Anda di halaman 1dari 15

SOALAN 1 : SEBAGAI SEORANG REMAJA, BERIKAN PENDAPAT ANDA

BERHUBUNG DENGAN ISU INI DAN APAKAH CARA YANG SESUAI YANG DAPAT
MENGURANGKAN GEJALA INI SERTA KESANNYA TERHADAP MARUAH DIRI DAN
KELUARGA.

Pergaulan adalah suatu proses interaksi di antara satu individu dengan individu yang
lain. Seperti yang diutarakan oleh Aristoltle di mana manusia dikenali sebagai makhluk
sosial (zoon-politicon) yang membawa maksud setiap manusia tidak terlepas daripada
bergaul sama ada antara satu individu mahupun kelompok. Pokoknya, pergaulan
mempunyai pengaruh yang besar dalam membentukkan keperibadian seseorang.
Setiap perbuatan dalam pergaulan seharian kita mencerminkan setiap butir
keperibadian kita baik positif mahupun negatif. Pergaulan positif adalah kerap dilakukan
dalam kelompok yang besar yang membincangkan tentang hal-hal positif. Namun,
pergaulan negatif pula lebih menjurus kepada pergaulan bebas. Kementerian Pelajaran
mendedahkan bahawa kira-kira 76,300 atau 1.09 peratus daripada tujuh juta remaja di
negara ini terlibat dalam pelbagai masalah disiplin dan isu pergaulan bebas dalam
kalangan remaja dilihat berada pada tahap yang agak membimbangkan.

1.1 Definisi Pergaulan Bebas

Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan pergaulan bebas sehinggakan dapat


merosakkan masa depan seseorang individu? Pergaulan bebas merupakan salah satu
perilaku yang buruk, yang mana bebas yang dimaksudkan itu adalah menyimpang
batas-batas norma ketimuran yang sedia terpelihara. Masalah pergaulan bebas kini
semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya melibatkan remaja sekolah di
kawasan bandar. Seperti contoh, sebuah kes di mana seorang guru disiplin di sebuah
sekolah menengah di Taman Melawati mendedahkan bahawa beliau menemui kondom
yang disimpan dalam beg oleh pelajar perempuan. Kondom itu ditemui ketika
pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut. Sebuah kes lagi didedahkan oleh
seorang guru dari Kuala Lumpur. Beliau mendakwa terlihat seorang remaja lelaki
berpakaian sekolah bercumbuan dengan seorang perempuan tanpa segan silu di
belakang stor sekolah. Walaupun kes ini melibatkan maruah sekolah itu sendiri, namun
sikap terbuka sekolah dan guru tersebut itu wajar dipuji dan dicontohi kerana dengan
memetik kata Sharifah Rinah Sh.Ismail, (2005), jika disorok sampai bilapun masalah
tersebut tidak dapat diselesaikan.

1.2 Definisi Remaja

Masa remaja adalah masa yang paling berwarna serta mencabar kerana pada masa
inilah berlakunya proses pencarian jati diri setiap remaja. Remaja berasal dari kata latin
adolensence yang membawa maksud tumbuh menjadi dewasa. Istilah ini juga
mempunyai erti yang lebih jelas seperti yang diutarakan oleh Hurlock,1992 iaitu
merangkumi kematangan mental, emosional sosial dan fisikiologi. Manakala, menurut
Sri Rumini & Siti Sundari, (2004), masa remaja adalah peralihan dari waktu kanak-kanak
sehinggalah mereka menjadi dewasa yang mula mengalami perkembangan dari segi
segala aspek mental dan fizikal. Dalam menerokai kehidupan yang mencabar ini,
seorang remaja sering kali diselingi dengan hal-hal yang negatif dalam proses
penyesuaian dan perkenalan dengan orang sekeliling baik dalam kalangan rakan-rakan
di sekolah mahupun saat di rumah. Rasa ingin tahu para remaja yang kadang-kadang
kurang disertai dengan pertimbangan rasional boleh mengakibatkan terlanjurnya mereka
daripada sesuatu perbuatan. Dan disanalah kebanyakan para remaja terjebak ke
kancah sosial seperti pergaulan bebas.

2.0 Punca-punca berlakunya pergaulan bebas dalam kalangan remaja

2.1 Kurang kawalan Ibu Bapa

Sejak beberapa bulan yang lalu, masyarakat heboh memperkatakan tentang segelintir
remaja yang berkelakuan tidak sopan di khayalak ramai. Terbaru ini tersebarnya video
yang memaparkan aksi ala-ala putera raja melamar kekasihnya menerima kecaman
hebat di media sosial. Video yang diambil dari sebuah laman Facebook ini menunjukkan
aksi romantik pasangan kekasih yang masih lengkap berpakaian sekolah berpelukan
sambil disaksikan oleh pelajar lain yang turut bersorak. Persoalannya siapakah yang
wajar dipersalahkan di atas perbuatan remaja ini? Kurangnya kawalan daripada ibu
bapa ataupun ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawab mereka dikatakan punca
utama berlaku perbuatan seperti di atas. Keluarga memainkan peranan yang amat
penting dalam menjaga anak-anak. Ini kerana anak merupakan kurniaan daripada
Tuhan yang dilahirkan dalam keadaan suci. Ibarat sehelai kain putih, terpulanglah
kepada ibu bapa dan penjaganya untuk mewarnakannya. Mengikut kajian Sapora Sipon
(2005), menunjukkan bahawa kebanyakkan ibu bapa tidak sedar anak mereka
berkelakuan tidak sopan sehingga menerima aduan daripada guru sekolah. Ibu bapa
dikatakan tertipu dengan anak mereka yang pandai berpura-pura berkelakuan baik
ketika berada di rumah. Dalam kajian Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad menunjukkan
mengapa kebanyakkan ibu bapa terpedaya akan perlakuan anak-anak mereka adalah
disebabkan kesibukan kerja dan terlalu mengejar kesenangan dunia sehingga
mempercayai pengasuhan babysitter daripada mereka sendiri mengasuh anak-anak
mereka. Selain itu, ibu bapa juga berpendapat sekolah sudah cukup bagi mendisiplinkan
anak mereka sedangkan seorang guru hanya dapat mengawal pelajar pada waktu
persekolahan sahaja. Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence
(1996) menghuraikan bahawa anak-anak yang bermasalah kerap kali datangnya
daripada keluarga yang bermasalah. Seperti contoh, keretakan rumah tangga ibu bapa.
Ada ibu bapa akan melepaskan geram kepada anak-anak mahupun meninggalkan
mereka kepada pengasuh. Anak-anak akan mula berasa tertekan dan kurang kasih
sayang. Mereka berkemungkinan mencari jalan keluar daripada kongkongan ibu bapa
dan akan mula menumpang kasih pada orang lain seperti dengan rakan-rakan ataupun
teman lelaki. Ibu bapa juga tidak prihatin terhadap pergaulan anak-anak mereka dan
membiarkan mereka keluar mengikut sesiapa sahaja kenalan mereka tanpa mengira
lelaki atau perempuan. Jelas bahawa ibu bapa kini bagaikan lepas tangan dan bersikap
menjadi pengurus iaitu dengan menyerahkan tanggungjawab membesarkan anak-anak
kepada orang lain.

2.2 Diri Sendiri

Punca seterusnya adalah disebabkan oleh diri remaja itu sendiri. Kebanyakan remaja
yang terlibat dalam pergaulan bebas mempunyai tahap iman yang lemah. Seseorang itu
dikatakan telah dikuasai oleh nafsu apabila mereka kehilangan kesantunan, ketandusan
ilmu dan kurangnya penghayatan agama. Pernyataan ini dapat disokong dengan model
Al Ghazali dalam Tunku Sarah (1997) mengatakan bahawa hati merupakan bahagian
penting dalam diri manusia yang berfungsi sejak azali lagi. Hati yang jernih akan
membawa kita menyelami kehidupan yang positif namun hati yang kotor akan
membinasakan kita. Para pelajar tidak memahami hukum-hukum agama yang akan
mempengaruhi sikap mereka dalam pergaulan antara lelaki dan
perempuan .Disebabkan kecetekan amalan beragama, remaja akan kehilangan akal
fikiran yang waras dan mereka berkemungkinan mengambil tindakan yang tidak rasional
dan menyalahi norma masyarakat kita. Remaja tersebut tidak dapat membezakan yang
mana satu intan dan yang mana satu kaca kerana kurang didikan agama dan moral.
Ibnu Jauzi (2000) menjelaskan bahawa setiap manusia memiliki hawa nafsu. Jadi
remaja yang tidak dapat mengawal kata hati akan bertindak mengikut hawa nafsu
sehingga sanggup merendahkan martabat mereka semata-mata untuk memenuhi
tuntutan nafsu itu.

2.3 Dunia Cinta Remaja

Sudah menjadi kebiasaan untuk para pelajar memiliki pasangan di alam persekolahan
mereka. Perasaan ingin berpasangan ini semakin memuncak ketika berada pada zaman
moden ini. Bercinta sebenarnya tidak dianggap salah. Seperti contoh, Islam sendiri
mengalakkan umatnya untuk saling mengenali antara satu sama lain tanpa mengira
agama namun pelajar haruslah mengelakkan pergaulan yang melebihi batas seperti
contoh berdua-duaan di tempat sunyi. Dunia cinta remaja ini akan menjadi lebih
bermakna sekirannya kedua-dua pasangan mengetahui batas mereka dan mengambil
peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan bersama-sama.

2.4 Pengaruh Media Massa

Di samping itu, terdapat juga punca lain yang menyebabkan remaja terlibat dengan
pergaulan bebas. Kemajuan teknologi pada zaman ini cukup berkesan dalam
penyebaran pelbagai informasi terkini. Menurut Supriadi dalam bukunya Gejala Sosial:
Pandangan dan Penyelesaian Menurut Islam, (1998) halaman 44, televisyen dilihat
kerap kali menayangkan filem-filem yang menyimpang dengan norma masyarakat timur
lalu merangsang kepada perbuatan maksiat. Kesan penayangan adegan bercumbu,
berpelukan serta pendedahan aurat merangsang minda remaja untuk mencuba
perlakuan tersebut. Kebanyakan filem dari negara Barat yang tidak ditapis dipaparkan di
televisyen seperti contoh filem Baywatch. Pakaian pelakon dalam filem ini sangat
menjolok mata dan mempunyai elemen pergaulan bebas tidak kurang merosakkan
minda remaja yang nantinya membentuk imej mereka melalui perlakuan immoral ini.
2.5 Pengaruh Rakan Sebaya

Selain itu, kawan-kawan merupakan orang yang paling rapat kepada zaman remajanya.
Sudah menjadi lumrah bagi remaja yang tidak mendapat perhatian di rumah untuk
mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi keperluan dan mendengar kepada keluhan
mereka. Rakan sebaya yang baik dapat membimbing mereka kepada kebaikan, namun
jika tersilap memilih rakan, maka akan dipengaruhi dengan perkara-perkara yang
negatif. Kadangkala, pelajar mudah mempercayai orang lain. Seperti contoh di sekolah
apabila seseorang itu merasakan rakan mereka lebih memahami keadaan yang berlaku,
dengan mudah mereka akan ikut apa yang dilakukan oleh teman-teman mereka.
Segelintir reamaja tidak sedar bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan.
Pengaruh rakan sebaya ini dapat merosakkan sikap dan tingkah laku remaja. Jelaslah
bahawa rakan sebaya menjadi salah satu faktor berlakunya pergaulan bebas di sekolah
dan memetik kata riwayat oleh Ibnu Hibban yang berbunyi, Awas anda berkawan
dengan kawan yang jahat, nanti anda jadi sama seperti dia.

2.6 Pihak Sekolah

Punca terakhir terjadinya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja adalah guru-guru
tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasmi
adalah tanggungjawab guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini
menyebabkan segelintir guru mempunyai sikap egosentrisme seperti yang dinyatakan
oleh Elkind (1978), iaitu hanya memikirkan diri sendiri dan tidak menunjukkan komitmen
yang menyeluruh bagi menangani masalah sosial yang dilakukan oleh remaja sama ada
di sekolah mahupun di luar sekolah. Pada zaman dahulu, guru dilihat lebih
mementingkan nilai kasih sayang dalam mendidik pelajar, namun hari ini nilai kasih
sayang sebegini jarang dapat dilihat dan kadangkala terus hilang disebabkan
kepentingan yang bersifat material. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegur sikap
guru yang tidak memberi pengajaran menyeluruh kepada murid dan hanya
menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang terdapat dalam panduan
pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, sistem pendidikan tidak boleh
dipersalahkan. Tetapi, sikap guru yang sekadar lepas tangan dan tidak mengambil berat
akan pergaulan remaja mereka. Terdapat juga segelintir pihak sekolah yang
merahsiakan masalah sosial yang berlaku di sekolah mereka kerana tidak mahu imej
sekolah tercalar. Tindakan acuh tak acuh ini boleh merosakkan lagi disiplin remaja.
3.0 Kesan-kesan berlakunya pergaulan bebas dalam kalangan remaja

Apabila pergaulan antara lelaki dan perempuan tidak dijaga, maksiat akan berlaku. Kita
semua sedia maklum bahawa sekiranya kita duduk berduaan yang ketiga pastinya
syaitan. Perkara sedemikian terjadi disebabkan kekolotan para remaja sekarang yang
tidak sedar akan bahana pergaulan haram sebegini.

3.1 Anak luar nikah

Terdapat beberapa kesan yang akan timbul ekoran daripada pergaulan bebas antara
remaja lelaki dan pelajar perempuan ini. Antara kesan yang paling mengerikan adalah
lahirnya anak-anak luar nikah yang tidak berdosa. Perkara yang amat menyayat hati
adalah apabila terpampangnya berita mengenai bayi dibuang tanpa rasa belas kasihan.
Seperti contoh, bayi dijumpai dalam mangkuk tandas, mayat bayi digonggong anjing dan
sebagainya. Hal ini disokong melalui pengakuan jujur dan berani seorang gadis dalam
rancangan TV9 pada 15 Mei 2008 dalam slot gugur janin yang beberapa kali
mengugurkan kandungannya dan akhirnya mengambil keputusan untuk melahirkan
anak luar nikah tersebut. Mengugurkan janin oleh remaja sekolah pada usia muda boleh
membuatkan mereka itu terdedah kepada kesakitan pada saluran pembiakan sekali gus
boleh menjurus kepada kemandulan. Mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran
Negara dari tahun 2000 hingga 2007 dicatatkan bahawa seramai 257,411 sijil kelahiran
yang didaftarkan tanpa nama bapa. Ia adalah kerana anak tersebut adalah hasil
daripada ikatan yang tidak sah. Maka benarlah pergaulan bebas tanpa ikatan yang sah
ini yang pada dahulunya dianggap sebagai keji, kini telah hilang dek ditelan arus
kemajuan kemodenan teknologi.

3.2 Penyakit Kelamin

Di samping itu, terdapat pelbagai penyakit yang timbul disebabkan hubungan bebas.
Seperti contoh, penyakit AIDS. Penyakit ini tidak boleh disembuhkan malah
berkebolehan untuk membawa maut. AIDS berupaya merosakkan sistem pertahanan
badan seseorang individu. Setiap penyakit ada penawarnya namun tidak bagi AIDS.
Sehingga ke hari ini, tiada sesiapa pun yang berjaya menemui vaksin untuk melawan
dan menyembuhkan penyakit ini. Kesan yang sangat mengerikan adalah apabila anak-
anak luar nikah yang tidak berdosa itu berkemungkinan besar dijangkiti HIV melalui ibu
mereka. Kaum wanita juga boleh mendapat kanser serviks dan rahim jika mereka
melakukan hubungan seks pada usia setahun jagung.

3.3 Kemerosotan dalam pelajaran

Antara kesan lain yang akan timbul akibat pergaulan bebas pelajar adalah kemerosotan
dalam pelajaran. Remaja yang kerap bersosial dan sering keluar malam bersama
pasangan tanpa sebarang ikatan sah akan lebih leka menghabiskan masa berpacaran
daripada menumpukan perhatian dalam pelajaran. Remaja akan lebih berani untuk
memberontak dan melawan kata ibu bapa dan guru sekiranya kemahuan mereka tidak
ditunaikan. Apabila remaja berhadapan dengan masalah sosial ini, mereka tidak dapat
membuat keputusan yang matang dan bernas (Krebs,Denton,&Wark, 1997).
Kadangkala, ada anak-anak yang tanpa segan silu mencuri duit ibu bapa sendiri untuk
keperluan diri sendiri dan pasangan mereka. Remaja tersebut kemudiannya akan
dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat kerana ketinggalan dalam pelajaran
disebabkan terlibat dalam pergaulan bebas. Tidak dapat dinafikan juga kesan pergaulan
bebas ini memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.

3.4 Terjebak dalam kegiatan pelacuran

Apabila remaja menemui kebebasan melalui aktivti pergaulan bebas ini, mereka akan
mula berjinak dalam gejala yang lebih berat iaitu pelacuran. Pelacuran bermaksud
penjualan khidmat seksual, seperti seks oral atau hubungan seks, biasanya untuk wang.
Sindiket ini menawarkan ganjaran yang lumayan. Bagi remaja yang mengalami
kesempitan hidup dan mahukan kesenangan hidup dalam tempoh yang singkat, mereka
terjerumus dalam kegiatan pelacuran ini.

4.0 Cara-cara mengatasi pergaulan bebas dalam kalangan remaja

4.1 Tanggungjawab Ibu bapa

Ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan menunjukkan teladan yang baik
kepada anak-anak. Peribahasa melayu ada menyebut, kalau tiada angin masakan
pokok akan bergoyang. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah
pasti ada penyebabnya. Apabila ibu bapa menunjukkan contoh yang terpuji, pastinya si
anak akan meniru perbuatannya. Seperti contoh, ibu bapa harus memikul
tanggungjawab dalam memastikan anak-anak remaja bersopan santun dalam
pergaulan, pertuturan serta cara berpakaian. Ibu bapa harus melarang anak-anak
daripada memakai seluar ketat dan baju singkat sehingga menampakkan pusat. Selain
itu, ibu bapa juga haruslah meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Misalnya,
merancang aktiviti bersama keluarga. Contoh yang lain adalah dengan mewajibkan
semua ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa bersama-sama pada bulan
Ramadhan. Mereka juga haruslah bertanya akan proses pembelajaran anak-anak di
sekolah dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mereka. Ibu bapa mestilah
sentiasa mengawasi gerak geri anak mereka serta cuba mengenali rakan anak-anak.
Jika perlu, sesekali minta agar anak-anak membawa rakan mereka ke rumah supaya ibu
bapa dapat memastikan dengan siapa anak mereka berkawan. Mereka juga boleh
membatasi waktu anak keluar rumah. Di samping itu, anak-anak memerlukan bimbingan
yang kuat daripada ibu bapa mereka. Mereka tidak boleh membiarkan anak-anak
bersendirian menentukan jalan hidup mereka.
Anak-anak wajar dididik dengan ajaran agama yang kuat. Pengajian agama pada
peringkat akar umbi amat penting dalam memperkukuhkan fikiran kanak-kanak. Ibu
bapa harus mengajar anak mereka bagaiman untuk bersolat sejak kecil lagi, Sabda
Rasululluah SAW yang bermaksud Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang ketika
mereka berusia tujuh tahun dan ukullah mereka ketika berusia sepuluh tahun dan
asinglah antara mereka dalam tempat tidur. Selain itu, ibu bapa juga boleh menghadiri
program ceramah sivik seperti contoh Hari Ibu bapa dan Guru. Ini kerana ceramah
sedemikian dapat membuka mata para ibu bapa berkenaan peranan mereka dalam
usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan.

4.3 Peranan Institusi Sekolah

Seterusnya peranan institusi sekolah ini adalah setaraf dengan peranan institusi
kekeluargaan dalam bentuk mental dan rohani pelajar. (Novandri Hasan Basri, 2000).
Pencegahan awal tentang pergaulan bebas harus dijalankan di sekolah. Pendidikan
formal mengenai seksualiti harus diajar oleh guru di sekolah bagi menyedarkan para
pelajar akan kesan negatif pergaulan bebas. Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat bolehlah bergabung sinergi dengan Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk menjayakan pendidikan seksual di semua sekolah di seluruh negara.
Pelaksaan modul seksualiti ini haruslah disegerakan agar dapat membimbing dan
membantu pelajar memahami isu seksualiti ini dan menjadikan ia sebagai benteng
supaya tidak terjebak dalam aktiviti pergaulan bebas. Selain itu, disiplin di sekolah-
sekolah perlulah tegas. Peruntukkan undang-undang di sekolah haruslah ketat dan
boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar.

4.4 Media Massa

Media massa harus sedar akan peranan mereka dalam mengatasi masalah ini. Pihak
berkenaan haruslah peka dengan penayangan setiap drama atau filem dengan cara
menapis terlebih dahulu cerita yang hendak ditayangkan agar tidak akan memberikan
impak yang buruk kepada penonton terutama generasi muda agar masalah pergaulan
bebas di sekolah ini dapat diatasi sepenuhnya.

4.5 Penganjuran Kempen Kesedaran

Selain itu, pihak berkuasa juga haruslah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk
membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu pergaulan bebas ini dan seterusnya
dapat menangani masalah ini. Seperti contoh, kempen Anda Bijak Jauhi Zina.
Kempen ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan para remaja akan keburukan
pergaulan bebas ini. Strategi yang diambil adalah dengan mengundang penyanyi
antarabangsa iaitu Maher Zain untuk mengadakan persembahan khas di Malaysia
sambil mempromosikan kesedaran mengenai isu gejala sosial kepada rakyat di negara
ini. Hal ini telah mencelikkan mata dan hati banyak pihak mengenai isu pergaulan bebas
ini. Justeru, media elektronik juga harus bekerjasama dalam menghebahkan dan
membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dijalankan.
5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, anak merupakan anugerah daripada Tuhan. Setiap bayi yang dilahirkan
mempunyai hak untuk melihat dan menikmati hidup ini. Dalam dunia globalisasi ini,
seorang individu perlu menghadapi pelbagai cabaran dan pilihan dalam kehidupan
seharian. Ia menjadi salah satu cabaran bagi setiap pendidik Pendidikan Agama Islam
dan Moral untuk mengalak dan membimbing seorang individu dalam domain moral agar
mereka dapat menjadi seorang insan yang bermoral dan berakhlak mulia seperti mana
yang terkandung dalam Rukun Negara kita. Secara keseluruhannya masyarakat yang
bermoral tidak akan melakukan perbuatan yang tidak bermoral walaupun niatnya baik.
Ini kerana perbuatan yang tidak bermoral seperti pergaulan bebas ini sebenarnya
bertentangan dengan nilai norma dan peraturan dalam sesebuah komuniti di Malaysia.
Insan yang bermoral sebenarnya hanya menghayati dan mempratikkan nilai-nilai murni
dan peraturan masyarakat yang diterima secara sejagat sebagai bermoral, yang patut,
baik dan benar. Justeru itu, semua pihak haruslah bergabung sinergi untuk menangani
masalah pergaulan bebas ini dalam kalangan pelajar sekolah.

Pendahuluan

Pendidikan Moral dapat dinilai dari sudut tiga aspek iaitu mencari sebab-sebab
pendidikan moral ditekankan, mengajar pelajar bagaimana hendak berfikir, bukan apa
yang hendak difikir mengenai isu-isu moral serta menanamkan keyakinan terhadap
tingkah laku moral agar para pelajar mempunyai rasa tanggungjawab. Bagi kursus Isu
Moral dan Peranan Agen-agen moral (ELMK 3043) ini, ia memberi pengetahuan dan
kemahiran asas tentang konsep moral, insan moral, sosialisasi moral individu serta isu-
isu moral. Kami diberi tugasan untuk membincangkan tentang Gejala sosial yang
merupakan masalah yang sering dibicarakan dalam komuniti hari ini.Moral dapat
melahirkan masyarakat berminda kelas pertama adalah masyarakat
yangberpengetahuan, mampu bersaing dan berintegriti. Sebelum memulakan
perbincangkan, kita perlulah mengetahui maksud moral.

Menurut Kamus Dewan, Moral berasal daripada perkataan Bahasa Latin moralis yang
bererti tingkah laku yang sejajar dan sesuai dengan tatatusila atau peraturan sesebuah
masyarakat. Sosialisasi pula bermaksud satu proses manusia mempelajari dan
menerima nilai, sikap dan kemahiran orang-orang di sekelilingnya terutamanya dari
keluarga dan masyarakat bagi membentuk personalitinya. Sehubungan itu, menurut
Abdul Rahman Aroff, pelajar harus mempunyai keupayaan dalam membuat taakulan
moral agar dapat mengukuhkan lagi pendapat Alvin Toffler dalam bukunya Future shock
(1970).

Toffler mengutarakan bahawa perubahan pesat bukan sahaja melanda teknologi dan
ekonomi negara, malah yang membimbangkan adalah wujudnya gejala-gejala sosial
seperti contoh meragut, ponteng sekolah, pergaulan bebas dan lain-lain.
Refleksi

Selamat Sejahtera dan salam 1 Malaysia. Saya Vinisha Rajendran telah berjaya
melaksanakan tugasan kerja kursus yang telah diberikan dengan sempurna. Saya ingin
merakamkan ribuan terima kasih kepada En. Hj Abdullah Zhidi bin Omar kerana telah
memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya.

Pada awalnya saya telah mengalami kesukaran untuk menyiapkan tugasan ini
Namun,saya berjaya mengatasi kekangan ini dengan merujuk kepada pensyarah dan
kawan-kawan saya. Kerja kursus di sini memerlukan saya untuk membuat lebih banyak
kajian dengan lebih teliti dan pembacaan yang banyak serta pemahaman yang tinggi
kerana tugasan-tugasan yang diberikan adalah kompleks dan memerlukan kreativiti.

Tugasan ini telah memberi impak kepada saya dalam menilai masalah sosial yang
berlaku dalam kalangan remaja di sekolah dan juga dalam masyarakat. Melalui tugasan
ini saya mendapati cara yang paling dominan untuk mengkaji gejala sosial yang sering
berlaku di sekolah dalam kalangan remaja. Beberapa langkah yang telah saya utarakan
dalam esei saya. Langkah-langkah ini adalah untuk membentuk insan yang bermoral
yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.

Saya berasa lega dan gembira kerana telah berjaya menyiapkan tugasan ini dengan
sempurna. Sekali saya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah
dan rakan-rakan yang telah memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi sepanjang
saya melaksanakan projek kerja kursus ini.

VINISHA RAJENDRAN
2 PISMP TESL 2016
Rujukan

Chang Lee Hoon (2002). Pendekatan antara disiplin dalam Pendidikan Moral untuk
sekolah. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Pendidikan Moral: Tren
dan Hala Tuju, 22-23 Julai, di Universiti Malaya.

Chin Pek Lian (2005). Isu-Isu Masalah Disiplin Pelajar : Pendekatan Dan Penyelesaian.
Fakulti Pendidikan UTM.

Eow Boon Hin (2000). Pendidikan moral. Petaling Jaya: Pearson Education Malaysia
Sdn. Bhd.

Elkind, D. (1978). Understanding the young adolescent. Adolescence, 13,127-134.

Jayesh Maniar (1998). Our Teens. Family Fun Website.


http://www.aroundmanitoba.com/family/FamilyArchives/FamilyColArchives.html

Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Sukatan pelajaran sekolah menengah:


Pendidikan Moral. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Kinach, B. M. (2002). A cognitive strategy foe developing pedagogical content


knowledge in the secondary mathematics methods course: toward a model of
effective practice. Teaching and Teacher Education, 18, hlm. 51-71.

Nornajmah Najmuddin (2007). Teks dan Rujukan Lengkap Bahasa Melayu. Shah Alam,
Selangor : Arah Pendidikan
Novandri Hasan Basri (2000). Masalah Disiplin Pelajar Satu Pendekatan Dan
Penyelesaian. Dewan Budaya. Edisi Budaya.8-9

Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad (2005). Disiplin pelajar - Kerjasama ibu bapa, guru
penting. Utusan Malaysia

Sharifah Rinah Sh.Iismail. (2005). Disiplin Pelajar. Halaman Web S.M.K. Jandek

Sri Rumini dan Siti Sundari. Perkembangan Anak dan Remaja, Jakarta: Rineka Cipta,
2004.

Supriadi, Gejala Sosial: Pandangan dan Penyelesaian Menurut Islam, (1998), Johor
Bahru, Jahabersa, hlm 44.

Toffler, Alvin. (1970). Future Shock. New York: Random House

Berita Harian Online (2015, November, 02). Video aksi budak sekolah lamar
pasangannya. Dilayari pada 17 Februari 2016 dari
http://www.mynewshub.cc/2015/11/02/video-aksi-budak-sekolah-lamar-pasangan-di
kecam/

Arie Dewie ( 2011) Mengapa Jenayah Berlaku?


http://detectiveightyfive.blogspot.my/2011/03/mengapa-jenayah-berlaku.html
Dilayari pada 18 Februari 2016.

Azemi (2013) Kesan Jenayah Ragut


http://mohamadazemi2013.blogspot.my/2013/03/esei-kesan-jenayah-ragut.html
Dilayari pada 20 Februari 2016.

Firdaus Khalil (2013) Keruntuhan Moral dan gejala sosial dalam kalangan remaja dan
Cara mengatasinya
https://firdauskhalil.wordpress.com/2013/01/11/keruntuhan-moral-dan-gejala-sosial-
di-kalangan-remaja-dan-cara-mengatasinya/
Dilayari pada 20 Februari 2016.
Isi Kandungan

BIL PERKARA Muka Surat


1. Muka Depan 1
2. Pendahuluan 2
3. Penulisan Esei 1 : Masalah Pergaulan 3-12
bebas dalam kalangan masyarakat

4. Peta Minda Pergaulan Bebas di Sekolah 13


5. Penulisan Esei 2 : Jenayah Ragut dalam 14-20
kalangan Masyarakat
6. Peta Minda Jenayah Ragut 21
7. Refleksi 22
8. Rujukan 23-24

Anda mungkin juga menyukai