Anda di halaman 1dari 4

Graduan tulen vs graduan copy & paste

Graduan tulen menghargai corak pembelajaran yang mengangkat intelektual


mereka. Gambar hiasan/BERNAMA
Ema Izati Zull Kepili
01 April 2017 12:10 PM
4
CORAK pembelajaran di universiti kini sedang mengikuti arus perubahan
yang ketara. Dalam mendepani cabaran globalisasi, corak pembelajaran se-
dang ditingkatkan ke arah pembelajaran bersepadu (blended-learning) dan
tidak lagi 100 peratus menggunakan konsep pembelajaran tradisional iaitu
secara satu arah. Di kuliah, peranan pembelajaran telah dipulangkan secara
aktif kepada pelajar (flipped learning).

Dalam perubahan ini, ada pelajar universiti yang akan bakal menjadi graduan
tulen - mendapat imbuhan dari perubahan ini dan ada kelompok pelajar yang
masih terleka dengan corak pembelajaran tradisional. Kelompok pelajar yang
malang ini akan menjadi graduan salin dan tampal (copy & paste) kerana
pelbagai sebab. Perbezaan ciri-ciri kelompok dua pelajar ini dilihat lebih
ketara dengan penyebaran ilmu di internet. Di bawah ini sebahagian daripada
karakter yang membezakan seseorang itu adalah graduan tulen atau copy &
paste tersebut.
* Pembelajaran bersepadu meliputi arahan pembelajaran dilakukan sebelum
pelajar memasuki kuliah. Graduan tulen ialah mereka yang mengikut arahan
tersebut, membaca dan menyelidiki sesuatu informasi di internet sebelum
kuliah bermula.

Mereka tahu mereka tidak semestinya faham bab baru dalam sesuatu subjek,
tetapi dengan mengambil tahu secara rambang sebelum kuliah, secara
separa sedar, graduan tulen telah menyediakan minda mereka untuk
menerima jawapan dari ketidakfahaman mereka. Ini kerana, sewaktu di
kuliah, pembelajaran secara aktif akan berlangsung. Pensyarah tidak akan
lagi mengulang arahan, tetapi terus kepada diskusi lanjutan. Bagaimanapun,
graduan copy & paste yang tidak bersedia membaca sebelum masuk kuliah,
akan ketinggalan dan menjadi kabur dalam kuliah.

* Pembelajaran bersepadu meletakkan peranan pensyarah sebagai


pembimbing dan fasilitator. Graduan tulen memahami perbezaan antara
fasilitator dan guru. Sebagai seorang yang dewasa, mereka faham bahawa
corak pengajaran untuk orang dewasa adalah berbeza dari remaja. Corak
pengajaran untuk dewasa berbentuk abstrakdan lebih menjurus kepada
penggunaan kemahiran aras tinggi dan soalan berbentuk aplikasi, sintesis
dan kemahiran membuat keputusan. Lain dari graduan copy & paste, mereka
mengharap pensyarah akan memberi nota, soalan dan skema jawapan.
Mereka berpendapat pensyarah seharusnya menjadi seperti seorang guru
yang menyediakan segalanya untuk mereka.

* Pembelajaran bersepadu lebih interaktif dan bercorak amali (hands-on).


Graduan tulen menghargai corak pembelajaran yang mengangkat intelektual
mereka. Sebagai seorang yang dewasa, graduan tulen lebih terdorong
kepada kuliah yang lebih interaktif, tidak terlalu mengikut sorotan power-point,
tetapi lebih kepada soalan, aktiviti dan latihan yang mencabar keupayaan
intelektual mereka. Namun, graduan copy & paste lebih selesa duduk di
belakang dewan kuliah dan melayani Facebook, WhatsApp dan internet
ketika kuliah sedang berlangsung. Tindak balas mereka terhadap latihan dan
aktiviti kuliah adalah pasif dan cepat mengeluh.

* Pembelajaran bersepadu memanfaatkan masa sepenuhnya untuk mencapai


kemahiran insaniah. Oleh sebab ini, graduan tulen yang faham akan
menghormati ilmu dan waktu kuliah. Mereka datang awal ke kuliah, duduk di
hadapan dan menunjukkan minat untuk belajar.

Mata mereka seperti galak mahu tahu lebih daripada syarahan yang
disampaikan. Adab mereka adalah tinggi kerana mereka faham, menghormati
pendidik akan mendatangkan keberkatan ilmu dan melancarkan pemahaman.
Graduan copy & paste sebaliknya datang lewat, duduk seperti bersantai di
tepi pantai, tidak membawa pen dan alat tulis, terlalu bergantung kepada
rakan dan tidak menunjukkan minat untuk ke kuliah. Adab belajar dan berguru
juga rendah.

* Graduan tulen yang memohon pinjaman selalunya bijak merancang


kewangan mereka. Mereka faham yuran pendidikan dan perkara berkaitan
adalah mahal. Mereka juga faham bahawa mereka perlu membayar semula
pinjaman selepas mendapat pekerjaan kelak.

Dengan kefahaman ini, mereka sedaya upaya mendapat keputusan yang baik
dan membina sahsiah yang lebih berintegriti. Mereka pandai merencana
pelaburan mereka. Graduan copy & paste pula selalunya terlupa tentang
bayaran balik pembiayaan mereka dan tidak melabur sebaik-baiknya
menimba ilmu pengetahuan dan memperelokkan adab.

* Pembelajaran bersepadu dilaksanakan di dalam kuliah berdasarkan objektif


untuk menerapkan falsafah pendidikan negara. Graduan tulen yang mengikuti
pembelajaran bersepadu akan lebih arif dalam memacu ilmu mereka dalam
membangunkan negara. Di universiti, mereka melengkapkan diri mereka
dengan kemahiran-kemahiran luar dewan kuliah. Mereka telah mengasah
tajam pemikiran kritis mereka dalam mendepani isu-isu realiti.

Objektif mereka adalah untuk membangunkan kesejahteraan rakyat dan


negara. Lain halnya dengan graduan copy & paste. Oleh kerana mereka
selalunya mengambil mudah salin dan tampal tugasan mereka, minda mereka
tidak dilatih berfikir secara kritikal.

Minda salin dan tampal hanya mendorong kepada mendapatkan matlamat


jangka pendek - kekayaan diri sendiri. Kesudahannya, apabila graduan ini
berdepan dengan realiti yang mencabar, mereka lekas melenting dan
menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Dengan laporan World Economic Forum yang mengatakan pada 2025, 50


peratus pekerjaan di dunia akan diambil oleh teknologi, graduan tulen lebih
mempunyai masa depan yang cerah untuk kekal signifikan dalam dunia.
Mereka ini sejak awal peringkat universiti telah melatih akal untuk sentiasa
bekerja keras untuk kekal berdaya saing.

Bagi graduan copy & paste, mereka bakal ditelan arus dan menjadi tidak
relevan dengan cepat. Persoalannya, dengan jumlah puluhan ribu graduan
universiti tempatan yang keluarkan, adakah sebahagian besar graduan kita
tulen atau copy & paste?

DR. EMA IZATI ZULL KEPILIL ialah Pensyarah Kanan Kewangan dan
Ekonomi, Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/graduan-tulen-vs-


graduan-copy-amp-paste-1.464353#ixzz4d6Z6l52Q
Utusan Melayu (M) Bhd