
sama ada murid dan bukan murid adalah golongan adalah golongan yang dilahirkan lengkap,
berbudi, dan boleh dipercayai. Dalam erti kata yang lain, individu yang dilahirkan umpama kain
putih. Agen-agen yang berada di sekelilingnya akan membentuk individu atau kain putih
tersebut mengikut corak yang diminati mereka.

Jenis - Jenis Konsep Kendiri

Konsep kendiri dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu konsep kendiri positif dan konsep
kendiri negatif. Jika dapat diperhatikan, murid yang mempunyai kendiri yang positif sering
dikaitkan dengan kejayaan dalam hidup. Mereka ini sentiasa menerima layanan dan perhatian
yang baik sama ada daripada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, guru-guru mahupun orang yang
berada di persekitarannya. Bagi murid yang memiliki sifat kendiri negatif, mereka akan menjadi
seseorang yang terlalu mementingkan diri sendiri, akan lebih kerap meminta pertolongan
daripada orang lain, selalu menyalahkan orang lain, dan hidup di dalam angan-angan. Terdapat
pelbagai cara yang digunakan bagi membentuk konsep kendiri positif di kalangan murid. Guru-
guru harus sentiasa mempamerkan sikap positif bagi sebarang situasi. Nasihat-nasihat yang
berguna juga perlu dalam pembentukan konsep kendiri yang positif.

1
Motivasi dapat Mempengaruhi Pembelajaran dan Tingkah Laku Murid

Umum mengetahui bahawa, motivasi atau dorongan dalaman menjana, mengarahkan


dan mengekalkan tingkah laku yang diingini. Motivasi atau dorongan dalaman yang timbul
dalam diri murid tidak dibawa bersama dari luar sekolah. Ia muncul daripada situasi
persekitaran di sekolah atau di dalam bilik darjah. Motivasi memberi kesan mendalam terhadap
cara murid belajar, iaitu melalui penumpuan dan cara pemprosesan informasi semasa guru
mengajar. Pembelajaran bermakna dalam konteks penghayatan ilmu pengetahuan dapat
membantu murid mengaplikasikan hasil pembelajaran tersebut dalam kehidupan mereka.
Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran juga dianggap membantu dalam peningkatan
proses kendiri untuk menjana ilmu untuk diaplikasikan oleh murid.

Peranan Guru dalam Membantu Membina Konsep Kendiri yang Positif di Kalangan Murid

di dalam Bilik Darjah.

Sekolah merupakan tapak asas bagi memperkembangkan tingkah laku positif.


Persekitaran bilik darjah yang lesu dan membosankan menjadikan remaja tidak menyukai bilik
darjah. Pengalaman yang tidak menggembirakan ini akan dibawa keluar apabila mereka tamat
sekolah nanti. Oleh itu, guru perlu membuat pelbagai pendekatan semasa mengajar. Menurut
teori Bruner, pembelajaran yang berkesan adalah yang menekankan pembelajaran konsep dan
kategori. Menurut Bruner lagi, konsep atau kategori sepatutnya mempunyai ciri- ciri tertentu
yang membezakan objek itu dengan objek yang lain. Murid- murid belajar melalui pengalaman.
Dengan itu, guru perlu menyediakan peluang untuk murid meneroka, memegang, mencium,
dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna. Oleh
itu, aktiviti aktiviti seperti projek, lawatan dan kajian luar perlu diadakan dari masa ke semasa.

Sebagai guru yang bersifat fleksibel, guru boleh menggunakan pendekatan


pembelajaran di hadapan kelas, iaitu setiap murid diberi peluang untuk menampilkan diri
mereka dengan melakukan pembentangan. Bagi murid yang mempunyai personaliti yang
pendiam dan pemalu tetapi cerdik, mereka perlulah diberi peluang menonjolkan diri untuk
memberikan keyakinan, memotivasikan diri dan mengurangkan sifat malu yang terdapat dalam
diri mereka. Di samping itu, mereka akan lebih rasa bersemangat untuk belajar dan
memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang
sedang berlangsung. Kaedah ini di aplikasikan menurut teori Piaget dalam pendidikan menurut
Santrock (2006), iaitu mengubah bilik darjah ke dalam suatu latar yang bercirikan penerokaan.

2
Guru harus mewujudkan bilik darjah yang berkonsepkan penerokaan. Guru meneliti
keinginan dan penyertaan murid dalam aktiviti untuk mengenal pasti tujuan pembelajaran. Guru
hendaklah menggalakkan interaksi rakan sebaya semasa belajar dan bermain untuk
memberikan ruang kepada pelajar memikir bagi menyelesaikan masalah dalam pembelajaran.
Menurut Woolfolk dan Nicolich ( 1984) kreativiti tidak bergantung sepenuhnya kepada tahap
kecerdasan. Hal ini kerana, sering terjadi remaja yang lemah mampu menghasilkan sesuatu
yang menakjubkan. Malah kajian menunjukkan pelajar sederhana lebih kreatif daripada remaja
pintar. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa remaja yang tinggi tahap
kecerdasannya mudah menjadi kreatif. Berdasarkan penjelasan ini, kita dapat membuat
andaian bahawa seseorang yang mempunyai kecerdasan yang tinggi tidak semestinya
berminat terhadap sesuatu aktiviti yang berbentuk kreatif. Mereka perlu diberi galakan yang
positif bagi mengembangkan kreativiti mereka. Sering kali berlaku apabila remaja yang pada
peringkat awalnya seorang kreatif tetapi dalam proses pembesaran menjadi orang yang tidak
mampu mengembangkan ideanya. Oleh itu, guru perlu meneliti tahap kreativiti yang dimiliki oleh
pelajar dan mencari jalan untuk mengembangkannya.

Menurut teori perkembangan Erikson,Suppiah (2012) murid juga mempunyai keinginan


untuk membuktikan kejayaan dalam sebarang bidang yang diminatinya. Murid amat
memerlukan kepelbagaian bentuk peneguhan positif sebagai perangsang kepada mereka bagi
membuktikan kejayaan mereka. Pengiktirafan guru kepada muridnya akan membuatkan
muridnya bertambah yakin kepada diri sendiri dan secara tidak langsung meningkatkan konsep
kendirinya. Antara bentuk peneguhan positif yang diperlukan adalah pujian-pujian dan
penghargaan terhadap tugasan yang sudah disempurnakan. Pujian merupakan peneguhan
positif yang paling murah yang boleh diberikan oleh seseorang guru kepada muridnya.

Sebagai kesimpulannya, konsep kendiri bagi setiap individu boleh dibentuk. Setiap
individu murid mempunyai pelbagai bentuk perbezaan. Pelbagai bentuk perbezaan dapat
dikesan dengan jelas semasa proses pengajaran dan pembelaran. Guru yang baik ialah guru
yang dapat mempelbagaikan teknik pengajaran berdasarkan keupayaan dan kecenderungan
murid tersebut. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang sangat besar dalam
membentuk konsep kendiri positif bagi murid-murid melalui kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan didalam kelas, disamping bantuan daripada keadaan persekitaran
dan rakan-rakan.

3
BIBLIOGRAFI

Shahabudin Hashim, M. R. (2003). Psikologi Pendidikan . Pahang Darul Makmur: PTS Publications&
Distributors Sdn.Bhd.
Suppiah Nachiappan, K. K. (2012). Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar Edisi Kedua. Kuala Lumpur:
Oxford Fajar Sdn.Bhd.
Ea Ah Meng, (2002). Psikologi Pendidikan III Edisi Ketiga.Selangor Darul Ehsan: Penerbit Fajar Bakti
Sdn.Bhd.

Anda mungkin juga menyukai